Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

"Saya masih lagi belum berpunya" - Elfira Loy

Pelakon muda, Elfira Loy, 19, nafi sedang bercinta dengan mana-mana lelaki termasuk aktor dari Indonesia, Baim Wong kerana usianya yang masih muda. Menurut Elfira, buat masa ini dia masih lagi mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya dan pengajiannya dalam bidang Seni Persembahan & Komunikasi, Kolej Damansara Utama (KDU). "Saya masih lagi belum berpunya. Sebenarnya bila difikirkan semula, setiap kali saya berlakon dengan pelakon lelaki, pasti saya akan digosipkan bercinta bersama. "Antaranya yang pernah dikaitkan bercinta dengan saya adalah Randy Pangalela, Zizan Razak dan juga Zoey Rahman," katanya ketika dihubungi hari ini. Isu percintaan Elfira dan Baim hangat diperkatakan selepas pelakon kacak dari seberang itu sendiri membuat pengakuan bahawa mereka sedang dilamun cinta dalam program Meletop di Astro Ria semalam. Malahan untuk membuktikan bahawa mereka sedang serius bercinta, Baim turut menunjukkan khidmat pesanan ringkas (SMS) antara dia dengan Elfira. Bagaimanapun, apa yang ditunjukkan oleh Baim dalam program yang dihoskan oleh Neelofa dan Nabil itu hanyalah gimik memandangkan beliau dan Elfira melakonkan watak pasangan kekasih dalam telefilem terbaharu mereka, "Untuk Terakhir Kali". - UTUSAN ONLINE

Ayu Damit Serik Ditipu Penganjur Ribuan Ringgit

Penyanyi Ayu Damit mengakui agak sukar untuk dia menguruskan kerjaya nyanyiannya sendiri memandangkan tidak mempunyai pengalaman selain pernah ditipu pihak penganjur. Ayu, 24, berkata, peristiwa mengalami kerugian ribuan ringgit apabila dia tidak mendapat bayaran ketika membuat persembahan di Johor benar-benar membuatkan dia serik. "Baru-baru ini saya telah ditipu oleh seorang penganjur di Johor Bahru dan inilah kali pertama saya melalui dugaan seperti ini sejak menguruskan kerjaya sendiri lebih kurang setahun. "Memang susah sebenarnya kalau nak uruskan diri sendiri. Berbeza dengan keadaan dahulu ketika saya mempunyai syarikat pengurusan (Monkey Bone), mereka boleh mengaturkan jadual nyanyian saya. "Ketika di bawah mereka, saya cuma perlu membuat persembahan terus tanpa memikirkan bagaimana nak berurusan dengan pihak penganjur. Terutamanya apabila membincangkan berkaitan dengan bayaran," katanya. Tambah ibu kepada dua orang anak ini lagi, membuat perbincangan harga bayaran dengan pihak penganjur sendiri juga membuatkan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang rendah. Sementara itu, Ayu berasa rindu dengan populariti yang pernah diraih dahulu apabila sering menghadiri pelbagai aktiviti nyanyian di televisyen serta acara-acara korporat. "Memang saya rindu dengan zaman saya yang sering membuat persembahan televisyen serta acara-acara hiburan yang besar. Bukan kerana populariti tetapi suasana kerjanya sangat berbeza. "Jika dahulu satu atau dua kali seminggu saya hanya memenuhi undangan persembahan pentas dengan pendapatan yang agak tinggi,” ujarnya. Sementara itu dalam perkembangan lain Ayu dalam proses menyiapkan single terbaharunya berjudul Hati Ini di bawah syarikat pengurusan baru iaitu Onez Entertainment. Ayu baru mengikat kontrak selama setahun dengan syarikat tersebut dalam menguruskan kerja-kerja seninya. Dalam pada masa sama dia juga turut bekerja sebagai penyanyi di Restoran Cerana, Cheras, dekat sini pada setiap malam dari hari Isnin sehingga Rabu. Selain itu Ayu juga akan mengadakan persembahan sepanjang bulan Ramadan di Hotel Royal, Bukit Bintang, di sini.

Siti Fazurina Mahu Jumpa Ibu Untuk Hapuskan Sengketa

Pelakon Siti Fazurina nekad untuk berjumpa ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 61, pada bulan Ramadan ini untuk meminta maaf bagi menjernihkan kembali hubungan keluarga yang keruh kerana kontroversi perkahwinannya. Fazurina atau nama sebenarnya Siti Fazurina Mohd Famir, 31, mengakui sebagai anak, dia perlu beralah dan berharap agar perkahwinannya bersama Hykal Zulkifli, 32, pada Mac lalu direstui keluarga. "Sebelum ini saya banyak kali juga hantar mesej dan bertanya khabar kepada ibu tapi tiada balasan, Insya-Allah saya nekad awal Ramadan ini saya akan balik rumah ibu. "Buat pertama kali biarlah saya seorang sahaja yang jumpa dahulu, kemudian barulah Hykal." katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen sempena Festival Fesyen Islam (IFF) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa. Jelasnya, biar apa juga yang berlaku, dia tetap yakin ibunya dapat menerima lelaki yang dikahwini itu sebagai suaminya.
"Di sini tiada siapa betul atau salah tapi pada saya apa juga yang berlaku di antara anak dan ibu, kita perlu tahu syurga itu di bawah tapak kakinya. "Saya juga tidak mampu menolak jodoh, walau pun ibu menolak beberapa pinangan sebelum ini, tapi Hykal adalah jodoh yang telah ditetapkan buat saya," ujarnya. Tambah Fazurina, lebih menggembirakan apabila dia dan suami akan berpindah dari Pulau Pinang dan akan menetap di Sungai Petani, Kedah berdekatan dengan kampung halamannya. "Alhamdulillah, semuanya seperti sudah diaturkan Allah agar kami dapat tinggal berdekatan. Suami saya akan ditukarkan bekerja ke Sungai Petani dan kami akan berpindah berhampiran dengan rumah ibu dalam masa terdekat ini. "Namun buat masa ini saya masih tinggal di Pulau Pinang bersama keluarga mertua," katanya. Dalam pada itu, Fazurina yang kini aktif menjadi pengacara di program Soal Wanita untuk TV Al-Hijrah berkata, ia merupakan salah satu impian ibunya untuk melihat dia menjadi seorang pengacara. "Saya baru sebulan mengendalikan program tersebut, ketika dapat tawaran itu saya terus beritahu ibu kerana dia suka kalau saya jadi pengacara. "Dia mahu saya jadi macam Norjuma dan pengacara-pengacara lain, walaupun dia tidak membalas mesej yang saya kirim tapi saya tahu dia gembira," ujarnya.

Edika Yusof Mahu Aktif Berlakon

Pelakon Edika Yusof akan kembali aktif dalam bidang lakonan selepas hampir 15 tahun menyepikan diri kerana menumpukan perhatian kepada keluarga. Edika, 45, berkata, meskipun terpaksa memberi perhatian penuh kepada isterinya Norhidayah Yusri, 34, yang lumpuh namun kini tanggungjawab tersebut sudah boleh dibahagikan bersama anak-anak. "Insya-Allah memang saya berhasrat untuk kembali aktif jika ada tawaran berlakon, begitu juga dalam bidang peragaan. "Hari ini (Selasa) pun rasa agak kekok dan gementar sebab dah lama tidak berjalan atas pentas peragaan. "Anak-anak juga sudah besar dan sudah boleh diharap untuk menjaga ibu mereka jika saya keluar bekerja atau ke set penggambaran," katanya yang ditemui pada Festival Fesyen Islam (IFF) berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa. Pada majlis tersebut Edika diberi peluang memperagakan pakaian iaitu kerjaya lama yang dilakukannya ketika aktif dalam bidang berkenaan suatu ketika dahulu. Dalam pada itu pelakon yang popular dengan filem Maria Mariana ini berkata dalam tempoh 15 tahun menyepi daripada dunia hiburan, dia banyak melakukan kerja-kerja grafik dan percetakan. Sementara itu, ditanya tentang perkembangan kesihatan isterinya, Edika berkata ia masih sama seperti dahulu, namun dia kini lebih aktif dalam mengusahakan perniagaan produk kecantikan. "Dia nak bekerja dan mengusahakan bisnes produk kecantikan, jadi saya hanya beri sokongan dan dorongan kepadanya," katanya. Hasil perkahwinannya dengan Norhidayah sejak 10 tahun lalu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Fardeen Nurulhaq, 10, dan Fareena Nurulhaq, 9, serta seorang anak angkat Nazirul Afiq yang kini berusia 15 tahun.

Isu Poligami Buat Ashraf Muslim Tertekan

Pelakon Ashraf Muslim mengakui kehidupannya agak tertekan dengan dugaan kontroversi yang mendakwanya akan berkahwin lagi. Ashraf, 32, berkata, walaupun keluarga di sebelah pihaknya dan isteri Noor Dayana Lokman, 26, tahu hal sebenar, namun isu poligami itu membuatkan mereka berdepan dengan pelbagai pertanyaan daripada orang sekeliling. "Kalau gosip terkena pada saya sahaja, saya sudah biasa. Tetapi apabila melibatkan keluarga ia menjadi sukar kerana keadaan menjadi berbeza. "Kontroversi saya mahu berkahwin lain juga membuatkan saya tertekan. Alhamdulillah sebagai seorang lelaki dan suami, saya ada cara untuk mengatasi masalah ini. "Saya juga kecewa dengan orang yang tak tahu apa-apa fasal kami bercakap dan menyebarkan gosip tentang kami," katanya. Ashraf ditemui pada majlis pelancaran program-program baharu TV3 bagi siaran bulan Ramadan di restoran Al-Rawsha di sini, Selasa.
Pada pertengahan bulan lalu, Ashraf dikatakan telah ke sebuah mahkamah syariah bagi mengambil borang permohonan untuk berpoligami. Pelakon itu berdiam diri dan enggan membuat sebarang kenyataan sehinggalah pada minggu lalu Ashraf mengakui kepada Kosmo! ada berkunjung ke mahkamah tersebut tetapi enggan mengulas lanjut tujuan dia berbuat demikian. Tambah Ashraf mujurlah perhubungan antara dia dan keluarga mertuanya masih lagi baik apabila mereka memahami situasi Ashraf sebagai selebriti. Dalam pada itu dia juga menyifatkan berdiam diri daripada membuat sebarang kenyataan lebih baik daripada menjelaskan hal sebenar dan dia percaya isunya itu lama-lama akan hilang dengan sendiri. "Menjadi hal saya sama ada mahu menjawab sesebuah kontroversi yang berlaku ataupun tidak. "Bagi saya isu poligami sangat sensitif walaupun ia boleh menjerumuskan ke arah kebaikan. "Tetapi bukan hak saya juga untuk menghalang orang ramai daripada bercakap. Jadi lebih baik saya mendiamkan diri," tuturnya. Ashraf dan Noor Dayana bernikah pada 30 Ogos 2011 bersamaan dengan 1 Syawal di Mekah.

Ibu Siti Sarah Meninggal Dunia

: Ibu kepada penyanyi Siti Sarah Raisuddin iaitu Nur Aini Mohamad, 56, meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini pada pukul 6.36 pagi Rabu. Menurut Sarah, 30, Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kegagalan buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis. "Arwah ibu dah mula sakit serius sejak Oktober tahun lalu dan sering kali keluar masuk hospital.
“Siapa tak sedih apabila ibu kita dah pergi. Saya hanya kena reda dengan ketentuan takdir," katanya yang dihubungi mStar Online pada Rabu di sini. Nur Aini yang juga isteri kepada pelakon Raisuddin Hamzah sebelum ini pernah bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum bersara akibat penyakit berkenaan. Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Sungai Pusu, Gombak dekat sini sebelum solat Zuhur.

Awi Rafael Enggan Komen Panjang Isu Putus Cinta

Penyanyi Awi Rafael mengambil pendirian untuk 'tutup mulut' dan enggan mengulas panjang berhubung isu putus cinta dengan pelakon Hanez Suraya. Awi atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Gunawan, 27, menerusi laman Twitter sebaliknya berkata, dia hanya akan bercerita tentang perpisahan itu menerusi lagu-lagu yang bakal diciptanya sahaja. "Sebagai tanda hormat kepada Hanez, kerana dia adalah wanita, saya tiada komen untuk dikongsikan. Biarlah saya bercerita menerusi lagu-lagu saya," katanya. Hanez menerusi Berita Harian Ahad berkata, dia dan penyanyi kelahiran Singapura itu sudah pun berpisah selepas sekian lama bermasalah. Malah pelbagai usaha telah dilakukan namun hubungan mereka masih gagal diselamatkan. Pasangan itu menjalinkan hubungan cinta lebih daripada setahun dan menyifatkan kegagalan hubungan itu bermula apabila Awi terlalu mengejar cita-cita untuk mengukuhkan kerjaya nyanyiannya sehinggakan Hanez terpaksa menarik diri daripada perhubungan itu.
Bagaimanapun, dalam status Twitter Awi, dia turut mendoakan bekas kekasihnya itu mendapat kebahagiaan dan rahmat bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi. "Saya sentiasa doakan untuk Hanez. Semoga bulan Ramadan yang akan datang ini membawa ketenangan dan rahmat pada kamu sekeluarga. Amin dan Goodbye," ujarnya. Dalam pada itu Awi turut menyatakan fokusnya kini hanya menjaga ibunya dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier seninya. "Fokus saya sekarang adalah kepada ibu yang semakin tua dan kembara seni yang masih jauh. "Doakan Awi InsyaAllah. Terima kasih kerana menyokong," tuturnya.

Diana Danielle sudah bersalin

RASANYA tidak perlu Diva nak jadi ahli matematik atau pakar perbidanan di sini. Cuma apa yang Diva diberitahu, pelakon yang juga isteri kepada Farid Kamil iaitu Diana Danielle sudah pun selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Setakat ini, Diva masih belum dapat pastikan nama bayi atau berat semasa dia dilahirkan, tetapi dengarnya si comel itu dilahirkan di sebuah hospital berdekatan tempat kediaman Diana di Sydney, Australia, pada hujung Mei lalu. Mesti ramai yang masih ingat, Diana ke sana untuk belajar dan ramai juga yang pelik dan tersangat prihatin dengan Diana apabila tidak mempamerkan gambar perut semasa mengandung. Itu hak dia, dia nak pamer atau tidak. Ramai juga yang prihatin tentang tempoh kehamilan Diana apabila pelakon berkenaan mengumumkan kehamilannya dalam tempoh lebih kurang dua minggu selepas bernikah pada 3 November lalu. Belek-belek Instagram Diane, tiada pula gambar atau tanda-tanda bahawa dia ke hospital untuk bersalin. Biasalah, sesetengah artis tak suka hal keluarga mereka jadi tatapan. Apa-apapun, Diva bangga sebab Diana sudah berjaya menjadi ibu dan dalam masa yang sama bergelar pelajar perfileman di Sydney.

Saya tidak malu bercinta - Raja Azmi

CINTA dan air mata akan selama-lamanya menjadi teman setia buat semua wanita. Begitu juga dengan penerbit wanita sensasi yang sangat dikenali ramai, Raja Azmi Raja Sulaiman. Biarlah bermacam-macam dugaan, berhujan api kejian serta rentetan kontroversi yang pernah jatuh ke mukanya, wanita berumur 54 tahun itu tetap berpegang kepada prinsip hidup mesti diteruskan. Dia juga tidak pernah malu membuka kisah hidup untuk tatapan umum. Terbaharu, Raja Azmi mengaku dia bercinta lagi. Patah tumbuh hilang berganti, selepas putus cinta dengan seorang lelaki muda sekitar Januari 2013, pengarah filem ...Dalam Botol itu kemudian membuat pengumuman untuk mengakhiri zaman jandanya. Lelaki pilihannya itu ialah Eddie, pemain gitar yang pernah menyertai kumpulan CRK sekitar tahun 1990-an dulu. Pada usia 54 tahun dan bersulam hidup yang sarat dengan kontroversi ditangkap basah, bermalam di lokap dan bercerai dengan bekas pemain badminton, Jailani Sidek, itu semua tidak pernah menghalang mata Eddie untuk jatuh cinta dan melihat Raja Azmi sebagai wanita terpilih untuk menjadi suri di dalam hatinya. "Masa mula-mula kenal saya pun risau juga. Banyak yang dibaca melalui media tetapi sepanjang saya mengenali dirinya, dia seorang yang ceria dan banyak mendatangkan inspirasi kepada saya. "Ingat sekadar untuk berkawan tetapi dalam usia saya pun sudah 45 tahun, kami lebih banyak bercakap tentang perkara yang serius. Masing-masing juga mempunyai anak-anak. "Selama ini, sejak isteri saya meninggal, sayalah ibu dan bapa kepada anak-anak tetapi sejak dia muncul, situasi menjadi agak berlainan. Anak-anak saya senang dengan sikapnya. "Apa yang anak-anak selesa, itulah yang paling penting untuk saya," ungkap Eddie tentang Raja Azmi yang bakal disunting sebagai tunangannya pada 15 Julai nanti. Eddie atau nama sebenarnya Mohd. Eddie Ghazali merupakan duda selepas isterinya meninggal dunia. Dia mempunyai dua orang anak lelaki, Mohd. Daniel, 21, dan Mohd. Effy Ashley, 19. Kembali ke alam percintaan dan berkongsi kisah cinta untuk tatapan khalayak, Raja Azmi tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk. "Saya sedar mungkin ramai yang akan memandang sinis dalam hal ini. Mungkin ada yang berkata, sudah tua-tua pun masih bercinta-cinta. "Saya cuma mahu katakan, sejak berpisah dengan Jailani, hidup saya sunyi tanpa cinta dan sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan lelaki yang menyintai saya dan memimpin saya di dunia dan akhirat. "Cinta juga tidak mengenal usia dan saya tidak akan pernah berhenti mencari cinta, cinta kepada Tuhan, anak-anak dan keluarga. "Semoga cinta ini dan jodoh saya dengan Eddie nanti akan dirahmati Ilahi," jelas Raja Azmi yang merancang mengadakan majlis pertunangannya mengikut adat biarpun masing-masing sudah berusia dan mempunyai anak. Katanya: "Walaupun sudah tua, kami tetap nak buat majlis pertunangan. Apa-apa pun kena ikut adat, adat juga tak mengenal usia. Lagipun saya masih mempunyai ibu dan wali. "Majlis pada 15 Julai nanti akan berlangsung secara sederhana selepas kedua-dua buah keluarga bertemu dan berbuka puasa bersama-sama di rumah saya." Raja Azmi dan Eddie merancang untuk berkahwin sekitar September. Menurut ibu kepada tiga cahaya mata serta dua orang cucu itu, dia merancang melangsungkan perkahwinan selepas pembikinan filem terbaharunya Anak Ikan selesai dilakukan. Ditanya tentang tempoh membahagiakan yang sedang dilalui kini, Raja Azmi tertawa: "Saya jatuh cinta pandang pertama." Eddie menambah: "Sejarah perkahwinan terdahulu bukan persoalan buat kami, rasanya seperti kembali muda."

Stacy Pilih Sukan Futsal Untuk Turunkan Berat Badan

Penyanyi Stacy mengakui gemarkan sukan yang popular dikalangan golongan lelaki iaitu futsal sebagai salah satu cara untuk dia mengurangkan berat badannya. Stacy berkata, dia gemarkan aktiviti lasak seperti sukan futsal dan selain itu dia juga gemar bermain badminton sekiranya mempunyai waktu terluang. "Sebelum ini berat saya 53 kilogram dan ramai yang menegur bentuk badan saya semakin berisi dan berazam untuk kuruskan badan. "Selain bersukan saya juga mengatur cara pemakanan supaya proses penurunan berat badan itu dapat dilakukan dengan cepat," jelasnya. Stacy mengakui sebelum ini dia kurang menjaga berat badannya kerana selain sibuk dengan kerjaya seninya dia juga banyak memberikan tumpuan kepada anak angkatnya, Bella Valentina. Selain itu jelasnya, kekurangan menjalani latihan tarian juga menyumbang kepada peningkatan berat badannya sejak akhir-akhir ini. Dalam pada itu, Stacy berkata, dia tidak mempunyai masa untuk bercinta kerana dia kini memberikan tumpuan penuh kepada anak dan kerjaya nyanyiannya. "Saya tiada masa bercinta kerana Bella adalah perkara pertama yang perlu diberi perhatian dan hubungan kami sangat rapat dan jarang berenggang untuk masa yang lama," katanya. Dalam perkembangan lain, Stacy berkata, dia baru sahaja selesai merakamkan sebuah lagu dengan kumpulan Smash dari Indonesia dan lagu berjudul Hello itu bakal dimuatkan dalam album terbaharu mereka.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails