Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Datuk K Tidak Benarkan Siti Nurhaliza Masuk Askar Jika Hamil


PETALING JAYA: Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa (Datuk K) tidak menghalang isterinya Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menyertai latihan sebagai Askar Wataniah melainkan sekiranya wanita itu mengandung.

Kata Datuk K, selepas melihat syarat-syarat penyertaan, dia tidak mempunyai halangan sebaliknya memberi dorongan kepada Siti untuk melibatkan diri dalam aktiviti berkenaan.

“Saya benarkan Siti menyertainya sebab dia bukannya perlu masuk hutan dan menghabiskan masa untuk latihan selama berbulan-bulan seperti askar biasa.

"Sebaliknya dia hanya perlu menjalani latihan pada hujung minggu atau pada waktu lapang dan boleh berulang-alik dari rumah.

“Dalam masa yang sama kalau dia mengandung, mungkin saya tidak membenarkan dia menyertai pasukan itu. Setakat ini dia belum hamil lagi,” katanya kepada mStar Online, di sini, Jumaat.

Jelasnya, dengan penyertaan Siti dalam pasukan itu sekurang-kurangnya mampu memberi galakan kepada orang lain untuk menyertai pasukan berkenaan.

Malah beliau juga akan menggalakkan anak-anak lelakinya mengikuti jejak serupa.

“Saya tahu aktiviti yang dijalankan agak lasak seperti latihan menembak dan kawad kaki.

"Bagaimanapun, saya akan memberikan sokongan moral kepada dia memandangkan dia agak meminati bidang tersebut.

“Dengan menyertai pasukan itu, sedikit-sebanyak ia boleh menghilangkan stres. Selain itu, dia boleh memberikan galakan kepada orang lain kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada negara kita pada masa akan datang,” katanya lagi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penyertaan Siti dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW) pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010, Jabatan Latihan Khidmat Negara dan Pemakaian Pangkat Kolonel Kehormat kepada Ketua Pengarah jabatan itu Datuk Abdul Hadi Awang Kechil di Kementerian Pertahanan, Khamis.

Sesiapa yang menyertai RAW perlu menjalani dan menamatkan latihan 39 jam dalam masa setahun mengikut kelapangan masing-masing sebelum ditauliahkan.

Ahmad Zahid berkata, selebriti yang menyertai rejimen itu dapat dijadikan ikon untuk menarik minat lebih ramai individu di bawah usia 35 tahun menyertai pasukan tersebut.

Dynas Buka Butik Ibu Mengandung


PETALING JAYA: Pelakon Dynas Mokhtar sanggup berbelanja besar dengan mengeluarkan wang sejumlah RM150,000 untuk membuka butik Dynas Nursing Attire (DNA).

Menurut Dynas dia gembira kerana impiannya untuk membuka sebuah butik pakaian ibu mengandung serta mereka yang menyusukan anak tercapai kerana perancangan tersebut telah dibuat sejak setahun lalu.

"Sebenarnya saya tidak ada keberanian dan kurang yakin untuk membuka perniagaan bersendirian lebih-lebih lagi terpaksa mengeluarkan modal yang besar tanpa membuat pinjaman.

"Bagaimanapun, keluarga, ibu dan seorang rakan daripada Nurturing Concept iaitu Rita yang telah menaikkan semangat dan menyokong saya untuk bergerak sendiri dalam perniagaan ini," katanya yang ditemui pada pelancaran butik DNA di The Curve, di sini, Rabu.

Kata Dynas, idea menghasilkan pakaian ibu mula tercetus ketika dia mengandungkan Khyra Khalisa, di mana dia agak sukar untuk mencari pakaian ibu mengandung yang sesuai serta moden.

Malah pakaian khas buat ibu yang menyusukan anak juga sukar untuk dicari di Malaysia dan hal tersebut membuatkan Dynas mula mengilhamkan beberapa pakaian yang sesuai.

"Memang agak sukar untuk kita cari baju moden yang sesuai dengan status seorang ibu yang menyusukan anak.

"Dengan rekaan saya ini, ibu-ibu di luar sana boleh menyusukan anak di mana-mana sahaja tanpa perlu mendedahkan kulit," tuturnya.

Dalam pada itu, dia juga sedang membuat perancangan untuk mengembangkan perniagaannya dengan memperkenalkan pakaian bagi wanita bertudung dan pada masa sama turut berharap agar jenama DNA dapat tembus ke pasaran luar.

Butik DNA kini terletak di tingkat satu pusat beli-belah The Curve, Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Farah Asyikin Tidak Akan Berduet Selepas Kematian Shamrin


PETALING JAYA: Penyanyi Farah Asyikin, 32, memberitahu fobia untuk berduet dengan mana-mana artis kerana masih tidak dapat melupakan kematian Allahyarham Shamrin Fotograf pada 11 November tahun lalu akibat serangan jantung.

Jelasnya, fobia itu terjadi kerana dia dan Allahyarham baru sahaja menyiapkan projek lagu duet berjudul Aku Kamu Satu sebelum pemergiannya.

“Saya jadi fobia untuk berduet dengan mana-mana artis lagi kerana kejadian itu. Lebih sedih dia yang mahu saya nyanyi bersamanya untuk lagu itu,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Farah sehingga kini dia masih tidak mampu untuk mendengar semula lagu berkenaan yang telah siap sepenuhnya apatah lagi meneruskan projek berkenaan yang masih tertangguh.

“Lagu tersebut sudah siap dan kini berada dalam simpanan saya. Saya tak mampu nak dengar semula dan tiada perancangan untuk meneruskan projek menerbitkan lagu tersebut.

“Jika diingat penat lelah kami, memang saya sedih kerana dia sangat teruja menunggu lagu itu dimainkan di radio,” katanya.

Kata Farah lagi peristiwa yang berlaku itu adalah yang pertama dan terakhir kerana dia sudah membuat keputusan untuk tidak mahu berduet lagi selepas ini.

Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan kerjaya, Farah kini sibuk merakamkan single terbarunya bersama komposer terkenal Ajai.

“Saya sedang menyiapkan single berjudul Tiada Penghujungnya yang di jadual dilancarkan pada bulan depan.

“Saya harap dengan kemunculan single tersebut mampu mengangkat kembali nama saya di persada industri seni suara ini. Saya tahu beberapa tahun ini saya banyak menyepikan diri,” katanya.

Izreen Tidak Ganggu Hubungan Almy Nadia & Fizz Fairuz


PETALING JAYA: Pelakon Izreen Azminda Mohd Aznam (Izreen), 26, yang dikatakan menjadi orang ketiga dalam hubungan cinta Almy Nadia dan Fizz Fairuz mengaku pernah berkawan rapat dengan aktor tersebut.

Bagaimanapun, jelas Izreen hubungan tersebut hanyalah sekadar kawan biasa dan terjalin sejak dua tahun lalu ketika mereka dipertemukan berlakon dalam satu drama.

“Saya terkejut apabila terbaca tentang gosip tersebut sebab ia sama sekali tidak benar kerana saya dan Fizz Fairuz sudah lama tidak berhubung.

“Ya, memang saya pernah berkawan dengan dia beberapa tahun dahulu kerana kami ada berlakon dalam satu drama bersama tapi selepas itu masing-masing dengan hal masing-masing,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Izreen menjelaskan dakwaan gosip cinta tiga segi antara dia, Almy Nadia dan Fizz Fairuz seperti yang dilaporkan sebuah akhbar Ahad lalu adalah tidak benar sama sekali.

Dia juga dikatakan menjadi punca hubungan pasangan selebriti itu retak sehingga menyebabkan Fizz Fairuz menangguhkan perkahwinannya dengan Almy Nadia.

Jelas Izreen, khabar angin tersebut tidak benar dan secara langsung boleh mengeruhkan keadaan hubungan pasangan tersebut.

“Saya takut berita ini menjejaskan hubungan mereka, padahal saya langsung tiada kena mengena dalam perkara ini, saya tidak mahu digelar perampas.

“Begitu juga dengan Fizz, kami belum berjumpa lagi setakat ini dan kalau boleh saya tidak mahu disebabkan berita ini kami bermasam muka,” katanya yang bakal bergandingan dengan aktor tersebut untuk drama Stanza Cinta.

Tambahnya, disebabkan berita tersebut, banyak tohmahan dan gangguan telefon yang diterimanya daripada peminat yang tidak suka tentang perkara tersebut.

“Ada mesej dan gangguan telefon yang marahkan saya tentang perkara itu, padahal mereka tidak mengetahui perkara sebenar.

“Mungkin juga peminat-peminat mereka yang tidak suka perkara ini dan menganggap ia benar terjadi,” katanya.

Siti Nurhaliza Bakal Sertai Askar Wataniah


KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dijangka menyertai Rejimen Askar Wataniah dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Siti bersetuju menyertai pasukan tersebut selepas direstui suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa.

"Siti bersetuju menyertai Askar Wataniah atas sokongan suaminya," katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Jabatan Latihan Khidmat Negara dan Pemakaian Pangkat Kolonel Kehormat kepada Ketua Pengarah jabatan itu Datuk Abdul Hadi Awang Kechil di Kementerian Pertahanan di sini, Khamis.

Seorang lagi penyanyi, Jaclyn Victor, dan bekas pengacara TV3 Maznah Zolkifli turut melahirkan hasrat menyertai pasukan sukarelawan itu.

Tambah Ahmad Zahid, dia turut mengajak beberapa pelakon lelaki untuk menjadi askar wataniah.

"Mereka dijangka menyertai dalam masa terdekat dan majlis pelancaran akan dijalankan sebelum mereka menjalani latihan sebelum bulan Ramadan," katanya.

Sesiapa yang menyertai Rejimen Askar Wataniah perlu menjalani dan menamatkan latihan 39 jam dalam masa setahun mengikut kelapangan masing-masing sebelum ditauliahkan. Ahmad Zahid berkata selebriti yang menyertai rejimen itu dapat dijadikan sebagai ikon untuk menarik minat lebih ramai individu di bawah usia 35 tahun menjadi askar wataniah.

Beliau juga berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia menjalankan tugas sampingan bagi misi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana alam.

Katanya meskipun tugas hakiki ATM khususnya Tentera Darat menjadi benteng menjaga kedaulatan dan keamanan negara, pasukan itu sentiasa bersedia menjalankan misi yang memerlukan khidmat mereka.

"Malaysia adalah sebuah negara aman dan tidak terlibat dengan perang maka dalam keadaan aman, tentera darat dan lain-lain perkhidmatan bersedia untuk menjadi tentera 'rakyat'," katanya.

Ahmad Zahid berkata ATM mempunyai aset, peralatan dan jentera yang lengkap serta anggota-anggota yang terlatih untuk menghadapi keadaan darurat termasuk bencana alam.

Dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat pada Sabtu lepas, beliau telah meminta Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin menghantar anggota tentera untuk membantu. -BERNAMA

Yusry galak intai Lisa


ADA makna bergulung-gulung di sebalik senyuman yang dilemparkan oleh seorang daripada tiga beradik jutawan, sejurus diajukan pertanyaan berhubung kisah peribadinya.

Apatah lagi, pemilik nama Yusry Abdul Halim mudah dicemburui banyak lelaki kerana sering terkait dengan lirikan dan lenggok selebriti jelita seperti Maya Karin, Julia Ziegler, Tiz Zaqyah dan Kilafairy.

Air mukanya juga seolah-olah sedang bersedia dengan jawapan yang tersusun rapi. Jawapan itu pastinya mampu disenangi hati insan yang sedang hangat bertakhta di hatinya.

Terbaru, duda popular itu kononnya sedang dilamun asmara dengan aktres berbakat, Lisa Surihani. Kemesraan mereka sukar ditepis apabila ramai yang mendakwa, pasangan itu sedang menuju ke titik serius dalam perhubungan.

"Memang saya sedang kenal dan rapat dengan Lisa. Saya boleh katakan, kami dalam proses untuk lebih mengenali hati budi masing-masing. Boleh dikatakan, hampir setiap hari kami keluar bersama untuk menonton wayang, makan atau lepak berjam-jam," akuinya yang tidak lekang mengorak senyuman.

Jujur ingin berkongsi tentang hubungan itu, Yusry menjelaskan, dia selesa mendekati Lisa memandangkan wanita muda bijak menyesuaikan diri dan tidak kekok dengan personaliti dirinya.

"Walaupun jarak usia agak jauh iaitu 12 tahun, Lisa boleh diajak bersembang dalam apa sahaja topik. Dia sebenarnya seorang yang matang, sopan dan seronok didampingi," puji Yusri melambung tinggi.

Tidak menafikan sering berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS), anak kedua daripada empat beradik itu berterus-terang, keakraban mereka sudah pun diketahui oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

"Kalau tak lepak di luar, saya akan berkunjung ke rumah keluarga Lisa," ujarnya tanpa berselindung.

Jika benar ada putik kasih sedang subur di hati Yusry dan Lisa, ada harapan, kesendirian Yusry tanpa suri sedang berganti bulan terang dipagar bintang.

Badminton jadi hobi Erra


SERONOK berbicara tentang perkembangan terbaru, si jelitawan dan aktres tersohor, Erra Fazira, 37, yang begitu teruja berkongsi pengalaman mengenai penggambaran drama terbarunya, Hantu Susu.

Kelainan drama untuk saluran Astro itu ialah bukannya bergenre seram sebaliknya penuh dengan aksi komedi. Terangnya, bagi mereka yang sebelum ini takut menonton drama atau filem seram pasti akan beralih arah.

"Drama Hantu Susu memang seronok. Bukan sahaja perjalanan ceritanya tetapi sepanjang sesi penggambaran para pelakon berjaya menghidupkan suasana komedi.

"Ceritanya mengisahkan empat hantu iaitu puntianak, langsuir, kumkum dan penanggal yang sering berlawan antara satu sama lain," katanya yang akan selesai penggambaran drama berkenaan pada 24 Mei ini.

Dalam perkembangan lain, dia juga tidak sabar untuk mengasah kembali vokalnya sebelum muncul dengan single terbaru.

Masih belum memulakan proses rakaman, kali ini Erra bakal berduet dengan penyanyi bersuara jantan, Suhaimi Meor Hassan.

"Saya masih suka pergi ke spa, kena pergi walaupun sibuk. Kalau diikutkan, memang saya tiada masa untuk hobi diri sendiri, tapi kenalah bijak mengatur jadual. Dulu saya suka bermotosikal besar tetapi sekarang, saya suka bermain badminton bersama teman-teman artis seperti Umie Aida serta rakan seperjuangan yang lain.

Irma Hasmie Hasilkan Jubah


PETALING JAYA: Pelakon Irma Hasmie bakal melancarkan busana jubah hasil kolaborasinya dengan pereka fesyen Ezuwan Ismail sempena sambutan Ramadan dan Syawal akan datang.

Katanya, kolaborasi tersebut tercetus secara tidak langsung selepas dia pulang dari menunaikan umrah.

"Idea itu datang secara tidak langsung ketika saya duduk berborak bersama dengan Ezuwan dan dia juga menyambut baik cadangan itu.

"Niat saya adalah untuk membantu memudahkan pemakaian wanita Islam selain itu ia juga sesuai dengan trend semasa," katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.

Koleksi jenama Irma Hasmie by Ezuwan Ismail itu bakal dikeluarkan pada bulan hadapan dengan sepuluh rekaan eksklusif dalam sepuluh warna.

Menurut Irma, rekaan busana tersebut juga hasil perbincangan dan persetujuan dia dan Ezuwan Ismail sendiri.

"Saya yakin dengan sentuhan Ezuwan dalam setiap baju rekaannya dan material yang digunakan. Dari segi harga sekitar RM599 sepasang.

"Bagi saya harga tersebut sangat rendah jika dibandingkan dengan harga busana yang dihasilkan seorang pereka fesyen profesional yang selalunya sekitar RM1000 ke atas," katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya tentang hubungannya dengan pereka fesyen tersebut yang dikatakan semakin intim, katanya, Ezuwan adalah kawan yang paling rapat dengan dia buat masa ini.

"Saya mengenali Ezuwan sejak dua tahun lalu dan kami memang sangat rapat. Dia tempat saya untuk meluahkan masalah dan berkongsi pendapat.

"Kami juga banyak persamaan dari segi bulan kelahiran dan asal keluarga di sebelah Kelantan, mungkin itu yang membuatkan saya selesa dengan dia," katanya.

Sementara itu, dari segi kerjaya, Irma memberitahu rezeki dalam bidang ini masih sama seperti dahulu biarpun sudah bertudung.

"Alhamdulillah, rezeki ketentuan Allah. Setakat ini tawaran berlakon masih seperti dahulu cuma watak saya lebih kepada wanita bertudung.

"Malah saya akan muncul untuk mengacarakan sebuah rancangan keislaman berjudul Assalamualaikum untuk TV Al-Hijrah," katanya.

Scha Al-Yahya Mahu Segera Kahwin


KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Al-Yahya, 28, menjelaskan kalau ikutkan hati dia dan pengacara Awal Ashaari mahu bernikah secepat mungkin kerana bimbang pelbagai ujian dan risiko yang bakal ditempuh sekiranya hasrat itu tidak ditunaikan segera.

Namun begitu kesibukan mereka membuatkan keinginan berkenaan tidak dapat dilaksanakan selain kedua belah pihak pula masih berbincang tentang perkara itu.

"Memang kami mahu berkahwin, kalau boleh secepat mungkin. Bagi saya, perkara yang baik tidak perlu ditangguhkan. Saya bimbang juga kalau lebih lama berkawan, lebih banyak risikonya.

"Malangnya kesibukan kami menjadi penghalang. Terus-terang, kedua belah keluarga masih belum berbincang dan kami sedang mencari masa yang sesuai. Paling awal pun mungkin tahun depan," katanya yang ditemui pada sidang media drama Dunia Kita, baru-baru ini.

Ditanya adakah dia berasa rimas dengan pertanyaan yang berterusan tentang perancangan perkahwinannya dengan hos dan aktor itu, beritahu Scha, dia sangat memahami dan menghormati tugas media yang sentiasa ingin mendapatkan perkembangan semasa seseorang artis.

"Saya akui tidak berasa rimas biarpun soalan tentang perancangan perkahwinan saya dan Awal ditanya oleh media tanpa henti.

"Bukanlah bermakna saya ingin menghebohkan cerita hubungan kami tapi jika ada yang bertanya saya tidak keberatan untuk berkongsi cerita," katanya.

Mengulas pula tentang pembabitannya dalam drama bersiri terbaru Dunia Kita Carefree, Scha mengakui kepuasan yang berbeza dirasainya berlakon dalam drama itu.

"Kali ini, saya berpeluang untuk mempamerkan lakonan yang segar dan berbeza. Sebelum ini orang selalu menonton lakonan saya yang kasar dan kelakian saja.

"Dalam drama ini saya menjadi pelajar jurusan fesyen yang obses pada fesyen, manja dan agak gedik bernama Rania.

"Saya berterima kasih kepada pengarahnya Michael Ang kerana berani untuk menonjolkan karakter yang berlainan dalam diri saya," katanya.

Selain Scha, drama sebanyak lapan episod itu turut dibintangi oleh Marsha Londoh, Awal Ashaari, Saiful Nizen, Datuk Jalaludin Hassan, Sharifah Shahora dan pemenang peraduan gadis Carefree, Nur Amalina.

Drama komedi remaja ini akan mula bersiaran pada 27 Mei ini, setiap Jumaat pukul 7.30 malam selama setengah jam di Astro Ria (saluran 104).

'Saya Bukan Berbikini Sembarangan' - Nera (AF9)


KUALA LUMPUR: Bekas pelajar Akademi Fantasia 9 (AF9), Queennera Francis Kitingon, atau Nera, 19, menjelaskan gambarnya berbikini seperti yang disebarkan di Internet adalah ketika dia menyertai pertandingan ratu cantik Miss Sabah Earth Malaysia 2010.

Kata Nera, dia tidak sangka selepas tersingkir daripada AF9 Sabtu lalu, dia terpaksa berdepan dengan kontroversi pertama dan terkejut dengan penyebaran gambar tersebut.

"Saya bukan berbikini sembarangan. Pakaian itu dikenakan pada pertandingan ratu cantik yang saya sertai pada tahun lalu dan mendapat tempat ketiga pada pertandingan tersebut.

"Terkejut juga apabila gambar-gambar itu tersebar. Apa-apa pun, maafkan saya jika ada yang berkecil hati kerana gambar itu," katanya.

Sebelum tersingkir dalam AF9, beberapa gambar Nera berpakaian bikini tersebar di Internet dan ia menjadi perbualan hangat di beberapa laman blog.

Sementara itu, Nera turut mencetuskan gosip apabila dikatakan sedang hangat bercinta dengan pelajar AF9 yang lain iaitu Azri atau nama sebenarnya, Mohamad Azri Abdullah,24.

Bagaimanapun dia mengakui bahawa terdapat bibit-bibit cinta yang berlaku di antaranya dengan pelajar tersebut dan Azri telah pun meluahkan perasaan terhadap kepadanya.

"Kami agak rapat dan sering berkongsi masalah sejak menyertai AF9 dan dia juga telah berterus terang bahawa dia cintakan saya.

"Begitu juga dengan saya turut menyukai Azri kerana dia mempunyai ciri-ciri lelaki idaman seperti memahami diri saya,” katanya.

Dalam pada itu, Nera yang juga merupakan anak saudara bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, belum bersedia untuk menjalinkan hubungan secara serius dengan pelajar tersebut.

"Memang kami suka sama suka cuma mungkin terlalu awal untuk kami bercinta buat masa ini, tambah pula masing-masing sedang mengejar impian," tuturnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails