Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Rozana Dedah Awie (Wings) Tidak Pernah Daftar Nikah Sejak Kahwin
Isteri kepada penyanyi Awie iaitu Rozana Misbun hanya menyedari perkahwinannya selama ini yang telah mencecah lapan tahun tidak pernah didaftarkan di negara ini selepas dia merujuk masalah rumah tangganya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kira-kira dua bulan lalu.
Rozana, 36, berkata, suaminya pernah memberitahu kepadanya sebelum ini perkahwinan mereka di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 telah didaftarkan dan dia terkejut apabila diberitahu tiada sebarang rekod perkahwinan mereka berhubung perkara itu.
"Selepas tragedi 2 Jun lalu saya pergi ke Jawi dengan niat untuk mendapatkan khidmat kaunseling berhubung masalah rumah tangga kami dan apabila mereka semak surat perkahwinan kami di setiap negeri, ia tiada dalam rekod.
"Pada ketika itulah baharu saya mengetahui perkahwinan kami masih belum didaftarkan sepanjang sembilan tahun berkahwin," katanya kepada mStar Online.
Rozana ditemui pada satu sidang media khas yang diadakan di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Jumaat. Dia turut ditemani oleh dua peguamnya iaitu Majdah Muda dan Rubiah Jaffar.
Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.
Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu Rozana berkata, sejak kejadian tersebut Awie tidak pernah menghubunginya untuk bercakap mengenai soal perkahwinan atau perceraian sebaliknya terus membuat permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak mereka.
Jelas Rozana, dia keliru dengan tindakan suaminya itu sedangkan status perkahwinan mereka tidak dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan.
"Kami belum pun bercerai dan dia sudah sibuk dengan soal hak penjagaan anak-anak kami sedangkan status perkahwinan pun belum disahkan dan didaftarkan di Malaysia.
"Saya sendiri tidak merebut anak-anak dengan dia tetapi dia yang membuat permohonan malah aduan yang saya lakukan sebelum ini langsung tidak melibatkan mahkamah syariah," jelasnya.
Sementara itu, Rozana berkata, dia akan mempertahankan haknya sebagai seorang ibu terhadap tiga anak-anaknya yang kini di bawah jagaan sementara suaminya.
Jelas Rozana, demi kembali bersatu dengan anak-anaknya dia tidak akan berdiam diri dan akan memastikan haknya sebagai seorang isteri dan ibu terbela di mahkamah.
Rozana tenang menjawab soalan daripada wartawan.
"Saya akui sebelum ini saya takut dan trauma dengan dia tetapi kini tidak lagi kerana saya akan melawan kembali untuk mendapatkan hak saya selepas dua bulan tidak bertemu dengan anak-anak.
Mengulas mengenai pelbagai cerita kurang enak yang disebarkan tentang dirinya, Rozana berkata, dia tidak mempunyai hak untuk menghalang sesiapa sahaja yang ingin bercakap mengenainya kerana hanya dia dan keluarga sahaja yang tahu keadaan sebenar.
"Tidak mengapa jika ada pihak yang ingin memburuk-burukkan saya dan kalau hendak balas setiap tuduhan itu memang susah dan Awie sendiri tahu bagaimana hubungan saya dengan anak-anak dan saya sememangnya tidak pernah meninggalkan mereka.
"Apa yang boleh saya katakan sekiranya seseorang tidak tahu situasi dan keadaan sebenar lebih baik jangan beri pendapat atau komen kerana hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu cerita sebenar," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, peguam syarie Rozana, Majdah Muda, berkata, pihaknya akan menfailkan jawapan permohonan bantahan awal bagi mengetepikan perintah hak penjagaan (hadanah) sementara yang difailkan oleh Awie 21 Julai lalu.
Jelas Majdah, pada 17 September baharulah mahkamah akan meminta kedua-dua belah pihak memberi hujahan dan kemudiannya membuat keputusan terhadap perkara itu.
Awie turut mengemukakan bantahan terhadap permohonan Rozana untuk membatalkan permohonan injunksi yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) olehnya pada 16 Julai lalu untuk menghalang wanita itu daripada mendekati atau menghubunginya dan anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun.
Pada 22 Julai lalu Awie berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, di sini iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.
Awie turut mempunyai dua lagi anak hadil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.
Siti Saleha Enggan Terima Watak Ibu Tua
Pelakon Siti Saleha menganggap usianya yang masih mudah belum sesuai untuk memegang watak sebagai ibu yang sudah mempunyai cahaya mata berusia lebih daripada lapan tahun.
Siti Saleha, 24, berkata, dia terpaksa menolak tawaran yang mahukan dia melakonkan watak itu kerana dianggap terlalu berat untuk dilakonkan.
"Cukuplah dalam drama pada Ramadan lalu iaitu Ramadan Jangan Pergi di mana saya membawa watak ibu yang sudah mempunyai anak berusia lebih lapan tahun, buat masa ini saya tidak akan ambil watak seperti itu lagi.
"Usia saya baru 24 tahun dan watak sebegitu terlalu tua untuk saya. Kalau watak ibu yang mempunyai bayi seperti cerita Nora Elena itu saya boleh terima lagi," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis tayangan filem Mamak Cupcake, di Cathay Curve, di sini, malam Khamis lalu.
Siti Saleha dan Shaheizy Sam bergandingan dalam filem Mamak Cupcake.
Bagaimanapun, Siti Saleha berkata, dia tidak menyesal membawakan watak ibu dalam drama Ramadan Jangan Pergi yang disiarkan sepanjang Ramadan lalu.
Dia juga menganggap ia sebagai satu cabaran kepadanya dalam membawa pelbagai watak terutama yang tidak pernah dibawakan sebelum ini.
"Saya gembira apabila ramai penonton suka dengan watak ibu yang saya bawa dalam drama itu, saya tidak menyesal kerana ia merupakan pengalaman pertama saya.
"Saya anggap ia sebagai satu cabaran sebagai pelakon tetapi kalau boleh biarlah hanya drama itu sahaja buat masa ini," katanya.
Sementara itu, Siti Saleha yang turut terlibat dalam filem komedi berjudul Mamak Cupcake terbitan Grand Brilliance ini mengakui selesa bergandingan dengan pelakon lelaki kegemarannya Shaheizy Sam.
Katanya, Sam seorang pelakon lelaki yang sangat berkebolehan dalam membawakan pelbagai watak dengan baik.
"Ini merupakan pertama kali saya berlakon dengan Sam dan saya merupakan salah seorang peminat dia.
"Dia seorang pelakon yang tidak stereotaip yang mana boleh bawa semua watak yang diberikan dengan baik sekali," katanya.
Dalam filem Mamak Cupcake, Siti Saleha memegang watak sebagai Juliana anak kepada Datin Nora (Maria Farida) yang merupakan penganjur kepada pertandingan Cupcake Kebangsaan.
Dia akhirnya jatuh cinta dengan seorang lelaki yang bernama MJ (Shaheizy Sam) yang turut mengambil bahagian dalam acara pertandingan itu.
Filem Mamak Cupcake akan ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 28 Ogos ini.
Shaheizy Sam Belajar Cakap Seperti Mamak
Pelakon Shaheizy Sam memberitahu terpaksa belajar bercakap seperti mamak bagi memberi kelainan terhadap lakonannya dalam filem Mamak Cupcake yang bakal ditayangkan bermula 28 Ogos ini.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 32, berkata, ia bagi membuatkan penonton percaya dengan watak tersebut kerana wajahnya lebih kemelayuan.
"Watak mamak ini memberi cabaran kepada saya kerana saya terpaksa membuat kajian tentang keseluruhan skrip yang diberi. Saya terpaksa cari di mana logiknya untuk saya menjadi seorang mamak kerana wajah saya Melayu.
"Jadi, saya rasa perlu belajar untuk bercakap seperti seorang mamak, nasib baik pelakon seperti Veerasingam yang menjadi ayah saya dalam filem ini, dan Accapan banyak membantu," ujarnya.
Turut berlakon dalam filem itu ialah Siti Saleha, Faizal Ismail, Maria Farida, Azad Jasmin, Natasha Hudson dan Nur Risteena.
Tambah Sam, dia juga terpaksa membuat kajian keseluruhan filem itu bagi memastikan ia tidak sama seperti komedi lain.
"Ketika dapat skrip saya fikir macam mana nak beri kelainan dan menjadikan filem ini berbeza daripada filem komedi lain.
"Saya buat kajian bagaimana watak saya boleh berada dalam keluarga mamak, saya tidak mahu penonton melihat saya dan filem ini stereotaip sahaja. Alhamdulillah semua pelakon banyak membantu terutamanya Azad Jasmin," ujarnya.
Sementara itu, pengarahnya Woo Ming Jin beruntung kerana Shaheizy Sam menyatakan persetujuan untuk membawa watak MJ dalam filem komedi ini.
Katanya, Sam merupakan pelakon pertama yang difikirkannya sesuai untuk menjadi peneraju filem ini.
"Saya sangat gembira bila Sam bersetuju untuk berlakon dalam filem ini. Manakala bagi watak-watak lain, mereka melalui proses sesi pencarian bakat dan menilai sama ada sesuai atau tidak dengan karaktor yang dicari," katanya.
Tambahnya, filem ini merupakan filem ringan yang sesuai untuk ditonton oleh semua golongan masyarakat dan seisi keluarga.
Filem terbitan Grand Brilliance ini berkisarkan tentang seorang mamak yang bernama Mohamad Jamaludin atau dikenali sebagai MJ (Shaheizy Sam) yang berdepan dengan konflik dalam menentukan matlamat hidupnya.
MJ memilih untuk menceburi bidang pembuatan cupcake sedangkan bapanya mengimpikan untuk dia mengendalikan perniagaan tradisi mereka iaitu kedai mamak.
Filem Mamak Cupcake berdurasi 95 minit ini bakal ditayangkan diseluruh pawagam di Malaysia bermula 28 Ogos ini.
Nora Danish Bengang Akaun FB Digodam
Pelakon Nora Danish mendedahkan akaun Facebook miliknya telah digodam oleh pihak tertentu pada Jumaat.
Nora menerusi laman Instagram Nora memberitahu dia akan membuat satu laporan polis berhubung perkara itu bagi mengenal pasti dalang disebalik kejadian berkenaan.
"Akaun peribadi Facebook saya digodam. Hilang semuanya. Saya akan buat laporan polis," katanya dalam status berkenaan.
Dalam pada itu, Nora turut menyenaraikan 10 lagi akaun Facebook palsu yang menggunakan namanya. Jelas Nora, dia berharap peminat tidak akan mengambil perhatian dan tidak tertipu dengan akaun palsu tersebut.
"Kesemua akaun Nora Danish di Facebook ini adalah bukan saya. Sila ambil perhatian, terima kasih," katanya.
Nora mendedahkan mengenai perkara berkenaan menerusi laman Isntagram miliknya pada Jumaat.
Sementara itu, peminat aktres itu turut meluahkan rasa kesal dengan kejadian tersebut dan menyifatkan perbuatan pengodam berkenaan sebagai tidak berhati perut.
Salah seorang pengikutnya iaitu @norumairahrosli berkata, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu sengaja mencari publisiti murahan.
"Tidak faham dengan orang-orang zaman sekarang. Dah tiada kerja sangat sampai nak godam akaun peribadi sosial media orang lain," katanya.
Manakala @azaamalia pula mempertikaikan tindakan pemilik akaun palsu menggunakan nama selebriti terkenal itu demi kepentingan diri sendiri.
"Mereka yang buat begitu hanya ingin menumpang populariti Nora dan orang sebegini adalah parasit," katanya.
Komen lain yang ditinggalkan oleh peminat Nora antara lain menyokong tindakannya untuk membuat laporan polis bagi membersihkan namanya daripada terus dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab.
Tiada Hak Eksklusif Siar Wajah Anak - Awal Ashaari
Pengacara program Melodi, Awal Ashaari tidak akan memberikan sebarang hak eksklusif kepada mana-mana media cetak atau elektronik bagi memperkenalkan anak perempuannya kepada umum selepas isterinya, aktres Scha Al-Yahya selesai berpantang.
Awal, 33, sebaliknya berkata, dia akan menggunakan media sosial seperti Instagram dan Facebook bagi memuat naik gambar anaknya yang dikenali sebagai Lara kepada para peminatnya.
"Selain media cetak dan elektronik kami juga tidak memberi hak eksklusif itu kepada mana-mana stesen TV dan akan menggunakan media sosial kami untuk memperkenalkan wajah dan nama penuh Lara kepada peminat.
"Setakat ini kami tidak ada membuat sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak dan lebih selesa dengan cara itu lebih adil kepada semua pihak," katanya kepadamStar Online.
Scha selamat bersalin kira-kira pukul 5.50 petang pada 22 Julai lalu di Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur dan bayi perempuan seberat 3.17 kilogram itu dilahirkan secara normal.
Pasangan itu berkahwin pada 4 Mei 2012 di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya dan ia turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.
Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusannya untuk tidak memaparkan wajah anaknya kepada umum sehingga dikritik hebat peminat, Awal berkata, dia menghormati Scha yang masih berpantang dan mahu isterinya itu sendiri memperkenalkan Lara kepada peminat.
Bagi Awal, perasaan Scha menjadi keutamaan kepadanya berbanding perkara lain selain tidak mengambil kisah tentang apa yang ingin diperkatakan oleh pihak lain tentang keputusannya itu.
"Tidak letak salah, tunjuk pun salah. Apa pun yang keputusan yang kami buat pasti akan dipandang buruk oleh orang lain jadi kami buat apa yang dirasakan terbaik.
"Scha masih berpantang dan biarlah dia kembali pulih dahulu dan seperti dijanjikan apabila selesai sahaja berpantang dia sendiri akan memperkenalkan anak kami.
"Apabila melihat sendiri kesusahannya melahirkan anak kami saya tidak mahu perasaannya terguris dan apa juga orang hendak kata tentang kami itu adalah pilihan mereka," jelasnya.
Bagaimanapun kata Awal, sebagai bapa dia terguris hati apabila ada yang mempersendakan nama anaknya dan menganggap ia tidak sepatutnya menjadi pertikaian.
"Itu adalah pilihan kami dan sudah tentu kami telah buat kajian sebelum memberikan nama tersebut dan ia membawa maksud yang baik dalam bahasa lain," ujarnya.
Sementara itu, Awal berkata, buat masa ini dia menolak sebarang tawaran di luar Lembah Klang bagi memberikan tumpuan selain meluangkan lebih masa kepada isteri dan anak mereka di rumah.
Awal memberitahu, pengalaman bergelar bapa adalah sesuatu yang luar biasa dan Lara mengajarnya pelbagai perkara setiap hari.
"Pengalaman jaga anak, mandikan dia dan berjaga di malam hari apabila dia terjaga adalah sesuatu yang menakjubkan dan ia saat indah buat kami berdua," jelasnya.
Nabila Huda Elak Jawab Soalan Kontroversi
Pelakon Nabila Huda mengambil pendekatan untuk tidak mengulas apa-apa perkara yang menyentuh mengenai perihal peribadinya untuk tatapan umum.
Biarpun diasak dengan pelbagai pertanyaan berhubung kontroversi yang tercetus diantara dia dan bapanya, Amy (Search), Nabila, 30, tetap berdiam diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Maafkan saya. Saya tidak mahu komen," katanya ringkas kepada mStar Online.
Nabila ditemui pada majlis pelancaran filem biografi berjudul Saloma di Saloma Bistro di sini pada Selasa.
Diarahkan oleh Melissa Saila, Nabila tampil membawa peranan sebagai Biduanita Negara Allahyarham Puan Sri Saloma.
Selain Nabila, filem yang bakal ditayangkan menerusi Astro First Eksklusif pada 28 Ogos ini turut menampilkan Tony Eusoff sebagai Tan Sri P. Ramlee, Azhan Rani (A.R. Tompel), Sazzy Falak (Mariani) dan Sharifah Amani (Siput Sarawak).
Terdahulu kontroversi Nabila dan bapanya tercetus apabila Amy mengkritik sikap Nabila selepas pelakon itu memuat naik gambar mesra percutiannya bersama seorang lelaki di luar negara.
Berikutan itu, Nabil bertindak memadamkan koleksi ratusan gambarnya dalam akaun Instagram miliknya.
Nabila juga dikatakan telah meminta restu bapanya untuk berkahwin dengan seorang pemuda dan hubungan berkenaan dikatakan mendapat lampu hijau daripada keluarganya.
Dalam pada itu, bercakap mengenai filem Saloma, Nabila berkata, pada awalnya dia meragui kredibilitinya untuk membawakan watak tersebut kerana merasakan masih belum layak.
Bagaimanapun keyakinan dan kepercayaan yang ditunjukkan oleh Melissa terhadapnya membuatkan dia menyahut cabaran berkenaan.
"Apabila dipanggil untuk uji bakat saya sangat takut kerana tiada keyakinan dapat membawa watak berkenaan dan saya terkejut apabila diberitahu terpilih memikul tanggungjawab sebagai Saloma.
"Bagaimanapun apabila sudah siap disolek dan mengenakan baju pada zaman berkenaan, secara automatik aura itu mula keluar dan Alhamdulillah atas bantuan pengarah saya dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut," katanya.
Jelasnya lagi, sebagai persediaan dia banyak melakukan kajian mengenai Saloma dan merujuk kepada ahli keluarga Allahyarham untuk memastikan dia berjaya menterjemahkan watak berkenaan dengan baik.
"Alhamdulillah Kak Melissa dan Mummy (Mariani) banyak membantu dan mereka sangat teliti dalam perihal mengenai Saloma terutamanya cara bercakap, berjalan dan fesyen yang digayakan," ujarnya.
Masalah Rumah Tangga Buat Awie Mahu Jadi Bapa Terbaik
Pelakon dan penyanyi Awie mengakui hubungannya dengan anak-anaknya menjadi lebih erat berbanding sebelum insiden kontroversi rumah tangganya bersama isteri, Rozana Misbun, 36.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, berkata, dia kini sedang berusaha untuk menjadi bapa yang baik dan menjalankan tanggungjawab yang seharusnya dijalankan sebagai seorang bapa.
"Kalau dulu saya hanya kerja dan cari rezeki untuk keperluan mereka sahaja, tetapi sekarang saya sentiasa berada bersama mereka. Kadang-kadang saya terpaksa curi-curi masa untuk balik ke rumah melihat keadaan mereka dan masak untuk mereka.
"Ketika sedang bekerja pun saya sering menghubungi anak saya yang sulung untuk tanya apa yang terjadi di rumah, bila balik rumah saya akan periksa bilik mereka dan cium satu-satu anak saya.
"Saya tidak dapat bayangkan kalau saya tidak dapat bersama mereka atau mungkin saya akan mati jika berpisah dengan anak-anak saya itu," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Supermokh Sebuah Muzikal di Istana Budaya, di sini, Selasa.
Teater berkenaan yang diulang pemementasan itu akan berlangsung dari 8 September hingga 21 September depan yang mengisahkan kehidupan bintang bola sepak legenda, Mokhtar Dahari.
Selain Awie, ia bakal dilakonkan oleh Maya Karin, Douglas Lim, Dina Nadzir, Rashidi Ishak, Radhi Khalid, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.
Dalam pada itu tambah Awie, anak-anaknya merupakan keutamaan dan harta yang perlu dipelihara biarpun dirinya dipandang negatif oleh masyarakat berikutan isu tersebut.
"Saya tidak kisah apa masyarakat nak cakap pada saya yang penting saya tahu apa yang sedang saya lakukan dan menjaga kebajikan serta kepentingan mereka. Anak-anak saya menangis bila baca tentang hukuman yang bakal saya hadapi jika sabit kesalahan hingga membuatkan saya sendiri menangis sama," ujarnya.
Gambar kenangan Awie bersama isteri dan anak-anaknya.
Sementara itu, Awie turut mengakui tertekan dengan keadaan tersebut sehingga dia tekad untuk menolak semua tawaran lakonan dan nyanyian.
Dia juga terfikir untuk berhenti daripada dunia hiburan dan memulakan hidup baharu dengan menguruskan perniagaan.
Bagaimanapun, hasrat tersebut dihalang banyak pihak yang tidak henti-henti memberi nasihat dan menyokong kerjaya seninya.
"Saya tertekan dengan keadaan ini, saya tolak semua tawaran termasuk Supermokh ini, tetapi bila dipujuk oleh penerbitnya Hans Isaac dan menasihatkan saya supaya meneruskan hidup barulah saya setuju.
"Saya tolak sebab saya tidak mahu imej buruk saya ini akan terpalit kepada mereka,” ujarnya.
Terdahulu Awie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.
Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, ekoran kegagalan Rozana hadir pada rundingan proses sulh yang dijalankan pada 6 Ogos lalu, mahkamah telah menetapkan 3 September ini untuk sebutan kes berkenaan untuk dibicarakan.
Awie dan Rozana bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005. Hasil perkahwinan itu merkeka dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.
Menerusi perkahwinan terdahulu Awie bersama penyanyi Arni Nazira, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12, yang kini tinggal bersama Awie.
Hans Isaac Terkejut Gosip Cinta Neelofa Dengan Orang Istana
Penerbit dan pelakon Hans Isaac terkejut apabila bekas kekasihnya iaitu pelakon Neelofa dikhabarkan bakal berkahwin dengan kerabat diraja.
Hans berkata, sepanjang mereka bercinta aktres tersebut seringkali menekankan bahawa dia tidak berminat untuk berkawan dengan golongan istana.
"Saya baru tahu tentang gosip ini sebab beberapa bulan ini saya tidak sempat untuk membaca surat khabar kerana terlalu sibuk dengan pementasan semula teater Supermokh Sebuah Muzikal.
"Tetapi saya akui terkejut dengar berita ini kerana setahu saya, ketika kami berkawan dia sering kata tidak akan rapat atau berkahwin dengan golongan kerabat," ujarnya kepada mStar Online.
Hans berkata demikian ketika diminta mengulas tentang khabar angin pelakon Neelofa bakal berkahwin dengan kerabat diraja dari Pantai Timur.
Hans menambah, mengikut pengalamannya sebagai selebriti setiap khabar angin yang tersebar sedikit sebanyak mempunyai kebenarannya.
Dalam pada itu, diminta mengulas tentang pendedahan Neelofa tentang perpisahan mereka, Hans berkata, mereka sudah membuat persetujuan bersama untuk tidak mengumumkan apa-apa tentang hubungan tersebut.
Katanya, dia tidak mahu mendedahkan perkara tersebut bagi menjaga reputasinya sebagai ahli perniagaan.
"Kami bersetuju untuk tidak umum apa-apa tentang perpisahan kerana kami tidak pernah umumkan percintaan pun. Tiba-tiba dia buat pendedahan dan umumkan tentang perpisahan itu.
"Saya seorang ahli perniagaan dan ada tiga syarikat korporat, jadi saya perlu jaga reputasi saya untuk berurusan dengan hal-hal perniagaan. Bila keluar story tentang putus cinta di surat khabar sedikit sebanyak merosakkan nama baik saya.
"Malah ada rakan perniagaan saya yang sering menjadikan saya sebagai bahan ejekan tentang perkara-perkara remeh itu," ujarnya.
Kajol Sifatkan Sikap Ramah Keistimewaan Rakyat Malaysia
Pelakon Bollywod, Kajol menjelaskan sifat ramah dan sikap sopan santun adalah sesuatu yang istimewa mengenai penduduk berbilang kaum negara ini.
Kajol, 40, berkata, kunjung pertamanya ke Malaysia benar-benar membuatkan dia berasa teruja dengan sikap mereka itu.
"Sejak saya sampai ke Kuala Lumpur ramai peminat yang menyapa dan melambai tangan ke arah saya. Paling saya hargai mereka peramah dan paling penting penuh sopan santun," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah oleh pelakon Lisa Surihani pada majlis pelancaran saluran Astro Box Office (ABO) BollyOne HD (saluran 251) di Hotel JW Marriot di sini pada malam Rabu.
Selain Kajol, aktor Aaron Aziz turut serta pada pelancaran berkenaan.
Pelakon itu dijemput khas bagi melancarkan saluran berkenaan yang mengkhususkan penyiaran filem-filem dari Bollywood.
Kajol tidak ditemani suaminya iaitu Ajay Devgan.
Dalam pada itu menerusi temubual berkenaan Kajol turut menceritakan filem lakonannya bersama Shah Rukh Khan iaitu Kuch Kuch Hota Hai (KKHH) pada 1998 adalah memori terbaiknya sepanjang dia bergelar pelakon.
Katanya, filem itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam pada dirinya tetapi juga peminat KKHH yang masih meminati karya tersebut sehingga hari ini.
"Kuch Kuch Hota Hai adalah sebahagian daripada hidup saya dan ia bukan sekadar filem tetapi adalah memori terbaik dalam hidup saya.
"Sehingga ke hari ini perasaan seronok berada di set penggambaran bersama pelakon-pelakon lain dapat dirasai dan saya amat bersyukur ia masih kekal di hati peminat," katanya.
Tambah Kajol, dia tidak dapat membayangkan pelakon wanita lain melakonkan watak Anjali dalam KKHH kerana peranan itu dekat di hatinya.
Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran saluran BollyOne HDl, Kajol berkata, ia satu tindakan baik selain memberi peluang kepada peminat yang menggemari filem dari India.
Jelas Kajol, keunikan filem-filem dari Bollywood membuatkan penonton menggemarinya dan dia yakin saluran itu akan mendapat sambutan hangat.
"Peminat filem Bollywood pasti akan teruja dengan saluran itu dan saya yakin ia akan mendapat sambutan hebat.
"Biarpun berbeza bahasa namun penonton masih boleh meminati karya-karya dari India kerana ia istimewa dan penuh warna," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Kajol berkata, dia bakal memasuki set penggambaran filem terbaharunya dengan membawakan watak isteri mafia.
Selain itu, Kajol akan kembali bergandingan dengan Shah Rukh Khan menerusi sebuah filem arahan Rohit Shetty.
Selain KKHH, Kajol juga popular menerusi filem seperti Dilwale Dulhania Le Jayenge, Kabhi Kushi Kabhi Gham dan My Name Is Khan.
Mahkamah Tolak Permohonan Lisan Rozana Terhadap Awie & Media
Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis menolak permohonan isteri penyanyi, Awie iaitu Rozana Misbun, 36, yang dibuat secara lisan bagi menukar hak lawatan terhadap anak-anak yang ditetapkan iaitu di kediaman artis itu di Ukay Bistari, Ampang ke kediaman bapa Rozana di Pantai Hill Park, Bangsar di sini.
Mahkamah juga menolak permohonan Rozana agar mahkamah mengeluarkan perintah tegahan terhadap media daripada mengeluarkan sebarang berita yang boleh menimbulkan prejudis terhadapnya dan menganggu perjalanan kes.
Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zin membuat keputusan menolak permohonan itu yang dikemukan peguam Rozana iaitu Majdah Muda dengan alasan pihak plaintif gagal mengemukakan permohonan secara teratur mengikut prosedur.
"Segala permohonan hendaklah dibuat secara teratur dan bukannya secara lisan.
"Mahkamah tidak mempunyai halangan untuk media membuat laporan selagi ia tidak memprejudiskan kes dan subjudis terhadap perjalanan kes," hujahnya.
Terdahulu, Rozana telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah hak jagaan sementara (hadanah) tiga anak mereka yang diperoleh Awie di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, 21 Julai lalu.
Rozana yang memfailkan permohonan itu pada 8 Ogos lalu turut memohon untuk membatalkan perintah injunksi (tegahan) secara ex-parte (sebelah pihak) yang dibenarkan mahkamah terhadap Awie.
Perintah injunksi itu diperoleh Awie bagi menghalang isterinya daripada mendekati awie dan juga anak-anak dalam apa jua cara sekalipun, termasuk melalui media cetak dan elektronik yang diperoleh Awie.
Rozana hadir ditemani kakaknya, pelakon Haliza Misbun, manakala Awie hanya diwakili peguam iaitu Mohd Hafizal Pacho.
Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, di sini iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.|
Awie tuurt mempunyai dua lagi anak hadil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.
Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.
Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 17 September depan bagi Awie mengemukakan hujahan, manakala 18 September untuk keputusan bantahan awal.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
