Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Farid belum jumpa mertua

USAHKAN gambar terbaharu, nama bayi sulungnya pun masih tersimpan kemas dalam simpanan Farid Kamil dan Diana Danielle. Biarpun nama bukanlah persoalan yang besar namun sudah menjadi etika dalam penulisan dan kewartawanan, nama itu sesuatu yang lazim kecualilah jika boleh mendatangkan darurat. Dalam kes pasangan selebriti terkenal, Farid dan Diana itu, mereka sekadar berkongsi pangkal nama anak lelaki mereka iaitu Muhammad sahaja. Selebihnya harus menunggu izin gara-gara terikat untuk muncul secara eksklusif dalam sebuah program terbitan Astro. Tegas pelakon dengan nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 32, dia harus menghormati perjanjian yang telah dibuat bersama stesen penyiaran berbayar berkenaan. "Pihak Astro mempunyai perancangan khas untuk memperkenalkan bayi saya kelak," ujarnya. Bukan itu sahaja, kata Farid, majlis pengumuman nama penuh Muhammad juga akan dilangsungkan sekali gus dengan majlis khatam al-Quran isterinya Diana dan majlis akikah untuk bayinya itu. Soal tarikh majlis itu dapat dilangsungkan, semuanya terpulang kepada Diana yang sedang belajar membaca al-Quran. "Proses Diana untuk khatam al-Quran akan mengambil masa. Semuanya terpulang kepada Diana kerana ini merupakan keinginannya untuk melunaskan janji dan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Saya tidak mendesak dia untuk belajar dalam temoh yang singkat. "Sejujurnya saya tidak sabar untuk mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran daripada Diana kerana itu hadiah yang dijanjikannya kepada saya. "Diana belum bersedia untuk memperdengarkan bacaannya, namun saya tidak mahu menambah tekanan terhadapnya. "Saya akui Diana tiada asas dalam mempelajari al-Quran tetapi saya percaya dia akan berjaya khatam al-Quran," ujarnya ketika ditemui pada majlis siaran langsung episod terakhir drama Jodoh Itu Milik Kita di Kuala Lumpur Selasa lalu.
Farid turut memperbetulkan laporan terdahulu yang menyebut bahawa majlis pengumuman nama anaknya itu akan dilakukan dalam sebuah majlis cukur jambul. Menurutnya, bukan majlis cukur jambul yang akan diadakan sebaliknya kenduri doa selamat berserta majlis akikah. "Keluarga saya tidak mengamalkan adat mencukur jambul, cukup dengan majlis akikah sahaja," kata Farid berhubung anaknya yang dilahirkan di Australia itu. Beralih kepada isu perang dingin dengan ibu mertuanya, Norsiah Ramli, Farid pernah mengatakan bahawa dia dalam proses mahu menjernihkan kekeruhan yang berlaku antara mereka. Ditanyakan semula isu itu kepadanya, ternyata kesibukan bersama isteri, anak dan lakonan belum mengizinkan Farid untuk bertemu dengan ibu mertuanya itu. "Saya tidak tahu di mana ibu mertua saya tinggal sekarang, jadi rancangan untuk bertemu dengannya belum kesampaian," tutur Farid yang membawa anak isterinya pulang ke Malaysia sejak Hari Raya Aidilfitri lalu. Tidak mahu memanjangkan cerita, Farid seronok bercerita tentang pernikahannya yang sudah mencecah usia setahun itu. Anak pertama sudah ditimang, kini terserah pula kepada Diana jika ada perancangan menambah bilangan ahli keluarga. "Saya terbuka dalam soal jumlah anak. Saya beri kebebasan kepada Diana untuk membuat perancangan keluarga dan selebihnya berserah kepada rezeki yang telah Tuhan tentukan kepada kami," cerita Farid yang kini dalam penggambaran filem berjudul Kitai arahan Amirul Rozali.

Kepercayaan jangan didesak - Fasha

HATI wanitanya pernah berdetik, usai bergelar ibu, pastinya segala perhatian dan tumpuan industri glamor akan beralih menjauhi wajahnya. Namun, tumbuh melata atau memanjat junjung, sudah adat menjadi orang popular, setiap langkah yang diatur pesonanya tetap mencuri perhatian. Fasha Sandha barangkali satu nama yang sedang memasuki fasa sedemikian. Berkahwin dan sudahpun tujuh bulan menimang cahaya mata, tetapi dalam tempoh yang sama, karier seninya sedang menari atas tempo baharu. Ritmanya mungkin tidak serancak sewaktu bergerak solo tetapi kesinambungannya berhasil memecahkan semula ingatan orang. "Saya ingat selepas berkahwin, bersalin dan bergelar ibu, industri sudah boleh melupakan saya, rupa-rupanya tidak. Saya masih di sini dan boleh meneruskan kecintaan saya ini ikut kemampuan saya sendiri. "Lebih seronoknya, saya tidak mengejar banyak benda sebaliknya bekerja atas dasar minat mendalam saya terhadap bidang seni bukan atas tuntutan kewangan semata-mata," ujarnya yang boleh hidup selesa atas kestabilan kewangan suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai. Suami nombor satu Di samping menjadi juri tetap sebuah program realiti pencarian wartawan penyiaran sehingga pertengahan Disember nanti, Fasha juga bakal membintangi drama bersiri berjudul Miranda. Miranda akan disiarkan menerusi slot Samarinda dan akan memulakan penggambaran minggu hadapan. "Mulanya berat juga hati apabila terpaksa meninggalkan anak kecil yang sudah pandai hendak bermain di rumah bersama pembantu dan keluarga, sedangkan saya kena keluar bekerja. "Tapi kena buat juga, sebab saya tak mahu sekadar menjadi 'mem' dalam rumah. Saya suka bekerja, masa hamil pun saya akan pastikan salun saya terurus dengan baik. "Sekarang, memanglah suami dan anak perkara nombor satu, tapi saya kerja demi kepuasan saya sebagai anak seni. Duit daripada suami tetap ada tetapi saya lebih puas hati apabila dapat berbelanja dengan hasil duit gaji sendiri," katanya yang kini sibuk dalam rangka promosi filem terbaharunya bertajuk Penanggal.
Sambil melahirkan rasa bangga kerana berpeluang terlibat dalam sebuah karya yang disifatkan berbaloi menjadi bahan tontonan penggemar filem itu, Fasha layak dipuji kerana tampil berdialog bahasa Arab sebagai Sharifah Zahrah dalam filem arahan Ellie Suriaty Omar itu. "Saya dedikasikan kesungguhan itu untuk Kak Ellie. Dia pengarah yang bersungguh-sungguh memastikan filem pertamanya mencapai tahap yang dimahukan. Setelah melihat sendiri hasilnya ketika sesi pratonton baru-baru ini, saya lega. Curiga "Memang ada beberapa babak lakonan saya yang dipotong atas faktor durasi, tapi saya sendiri rasa besar hati kerana diberi peluang untuk bersama-sama dalam filem seram itu," ucap Fasha tentang filem yang bakal ke pawagam 28 November nanti. Kami kembali bercanda tentang kehidupan sebagai wanita, isteri dan ibu yang sedang dijalaninya. Kisah Fasha dan Jejai pernah menggegarkan persada hiburan. Tidak hairanlah jika khalayak sangat maklum mengenai susur perjalanan yang pernah dilewati pasangan itu sebelum mereka bergelar suami isteri pada 27 April 2012. Lebih setahun mengenal erti hidup berkelamin, zaman berkasih masih segar mengulit hari-hari Fasha dan Jejai yang kini tambah bahagia dengan kehadiran Putra Rayfal Ramli, tujuh bulan. "Saya anggap fasa menjadi isteri dan ibu sebagai anugerah paling hebat yang pernah saya peroleh sebagai wanita. Ini semua macam magis buat saya. Saya serahkan seluruh hidup dan kepercayaan saya kepada kehidupan ini sekarang," katanya lunak saat diminta menterjemah kisah kehidupannya ketika ini. Kehidupan berumah tangga juga menjadikan Fasha seorang wanita yang lebih matang. Bicaranya konkrit sama seperti kepercayaan yang ditumpahkan buat si suami yang barangkali pernah meninggalkan skeptikal kepada umum.
"Apa yang telah berlalu, biarkan ia berlalu. Dalam hubungan saya dan Jejai, kami seolah-olah masih di alam berkasih-kasihan dahulu. Hubungan suami isteri tidak perlu terlalu dikongkong oleh perasaan curiga. "Saya letakkan kepercayaan saya terhadap Jejai begitu juga Jejai terhadap saya. Saya kena percaya dia, jika selalu ada perasaan curiga hubungan tidak akan menjadi enak," tutur Fasha faham persoalan yang masih berlegar di minda umum. Bercerita tentang mahligai yang mahu dibaja dengan limpah kasih sayang itu, Fasha tersenyum mengenangkan Jejai yang masih melayaninya tidak ubah seperti kekasih di alam percintaan. "Saya kenal Jejai sudah lama, dan sampai sekarang rasanya dia masih seperti seorang kekasih, status suami tidak mengubah dia menjadi seorang yang berlainan layanannya terhadap saya bahkan lebih baik. "Lebih setahun kahwin, rasanya kami masih dalam tempoh bulan madu," lentur Fasha tentang kebahagiaan yang sedang ditempuhi. Kembara pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan itu cukup berliku, cukup banyak kontroversi sudah ditelan dan ditepisnya sepanjang bergelar pelakon sejak berusia 17 tahun. Pada usia 29 tahun, Fasha yakin sepenuh hati bahawa disiplin ialah kata kunci kepada kesinambungan penerimaan khalayak terhadap dirinya. "Saya tidak pandai beri nasihat kepada artis baharu tetapi pengalaman banyak mengajar saya. Biarlah dikritik dan tidak habis-habis dengan cerita kontroversi, tetapi jangan sekali-kali kita ambil mudah soal disiplin. Jangan datang lambat atau tidak pegang pada janji, itu prinsip saya. "Seperkara lagi yang penting juga ialah hubungan dengan media. Soal kontroversi itu hal yang lain, tapi bagaimana kebijaksanaan seseorang artis menangani kontroversi itu yang paling penting. "Saya tak boleh ubah masa lalu tetapi syukurlah saya masih diterima sehingga hari ini," tutup Fasha.

'Saya Umpama Cuci Tahi Dalam Seniman' - Zed Zaidi

“Saya umpama mencuci najis,” demikian luah bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi yang terpaksa akur jawatannya telah gugur selepas Mahkamah Tinggi di sini Khamis lalu memutuskan semua ahli jawatankuasa persatuan berkenaan tidak sah. Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata, kesilapan yang dilakukan oleh pasukan pemimpin Seniman sebelumnya adalah satu perkara yang amat menyedihkan kerana ia turut mengheret kepimpinan terbaharu dalam kemelut tersebut sehingga peranan mereka dibatalkan. “Saya umpama mencuci tahi orang. Bila kita dah cuci (tahi) itu bersih-bersih, ia jadi (tahi) semula. Kami adalah mangsa keadaan kerana kesilapan pemimpin-pemimpin terdahulu. “Saya amat-amat sedih dengan keputusan mahkamah ini tetapi apa boleh buat. Saya terpaksa terima. Kami benar-benar teraniaya,” kata Zed Zaidi dalam satu pertemuan dengan kira-kira 50 ahli Seniman di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini pada Sabtu. Selain Zed Zaidi, pertemuan itu turut disertai beberapa bekas ahli jawatankuasa persatuan tersebut termasuklah bekas Setiausaha Kehormat, Zahrin Ishak. Pertemuan itu diaturkan oleh Setiausaha Kerja Seniman 1 dan 2, Raja Mohd Faizal Raja Mohamad Anuar dan Juniza Maslan yang mengambil alih tugas mengemudi persatuan buat sementara waktu. Zed berkata, semasa menjadi Presiden Seniman, pelbagai usaha telah dilakukannya termasuklah berhasrat mewujudkan kad diskaun 1Malaysia untuk golongan artis, insurans serta perumahan rakyat bagi golongan berkenaan.
Bagaimanapun usaha itu terbantut selepas beliau dan beberapa pemimpin lain telah gugur jawatan akibat arahan mahkamah. “Agenda saya dalam Seniman ini amat besar. Saya mahu meningkatkan darjat artis-artis yang sering dipandang rendah agar terus dihormati, tetapi saya tidak berjaya,” katanya dalam keadaan yang cukup hiba. Dalam pada itu Zahrin yang masih kekal jawatannya sebagai penasihat undang-undang persatuan itu berkata, walaupun tidak berpuas hati dengan beberapa perkara, pihaknya tidak berhasrat mencabar keputusan Mahkamah Tinggi sebaliknya menantikan pemilihan jawatankuasa baharu yang akan diuruskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam masa dua bulan bermula 21 November 2013. Katanya, mereka tidak mahu membazir kerana sesuatu perkara yang dibawa ke mahkamah akan memakan masa yang lama selain melibatkan kos yang tinggi. “Sesuatu kes akan memakan masa yang lama kadang-kadang sehingga dua tahun. Malah, berkemungkinan besar ia memerlukan kos yang tinggi, mungkin lebih besar daripada kos yang sepatutnya pihak defendan diarahkan bayar,” katanya. Ditanya pemberita sebagai penasihat undang-undang sejak era Harun Salim Bachik sebagai presiden, kenapa beliau gagal menasihati ahli-ahli Seniman agar tidak meneruskan mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke 14 kerana pemimpin ketika itu gagal mengesahkan minit mesyuarat sebelumnya Zahrin berkata, ia diadakan selepas mendapat mandat ahli-ahli. Katanya, majoriti ahli bersetuju untuk meneruskan AGM-14 walaupun Harun serta pemimpin-pemimpin yang lain memberi alasan tidak dapat membentangkan minit mesyuarat untuk disahkan kerana dokumen itu hilang selepas pejabat Seniman didakwa mereka telah dipecah masuk. “Ahli-ahli telah bersetuju untuk meneruskan AGM-14 bagi memilih kepimpinan baru maka sebab itulah mesyuarat berkenaan diteruskan juga dan Zed Zaidi dipilih sebagai presidennya. Kami tidak menyangka ia akan jadi seperti ini,” katanya. Terdahulu dalam sidang media berkenaan, Zed Zaidi masih mendapat sokongan kuat apabila sebahagian besar ahli-ahli yang hadir memberi kepercayaan untuknya memimpin persatuan berkenaan dalam AGM akan datang.
Sambil melaungkan kata-kata ‘hidup Zed Zaidi’ ahli-ahli Seniman itu antara lain memuji Zed Zaidi antara pemimpin yang cekap dalam menjalankan tugasnya membela nasib artis-artis di negara ini. Pada Khamis lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi di sini Rosilah Yop memutuskan apa-apa pemilihan ahli jawatankuasa Persatuan Seniman yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Ke-14 yang diadakan 26 Mei 2012 di Dataran Karyawan Finas, di sini, adalah terbatal dan tidak sah. Rosilah turut memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim (Harun Salim Bachik), Omar Kamarudin (Yusof Kelana) dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada Persatuan Seniman. Turut dinamakan sebagai defendan ialah Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Sean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab). Beliau juga turut memerintahkan ketujuh-tujuh defendan berkenaan membayar kos tindakan sebanyak RM60,000 kepada pihak plaintif. Pada 25 Januari lepas lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap persatuan itu termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke 14 persatuan berkenaan tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan dan beberapa perkara termasuk pemalsuan pindaan undang-undang. Lima artis veteran berkenaan yang dinamakan sebagai plaintif ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (Sahlan), Roslinda Buang, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani.

Adira terima cincin kekasih

MEMUAT NAIK gambar sebentuk cincin tersarung di jari manis awal minggu lalu di laman Instagram, penyanyi Siti Adira Suhaimi atau Adira akhirnya membuka mulut untuk berkongsi cerita. Biarpun selama ini sering menafikan hubungannya dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBB1M), Shahrul Nasrun Kamarudin, kenyataan Adira secara tidak langsung mengiakan hubungan cintanya bersama jejaka yang berasal dari Kelantan itu. Sebelum ini, baik Adira atau Shahrul Nasrun, masing-masing menyifatkan hubungan mereka sekadar kawan biasa dan tidak sampai ke peringkat bercinta. Namun, gosip hubungan cinta mereka semakin kencang diperkatakan apabila Adira berkunjung ke rumah keluarga Shahrul Nasrun di Kelantan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan Ogos lalu. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Adira yang ditemui pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 28 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam berhubung penjelasan mengenai cincin tersebut. Kosmo!: Adira ada memuat naik sekeping gambar menyarung sebentuk cincin di laman sosial Instagram, adakah itu cincin merisik atau bertunang? ADIRA: It is just a ring (Itu cuma sebentuk cincin). Bukan cincin merisik atau bertunang pun (ketawa). Ia merupakan hadiah sempena hari jadi saya yang jatuh pada 19 September. Pemberian itu pun kejutan selepas hari jadi saya. Kalau dirisik dalam masa terdekat, adakah Adira sudah bersedia? Saya tidak merancang ke tahap bertunang atau merisik dalam waktu terdekat, terus terang saya katakan saya masih belum bersedia. Untuk ke peringkat itu saya perlu berjaya dalam karier terlebih dahulu dan merealisasikan impian saya kerana banyak lagi yang masih belum tercapai. Sepanjang menjalinkan hubungan, adakah dia (Shahrul Nasrun) tidak mendesak Adira untuk mengikat tali pertunangan atau ke peringkat selanjutnya selain kekasih? Tidak. Dia memahami situasi saya dan tidak pernah mendesak tapi saya tidak tahu apa kata hatinya, tunggu masa saja. Apakah kualiti yang ada padanya (Shahrul Nasrun) yang membuatkan Adira terpikat? Dia seorang yang matang dan saya memerlukan seseorang yang boleh membimbing saya. Jodoh itu saya tidak tahu tapi saya cuba melakukan yang terbaik. Memandangkan Shahrul Nasrun hadir untuk memberikan sokongan pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 28 kali ini, adakah dia akan sentiasa hadir ke majlis yang membabitkan Adira selepas ini? Kami sebenarnya jarang keluar kerana masing-masing sibuk. Kalau hujung minggu pun apabila dia ada kelapangan, saya pula sibuk dengan persembahan. Jadi, masa untuk berjumpa sangat terhad dan dia pun tidak kerap menemani saya. Ini baru kali kedua dia menemani saya ke acara hiburan. Berbalik pada lagu Dewi Cinta yang gagal tersenarai antara enam lagu terbaik minggu kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 28 tahun ini, apakah komen Adira? Single ini dikeluarkan pada bulan September lalu, jadi mungkin masih tidak ramai yang menyedari akan lagu ini. Saya tidak meletakkan sebarang harapan pun tetapi Alhamdulillah sampai ke peringkat ini. Insya-Allah muzik video lagu ini akan ditayangkan tidak lama lagi.

Penyanyi Ella Buang Apendiks Disangka Hamil

Ratu rock Ella menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia sudah hamil sebaliknya mengalami radang apendiks dan telah menjalani rawatan apendisektomi. Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin, 46, berkata, dia telah melakukan apendisektomi iaitu pembedahan membuang apendiks kira-kira dua bulan lalu di Hospital Ampang Puteri di sini dan sedang dalam proses pemulihan. "Saya ada dengar juga orang kata saya sedang hamil, tetapi sebenarnya tidak. Tetapi saya menjalani pembedahan membuang apendiks baru-baru ini. Mungkin orang salah faham tentang perkara itu," katanya kepada mStar Online. Ella ditemui pada pertandingan akhir Ratu Rania di Studio 2, Astro Bukit Jalil di sini malam Rabu. Tambah Ella, bagaimanapun dia menyifatkan sangkaan beberapa pihak mengenai kehamilannya itu sekadar mengambil berat terhadapnya. Dalam pada itu, Ella tidak menolak dia masih berharap agar rumah tangganya dan suami, Azhar Ghazali segera dimeriahkan dengan kehadiran cahaya mata agar kehidupan berkeluarga menjadi lebih sempurna. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ella bakal muncul dengan album terbaharunya pada tahun depan yang kini masih dalam proses pembikinan. "Alhamdulillah, saya tidak sabar untuk menghadiahkan peminat-peminat dengan lagu terbaru. "Malah selepas pelancaran album tersebut, saya akan mengadakan konsert jelajah pula," ujarnya.

Bakal kahwin, Zain dan Che Ta habiskan RM200,000

KISAH percintaan mereka pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu. Kini, Zain dan pelakon jelita, Rozita Che Wan bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan Disember depan. Walaupun sebelum ini ada dakwaan yang mengatakan mereka bakal berkahwin pada tarikh 11.12.13, namun baik Zain mahupun kekasihnya itu menafikan hal tersebut. Ujar Zain, dia hanya akan memberitahu tarikh perkahwinannya kepada umum pada majlis sidang media yang bakal diadakan 25 November ini. Selain itu, ada juga kenyataan yang dibuat Zain mungkin tidak akan menyenangkan banyak pihak. Zain yang memegang watak Mr. Mid- dleton itu, ditemui pada majlis pra tayangan telefilem Oh! My Ganu bertempat di GSC, The Garden untuk mempromosi lakonan terbaharunya itu. Oh! My Ganu akan bersiaran pada 27 November ini pukul 9 malam di TVIQ (saluran 135 dan 610). Ikuti temu bual Kosmo! bersama Zain yang berkongsi kisah tentang persiapannya untuk bergelar suami. Kosmo!: Boleh ceritakan serba sedikit tentang persediaan perkahwinan anda dan Rozita Che Wan? ZAIN: Oleh kerana semakin hampir tarikhnya, jadi kebanyakan sudah hampir siap, cuma tinggal sedikit sahaja lagi. Sehubungan dengan itu, kami akan mengadakan satu sidang akhbar pada 25 November ini untuk membuat pengumuman tentang tarikh pernikahan kami. Pada majlis itu, kami akan menjawab soalan yang selama ini ditanya oleh semua. Diharap semua dapat bersabar.
Berapa peratuskah persiapan yang sudah anda buat menjelang hari tersebut? Lebih kurang 80 peratus dan bakinya 20 peratus lagi seperti pemilihan tarikh dan ada juga sedikit yang masih perlu dikemas kini lagi. Memang kalian tidak mahu mendedahkan lagi tarikh perkahwinan walaupun semakin hampir seperti yang dikatakan tadi? Memang belum lagi dan akan diberitahu kelak. Saya memang suka sebenarnya ramai yang membuat spekulasi tentang tarikh kahwin kami. Kami berdua juga memang benar-benar belum tetapkan sebarang tarikh kerana kami masih lagi mencari hari yang sesuai. Mungkin tempat semua kami boleh tetapkan, namun hanya ingin mencari tarikh yang sesuai bagi semua orang. Ada yang mendakwa persiapan perkahwinan anda mencecah sehingga RM200,000. Boleh komen? Ya, lebih kurang begitu kosnya. Bagi sebelah pihak saya, RM100,000 dan begitu juga Rozita. Jadi, apabila campurkan kedua jumlah itu, maka ia menjadi RM200,000. Ia termasuk hantaran, mas kahwin dan wang yang dikeluarkan untuk majlis tersebut. Lokasi masih sama seperti yang didengar iaitu bertempat di Shah Alam? Lokasi juga masih lagi tidak mahu didedahkan. Ada beberapa lokasi yang menjadi pilihan dan mungkin Shah Alam, Selangor salah satu daripadanya. Apa yang membuatkan anda sukar untuk memilih tarikh kahwin? Ini kerana kami masih lagi ingin mencari tarikh yang sesuai untuk semua orang. Oleh kerana Disember hampir tiba, ramai yang ingin pergi bercuti dan sebagainya. Jadi, kesemua perkara tersebut akan diambil kira, terutamanya keluarga kedua belah pihak. Kami ingin mereka semua hadir menjadi saksi hari bahagia kami berdua. Itu yang kami cuba untuk mencari yang terbaik.
Ada yang berkata, pada hari perkahwinan, kalian tidak mahu menjemput media. Adakah benar dakwaan tersebut? Bukan tidak mahu jemput media. Sebenarnya kami rasa ada hadnya yang kami perlu sediakan. Kami hanya menjemput wartawan sahaja, tidak jurugambar. Ini kerana, kami telah mengupah jurugambar peribadi dan akan memberikan gambar majlis tersebut sebaik majlis tamat. Boleh kongsikan tentang perasaan anda memandangkan tarikh perkahwinan yang semakin hampir? Saya sudah mula rasa debarannya dan persiapan kecil-kecil yang tinggal ini saya perlu pastikan ia baik. Memang ketika ini perasaan.

Nabil Ahmad Tukar Nombor Kereta Takut Jadi Sasaran Penjenayah

Pelawak Ahmad Nabil Ahmad, 30, mengambil keputusan untuk menukar nombor plat keretanya kerana bimbang menjadi sasaran penjenayah selepas kenderaannya itu dipecah masuk pada Isnin lalu. Nabil berkata, dia nekad berbuat demikian kerana ketika ini nombor plat kereta Mitshubishi Lanser miliknya itu menggunakan kombinasi huruf yang ada persamaan dengan namanya. "Ini merupakan pengalaman pertama apabila kereta saya dipecah masuk dan ia membuatkan saya risau apa yang bakal terjadi pada masa depan jika penjenayah atau sesiapa sahaja mengetahui ia adalah kereta saya kerana nombor pendaftarannya. “Tindakan itu juga bagi menjamin keselamatan saya dan keluarga," katanya kepada mStar Online. Nabil ditemui di Hotel Istana di sini pada Selasa sempena majlis pengumuman barisan artis yang bakal membuat persembahan dalam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) yang akan berlangsung pada 14 Disember depan. Dalam kejadian Isnin lalu, Nabil menyedari keretanya dipecah masuk oleh penjenayah selepas dia bersama isteri, Nazirah Ayub, 25, dan anak mereka Naira Mikayla yang berusia setahun selesai makan malam di sebuah restoran di Sungai Buloh, dekat sini. Kejadian itu disedari ketika Nabil hendak mengundurkan keretanya apabila dia melihat cermin belakang sebelah kanan keretanya pecah. Selain kad pengenalan, beg galas yang diisi baju sukan turut dilarikan penjenayah. Sementara itu, Nabil menyifatkan memiliki nombor plat kenderaan yang mempunyai persamaan dengan nama sendiri terutamanya bagi seseorang selebriti boleh mengundang bahaya tanpa sedar. Beritahunya, walaupun nombor itu dilihat unik dan glamor, tetapi ia lebih memudahkan individu yang berniat tidak baik untuk melakukan jenayah. "Saya nasihatkan buat para artis, walaupun seronok memiliki nombor plat seperti yang diinginkan, tetapi ia sebenarnya membahayakan. Lebih baik kita menggunakan nombor biasa sebagai langkah keselamatan," tegasnya.

Kes Dera Punca Faezah Elai Enggan Percaya Pembantu Rumah

Pelakon Faezah Elai tidak akan membiarkan anak kecilnya dijaga oleh pembantu rumah kerana bimbang terjadi kes penderaan atau pun dilarikan seperti yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini. Faezah, 31, berkata, dia sanggup meminta bantuan ibunya untuk menjaga anaknya, Dealova Heyrinna, yang kini berusia sembilan bulan setiap kali dia ke lokasi penggambaran. “Saya bukan nak kata tak percaya dengan pembantu rumah tetapi saya kena berhati-hati. Sekarang ini macam-macam hal boleh jadi walaupun pembantu rumah saya setakat ini tidak pernah timbulkan masalah,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin. Faezah yang berkahwin dengan pengarah drama Heykal Hanifah, 39, pada September tahun lalu turut mempunyai anak tiri hasil perkahwinan terdahulu Heykal iaituLuqman Hakim, 13, Sarah, 11, dan Luq Adam yang berusia tiga tahun. Faezah berkata, disebabkan anaknya masih kecil, dia tidak akan pastikan tidak berada lama di lokasi penggambaran dan akan meminta pulang ke rumah sebelum pukul 11 malam kerana bimbang akan wujud budaya ‘anak tidak kenal ibu-bapa’. Tambah wanita ini, dia tidak mahu anak-anaknya membesar tanpa kasih sayang dan perhatian keluarga kerana ia akan membuatkan tumbesaran mereka tidak seimbang. Dalam pada itu buat masa ini Faezah hanya akan menerima tawaran berlakon di bawah pengarahan suaminya sahaja agar mudah untuk mereka berbincang soal pengurusan masa agar boleh menjaga anak. “Saya hanya boleh terima tawaran berlakon untuk telefilem sahaja. Itu pun pukul 11 malam saya kena balik rumah. Sebab itu bila ada tawaran berlakon daripada produksi lain saya terpaksa tolak keran bimbang mereka tak boleh ikut masa saya. “Buat masa ini lebih mudah saya berlakon dalam produksi bawah arahan Heykal sendiri,” katanya. Jelas Faezah lagi, dia hanya boleh memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang lakonan selepas anaknya mencecah usia tiga atau empat tahun. Dalam perkembangan lain Faezah baharu sahaja selesai penggambaran telefilem Akhirnya Kau Mengeti untuk siaran TV Al Hijrah.

Anak Wajar Tahu Kisah Kontroversi Adi Putra

Pelakon Adi Putra sedia menjelaskan isu-isu kontroversi yang pernah membabitkan diri dia kepada anaknya iaitu Zara Adelia, 1 tahun, apabila kanak-kanak itu dewasa kelak. Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera, 32, berkata, dia tidak mahu anaknya membuat pelbagai andaian melalui berita yang disebar menerusi Internet selain mahu Zara Adelia bersedia menjawab persoalan masyakat di luar sana. "Sebelum dia (Zara) mendapat tahu sesuatu kontroversi mengenai diri saya, saya akan menerangkan dahulu kepadanya. Yalah... sekurang-kurangnya bila dia cari melalui ‘Google’ di Internet, tidaklah dia terkejut," katanya kepada mStar Online. Sebelum ini Adi pernah menimbulkan kontroversi selepas seorang lelaki membuat laporan polis selepas Adi dikatakan mengirimkan mesej dan gambar berunsur lucah kepada isterinya. Adi dikatakan berkenalan dengan wanita berusia 30 tahun itu menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp sejak 29 Julai lalu. Suami kepada wanita itu mengesan hubungan mereka selepas dia terbaca SMS (khidmat pesanan ringkas) ketika berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Skudai-Pontian, awal Ogos lalu sehingga mendorongnya membuat laporan polis. Bercerita mengenai perkembangan kes terbabit Adi berkata, dia masih menunggu jawapan daripada pihak polis dan berharap orang ramai tidak membuat kononnya dia menggunakan pihak berpengaruh untuk menyelesaikan kes berkenaan. "Saya tetap berpegang kepada janji di mana apabila konklusi kes itu keluar, saya akan kongsi kepada semua, tetapi setakat ini ia masih lagi dalam siasatan. "Cuma saya harap orang ramai tidak mempercayai kononnya saya menggunakan orang atasan untuk menyelesaikan kes tersebut. Bagi yang percaya terpulanglah, cuma saya percaya kebenaran akan muncul juga," tegasnya. Sementara itu, Adi yang bakal mempromosikan filem Balistik pada hujung bulan depan itu sedang mengusahakan perniagaan keperluan mandian jenama Hadaz di bawah syarikat miliknya iaitu Nur ADP Sdn Bhd. "Apa yang saya lihat, segala kontroversi yang timbul mengenai diri saya sedikit sebanyak memberi kesan positif dalam kerjaya, apatah lagi sekarang ini saya sedang mengembangkan perniagaan keperluan mandian Hadaz. "Alhamdulillah, perniagaan ini mendapat respons yang bagus kerana ia jarang diusahakan orang Melayu," ujarnya.

Cahaya Mata Ubah Sikap ‘Angin’ Farid Kamil

Pelakon Farid Kamil menyifatkan kehadiran anak sulungnya yang lahir pada 2 Julai lalu hasil perkongsian hidup dengan Diana Danielle telah memberikan banyak perubahan pada dirinya termasuklah perubahan sikap. Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 32, berkata, anak lelakinya itu telah berjaya melembutkan hatinya yang sebelum ini mudah naik angin selain menjadikannya seorang yang lebih matang. "Kehidupan saya sebagai seorang bapa benar-benar membuatkan kehidupan saya berbeza dan ia susah untuk digambarkan dengan kata-kata. "Saya tak pasti sama ada saya dah berubah atau tidak tetapi kehadiran anak saya itu membuatkan saya lebih matang berbanding sebelum ini sehinggakan David Teo (Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG )) juga berpendapat sedemikian.
“Anak akan buatkan saya tersenyum tenang walaupun ketika dilanda masalah," katanya kepada mStar Online. Pelakon filem Pe3 itu masih belum mendedahkan nama anaknya dan mempunyai perancangan khas untuk memperkenalkan bayi tersebut kepada umum menerusi sebuah program khas yang bakal diterbitkan oleh pihak Astro. Dalam pada itu, tambah Farid, dia bersama-sama isterinya Diana Danielle juga teruja untuk melihat anak mereka membesar di depan mata dan ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada zuriat itu walaupun sibuk dengan kerjaya lakonan. Dalam perkembangan terbaharu, Farid kini sibuk di set penggambaran bagi menjayakan filem Kitai, arahan Amiro Ghozali bersama barisan pelakon lain iaitu Shaheizy Sam dan Fezrul Khan. "Buat masa ini saya fokus untuk filem Kitai dahulu dan kemudian pihak MIG akan menerbitkan sebuah projek filem yang berbajet besar. "Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas mengenai perkara itu dengan lebih lanjut. Tunggu sahaja pelancarannya nanti," ujar Farid.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails