Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dafi Akui Belum Popular Di Indonesia

KUALA LUMPUR: Penyanyi berwajah comel, Dafi mengakui masih belum dikenali secara meluas oleh peminat di Indonesia walaupun sering berulang-alik bagi memperkukuhkan kerjaya seninya di sana. Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail, 24, bagaimanapun berkata, perkara itu tidak terlalu menjadi perhatiannya buat masa ini kerana peluang dan kepercayaan untuk membina nama di Indonesia adalah lebih penting. "Sejujurnya saya tidak rasa ada orang kenal siapa Dafi di Indonesia namun apa yang lebih penting saya tahu tujuan ke sana dan setakat ini semua perancangan dilaksanakan dengan baik," jelasnya. Dafi ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran program Fear Factor Selebriti Malaysia dekat sini pada Isnin. Tambah Dafi, walaupun penat berulang alik daripada Kuala Lumpur ke Jakarta namun dia berasa puas kerana dapat melakukan sesuatu untuk kerjaya seninya. Dalam pada itu, Dafi memberitahu dia kini tidak lagi menjadi pengacara dalam rancangan Selebrita Siang kerana menyedari kurang berminat dalam bidang itu. Tambah Dafi, keputusan itu dibuat selepas dia ingin melancarkan karier nyanyiannya dan memberitahu akan mengeluarkan single pertama di sana pada tahun hadapan.
"Barangkali muncul sebagai pengacara dalam program tersebut sebagai pengenalan diri saya di kalangan masyarakat Indonesia dan selepas beberapa bulan saya merasakan bidang itu tidak sesuai dengan saya. "Saya kini ingin menfokuskan kepada bidang nyanyian sepenuhnya," katanya. Tambah Dafi, dia akan mendapatkan khidmat komposer Ajai untuk penerbitan lagu terbarunya itu nanti. Sementara itu, mengulas mengenai penglibatannya dalam program Fear Factor Selebriti Malaysia, Dafi berkata, semenjak kecil dia memang meminati program itu dan pelawaan daripada pihak Astro tidak membuatkannya berfikir dua kali. Kata Dafi, dia juga ingin mencabar dirinya melakukan aktiviti lasak yang belum pernah dicuba dan mengakui ia bukan mudah. "Selepas melalui beberapa cabaran ia sebenarnya sangat sukar tetapi kami semua berjaya melakukannya dan menyertai Fear Factor adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan. Dafi berpasangan dengan pengacara Zoey Rahman disamping 30 peserta yang lain. Ia bakal disiarkan pada 29 Disember ini pada setiap Sabtu pukul 9.30 malam di saluran Astro Ria (104) dan Mustika HD (134).

Roslan Shah Akui Lebih 'Macho' Berimej Botak

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Roslan Shah mengakui berasa lebih 'macho' selepas menukar imej rambutnya kepada botak baru-baru ini. Roslan, 42, berkata, imej terbaru itu dilakukan selepas bernazar bersempena hari lahirnya pada 17 November lalu dan kali pertama dia membotakkan kepalanya. "Dengan imej botak ini selain rasa lebih segar dan nampak muda, saya rasa lebih 'macho' sikit. "Memang saya sudah bernazar apabila menyambut ulang tahun ke 42 saya ingin membotakkan kepala dan saya mula sukakan imej ini," jelasnya. Roslan ditemui ketika hadir ke majlis pelancaran Fear Factor Selebriti Malaysia pada Isnin. Tambah Roslan, dia akan mengekalkan imej tersebut sebagai jenama dirinya dalam bidang hiburan. Dalam pada itu, Roslan berkata, imej berkenaan sedikit sebanyak telah menghakis imej lelaki lembut yang sering dikaitkan dengannya sebelum ini.
Menurut Roslan, dia juga tidak kisah jika dikatakan cuba mencari publisiti murahan dengan menukar penampilannya itu kerana apa yang dilakukan adalah kehendak diri sendiri. "Ada juga yang tidak suka kerana mendakwa saya cuba mencari publisiti murahan tapi kata-kata seperti itu tidak memberi kesan kerana apa yang saya lakukan adalah demi diri saya sendiri," ujarnya. Sementara itu, Roslan berkata dia berbangga apabila menjadi peserta lelaki yang paling berusia menyertai Fear Factor Selebriti Malaysia dan menganggap program itu mencabar kebolehan fizikal dan mentalnya. "Saya seorang yang takut kepada ketinggian dan saya telah buktikan dalam beberapa cabaran bahawa ketakutan itu dapat diatasi. "Menyertai program tersebut bersama rakan-rakan artis lain telah memberikan pengalaman berbeza buat kami semua," katanya. Roslan berpasangan dengan pelakon Azam Pitt disamping 30 peserta yang lain. Ia bakal disiarkan pada 29 Disember ini pada setiap Sabtu pukul 9.30 malam di saluran Astro Ria (104) dan Mustika HD (134).

Fasha Sandha Sedih Jejai Larang Pegang Kucing

PETALING JAYA: Pelakon jelita, Fasha Sandha meluahkan rasa sedih apabila suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai melarangnya untuk membelai dan bermain dengan kucing belaannya. Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 28, berkata, sejak dia mula mengandung lagi, Jejai, 36, tidak membenarkan Fasha menyentuh malah melihat kucing-kucingnya sebanyal 13 ekor itu. "Rasa sedih sangat apabila hubungan saya dengan kucing-kucing terjejas sedangkan sebelum ini saya sering bercakap dengan mereka. "Malah Jejai telah meletakkan kesemua kucing kami itu di sebuah bilik tingkat atas rumah kami dan dia tidak membenarkan saya naik melihat mereka langsung.
"Kadang-kala pernah terfikir juga nak melihat kucing-kucing itu, ketika ketiadaan Jejai, tetapi dah dikira deharka pada suamilah pula," katanya. Tambah Fasha, suaminya itu risau sekiranya kuman yang terdapat pada kucing boleh berjangkit dan pelakon itu mungkin boleh terkena penyakit sekiranya tidak berjaga-jaga. "Saya percaya mereka (kucing) pasti merindukan saya. Mana tidaknya, sayalah orang yang menjaga makan, minum serta kebersihan mereka. "Malah saya turut memandikan mereka sendiri setiap seekor tanpa menghantar ke kedai langsung," ujarnya. Bagaimanapun, Fasha tidak tahu adakah Jejai membenarkannya dia bermain dengan kucing lagi selepas bersalin kelak. "Entahlah, kata orang, bila dah bersalin nanti, memang kena elakkan kucing datang dekat dengan bayi kita kerana takut terkena jangkitan kuman, tengoklah macam mana situasinya nanti," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Fasha yang kini mengandung lima bulan itu bakal menjadi duta kepada dua produk ternama kecantikan dan barangan bayi.

Siti Nurhaliza Lelong Tudung Bantu Pesakit HIV/AIDS

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin akan melelong dua pasang tudung miliknya rekaan jenama Fareeda pada malam Persembahan Makan Malam Amal Tahajjud Cinta bagi mengutip dana untuk dua buah pertubuhan kebajikan iaitu Yayasan AIDS Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia. Siti berkata, tudung yang bakal digayakan pada persembahan itu nanti akan mendapat sentuhannya sendiri dari segi rekaan mengikut citarasanya denan bantuan Fareeda. "Insya Allah saya akan mereka khas tudung untuk malam persembahan itu yang akan dilelong selain tudung yang saya pakai pada sidang media ini turut dilelong. "Kedua-dua tudung tersebut adalah direka khas dan tidak dijual dalam rangkaian jenama popular itu," jelasnya. Siti ditemui selepas sidang media persembahan tersebut yang bakal diadakan pada 30 Januari 2013 di Hotel Grand Hyatt pada pukul 8 malam. Dalam pada itu, Siti berkata, sebagai Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan AIDS Malaysia sejak 2009 beliau sentiasa terbuka kepada program-progam bersifat amal dan sekaligus dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik. Ujar Siti, dia berbangga dapat memberikan sedikit bantuan untuk mengutip dana buat pesakit AIDS dan berharap persembahan itu nanti dapat mengumpul dana sebanyak mungkin. "Stigma masyarakat terhadap pesakit HIV/AIDS masih menebal dalam masyarakat Malaysia.
"Selain membantu mengutip dana untuk membantu mereka, diharap makan malam amal itu nanti dapat mengubah pandangan masyarakat kita mengenai mereka. "Perjuangan orang yang hidup dengan HIV/AIDS sentiasa menjadi perhatian saya dan pembabitan siti dalam program selebriti sokongan telah membuka mata saya tentang realiti golongan itu," jelasnya. Sementara itu, Siti berkata beliau akan mengadakan persembahan selama 30 minit dengan mengangkat tema kerohanian daripada album Tahajjud Cinta yang pernah dikeluarkan pada tahun 2009. Tambah Siti, persembahan itu nanti turut diiringi oleh kumpulan Mohram dan susunan muzik oleh pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito. "Selain mempersembahkan lagu-lagu daripada album Tahajjud Cinta, saya turut akan menyampaikan beberapa lagu terkini yang sesuai dengan tema persembahan iaitu kerohanian," jelasnya. Hasil kutipan daripada persembahan itu nanti akan disalurkan untuk pembangunan program-program pendidikan, pencegahan, rawatan, jagaan dan sokongan bagi membantu golongan penghidap HIV/AIDS di Malaysia termasuk pembinaan sebuah rumah perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak di Kelantan. Persembahan Makan Malam Amal itu nanti turut mendapat tajaan penuh daripada jenama tudung Fareeda dan Hotel Grand Hyatt. Tempahan meja untuk persembahan itu nanti telah pun dibuka dan meja berharga RM35,000 bagi kategori Berlian, RM20,000 kategori Platinum dan RM10,000 kategori Emas. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Jasmin Jalil di Yayasan AIDS Malaysia menerusi talian 03-4047 4311 atau e-mel jasmin@mac.org.my atau Johary Jalil 03-40474277 atau johary@mac.org.my.

Fina (AF9) Tidak Salahkan Pengurusan Kerjaya Suram

PETALING JAYA: Bekas peserta program Akademi Fantasia 9 (AF9) iaitu Fina tidak menyalahkan pihak pengurusannya iaitu Astro Talent ekoran kerjaya nyanyiannya yang kelihatan suram. Fina atau nama sebenarnya, Nurshafinaz Jebat, 19, berkata, pihak Astro telah menguruskan kerjaya seninya dengan baik namun menganggap rezeki masih belum berpihak kepadanya. "Tidak timbul isu pihak pengurusan mengabaikan saya kerana mereka telah melakukan yang terbaik untuk menaikkan kerjaya nyanyian saya. Namun barangkali rezeki masih belum berpihak kepada saya," jelasnya kepada mStar Online. Fina ditemui ketika menghadiri program MasterChef Malaysia musim kedua yang berlangsung pada malam Sabtu lalu. Tambah Fina, pihak Astro juga perlu memikirkan artis lain yang dibawah naungan mereka dan tidak hanya tertumpu kepada seseorang artis sahaja.
Dalam pada itu, Fina mengakui masih belum berpuas hati dengan pencapaian yang dimiliki sebagai penyanyi selepas tamat program Akademi Fantasia pada tahun 2011. Bagaimanapun kata Fina, dia tidak berasa kecewa atau sedih sebaliknya menganggap perlu berusaha lebih gigih untuk meletakkan namanya sebaris dengan penyanyi terkenal yang lain. "Sebagai orang baru saya masih belum berpuas hati dengan pencapaian sebagai penyanyi sebaliknya masih banyak perkara yang perlu saya beri perhatian untuk lebih dikenali dikalangan peminat," jelasnya yang popular dengan lagu Radio. Sementara itu, Fina berkata, dia berharap dapat melancarkan albumnya sendiri pada tahun hadapan namun tidak mahu terlalu meletakkan harapan kerana sedar keadaan pasaran album yang lembab ketika ini. Fina berkata, dia mungkin akan tampil dengan album single terlebih dahulu sebagai strategi pemasaran sebelum merakamkan album penuh.

Zizan Razak Nafi Enggan Luangkan Masa Dengan Peminat

PETALING JAYA: Pelawak Zizan Razak menegaskan dia tidak pernah mengabaikan peminat-peminatnya meskipun tiada sebarang majlis keraian dianjurkan buat mereka yang sentiasa menyokongnya. Zizan atau nama sebenarnya Zizan Abdul Razak, 28, berkata, sudah beberapa kali dia merancang untuk berbuat demikian seperti artis-artis lain yang menghargai peminat-peminat mereka, namun masalah kekangan masa membuatkan perancangan itu tidak menjadi. "Bukannya tak terfikir, tetapi setiap kali merancang nak buat majlis untuk peminat-peminat mesti tak jadi kerana sibuk dengan kerja. "Walaupun saya bukan seperti artis-artis lain yang sentiasa meraikan peminat, tetapi mereka tetap di hati dan sedikit pun tidak pernah mengabaikan mereka yang begitu setia dengan saya. "Bagaimanapun sebagai pulangannya, saya akan memastikan persembahan yang diberikan adalah yang terbaik dan itu adalah antara cara saya membuatkan para peminat gembira dan berpuas hati," katanya. Tambah Zizan, walaubagaimanapun, dia tetap akan menganjurkan sebuah majlis khusus buat para peminatnya apabila mempunyai masa terluang nanti. Ditanya adakah keadaan itu membuatkan Zizan ingin menampakkan nilai eksklusif dalam dirinya, pelawak yang juga merupakan penyanyi rap menerusi lagu Bawa Aku Pergi (menampilkan Kaka) menafikannya. Beritahu anak kelahiran Terengganu itu, dia bukannya selebriti yang meletakkan nilai eksklusif dengan menjauhkan diri daripada para peminat, dan pada masa sama tidak pernah berasa begitu istimewa sehingga memerlukan dia digelar sebegitu. "Apa yang penting bagi saya adalah kualiti. Peminat inginkan benda yang berkualiti daripada artis kegemaran mereka. Dan itulah yang saya buat sekarang. "Dan saya akan melakukan kerja di bidang yang bersesuaian dengan saya sahaja. "Kiranya sebagai contoh, saya akan memberikan yang terbaik dalam seni lakonan dan pengacaraan, tetapi bukan sebagai penyanyi, kerana suara saya tak sedap," selorohnya.

Cermin Kereta Pecah, Mizz Nina Dirompak

PETALING JAYA: Penyanyi bertaraf antarabangsa, Mizz Nina mengalami situasi cemas apabila tingkap kereta yang dipandunya telah dipecahkan oleh individu yang tidak dikenali di Ampang Jaya. Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 31, menerusi laman sosial Instagram miliknya berkata, dia ketika itu berhenti di persimpangan lampu isyarat tempat kejadian sebelum dirompak dan telah kehilangan beg tangan miliknya yang diletakkan di tempat duduk sebelah pemandu. "Kereta saya dipecah dan beg tangan saya dirompak di persimpangan lampu isyarat Ampang Jaya. "Pesanan buat pemandu wanita, letakkan beg tangan anda di bawah tempat duduk kereta," katanya.
Berdasarkan masa entri foto tingkap kereta pecah di bahagian kiri yang dimuatkan pada Instagram penyanyi itu, kejadian rompakan berlaku sekitar tengah hari Isnin. Isteri kepada vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh itu turut berkata, ia merupakan satu pengajaran yang besar buat dirinya gara-gara terlupa untuk meletakkan beg tangan itu di tempat yang selamat. "Saya belajar dengan kesilapan yang telah berlaku. Kadangkala wanita sering lupa untuk meletakkan beg tangan mereka di tempat yang selamat. "Jangan buat seperti apa yang telah saya lakukan," katanya di laman Twitter pula. Sementara itu, Mizz Nina gagal dihubungi untuk mendapatkan kenyataan lanjut berhubung kes berkenaan. Pembantu peribadinya yang dikenali sebagai Riz yang dihubungi mStar Online memberitahu, dia turut gagal mendapatkan penyanyi itu untuk mengetahui kejadian sebenar yang berlaku. Difahamkan, ia merupakan kejadian pertama menimpa penyanyi yang popular dengan lagu Take Over (menampilkan Florida) itu.

Kes Khalwat Beego Ditangguh Tahun Hadapan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Selasa mengarahkan peguam bela Fakhrul Azman Abu Hasan supaya menyelesaikan hal-hal berkaitan dokumentasi mengenai kes khalwat pelakon Beego bersama dua rakan lelakinya di luar mahkamah sebelum perbicaraan bermula. Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin berkata demikian selepas Fakhrul membuat permohonan supaya pihak pendakwa syarie iaitu Tuan Sarawaheda Tuan Dir membekalkan kepadanya laporan polis dan dokumen berkaitan untuk menyokong penghujahannya di mahkamah. "Sepatutnya hal-hal berkaitan dokumen yang tidak melibatkan kebenaran mahkamah syariah diselesaikan terlebih dahulu sebelum memulakan perbicaraan. "Hal ini perlu diberi perhatian oleh kedua-dua belah pihak supaya tidak membuang masa dan kes dapat diselesaikan dengan segera," jelasnya. Pada 8 Mei lalu, Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah,32, bersama Fikry Zainon dan Mohd Arsli Meor Atan Ahmad mengaku tidak bersalah atas pertuduhan khalwat. Sementara itu dua wanita yang merupakan kenalan mereka iaitu Azlina Yazit @ Aziz dan Hadijah Mohamad Mokhar mengaku bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar denda. Kedua-dua mereka bagaimanapun membayar denda tersebut.
Dalam pada itu, Shaiful menangguhkan kes tersebut kepada 19 Mac tahun hadapan dan meminta peguam bela mengemukakan surat permohonan rasmi kepada Ketua Pendakwa Syarie untuk mendapatkan laporan polis dan dokumen berkaitan untuk perbicaraan seterusnya. Pada prosiding itu juga, permohonan representasi yang dikemukan oleh pihak defendan dibatalkan selain bon jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dikekalkan. Mengikut fakta kes, kelima-lima tertuduh ditahan sekumpulan Pegawai Penguatkuasa Agama pada 23 Februari 2011 kira-kira pukul 6 pagi di sebuah rumah di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang dekat sini. Kesemua mereka masing-masing didakwa di bawah Seksyen 29 (1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana berkhalwat yang boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. Beego yang merupakan seorang duda pernah berkahwin dengan Intan Shariza Mohd Shahru,31, tetapi berpisah pada 16 Mac 2009 selepas dua tahun menjadi suami isteri.

Afgan Mahu Sambut Tahun 2013 Di New York

JAKARTA: Penyanyi Afgan memberitahu akan menyambut kedatangan tahun 2013 di New York, Amerika Syarikat bersama ahli keluarga selama seminggu. Afgan memberitahu mereka membuat keputusan untuk meraikan tahun baru di negara itu kerana mereka sekeluarga belum pernah ke sana selain ingin merasai kemeriahan sambutan di New York. "Sudah lama kami merancang untuk ke New York dan saya paling teruja untuk ke sana kerana sebelum ini ahli keluarga lain pernah ke sana," katanya ketika ditemui di Studio 6 RCTI. Penyanyi kacak itu turut memberitahu pemergiannya ke sana adalah sebagai hadiah selepas bekerja keras sepanjang 2012 untuk membina kerjayanya. "Sepanjang tahun saya bekerja keras dan sudah tiba masanya untuk saya berhibur sebagai hadiah untuk diri sendiri," jelasnya.

Najwa Latif Tidak Tumpang Populariti Sleeq

SHAH ALAM: Penyanyi remaja, Najwa Latif tidak melihat gandingannya bersama Sleeq adalah sebagai menumpang populariti kumpulan itu untuk mencipta nama di Singapura. Najwa, 17 sebaliknya berkata gabungan itu adalah sesuatu yang positif dan baik untuk kedua-dua belah pihak membina nama sebagai penyanyi. "Saya tidak rasa menumpang populariti Sleeq atau sebaliknya kerana kolaborasi di antara kami adalah sesuatu yang positif dan senang bekerja dengan mereka. "Isu seperti itu tidak timbul kerana baik saya mahupun Sleeq bekerja keras untuk membina nama di dalam industri ini," jelasnya ketika ditemui pada pertandingan akhir MasterChef Malaysia musim kedua dekat sini pada Sabtu lalu. Malah kata Najwa, mereka sekali lagi berduet menerusi lagu terbarunya berjudul Sahabat sebagai tanda sokongan antara satu sama lain dan keserasian yang terbina di antara mereka selepas popular dengan lagu Untuk Dia. Dalam pada itu, Najwa memberitahu mengambil keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur selepas tamat menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu. Najwa berkata, keputusan itu diambil bagi memudahkan pergerakan kerjayanya dan memenuhi undangan persembahan yang kebanyakannya di Kuala Lumpur. "Alhamdulillah peperiksaan sudah selesai dan dapat jawab dengan baik walaupun subjek Biologi dan Matematik Tambahan agak susah dan kini saya sudah sedia untuk kembali merencanakan kerjaya saya selepas beberapa bulan menumpukan kepada pelajaran.
"Keputusan berpindah ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama kakak adalah kerana ingin memudahkan perjalanan karier saya dan mungkin selepas keputusan SPM keluar ia akan berubah," ujarnya. Sementara itu, Najwa memberitahu teruja untuk mengadakan persembahan istimwewa dihadapan peminat di Singapura pada 21 Disember ini dalam sebuah konsert Najwa Latif Live in Singapore di The Joyden Hall Bugis. Najwa berkata, dia juga sedikit gementar kerana pertama kali menjejakkan kaki ke Singapura dan berharap konsert sulungnya itu akan berjalan dengan baik. "Pada mulanya saya ingat ia adalah konsert tanpa menggunakan tiket tetapi rupa-rupanya persembahan berbayar dan ia satu penghormatan besar buat diri saya sebagai penyanyi dan pada masa sama tekanan kerana perlu membuat persediaan yang rapi supaya peminat yang hadir tidak kecewa. "Ini adalah peluang terbaik buat saya untuk bergerak aktif dan memperluaskan kerjaya saya dalam dunia seni muzik. Ia adalah platform untuk mendekati semua peminat di singapura," jelasnya. Pada konsert itu nanti kumpulan Iamneeta dan sebuah kumpulan daripada Singapura iaitu Aryan Band turut dijemput sebagai artis pembukaan. Najwa juga memberitahu dia bersyukur kerana rezekinya semakin bertambah dan jadualnya semakin pada dengan pelbagai undangan nyanyian. "Alhamdulillah rezeki semakin bertambah dan ini membuatkan saya semakin bersemangat untuk terus melebarkan kerjaya dan menghasilkan lagu-lagu yang lebih baik untuk peminat," katanya. Kata penyanyi lagu Cinta Muka Buku ini, dia merancang untuk menghasilkan album terbaru pada tahun hadapan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails