Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Kesan Ubat Pembedahan Punca Berat Ifa Raziah Naik
Penyanyi Ifa Raziah menjelaskan tubuh badannya yang dilihat semakin berisi disebabkan pengambilan ubat selepas menjalani pembedahan pada tahun lalu.
Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 38, berkata, dia tidak hirau dengan masalah itu kerana ia hanyalah kesan sampingan ubat yang diambil secara berterusan dan bersifat sementara.
"Saya perlu bersabar selepas melakukan pembedahan kerana berat badan akan naik akibat pengambilan ubat diberikan untuk memulihkan penyakit yang dialami.
"Kesan ubat itu menyebabkan badan saya semakin berisi dan ditambahkan lagi dengan faktor umur sekarang ini memang sukar untuk menurunkan berat badan," katanya kepada mStar Online.
Ifa ditemui pada pelancaran menu bufet Ramadan 2015 di Restoran Kelantan Delights Subang Jaya, di sini, Khamis. Turut sama penyanyi Fazli Zainal.
Dalam pada itu, Ifa berkata, selepas membuat rawatan susulan penyakit paru-parunya pada bulan lepas, dia perlu melakukan pembedahan untuk kali kedua atas nasihat doktor.
Dia juga turut mengambil keputusan untuk menangguhkan dahulu pembedahan seterusnya kerana masih merasai sakit dan trauma dengan pembedahan pertama.
"Doktor memberitahu saya harus melakukan pembedahan kedua kerana ada beberapa perkara yang perlu diubati selain untuk mengelak berlakunya kesan sampingan lain.
"Buat masa sekarang saya mengambil keputusan menangguh dahulu untuk melakukan pembedahan kedua kerana rasa sakit yang dulu masih lagi terasa dan trauma," katanya.
Selain itu, bercerita mengenai majlis berbuka puasanya bersama Fazley, mereka akan menghiburkan tetamu di Restoran Kelantan Delights Subang Jaya bermula 19 Jun ini.
Selain menjamu selera, pengunjung bertuah bakal memenangi RM888 apabila menyertai peraduan mencari kapsyen untuk gambar dan selfie paling menarik dan sesuai dengan imej Kelantan Delights.
Bayaran berbuka puasa di restoran ini ialah RM79.90++ pada hari biasa dan RM 89.90++ pada hujung minggu .
Untuk tempahan berbuka puasa bersama selebriti di restoran berkenaan boleh hubungi talian 03-5611784.
"Saya Masih Belum Sempurna" - Emma Maembong
Pelakon Emma Maembong tidak berkecil hati dengan kritikan peminat di Instagram apabila dilihat tampil dengan imej tidak bersesuaian sebagai wanita bertudung.
Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 23, berkata, dia mengambil teguran dan kritikan membina daripada peminatnya sebagai langkah memperbaiki diri dalam menjadi muslimah lebih baik pada masa hadapan.
"Saya bukan manusia sempurna dan akan tetap melakukan kesalahan tetapi teguran dan kritikan membina saya terima dengan hati terbuka kerana saya tahu mereka ikhlas.
"Cuma kadang-kadang membuatkan saya terkilan apabila ada segelintir pengikut Instagram menggunakan kata-kata kurang enak tetapi ia tidak pernah menggangu saya," katanya kepada mStar Online.
Emma ditemui pada majlis pelancaran dua drama terbaharu iaitu Puteri Gunung Ledang dan Jodoh Sebelah Pintu yang diadakan di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu lalu.
Dua drama berkenaan bakal disiarkan menerusi HyppTV menerusi saluran HyppSensasi (116).
Aktres itu memegang peranan utama dalam drama bersiri Jodoh Sebelah Pintu arahan Michael Ang bersama aktor Kamal Adli yang akan disiarkan pada 29 Julai depan.
Baru-baru ini, Emma dikritik peminat kerana berpakaian ketat dan ada yang mengatakan imej bertudungnya tidak sesuai dikenakan bersama seluar yang ketat sehingga memperlihatkan bentuk kakinya.
Dalam pada itu, Emma berkata, biarpun dia sudah mengenakan tudung tetapi masyarakat tidak boleh membuat kesimpulan bahawa dia kini sudah sempurna dari semua sudut.
Sebaliknya akui Emma, dia masih dalam proses memperbaiki diri dan tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan termasuk teguran diterimanya baru-baru ini.
"Mengenakan hijab adalah salah satu proses dan masih banyak perkara yang perlu saya dalami tentang agama untuk menjadi muslimah lebih baik pada masa hadapan.
"Pada pemikiran peminat apabila saya bertudung saya sudah lengkap tetapi mereka lupa saya juga manusia biasa," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Emma berkata, sepanjang bulan Ramadan nanti dia akan sibuk di lokasi penggambaran drama Jodoh Sebelah Pintu sebelum mengambil cuti selama seminggu untuk menyambut Aidil Fitri.
Hati Maria Farida Belum Terbuka Soal Calon Suami
Pelakon Maria Farida masih belum terbuka hati untuk menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya kerana terlalu memilih dalam menjalinkan hubungan cinta.
Maria, 45, berkata, biarpun ramai yang cuba memikat hatinya tetapi pengalaman lalu memberi pengajaran agar dia lebih berhati-hati.
“Saya belum bersedia untuk mempunyai suami kerana masih tiada teman yang istimewa biarpun ramai yang cuba memikat hati saya.
“Mungkin saya terlalu cerewet disebabkan pengalman lepas dan berasa serik, takut serta susah nak percayakan orang,” katanya kepada mStar Online.
Selain itu, Maria berkata anak lelakinya ada menyatakan hasrat untuk menerima ayah tetapi dia perlukan masa bagi memilih lelaki yang sesuai.
Tambah Maria, perkahwin bukan sesuatu perkara yang mudah dan dia tidak boleh memilih lelaki sebarangan untuk dijadikan suami.
“Anak saya ada juga bertanya mengenai perkara ini memandangkan dia anak tunggal tetapi takkan saya nak kahwin dengan orang yang baru dikenali dan tidak sesuai.
“Saya memang nak berikan yang terbaik untuk anak saya tetapi masih belum jumpa lelaki yang mampu menjadi ayah yang baik,” katanya.
Sementara itu, Maria menggangap anaknya, Mizan Ashley yang baru sahaja menyambut hari lahir yang ke 18 adalah teman terdekatnya.
Maria berkata anaknya dianggap sebagai kawan rapat kerana sering menghabiskan masa untuk melepak bersama.
Dalam perkembangan lain, Maria akan tampil dalam drama bersiri Fajar Di Bukhara yang akan ditayangkan sempena bulan Ramadan di Tvi dan TV2.
Maria juga turut berlakon di dalam tiga filem yang masih belum ditayangkan iaitu Showdown The Movie, Anak Mami Nasi Kandar dan Kuntilanak (filem Indonesia).
Dua Isteri Ashraf Muslim Kecil Hati Dikritik
Pelakon Ashraf Muslim, 34, memberitahu masyarakat masih lagi tidak berhenti mengkritik tindakannya berpoligami sehingga perkara itu menggores hati kedua-dua isterinya.
Ashraf berkata, dua isterinya iaitu Noor Dayana Lokman, 28, dan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 31, amat berkecil hati apabila pemilik media sosial iaitu netizen sering membuat perbandingan mengenai mereka berdua.
"Saya anggap ini dugaan untuk saya dan isteri-isteri. Tetapi kebanyakan kritikan telah mengguriskan hati mereka.
"Walaupun mereka faham suami mereka selebriti dan sudah bersedia menghadapi cabaran dan dugaan, tetapi disebabkan hati perempuan, macam mana pun mereka tetap akan sedih," katanya kepada mStar Online.
Tambah pelakon dan juga penerbit drama ini, sebagai seorang suami dia akan memujuk isteri-isterinya itu supaya tidak terlalu sensitif dengan hal berkenaan.
Malah Ashraf juga meminta mereka untuk tidak membaca komen-komen negatif tersebut sekiranya tidak mahu berasa sakit hati.
"Kita manusia, kadang-kadang ada rasa ingin tahu. Tetapi saya sudah pesan pada mereka jangan baca. Sebab komen-komen itu buatkan mereka sedih.
"Cuma sekiranya kutukan itu terlalu melampau, saya akan membalas balik komen berkenaan dengan cara yang berhemah. Itu sahaja yang mampu saya lakukan. Apa-apapun saya anggap perkara tersebut adalah dugaan hidup berpoligami," ujarnya.
Ashraf dan Dayana mendirikan rumah tangga pada 30 Ogos 2011 di Mekah dan belum dikurniakan cahaya mata.
Bagaimanapun pelakon itu pada 25 Julai 2013 membuat kejutan ramai apabila mengumumkan telah berkahwin buat kali kedua dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013 di Pattalung, Selatan Thailand.
Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang anak iaitu Sarah Ashraf yang berusia setahun dua bulan. Dalam pada itu, Sakinah kini sedang mengandung anak kedua.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Ashraf berkata dia kini sibuk dengan kerja-kerja belakang tabir menerusi syarikat produksi miliknya iaitu Al Hidayah Production Sdn Bhd.
Terbaharu produksinya baharu saja selesai penggambaran telefilem Hari Raya Pelangi Kita bagi siaran TV Alhijrah.
Dalam pada itu, bagi yang rindu melihat aksi lakonannya, Ashraf telah membintangi drama Imam Muda Dari Cairo yang akan disiarkan di RTM tidak lama lagi.
Rahim Dikejarkan Ke Hospital Selepas Konsert Bersama Sepahtu
Pelawak Rahim (Sepahtu) memberitahu keadaan kesihatannya tidak membimbangkan meskipun terpaksa dikejarkan ke Hospital Jengka, Pahang selepas mengalami sesak nafas sejurus mengadakan persembahan Konsert Jelajah Sepahtu di Kompleks Sukan Jengka pada Sabtu lalu.
Rahim atau nama sebenarnya Rahim Mat Ali, 45, berkata, dia mengalami sesak nafas akibat daripada serangan gastrik dan rakan-rakannya telah membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Sebenarnya ia tidak begitu serius cuma sewaktu selesai mengadakan persembahan saya mengalami masalah sukar untuk bernafas akibat daripada gastrik.
"Selepas melihat keadaan saya begitu, mereka segera menghantar saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.
Rahim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambarnya yang tersebar menerusi media sosial dalam keadaan terbaring di wad kecemasan sebuah hospital.
Tambah Rahim, selepas melakukan pemeriksaan, doktor menjelaskan punca masalah itu berpunca daripada pemakanan tidak menentu sehingga menyebabkan gastrik dan sesak nafas.
"Doktor turut melakukan pemeriksaan jantung dan mengambil darah, Alhamdulillah tiada apa yang serius cuma ia mungkin disebabkan oleh penat dan makan yang tidak menentu.
"Ia juga berlaku disebabkan perasaan terlebih gemuruh untuk mengadakan persembahan kerana ini adalah konsert jadi ia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada diri saya," katanya.
Dalam pada itu, Rahim berkata, masalah yang berlaku itu tiada kaitan dengan masalah jantung seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak.
Malah katanya, kejadian serupa pernah menimpa dirinya ketika sedang menjalani penggambaran sebelum ini.
"Ini merupakan kali kedua kejadian sama berlaku tetapi ia tidak seteruk sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital.
"Doktor juga ada menasihatkan saya supaya makan mengikut masa serta tidak begitu tertekan selain perlu mendapatkan rehat yang cukup supaya kejadian berkenaan tidak berlaku lagi," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Rahim berkata, dia kini sedang sibuk menjalani pengambaran filem Raja Kapcai bersama barisan pelakon Fad (Bocey), Shuk (Balas) dan Serina Redzuawan.
Syawal Belajar Bahasa Isyarat Demi Fiqa
Juara program Pelamin Fantasia musim pertama iaitu Syawal memberitahu mengambil masa beberapa bulan bagi mempelajari bahasa isyarat daripada isterinya, Fiqa yang juga seorang gadis istimewa dengan masalah pendengaran bagi memudahkan mereka berkomunikasi.
Syawal atau nama sebenarnya Syawaluddin Ghazali, 26, berkata, biarpun pada awalnya agak sukar tetapi dia tidak mengambil perkara itu sebagai halangan dalam perhubungan mereka malah mengagumi kesabaran wanita berkenaan dalam mengajarnya.
"Awal perkenalan, kami banyak menggunakan telefon untuk berkomunikasi menerusi mesej kerana saya belum mahir dalam menggunakan bahasa isyarat.
"Dia yang mengajar saya pergerakan dalam bahasa isyarat dan Alhamdulillah saya kini semakin mahir dan paling penting memudahkan kami berkomunikasi," katanya kepada mStar Online.
Fiqa atau nama sebenanrya Norafiqah Ma Hassan, 24, dan Syawal selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis gilang gemilang yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di sini pada malam Sabtu lalu.
Pasangan tersebut turut diraikan dalam sebuah majlis gilang gemilang bernilai RM100,000 sumbangan Astro sebagai ganjaran kemenangan menerusi program Pelamin Fantasia.
Pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim turut bertindak sebagai perunding acara selain mereka busana kedua-dua mempelai pada malam itu.
Berkongsi lanjut mengenai kisah perkenalan mereka berdua, Syawal berkata, dia tidak pernah melihat kekurangan yang ada pada isterinya sebaliknya memberitahu Fiqa adalah wanita paling berdikari yang pernah dia temui.
Pasangan berkenaan sah bergelar suami-isteri dengan hanya sekali lafaz.
Kata Syawal, wanita berkenaan melengkapi kehidupannya sebagai seorang lelaki dan bersyukur mereka berdua akhirnya disatukan sebagai suami-isteri.
"Kekurangan yang ada padanya adalah kesempurnaan di mata saya. Fiqa adalah wanita paling berdikari yang pernah saya temui.
"Saya sebenarnya beruntung dapat bertemu dengannya dan Alhamdulillah jodoh kami akhirnya sampai ke jinjang pelamin," ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai majlis perkahwinan tersebut, Syawal berkata, apa yang dilakukan oleh pihak Astro adalah melebihi daripada bayangan impian perkahwinan mereka berdua sebelum ini.
"Saya tiada kata untuk menggambarkan perasaan dalam hati saya tetapi majlis ini lebih daripada impian kami berdua," katanya.
Selain hadiah pakej perkahwinan bernilai RM100,000, pasangan berkenaan turut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000, pakej percutian ke Xian, China dan seutas gelang tangan.
Dalam perkembangan sama, Syawal berkata, dia tidak menyangka akan bergelar juara Pelamin Fantasia kerana tujuan asal mereka menyertai program berkenaan adalah untuk mengetengahkan kisah percintaan bersama Orang Kelainan Upaya (OKU).
"Saya mahu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa cinta itu tiada sempadan dan biarpun seseorang itu mempunyai kekurangan namun mereka masih boleh mengecap bahagia.
"Bagaimanapun Alhamdulillah dan syukur kemenangan menjadi milik kami dan berharap kisah kami dapat memberi inspirasi kepada orang lain," ujarnya.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Humood Alkhudher, Ewal, Indah, Sabhi Sadhi, Akim & The Majistret, Alyah, Jaclyn Victor, Rabbani, Haziq, Farhan dan Keroncong Band.
Majlis pernikahan itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro (104) dan Mustika HD (135) pada pukul 9 malam.
Ia dihoskan oleh Faizal Ismail dan Raja Azura.
Nora Danish Perjelas Isu Kafe Kenakan Caj Mahal
Pelakon Nora Danish menjelaskan kadar bayaran dikenakan kepada pelanggan di kafe Kopi & Xoxo yang dikongsi bersama empat orang rakannya adalah berpatutan.
Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 33, berkata, harga dicaj kepada pelanggan adalah bersesuaian dengan lokasi kafenya yang terletak di Bangsar.
"Sebenarnya harga makanan dan minuman di kafe Kopi & Xoxo itu tidak begitu mahal dan orang ramai juga harus faham kerana ia terletak di Bangsar jadi kami harus menanggung kadar sewa yang agak tinggi.
"Barang-barang digunakan juga berkualiti jadi harga yang dikenakan bersesuaian dengan lokasinya," katanya kepada mStar Online.
Nora berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kadar bayaran dikenakan di Kopi & Xoxo kepada pelanggan yang dikatakan mahal oleh sesetengah peminatnya.
Kafe Kopi & Xoxo yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur.
Tambah Nora, keuntungan diperolehi juga tidak lumayan seperti mana dibayangkan kerana perniagaan itu masih baharu dan dilakukan sekadar hobi.
"Kami bukan nak kejar untung semata-mata kerana perniagaan ini dibuat sekadar suka-suka jadi keuntungan yang diambil sebenarnya tidak banyak.
"Jadi harga yang dikenakan amat berpatutan dan ia amat sesuai kepada pelanggan," katanya.
Dalam pada itu, Nora berkata kafe tersebut merupakan hasil perkongsian diantara empat orang rakan baiknya yang mengentengahkan konsep kopitiam.
Tambahnya, konsep itu dipilih kerana ia mudah untuk diuruskan dan dalam masa yang sama ia amat bersesuaian dengan gaya hidup pada masa kini.
"Keputusan untuk memilih konsep kopitiam dilakukan selepas melakukan perbincangan dan konsep tersebut adalah paling ideal kerana ia mudah diuruskan," jelasnya.
Terdahulu Nora dan rakanya melabur hampir RM100,000 untuk membuka kafe berkenaan dan ia merangkumi aspek dekorasi, perabot, konsep dan pilihan menu.
Ella & Jojie Nasihat Tasha Shilla Buat Laporan Polis
Berikutan dari penyembaran gambar selfie separuh bogel yang dikatakan mirip aktres Tasha Shilla, penyanyi Ella yang pernah lalui perkara sama memberi nasihat buat pelakon tersebut.
Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 48, berkata perkara itu sangat serius dan jika ia merupakan fitnah, pelakon tersebut perlu membuat laporan polis dengan segera.
“Benda itu sangat mengaibkan. Kalau benda itu salah, buat saja laporan polis kerana itu jalan yang terbaik.
“Tasha jangan risau kalau betul gambar itu satu fitnah. Saya percaya awak akan menerima ganjaran yang lebih besar dari itu,” katanya kepada mStar Online.
Sekeping gambar separuh bogel tersebar baru-baru ini dan ia dikatakan mirip pelakon Tasha Shilla.
Ella ditemui sewaktu pelancaran produk kecantikan Lameya di Saloma Bistro disini pada Jumaat.
Pada 2007 Ella dan kakaknya itu pernah melalui detik hitam selepas satu video kelakuan sumbang kononnya dilakukan di atas kapal dikatakan milik mereka berdua tersebar.
Kes tersebut kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis dan individu bertanggungjawab melakukan video itu telah pun dikenakan hukuman.
Sementara itu, Jojie, 50, turut memberikan kata-kata semangat buat Tasha dan berharap aktres itu tabah mengharungi dugaan tersebut.
“Tasha tabahkan hati dan jika gambar itu bukan milik awak, tidak perlu risau serta banyakkan doa kepada Allah.
“Dulu kami ada buat laporan polis dan mereka cari sampai ke lubang cacing. Polis berjaya menahan individu terbabit tetapi kami tidak mahu sebarkan kerana akan mengaibkan dia pula. Hanya Allah yang dapat membalas,” katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai produk Lameya yang diasaskan dua beradik, Ella berkata, ia mengandungi formula rahsia dalam tampil kekal jelita sehingga ke hari ini.
Jelas Ella, Lameya merupakan gabungan makanan sunnah seperti buah tin, delima, zaitun dan habbatus sauda yang diamalkan oleh mereka berdua sejak kecil.
"Produk ini cukup istimewa dan hanya perlu diambil begitu sahaja. Ia dijual dengan harga RM199 sekotak dan mampu bertahan selama sebulan," katanya.
Bagi mendapatkan produk ini, layari laman sosial Instagram, @lameyamalaysia.
Lima Bulan Dazrin Terseksa Gagal Kahwin Amyra Rosli
Setelah hampir setahun insiden majlis pernikahan dengan Amyra Rosli dibatalkan, pelakon Dazrin Kamarudin akhirnya mendedahkan jiwanya terseksa sehingga dia mengambil masa selama lima bulan untuk menenangkan fikiran.
Dazrin, 27, berkata disebabkan peristiwa itu, dia tidak dapat memberi fokus dalam karier lakonan sehingga terpaksa menolak beberapa tawaran yang diterima.
“Sebenarnya lima bulan saya mendiamkan diri kerana tidak boleh bekerja dan hilang fokus selepas kejadian tersebut.
“Dalam tempoh waktu itu, saya hilangkan diri sekejap untuk kenal diri semula dan atas nasihat rakan-rakan baru saya kembali berlakon,” katanya kepada mStar Online.
Dazrin ditemui sewaktu sidang media program khas Ramadan 2015 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri, di sini pada Selasa.
Terdahulu, Dazrin yang merancang untuk melangsungkan perkahwinan bersama pelakon Amyra Rosli pada 8 Ogos 2014 terpaksa membatalkan hasrat berkenaan pada saat-saat akhir kerana masalah yang dirahsiakan.
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 25 Ogos 2013 selepas tiga tahun menjalinkan hubungan cinta.
Bagaimanapun dunia hiburan dikejutkan dengan berita majlis pernikahan pasangan itu dibatalkan pada saat-saat akhir walaupun segala persiapan perkahwinan mereka sudah dibuat.
Dazrin bagaimanapun enggan mengulas punca perkahwinan tersebut dibatalkan selain mahu kejadian berkenaan dijadikan pengajaran.
“Manusia kadang-kadang tidak boleh lari dari melakukan kesilapan dan dalam masa yang sama kita perlu belajar serta mengambil iktibar terhadap setiap apa yang berlaku.
“Alhamdulillah saya kembali aktif berlakon dan kini tampil dengan rambut pendek untuk imej dan semangat baru selepas berkabung lima bulan,” katanya.
Sementara itu Dazrin berkata sepanjang tempoh mendiamkan diri, dia sibuk membuat pengubahsuaian rumah yang baru dimiliknya.
Tambah Dazrin, rumah baru yang mempunyai enam bilik itu merupakan salah satu persiapan untuk perkahwinannya pada tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Dazrin akan tampil dalam drama Kampung Manggis di TV1 sempena program khas Ramadan ini.
Dazrin juga baru sahaja selesai merakamkan dua single terbaru bertajuk Kamu Selalu Ada dan Cause I Love You.
"Stop It...!" Tegur Ajai Kepada Bekas Isteri, Nurul Wahab
Komposer Ajai meminta bekas isterinya iaitu Nurul Wahab berhenti mengaitkan namanya dalam tulisan di blog mahupun memberi apa-apa kenyataan di media.
Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 40, berkata, walaupun dia sering ditanya sejauh manakah hubungannya dengan Nurul, dia tidak pernah memberi reaksi memandangkan mereka tiada lagi apa-apa kaitan sejak bercerai pada tahun 2007.
"Saya berharap Nurul hentikan menulis, kaitkan kisah lama atau sebut nama saya yang bukan-bukan di laman blognya.
"Kerana bagi saya, bukan tidak ada orang bertanya tentang dia daripada saya. Tetapi ada! Bagaimanapun saya tak pernah nak beri apa-apa jawapan atau kaitkan nama dia dalam mana-mana sesi temubual mahupun di laman sosial saya. Jadi harap maklum dan stop it.
"Urusan saya dengan bekas isteri saya itu dah habis sejak kami berpisah. Kalau ada update, itu hanya atas urusan anak kami Ayu Nazirah (17 tahun)," katanya kepada mStar Online.
Ajai diminta mengulas mengenai entri blog milik Nurul yang bertajuk Other Question Please! meluahkan rasa terkilan apabila kerap kali diasak dengan pertanyaan mengaitkan kisah silamnya dengan Ajai.
Nurul menerusi entri tersebut turut menulis kisah diminta penganjur untuk berduet dengan bekas suaminya sehingga mengundang rasa tidak selesa dirinya.
Tambah Nurul, persembahan duet bersama Ajai tidak mungkin berlaku memandangkan komposer itu bersikap tidak profesional.
"Bukannya aku tak mahu. Aku ini seorang yang sangat professional. Malah, suami aku juga mengizinkan dan memberi restu andai aku mahu berduet semula dengan bekas suami aku itu. Namun keputusannya bukan di tangan aku. Orang tak mahu, buat apa kita memaksa. Lupakan saja," katanya dalam blog itu.
Sementara itu, Ajai berkata, buat masa ini dia tidak merancang untuk berduet dengan sesiapa pun kerana ingin memberi fokus terhadap album solo yang akan muncul tidak lama lagi.
Malah sekiranya ingin berduet, dia hanya akan memilih penyanyi yang belum pernah berduet dengannya sahaja.
"Buat masa sekarang, untuk nyanyian, saya nak siapkan album solo saya. Dan juga mahu menumpukan kerja-kerja produksi artis-arts Wake The Baby iaitu Amelina, Fahmi, Shiha dan Stellarband.
"Untuk rakan duet, saya belum fikirkan lagi dan jika ada pun mungkin artis lain yang belum pernah saya bekerjasama lagi," ujarnya.
Sementara itu Nurul yang dihubungi mStar Online bagi mengulas teguran Ajai itu mengambil pendekatan untuk tidak memberikan sebarang komen.
Selepas berpisah dengan Ajai, Nurul bertemu jodoh dengan rakyat Perancis iaitu Eric Daniel Depp, 50, dan bernikah pada 6 Jun 2012.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
