Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Black. Show all posts
Showing posts with label Black. Show all posts
"Tiada Lagi Komen Negatif Selepas Saya Repot Polis" - Black Hanafiah
Penyanyi Black berkata, sejak membuat laporan polis terhadap individu yang memanggil anaknya beruk di Instagram, dia tidak lagi menerima sebarang komen-komen negatif oleh pengikutnya di laman sosial tersebut.
Black atau nama sebenarnya, Hanifah Hanafiah, 28, menyifatkan, tindakan tegas yang diambilnya itu membuatkan individu lain yang mungkin mempunyai sikap tidak bertanggungjawab berfikir dua kali sebelum memberi komen-komen berunsur negatif.
"Alhamdulillah, orang luar tidak lagi meletakkan komen-komen negatif terhadap gambar saya dan keluarga.
"Walaupun sebagai artis saya sepatutnya lebih terbuka dengan komen-komen negatif yang diterima, tetapi sebagai manusia, saya juga mempunyai hati dan perasaan di mana saya akan terasa apabila membacanya lebih-lebih lagi ia berkaitan dengan anak," katanya kepada mStar Online.
Black sebelum ini membuat laporan polis selepas seorang pengikut Instagram miliknya menggelarkan anak dia, Khaleef Dayyan yang lahir pada Januari lalu dengan panggilan beruk.
Kemudian penyanyi itu turut mendedahkan individu tersebut merupakan seorang pelajar universiti.
Individu tersebut yang merupakan seorang lelaki digesa untuk membuat permohonan maaf secara terbuka secepat mungkin sebelum tindakan selanjutnya diambil.
Dalam perkembangan berkaitan Black berkata, individu itu masih lagi belum membuat permohonan maaf dan ia membuatkan dia akan terus mengambil tindakan saman. "Sehingga kini saya masih lagi belum menerima permohonan maaf daripada lelaki berkenaan.
"Malah saya syak dia membuka akaun Instagram lain dan mengutuk anak saya sama seperti sebelum ini," ujarnya.
Sementara itu, Black berkata, sepatutnya artis-artis lain yang mempunyai masalah yang seakan sama dengannya perlu memandang serius tentang perkara itu lebih-lebih lagi jika ia melibatkan keluarga.
"Saya percaya jika komen-komen negatif di alam maya ini diambil tindakan, pada masa akan datang tiada pihak yang senang-senang melemparkan tuduhan buruk kepada artis," tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Black kini sedang sibuk menyiapkan lagu bersama Dayang Nurfaizah bersempena dengan sambutan Aidilfitri. Malah dia juga akan muncul dengan sebuah album baharu tidak lama lagi.
DAPAT BAYI LELAKI - JANGKITAN PUNCA ISTERI BLACK BERSALIN AWAL
Rezeki tahun baru!
Begitulah halnya dengan penyanyi Black dan isterinya, Cira yang menimang cahaya mata pertama jam 7.48 petang kelmarin. Apa yang mengembirakan, mereka dikurniakan bayi lelaki yang sihat seberat 2.09KG.
"Air ketuban isteri saya pecah awal kerana terkena jangkitan. Dia sakit dalam dua hari juga. Selepas dua hari, petang semalam barulah rahimnya terbuka.
"Ketika lahir anak saya tidak menangis dan memberikan respon walaupun ditepuk. Hampir 10 minit jugalah doktor yang bertugas berusaha. Ketika itu, saya rasa sangat resah dan 10 minit kemudian barulah terdengar tangisannya. Saya tergamam hingga tidak mampu berkata apa-apa.
"Alhamdulillah isteri saya sihat. Begitu juga dengan anak saya. Bagaimanapun, kini anak saya masih ditempatkan di wad NICU yang dikhaskan untuk kanak-kanak baru lahir. Wad tersebut bukanlah untuk kanak-kanak yang kritikal.
"Anak saya perlu ditempatkan di situ kerana dia lahir tidak cukup bulan dan perlu mendapatkan sedikit lagi antibiotik tambahan untuk mengelakkan dia terkena apa-apa jangkitan.
"Tetapi kini alhamdulillah kerana dia sudah boleh minum susu dan jika tidak ada apa-apa dalam sehari dua lagi anak dan isteri saya sudah dibenarkan keluar," ujar Black dipetik sebagai berkata.
Saya tiada masalah dengan isteri - Black
AWAL minggu ini penyanyi bersuara lantang Black, 27, memuat naik sekeping gambar bertulis di akaun Instagramnya. Menerusi gambar tersebut, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanifah meluahkan perasaan kecewanya terhadap seseorang.
Antara luahan Black yang mendapat perhatian: “Kami bukan nak harta, kami bukan nak duit. Cuma mahu kejujuran, cuma mahu keadilan.”
Selain itu, dia turut menyelitkan tentang ibu dan bapanya di dalam gambar tersebut berkenaan wang dan keadilan.
Setelah beberapa jam gambar tersebut dimuat naik, para peminat sudah mula membuat spekulasi mengatakan Black kini sedang mengalami persengketaan dengan isterinya, Naquia Yasirah Mohd Khair, 29.
Ketika dihubungi Kosmo!, penyanyi yang pernah menjuarai pertandingan nyanyian Mentor itu menafikan bahawa dia kini sedang mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya.
Ujar Black, kehidupan rumah tangganya berjalan tanpa sebarang masalah.
Sebaliknya, luahan rasa itu ditujukan kepada beberapa orang ahli keluarga yang sedang mengalami krisis dalaman dengan ibu dan bapanya.
Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Black.
Kosmo!: Setelah memuat naik gambar bertulis itu, ada segelintir peminat yang menganggap anda sedang bersengketa dengan isteri. Betulkah tanggapan itu?
BLACK: Andaian yang dibuat oleh mereka tidak benar sama sekali. Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan isteri saya. Namun, gambar bertulis itu dimuat naik kerana rasa kecewa dengan tindakan beberapa orang ahli keluarga terhadap kedua ibu bapa saya.
Jadi, mengapakah anda bertindak sedemikian?
Sejujurnya, laman sosial bukanlah tempat terbaik untuk melontarkan pandangan mahupun bertelagah. Ia juga bukanlah platform yang sesuai untuk melepaskan ketidakpuasan hati kepada orang lain.
Namun, ini sahaja saluran yang saya ada untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam jiwa saya.
Apa yang sedang berlaku antara ibu dan bapa anda dengan individu-individu yang anda maksudkan?
Masalah antara mereka dan ibu bapa saya telah lama berlaku dan ternyata ia masih berlanjutan hingga ke hari ini. Saya berasa sedih dengan apa yang telah berlaku kepada mereka.
Sebagai seorang anak, saya rasa terpanggil untuk melindungi ibu dan bapa saya.
Pada pendapat anda, adakah dengan cara ini mereka yang terlibat faham dengan apa yang anda luahkan?
Ya, saya harap mereka membaca dan mengerti tentang perasaan kecewa saya. Cuma, ini adalah kali terakhir saya menggunakan media sosial untuk menyampaikan rasa kecewa saya kepada mereka.
Apakah pesanan anda kepada mereka?
Saya berharap mereka akan lebih bersikap jujur dan sedar tentang kesilapan yang mereka lakukan selama ini.
Setelah apa yang berlaku kepada anda, bagaimana hubungan anda dan isteri?
Alhamdulillah, hubungan kami tetap tidak tergugat dengan kejadian ini. Dia juga banyak memberikan nasihat kepada saya supaya berfikir panjang sebelum mengambil keputusan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya bakal muncul dengan album terbaharu pada bulan Mei depan. Selain itu, saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk drama Ohsem Music Group (OMG) bagi musim kedua. Pada musim ini, ia akan ditayangkan di TV3 juga pada bulan Mei depan.
Ada sebarang perancangan untuk menerbitkan lagu daripada drama berkenaan?
Ya, kami merancang untuk mengeluarkan sebuah album berdasarkan drama bersiri itu. Album itu nanti bakal mengandungi enam buah lagu dan tiga daripadanya lagu berbahasa Inggeris.
Black Hanafiah Tiada Kaitan Isu Hutang Selepas Kahwin
Penyanyi Black Hanafiah menafikan ada menggunakan orang tengah untuk urusan menyewa busana perkahwinannya dengan Naquia Yasirah Mohamad Khairi sehingga timbul isu bayaran itu belum dijelaskan.
Black atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah, 26, berkata, dia tidak pernah menggunakan mana-mana orang perantaraan untuk urusan perkahwinannya termasuk soal menyewa pakaian daripada seorang pereka fesyen.
"Gosip mengaitkan saya yang menjadi mangsa orang tengah apabila individu itu enggan melunaskan bayaran perkahwinan sebagai tidak masuk akal kerana saya tidak pernah berurusan dengan mana-mana orang tengah.
"Saya sendiri tidak mengetahui mengenai cerita berkenaan dan ia tidak berkaitan dengan saya," jelasnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Black dan Naquia, 28, selamat diijabkabulkan pada 13 September lalu dalam satu majlis yang diadakan di Zebra Square, Kampung Pandan dekat sini.
Dalam perkembangan sama, Black berkata, majlis perkahwinannya tidak mendapat sebarang tajaan daripada mana-mana pihak melainkan pelamin ketika di majlis pernikahan di Zebra Square dan majlis resepsi di Pantai Dalam.
Jelas Black, dia juga tidak berhutang dengan mana-mana pihak kerana semua hal melibatkan perkahwinannya telah selesai tanpa sebarang masalah.
"Urusan baju kahwin saya berurusan sendiri dengan pereka fesyen tersebut dan wang sewaan pakaian telah dilunaskan dan isu itu tidak pernah timbul.
"Jika ada apa-apa persoalan berbangkit pihak yang berurusan dengan saya boleh menghubungi saya tetapi daripada pengetahuan saya, semua hal melibatkan majlis tempoh hari telah pun selesai," katanya.
Sementara itu, Black berkata, dia semakin bahagia sejak bergelar suami dan mengakui ikatan suci itu telah mengubahnya menjadi insan lebih sempurna.
Jelas Black dia kini tidak lagi keluar melepak seperti mana zaman bujangnya dan lebih gembira berada di rumah bersama isteri jika tiada sebarang aktiviti.
"Rasa 'gian' nak keluar malam kadang-kadang masih ada tetapi saya lebih gembira bersama isteri di rumah atau keluar berdua," katanya.
KUNCI CINTA BLACK & NAQUIA DI KOREA
Meskipun bulan Madu Black Mentor Dan Isterinya Naquia terganggu akibat cirit-birit, muntah-muntah dan keletihan gara-gara keracunan makanan ketika berada di Langkawi, Kedah, namun percutian mereka seterusnya di Korea Selatan berjalan lancar.
Apa yang menarik, mereka yang bernikah pada 13 September lalu itu sempat memasang padlock di sana, iaitu tradisi yang dinamakan love lock atau kunci cinta. Untuk info, 'kunci cinta' kebiasaannya dilakukan oleh pasangan bercinta di mana nama dan perasaan ditulis pada padlock sebelum anak kuncinya dilempar jauh.
Black, Isteri Keracunan Makanan Di Langkawi
Bulan madu pasangan pengantin baharu iaitu Black Hanafiah dan isterinya, Naquia Yasirah Mohamad Khairi terganggu gara-gara kedua-dua mereka mengalami keracunan makanan ketika berada di Pulau Langkawi.
Black atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah, 26, berkata, mereka telah ditahan di Hospital Daerah Langkawi pada malam Khamis selepas mengalami cirit-birit, muntah-muntah dan keletihan.
"Alhamdulillah keracunan tersebut tidak terlalu teruk dan kami hanya ditahan selama beberapa jam sahaja di hospital selepas diberikan air garam untuk menyeimbangkan kembali bendalir dalam badan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Black dan Naquia, 28, selamat diijabkabulkan pada 13 September lalu dalam satu majlis yang diadakan di Zebra Square, Kampung Pandan.
Dalam perkembangan sama, Black berkata, kejadian berlaku selepas mereka menikmati makanan laut sejurus sampai di pulau peranginan itu pada malam Rabu lalu.
Kata Black, dia dan isterinya mula mengalami cirit-birit pada keesokan paginya sebelum ia melarat sehingga petang dan mengambil keputusan untuk pergi ke hospital mendapatkan rawatan.
"Mula-mula ingatkan sakit perut biasa sahaja tetapi ia semakin melarat sehingga ke petang sampaikan kami tidak larat untuk ke mana-mana dan duduk di dalam bilik hotel sahaja," ujarnya.
Sementara itu, Black berkata, kejadian itu tidak menggagu percutian bulan madu mereka malah mengeratkan hubungan suami isteri yang baharu terjalin selama seminggu.
"Saat-saat begini mengeratkan kami dan ia tidak menggagu langsung dan hari ini (Jummat) keadaan kami sudah kembali pulih dan kami mahu bersiar-siar di pulau ini,” jelasnya.
Tambah Black, dia dan Naquia akan berada di Pulau Langkawi sehingga Sabtu (esok) sebelum berangkat ke Korea Selatan pada Isnin depan.
Mahu segera timang anak - Black
TERKENA buatan orang, gosip putus tunang dan ditipu perancang perkahwinan adalah antara cerita panas yang mengisi perjalanan cinta penyanyi Black Hanifah dan pasangannya, Cira atau Naquia Yasirah Mohamad Khairi, 28, sebelum mereka sah bergelar suami isteri pada pukul 12.06 tengah hari Jumaat lalu.
Usai majlis pernikahan selesai dengan sekali lafaz di Zebra Square, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, terpancar kelegaan pada wajah Black kerana akhirnya, wanita berasal dari Pulau Pinang itu menjadi suri hidupnya.
"Alhamdulillah, saya gembira tidak terkata kerana majlis pernikahan berjalan lancar. Sekarang, saya masih menyesuaikan diri dengan panggilan suami dan memanggil Cira dengan panggilan isteri," katanya yang tersasul menyebut perkataan tunang ketika ditemu bual pihak media selepas majlis pernikahan selesai.
Walaupun detik perkenalan mereka cukup singkat, hanya dua bulan sebelum mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah, 26, yakin dia tidak tersalah pilih.
"Saya memang mencari wanita yang tidak mengenali saya sebagai penyanyi sebaliknya sebagai lelaki biasa. Ketika pertama kali bertemu dengannya, dia langsung tidak tahu saya penyanyi, reaksinya itu yang menambat hati saya.
"Sejak pertemuan yang diaturkan oleh rakan saya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu, saya berusaha menambat hatinya kerana bagi saya sukar untuk bertemu dengan wanita yang tidak kisah tentang glamor dan status saya sebagai penyanyi," ujarnya.
Isterinya yang duduk di sebelah mengakui cerita Black itu kerana ketika Black menyertai program realiti Mentor, dia terbang ke Melbourne, Australia untuk menyambung pelajaran dan menguruskan restoran milik ibu saudaranya di sana.
"Memang saya tidak kenal siapa Black, saya tahu lagu-lagunya tetapi saya tidak sangka dialah penyanyi tersebut.
"Dia seorang yang kelakar, manis, penyayang dan sangat menjaga keluarganya, sebab itu saya tertarik kepadanya dan rasa dia mampu menjaga saya dengan baik," ucapnya sambil tersipu malu.
Tidak sorok isteri
Meskipun majlis pertunangan mereka berlangsung senyap-senyap dan tidak dihebohkan kepada pihak media, Black menjelaskan dia tidak pernah mahu menyorokkan identiti isterinya itu.
Majlis pertunangan mereka tidak dihebahkan atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak, selain Black bimbang andai perhubungan mereka tidak kekal lama.
"Keluarga minta pertunangan tidak dihebahkan dan saya juga kalau boleh tidak mahu kecoh-kecoh. Kalau tidak jadi kahwin nanti apa orang akan kata, akhirnya saya juga yang malu.
"Saya langsung tidak berniat untuk sorok identiti isteri saya, cuma ketika itu waktunya belum tepat. Saya minta maaf jika ada menyinggung mana-mana pihak. Saya tunaikan janji dengan kongsi berita perkahwinan kerana ketika itu sah kami akan berkahwin," ceritanya.
Cira yang merupakan anak saudara kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, suami aktres Datin Paduka Umie Aida pula memberitahu, dia mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan identitinya kerana tidak mahu menganggu kerjaya Black.
"Saya bukannya menyorok dan saya juga bukannya selebriti, jadi buat apa saya mendedahkan diri kepada peminat suami dan media.
"Ketika itu memang saya tidak mahu masuk campur langsung dengan urusan kerjayanya. Saya tidak mahu dengan kehadiran saya nanti menyebabkan wujudnya halangan antara dia dengan peminat," balasnya tegas.
Disoal sudah bersedia untuk menghadapi segala dugaan selepas bergelar isteri kepada penyanyi popular, Cira hanya tertawa dan berkata, dia tidak akan berkahwin dengan Black andai dia tidak bersedia.
"Sebelum kami berkahwin pun sudah dengar macam-macam cerita. Selagi kami percaya antara satu sama lain dan saya sokong kerjayanya bagi saya tidak ada masalah," katanya.
Anak
Bercakap tentang perancangan keluarga, terus-terang Black memberitahu dia inginkan sebuah keluarga yang besar kerana mereka berdua lahir daripada keluarga yang kecil.
"Kalau boleh saya inginkan anak segera dan tidak mahu tangguh. Bagi saya anak adalah rezeki daripada Allah. Saya anak bongsu daripada tiga adik-beradik dan Cira anak kedua juga daripada tiga adik-beradik, jika boleh saya mahu anak yang ramai (ketawa)," tuturnya.
Justeru, Black sedar dia harus memantapkan ekonomi keluarga selepas berkahwin.
"Perancangan saya tentang kerjaya pula adalah bekerja dengan lebih keras. Saya akan bekerja seperti biasa selepas majlis perkahwinan ini kerana sekarang sudah ada keluarga sendiri yang ingin ditanggung.
"Bagaimanapun, saya bukanlah cari duit sebab ingin terlalu kaya. Cukuplah bersederhana, asal cukup makan, pakai itu sudah memadai buat kami," katanya jujur.
Black merancang membawa isterinya berbulan madu sambil menunaikan umrah di Mekah bersama ahli keluarganya awal tahun depan.
"Jika tiada aral melintang kami mahu tunai umrah dahulu sebelum bercuti. Cara itu lebih baik pada pandangan saya," ucapnya mengakhiri bicara.
Penyanyi yang popular dengan lagu Teman Pengganti itu memberi mas kahwin sebanyak RM80 serta wang hantaran berjumlah RM12,000 kepada pengantin perempuan.
Rombongan pengantin lelaki memberi tujuh dulang hantaran berbalas sembilan. Barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah minyak wangi, cincin, telekung, set kosmetik, iPad mini dan sepersalinan baju.
Barangan hantaran pihak perempuan pula ialah jam tangan, kasut, sirih junjung, al-Quran, songkok, tali pinggang dan dompet, cincin serta minyak wangi.
Black Hanafiah Impikan Punyai Ramai Anak
: Penyanyi Black Hanafiah mengimpikan untuk mempunyai sebuah keluarga besar iaitu bilangan anak yang ramai selepas bergelar suami kepada Naquia Yasirah Mohamad Khairi pada Jumaat.
Black atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah, 26, berkata, hasrat itu ditanamnya kerana dia dan Naquia Yasirah, 28, dilahirkan dalam keluarga yang kecil iaitu masing-masing mempunyai tiga beradik.
“Keluarga kami kecil iaitu masing-masing ada tiga beradik. Melihat kepada jumlah kecil itu, saya, kalau boleh mahu sebuah keluarga yang besar, Insya-Allah,” katanya.
Black berkata demikian selepas majlis akad nikahnya dengan Naquia Yasirah di Zebra Square, Kampung Pandan di sini, Jumaat.
Akad nikah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan Mohamad Khairi Abu Hassan, 55.
Pihak lelaki memberikan wang hantaran sebanyak RM12,000 dan mas kahwin RM80 berserta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang oleh pengantin perempuan.
Black yang popular dengan lagu Teman Pengganti berkata, dia dan isterinya tidak merancang mengenai bilangan anak sebaliknya mahu mendapat zuriat secepat mungkin.
“Anak itu rezeki bagi kami. Bukan senang nak dapat anak. Bagi saya, lagi cepat, lagilah bagus,” ujarnya.
Mengenai lokasi berbulan madu Black memberitahu mereka memilih untuk mengerjakan Umrah di Tanah Suci, Mekah yang dijadualkan pada awal tahun hadapan..
Dalam pada itu bercerita apakah penyebab dia jatuh hati terhadap Naquia Yasirah, pemuda itu berkata, selama ini dia mencari wanita yang tidak mengenalinya sebagai seorang artis.
Katanya, sehinggalah pada 18 Oktober 2012, Black berkenalan dengan Naquia Yasirah di Dataran Merdeka, melalui seorang teman dan mendapati wanita tersebut tidak mengetahui dia seorang penyanyi ketika mereka bertentang mata.
“Saya masih ingat lagi pada tarikh 18 Oktober 2012 pukul 6.56 petang, saya bersalaman dengan dia (isteri) dan saya lihat reaksinya, dia tidak kenal saya (penyanyi). Saya pun terkejut. Bermula dari situlah saya berusaha untuk mendapatkannya,” ujar Black.
Sementara itu Naquia Yasirah pula berkata, dia menyukai Black kerana sifatnya yang jujur, penyayang selain merupakan lelaki terbaik dalam hidupnya.
Dia yang pernah bekerja dan menuntut di Melbourne, Australia kini bekerja dengan sebuah syarikat milik keluarga.
Naquia Yasirah juga merupakan anak saudara kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan iaitu suami kepada pelakon Datin Umie Aida.
Sisi bahagia Black
BUKAN sikit-sikit dugaan yang dihadapi bakal pengantin ini. Kisah disihir sampai ditipu perunding perkahwinan nampaknya bakal mencorak perjalanan kehidupan berkeluarga penyanyi Black. Menganggap semua yang berlaku sebagai ujian yang bakal menghadiahkan mereka hikmah tersendiri, Black percaya reda menjadi kunci utama buat menghadapi semua yang berlaku ini.
Memilih tarikh 13 September depan sebagai hari ijabkabul, menurut Black tiada apa yang terlalu istimewanya mengenai tarikh itu selain ia jatuh pada Jumaat, penghulu segala hari.
Jika sebelum ini dia tidak terlalu terbuka berbicara, mengenai identiti sebenar bakal surinya itu, kini gadis berkenaan Naquira Yasirah Mohd. Khairi, 28, yang mesra dipanggil Chira oleh Black bukan lagi rahsia yang perlu dipendam.
"Sewaktu mula mengenali bakal isteri, dia sebenarnya tidak tahu yang saya seorang penyanyi. Dari situ saya tahu dia hanya mahu mengenali siapa Hanifah dan bukan Black.
"Secara jujurnya cinta kami ikhlas. Kami tidak pernah memandang status masing-masing. Bagi saya perkahwinan ini lebih kepada menerima siapa diri kami sebenar," katanya.
Alasan menghormati pandangan bakal isteri menjadi sebab mengapa Black tidak mahu terlalu terbuka berbicara soal perkahwinan sebelum ini.
"Melalui pengalaman pakciknya yang juga suami kepada Datin Paduka Umie Aida, saya pasti dia sudah tahu bagaimana untuk berada dalam industri ini.
"Saya hanya mengenali dia dua bulan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin, bagi saya ini jodoh," katanya tersenyum.
Bercerita mengenai hari bahagiannya, menurut Black, semuanya akan berlangsung selama tiga hari bermula 13 September sehingga 15 September.
Tidak mahu bercerita mengenai kos perkahwinannya, menurut Black apa yang boleh dikongsi adalah dia bekerja kuat untuk merealisasikan perkahwinan impian itu.
"Pada 13 September saya akan bernikah. Selepas itu sebuah majlis resepsi akan diadakan.
"Majlis nikah dan resepsi akan berlangsung di Zebra Square, Kampung Pandan. Manakala sebuah jamuan keraian akan diadakan pada 15 September di Padang Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi untuk peminat dan penduduk di kawasan itu.
"Soal berapa kos perkahwinan ini saya tidak mahu sentuh. Biarlah pihak saya sahaja yang tahu. Bagaimanapun saya berusaha keras untuk mencari wang agar perkahwinan ini dapat berlangsung dengan jayanya," katanya.
Kami ada batas
Setelah semakin hampir menuju ke hari bahagia, Black kini cukup terbuka untuk berkongsi hari-hari indah dia bersama tunangnya melalui laman Instagram.
Sekadar mahu berkongsi saat-saat itu dengan peminat, nampaknya ada yang tidak berapa bersetuju dengan penampilan tunangnya itu yang dianggap agak berani.
Menjawab persoalan itu dengan tenang Black percaya dia tidak akan pernah dapat memuaskan hati mana-mana pihak.
"Bila bercakap soal ini saya yakin, kalau memang ada yang tidak menyukai kami memang akan ada sahaja macam-macam komen negatif dilampirkan. Senang kata, tidak akan ada yang senang di mata mereka.
"Sebagai bakal suami, saya tahu tanggungjawab saya. Malah melihat sendiri apa yang terjadi kedua-dua kami masih tahu batas yang perlu kami patuhi," katanya.
Tidak mahu terlalu berkeras, bagi Black sama ada bakal isterinya nanti akan bertudung atau tidak, itu bukan persoalan yang perlu dijawab dirinya.
Yakin niat itu harus hadir dari pihak Chira sendiri, ia lebih mudah berlaku tanpa paksaan.
"Kami berdua masih muda, mungkin penampilan itu agak berbeza dari yang melihat. Namun seperti yang saya katakan tadi kami masih ada ibu-bapa yang perlu dihormati.
"Sebenarnya keinginan itu lebih mudah hadir dengan pilihan dia sendiri. Sebagai bakal suaminya saya sentiasa mengharapkan yang terbaik," katanya.
Mengalih pandangan kepada perunding perkahwinannya sebelum ini, menurut Black segalanya masih di dalam siasatan. Tidak mahu menjelaskan perkara ini lebih mendalam, bagi Black ada baiknya dia memberi tumpuan buat hari bahagiannya sahaja.
"Sebenarnya pada mulanya memang saya mahu menganjurkan majlis perkahwinan saya sendiri, tetapi bila perkara ini terjadi pihak pengurusan banyak mengambil alih.
"Perkara ini masih lagi didalam siasatan polis. Apa yang boleh saya katakan, lebih afdal rasanya seseorang peniaga itu menggunakan wang dari sumber yang halal dan bukan dari penipuan," katanya dengan nada geram.
Jangan salahkan saya - 'Puan WP'
CERITA Black 'dikapur' perunding perkahwinan sehingga kerugian mencecah RM30,000 mengundang simpati banyak pihak terhadap penyanyi lagu Aku Rindu Sayang Kamu itu sebelum ini.
Pada April lalu Black telah menyerahkan duit pendahuluan untuk persiapan majlis perkahwinan bagi bayaran deposit lokasi di Zebra Square Kuala Lumpur, urusan katering dan keperluan lain.
Biarpun wang deposit untuk lokasi perkahwinannya sudah dibayar namun Black tetap masih berasa tidak sedap hati. Sikap tidak amanah perunding perkahwinannya itu dipersoalkan.
Dek tidak tahan sabar akhirnya Black memutuskan untuk memecat perunding perkahwinan itu pada 3 Julai lalu sebelum menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pengurusan 8 Unit.
Pun begitu itu adalah cerita versi Black yang pernah tersiar di media sebelum ini. Pancaindera kemudiannya berjaya bertemu dengan perunding perkahwinan dikenali sebagai 'Puan WP' untuk mengetahui kebenaran dakwaan tersebut.
"Saya terkilan apabila Black membuat kenyataan bahawa saya telah melesapkan wang yang telah diserahkan atas urusan perkahwinannya sebelum ini. Dakwaan itu sama sekali tidak berasas.
"Ini bukan kali pertama kami menguruskan perkahwinan membabitkan selebriti. Dasar bisnes kami memang telus dan secara profesional.
"Sebenarnya bukan dia yang teraniaya dalam hal ini. Tapi pihak saya. Banyak projek lain yang saya dapat terpaksa ditolak sebab nak fokus majlis perkahwinan dia.
"Tapi soalnya di sini macam mana urusan perkahwinannya nak berjalan lancar kalau bayaran tak cantik? Jadi jangan salahkan saya sebaliknya selidiki punca permasalahan betul-betul.
"Tak timbul soal saya masih berhutang dengan Black. RM15,000 untuk lokasi, katering (RM7,000), RM3,000 (kos hotel sewaktu percubaan solekan, gaji, pra perkahwinan) dan bakinya RM5,000 adalah bayaran perkhidmatan saya.
"Dan perlu diingat bahawa siapa yang memecat siapa dalam konteks ini," tegas Puan WP yang mengakui tiada kontrak yang ditandatangani sepanjang berurusan dengan Black pada pertemuan di Puchong, petang Rabu lalu.
Enggan mengungkit lagi cerita berkenaan, 'Puan WP' turut mendoakan kebahagiaan perkahwinan Black dengan Naquia Yasirah Mohd. Khairi, 28, yang berlangsung pada 13 September ini.
Saya bukan bodoh - Black"SELEPAS ini kalau mahu cari 'makan' gunalah cara halal. Saya bukan bodoh," tegas Black, 26, berhubung kes penipuan membabitkan wang berjumlah RM30,000 yang dikatakan dilesapkan oleh perunding perkahwinannya sebelum ini.
Malah penyanyi lagu Aku Rindu Sayang Kamu ini kesal kerana pihak berkenaan masih belum mengembalikan wangnya selepas rundingan kali terakhir dibuat pada 3 Julai lalu.
Menyerahkan kes tersebut kepada pihak peguam, apa yang menjadi fokus utama Black adalah mengumpul wang secukupnya bagi menyempurnakan majlis perkahwinannya pada 13 September ini.
"Saya rasa tak wajar untuk mendahului apa yang sedang diperhalusi pihak peguam. Pada waktu sekarang ini kita sedang mencari jalan penyelesaian yang sesuai.
"Biarlah mereka yang membuat kerja. Saya tak mahu cakap panjang-panjang. Nanti mengganggu pula proses perbincangan sedia ada.
"Saya juga menganggap ini adalah dugaan sebelum berkahwin. Dugaan yang kecil ini akan mendapat kemanisan yang besar pada masa akan datang," katanya yang kini mahu dikenali sebagai Black Hanifah.
Ditanya tentang kos keseluruhan majlis perkahwinan Black, pemilik nama sebenar Hanifah Md. Hanafiah ini enggan mendedahkannya secara umum.
Majlis pernikahan Black bakal berlangsung kira-kira pukul 11.30 pagi di Zebra Square dan diikuti majlis persandingan pada pukul 8 malam keesokan harinya.
Difahamkan pihak TV3 bakal menyiarkan secara langsung majlis perkahwinan Black. Bagaimanapun perkara tersebut masih belum diputuskan lagi dan akan diumumkan stesen penyiaran itu tidak lama lagi.
Black pilih 13 September tarikh pernikahan
Setelah sekian lama berteka-teki akhirnya penyanyi, Black memilih 13 September depan sebagai hari pernikahannya dengan wanita pilihan, Naquia Yasirah Mohd. Khairi, 28.
Menurut Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah, 26, majlis pernikahan dan resepsi akan dilangsungkan di Zebra Square, di sini manakala majlis keraian turut diadakan pada 15 September di Padang PPR Kerinchi.
"Saya memilih hari Jumaat untuk bernikah dan sehari selepas itu majlis resepsi pula akan menyusul.
"Tidak melupakan penduduk di kawasan Pantai Dalam, ayah saya akan turut menganjurkan majlis keraian pada 15 September yang terbuka buat semua peminat," katanya pada sidang akhbar mengumumkan tarikh perkahwinannya itu di sini hari ini.
Menurut Black, dia hanya mengenali bakal isterinya itu selama dua bulan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. - UTUSAN ONLINE
Black Anjur Sidang Media Umum Tarikh Nikah
Penyanyi Black mengesahkan bakal berkahwin dengan tunangnya yang dikenali sebagai Cira Khairi pada September ini namun tidak dapat mendedahkan tarikh sebenar majlis itu.
Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah, 26, berkata, pihak pengurusannya iaitu The 8 Unit akan mengadakan satu sidang media khas bagi memaklumkan mengenai perkara itu selepas Hari Raya Aidilfitri kelak.
"Apa yang boleh saya katakan saya akan berkahwin pada September ini dan selebihnya kena tunggu pihak pengurusan buat sidang media mengumumkan perkara ini dengan lebih lanjut.
"Bagaimanapun saya sebenarnya tidak mahu mengadakan sidang media tetapi oleh kerana ia melibatkan banyak pihak jadi saya terpaksa akur," jelasnya kepada mStar Online.
Black dan Cira mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu dalam satu majlis sederhana yang dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Dalam perkembangan sama, Black berkata, persiapan perkahwinannya telah hampir 80 peratus siap dan mengakui berdebar menunggu hari bahagianya itu.
"Alhamdulillah persiapan berjalan lancar malah ada beberapa penaja turut sudi menaja perkahwinan kami nanti namun saya tidak boleh beri sebarang maklumat lanjut dan kena tunggu pada sidang media itu nanti," katanya.
Dalam perkembangan lain, Black berkata, bulan Ramadan ini dia kembali berniaga buah tembikai di bazar Ramadan di Pantai Dalam dekat sini dan bersyukur gerai buahnya itu mendapat sambutan.
"Saya pilih jual buah tembikai kerana buah tersebut sentiasa mendapat perhatian orang terutama di bulan Ramadan," jelasnya.
Selain itu, Black berkata, dia juga bakal muncul dengan dua single terbaharu iaitu Takkan Terpisah yang turut dijadikan lagu tema drama Jodoh Itu Milik Kita untuk siaran Astro dan Puisi Sang Dewi lagu tema filem Lemak Kampung Santan.
Black bakal umum tarikh nikah selepas raya
Penyanyi Black, 26, akan mengumumkan tarikh
pernikahannya dengan Chira Khairi, 26, selepas raya ini.
Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah berkata, pengumuman
tersebut sepatutnya dimaklumkan pada 3 Julai lalu namun terpaksa ditunda
selepas raya kerana beberapa masalah.
"Saya agak terkilan juga sebab tidak dapat memaklumkan tarikh pernikahan
seperti yang dijadualkan. Apa pun saya berharap masalah yang terjadi akan
diselesaikan dengan kadar segera.
"Buat masa sekarang 50 peratus persiapan sudah siap dilakukan oleh
perancang perkahwinan, terutama dari segi rekaan konsep perkahwinan,"
katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Juara program Mentor musim ke tiga itu telah bertunang dengan Chira pada
26 Januari lalu. - UTUSAN ONLINE
Black hampir putus tunang
TIADA khabar berita sejak bergelar tunangan orang, Black Mentor sebenarnya mempunyai alasan kenapa dia kurang mendapat publisiti sejak kebelakangan ini.
Mendapatkan penjelasannya, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah berkata, dia tidak pernah lari daripada media. Cuma terdapat beberapa urusan yang membuatkan dia agak sibuk.
Tambahnya, dia tidak mahu terlalu menonjol kerana dugaan bertunang amat berat untuk dipikul lebih-lebih lagi bagi seorang selebriti seperti dirinya.
Black yang ditemui semasa rakaman Rockestra Raya untuk saluran TV9 bersama Amy Search dan Azlan The Typewriter di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini sempat bercerita.
Ujarnya, dia hampir putus tunang ekoran perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Black bagi mengetahui cerita dugaan bergelar tunangan kepada gadis yang dikenali sebagai Cira Khairi itu.
Kosmo!: Black, sejak anda bertunang pada 26 Januari lalu, susah betul mahu mendapatkan perkembangan terbaharu anda. Kenapakah anda seperti mahu melarikan diri daripada wartawan?
BLACK: Sebenarnya saya bukan lari daripada sesiapa. Selepas bertunang, saya ada banyak jemputan show yang perlu dihadiri sehingga tidak menang tangan.
Lebih-lebih lagi pada masa itu saya sering mengikuti kempen-kempen sempena Pilihan Raya Umum ke-13 tempoh hari. Malah, saya juga sibuk menguruskan persiapan perkahwinan. Alhamdulillah, kini persiapan perkahwinan sudah hampir 70 peratus siap.
Sudah mahu kahwin rupa-rupanya. Bilakah akan berlangsung hari bahagia Black tersebut?
Itu saya tak boleh beritahu lagi. Saya akan buat sidang akhbar pada 3 Julai ini bagi mengumumkan tarikh perkahwinan saya itu.
Di manakah lokasi dan masa pengumuman itu akan dibuat, saya akan beritahu kelak. Apa yang pasti, pernikahan itu akan berlangsung pada tahun ini juga.
Sejak bertunang, apakah cabaran paling besar yang perlu anda hadapi?
Saya akui dugaan bertunang amat berat. Tiga hari sebelum PRU-13 berlangsung, saya mengalami kemalangan di Behrang, Perak bersama abang. Kereta BMW saya terbalik dan berpusing. Syukurlah tidak ada kecederaan serius.
Selain itu, saya dan tunang terkena buatan orang. Kami sebenarnya hampir putus tunang. Sebulan selepas bertunang, kami bergaduh hampir setiap hari. Pantang bercakap atau berjumpa, asyik panas sahaja. Tetapi syukurlah, setelah menjalani rawatan alternatif semuanya kembali pulih.
Adakah anda mengetahui siapakah dalang di sebalik perbuatan tidak bermoral itu?
Tidak. Kami tidak mengenali individu tersebut. Saya pun pelik mengapa perkara ini terjadi. Mungkin ini dugaan yang perlu dihadapi sejak berdarah manis. Saya pun tidak tahu kenapa perkara itu boleh terjadi kerana kami tidak pernah bermusuh dengan sesiapa. Tetapi tak apalah sebab semuanya sudah selesai.
Memandangkan tarikh pernikahan anda bakal tiba tidak lama lagi, apakah persediaan yang dibuat untuk bergelar seorang suami?
Saya sudah bersedia dan mula melengkapkan diri. Saya akan mengambil kursus perkahwinan pada bulan depan. Bila saya lihat semula, perjalanan saya untuk bergelar suami ini cantik dan sudah tersusun. Saya serahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.
Black, kenapa anda terlalu merahsiakan gadis yang bertakhta di hati sehingga sekarang ramai yang masih menantikan kemunculan bakal isteri anda itu?
Saya kalau boleh tak nak dia terlibat dalam industri ini kerana saya tidak mahu mencampuradukkan hal peribadi dengan kerja. Kalau boleh nak bersanding pun biar saya seorang di atas pelamin itu (ketawa).
Tengoklah, saya tidak tonjolkan dia pun masih ada orang yang dengki dan tidak puas hati. Tunggulah pada majlis persandingan nanti.
Bercerita mengenai kerjaya pula, apakah perkembangan terbaru anda?
Insya-Allah saya akan muncul dengan dua buah single baharu yang berjudul Puisi Sang Dewi dan Takkan Terpisah yang masing-masing dijadikan runut bunyi untuk filem Lemak Kampung Santan dan drama untuk siaran Astro. Semoga rezeki saya semakin melimpah.
Black dan tunang disihir
Bicara kahwin - Black
Black Akur Terpaksa Dedah Identiti Tunang
Black hormati permintaan keluarga tunang
SETELAH putus cinta dengan kekasihnya pada akhir tahun lalu, penyanyi Hanifah Md. Hanafiah atau lebih popular dengan panggilan Black Mentor tidak mengambil masa yang lama untuk mencari teman pengganti.
Namun begitu, lebih mengejutkan apabila tersebar berita yang menyatakan Black telah mengikat tali pertunangan dengan seorang gadis baru-baru ini.
Kosmo! secara eksklusif pada 1 Februari lalu berjaya mendapatkan pengakuan Black mengenai pertunangannya pada 26 Januari lepas, namun dia enggan memberikan butiran terperinci termasuk identiti tunangnya itu.
Ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah Juara Lagu ke-27 yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 4 Februari lalu, Black masih enggan mendedahkan identiti tunangnya itu, meskipun telah diasak oleh pihak media.
Kosmo!: Bolehkah jelaskan dengan lebih lanjut mengenai cerita pertunangan Black?
BLACK: Pada kesempatan ini saya ingin menjelaskan bahawa berita tentang pertunangan saya itu memang benar. Saya telah bertunang pada 26 Januari lalu dalam sebuah majlis yang dibuat secara sederhana.
Namun begitu, saya ingin memohon maaf kepada semua pihak, terutamanya rakan-rakan media dan peminat kerana merahsiakan perkara ini. Saya akui agak risau sekiranya ada mana-mana pihak yang berkecil hati.
Siapakah individu yang telah bertakhta di hati Black itu?
Buat masa ini, saya tidak boleh mendedahkan dengan lebih lanjut tentang tunang saya itu. Apa yang boleh saya katakan, kami sudah berkenalan selama dua bulan menerusi seorang rakan.
Mengapakah Black sangat berahsia tentang pertunangan tersebut?
Semuanya saya lakukan ini semata-mata atas permintaan pihak keluarga perempuan yang tidak mahu terlalu menjadi tumpuan ramai. Jadi, saya mengambil keputusan supaya lebih berahsia bagi menghormati permintaan mereka.
Apatah lagi sepanjang tempoh pertunangan, pastinya pelbagai cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi, maka kami perlu menjaga hubungan ini dengan sebaik-baiknya.
Mengapakah Black mengambil keputusan untuk bertunang dengan begitu cepat?
Memang perkenalan kami masih lagi agak baharu, namun keputusan ini dibuat setelah kami mencapai kata sepakat. Kalau ikut perancangan kami akan mengikat tali pertunangan selama setahun.
Lagipun tiada apa yang perlu dibangkitkan tentang pertunangan saya ini, meskipun tempoh perkenalan kami agak singkat. Kalau kami terus membuat keputusan untuk berkahwin, sudah tentu akan timbul persepsi yang lain pula.
Apakah yang membuatkan Black tertarik dengan gadis tersebut?
Salah satunya kerana dia merupakan seorang gadis yang terpelajar, malah dia juga tidak tahu yang saya ini merupakan seorang penyanyi kerana dia menuntut di luar negara sebelum ini.
Walaupun kerjaya saya sekarang sekadar sebagai penyanyi, dia langsung tidak kisah. Dia pernah memberitahu yang dia cuma inginkan seorang lelaki yang pandai mencari duit dan boleh menjaga dirinya.
Black Bertegas Enggan Dedah Identiti Tunang
PETALING JAYA: Penyanyi Black bertegas untuk tidak sesekali mendedahkan siapakah wanita yang menjadi tunangnya kerana bimbang hubungan mereka akan menimbulkan masalah di kemudian hari.
Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah, 26, berkata, alam pertunangan sebenarnya terlalu banyak dugaan malah kekasihnya juga tidak bersedia jika identitinya dikenali oleh orang ramai,
"Alam pertunangan ini banyak dugaannya, saya bimbang dengan pendedahan berlebihan mengenai tunang mungkin menimbulkan masalah lain pula nanti.
"Cukuplah saya katakan dia seorang wanita terpelajar dan kami ambil keputusan untuk bertunang selepas dua bulan berkenalan. Keluarga tunang saya tidak mahu pertunangan kami digembar-gemburkan lainlah kalau perkahwinan,” katanya kepada mStar Online.
Black berkata demikian sebagai respons kepada desas-desus kononnya dia cuba menyembunyikan status pertunangannya daripada khalayak.
Black dan gadis berkenaan mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu dalam satu majlis sederhana yang dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Penyanyi lagu Teman Pengganti ini turut ingin memohon maaf kepada semua terutamanya pihak media kerana tidak memaklumkan mengenai majlis itu sebagai menghormati permintaan keluarga.
Mengenai kerjaya, Black dan pasangan duetnya iaitu RJ sedang memilih lagu rap daripada beberapa komposer untuk dijadikan lagu berikut mereka.
"Memang kami ada perancangan untuk projek lagu seterusnya dan sedang pilih lagu sekarang.
"Kami sudah ada dua atau tiga lagu tetapi belum putuskan lagi yang mana satu."Saya juga akan keluarkan lagu solo terbaharu pada April depan," katanya.
Black juga baharu menamatkan penggambaran filem berjudul Longkai arahan Hashim Rejab.
Black kini tunangan orang
SELEPAS sering dikaitkan kontroversi tentang hubungannya dengan wanita, akhirnya penyanyi Black yang popular dengan lagu Teman Pengganti kini bergelar tunangan orang.
Berita mengenai pertunangannya itu belum dapat dihidu oleh media.
Bagaimanapun, Black ketika dihubungi Kosmo! semalam enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai majlis pertunangan yang berlangsung pada Sabtu, 26 Januari lepas.
“Memang saya telah bertunang tetapi saya tidak mahu bercerita lebih lanjut mengenai siapakah tunang saya, majlis pertunangan dan tarikh perkahwinan kerana menghormati permintaan keluarga saya dan keluarga pihak perempuan,” ujarnya.
Black bagaimanapun memberitahu, dia mungkin akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini namun, belum ada tarikh tertentu lagi.
“Saya tidak mahu heboh bukan kerana nak sorok majlis pertunangan tetapi orang kata dugaan ketika bergelar tunangan orang ini agak berat.
“Ramai orang tahu saya sudah ada kekasih sebelum ini, tetapi yang menjadi artis saya seorang bukan keluarga dan keluarga tunang saya.
“Jika tidak ada aral melintang saya akan berkahwin dalam tahun ini juga. Waktu itu saya akan beritahu semua tentang majlis perkahwinan dan siapa bakal isteri saya. Jadi, saya harap dapat menghormati privasi diri saya,” tutur Black mohon difahami.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]









