Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Demi Johan, Lana Nordin sedia untuk berhijab?

Pelakon, Lana Nordin, 34, bakal mengubah penampilan diri daripada seorang selebriti yang selalu mengenakan pakaian seksi untuk menjadi seorang wanita yang bertudung. Menurut sumber, keputusan itu diambil oleh Lana kerana cintanya kepada kekasih hati, Johan As'ari, 27. "Dia (Lana) bakal berhijab kerana tidak lama lagi akan berkahwin dengan Johan. Keinginan untuk berhijrah juga memang pernah dimaklumkan oleh Lana sendiri kepada saya sebelum ini sepanjang berkenalan dengan Johan. "Katanya kepada saya, kalau boleh, biarlah dia bertudung kerana dia bakal berkahwin. Lagipun, Lana menyifatkan perkahwinannya itu bukan perkara main-main. Itu adalah serius!" jelas sumber itu kepada Utusan Online di sini hari ini. Semalam, Johan sebelum ini dikaitkan dengan Shila Amzah meluahkan keinginannya untuk menyunting Lana sebagai isteri setelah terpikat dengan kelembutan pelakon tersebut. Dalam pada itu, tambah sumber, Lana juga telah menyatakan hasrat untuk memakai pakaian muslimah ketika menghadiri sebuah majlis penganugerahan berprestij pada tahun depan. - UTUSAN ONLINE

Lana Nordin Nafi Guna Ilmu Hitam Pikat Johan As'ari

Pelakon Lana Nordin meluahkan rasa sedih apabila dituduh menggunakan ilmu hitam untuk memikat aktor Johan As'ari gara-gara aktor tersebut telah melamarnya untuk dijadikan sebagai isteri dalam tempoh masa tiga hari perkenalan. Lana, atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin, 33, berkata, dia terkejut apabila dituduh sebegitu kerana dirinya bukanlah seorang pengamal ilmu hitam sebaliknya menyifatkan lamaran Johan, 27, itu adalah jodoh yang ditentukan Allah S.W.T. "Susah untuk terangkan situasi ini, saya anggap perkenalan dalam tempoh tiga hari ini dan kemudian terus dilamar dianggap sebagai pertemuan baik antara saya dan Johan. "Ini kerana saya mahu seorang lelaki yang menerima saya seadanya dan kemudian membimbing saya mengubah diri ke arah kebaikan. Terkejut juga apabila orang anggap saya gunakan ilmu hitam terhadap Johan. Itu adalah tuduhan yang tidak masuk akal," katanya. Menerusi sebuah laporan akhbar pada Khamis lalu, Johan yang sebelum ini dianggap menjalinkan hubungan mesra dengan penyanyi Shila Amzah dilaporkan telah melamar Lana untuk dijadikan sebagai isterinya selepas tiga hari berjumpa. Pasangan itu bertemu ketika menjayakan sebuah program pada 18 Oktober 2013 lalu dan tiga hari kemudian, Johan terus meluahkan isi hati dan hasrat beliau untuk memperisterikan aktres seksi itu. Pada laporan tersebut, Johan berkata, dia percaya Lana adalah jodohnya yang dimohon ketika mengerjakan umrah pada April lalu. Dalam pada itu, Lana mengakui ibu kepada Johan yang dikenali sebagai Datin Firdaus masih belum menerimanya sepenuh hati dan percaya, perubahan diri yang dilakukan sedikit demi sedikit akan melembutkan hati wanita tersebut. Sementara itu, Johan pula berkata, dia percaya, perubahan Lana untuk menjadi seorang Islam yang baik pasti akan membuatkan ibunya menerima wanita yang dicintai itu.

Shaheizy Sam Akur Diri Semakin Kurang Popular

Pelakon Shaheizy Sam mengakui namanya sedikit tenggelam sejak kebelakangan ini namun terpaksa akur dengan proses jatuh bangun kehidupan seorang selebriti. Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 31, berkata, walaupun pernah memenangi gelaran Artis Paling Popular Anugerah Bintang Popular 2012 pada April lalu, ini tidak bermakna namanya akan kekal popular sepanjang masa. "Benda (populariti) ini kita tahu daripada dulu lagi bahawa setiap yang naik akan turun dan seseorang yang berada di puncak tidak akan kekal di atas selamanya. "Tetapi saya terima perkara itu dengan hati yang terbuka. Semestinya ada jalan lain untuk mengekalkan populariti agar tidak terlalu jatuh," katanya. Sehubungan itu tambah Sam, dia akan mengambil apa saja peluang dalam setiap tawaran lakonan yang diterima agar dapat mengekalkan momentum kerjayanya. Dalam pada itu dia juga menjadikan idolanya iaitu Datuk Rosyam Nor sebagai contoh dan rujukan dalam mengekalkan nama dalam industri hiburan tempatan untuk tempoh masa yang lama. "Kalau dahulu sebelum dikenali ramai, saya selalu tertanya-tanya kenapa bakat saya susah mendapat perhatian walaupun sudah 10 tahun dalam industri. "Tetapi lama-kelamaan, saya faham apabila melihat industri sebagai sebuah perniagaan hiburan yang juga memerlukan strategi pemasaran. Itu yang akan cuba saya lakukan," ujarnya. Sementara itu, Sam yang telah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi filem SAM pada Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) Sabtu lalu itu akan muncul dengan sebuah filem terbaharu berjudul Manisnya Cinta Di Cappadoccia arahan Bernard Chauly.

Paul Walker maut nahas jalan raya

Pelakon filem Fast & Furious, Paul Walker dan seorang rakannya, Roger Rodas maut dalam satu kemalangan di Hercules Street berhampiran Valencia, California di sini, semalam. Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, Walker, 40, menaiki sebuah kereta jenis Porsche GT yang dipandu Rodas ketika dalam perjalanan ke pameran kereta amal anjuran pertubuhannya, Reach Out Worldwide bagi membantu mangsa Taufan Haiyan di Filipina. Kenderaan yang dipandu bekas pemandu lumba kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebatang tiang telefon dan pokok sebelum terbakar. Menurut polis Los Angeles, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipandu laju. Kematian Walker turut disahkan pengurusnya, Ame Van Iden. "Dukacita kami maklumkan bahawa Paul Walker telah meninggal dunia dalam kemalangan kereta semasa dalam perjalanan menghadiri acara amal untuk organisasi Reach Out Worlwide hari ini. "Dia adalah penumpang di dalam kereta milik rakannya itu dan kedua-duanya terbunuh. Berita ini amat mengejutkan. Doakan ahli keluarga dan rakan-rakan Walker supaya dapat mengharungi masa sukar ini," kata Iden di Facebooknya. Sementara itu, beberapa saksi kemalangan maut tersebut telah memuat naik video berkenaan di laman web YouTube yang menunjukkan pasukan kecemasan berada di tempat kejadian. Walker yang memegang watak sebagai Brian O'Conner dalam filem Fast & Furious, meninggalkan seorang anak perempuan, Meadow Rain, 15. Kematian Walker membawa kegusaran kepada pengarah filem Fast & Furious 7, James Wan berikutan filem tersebut masih lagi dalam proses penggambaran dan dijangka akan ditayangkan pada 11 Julai tahun depan. Fast & Furious 6 sebelum ini diarahkan oleh Justin Lim dan tugas mengarah filem Fast & Furious 7 kali ini diberikan kepada Wan seorang warga Australia yang dilahirkan di Kuching, Sarawak. - AGENSI

Rossa Tidak Ajar Anak Hidup Mewah

Penyanyi Indonesia Datuk Rossa tidak gemar memanjakan anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan untuk hidup dalam suasana kemewahan walaupun beliau berkemampuan berbuat demikian. Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 35, berkata, dia juga tidak pernah membeli mainan mahal untuk Rizky, 7, kerana bimbang anaknya itu tidak akan faham erti kesusahan apabila besar kelak. "Walaupun dia masih kecil, tetapi saya tidak senangkan dia dengan membeli barang-barang mewah. Setakat ini barang paling mahal yang saya belikan ialah iPod jenis biasa untuk dia mendengar lagu. "Malah telefon bimbit untuk memudahkan saya menghubunginya saya berikan kepada pembantu rumah untuk dijaga," katanya. Rossa ditemui pada pratonton drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Hotel Best Western Premier Dua Sentral di sini pada Khamis.
Bagaimanapun kata Rossa dia tidak menolak kadang kala Rizky berasa keliru apabila melihat kehidupan glamournya sebagai selebriti. Malah katanya, anak lelakinya itu sering bertanya dengannya mengenai layanan istimewa diberikan kepadanya tidak seperti mana ketika berada di rumah. "Pernah sekali ketika menghantarnya ke sekolah, dia bersama bekas suami saya, Yoyo perlu beratur panjang dan dengan pantas dia meminta ayahnya potong barisan dan berkata 'kitakan artis'. "Masa itu Yoyo berasa malu takut didengari orang sekeliling tetapi saya lihat dia semakin faham erti bersikap sederhana," katanya. Sementara itu, menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Rossa bersama penyanyi Hafiz berduet bagi lagu runut bunyi drama berkenaan berjudul Salahkah. Bukan Kerana Aku Tak Cinta bakal disiarkan pada setiap Isnin hingga Rabu bermula 9 Disember depan di Astro Mustika HD (saluran 134).

Ibu Shamshul Ghau Ghau, Bapa Misha Omar Meninggal Dunia

Ibu kepada pelawak Shamshul Ghau Ghau, Rokiah Ibrahim, 91, meninggal dunia pada pukul 12.30 malam Jumaat kerana sakit tua. Shamshul atau nama sebenar Shamsul Azahar Aliddin, 45, berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kubu Gajah, Selama, Perak. "Arwah sudah lama mengalami sakit tua tapi sejak dua minggu kebelakangan ini sahaja sakit dia agak teruk. "Arwah tidak mahu makan sehingga malam tadi menghembuskan nafas terakhir di rumah kakak saya di Tanjung Malim, Perak," ujarnya. Tambah Shamsul, dia dan adik-beradik yang lain menerima pemergian tersebut dengan hati yang tenang. "Saya dan keluarga masih lagi dalam perjalanan pulang, InsyaAllah jenazah akan dikebumikan selepas Asar nanti, "Pesanan terakhir arwah seperti biasa ialah menjaga keluarga dan ibadah dengan baik," katanya.
Sementara itu, bapa kepada penyanyi Misha Omar, Omar Ismail, meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi tadi. Misha atau nama sebenarnya, Samiha @ Aisah Omar, 31, menulis di laman twitter berkata jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pantai Irama, Bachok, Kelantan pada pukul 12.30 tengah hari Sabtu. "Alhamdulillah jenazah sudah selamat dikebumikan, terima kasih atas ucapan takziah daripada sahabat semua," tulisnya.

'Fizz Fairuz Tarik Diri, Bukan Kami Singkir' - TV3

TV3 menepis dakwaan stesen televisyen itu telah menyingkirkan pelakon Fizz Fairuz dalam Liga Lawak Superstar sebaliknya pelakon itu yang memohon untuk menarik diri. TV3 dalam satu kenyataan yang di e-mel kepada mStar Online pada Khamis berkata, Fizz berbuat demikian kerana dia tidak dapat memberi komitmen sepenuh masa kepada program tersebut. "Semasa pihak kami memberi tawaran kepada Fizz untuk menyertai LLS, segala informasi mengenai program termasuklah tarikh jadual program telah diterangkan oleh pihak produksi kepadanya dengan jelas. "Jadi, apabila dia bersetuju menjadi salah seorang peserta LLS, pihak kami menganggap beliau sudah bersedia memberi 100 peratus komitmen terhadap program ini daripada mula sehingga berakhirnya LLS musim pertama," kata kenyataan media tersebut. Pada siaran langsung LLS Ahad lalu, pihak TV3 mengumumkan Fizz yang merupakan ahli kumpulan Apa Kasih Toq (AKT) bersama dengan Kamal Adli dan Didie Alias telah menarik diri daripada menyertai program tersebut kerana mempunyai masalah tertentu. Bagaimanapun pada hari sama, Fizz mengeluarkan status di Twitter miliknya mengatakan dia sebenarnya disingkirkan oleh pihak stesen televisyen itu. mStar Online pada Khamis kemudian melaporkan Kamal terkilan apabila mendapati tindakan Fizz itu disebabkan dia mahu ke United Kingdom bersama syarikat mutiara, Rafflesia bagi menyaksikan perlawanan Liga Inggeris antara kelab Cardiff City menentang Manchester United (MU) pada 24 November lalu. Turut menyertai rombongan itu ialah Fizo Omar, Fahrin Ahmad dan Iqram Dinzly. Sementara itu, menurut kenyataan itu lagi, menurut perjanjiannya jika salah seorang peserta dalam sesebuah kumpulan tidak dapat memberi komitmen pada jadual yang diberikan, kesemua ahli kumpulan hendaklah menarik diri daripada program tersebut. Bagaimanapun dalam kes ini pihak TV3 boleh bertolak ansur dengan memberi peluang kepada Didie dan Kamal meneruskan perjuangan dengan mencari ahli baharu menggantikan Fizz dan mereka memilih Syafiq Kyle. "Untuk bersikap adil, pihak kami memberi peluang kepada Didie dan Kamal untuk meneruskan perjuangan mereka dan turut diberi pilihan sama ada mereka mahu terus kekal berdua atau mereka boleh memilih ahli baru daripada kalangan peserta yang sudah tersingkir awal. "Selepas membuat perbincangan, Didie dan Kamal membuat keputusan untuk mengambil Syafiq Kyle sebagai pengganti kerana merasakan pelakon itu mempunyai potensi dalam membantu kumpulan AKT meneruskan pertandingan hingga ke peringkat akhir," katanya.

Sharnaaz Dilarang Bersara, Buat Keputusan Tergesa-Gesa

Pelakon Sharnaaz Ahmad berkata, keputusannya untuk bersara dalam dunia lakonan mendapat bantahan ramai terutamanya pengarah dan penerbit drama tempatan. Menurut Sharnaaz, antara individu yang menghubunginya termasuklah pengarah Shirin Khuzaimi, Michael Ang, Bade Azmi dan penerbit Sheila Rusly yang menasihatinya agar berfikir dahulu sebelum membuat keputusan meninggalkan industri seni tempatan. "Selepas membuat kenyataan ingin bersara, saya tidak sangka ramai yang memberi pelbagai respons dan ramai juga penggiat seni menghubungi saya dan memberi pelbagai nasihat. "Mereka kata industri seni kita sedang tenat dan memerlukan pelakon yang mempunyai ideologi dan pembawaan tersendiri. Dan kerana itu, mereka meminta saya untuk fikir betul-betul sebelum membuat keputusan," katanya. Sharnaaz ditemui pada pratonton drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Hotel Best Western Premier Dua Sentral di sini pada Khamis. Pada Isnin lalu, Sharnaaz menerusi laporan sebuah akhbar menyatakan ingin bersara daripada dunia lakonan dan kembali semula bekerja di bidang hartanah atau industri minyak dan gas selepas berlakon Bukan Kerana Aku Tak Cinta. Keputusan itu dibuat selepas dia berasa tertekan dengan pelbagai kontroversi yang membabitkannya selama ini. Bagaimanapun tambah Sharnaaz, dia mengakui kenyataannya itu bersifat tergesa-gesa kerana dia lupa bahawa jadual lakonannya sudah pun disusun sehingga Jun tahun depan. "Saya lupa pula yang saya dah berjanji secara lisan dengan beberapa syarikat produksi untuk bekerjasama dalam beberapa drama. "Memandangkan saya sudah berjanji, maka saya akan siapkan kesemua kerja dan kemudian baru berfikir semula dengan niat mahu bersara itu. Tetapi jujurnya, saya memang dah nekad," ujarnya.

Syazwan Zulkifly Mengaku Silap Timbulkan Masalah

Pelakon Syazwan Zulkifly menjelaskan kegagalannya menjayakan sebuah drama terbitan Primeworks Studio baru-baru ini adalah disebabkan kesilapannya dalam menyusun jadual kerja. Syazwan, 26, berkata, dia terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir apabila menyedari tarikh penggambaran tersebut bertindan dengan penggambaran drama yang sedang dijalankan di luar negara. "Saya tidak mempunyai pengurus peribadi, jadi jadual kerja, saya atur sendiri dan hanya ingat di kepala, bila saya sedar tarikh penggambaran tersebut bertindih dengan tarikh penggambaran telefilem Suamiku Encik Perfect 10 di London. "Saya mengaku ia terjadi kerana kesilapan saya dan saya sudah minta maaf kepada pihak produksi tersebut. Saya tahu sukar untuk mencari pengganti pada saat-saat akhir," katanya kepada mStar Online. Syazwan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang salah faham di antara dia dengan pihak produksi apabila dia dikatakan menarik diri pada saat-saat akhir penggambaran drama Terukir Di Bintang terbitan Primeworks, anak syarikat TV3. Syazwan dikatakan menarik diri semata-mata untuk menjayakan penggambaran di London dengan sebuah produksi lain. "Saya tidak boleh tarik diri untuk ke London kerana penggambaran sudah dilakukan separuh di Malaysia. Lagi pula drama Terukir Di Bintang itu belum mula penggambaran," katanya. Bagaimanapun, Syazwan berkata, dia kesal dengan perkara tersebut dan sudah meminta maaf dengan pihak yang terlibat. "Saya kesal sangat kesal dengan kesilapan itu, namun Alhamdulillah semuanya sudah selesai," katanya.

Jimmy kahwin atau tidak?

PADA bulan Jun lalu, di sebuah akhbar tempatan ada tersiar gosip mengatakan pengacara dan penyampai radio kontroversi, Jimmy Shanley yang dikatakan sudah berkahwin dengan seorang janda beranak satu. Ramai yang ingin tahu kesahihan perkahwinan duda kepada anak jutawan kosmetik, Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy itu. Ini kerana tiada pengakuan yang dibuat oleh Jimmy biarpun diasak dengan pertanyaan mengenai perkahwinannya itu. Bagaimanapun, teka-teki mengenai status perkahwinan Jimmy bakal terjawab apabila dia mengakui akan mengadakan satu sidang akhbar tidak lama lagi. Namun, Jimmy sudi untuk berkongsi serba sedikit mengenai wanita yang rela menerima dirinya seadanya itu kepada Kosmo! ketika dia ditemui pada majlis pelancaran stesen radio baharu Ultra FM di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini. Selain bercerita mengenai hal peribadinya, bekas pengacara program Trek Selebriti itu juga meluahkan perasaan mengenai gandingannya bersama pelawak Mamat Sepah dalam segmen Ultra 610 untuk stesen radio terbaharu berkenaan. Kosmo!: Sebelum ini ada yang mendakwa Jimmy sudah berkahwin semula dan ikut ceritanya, dengan seorang janda. Benarkah? JIMMY: Cerita kahwin itu bukan datang dari mulut saya. Apa yang pasti, saya tidak akan sesekali berkahwin di Siam. Jadi, apakah status Jimmy sekarang? Berkahwin atau masih duda? Saya akan adakan satu sidang akhbar tidak lama lagi bagi memperkenalkan dia serta memberitahu segalanya. Buat masa ini, saya mahu selesaikan dulu kes mahkamah dengan bekas isteri. Kes mahkamah apakah yang dimaksudkan Jimmy itu? Pada 12 Disember ini, saya akan hadir ke mahkamah ekoran tuntutan bekas isteri yang mahukan hak penjagaan sepenuhnya ke atas anak kami, Zahrah Rania, 2. Sebelum ini, saya dapat kebenaran mahkamah untuk bersama anak selama tiga hari dua malam setiap minggu. Bagaimanapun, dia (bekas isteri) mahu hak penjagaan sepenuhnya. Apakah perasaan Jimmy bila bekas isteri bertindak sedemikian? Saya kecewa dengan apa yang berlaku. Sebelum ini lagi kata mahu bagi anak beraya dengan saya tetapi tidak bagi. Sekarang, mahu tuntut sepenuhnya pula hak penjagaan anak. Banyak sangat isu yang cuba dibangkitkannya tetapi saya tidak akan mengalah dan mahu mempertahankan hak penjagaan anak ke atas saya. Adakah Jimmy sedih dengan apa yang terjadi? Saya anggap apa yang berlaku ke atas kami adalah salah saya sendiri. Apa yang boleh Jimmy perbaiki dengan kesilapan lalu itu dan praktikkan dalam perkahwinan selepas ini? Saya akan lebih menghargai pasangan dan bersikap lebih sabar berbanding dahulu. Saya juga akan cuba memahami kehendak pasangan. Selepas ini, saya tiada masalah kalau dia ingin keluar bersama teman. Asalkan dia tidak melanggar batas-batas seorang isteri dan agamanya. Boleh ceritakan mengenai wanita yang berjaya mencuri hati Jimmy itu? Dia seorang yang bertudung dan sangat memahami saya. Dia juga sanggup terima perkara yang terjadi dalam hidup saya. Beralih pada soalan lain, boleh kongsikan mengenai gandingan dengan Mamat dalam stesen radio baharu Ultra FM? Saya tiada masalah kerja dengan orang tetapi mungkin orang lain yang akan ada masalah bekerja dengan saya. Sebabnya, saya seorang yang tegas dan berdedikasi dalam bekerja. Saya tidak boleh terima alasan orang yang ingin cuti lama. Saya juga lebih suka berbual mengenai isu semasa berbanding hiburan. Esok (hari ini) adalah hari pertama kami bakal ke udara dalam segmen Ultra 610 bermula pukul 6 hingga 10 pagi di 101.3 FM. Kalau boleh saya tidak mahu beri tekanan kepada Mamat. Bagi dia tempoh sebulan untuk mencari keserasian bersama saya. Saya tidak kisah dia merapu asalkan ada isi dan maklumat yang cuba disampaikannya. Selain menjadi penyampai radio, bagaimana pula dengan bidang pengacaraan? Saya masih mengacarakan program Fun Dance setiap hari Sabtu di TV2.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails