Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Apek Akui Leuniey Wanita Matang Untuk Jadi Calon Isteri

PETALING JAYA: Penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek berkata dia berasa yakin untuk memperisterikan Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey kerana kematangan wanita itu. Apek, 23, berkata, tempoh perkenalan singkat antara mereka bukan penghalang kerana wanita berusia 21 tahun itu memahami dirinya. "Memang tempoh perkenalan kami singkat tetapi dia matang dan memahami diri saya dan karier bola sepak saya. "Jadual bola sepak saya padat dan tidak dapat selalu bersama tetapi dia memahami betapa penting karier saya. Itu yang buat saya tertarik," katanya. Apek ditemui pada majlis sidang media pengumuman perkahwinannya di Hotel Royale Bintang, di sini pada Rabu. Apek yang juga penjaga gol skuad Kelantan itu bakal menamatkan zaman bujangnya pada 28 Disember depan.
Upacara akad nikah mereka bakal berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan pada pukul 9 pagi. Ditanya mengenai tarikh dia melamar pengusaha butik pengantin dan andaman itu, Apek berkata, ia diadakan pada Oktober lalu menerusi majlis makan malam di antara kedua belah keluarga. "Saya tidak ingat tarikh tertentu bila saya melamar Leuniey. Ia berlangsung secara santai pada Oktober lalu ketika kedua belah keluarga makan malam. "Tiada majlis pun cuma makan malam di kalangan keluarga sahaja," katanya. Majlis persandingan sebelah perempuan bakal diadakan di Hotel Renaissance, Kota Bharu pada 30 Disember depan dengan konsep Melayu kontemporari. Manakala resepsi sebelah Apek pula akan berlangsung di kediaman keluarganya di Kampung Chenang, Kota Bharu pada 5 Januari 2013. Pasangan tersebut turut memilih 13 Januari 2013 untuk mengadakan majlis resepsi ketiga di Hotel Royale Bintang, Mutiara Damansara di sini.

Aida (AF9) Retak Tulang Pipi, Berehat Di Rumah

PETALING JAYA: Kemalangan yang menimpa bekas peserta program Akademi Fantasia musim ke 9 (AF9), Aida di lebuh raya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada 12 tengah malam Selasa lalu mengakibatkan tulang pipi kirinya retak. Aida atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat berkata, selain keretakan itu, mukanya turut bengkak akibat terkena beg udara keretanya. "Alhamdulillah keadaan saya tidak terlalu parah dan saya bernasib baik keraa terselamat dalam kemalangan tersebut selain tidak mengalami kecederaan dalaman akibat kejadian itu. "Namun saya agak terkejut apabila melihat gambar keadaan kereta saya yang rosak teruk dan menyedari insiden tersebut boleh meragut nyawa," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu. Kemalangan tersebut berlaku apabila Aida yang memandu kereta jenis Mazda dipercayai tertidur sehingga menyebabkan keretanya terbabas lalu berpusing beberapa kali sebelum melanggar pokok di lebuh raya berkenaan.
Ia berpunca akibat dia terlalu penat selepas seharian berada di set penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Langit Ketujuh. Aida memberitahu dia juga telah dibenarkan keluar daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada petang Rabu selepas doktor mendapati keadaan beransur baik. "Saya akan berehat di rumah sahaja buat sementara waktu ini dan doakan saya cepat sembuh," katanya. Menceritakan kejadian itu, Aida berkata, dia terlalu letih kerana penggambaran drama namun bernasib baik kerana memakai tali pinggang keledar yang berjaya mengurangkan risiko kecederaan. Menurut Aida, semasa kejadian itu, seorang wanita telah membantu menelefon ahli keluarganya sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Wanita tersebut berada di sisi saya untuk memastikan saya sentiasa sedar walaupun saya dalam keadaan keliru ketika itu. Dia juga telah menelefon keluarga untuk memaklumkan mengenai keadaan saya," jelasnya. Sementara itu, Aida berkata dia tidak berasa trauma dengan kemalangan tersebut dan menganggap ia sebagai satu dugaan buatnya. Dia juga yakin masih boleh memandu kereta seperti biasa selepas ini dan menjadikan kejadian berkenaan sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati. "Saya tidak trauma dan rasanya tiada masalah untuk memandu kembali selepas ini cuma saya ambil kejadian itu sebagai peringatan untuk lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya," jelasnya. Drama Langit Ketujuh arahan Samby dan Bakri itu turut dijayakan oleh Reen Rahim, Arief Farhan, Muaz Aydil dan Reza Hasbi.

Aliff Aziz Dedah Rahsia Patut Nikahi Anne Ngasri Disember ini

SUBANG JAYA: Penyanyi Aliff Aziz mendedahkan hatinya benar-benar terluka selepas bekas kekasihnya Anne Ngasri membuat keputusan untuk berkahwin dengan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno, Mohd Sumali Reduan, 40, yang dijadualkan pada 22 Disember depan. Lebih memilukan kata Aliff, dia dan Anne pada dasarnya telah bersetuju dengan menetapkan bulan Disember ini untuk diijabkabulkan sebagai suami isteri. "Ketika masih menjalinkan cinta bersama, kami merancang untuk menamatkan hubungan ini dengan sebuah ikatan perkahwinan pada Disember depan. "Memang perancangan itu menjadi tetapi sayangnya lelaki yang dipilih Anne bukanlah saya tetapi orang lain. "Sebelum ini, Anne pernah berkata bahawa saya adalah cinta terakhirnya dan jika jodoh kami tidak menjadi, dia akan berkahwin dengan sesiapa sahaja mengikut pilihan keluarganya," kata Aliff. Penyanyi kelahiran Singapura itu ditemui pada majlis pengumuman Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012) di Holliday Villa, dekat sini pada Rabu. Tambah Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 21, dia menyangka Anne, 28, merupakan jodohnya apabila melihat kesempurnaan yang terdapat pada diri wanita itu. Kata Aliff, cintanya terhadap Anne begitu mendalam sehingga menyebabkan hatinya terluka apabila hasrat untuk berumah tangga tidak kesampaian.
"Jujurnya, saya tidak pernah merasai perasaan cinta yang mendalam seperti ini. Apabila hubungan kami tidak menjadi, ia benar-benar membuatkan hati saya terluka. "Sepanjang sebulan lebih saya berehat kerana beberapa masalah kesihatan, saya juga cuba menyembuhkan hati ini. "Luka yang terlalu mendalam ini tiada siapa yang boleh mengubatnya kecuali Allah. Saya memohon kepada-Nya supaya kesakitan yang dirasai dapat dikurangkan selain berdoa untuk kebahagiaan Anne. Dia seorang wanita yang cukup sempurna di mata saya," tuturnya. Dalam pada itu, beritahu Aliff lagi, walaupun hubungannya bersama Anne hanya mampu bertahan selama lapan bulan, namun dia tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk menyayangi wanita itu. Malah kegagalan hubungan yang dijalinkan itu dianggap sebagai tiada jodoh selain merasakan dia mungkin telah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Anne tanpa sedar. "Saya tak tahu di mana silapnya hubungan kami. Mungkin saya terlalu ramah dengan orang lain sehingga membuatkan dia (Anne) ragu-ragu terhadap kejujuran saya sehingga ia menjadi masalah kepada perhubungan kami. "Kegagalan hubungan ini merupakan satu pengajaran yang besar dan mengingatkan saya supaya jangan mengabaikan orang yang kita sayangi kerana Tuhan boleh menarik cinta itu dengan serta merta. "Selain itu saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga terutamanya ibu bapa Anne kerana menyayangi saya seperti anak mereka sendiri dan halalkanlah makan minum saya," ujarnya. Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, telah bertunang dengan Mohd Sumali di kediaman keluarga Anne di Jalan Ipoh, dekat sini pada 11 November lalu. Pasangan itu bersepakat untuk mengadakan majlis akad nikah di rumah keluarga [pihak lelaki di Pontian, Johor.

Betty Banafe masuk hospital

NAMANYA sudah agak lama tidak diperkatakan, kecuali berita tentang dirinya yang bakal berkahwin dengan tunangnya, jejaka kacukan Inggeris-Lebanon bernama Bruce Dargus dijadualkan pada 12 Disember ini. Bagaimanapun, keadaan menjadi heboh apabila pelakon dan penyanyi kacukan Melayu-Jawa-Arab, Betty Banafe, 33, pada Ahad lepas tiba-tiba mengakui dia keliru dan hampir pasti untuk membatalkan majlis perkahwinan dengan pemuda yang telah mengikat tali pertunangan dengan dirinya pada 14 Jun lalu itu. Bagaimanapun semalam, Betty mengakui kepada Kosmo! bahawa dia nekad mahu meneruskan pernikahannya tersebut seperti yang telah dijadualkan. Pernikahan itu tetap akan berlangsung pada 12 Disember menjelang pukul 7.45 malam di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru. Pelakon filem Haru-Biru dan drama Spa Q itu mengakui berlaku perselisihan pendapat antara dia dan tunangnya itu dan masalah tersebut lebih menjurus kepada masalah perbezaan budaya serta tidak melibatkan orang ketiga atau masalah lain. Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe itu dikhabarkan terpaksa masuk hospital pula. Apakah yang berlaku? Ketika dihubungi Kosmo! kelmarin, Betty memberitahu tentang perkara sebenar yang telah menimpa dirinya itu. Kosmo!: Apakah punca permasalahan yang timbul sehingga Betty keliru dan terfikir untuk membatalkan majlis perkahwinan yang sebelum ini telah dirancang pada 12 Disember itu? BETTY BANAFE: Masalah sebenarnya kecil sahaja, disebabkan bakal suami saya yang berasal dari England, maka kami berselisih faham mengenai majlis pernikahan yang bakal diadakan. Sudah tentu, apabila kita berkahwin dengan orang asing, budaya tidak akan sama. Kehidupan mereka lebih ke arah budaya Barat manakala kita adalah orang Asia, pasti ada sedikit perbezaan di situ. Bagaimanapun, setelah segalanya dibawa berbincang, akhirnya niat perkahwinan itu akan diteruskan juga. Bagaimanakah perasaan Betty menjelang majlis perkahwinan nanti? Sudah tentu saya berasa cukup gembira dan saya memang sangat mencintai dirinya. Walaupun menghadapi sedikit masalah pada saat-saat akhir, saya tabah menghadapinya. Kata orang, apabila sudah bertunang, kita akan berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Jadi, itu sudah lumrah dalam hidup, saya harus melaluinya. Apakah yang menyebabkan Betty menerima Dargus sebagai bakal suami sedangkan dia berbeza budaya dan agama? Saya berasa teruja dengan perkahwinan campur ini. Bagi saya, ia adalah sesuatu yang menyeronokkan. Dalam hal ini, saya bersifat terbuka, lagipun saya mempunyai ramai kenalan dari luar negara dan selalu bercampur dengan mereka. Apakah ciri-ciri istimewa Dargus yang membuatkan Betty terus jatuh hati? Dia suka dan bijak berkomunikasi, berkemahuan tinggi untuk belajar sesuatu perkara baharu. Itu yang menyebabkan saya tertarik dengan dirinya. Bagaimanakah pula dengan persiapan majlis perkahwinan? Alhamdulillah, persiapan perkahwinan kami semuanya berjalan dengan lancar. Saya sudah melantik LH Media TV sebagai jurufoto rasmi, manakala set persalinan untuk perkahwinan merupakan rekaan Nurul Al Huda dari Singapura. Apakah perancangan selepas perkahwinan anda nanti? Saya akan meneruskan bisnes keluarga. Selain itu, saya berharap perkahwinan ini akan memberikan saya kekuatan dan menambahkan lagi persefahaman dan kasih sayang antara saya dan Dargus. Bagaimanakah pula dengan perancangan destinasi berbulan madu? Selepas sambutan tahun baharu nanti, Insya-Allah, kami merancang untuk bercuti di dalam negara sahaja, iaitu di Pulau Sipadan, Sabah. Apakah perkembangan terbaharu Betty dalam dunia seni sekarang? Dalam waktu terdekat ini, saya akan muncul dalam drama Mariam Kampung Putat di TV3 menjelang 24 November ini. Selain itu, saya akan melancarkan muzik video pop terbaharu berjudul Tak Sengaja yang dijadualkan selepas perkahwinan saya nanti. Khabarnya Betty akan masuk hospital, betulkah? Saya dimasukkan ke pusat perubatan pakar Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Selangor pada pukul 5 petang Selasa (semalam, 20 November). Keesokan paginya (hari ini, 21 November) saya akan menjalani pembedahan sista ovari. Pembedahan tersebut akan mengambil masa selama dua hari. Ini merupakan kali kedua pembedahan yang sama saya lakukan setelah kali pertama pada 23 November, 2007.

Ainan tepis kontroversi

SEORANG lagi penyanyi kelahiran YouTube, Ainan Tasneem Ridzuan, 20, nampaknya tidak habis-habis dengan tempias gosip. Walaupun menganggap menyanyi adalah kerjaya sambilannya sahaja, tetapi sejak kemunculannya dalam industri ini setahun lalu, Ainan masih dihurung kontroversi. Pada mulanya, Ainan dianggap sebagai klon penyanyi YouTube yang terlebih dulu dikenali khalayak iaitu Najwa Latif. Dia menafikan hal tersebut, sebaliknya menyifatkan perbandingan tersebut wujud kerana mereka muncul di bawah medium sosial yang sama. Terkini, isu dia dikatakan suka menayang kekasih hatinya di tempat pengajiannya serta didakwa mencuri lagu seorang penyanyi bebas, Fynn Jamal iaitu lagu 150 juta dan dianggap telah merosakkan lagu berkenaan hangat diperkatakan. Berpeluang bertemu dengan penyanyi tersebut sewaktu dia menjalani penggambaran muzik video lagu terbaharunya, Kamu Saja di Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Ainan menafikan dia telah mencuri lagu berkenaan. Sebaliknya, Ainan yang juga merupakan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjelaskan, lagu tersebut telah dijual oleh pemiliknya kepada syarikat rakaman tempatnya bernaung iaitu, Music Valley Malaysia (MVM) dan dia diberi kepercayaan untuk mendendangkan lagu itu semula. "Saya tidak mencuri serta tidak merosakkan lagu berkenaan. Saya rasa saya hanya menyanyi ikut cara saya. Pada saya, kalau orang tidak suka cara nyanyian saya, mereka punya pilihan untuk tidak mendengarnya," ujar Ainan. Tambah Ainan, pada awalnya dia menolak untuk menyanyikan lagu berkenaan, tetapi akur apabila Fynn telah memberi persetujuan dan menyerahkan 100 peratus lagu tersebut serta memberi lampu hijau supaya ia dinyanyikan dengan gayanya sendiri. "Saya sedar ramai yang tidak suka dengan gaya saya, tetapi kalau di YouTube, ada juga komen positif yang menerima gaya saya. Mungkin hanya ramai pengikut Fynn yang masih tidak dapat menerima gaya saya menyanyikan lagu 150 juta itu," ujarnya yang menerima segala kritikan dengan hati terbuka. Bagi Ainan lagi, apabila dia menyanyikan lagu berkenaan, secara tidak langsung ia telah membuatkan peminatnya kenal siapa Fynn yang berbakat besar. "Fynn seorang yang berbakat, tetapi karyanya hanya boleh dilihat dalam YouTube, tidak dalam arus perdana, jadi saya rasa isu curi atau saya merosakkan lagu sesiapa tidak perlu timbul," jelasnya. Tidak terhenti di situ sahaja, nama Ainan terus terpalit kontroversi apabila dikatakan memberikan lagu 150 juta nyanyiannya itu kepada sebuah stesen radio sahaja. Tindakan tersebut dianggap seperti satu pilih kasih dan memilih stesen radio terkenal sahaja untuk mempromosikan lagu berkenaan. Apabila diajukan persoalan itu, Ainan menepis kontroversi berkenaan dengan mengatakan perkara itu berlaku di luar pengetahuannya. "Sebenarnya saya tidak mahu lagu itu disiarkan di mana-mana stesen radio. Perancangan asal saya, selepas semua lagu saya dipromosi barulah lagu itu boleh diputarkan di corong radio, tetapi secara tidak sengaja, lagu itu telah diberikan oleh MVM kepada satu stesen radio. "Malangnya, apabila diminta untuk menarik balik pemutaran lagu tersebut daripada radio, ia sudah terlambat kerana lagu itu telah popular dan mendapat permintaan tinggi pendengar," jelasnya. Kata Ainan, dia tidak akan menjadi pilih kasih atau memilih lagunya hanya disiarkan di sebuah stesen radio sahaja. "Saya mahu lagu saya sendiri diputarkan, bukan lagu itu (150 juta), tetapi benda sudah jadi saya nak buat macam mana," tambahnya yang tetap tidak akan membenarkan stesen radio lain untuk menyiarkan lagu 150 juta selepas kontroversi itu berlaku. Geram Menjadi Ainan Tasneem nampaknya tidak semudah yang disangka walaupun baru setahun jagung dalam industri ini, kontroversi terbaharu yang membuatkan penyanyi ini geram dan marah apabila dikatakan sering berkepit dengan teman lelakinya di UniMAP. Baru-baru ini sebuah akhbar dan portal hiburan telah melaporkan mengenai sikap Ainan yang sering berkepit dengan teman lelakinya di kafe universiti itu hingga awal pagi. Mengakui teman lelakinya yang telah dikenali sejak tiga tahun lalu itu turut belajar di universiti yang sama, dia menyangkal sekeras-kerasnya sering kelihatan berkepit dengan kekasihnya setiap hari. "Saya berjumpa dengan dia (kekasih) hanya seminggu sekali sahaja apabila dia ada latihan rugbi berdekatan kediaman saya dalam universiti. Itu pun kadangkala ada kawan-kawan lain yang temankan," ujarnya. Jelasnya lagi, dia tidak pasti sama ada gosip itu timbul disebabkan ada pihak yang dengki atau menyampah dengan dirinya di universiti itu. "Sebelum ini orang cakap saya sombong, tapi tak tahu pula kalau ada orang menyampah dengan saya. Ya, memang saya jumpa kekasih saya di kafe di situ, tetapi tempat itu ramai orang, bukan berdua-duaan di kawasan yang tidak elok," ujarnya. Kerja sambilan Bercerita mengenai kerjaya seni muziknya pula, pelajar tahun kedua jurusan Kejuruteraan Bioproses ini menganggap menyanyi hanya akan menjadi kerjaya sambilannya sahaja. "Saya bercita-cita menjadi pensyarah. Menyanyi saya lakukan untuk mengisi masa lapang sahaja," ujarnya yang turut berharap dapat menyambung pengajian ke peringkat sarjana di United Kingdom, England selepas tamat belajar di UniMAP nanti. Kata Ainan, dia memilih untuk menjadi pensyarah apabila tamat pengajian nanti disebabkan tidak mahu menghampakan harapan keluarga dan pensyarahnya. "Mereka sudah benarkan saya menyanyi sekarang, jadi itu sudah cukup untuk buat saya gembira. Kini tiba giliran saya pula buat mereka gembira untuk berjaya dalam hidup dengan ada kerjaya tetap," ujar anak tunggal perempuan daripada empat beradik ini. Mengakui telah banyak menolak tawaran mengadakan persembahan disebabkan kekangan belajar, Ainan tidak menyesal terpaksa berbuat demikian. Katanya: "Saya hanya ada masa hujung minggu sahaja sebab tiada kelas, kalau ada tawaran menyanyi dekat-dekat saya terima, kalau jauh saya tengok dulu sama ada ia berbaloi atau tidak."

Bukan lagi solo - Iqa

NAMA Iqa mula dikenali setelah menyertai rancangan realiti Mentor lima tahun lalu dengan menjadi protege kepada Edry Abd. Halim tetapi setelah setahun lebih bergerak solo, Iqa kini memilih untuk beraksi secara berkumpulan. Menurut penyanyi berusia 26 tahun ini, perjalanan karier seninya sebagai artis solo tidak serancak seperti yang diharapkan dan kini dia mahu memberi kelainan apabila memilih untuk beraksi sebagai trio berkumpulan. Memilih nama Thundergirls, Iqa mengatakan bahawa sebelum menyertai pertandingan realiti Mentor lagi, dia memang sudah bergiat aktif dalam muzik secara berkumpulan. "Bergerak sebagai penyanyi solo agak sukar buat saya apatah lagi dalam industri yang setiap hari akan tampil penyanyi baru. "Oleh itu saya membuat keputusan untuk bergerak bersama kumpulan kami yang akan keluar dengan single baru berjudul Luka," katanya yang ditemui pada majlis ulang tahun sebuah portal hiburan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Persiapan Kahwin Rizal (AF5) Hampir Siap

PETALING JAYA: Bekas bintang program realiti Akademi Fantasia ke-5 (AF5), Rizal Ayub memberitahu persiapan majlis perkahwinannya dengan eksekutif di syarikat penerbangan Firefly, Maria Mohd Harun yang dijadualkan pada 16 Januari 2013 telah 80 peratus siap. Rizal atau nama sebenarnya Hasfarizal Ayub, 30, berkata, mereka akan merancang untuk mengadakan majlis berkonsepkan dalam taman dan Maria bakal mengenakan pakaian berona putih dan merah jambu daripada Santubong Bridal. “Insya-Allah, setakat ini segala perancangan perkahwinan kami mengikut jadual. Kami memilih untuk mengadakan majlis seperti dalam taman,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa. Menurut Rizal, majlis akad nikah akad nikah pada 16 Januari akan diadakan di rumah pengantin perempuan di Taman Suria Indah, kira-kira pukul 10 pagi manakala majlis persandingan pula akan dibuat di Dewan Bahasa & Pustaka, kedua-duanya di Kuching, Sarawak. Rizal berkata, harapannya agar rumah tangga yang bakal dibina dengan eksekutif di syarikat penerbangan FireFly itu akan membawa kebahagian kepadanya selain keterujaan dia untuk bergelar sorang suami. "Moga perancangan kami ini berjalan dengan baik. Saya pun dah tak sabar untuk bergelar suami dan menikmati kehidupan di alam berumah tangga pula," katanya. Sementara itu, Rizal mengakui agak risau dengan dugaan perkahwinan yang bakal dihadapi namun dia percaya, berkat doa untuk mengekalkan kebahagiaannya dalam rumah tangganya sedikit sebanyak dapat membantu mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini. "Di zaman ini diakui terlalu banyak penceraian yang berlaku dan ia sedikit sebanyak membuatkan saya risau untuk melalui alam rumah tangga ini. "Namun, saya percaya, dengan berada di landasan agama yang betul, berdoa dan saling memahami antara satu sama lain, Insya-Allah perkara-perkara buruk dapat dielakkan. "Selain itu, saya tidak sabar untuk mengharungi kehidupan suka duka bersama-sama bakal isteri yang disayangi," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Rizal baru sahaja selesai menjalani penggambaran Puteri Sarawak yang akan di siarkan di saluran RTM pada tahun hadapan. Rizal dan Maria, 30, yang bertunang pada 26 Mac lalu.

Nash Sudah Sedia Tamatkan Zaman Duda

KUALA LUMPUR: Penyanyi versatil yang juga legenda rock, Nash (Lefthanded) sudah bersedia untuk mengakhiri zaman dudanya selepas mengalami dua kegagalan rumah tangga sebelum ini. Nash atau nama sebenarnya, Jamaludin Elias, 53, bagaimanapun berkata, pada usianya sekarang dia perlu berhati-hati dalam membuat pilihan mengenai teman hidup supaya tidak mengulangi kesilapan lampau. "Sejujurnya saya mahu berkahwin lagi kerana selain usia semakin meningkat saya juga perlukan seseorang yang saya cintai agar dapat menemani saya. "Saat ini saya sudah bersedia ke arah itu malah merancang untuk mengakhiri zaman duda jika diizinkan Allah S.W.T.," ujarnya kepada mStar Online. Nash juga mengakui sedang mengenali hati budi seorang wanita yang enggan didedahkan identitinya. Perkenalan mereka telah berlangsung selama dua tahun. "Insya-Allah jika ada jodoh di antara kami ia pasti akan terjadi suatu hari nanti," ujarnya ringkas. Dalam pada itu, ditanya mengenai kriteria yang dicari terhadap bakal isteri, Nash mengimpikan seorang wanita yang bukan sahaja mencintainya tetapi boleh menerima empat orang anaknya. "Anak-anak adalah keutamaan saya dan berharap calon isteri saya nanti bukan sahaja boleh mencintai saya tetapi empat anak-anak saya," katanya. Hasil perkahwinan terdahulu, Nash dikurniakan tiga cahaya mata, Fareena Nasha, 24, Najeeha Nasha, 22, Mohd Shameer Nasha, 16 dan seorang anak angkat, Jasmin Hanis Nasha, 14. Nash juga pernah berkahwin dengan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor sebelum bercerai pada 26 Mei 2009. Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terbarunya, Nash merancang menghasilkan sebuah album solo untuk para peminatnya. Nash berkata, dia akan menggunakan khidmat vokalis kumpulan Sweet Charity iaitu Ramli Sarip sebagai penerbit selain berduet dengan penyanyi legenda tersebut.

'Usop Wilcha' Tinggalkan Hot FM Kerana Usia

PETALING JAYA: Pelakon komedi Shy8 yang terkenal dengan gelaran Usop Wilcha berkata keputusan untuk berundur diri sebagai penyampai radio Hot FM pada hujung bulan ini bukan disebabkan popularitinya yang merudum. Sebaliknya, Shy8 atau nama sebenarnya Syed Mohammed Asri Syed Osman Jamalulail, 47, berkata, perkara itu dilakukan kerana faktor pengurusan masa dan usia. "Umur saya semakin meningkat, sudah 47 tahun. Saya sudah tidak larat untuk melakukan kerja lain pada waktu malam dan terpaksa bangun awal pagi untuk studio radio. "Keputusan ini perlu saya ambil juga sama ada sekarang atau kemudian hari demi komitmen masa untuk keluarga dan cabang seni yang lain," katanya. Shy8 berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran filem terbaharu berjudul Kahwin 5 arahan Nizam Zakaria di Cathay e @ Curve, Mutiara Damansara di sini, petang Selasa. Dia yang memulakan tugas sebagai penyampai segmen pagi AM Krew pada 16 Jun tahun lalu mempunyai baki kontrak kira-kira enam bulan yang sepatutnya berakhir pada 16 Jun 2013. Shy8 berkata, dia juga tidak kisah dengan apa jua persepsi yang bakal timbul ekoran pengundurannya secara mengejut itu. "Saya tidak kisah dengan persepsi yang mendakwa kegagalan saya meningkatkan peratus pendengar radio menyebabkan saya berundur. "Orang boleh cakap apa sahaja tetapi mereka tidak tahu keadaan sebenar yang saya lalui sejak setahun setengah bergelar penyampai radio. "Masih ramai yang menyokong kerjaya seni saya walaupun ada yang tidak suka. Ia adalah perkara normal dalam meniti kejayaan," katanya. Pelakon yang mencipta nama menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) ini berkata, keputusan berundur diri sudah dibincangkan dengan pengurusan radio sejak dua bulan lalu. "Sebenarnya sudah lama saya fikirkan untuk berundur. Dua atau tiga bulan lepas saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan radio. "Mereka faham dan hormati keputusan saya. Mereka minta saya berhenti secara perlahan-lahan dan mula beralih kepada kerja-kerja belakang tabir kebelakangan ini," katanya. Dalam filem Kahwin 5 terbitan Showbiz Productions itu, Shy8 menggalas watak utama sebagai Dr K yang mempunyai lima isteri. Filem yang turut dibintangi antaranya Fizz Fairuz, Norish Karman, Dian P. Ramlee, Soffi Jikan, Anzalna, Marsha Londoh dan Adrea Abdullah itu bakal ditayangkan bermula 27 Disember depan.

Penyanyi 60-an J. Kamisah Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Penyanyi era 60-an, J. Kamisah meninggal dunia pada awal pagi Rabu kerana komplikasi pelbagai penyakit termasuk jantung. Allahyarham berusia 64 tahun. Menurut anak angkatnya Rahimah Rahim, 41, Allahyarham yang juga bekas anggota kugiran The Wisma, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 1.20 pagi di kediaman keluarganya di Bukit Panjang, Singapura. Rahimah berkata dia berasa terkejut dan terkilan kerana tidak berkesempatan untuk menziarahi penyanyi itu yang sudah terlantar sakit sejak Ramadan lalu. “Saya membesar di samping Allahyarham kerana bapa saya Rahim Rahman juga adalah anggota kumpulan The Wisma. “Saya berasa terkejut apabila mendapat berita kematiannya pada pukul 2 pagi tadi (Rabu). Kali terakhir saya menziarahinya adalah pada Hari Raya Haji lalu. “Saya baru bercadang untuk menjenguknya tetapi nampaknya tidak kesampaian,” katanya yang berada di Singapura ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Rabu. Allahyarham meninggalkan suami, Mohd Kadar Sultan dan tiga anak yang berusia di antara 36 hingga 43 tahun. Kata Rahimah, jenazah penyanyi itu dikebumikan di Pusara Aman Tanah Perkuburan Islam, Choa Chu Kang, Singapura sebelum solat Zuhur, Rabu. Antara rakan artis seangkatan yang hadir memberikan penghormatan terakhir adalah Fatimah M. Amin, Sanisah Huri dan pelakon Maria Menado. Beliau pernah popular dengan lagu-lagu antaranya Jelingan Manja, Irama Desa Seberang, Bingkisan Hati Setia, Salam Terakhir, Rayuan Ku dan Jangan Chemburu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails