Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kepercayaan jangan didesak - Fasha

HATI wanitanya pernah berdetik, usai bergelar ibu, pastinya segala perhatian dan tumpuan industri glamor akan beralih menjauhi wajahnya. Namun, tumbuh melata atau memanjat junjung, sudah adat menjadi orang popular, setiap langkah yang diatur pesonanya tetap mencuri perhatian. Fasha Sandha barangkali satu nama yang sedang memasuki fasa sedemikian. Berkahwin dan sudahpun tujuh bulan menimang cahaya mata, tetapi dalam tempoh yang sama, karier seninya sedang menari atas tempo baharu. Ritmanya mungkin tidak serancak sewaktu bergerak solo tetapi kesinambungannya berhasil memecahkan semula ingatan orang. "Saya ingat selepas berkahwin, bersalin dan bergelar ibu, industri sudah boleh melupakan saya, rupa-rupanya tidak. Saya masih di sini dan boleh meneruskan kecintaan saya ini ikut kemampuan saya sendiri. "Lebih seronoknya, saya tidak mengejar banyak benda sebaliknya bekerja atas dasar minat mendalam saya terhadap bidang seni bukan atas tuntutan kewangan semata-mata," ujarnya yang boleh hidup selesa atas kestabilan kewangan suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai. Suami nombor satu Di samping menjadi juri tetap sebuah program realiti pencarian wartawan penyiaran sehingga pertengahan Disember nanti, Fasha juga bakal membintangi drama bersiri berjudul Miranda. Miranda akan disiarkan menerusi slot Samarinda dan akan memulakan penggambaran minggu hadapan. "Mulanya berat juga hati apabila terpaksa meninggalkan anak kecil yang sudah pandai hendak bermain di rumah bersama pembantu dan keluarga, sedangkan saya kena keluar bekerja. "Tapi kena buat juga, sebab saya tak mahu sekadar menjadi 'mem' dalam rumah. Saya suka bekerja, masa hamil pun saya akan pastikan salun saya terurus dengan baik. "Sekarang, memanglah suami dan anak perkara nombor satu, tapi saya kerja demi kepuasan saya sebagai anak seni. Duit daripada suami tetap ada tetapi saya lebih puas hati apabila dapat berbelanja dengan hasil duit gaji sendiri," katanya yang kini sibuk dalam rangka promosi filem terbaharunya bertajuk Penanggal.
Sambil melahirkan rasa bangga kerana berpeluang terlibat dalam sebuah karya yang disifatkan berbaloi menjadi bahan tontonan penggemar filem itu, Fasha layak dipuji kerana tampil berdialog bahasa Arab sebagai Sharifah Zahrah dalam filem arahan Ellie Suriaty Omar itu. "Saya dedikasikan kesungguhan itu untuk Kak Ellie. Dia pengarah yang bersungguh-sungguh memastikan filem pertamanya mencapai tahap yang dimahukan. Setelah melihat sendiri hasilnya ketika sesi pratonton baru-baru ini, saya lega. Curiga "Memang ada beberapa babak lakonan saya yang dipotong atas faktor durasi, tapi saya sendiri rasa besar hati kerana diberi peluang untuk bersama-sama dalam filem seram itu," ucap Fasha tentang filem yang bakal ke pawagam 28 November nanti. Kami kembali bercanda tentang kehidupan sebagai wanita, isteri dan ibu yang sedang dijalaninya. Kisah Fasha dan Jejai pernah menggegarkan persada hiburan. Tidak hairanlah jika khalayak sangat maklum mengenai susur perjalanan yang pernah dilewati pasangan itu sebelum mereka bergelar suami isteri pada 27 April 2012. Lebih setahun mengenal erti hidup berkelamin, zaman berkasih masih segar mengulit hari-hari Fasha dan Jejai yang kini tambah bahagia dengan kehadiran Putra Rayfal Ramli, tujuh bulan. "Saya anggap fasa menjadi isteri dan ibu sebagai anugerah paling hebat yang pernah saya peroleh sebagai wanita. Ini semua macam magis buat saya. Saya serahkan seluruh hidup dan kepercayaan saya kepada kehidupan ini sekarang," katanya lunak saat diminta menterjemah kisah kehidupannya ketika ini. Kehidupan berumah tangga juga menjadikan Fasha seorang wanita yang lebih matang. Bicaranya konkrit sama seperti kepercayaan yang ditumpahkan buat si suami yang barangkali pernah meninggalkan skeptikal kepada umum.
"Apa yang telah berlalu, biarkan ia berlalu. Dalam hubungan saya dan Jejai, kami seolah-olah masih di alam berkasih-kasihan dahulu. Hubungan suami isteri tidak perlu terlalu dikongkong oleh perasaan curiga. "Saya letakkan kepercayaan saya terhadap Jejai begitu juga Jejai terhadap saya. Saya kena percaya dia, jika selalu ada perasaan curiga hubungan tidak akan menjadi enak," tutur Fasha faham persoalan yang masih berlegar di minda umum. Bercerita tentang mahligai yang mahu dibaja dengan limpah kasih sayang itu, Fasha tersenyum mengenangkan Jejai yang masih melayaninya tidak ubah seperti kekasih di alam percintaan. "Saya kenal Jejai sudah lama, dan sampai sekarang rasanya dia masih seperti seorang kekasih, status suami tidak mengubah dia menjadi seorang yang berlainan layanannya terhadap saya bahkan lebih baik. "Lebih setahun kahwin, rasanya kami masih dalam tempoh bulan madu," lentur Fasha tentang kebahagiaan yang sedang ditempuhi. Kembara pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan itu cukup berliku, cukup banyak kontroversi sudah ditelan dan ditepisnya sepanjang bergelar pelakon sejak berusia 17 tahun. Pada usia 29 tahun, Fasha yakin sepenuh hati bahawa disiplin ialah kata kunci kepada kesinambungan penerimaan khalayak terhadap dirinya. "Saya tidak pandai beri nasihat kepada artis baharu tetapi pengalaman banyak mengajar saya. Biarlah dikritik dan tidak habis-habis dengan cerita kontroversi, tetapi jangan sekali-kali kita ambil mudah soal disiplin. Jangan datang lambat atau tidak pegang pada janji, itu prinsip saya. "Seperkara lagi yang penting juga ialah hubungan dengan media. Soal kontroversi itu hal yang lain, tapi bagaimana kebijaksanaan seseorang artis menangani kontroversi itu yang paling penting. "Saya tak boleh ubah masa lalu tetapi syukurlah saya masih diterima sehingga hari ini," tutup Fasha.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails