Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Amir (Raja Lawak) Pilih 'I', Jual Sabun Sebelum Kahwin

Peserta Raja Lawak musim ke 3 (RL3) iaitu Amir membuat pengakuan hatinya sudah terbuka dan berhasrat untuk berkahwin dengan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai ‘I’ selepas hampir enam bulan berkenalan. Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 26, berkata, perasaan cinta itu mula berputik selepas dia melakukan solat sunat istikharah bagi mengetahui sama ada wanita berkenaan sesuai untuknya ataupun tidak. “Alhamdulillah... dalam solat yang saya lakukan, saya terbayang wajah dia dan akhirnya saya membuat keputusan memilihnya sebagai cinta saya walaupun sebelum ini saya serik untuk berkawan dengan wanita.
“Lagipun I amat baik dan dia pandai menjaga hati saya,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa. Menerusi laporan mStar Online pada 11 Februari lalu, Amir berkata fikirannya masih keliru untuk membuat pilihan dua orang wanita yang dikenalinya menerusi people nearby pada aplikasi laman sosial WeChat. Sebelum itu Amir mendakwa pernah dikecewakan lima orang wanita termasuk seornag jururawat apabila mereka bertindak mengambil kesempatan terhadap popularitinya sebagai seorang artis. Mengenai cinta terbaharunya, Amir telah menemui keluarga wanita berusia 20 tahun itu yang tinggal di Cheras, dekat sini bagi mendapat restu. Malah Amir akan membuat kunjungan kali kedua untuk meluahkan hasratnya yang sebenar pada munggu hadapan sebaik sahaja selesai penggambaran telefilem Puntianak Teng Teng terbitan Zeel Productions di Perlis. “Keluarga saya dan keluarga kekasih saya itu sudah tahu yang kami berkawan secara serius tetapi saya belum memberitahu mereka secara rasmi lagi. Insya-Allah saya akan melakukannya secepat mungkin,” katanya. Tambah Amir, dia merancang untuk menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan dan berharap agar I ikhlas berkawan tidak seperti wanita yang dikenalinya sebelum ini.
Dalam pada itu Amir berkata, selain berlakon dia juga sibuk mencari pendapatan tambahan dengan menjual sabun pencuci (detergen) bagi kawasan Kuala Lumpur dan Selangor yang dilakukannya sejak sebulan lalu. Perniagaan itu mendapat sambutan menggalakkan khususnya bagi pengusaha dobi, kedai makan dan juga orang perseorangan. “Saya jual sabun itu dengan harga RM35 bagi setiap botol yang beratnya 10 kilogram. Menariknya, saya sendiri akan hantar sabun-sabun itu ke rumah pelanggan saya tak mengira waktu walaupun sudah pukul 2 pagi,” katanya. Amir berharap dengan adanya pendapatan lebih itu, niatnya untuk berumah tangga dengan I akan dipermudahkan. Orang ramai yang ingin mencuba sabun pencuci bagi menyokong perniagaan Amir ini bolehlah menghubungi rakan kongsinya iaitu Azrai di talian 012-6991164.

Misha Omar Sedih Bakal Berpisah Dengan Kakak

Ketika sedang menghitung hari untuk bergelar seorang isteri, penyanyi Misha Omar mula berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan kakaknya, Mimie yang menguruskan kerjaya seninya selama ini. Misha atau nama sebenarnya, Samihah Omar, 32, berkata, selain menguruskan kerjaya nyanyian, Mimie juga memanjakannya seolah-olah dia masih lagi seorang kanak-kanak kecil. "Selain rapat sebagai adik-beradik, Mimie memanjakan saya dalam semua hal termasuklah kerja-kerja mengemas rumah dan memasak, semuanya dia yang buat. “Apabila bercerita mengenai perkahwinan saya, kami menangis kerana kami tidak mungkin akan duduk sebumbung seperti biasa," katanya kepada mStar Online. Misha ditemui pada sidang media mengumumkan tarikh perkahwinannya dengan juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Firos Ezzwan Rossly, 32, di Holy Smoke Cafe di sini pada Sabtu. Pasangan itu memilih 2 Mei depan untuk melangsungkan pernikahan yang akan diadakan Hotel Renaissanse Kota Bharu, Kelantan. Akad nikah akan diadakan pada sebelah pagi sementara majlis resepsi pula diadakan di tempat yang sama pada sebelah malam. Dalam pada itu Misha berkata, selepas berkahwin dia akan tinggal bersama kakaknya beberapa bulan sebelum berpindah ke kediaman baharu. Malah dia juga mula mempelajari cara-cara menguruskan rumah tangga dan memasak daripada Mimie bagi memudahkannya menjalankan tanggung jawab sebagai seorang isteri. Sementara itu, Misha turut berasa sedih kerana anak angkatnya iaitu Muhammad Adam Emir, 8, juga bakal berpisah dengan anak angkat kakaknya, Arissa, 7, yang mana kedua-dua mereka begitu rapat. "Mereka sangat rapat dan apabila mendapat tahu akan berpisah selepas saya berkahwin, kedua-duanya bersedih. "Tetapi Adam memberi kata-kata positif kepada Kyra yang mereka masih lagi boleh berjumpa, cuma tidaklah kerap seperti biasa. Sebak pula dibuatnya melihat gelagat masing-masing," ujarnya.

Liyana Jasmay Amalkan Yoga, Mahu Jaga Anak Bagai Puteri

Penyanyi Liyana Jasmay mengamalkan senaman yoga sebagai persediaan sebelum bersalin yang dijangka pada minggu pertama bulan Mei ini. Liyana, 26, berkata, senaman itu telah disarankan oleh doktor bagi memudahkannya melalui proses kelahiran. "Saya telah diminta untuk bersenam yoga agar memudahkan ketika proses kelahiran. "Malah saya turut mengamalkan petua memakan buah kurma serta minum air zam-zam. Risau juga macam mana keadaan saya nanti. Tetapi saya hanya mampu berdoa yang terbaik agar semuanya berjalan dengan lancar, Insya-Allah," katanya.
Liyana ditemui pada majlis doa selamat sempena menantikan kelahiran anak sulung di kediaman keluarganya di Kemensah Height di sini. Turut diraikan, kakaknya, Adriana Jasmay yang juga bakal melahirkan anak ketiga. Tambah Liyana, dia mengakui cukup teruja menantikan kelahiran anak sulungnya itu termasuklah suaminya, Fathuddin Mazlan, 30. "Kalau nak tahu, saya sudah membuat pelbagai persiapan menantikan anak sulung saya ini dengan menyediakan sebuah bilik untuknya. "Dan rasanya saya dah banyak beli baju anak, risau pula jika ia tidak sempat nak dipakai. Maklumlah, bayi kan cepat membesar. "Apa-apa pun, saya akan menjaga dia seperti seorang puteri. Sama macam ibu saya menjaga saya ketika kecil," ujarnya. Pada majlis doa selamat itu, kira-kira 200 tetamu telah hadir termasuklah rakan artis iaitu Datin Ummi Aida, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari.

Farid Kamil Turut Buat Kerja Rumah Bantu Isteri

Pelakon Farid Kamil memberitahu, sebagai suami yang bertanggung jawab, dia tidak akan membiarkan isterinya membuat kerja-kerja rumah seorang diri sebaliknya turut membantu melakukannya. Farid, 33, berkata, walaupun sibuk dengan tugas sebagai pelakon di lokasi, peranan sebagai suami untuk meringankan beban isteri, Diana Danielle, 23, sememangnya tidak boleh dipandang ringan. "Saya tidak akan membiarkan isteri membersihkan rumah seorang diri. Jika ada kelapangan saya akan membantunya untuk percepatkan kerja-kerja rumah. "Selalunya saya akan di beri tugasan untuk membersihkan kawasan luar rumah dan saya suka kerja-kerja itu," katanya kepada mStar Online. Sementara itu mengenai perkembangan terbaharu, pelakon filem Kongsi ini berkata dia telah menandatangani kontrak sebagai duta dobi layan diri Cleanpro Express Sdn Bhd selama setahun. Katanya, konsep warna dan servis layan diri membuatkan dia tertarik untuk menjadi duta produk tersebut untuk dipromosikan kepada orang ramai. "Saya fikir konsep yang ditonjolkan oleh CleanPro menepati suasana masa kini yang menuntut kita untuk lebih pantas dalam menyempurnakan basuhan. "Tambah pula produk ini menampilkan cucian berteknologi yang lebih mudah dan senang untuk digunakan. Bagaimanapun tidak dinafikan saya mengunakan cara tradisional (cucian tangan) bagi baju yang mempunyai fabrik-fabbrik tertentu," ujarnya. Cleanpro Express merupakan rangkaian pusat dobi layan diri yang dibuka 24jam. Ia mempunyai kira-kira 100 cawangan di seluruh Malaysia termasuk Singapura. Sebagai permulaan, rangkaian dobi itu memberi 100 jam promosi dengan bayaran RM3 untuk cucian air sejuk bagi semua jenis cucian.

"Banyak Kali Saya Cakap Kami Tiada Hubungan" - Afiq Muiz

Pelakon Afiq Muiz menjelaskan dia tidak pernah mempunyai apa-apa hubungan cinta dengan pelakon wanita kontroversi Eina Azman walaupun selama ini mereka dilihat sering bersama. Afiq, 21, berkata, dia berasa lega akhirnya penafian tentang hubungan tersebut terbukti apabila pelakon wanita itu dikaitkan dengan lelaki lain. "Saya sudah cakap banyak kali yang kami memang hanya kawan dan tidak ada hubungan istimewa tetapi semua orang tidak percaya dan buat spekulasi macam-macam. "Saya juga tidak tahu dia berkawan dengan siapa cuma saya dan dia memang tiada sebarang perasaan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, pada Ahad. Afiq berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh manakah hubungannya dengan Eina Azman selepas wanita itu dikaitkan bercinta dengan tunangan orang. Sementara itu, Afiq berkata, dia kini sibuk dengan penggambaran drama serta terlibat dengan kelab sukan dan tidak mempunyai masa untuk berjumpa dengan Eina. "Saya sudah lama tidak jumpa dia dan berkongsi cerita kerana saya sangat sibuk dengan penggambaran drama. "Lagi pula, saya kini sibuk dengan kelab sukan yang memang banyak aktiviti dan tidak ambil tahu sangat pasal kehidupan peribadi dia," katanya. Tambah Afiq, dia hanya mendoakan yang terbaik kepada wanita itu jika benar-benar Eina sudah mempunyai kekasih. Dalam perkembangan lain, pelakon ini berkata, dia sedang menyiapkan penggambaran beberapa drama untuk siaran RTM. Dia juga bakal kembali untuk berlakon sebuah drama di bawah syarikat produksi Global Station Sdn Bhd pada bulan Jun depan.

Cintai Tunang Orang, Juru Runding Mahu Jumpa Eina Azman

Pelakon Syed Mohamad Asri Syed Osman atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha akan bertemu dengan pelakon kontroversi Eina Azman bagi membincangkan isu terbaharu wanita itu yang dikatakan bercinta dengan tunang orang. Syed Mohamad Asri atau nama komersialnya Shy8, berkata, dia akan meminta pelakon wanita tersebut menjelaskan situasi sebenar tentang dakwaan itu dan cuba mencari penyelesaian. "Saya akan jumpa Eina untuk berbincang tentang isu permasalahan kontrak sebelum ini termasuk isu peribadi hubungan cinta tersebut. "Saya akan menasihatkan dia apa yang perlu dan tidak patut dilakukan terutama sekali jika berlaku isu yang boleh menjejaskan nama baik dia seperti ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Ahad. Shy8 berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan sebuah akhbar pada Ahad berhubung gambar mesra yang dimuat naik oleh Eina Azman di laman sosialnya. Gambar mesra dan berpegangan tangan itu dikatakan seorang lelaki tunangan orang. Shy8 telah dilantik oleh Eina Azman sebagai perunding bagi menyelesaikan isu berkaitan kontrak dan kontroversi yang dihadapi pelakon itu dibawah syarikat pengurusan miliknya. Sementara itu, Eina yang cuba dihubungi oleh pihak mStar Online tidak menjawab panggilan. Tambah Shy8, Eina seharusnya lebih barhati-hati dalam memuat naik sebarang gambar yang boleh mengaitkannya dengan sebarang kontroversi. "Sebagai orang muda saya faham dia ingin berkongsi tentang kegembiraannya dengan memuat naik gambar-gambar peribadi, namun sebagai artis dia seharusnya berfikir panjang tentang kesan baik dan buruk. "Selepas berlaku isu seperti ini, dia juga harus bijak mengawal situasi agar tidak menjejaskan nama baik dia, kalau betul bercinta mengaku sahaja," katanya. Sementara itu, Shy8 berkata, Eina belum secara rasmi menjadi artis di bawah syarikat pengurusannya. Bagaimanapun, katanya, sebagai individu yang dilantik sebagai perunding peribadi dan pelakon lebih tua daripadanya, dia berhak memberi nasihat untuk kebaikan artis tersebut. "Sebagai seorang yang lebih tua dan lebih berpengalaman saya akan beri nasihat kepada dia tentang perkara ini. "Bukan dia sahaja, malah mana-mana artis sekalipun yang ingin minta nasihat dan pandangan tanpa bernaung di bawah syarikat saya pun saya sedia membantu," katanya. Dalam pada itu, Shy8 berkata, dia kini sedang menapis beberapa selebriti yang mahu bernaung dibawah syarikat pengurusannya. Dia hanya menarima beberapa nama sahaja mengikut terma dan syarat yang dipersetujui secara bersama. "Saya tidak ambil secara mudah, bagi selebriti yang ingin menggunakan khidmat pengurusan saya perlu mempersetujui syarat yang saya tetapkan. "Salah satunya ialah perlu menceritakan segala hubungan cinta dan peribadi mereka kepada saya, mempunyai komitmen dengan kerjaya dan berdisplin serta boleh mendengar nasihat," katanya.

Ada Sebab Kaka Azraff 'Sapu' Semua Tawaran

Penyanyi Kaka Azraff membuat keputusan untuk menerima semua tawaran dalam bidang seni sama ada nyanyian, lakonan dan pengacaraan sebagai satu landasan untuk menjadi terkenal. Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 25, berkata, ia juga sebagai strategi bagi mengukuhkan namanya sebelum menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bidang nyanyian. "Setakat ini saya terima sahaja apa juga tawaran sama ada lakonan atau pengacaraan kerana saya ingin membina nama terlebih dahulu. "Itu bukan bermakna saya tamak atau tidak fokus dalam industri tetapi saya mahu mengambil peluang ini untuk dikenali dan selepas itu barulah saya tumpukan kepada nyanyian," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Kaka yang terlibat dalam pementasan Projek Kahwin pada 6 hingga 14 Jun depan di Istana Budaya, menganggap penglibatannya dalam teater itu sebagai satu peluang keemasan kepada dirinya. Katanya, dia akan menggunakan kepercayaan yang diberikan dengan sebaik mungkin. Sementara itu, ditanya mengenai pendapatnya apabila dipilih sebagai pelakon pilihan kedua untuk teater itu, Kaka berkata, dia tidak pernah kisah tentang hal tersebut. "Saya tidak meletakkan diri saya di tahap mana dalam industri ini, jadi saya tidak hirau pun sama ada menjadi pilihan pertama atau kedua. "Apa yang penting ialah peluang saya untuk menunjukkan bakat yang saya ada kepada peminat dan masyarakat. "Saya tahu bukan senang pendatang baru seperti saya dapat peluang untuk beraksi di pentas Istana Budaya ini," katanya. Kaka yang sedang dalam promosi single terbaharunya berjudul Terpulanglah menganggap pementasan teater ini juga sebagai salah satu cara dia mempromosikan lagu tersebut.

Dazrin Kamaruddin Enggan 'Perang' Dengan Fasha Terus Berpanjangan

Pelakon Dazrin Kamarudin enggan memanjangkan 'perang dingin' yang berlaku diantaranya dengan Fasha Sandha apabila aktres itu bertindak membidas tunangnya, Amyza Rosli yang dilaporkan datang lewat ke lokasi penggambaran drama Baju Raya Yaya baru-baru ini. Dazrin, 26, berkata, biarpun berasa pelik dengan tindakan pelakon itu namun dia enggan memberi ruang kepada kontroversi terus menyelubungi karier mereka kerana yakin kebenaran akan berpihak kepadanya suatu hari nanti. "Apa sahaja isu di antara saya dan Fasha sebelum ini telah pun selesai dan tiada isu berbangkit mengenai perkara itu malah saya sudah memohon maaf atas kejadian tersebut. "Biarlah apa pun yang hendak dia kata kerana itu haknya dan pada akhirnya orang akan tahu juga kebenarannya," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Dazrin berkata, mengakui tunangnya yang juga aktres Amyra Rosli berada dalam keadaan tertekan selepas dihimpit kontroversi gara-gara datang lewat ke lokasi penggambaran drama berjudul Baju Raya Yaya baru-baru ini.
Dazrin bagaimanapun berkata, sebagai individu paling dekat dengan Amyra dia sentiasa memberikan semangat kepada wanita berkenaan supaya tidak berputus asa hanya kerana isu tersebut. "Memang dia tertekan selepas apa yang terjadi namun saya dan keluarganya sentiasa memberikannya dorongan supaya dia tidak patah semangat untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon. "Saya sering memberitahunya kontroversi tersebut hanyalah salah faham kecil yang diperbesar-besarkan dan perlu mengambil pengajaran daripadanya," katanya. Tambah Dazrin, dia tidak mahu melihat kerjaya Amyra terkubur kerana bakat yang dimiliki wanita berkenaan mempunyai potensi untuk berjaya pada masa hadapan. Sementara itu, bercakap mengenai filem pertama lakonannya Apokalips X arahan Mamat Khalid, Dazrin berkata, dia sedia menerima kritikan daripada penonton memandangkan ia adalah karya pertamanya ketika mula-mula menceburkan diri dalam bidang lakonan.
Bagaimanapun kata Dazrin, pengalaman bekerja dibawah Mamat sangat berharga dan dia beruntung mendapat didikan daripada pengarah berpengalaman itu. "Biarpun pada mulanya saya hanya watak sampingan sahaja dalam Apokalips X namun Mamat percaya dengan kredibiliti saya dan memberi kepercayaan untuk memegang antara peranan utama dalam filem itu. "Saya bertuah dapat berlakon dibawah arahannya malah saya akan muncul dalam beberapa lagi projek bersamanya selepas ini," jelasnya.

Shahriza Mahmud Sukar Lupakan Kisah Ditinggalkan Suami 4 Tahun

Peristiwa digantung tidak bertali selama empat tahun antara pengalaman pahit yang tidak akan terpadam dalam kamus hidup pelakon Shahriza Mahmud. Shahriza, 48, berkata, perkahwinan pertamanya dengan seorang pekerja produksi pada tahun 1996 yang dibina atas dasar suka sama suka itu menjadi mimpi ngeri apabila suami tersayang tidak pulang ke rumah seminggu selepas mereka diijabkabulkan. “Sepanjang perkahwinan itu, saya tidak sempat melalui rasa bahagia sebagai pasangan suami isteri sedangkan kami sudah bercinta selama sembilan tahun. "Seminggu selepas perkahwinan, bekas suami saya sibuk dengan urusan penggambaran drama dan sejak itu dia tidak balik ke rumah. Macam-macam cerita yang saya dengar kononnya dia mempunyai skandal di luar dan saya tidak endah dengan kata-kata orang kerana mempercayainya. “Tidak lama kemudian barulah saya tahu bahawa dia sudah mempunyai orang lain. Perit rasanya masa itu. Saya diceraikan selepas empat tahun empat bulan perkahwinan kami. Itu pun atas permintaan isteri keduanya itu," katanya kepada mStar Online ketika ditanya mengenai kisah silamnya yang sukar dilupakan. Tambah Shahriza, kejadian itu memberikan pengajaran besar buatnya untuk tidak memberikan kepercayaan kepada lelaki 100 peratus kerana dia risau pengalaman itu mungkin akan berulang lagi. Dalam pada itu ramai yang menganggap pelakon yang popular dengan drama bersiri Pendekar itu serik dengan perkahwinan, sebaliknya ia tidak seperti yang disangka kerana dia masih mengharapkan lelaki yang sesuai untuk dijadikan pasangan. "Ingatkan saya akan hidup solo sepanjang hayat tetapi tidak sangka pula Allah jodohkan saya dengan seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab iaitu Saddiq Raffali (33 tahun) dan kami berkahwin pada tahun 2011. "Biarpun dihantui kisah silam, memang saya teringin melalui alam rumah tangga tetapi saya anggap jodoh belum sampai dan Alhamdulillah Saddiq telah menyempurnakan hidup saya. "Keikhlasan hati Saddiq untuk mengahwini saya walaupun kami berbeza usia 15 tahun amat menyentuh hati saya. “Saya yakin dapat hidup bahagia sehingga ke akhir hayat bersamanya yang membuatkan saya terima lamaran dia ketika itu. Cuma kami belum mempunyai rezeki anak lagi ketika ini," ujarnya. Saddiq merupakan abang kepada penyanyi Ana Raffali.

Radhi (OAG) & Nur Shahira Selamat Bernikah

Penyanyi Radhi (OAG) sah bergelar suami kepada model sambilan Nur Shahira Ayu Zahiri, 20, dengan sekali lafaz dalam satu majlis serba ringkas yang di adakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Jumaat. Majlis akad nikah yang berlangsung kira-kira pukul 10.30 pagi disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Mohd Firdaus Subhi. Pada majlis itu Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 37, menyerahkan mas kahwin bernilai RM300 manakala wang hantaran sebanyak RM30,000 kepada pengantin perempuan. Pihak lelaki turut memberikan 12 dulang hantaran antaranya minyak wangi, beg tangan, sejadah, produk kesihatan, sirih junjung, kek dan cincin. Ia dibalas 14 dulang hantaran oleh pengantin perempuan antaranya sirih junjung, buah-buahan, Al-Quran, dompet dan tali pinggang, sejadah dan cincin.
Sebelum akad nikah, majlis merisik dan bertunang dijalankan sebagai menyempurnakan adat Melayu. Kedua-dua mempelai kelihatan anggun mengenakan busana berwarna putih. Radhi yang ditemui selepas majlis akad nikah melahirkan rasa syukur dengan pernikahan itu dan berharap rumah tangga mereka akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. "Alhamdulillah, akhirnya kami disatukan. Saya harap dapat membimbing isteri ke arah kebaikan bersama. "Saya rasa hidup ini lebih sempurna dan berazam untuk menjadi suami yang baik, Insya-Allah," katanya kepada mStar Online. Ini merupakan perkahwinan pertama buat Ayu dan yang kedua buat Radhi dan penyanyi itu turut mempunyai seorang anak lelaki iaitu Muhammad Rifdhi Muslim, 8 tahun hasil perkahwinannya yang terdahulu dengan Shazlin Sharif, 35 pada tahun 2005.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails