Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Loloq tiada ganti – Ella


BENAR kata orang, irama dan lagu memang tidak dapat dipisahkan. Bila berpisah, pincanglah ia. Tidak sekalipun ingatan Ella pernah lekang terhadap lelaki yang cukup dikaguminya itu, namun takdir sudah menitikkan segala-galanya.

Sejujurnya emosi penyanyi genit ini cukup rawan tatkala mengenangkan insan seni yang disanjung tinggi sudah pergi buat selama-lamanya. Biarpun perit menerima hakikat itu, Ella pasrah jika jasad Loloq sudah tiada di depan mata.

Namun untuk melupakan orang yang banyak berjasa pada dirinya tidak sekali-kali. Loloq bagaikan hidup dalam diri seperti darah yang mengalir. Bila terkenangkan pengorbanan Loloq, hati Ella menjadi sayu. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk melawan suratan yang sudah tertulis, dia tahu apa yang perlu dilakukan.

Biarpun sudah lebih tiga tahun Loloq pergi meninggalkan semua, tidak ada apa yang dapat memadam ingatan peminat terhadap lelaki yang menghembuskan nafas terakhir pada 30 Januari 2008 itu.

“Jujur Ella katakan, tidak pernah sesaat pun Ella melupakan Loloq. Hubungan kami bukan sekadar artis dan pencipta lagu semata-mata tetapi bagaikan abang dan adik.

“Kerjasama yang kami jalinkan sudah bermula sejak dahulu lagi. Kalau tengok dalam album 30110, dia sudah ada menulis lagu untuk album itu. Dan itu bukan yang pertama dan terakhir. Banyak lagi kerjasama yang kami jalinkan selepas itu yang berterusan sehingga meletakkan saya ke tahap ini.

“Mana mungkin saya melupakan insan yang banyak berjasa itu. Dia bukan sahaja berbakat besar tetapi dalam masa yang sama cukup tinggi ilmu pengetahuan. Paling Ella ingat, dia banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada Ella untuk buat yang terbaik.

“Kerjasama terakhir kami apabila album Ilham Bicara. Ella masih ingat gandingan mantap antara Loloq dan M. Nasir sehingga membuatkan album itu benar-benar mendapat sambutan luar jangkaan.

“Itu belum lagi lihat lagu Menanti yang benar-benar berbekas di hati Ella. Dia tahu apa yang Ella mahu dan hasilnya sudah tentu memberikan impak sehingga hari ini. Dia memang permata yang tidak boleh dicari ganti,” luah Ella sebak.

Berpeluang memberikan sedikit bakti kepada pemilik asal nama Rosli Khamis itu, Ella cukup berpuas hati apabila dapat bergandingan bersama dengan M. Nasir, Ramli Sarip, Spider dan Hasnul Rahmat menjayakan konsert Untukmu Loloq.

Konsert yang sudahpun berlangsung sejak Jumaat lalu akan berakhir malam ini menyaksikan persembahan hebat penyanyi-penyanyi yang pernah bekerjasama dengan Loloq.

Akui Ella, sumbangannya ini mungkin masih terlalu kecil jika mahu dibandingkan dengan jasa Loloq. Jadi tidak ada salahnya untuk dia terus memberikan menunjukkan tanda terima kasih yang tak terhingga dengan cara begini.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Ella menyifatkan tahun ini merupakan tahun yang sibuk buat dirinya. Pelbagai aktiviti baru yang telah direncanakan dalam merancakkan lagi program yang telah diatur.

Pada bulan Julai nanti, dia akan ke Moscow, Rusia untuk menyertai World Rock Festival yang akan dihadiri nama-nama besar dari seluruh dunia.

“Sebelum ini Ella pernah ke sana juga. Tapi kali ini masih ada lagi undangan untuk Ella menyanyi dan pastinya itu merupakan satu perkembangan yang cukup hebat.

“Insya-Allah pada bulan Mei nanti Ella akan tampil dengan lagu baru khusus untuk mereka yang sentiasa menyokong kerjaya seni Ella sejak dahulu. Pada bulan Julai nanti barulah album baru akan muncul. Sudah 50 peratus daripada keseluruhan album disiapkan.

“Tapi keadaan sekarang cukup berbeza dengan zaman dahulu. Banyak perkara yang kita perlu pertimbangkan sebelum melancarkan apa-apa lagu. Apa yang orang nak dengan apa yang kita nak kadang kala cukup berbeza. Inilah yang perlu Ella perhalusi sebelum meneruskan apa yang dirancang.

“Bila zaman berubah, kita juga perlu berubah. Tak boleh nak pentingkan diri sebab ia tidak akan membantu apa-apa. Insya-Allah, Ella hanya mahu semuanya berjalan lancar seperti mana yang dirancang. Itu dah cukup memadai,” katanya.

Seks luar nikah KD - Raul


KEUNGGULAN karisma dan imej baik penyanyi Krisdayanti (KD) kini tercalar. Selepas bersusah-payah memulihkan imejnya gara-gara dituduh curang kepada Anang Hermasyah ketika masih bergelar isteri, KD kini sekali lagi menggemparkan dunia hiburan Nusantara.

Sebagai penyanyi wanita di sebuah negara Islam, pengakuan KD bahawa dia hamil empat bulan selepas empat minggu berkahwin adalah satu tamparan yang hebat terhadap moral penyanyi ini.

KD berkahwin dengan Raul Lemos yang baru memeluk Islam pada 20 Mac lalu di Jakarta. Banyak yang menganggap Raul memeluk Islam kerana mahu berkahwin dengan KD dan KD gagal menunjukkan satu teladan yang baik apabila sanggup mengadakan hubungan terlarang sebelum kahwin.

KD terang-terangan mengaku bahawa anak dalam kandungannya itu adalah anak yang terhasil daripada hubungannya bersama Raul. Kontroversi ini menjadi bualan masyarakat, KD dan Raul bagai tidak mampu lari daripada kecaman meski kini sudah selamat bergelar suami isteri.

Sehingga di tahap ini, cuba anda tanya pada diri sendiri, di mana letaknya moral KD? Dia mempunyai banyak peminat di negara ini. Adakah selepas kes moral yang paling besar ini peminat di negara ini masih setia kepada KD? Adakah mereka akan terus meminati KD secara membuta tuli sekalipun idola mereka adalah pencemar moral dan pengamal seks luar nikah?

Bukan itu sahaja, kecaman semakin hebat apabila bekas isteri Raul, Sechah Salem Sagran (Atta) tampil memberi kenyataan bahawa kedua-dua pengantin baru itu sebenarnya sudah lama bersekedudukan sebelum berkahwin. Melihat gelagat KD yang sanggup curang kepada suami, itu bukanlah suatu yang memeranjatkan.

“Ya, saya dan Raul cerai pada Disember, bererti, belum kami bercerai KD sudah bunting. Logik saja itu berlaku, belum nikah pun sudah tinggal bersama.

“Kalau mengandung dulu, tiada apa yang menghairankan. Tetapi sekarang, cerita tentang mereka, saya tidak pedulilah!” sindir Atta.

Menyorot kembali apa yang dihujahkan oleh KD, katanya, dia menerima kehamilannya sebagai satu anugerah daripada Allah meski benih cinta mereka terhasil tanpa ikatan sah.

“Saya tahu, tetapi kami sama-sama sudah dewasa, bahkan sudah lama merancang untuk berkahwin. Kehamilan sudah terjadi. Kalau saya menolak pemberian Allah ini, nanti saya dituduh melakukan pengguguran,” katanya.

Jelas sekali daripada reaksi KD ini, seks luar nikah bukan perkara luar biasa baginya, jauh sekali untuk berasa bersalah.

Dalam pada itu, Anang, yang enggan memberi komen lanjut ringkas memberitahu bahawa dia hanya tahu mengenai hal ini melalui laporan media.

Anang menganggap dia tidak layak untuk berbicara mengenainya sebaliknya menganggap itu adalah berita gembira buat KD dan Raul.

Berita kehamilan bekas isterinya itu turut disambut baik oleh dua anaknya, Aurel dan Azriel, jelas Anang.

“Mereka gembira kerana bakal punya adik. Baik Aurel mahupun Azriel. Kita doakan sahaja kesihatan bayi dan ibunya termasuk keluarganya,” katanya.

Persiapan KD dan Raul

Ada pihak memberitahu bahawa sebenarnya, persiapan menyambut kelahiran bayi KD sudah dijalankan sebelum mereka bernikah lagi.

Malah, ia turut diakui oleh penjaga rumah mewah yang didiami oleh KD

dan Raul yang terletak di Jakarta Selatan.

“Mereka tinggal di Dili sekarang, tetapi setahu saya, KD sudah lama menjalankan persiapan untuk bilik anak yang bakal dilahirkan itu. Setahu saya, dua bilik telah dijadikan satu, mungkin buat kelahiran bayi itu,” katanya.

Jejaka Indonesia dihati Dayang


DAYANG Nurfaizah jarang bergulir dengan cerita hodoh lagi bodoh. Jarang sekali kedengaran perilaku buruk tentang artis yang satu ini, sementelah peribadinya sendiri cukup menyenangkan.

Pun, baru-baru ini tersebar cerita kurang molek tentang penyanyi hitam manis mesra disapa Dayang ini.

Kononnya dia akhir-akhir ini dilihat agak panas. Ini termasuklah dalam soal berpakaian. Usia mencecah 30 tahun, Dayang dengan selamba berani tampil dengan skirt pendek separas paha, gaun tanpa lengan dengan aksi cukup remaja.

Belum lagi tentang gambar-gambar adegan mesra di pentas bersama penyanyi Indonesia, Marcell yang menjadi persoalan peminat, kenapa Dayang izinkan diri dipeluk lelaki?

Apatah lagi kala di pentas, ia bukan satu perilaku yang sesuai tambahan buat seorang yang berstatus anak dara sepertinya. Tidak dapat lari daripada menjawab persoalan tersebut, Dayang mengakui dia tidak kisah dengan tanggapan yang diberikan.

Mengakui gambar-gambar mesra itu dirakamkan pada persembahan terbarunya dengan Marcell baru-baru ini, Dayang memohon ia tidak terus dijadikan isu.

“Kami sebenarnya terperangkap dalam emosi. Sesiapa saja yang menyanyi dengan Mercell akan sama, terperangkap dengan sikap romantis dia waktu di pentas. Dayang juga begitu.

“Bila Marcell memeluk bahu Dayang ketika kami menyanyi, anda fikir sendiri, adakah Dayang perlu tolak dan buat tidak suka? Sedangkan kami ketika itu sedang berada di pentas. Sebagai rakan duet, kita tak boleh pentingkan diri sendiri dan sentiasa berkongsi emosi waktu bersama supaya bait lagu sampai kepada penonton.

“Pada Dayang, selagi ia tidak disertakan dengan perasaan yang keterlaluan dan masih dalam situasi yang wajar, ia bukan satu persoalan yang besar untuk diperdebatkan,” katanya.

Mengharapkan agar semua pihak tidak tersalah anggap, apatah lagi dengan status Marcell sebagai suami orang, Dayang memberitahu aksi mesranya dengan Marcell itu turut ditonton oleh isteri penyanyi berkenaan.

“Isteri dia ada di sebelah. Marcell ni bila menyanyi, dia cukup romantis, dia memang akan buat kita rasa seronok dan menjiwa lagu tu. Isteri Marcell pun tahu kami memang sudah lama berkawan, jadi ia takkan jadi isu besar.

“Jangan pula buat tanggapan kononnya Dayang ada ‘apa-apa’ dengan dia semata-mata kerana kami mesra di pentas,” ulasnya.

Tentang isu semakin seksi pada usia menjengah 30-an, Dayang sendiri tertanya-tanya, di manakah seksi yang dimaksudkan itu? Apakah sebagai artis, dia tidak boleh memilih fesyen yang sesuai dengan cita rasa dan imej yang ingin ditampilkan?

“Dayang semakin seksi? Mungkin orang tak tahu, beginilah imej saya sejak dulu. Tapi tak apa, katalah apa saja, sekurang-kurangnya saya sentiasa dalam ingatan mereka. Saya akan ambil positif semua yang datang kepada saya dan tidak akan membuang emosi dengan berfikir negatif.

“Cakaplah apa saja, saya tak peduli kerana yang penting kepada saya ialah cari duit banyak-banyak, cari kerja dan fikir masa depan. Itu lebih bagus,” katanya yang kekal dengan prinsip peribadi semenjak awal muncul menyanyi.

Bercakap tentang kerjaya, album solo ke-lapan penyanyi ini akan muncul pada tidak lama lagi. Malah single baru berjudul Saat Itu sudah mula diterima media. Album berkenaan diterbitkan oleh syarikat milik Dayang sendiri, DN&AD Entertainment, diedar Warner Muzik.

Pilihan Harvey Malaiholo

Secara kebetulan pula, akhir-akhir ini bukan Marcell seorang artis Indonesia yang dikaitkan dekat dengan Dayang. Selepas Marcell dia rapat dengan Tompi, kali ini Harvey Malaiholo pula sebagai lelaki Indonesia yang rapat dengan anak dara Awang Dowty.

Pertemuan Dayang dan Harvey berlaku atas kehendak syarikat rakaman Erama Records, sebuah syarikat tempatan yang sedang berkembang. Menariknya mereka merakamkan semula lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Slam, Gerimis Mengundang dalam bentuk single.

Gerimis Mengundang adalah prelude kepada album penuh Harvey yang dalam proses pembikinan, juga bakal diterbit Erama Records.

Peminat yang mahu mendengar gandingan mereka boleh memuat turun lagu berkenaan melalui alamat www.erama.tv, bermula awal Mei ini.

Tak kisah pilihan ke-dua


Bercakap tentang Gerimis Mengundang, lagu berkenaan mencipta sejarah tersendiri dalam era kegemilangan lagu Malaysia di Indonesia sekitar tahun 1990-an apabila album kumpulan Slam yang memuatkan lagu berkenaan terjual lebih 1 juta unit di negara jiran.

Justeru ada sebab untuk Dayang menjadi begitu syahdu pada sesi rakaman yang dilakukan di Studio Back Beat, Cipete Raya, Jakarta pada 8 April lalu.

Pancaindera yang turut menyaksikan sesi rakaman itu secara eksklusif telah diperdengarkan dengan hasil rakaman awal gandingan suara mereka.Ternyata pilihan Erama Records cukup tepat apabila alir suara Harvey dan Dayang bersatu dalam nuansa penuh romantis.

Gerimis Mengundang yang awalnya dihasilkan Saari Amri kedengaran seperti lagu baru setelah diberi sentuhan oleh komposer ternama negara jiran itu dan jika kena dengan cara promosinya ia akan kembali menyinar terang benderang.

Khabarnya pada awalnya Harvey bakal berduet dengan penyanyi asal lagu berkenaan, Zamani Slam sendiri. Tetapi atas satu sebab yang tidak jelas, nama Zamani digugurkan dan Dayang dipilih bersama dalam projek itu. Pun tidak ada istilah pilihan kedua atau ketiga bagi Dayang dan dia melihat segalanya sebagai rezeki yang datang.

“Pada Dayang, ia adalah rezeki. Tak tahu pula mereka hendak beri pada Zamani atau penyanyi lain pada awalnya. Dayang tak kisah tentang hal itu, setiap peluang yang datang kita perlu gunakan dengan sebaik mungkin. “Tak kisahlah sama ada ia pilihan kedua ke, pertama ke, asalkan buat yang terbaik, itu adalah rezeki yang datang.

Siapa taja Black?


PANAS dan memang panas apabila ada yang mula menyebarkan cerita kononnya penyanyi Black dibela oleh seseorang. Mak datuk, biar betul tu?

Syed memang tak berapa nak percaya pada cerita yang disebarkan.

Tapi bila ramai sangat yang menyampai cerita yang sama pada Syed, tak tahu nak cakap apalah.

Yang paling Syed terkejut, bila ada pemanggil yang bercerita hal yang sama. Beriya-iya pemanggil tu bercerita kepada Syed hal tersebut sampaikan dia mengaku dia merupakan orang yang terdekat dengan Black.

Katanya, Black bukan sahaja diberi wang ringgit malah apa sahaja yang Black mahu akan dituruti. Pendek kata sebut apa sahaja akan ditunaikan demi untuk penyanyi yang cukup popular dengan lagu Sofia Jane ini.

“Mana ada Black kena bela, itu semua fitnah semata-mata. Kalau betul Black kena bela sila tunjukkan bukti. Ini cerita lawak dan jangan harap Black nak melatah.

“Mungkin juga peminat-peminat Black nampak Black dengan orang lain dan buat andaian sendiri. Gelilah kalau nak cerita pasal kena bela, mak datin ni. Black masih mampu tanggung hidup sendiri daripada duduk himpit orang.

“Kalau orang nak bercerita tu, apa lagi yang Black nak katakan. Yang penting semua orang terdekat tahu Black tak seperti yang didakwa. Kalau orang tanya Black jawab, kalau tidak baik diam sahaja,” katanya lagi.

Kepada peminat Black tu jangan lupa dapatkan album terbaru yang berjudul Obsesi yang dah ada di pasaran. Ada enam lagu yang kesemuanya menggunakan tajuk nama wanita. Kelas sungguh!

Semoga Benjy pulih


MEMANG Joyah terkejut bila diberitahu pelakon yang terpalit dengan kes dadah ni masuk hospital. Ingatkan tak teruk rupa-rupanya Benjy telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Kalau mengikutkan cerita, Benjy ditahan sejak malam Rabu yang lalu akibat masalah asma yang semakin serius sampai tak boleh bernafas sehingga memaksa doktor memberi alat bantuan pernafasan kepadanya.

Joyah tumpang simpati dengan apa yang telah berlaku. Ini bukan kali pertama Benjy sakit sebegini rupa. Kalau mengikut cerita ibunya, sudah dua kali dia mengalami gangguan kesihatan sejak dia berkahwin.

Sebagai ibu Joyah pasti Azean Irdawaty kini cukup risau dengan kesihatan anaknya. Yalah, walau apa yang terjadi sekalipun, Benjy tetap anak kandung Kak Yan.

Kepada Kak Yan, Joyah tumpang bersedih dengan apa yang telah berlaku. Semoga Benjy kembali pulih dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. Banyakkan berdoa ya.

Nora tampil imej bertudung


ULANG tahun hari kelahiran Nora yang ke-35 pada 26 Julai 2008 merupakan suatu titik penghijrahan buat penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Di Persimpangan Dilema itu.

Ini kerana, mulai saat itu, dia yang berasal dari Kampung Dewan Beta, Kota Bharu, Kelantan mula bertudung selepas mencipta nama sebagai penyanyi sejak tahun 1994.

Bukan kerana dipaksa oleh sesiapa tetapi hasrat Nora untuk bertudung lahir daripada hatinya yang ingin menjadi contoh buat tiga orang anaknya yang kini semakin membesar.

Syakir Iman, 18, Syakir Alif, 12, dan Puteri Nur Dahlia, 7, merupakan permata hati Nora yang sentiasa mahu melihatnya menjadi ibu terbaik termasuklah daripada segi berpakaian.

Menurut isteri kepada komposer terkenal, Johan Nawawi, 45, ini, dia seolah-olah berasa terpanggil untuk bertudung apabila membicarakan perkara itu dengan anak-anaknya.

“Anak-anak selalu bertanya mengapa saya tidak bertudung? Saya beri beberapa alasan antaranya saya memang mahu bertudung tetapi masanya mungkin belum tiba.

“Tambah menyentap perasaan saya apabila anak-anak semakin pandai yang mana mereka kata kalau tidak pakai tudung takut mati masuk neraka. Sejak itu saya mula berfikir banyak kali.

“Pada masa sama, saya memang sudah lama ingin mengubah penampilan diri demi anak-anak saya,” katanya kepada S3 sewaktu dihubungi baru-baru ini.

Jelas juara Bintang Hiburan Minggu Ini 1994 ini, biarpun perubahan itu didorong oleh anak-anaknya tetapi dia sudah mula menanam azam untuk bertudung sejak berusia 30 tahun.

Kata Nora, lima tahun sebelum mengenakan pakaian yang sopan itu, dia sudah mula membuat persiapan termasuklah meminta pendapat daripada rakan-rakannya.

Pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin ini menjelaskan dia mengambil inisiatif itu bagi memastikan apa yang akan dilakukannya itu tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam.

“Saya banyak bertanya dengan kawan-kawan saya dan mereka memberi pelbagai pandangan. Antaranya kata mereka, kalau saya mahu bertudung biarlah selepas pergi haji.

“Pada masa sama, semasa mahu bertudung saya beritahu pada suami. Saya lihat ada perubahan pada matanya yang macam bergenang. Dia macam tidak percaya.

“Saya kata, saya sudah nekad dan tidak menyesal dengan keputusan itu. Ia suatu hijrah awal sebelum saya melakukan perubahan lain seperti mendalami ilmu-ilmu agama,” ujarnya.

Nora yang mendirikan rumahtangga pada 9 April 1992 sewaktu berusia 19 tahun ini tidak menafikan banyak melalui fasa perubahan dalam kehidupan seharianya.

Tidak sekadar bertudung, malah dia turut banyak terbabit dalam program-program usrah, ceramah agama dan aktiviti-aktiviti berkaitan golongan wanita sejak tampil imej bertudung.

Malah, imejnya itu sedikit pun tidak membataskan aktivitinya dalam bidang nyanyian, sebaliknya terus mendapat undangan menyanyi dan juri pertandingan nyanyian di merata-rata tempat.

Terbaru, penyanyi bersuara lantang ini dilantik sebagai pengkritik tetap pertandingan nyanyian Kilauan Emas terbitan Astro Prima yang akan memulakan siarannya pada 24 Jun ini.

“Semasa mula-mula pakai tudung saya rasa macam takut-takut juga untuk menyanyi tetapi lama kelamaan saya semakin yakin walaupun ada batas-batas yang tertentu.

“Ia sesuai dengan status saya sebagai ibu dan isteri orang. Apatah lagi, sebagai penyanyi saya juga menjadi idola atau ikutan para peminat saya termasuklah dalam soal berpakaian,” katanya.

Dia kini sedang dalam proses menyiapkan baki 20 peratus pembikinan albumnya yang ke-11 berjudul Pedoman yang bakal memuatkan 12 buah lagu terbitan Johan Nawawi Production.

Sepanjang menceburkan diri sebagai penyanyi pada 1992, Nora telah merakamkan 10 album berjudul Sandiwara pada 1994, Debaran (1995), Naluri (1996) dan Hanya Satu (1998).

Turut dirakamkan ialah album Abstrak Nora - Koleksi Terbaik (2000), Kirana (2000), Nora Nora (2002), Cinta Satu Dekad (2003), Samudera (2006) dan Memori Hit Nora (2009).

Belum masanya Samsudin berehat


TAHUN ini usia Samsudin Lamin 72 tahun. Pada usia emas, penyanyi dan pemuzik lagu-lagu Melayu asli ini sepatutnya banyak berehat di rumah.

Sama ada menghabiskan masa bersama anak-anak ataupun cucu-cucunya. Namun dia yang mula bermain muzik dan menyanyi pada usia 16 tahun seorang yang tidak boleh duduk diam.

Sehingga kini jiwanya dihalakan kepada bidang muzik. Sudah 56 tahun dia mencurahkan bakat dan perjuangannya dalam bidang seni.

Jika tiada undangan menyanyi, Samsudin memang suka duduk di rumah. Cuma jari-jemarinya sukar dipisahkan dengan alat-alat muzik yang berada dalam simpanannya.

Sewaktu mengisi masa lapang, dia setidak-tidaknya membelek-belek alat-alat muzik yang boleh diibaratkan sebagai isteri keduanya.

Menurut penyanyi yang pernah popular dengan lagu berjudul Bukit Malawati ini, alat muzik seperti biola dan akordian merupakan khazanah yang bernilai dalam simpanannya.

“Apabila berada di rumah saya banyak menghabiskan masa berehat. Saya masih bermain muzik sama ada sendirian atau mengajar anak-anak muda dalam bidang ini.

“Kalau tidak ada undangan menyanyi, saya lebih suka membersihkan alat-alat muzik kesayangan saya itu,” katanya kepada S3.

Pada pertemuan di rumahnya di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor itu, dia kelihatan begitu asyik membersihkan alat-alat muzik yang disimpanannya sejak lebih 30 tahun lalu.

Minat mendalam itu turut mendorongnya menubuhkan Bengkel Seni Samsudin Lamin sejak empat tahun lalu di hadapan rumahnya.

Ekoran itu, boleh dikatakan sepanjang hari dia akan menghabiskan masa di bengkel itu yang sekali gus merangkap tempatnya mengimbau nostalgianya sebagai anak seni.

“Kata orang kalau tidak dapat menyanyi atau bermain muzik sekalipun, dapat memandang dan memegang instrumen itu pun sudah memuaskan jiwa saya.

“Ia mengimbau nostalgia saya menjadi penyanyi dan pemuzik lagu-lagu Melayu asli sejak puluhan tahun lalu. Ada kalanya ia membuatkan saya hiba.

“Semua itu boleh menyebabkan saya menitiskan air mata. Lebih menghibakan apabila perjuangan saya dalam bidang ini mendapat perhatian banyak pihak termasuklah kerajaan,” ujarnya.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara misalnya, telah melantiknya sebagai jurulatih dalam Kursus Jurulatih Seni Budaya Negara.

Melalui kursus itu, Samsudin diberi kepercayaan mendidik anak-anak muda yang ingin mempelajari persembahan muzik dan lagu-lagu Melayu asli yang kini semakin dilupakan masyarakat.

Justeru, suami kepada Yunetta Yusuf, 53, ini memang berjiwa seni sejati. Lebih lima dekad menjadi orang seni belum memuaskan hatinya.

Paling meninggalkan nostalgia ialah alat-alat muzik dan piala-piala serta sijil-sijil kemenangannya sepanjang terbabit dalam bidang seni juga masih elok dalam simpanan di bengkel beliau itu.

Malah, lantaran keghairahannya yang mendalam terhadap lagu-lagu Melayu asli menyebabkan dia menjadi buruan ramai. Sama ada penganjur persembahan pentas atau murid-murid sekolah.

Ini kerana, meskipun pada usia emas, tetapi bakat dan pengalamannya dalam bidang muzik menjadi tagihan kalangan pemuzik generasi muda.

Sejak Februari lalu, dia diberi kepercayaan melatih murid-murid Sekolah Menengah Tinggi Setapak, Sekolah Menengah Bandar Baru Sungai Buloh dan Sekolah Rendah Sri Pristana, Selangor.

“Apabila ada masa lapang saya akan mengajar anak-anak muda bermain muzik termasuklah yang datang ke bengkel saya ini. Kalau tidak saya yang akan pergi ke sekolah mereka.

“Semua itu saya lakukan kerana mahu memperturunkan ilmu dalam bidang ini dan juga atas kecintaan saya terhadap muzik,” jelasnya.

Pada masa sama Bengkel Seni itu turut menawarkan sesi pengajaran lagu-lagu Melayu asli di bawah bimbingannya dengan kadar bayaran RM39 sejam bagi sebuah kumpulan muzik.

Samsudin kini dalam proses menghasilkan album terbarunya dengan empat buah lagu antaranya berjudul Pengantin Datang dan Putrajaya.

Aliff patah rusuk main skateboard


BINTANG baru yang memulakan langkah seninya sebagai pengacara program 24-7, Alif Hadi tidak pernah serik bermain papan selaju atau skateboard walaupun tulang rusuk kanannya pernah patah suatu ketika dahulu.

Bukan itu sahaja, anak muda berusia 22 tahun itu menjelaskan, ligamen lutut kirinya pernah putus dan sehingga kini belum pulih sepenuhnya.

Kata Alif, kecederaan yang dihadapinya itu sedikit pun tidak mematikan minatnya terhadap sukan ekstrem yang telah sebati dengan dirinya sejak sembilan tahun lalu itu.

“Tulang rusuk saya patah pada 2003. Masa itu saya tengah main skateboard di taman ekstrem Shah Alam, Selangor.

“Ketika sedang bermain, saya terjatuh dan tulang rusuk kanan berlaga dengan siku saya. Kesan hentakan itu membuatkan ia patah.

“Bagaimanapun, saya menyedari kecederaan itu hanya selepas dua minggu setelah mendapatkan rawatan di klinik,” cerita anak jati Selangor itu.

Sesungguhnya, atas dasar minat yang mendalam terhadap skateboard, Alif tetap meneruskan rutin hariannya itu.

Ujar Alif yang popular menerusi iklan komersial Pizza Hut dan Coca Cola itu, bermain skateboard memberikannya kecergasan tubuh badan pada tahap maksimum.

Selain itu, jelas Alif, ia adalah sukan yang memerlukan pemainnya mengatasi ketakutan yang ada dalam diri mereka.

“Sukan itu menuntut pemainnya melakukan aksi-aksi berbahaya dengan cara yang selamat.

“Untuk melakukannya, saya perlu mengatasi ketakutan saya terlebih dahulu sebelum mencuba beberapa aksi atau disiplin yang dilakukan.

“Jika perasaan takut menyelubungi diri pemain, aksi yang dilakukan selalunya tidak akan menjadi dan mendatangkan bahaya pada diri pemain serta orang lain,” terang artis yang bernaung di bawah KRU Studios itu.

Hampir sedekad mengabdikan diri dalam sukan tersebut, Alif pernah menjuarai beberapa pertandingan. Antaranya ialah Karnival Sukan Lasak dan Kecerdasan 2007.

Tambahnya, dia akan memperuntukkan sekurang-kurangnya dua jam untuk bermain skateboard sama ada bersendirian mahu pun bersama kawan-kawan.

Jehan suka sukan lasak


MENDENGAR Jehan Miskin bercerita fasal 5A, 5B, 5C hingga ke 9A, 9B dan 9C, penulis ternganga. Ingatkan dia bercerita tentang jenis lesen kontraktor yang diambil.

Rupa-rupanya apa yang diperkatakan Jehan dengan Timbalan Pengerusi Belia 4B cawangan Kampung Wira Damai, Mohd. Abdul Halim Zainal Abidin adalah laluan yang digunakan untuk aktiviti lasak, rock climbing.

Pertemuan kami di kawasan rekreasi Gua Damai berhampiran Batu Caves, Gombak, pukul 9 pagi, Sabtu lalu adalah untuk memberi peluang Jehan melepaskan rindunya pada aktiviti lasak itu.

“Saya mula buat rock climbing ini sejak tahun 2000 lagi. Mula-mula dulu buat indoor rock climbing. Saya boleh habiskan masa seharian kat tempat sebegitu di The Summit Climbing Gym, USJ atau Camp 5 Climbing Gym, One Utama.

“Harap hari ini dapat buat lagi, sebab sudah dua tahun juga tidak buat kerja panjat-memanjat ni kerana tidak ada masa, sibuk memanjang,” ceritanya.

Bagaimanapun hasrat pemegang watak Benjy dalam drama Awan Dania itu hampir gagal untuk melakukan rock climbing di bahagian dinding bukit Gua Damai kerana hujan lebat.

Memandangkan Mohd. Abdul Halim pemegang kunci ke Gua Damai, dapatlah Jehan melakukan rock climbing di bahagian hadapan gua yang sekali gus memudahkan jurufoto, Rashid Mahfof merakamkan gambar pelakon berkenaan dari pelbagai sudut yang menarik.

Sebelum memulakan pendakian, Jehan yang berpakaian seluar trek dan kemeja T tanpa lengan, menukar seliparnya kepada kasut khas untuk memanjat.

“Saya hanya ada peralatan lengkap untuk indoor rock climbing saja. Kasut ala ballet ini dibuat khusus untuk memanjat kerana ketika memanjat kita hanya menggunakan hujung jari kaki.

“Setiap pemanjat mesti ada beg kapur magnesium (chalk bag) yang diikat di pinggang bahagian belakang. Kapur ini untuk meneutral peluh yang keluar pada tangan dan kelembaban pada batu atau permukaan tebing,” jelasnya.

Katanya, lain-lain peralatan asas yang perlu adalah Belay Device, alat keselamatan seorang pemanjat yang dikawal oleh belayer dan harness yang digunakan sebagai alat keselamatan untuk pemanjat dan belayer serta tali.

Setelah lengkap 'berpakaian', Jehan dibantu oleh Khairil Amar Yusof atau Yen yang bertindak sebagai belayer dan Abdullah Zul Yuzarin Yeop Mahidin.

Melihat Jehan memanjat tebing Gua Damai, penulis pula yang risau kerana bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini.

Alhamdulillah, tugasan kami berjalan lancar kerana dibantu oleh tiga jurulatih rock climbing profesional.

Demi mendapatkan sudut yang menarik, Rashid pun terpaksa memanjat (laluan biasa) ke tebing yang lebih tinggi daripada Jehan.

Menurut Jehan, aktiviti sukan lasak bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tapi juga minda.

“Buat rock climbing ini kena fokus betul-betul. Sukan ini akan membawa kita berada di dunia lain. Mana tidaknya, waktu memanjat itu mana boleh fikir benda lain.

“Kita hanya boleh fikir bagaimana cara aku nak sampai ke atas, bahagian tebing mana yang nak dipegang. Kalau tidak memberi tumpuan, silap hari bulan, diri sendiri yang cedera. Memang nampak berbahaya tapi sukan ini membuatkan kita sentiasa bersedia,” katanya yang pernah terkehel di bahagian bahu kerana aktiviti lasak.

Selain Gua Damai, Jehan juga pernah membuat rock climbing di Pulau Tioman dan Lost World Of Tambun, Ipoh yang laluannya lebih sukar.

Kata Jehan, beliau bukan sahaja gemar rock climbing, malah pernah melakukan bungy jump juga.

Aktiviti lasak lain yang pernah dilakukannya adalah abseiling, flying fox, berenang bersama jerung, water rafting, mendaki Gunung Kinabalu, kick boxing dan muay thai.

Farah (AF) Menetap Di Pulau Pinang Selepas Kahwin


PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara Farah Diana Anuar, 26, memilih untuk menetap di Pulau Pinang selepas berkahwin.

Farah yang bertunang pada Disember lalu dengan ahli perniagaan berasal dari negeri itu dijangka akan menamatkan zaman bujang pada September depan.

“Memandangkan bakal suami saya bekerja di Pulau Pinang, saya akan mengikutnya berpindah ke sana dan akan berulang-alik jika mempunyai urusan kerja serta melawat keluarga di Kuala Lumpur.

“Saya rasa tiada masalah untuk berulang kerana setakat ini saya hanya terikat untuk mengacara program Nasi Lemak Kopi ‘O’ pada setiap Jumaat di TV9.

“Selain itu, saya masih bergelar hos program Rasa Halal yang sedang memaparkan tentang negara Vietnam di Astro Oasis (saluran 106). Selepas ini, mungkin saya akan ke Korea atau Laos untuk mengikuti penggambaran program tersebut.

“Saya juga ditawarkan mengacara program Sekolah Saya Hebat untuk TV AlHijrah,” kata Farah.

Farah yang baru setahun mengacarakan program bual bicara pada waktu pagi itu akui rezekinya semakin menyerlah dalam bidang pengacaraan.

Malah dia seronok kerana banyak menimba ilmu tentang bagaimana untuk mengendalikan program secara langsung menerusi pengacara senior Aziz Desa.

“Apabila bergelar pengacara, banyak perkara yang saya perlu tahu kerana tugas saya bukan hanya berkomunikasi di depan kamera, tetapi saya perlu banyak membaca dan mengetahui tentang isu semasa bagi mengelakkan daripada berbual kosong.

“Dengan bimbingan Aziz Desa yang sangat berpengalaman bukan sahaja dalam bidang pengacaraan, tetapi juga pernah menjadi pembaca berita televisyen, ia juga sedikit sebanyak membantu saya,” ujarnya yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kedua.

Aziz juga berpendapat Farah merupakan seorang yang bijak berkomunikasi, berbakat, santai dan mudah serasi untuk bergandingan dengannya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails