Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Anak dara ke Mak Datin - Maria Farida
SEPANJANG 22 tahun bergelar pelakon, ia bukan suatu tempoh yang sekejap. Maria Farida telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis dalam dunia lakonan. Dalam tempoh waktu itu, dia telah berlakon dalam lebih 30 buah drama, telemovie dan lebih 15 filem cereka.
Pembabitannya dalam bidang lakonan turut menyaksikan Maria telah melakonkan pelbagai jenis watak. Namun katanya pada awal pembabitannya dalam dunia glamor itu iaitu pada usia awal 20-an dia lebih banyak melakonkan watak gadis remaja yang sentiasa kelihatan ceria.
Menurut pelakon berusia 43 tahun ini, watak-watak yang ditawarkan kepadanya itu bersesuaian dengan keadaan dirinya pada ketika itu yang masih muda remaja. Bagaimanapun pada usianya kini, dia sedar watak sebagai anak dara atau remaja sudah kurang sesuai lagi.
Justeru, Maria menganggap dia tidak terkecuali melalui proses perubahan dalam kerjayanya sebagai pelakon sama seperti pelakon-pelakon lain. Dia kini lebih realistik dengan kesesuaian watak-watak yang akan dilakon sama ada menerusi drama, telemovie ataupun filem.
"Bukan sahaja pelakon tetapi setiap orang akan melalui peredaran zaman yang banyak dipengaruhi oleh faktor usia. Begitu juga dengan saya yang perlu menyesuaikan diri dalam banyak aspek termasuklah dalam bidang lakonan yang saya mula ceburi pada awal 1990-an.
"Tidak selamanya pelakon itu sesuai melakonkan watak hero atau heroin, dan saya juga tidak terkecuali bagi memilih watak-watak yang sesuai saya lakonkan. Kalau dulu, saya banyak ditawarkan melakonkan watak-watak anak dara yang kelihatan moden dan ceria.
"Tetapi sekarang ini watak-watak seperti itu tidak lagi ditawarkan kepada saya. Sebaliknya, ramai penerbit dan pengarah yang mahukan saya melakonkan watak-watak Mak Datin atau watak-watak perempuan yang sudah agak berusia tetapi hidup kaya raya," katanya kepada Hits baru-baru ini.
Maria atau nama sebenarnya Maria Faridah Atienza berkata, dia menganggap sedang melalui fasa perubahan dalam watak-watak yang akan dilakonkannya dalam bidang yang diminati. Baginya itu adalah lumrah terutama dalam dunia lakonan tempatan yang sentiasa tidak putus-putus melahirkan ramai pelakon muda yang sesuai bagi melakonkan watak-watak tersebut.
Malah, pelakon kacukan Melayu dan Filipina ini tidak berasa kecil hati. Sebaliknya semakin berasa teruja kerana berpeluang meneruskan bidang lakonan dengan mencuba pelbagai watak yang sesuai dengan peningkatan usia, status dan pengalaman sebenar dalam kehidupannya seharian.
"Saya telah melakonkan pelbagai watak gadis remaja termasuklah wanita seksi yang menggoda dalam drama, telemovie dan drama. Itu mungkin imej yang sinonim dengan saya suatu ketika dulu tetapi sekarang ini zaman itu akan beransur-ansur berubah mengikut kesesuaian usia saya.
"Sekarang ini watak yang diberikan kepada saya lebih kepada watak seperti seorang ibu. Misalnya dalam filem terbaru lakonan saya berjudul Mamak Cupcake saya melakonkan watak Datin Nora. Walaupun watak ini tidak seksi dan menggoda tetapi ia mungkin sesuai dengan saya.
"Watak kepada ibu Juliana iaitu lakonan Siti Saleha itu tetap kelihatan ceria, bergaya dan mewah yang mana ia masih menyerlahkan watak itu sama seperti watak-watak lain yang saya lakonkan sebelum ini. Saya anggap ini suatu peralihan dan pengalaman baru buat saya," ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]