Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Cinta untuk dijaga - Malek Noor
DATUK Malek Noor yang berkahwin buat pertama kali pada usia 57 tahun menasihatkan 'bujang-bujang terlajak' agar tidak putus asa dan berusaha menyempurnakan fitrah diri sebagai manusia.
Beliau berkata, perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW dan martabat seorang lelaki menjadi tinggi apabila mengahwini seorang wanita solehah.
"Mesej saya kepada para bujang terlajak ingatlah, ini sunnah Nabi Muhammad SAW. Kita naikkan martabat kita sebagai lelaki dan kita naikkan martabat seorang wanita menjadi isteri.
"Nabi pun tak mengaku umat jika kita tidak kahwin. Sebab itu saya minta kepada bakal bapa-bapa tua tu, kahwinlah," katanya dalam satu pertemuan dengan Mega di kediamannya di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Malek yang berkahwin dengan Datin Dr. Wan Asma Wan Ismail pada 12 Mac tahun lalu berkata, walaupun beliau memperisterikan seorang ibu tunggal yang memiliki tujuh anak, beliau tidak merasakan dirinya telah berkahwin dengan seorang 'janda'.
Tarikh tersebut dipilih sendiri oleh Malek kerana pada tarikh sama beliau berdoa di hadapan Kaabah setahun sebelumnya (12 Mac 2011) memohon untuk mendapat seorang isteri solehah.
"Kalau niat kita itu betul kerana Allah, nescaya Dia melindungi semua baik buruk perkahwinan.
"Saya tidak rasa saya kahwin dengan janda. Orang di sekeliling pun tidak menyindir saya, malah mereka gembira dan mengucapkan tahniah.
"Mungkin jika saya pernah kahwin dengan orang lain ketika muda Allah akan uji dengan perbalahan dan perceraian. Tetapi Allah takdirkan saya kahwin pada usia ini dan mendapat isteri yang baik," katanya.
Ketika ditebak persoalan zuriat dan kemungkinan beliau berpoligami, Malek dengan tegas berkata, beliau percaya Allah memberi anugerah cinta untuk dijaga dan bukan menyakiti hati perempuan untuk diduakan.
Katanya, beliau sudah ada seorang anak angkat dan tujuh anak tiri serta enam cucu tiri yang memanggilnya 'papa' untuk berkongsi kasih sayang dan perhatian.
"Saya minta maaf. Bagi saya lelaki zaman ini yang mahu berpoligami sebenarnya lebih bermotifkan kebendaan dan hawa nafsu.
"Poligami itu sunnah Rasulullah SAW. Tetapi lihatlah wanita bagaimana yang baginda kahwini dan apa tujuan di sebalik pernikahan baginda.
"Lagipun bagi saya, saya sudah mengikut sunnah baginda dengan berkahwin dan Insya-Allah saya akan jaga satu-satunya isteri saya, buat segala yang Allah perintah dan tinggal larangan-Nya. Soal kepuasan dunia bukan lagi keutamaan saya," katanya.
Tambahnya lagi, beliau akan tetap mengingati janjinya dengan arwah bapa mentua, Wan Ismail Wan Ahmad yang baru sahaja meninggal dunia pada tarikh 5 Ramadan baru-baru ini pada usia 88 tahun.
"Sebelum majlis akad nikah, arwah menggenggam tangan saya dan berpesan menjaga anak perempuannya itu baik-baik. Saya ingat lagi arwah menyebut 'mu jaga anak aku molek'," katanya.
Terkenang kisah lampau - Nabil
Perasaan menyambut kedatangan lebaran bagi setiap umat Islam itu berbeza-beza kerana masing-masing ada cerita tersendiri sebelum menanti kehadiran Syawal.
Begitu juga dengan pelawak Nabil Ahmad yang sempat berkongsi dengan Hits rasa terujanya menunggu kedatangan Aidilfitri dengan status baru sebagai seorang bapa.
Masakan tidak, kehadiran anak perempuan sulungnya, Naira Mikayla, 7 bulan, menambahkan lagi kemeriahan beraya pada tahun ini.
"Menyambut Syawal tahun ini memang memberi perasaan yang bercampur baur buat saya kerana ini kali pertama beraya dengan dua status sebagai suami dan seorang bapa.
"Tambah seronok lagi, tahun ini menyaksikan buat pertama kalinya saya akan menerima duit raya bagi pihak anak saya.
"Selalunya saya yang akan beri duit raya pada anak buah, tetapi kali ini tiba giliran saya pula menerima duit raya untuk Mikayla," katanya berseloroh.
Mungkin disebabkan rasa teruja Nabil dan isterinya, Nazirah Ayub membuatkan mereka pada tahun ini pertama kali merayakan Aidilfitri dengan busana rona sedondon.
"Kalau ikutkan memang tidak pernah kami sedondon, tetapi tahun ini terasa hendak memilih warna yang sama," katanya yang memilih dua busana sedondon rona biru dan hijau.
Tambah Nabil, tahun ini dia sekeluarga akan beraya di kampung halamannya di Seremban, Negeri Sembilan.
"Kalau ikut turutan, memang tahun ini beraya di seremban. Tetapi, apa yang buat saya gembira sebenarnya ialah kerana ibu saya pun begitu teruja dan mahu saya beraya bersamanya tahun ini.
"Lagipun, ramai kawan-kawan ibu yang mahu saya pulang beraya kerana mahu berjumpa dengan anak saya.
"Saya pun belum berkesempatan lagi hendak memberi peluang kepada rakan-rakan ibu untuk bertemu dengan Naira," jelasnya.
Jelas Nabil, jika mahu dibandingkan antara kampungnya dan kampung isterinya, dia lebih seronok beraya di kampung Nazirah di Perak.
"Sebenarnya saya sangat suka beraya dengan suasana kampung, tambahan pula kampung Nazirah memang meriah dengan kanak-kanak.
"Suasana itu memang berbeza dengam kampung saya kerana sudah kurang kanak-kanak. Semua dah meningkat besar.
"Tambahan pula ada yang sudah meninggalkan kampung dan bekerja di luar. Suasana kampung ada, tetapi sudah tidak meriah macam dulu lagi," ujarnya.
Terkenang kisah lalu
Berkongsi kenangan kisah hidupnya yang lalu, Nabil mengakui, dia sendiri tidak pernah bermimpi untuk berada di tahapnya sekarang.
"Jujurnya, memang saya tidak pernah bermimpi untuk memiliki apa yang saya ada sekarang. Punya isteri, anak dan kerjaya yang stabil.
"Kalau dulu, apa yang pernah saya impikan hanyalah menjadi ketua penghantar surat sahaja ketika itu," jelasnya.
Bukan sahaja mengecapi apa yang dimilikinya kini ibarat satu mimpi, malah menyertai dunia seni pun sesuatu yang mengejutkan dirinya.
"Dengan apa yang saya ada sekarang, saya memang bersyukur. Saya bukanlah berasal daripada keluarga seni.
"Malah saya masuk ke industri seni ketika itu cuma bergadai bakat seni yang saya ada sahaja. Kalau ada rezeki jadi, kalau tiada, kembali ke kerja asal. Alhamdulillah, saya diberi rezeki oleh tuhan," ujarnya.
Mengimbas kembali zamannya ketika sebelum bergelar anak seni, Nabil mengakui memang melalui kehidupan yang agak sukar.
"Sebelum jadi anak seni, memang kehidupan saya dan keluarga agak susah. Lagipun, dengan kerja saya dulu, memang tidak merasa hendak hidup senang," jelasnya.
Malah, dia turut teringat satu peristiwa ketika sedang menyambut bulan Syawal.
"Ketika itu, ada orang hendak datang beraya di rumah kami. Saya tutup semua tingkap dan buat seperti tiada orang di rumah.
"Ketika itu bukanlah niat tidak mahu orang datang berkunjung atau sebagainya, tetapi kami memang terpaksa buat begitu.
"Sebenarnya, atap rumah saya bocor dan kalau hujan turun, ruang tamu saya akan banjir dengan air hujan. Bila sudah jadi macam itu, hendak beri orang datang melawat pun kita segan," jelasnya.
Oleh kerana itu, jelas Nabil, bila dia teringat kembali memori lama, pasti membuatkan dia memanjatkan kesyukuran kepada ilahi.
"Bukanlah hendak mengatakan saya kaya, tetapi dengan rezeki yang saya ada, sekurang-kurangnya kedua ibu dan bapa saya mampu hidup senang. Itu sudah cukup," katanya.
Izzue Islam Jaga Batas Kerana Isteri
Pelakon dan penyanyi Izzue Islam lebih menjaga batas dalam pergaulan bersama pelakon wanita supaya ia tidak menimbulkan salah faham pihak lain.
Menurut Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, walaupun isterinya, Nurinafilah Waharudin, 31, (Awin) memahami tugasnya sebagai selebriti namun dia tetap perlu menjaga perasaan wanita itu.
"Awin tidak ada masalah jika saya digandingkan dengan mana-mana pelakon wanita tetapi sebagai suami saya tidak mahu keterlaluan atau melampaui batas kerana tidak mahu orang luar salah faham dan menjaga hati isteri," katanya kepada mStar Online.
Izzue dan Awin, 31, selamat bergelar suami isteri pada 2 Jun lalu dengan sekali lafaz selepas menyulam cinta selama enam tahun.
Dalam pada itu, dia tidak pernah risau popularitinya akan merudum apabila berkahwin pada usia muda kerana yakin dengan rezeki yang ada.
Malah katanya, sejak berkahwin, rezekinya dalam bidang lakonan semakin banyak dan mengakui kini sibuk melunaskan semua tanggungjawab yang diamanahkan.
"Saya tidak pernah risau dengan soal itu kerana rezeki itu daripada Allah. Alhamdulillah sejak berkahwin rezeki saya masih ada dan itu adalah berkat berkahwin," katanya.
Dalam perkembangan lain, Izzue bakal muncul dengan dua filem iaitu Hantu Tok Mudim dan Aku Bukan Ustaz serta drama terbitan Suhan Movies, Sahabat.
Sharifah Aleya Sukar Bezakan Anak Kembar
Personaliti radio iaitu Aleya mengakui ada masanya dia keliru untuk membezakan anak kembarnya yang mana satu Aza Ameena dan Asha Ameena.
Aleya atau nama sebenarnya Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, 30, berkata, wajah anak kembarnya yang berusia empat tahun itu turut menimbulkan masalah kepada ibu dan ayahnya kerana mereka juga sukar mengenalinya.
"Kekeliruan bukan hanya berlaku pada orang yang pertama kali melihat anak-anak saya, tetapi juga saya sendiri dan keluarga yang lain.
"Susah nak membezakan anak kembar saya lebih-lebih lagi apabila karakter mereka tidak jauh berbeza.
"Tetapi ada sahabat baik saya memanggil mereka 'sunshine' dan 'moony' di mana apabila kita fikirkan cahaya matahari, ia lebih kepada Asha kerana sikapnya yang ceria tetapi panas.
“Manakala Aza pula ‘moony’. Dia hanya beri sedikit saja ruang untuk mengenalinya," kata Aleya.
Sementara itu, bercerita mengenai sambutan Hari Rata pula, seperti biasa Aleya akan menyambutnya bersama anak-anak sebelum membawa mereka berjumpa dengan bekas suaminya, Muhammad Ashraf Aasimudin, 32.
"Alhamdulillah, saya dan bekas suami tidak pernah mempunyai krisis dan ini memudahkan kami dalam hal pengurusan anak.
"Macam biasa pada hari pertama Aidilfitri, Asha dan Aza beraya bersama saya sekeluarga. Kemudian di sebelah petang pula Ashraf akan membawa mereka pulang ke kampungnya di Jeram, Perak," tuturnya.
Erra Fazira Ajar Anak Belajar Hidup Berdikari
Pelakon dan penyanyi Erra Fazira mula mengajar anaknya iaitu Engku Aleesya Engku Emran yang berusia empat tahun untuk belajar membuat keputusan sendiri dalam sesuatu perkara.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 39, berkata, dia ingin mendidik anaknya itu sebagai seorang yang berdikari dengan membuat keputusan bijak apabila besar kelak.
"Kalau boleh saya mahu Aleesya tahu erti berdikari dan pandai membuat keputusan dalam hidupnya.
"Jadi pada awal usia muda sebegini saya sudah mengajar dia membuat keputusan sendiri. Tetapi tidaklah mengajarnya secara drastik.
"Sebagai contoh dalam pemilihan baju yang dipakai, saya memberi dia dua atau tiga pilihan, kemudian dia yang akan pilih baju apa yang diinginkannya," katanya kepada mStar Online..Tambah Erra, sehingga kini dia cukup gembira apabila melihat Aleesya semakin faham dengan setiap tindakan yang dibuatnya.
Sementara itu, mengenai sambutan Hari Raya pula, Erra hanya menyambut secara sederhana.
"Raya saya setiap tahun sederhana sahaja. Cuma Aleesya saja yang lebih teruja, biasalah kanak-kanak.
"Tetapi apa yang menggembirakan saya, perniagaan hamper yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan lalu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
"Alhamdulillah, ia adalah peningkatan saya dalam perniagaan ini dan mungkin akan dikembangkan lebih meluas lagi pada tahan depan, Insya-Allah," tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Erra telah pun berangkat ke beberapa negara Eropah pada sambutan raya ketiga lalu bagi menjalani beberapa penggambaran drama dan telefilem arahan Erma Fatima.
Erra bersama Umie Aida, Elfira Loy dan Baim Wong akan berada di sana selama dua minggu.
Zul Ariffin Mahu Dalami Islam Untuk Bimbing Gayatri
Pelakon Zul Ariffin mahu memperbaiki dan memantapkan ilmu agama terlebih dahulu sebelum melamar kekasihnya, penerbit filem Tayangan Unggul iaitu Gayatri Su-Lin Pillai.
Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 27, berkata, dia merasakan perkara itu lebih penting kerana selepas berkahwin kelak dia perlu membimbing bakal isterinya itu mendalami ilmu agama Islam.
"Saya yang ingin memantapkan terlebih dahulu pengetahuan saya kerana jika ada jodoh di antara kami tanggungjawab saya untuk mendidiknya mendalami ilmu agama Islam.
"Bagaimana saya ingin mendidiknya sedangkan ilmu saya juga tidak mencukupi?," katanya kepada mStar Online.
Dalam perkembangan sama, Zul berkata, Gayathri sangat terbuka soal agama dan pengetahuan asasnya mengenai Islam sangat baik.
Bagaimanapun kekasihnya itu masih belum membuat keputusan untuk memeluk Islam buat masa ini dan membiarkan wanita itu menukar agamanya dengan kerelaan hati dan bukannya paksaan.
"Pengetahuan asasnya tentang Islam bagus dan Gayatri sendiri sudah seperti orang Melayu kerana pergaulannya meliputi pelbagai bangsa malah kadang-kadang saya rasa dia lebih 'Melayu' daripa saya," ujarnya.
Sementara itu, Zul tidak menafikan ada berbincang tentang soal perkahwinan dengan kekasihnya itu namun ia adalah perbualan biasa dan tidak merancang untuk mengakhiri zaman bujangnya dalam masa terdekat.
"Sudah tentu kami mahu membawa hubungan itu ke tahap lebih serius tambahan pula keluarga kedua-dua belah pihak juga merestui.
“Bagaimanapun buat masa ini kami belum ada apa-apa perancangan. Insya-Allah, doakan kami," jelasnya.
Tasha Shilla Tidak Teruja Sambut Aidilfitri
Pelakon Tasha Shilla mengakui tidak terlalu teruja menyambut Hari Raya kali ini berbanding tahun pertama bergelar artis.
Tasha, 26, berkata, segala persiapan raya dibuat secara sederhana.
"Tahun ini merupakan tahun ketiga saya beraya sebagai artis, jadi rasa teruja itu sudah kurang berbanding din awal kemunculan dulu.
"Kalau dulu saya punya baju raya berbelas pasang sampai tidak terpakai, kali ini pula saya tiada beli baju raya kerana baju yang saya beli adalah untuk dipakai pada majlis berbuka puasa," katanya kepada mStar Online.
Tambahnya, dia lebih menumpukan kepada keperluan keluarga berbanding diri sendiri.
Dalam pada itu, Tasha berkata sambutan Hari Raya seperti biasa balik ke kampung halaman di Johor.
"Seperti tahun-tahun sebelumnya kami beraya di kampung nenek iaitu di Batu Pahat, Johor.
"Apa yang seronok dapat berjumpa semua sanak saudara yang sememangnya setahun sekali sahaja kami berjumpa," katanya.
Farawahida Berdebar Kahwin Hujung Tahun Ini
Penyanyi Farawahida mengakui berasa berdebar menantikan detik perkahwinannya yang dijangka pada Disember tahun ini.
Farawahida, 28, berkata, majlis pernikahan akan berlangsung di Taiping, Perak manakala acara bersanding akan diadakan pada sebelah malam.
"Saya dan kekasih sudah lapan tahun bersama, jadi kami rancang untuk kahwin terus tanpa perlu mengikut adat untuk merisik atau bertunang.
"Bagaimanapun saya tetap berdebar untuk melalui detik bahagia itu. Doakan kami dijodohkan bersama pada hujung tahun ini ya," katanya
Tambah pelantun lagu popular Tanpamu itu, buat masa ini dia enggan mendedahkan siapa identiti lelaki tersebut sehinggalah pada hari perkahwinannya nanti.
"Apa yang boleh saya katakan, dia seorang lelaki bukan kepunyaan sesiapa berusia 29 tahun dan kini bekerja di sebuah pusat perubatan.
"Pada masa sama dia juga sudah mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan hartanah pula,” ujarnya.
Beritahu Farawahida lagi, sambutan Aidilfitri pada tahun ini lebih diberi fokus dalam persiapan perkahwinannya selain perlu menjalani kursus perkahwinan di bulan Syawal.
Nora Danish Terima Hadiah Baju Raya Peminat
Pelakon Nora Danish menerima baju raya sebagai hadiah untuk dia dan anaknya Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram yang berusia 4mpat tahun.
Nora, 31, berkata, kebanyakan peminat menghubunginya melalui laman sosial Instagram bagi mendapatkan maklumat terperinci termasuk alamat untuk membolehkan mereka menghantar barang tersebut.
"Hampir setiap hari ada sahaja barang yang sampai dan kebanyakannya untuk Raykal seperti pakaian dan barangan kanak-kanak.
"Mereka minta alamat saya di Instagram dan suruh saya pakai dan muat naik gambar saya bersama hadiah mereka di Instagram," katakan kepada mStar Online.
Biarpun kebanyakannya bermotifkan promosi namun dia tidak pernah menganggap ia sebagai satu bebanan.
"Tujuan mereka adalah untuk meminta saya membantu mereka promosi produk mereka di Instagram dengan memuat naik gambar tersebut. Saya tiada masalah jika ia dapat membantu menambah rezeki mereka. Tidak susah pun," katanya.
Dalam pada itu, mengulas tentang sambutan Hari Raya, Nora berkata ia disambut secara sederhana seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Seperti biasa selepas solat Hari Raya, saya akan ke rumah bekas ibu mertua untuk menikmati hidangan.
"Lagi pula di sana Raykal boleh berjumpa saudara-maranya," kata Nora yang tidak menolak kemungkinan akan beraya bersama aktres Fasha Sandha.
Liyana Jasmay Tetap Berperangai 'Gila-Gila'
Pelakon Liyana Jasmay mengakui dirinya masih lagi bersikap 'gila-gila' walaupun sudah mendirikan rumah tangga dengan Fathuddin Mazlan, pada 2 Februari lalu.
Liyana berkata, perubahan statusnya sebagai isteri tidak pernah mengubah personalitinya, namun dia tetap menjaga batas-batas agar tidak mencalarkan nama baik suaminya itu.
"Alhamdulillah, seronok hidup berumah tangga. Lebih senang untuk ke mana-mana sahaja dan yang penting saya masih seperti dahulu, seorang yang gila-gila.
"Dan kalau nak tahu suami saya pun jenis gila-gila tau. Dia juga seorang yang kelakar dan sering buat lawak. Tapi orang lain tak nampak. Hanya dengan saya sahaja dia berkelakuan begitu," katanya.
Bercerita mengenai sambutan raya pula, Liyana berkata perancangan sambutan Syawal buat mereka sangat mudah memandangkan ibu dan bapa mereka berjiran.
"Keluarga saya dan suami berjiran, jadi tidak ada masalah nak beraya di rumah mana dahulu.
"Pada pagi raya, kami beraya di Kemensah dan pada sebelah petang pula, kami ke Melaka. Manakala pada raya kedua, kami akan disambut di Kuala Pilah (Negeri Sembilan),” ujar Liyana yang mengenakan pakaian sedondon dengan suami berwarna hitam dan ungu.
Sementara itu sempena sambutan Syawal, Liyana muncul dalam program Oh Kampungku di TV9 yang menceritakan pengalaman dia masuk ke kampung dan membuat kerja-kerja yang selalu dilakukan oleh orang kampung sebelum meraikan l lebaran.
Liyana akan membuat kuih baulu secara tradisional, masuk ke kebun dan mencari buluh untuk dibuat lemang.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
