Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Yuna Tolak Tepi Soal Cinta

PETALING JAYA: Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna tidak meletakkan soal percintaan sebagai keutamaan kerana ingin memberikan tumpuan kepada pembikinan album terbarunya di Amerika Syarikat (AS). Yuna, 26, berkata, pada tahap ini kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak labelnya, The Verve untuk menghasilkan muzik yang terbaik menjadi perhatiannya dan bukannya kepada soal cinta. "Bukannya saya sudah serik selepas pengalaman lalu tetapi tumpuan perlu diberikan kepada kerja dan pembikinan album terbaru saya kerana ini adalah peluang terbesar untuk membina kerjaya di Amerika malah di seluruh dunia," ujarnya kepada mStar Online. Yuna menggulas dakwaan kononnya dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Julian Schratter seorang jurugambar yang sentiasa mengikut penyanyi itu ketika membuat persembahan. Malah gosip tersebut semakin kuat apabila dia sering kali dilihat memuat naik gambar bersama lelaki Inggeris itu di laman Instagram.
Dalam pada itu, Yuna menegaskan hubungannya dengan Julian hanya sekadar teman rapat namun tidak menolak sekiranya mempunyai jodoh dengan Julian. Malah kata Yuna, dia tidak pernah meletakkan bangsa sebagai satu ukuran dalam perhubungan dan mengakui selesa berkawan dengan Julian. "Bagi saya semua manusia itu adalah sama tanpa mengira bangsa dan agama tambahan pula Islam itu sendiri sebuah agama yang indah dan mudah dipelajari oleh sesiapa sahaja. "Saya tidak mahu menghadkan pergaulan saya hanya semata-mata kita berlainan agama dan berbeza budaya," jelasnya. Sementara itu, Yuna berkata, ibu bapanya juga bersikap terbuka dalam menentukan siapakan lelaki yang menjadi pilihannya kelak. "Ibu bapa saya bukan seorang yang suka menilai orang lain dan perkara itu telah diajar kepada saya. Mereka juga terbuka dengan siapa pilihan saya nanti," katanya.

Aizat Akui Tiada Bakat Sebagai Pelakon

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Aizat Amdan mengakui tidak mempunyai kebolehan sebagai seorang pelakon dan atas dasar itu dia banyak menolak tawaran lakonan yang diberikan kepadanya. Aizat, 24, berkata, penglibatannya dalam lakonan sebelum ini sekadar mencuba sesuatu yang baru dalam kerjayanya dan mendapati tidak sesuai bergelar pelakon. "Jujurnya saya langsung tiada bakat sebagai seorang pelakon dan penglibatan sebelum ini hanyalah sekadar untuk mencuba sesuatu yang baru. "Saya menolak secara baik kerana merasakan masih banyak pelakon lain yang layak dan mampu menjiwai watak kerana itu memang kerja mereka," jelasnya kepada mStar Online. Bagaimanapun kata Aizat, dia terkejut dan terharu apabila kemunculannya dalam filem Istanbul Aku Datang banyak pihak tampil untuk mengambilnya berlakon. Dalam pada itu, Aizat berkata, dia selesa dengan imej bermisai yang disimpannya sejak beberapa bulan lalu dan akan kekal dengan gaya itu. Aizat menjelaskan, dia merasakan imej tersebut telah membuatkan wajahnya lebih kelihatan dewasa selain mampu menutup wajahnya yang sedikit berisi kini. "Sebenarnya keputusan saya untuk menyimpan misai dibuat secara tidak sengaja kerana ketika berada di London untuk kursus jangka pendek saya memang malas bercukur. "Namun apabila tengok balik imej bermisai sesuai dengan susuk wajah saya biarkan sahaja dan buat masa ini ia akan dikekalkan," ujarnya. Tambah Aizat, keluarga dan rakan-rakannya juga suka dengan imej itu yang kelihatan lebih dewasa dan matang selain kemunculannya pada Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27) dengan gaya itu telah mendapat perhatian peminat. Sementara itu, Aizat memberitahu dia kini sedang sibuk dengan proses rakaman album ketiganya yang dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun ini. Aizat memberitahu untuk album itu nanti dia akan memuatkan 12 buah lagu dan enam daripadanya adalah lagu berbahasa Inggeris. "Saya mahu beri kelainan kepada peminat dan inspirasi album ini sudah tentu ketika berada di London selama beberapa bulan yang saya curahkan untuk album terbaharu ini," jelasnya.

Irwansyah & Isteri Mungkin Bebas Dadah

JAKARTA: Penyanyi dan pelakon Irwansyah serta isterinya Zaskia Sungkar mungkin bernasib baik apabila ujian urin yang dilakukan ke atas mereka didapati bebas daripada sebarang pengambilan dadah. Perkara itu disahkan oleh ibu kepada Zaskia iaitu Fanny Bauty yang telah diberitahu oleh pihak Badan Narkotik Nasional (BNN) kepadanya berhubung perkara itu. "Alhamdulillahlah... pihak BNN telah mengumumkan hasil urin tidak ada nama anak-anak saya. Kerana saya yakin anak dan menantu saya tidak mengambil dadah," katanya seperti dipetik portal inilah.com. Dalam kejadian pada malam Ahad, seramai 17 orang telah ditangkap selepas BNN membuat serbuan di rumah pengacara rancangan Dahsyat iaitu Raffi Ahmad yang menganjurkan majlis keramaian. Selain ketiga-tiga selebriti tersebut, turut ditahan ialah pelakon Wanda Hamidah serta rakan-rakan mereka. Pemeriksaan awal polis menemui sejumlah dadah jenis ekstasi dan juga ganja di kediaman berkenaan yang terletak di Lebak Bulus, Jakarta Selatan dekat sini. Sementara itu Fanny berkata, kedatangan anak dan menantunya ke kediaman Raffi adalah atas urusan pekerjaan tetapi sayang sekali ketika kehadiran mereka, kediaman itu diserbu pihak berkuasa. – inilah.com

Anding Jadi Jurulatih Peribadi Untuk kepuasan Diri

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Anding Indrawani Zaini menjelaskan keputusannya untuk menjadi jurulatih peribadi bukan kerana telah bosan dengan dunia seni yang diceburinya hampir sembilan tahun lalu. Anding, 30, berkata, dia melakukan kerja tersebut kerana memang meminati bidang tersebut selain dapat membantu orang lain menjaga kesihatan dengan lebih berkesan. "Sebelum ini saya pernah bekerja dengan sebuah pusat kecergasan sebagai jurulatih namun selepas beberapa tahun saya berhenti dan melakukan latihan peribadi kepada pelanggan yang berminat. "Selain dapat membantu orang menjaga kesihatan dan membina badan pada masa sama saya juga turut melakukan senaman yang telah menjadi rutin saya," jelasnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, bercakap mengenai perkembangan terbarunya, Anding berkata, dia kini lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang pengacaraan yang dilihat lebih memberikan kepuasan. Anding berkata, dia semakin selesa bergelar pengacara dan tawaran yang datang kepadanya juga cukup banyak. "Saya sekarang banyak merantau kerana program yang saya terlibat berbentuk travelog dan selain memberikan kepuasan pengalaman yang dikutip ketika merantau juga banyak mengubah presepsi saya mengenai kehidupan untuk menjadi insan lebih baik," jelasnya. Tambah Anding, dia juga tidak pernah melupakan dunia lakonan dan nyanyian namun terpaksa menghadkan aktiviti itu kerana terlalu sibuk dengan bidang pengacaraan dan tugasnya sebagai jurulatih peribadi. Sementara itu, Anding memberitahu dia terharu apabila dipilih oleh pengarah, Saw Teong Hin sebagai watak utama dalam teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 hingga 26 Mei depan. Anding berkata, walaupun menyedari tanggungjawab itu besar namun yakin dapat melunaskan amanah itu dengan sebaik-baiknya. "Chow Kit Road! Chow Kit Road! adalah teater kelima saya dan ia berbeza daripada yang lain kerana ia mengangkat 20 lagu popular Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan untuk memastikan semua karya Allahyarham dibawa dengan baik adalah satu cabaran," ujarnya. Selain Anding, teater muzikal itu turut menampilkan Nadia Aqilah, Adibah Noor, Tony Eusoff, Shantini Venugopal dan Junji Delfino.

Kekesalan Sharifah Sofia

LAMA tidak mendengar khabar pelakon Sharifah Sofia Syed Hussein, 28. Kali terakhir pelakon drama Spanar Jaya itu, muncul dalam media sekitar bulan Ogos tahun lalu, dengan kisah kontroversi dihalau keluar oleh pekerja sebuah disko kerana kehadirannya ke pusat hiburan itu dalam keadaan berhijab. Bertemu dengan Sharifah Sofia pada majlis pelancaran larian Selamatkan Hutan 2013 anjuran Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini, perkembangan terkini tentang isu dirinya dan disko terus ditebak kepada figura putih melepak ini. Justeru, selepas pengalaman pahit dihalau keluar dari disko itu, adakah dia kini masih mengunjunginya? Mengejutkan apabila persoalan itu dijawab oleh Sofia dengan kata-kata: “Saya tidak lagi ke disko tetapi pergi ke bar pula. Bawah sikit daripada disko”. Masih tidak serik lagikah pelakon itu ke pusat hiburan selepas insiden dihalau sebelum ini? Mungkin juga dia hanya bergurau. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Sharifah Sofia selanjutnya. Kosmo!: Apakah maksud anda tidak lagi ke disko tetapi kini pergi ke bar pula? SHARIFAH SOFIA: Sebenarnya, saya sudah tiada masa untuk itu (pergi bersosial ke disko atau bar). Masa saya banyak dihabiskan untuk anak perempuan saya, Sharifah Ariana Syed Ismail yang kini berusia dua tahun. Adakah anda menyesal kerana melangkahkan kaki ke disko tersebut? Saya akui telah melakukan satu tindakan yang salah tetapi saya juga tahu perkara itu tidak perlu berlaku lagi (pergi ke disko) di masa hadapan. Sudah lama tidak melihat Sofea berlakon, adakah anda sudah berehat daripada dunia seni sepenuhnya? Sejujurnya, jiwa saya untuk berlakon sudah tidak ada. Bukan tiada tawaran tetapi saya lebih suka duduk di rumah membesarkan Ariana. Jadi, anda memang nekad untuk meninggalkan dunia seni selama-lamanya? Apa yang boleh saya cakap, mungkin kalau tawaran berlakon sebagai watak cameo atau untuk telefilem saya terima. Namun, jika tawaran berlakon melibatkan drama 13 episod dan memerlukan saya berada di lokasi selama tiga bulan sebagai contohnya, sudah tentu saya tidak akan terima. Sebelum ini anda seorang yang aktif. Tidakkah anda bosan hanya duduk di rumah membesarkan anak? Memang suami saya paksa untuk terus berlakon sebab bimbang saya bosan hanya tinggal di rumah. Tetapi saya tidak pernah bosan. Setiap hari saya akan ketawa melayan keletah anak saya. Saya lebih suka membesarkan Ariana sendiri tanpa bantuan orang gaji. Sebabnya, saya mahu melihat Ariana membesar di depan mata saya. Saya juga sangat tegas dalam membesarkan dia (Ariana). Apakah maksud anda itu (tegas)? Saya sangat tegas dalam menjaga pemakanan dia. Ariana tidak pernah makan gula atau garam. Budak memang aktif, jika dia makan banyak gula, mereka akan terlebih aktif nanti. Apakah jenis pemakanan yang anda praktikkan untuk Ariana? Saya hanya beri dia minum air kosong atau air daripada buah-buahan yang dikisar. Saya juga masakkan dia makanan tanpa meletakkan sebarang kandungan gula atau garam. Tidakkah dia bosan dengan pemakanan sebegitu? Tidak. Sejak bayi lagi saya praktikkan jadi dia sudah biasa. Saya juga akan pastikan masa tidur dia teratur. Jadi, jika saya keluar bersama teman, saya akan pastikan balik sebelum pukul 6 petang kerana Ariana akan tidur pukul 7 malam. Apakah perkembangan lain mengenai anda? Insya-Allah, saya akan terbitkan beberapa buku masakan untuk bayi, kanak-kanak dan juga keluarga. Boleh berkongsi sedikit info mengenai penglibatan anda dalam kempen larian Selamatkan Hutan 2013 anjuran Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka)? Sejak kecil lagi saya memang suka kitar semula barang dan tanam sayur-sayuran. Jadi, saya sangat berbesar hati dapat mengikuti kempen ini. Mengenai kempen larian Selamatkan Hutan 2013, ia dianjurkan Peka untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap pentingnya memulihara ekosistem hutan. Larian yang akan diadakan pada 2 Mac di Bentong, Pahang itu, akan disertai oleh selebriti, ahli sukan dan orang ramai. Antara artis yang akan mengambil bahagian termasuk penyanyi Ella, Zainal Abdin, Datuk Khadijah Ibrahim, Imran Ajmain, personaliti sukan Azizul Hasni Awang serta 100 sukarelawan daripada Rock Corps Malaysia.

Yana mangsa pukul Fizo

ADA makna yang tersirat daripada judul drama 15 episod yang bakal menghiasi slot Samarinda TV3 iaitu Surat Dari Langit Biru. Ia menyingkap kisah pengorbanan dan kasih sayang antara dua beradik, Zarul dan Salmi. Plot yang berkisar tentang peredaran zaman kanak-kanak sehingga dewasa sepasang adik-beradik lakonan mantap Johan As'ari dan Yana Samsudin itu memaparkan isu ikatan persaudaraan dalam kelompok keluarga sederhana dari kawasan kampung. Zarul yang dilakonkan oleh Johan terpaksa mengorbankan masa depannya untuk memberikan peluang kepada kakaknya, Salmi (Yana) berjaya sehingga bergelar doktor. Takdir menentukan Salmi terpaksa berkahwin dengan Heykal (Fizo Omar) akibat keluarganya terhutang budi walaupun meniti perjalanan hidup yang merana akibat dendam. Zarul pula ditohmah pelbagai fitnah hingga dibuang oleh keluarga sendiri dan akhirnya mengasingkan diri untuk mencari tempat mengadu nasib. Ujar pengarah Rashid Sibir, drama yang mendapat sentuhan skrip daripada Basri Musa itu sebenarnya sebuah drama cinta antara dua beradik. "Drama ini memaparkan banyak babak sedih dan karakter yang sentiasa menangis. Penceritaan pula mengambil teknik imbas kembali plot masa terdahulu. "Menariknya drama ini, kebanyakan pelakon baharu seperti Johan, Yana, Fizo dan Tania Hudson mendapat sokongan bagus daripada pelakon veteran antaranya, Datuk Rahim Razali dan Fauziah Nawi," ujarnya yang ditemui ketika penggambaran drama tersebut di Desa Park City, Kuala Lumpur baru-baru ini. Rashid turut menyuntik elemen baharu dengan memberikan cabaran kepada pelakon-pelakon baharu menggalas karakter berbeza yang biasa dilakonkan selama ini. Maksud Surat Dari Langit Biru, tambah Rashid sebenarnya berkisar mengenai surat-surat yang ditulis oleh watak Zarul di kawasan tepi laut yang tidak pernah dihantar kepada penerimanya sehingga terjadi satu peristiwa yang tidak diduga. Surat Dari Langit Biru menjalani penggambaran selama dua bulan di sekitar Kuala Lumpur, Kuala Selangor dan beberapa tempat di Johor antaranya Desaru dan Kota Iskandar. "Drama ini bukan hiburan semata-mata kerana ia turut mendidik penonton dan menyampaikan mesej-mesej serta nilai kekeluargaan. "Cerita masyarakat kampung harus ada sebab itu akar umbi kita dan sudah semestinya masih relevan dengan masyarakat," katanya. Kering air mata Sementara itu, kata Yana, cabaran melakonkan watak Salmi berbeza berbanding drama lakonannya sebelum ini. "Saya perlu sentiasa menangis dan setiap babak perlu bersedih malah, saya juga sering menjadi mangsa pukul suami saya lakonan Fizo Omar. Penggambaran biasanya mengambil masa yang panjang dan saya penat menangis sebenarnya sampai air mata pun sudah tidak keluar, tapi kata pengarah asalkan emosi itu sampai kepada penonton sudah memadai," ujar Yana teruja. Surat Dari Langit Biru merupakan pengalaman kedua Yana berlakon di bawah arahan Rashid Sibir selepas telefilem Mak Pengantin Tak Popular dua tahun lalu. Terkini, Yana bakal sibuk dengan rangka promosi empat buah filem lakonannya tahun ini iaitu Wawa Semput, Dua Kalimah, Cerita Kita dan Adnan Sempit 3. Bagi Fizo Omar pula, drama itu merupakan kemunculannya semula mendokong watak antagonis selepas empat tahun. "Menerusi drama Bio-Nik saya melakonkan watak jahat dan kini kepercayaan diberikan sekali lagi kepada saya. Saya dapat rasakan watak ini bakal dibenci ramai. "Biasanya saya diberikan watak klise terutamanya golongan profesional (seperti doktor, peguam dan arkitek) cuma plot saja berubah. Namun kali ini tawaran datang dalam versi berbeza daripada sebelum," kata Fizo yang akan muncul dalam tiga buah filem tahun ini iaitu Isyarat Cinta, Sembunyi dan Hello. Surat Dari Langit Biru akan mula bersiaran pada 6 Februari 2013, setiap hari Selasa hingga Khamis pukul 10 malam di TV3.

Jalin semula hubungan lama - Zakiah Anas

PERSONALITI televisyen yang dikenali melalui program 999 di TV3 iaitu Zakiah Anas nyata gembira dan teruja setelah kembali bergelar isteri apabila selamat disatukan dengan insan istimewa di hatinya, Raja Shahrul Azmi Raja Sahar, 42, pada 12 Disember lalu. Menurut Zakiah, perkahwinan kali kedua bersama ahli perniagaan ini merupakan sesuatu yang istimewa. Ini kerana mereka telah lama berkenalan sebelum ini, iaitu sewaktu sedang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi. "Kami mula berkenalan kira-kira 20 tahun yang lalu, sewaktu masing-masing menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM). "Pada waktu itu, saya mengambil jurusan Komunikasi Massa sementara Shahrul pula dalam bidang Pelancongan dan Pengurusan Hotel. "Tetapi, perkenalan yang terjalin itu tidak berkekalan lama apabila Shahrul mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Jepun," katanya yang mengimbau detik manis pertemuan mereka. Tambah Zakiah, mungkin jodoh antara mereka sudah ditakdirkan pada waktu itu apabila mereka bertemu semula setahun yang lalu sewaktu kes perceraian Zakiah hampir selesai. Tanggal 19 Januari juga pastinya tarikh yang akan kekal menjadi memori manis dalam hidup pasangan ini kerana pada hari itulah majlis resepsi mereka diadakan yang disambut dengan meriah oleh keluarga dan rakan-rakan terdekat. Sungguhpun majlis yang diadakan lebih berkonsepkan santai dan sederhana, tetapi ia tetap berlangsung dalam suasana meriah apatah lagi ia turut dihadiri personaliti TV3 yang lain antaranya Azizah Ariffin, Azura Karim, Mazidul Akmal Sidek dan juga Ras Adiba Radzi. Jelas Zakiah, dia tidak mahu mengadakan majlis resepsi pada skala yang lebih besar kerana menyedari zaman kegemilangannya sebagai personaliti televisyen sudah pun berlalu. "Saya sedar siapa diri saya. Zaman populariti yang pernah dikecapi dahulu juga sudah berlalu dan usia juga bukan bertambah muda. "Jadi saya lebih selesa mengadakan majlis pada skala kecil seperti ini kerana perkahwinan kedua saya ini merupakan sesuatu yang berbentuk peribadi," katanya yang kini berusia 46 tahun. Serasi bersama Selepas kes perceraian dengan bekas suami selesai, Zakiah mengatakan tidak terdetik dalam hatinya pada waktu itu untuk kembali menjalinkan hubungan yang serius dengan mana-mana lelaki, apatah lagi mendirikan rumah tangga buat kali kedua sepantas ini. "Selepas memegang status ibu tunggal semenjak November 2011 lalu, saya tidak menyangka akan kembali bergelar isteri secepat ini. "Tetapi benar jodoh dan pertemuan itu ketentuan Ilahi. Semenjak bertemu dengan Shahrul, hati ini kembali terbuka untuk menerima kehadiran seorang suami," katanya yang mempunyai tiga cahaya mata melalui perkahwinan terdahulu iaitu Aiman Muzammil, 18, Amir Muzhaffar, 14, dan juga Ashfeeya Myazarra, 6. Menurut Zakiah lagi, dia berharap perkahwinan keduanya ini akan menjadi yang terakhir dan semoga hubungan yang terjalin kini berkekalan sehingga ke akhir hayat mereka berdua. "Seperti wanita lain, satu sahaja yang saya impikan dalam perkahwinan ini iaitu agar mahligai yang dibina berkekalan dan kami bahagia bersama. Shahrul ternyata mempunyai ciri-ciri lelaki idaman saya dimana kami mempunyai banyak persamaan," jelasnya lagi. Seperti juga Zakiah, perkahwinan ini juga merupakan yang kedua buat Shahrul dan hasil perkahwinan terdahulu, dia telah dikurniakan empat cahaya mata.

Marshanda selamat bersalin

JAKARTA 24 Jan. - Aktres sinetron Indonesia, Marshanda selamat melahirkan bayi sulungnya, di sini semalam. Aktres berusia 23 tahun itu melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Sienna Amirah Kasyafani, dua minggu lebih awal daripada yang dijadualkan. "Isteri saya mengadu berasa sakit pada malam semalam, dan saya terus membawanya ke hospital. "Sebelum ini, doktor menjangkakan isteri saya bersalin pada 3 Februari ini," kata suami aktres tersebut, Ben Kasyafani. Marshanda dilaporkan melahirkan bayinya menerusi pembedahan ekoran mengalami masalah pada posisi bayi di dalam rahim. Pasangan suami isteri tersebut melahirkan rasa syukur di atas kelahiran itu dan gembira untuk menjalani kehidupan sebagai ibu bapa. "Syukur alhamdulillah kerana Marshanda dan anak kami berada dalam keadaan sihat. "Kami akan membesarkan puteri kami dengan penuh kasih sayang dan melakukan yang terbaik buatnya," jelas Ben. - AGENSI

Jurufoto kesal dituduh penyebar foto Liyana Jasmay

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Jurufoto profesional, Saiful Nang kesal kerana dituduh menyebarkan foto-foto praperkahwinan Liyana Jasmay di internet sehingga mendapat reaksi negatif dalam kalangan peminat pelakon dan pengacara itu. Saiful yang merupakan jurugambar praperkahwinan artis tersebut berkata, tindakan ibu Liyana, Datin Habsah Simpon yang menyalahkan pihaknya, CandidSyndrome International sehingga foto-foto tersebut tersebar adalah tidak wajar. Katanya, sebagai jurufoto profesional, pihaknya tidak pernah bersetuju untuk memberikan hak eksklusif kepada mana-mana penerbitan untuk menyiarkan foto praperkahwinan tersebut. "Hak foto adalah milik jurufoto, selagi ia tidak dipindah hak dengan pembayaran atau klausa tertentu yang dipersetujui secara bertulis. "Selagi itulah kami (CandidSyndrome International) berkongsi hak kerana kami menaja dan sebab itulah kami tidak setuju dengan hak eksklusif yang diberikan kepada sebuah penerbitan tanpa ada pulangan pelaburan," katanya dalam laman sosial Facebooknya. Beliau mengulas kenyataan Habsah dalam sebuah media tempatan baru-baru ini yang mendakwa CandidSyndrome International menjadi punca tersebarnya foto-foto mesra Liyana dan bakal suami, Fathudin Mazlan di internet. Pasangan tersebut akan diijabkabulkan pada 2 Februari ini. Saiful berkata, perkara tersebut tidak akan berlaku jika sejak dari awal lagi keluarga Liyana berurusan terus dengan pihaknya.

Ayu Raudhah bakal lahirkan anak sulung di Johor

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Pelakon Ayu Raudhah yang juga isteri kepada Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak memaklumkan bahawa beliau akan melahirkan anak pertamanya di Johor. Ayu, 27, yang kini mengambil cuti panjang daripada dunia lakonan memberitahu, sudah hampir dua bulan dia memilih untuk menetap di Johor Bahru kerana mengikuti suaminya yang juga pemain bola sepak Johor Darul Takzim. “Kandungan saya sudah berusia tujuh bulan kini... saya dan suami sudah sepakat untuk melahirkan anak kami di sini sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Ayu juga sempat berkongsi jantina anak pertamanya nanti. “Mengikut doktor, InsyaAllah saya akan lahirkan seorang bayi lelaki, Mac ini. Buat masa ini ibu saya sudah bersetuju untuk menjaga saya sepanjang proses berpantang nanti, jadi tidaklah terlalu risau walaupun melahirkan anak di sini, " katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails