Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Atikah Suhaime Yakin Mampu Berjaya Di Bidang Nyanyian

Pelakon Atikah Suhaime meluahkan rasa syukur apabila hasratnya untuk bergelar penyanyi tercapai menerusi lagu runut bunyi filem Suamiku Jatuh Dari Langit. Filem tersebut sudah mula ditayangkan di pawagam sejak 17 Julai lalu. Atikah, 24, berkata, lagu tersebut sebagai langkah pertamanya ntuk mengembangkan bakat nyanyiannya dan yakin mampu berjaya sebagai seorang penyanyi meskipun baru saja bertatih sebagai pelakon. "Sebenarnya sudah lama saya berhasrat untuk bergelar penyanyi, cuma masa sahaja yang tidak sesuai. "Kebetulan pula baru-baru ini Awi Rafael menawarkan saya untuk menyanyi bagi lagu runut bunyi Suamiku Jatuh Dari Langit, jadi saya ambil kesempatan itu," katanya kepada mStar Online. Tambah Atikah, Awi turut menjadi guru vokal sebagai langkah untuk mengasah lagi vokal nyanyiannya menjadi lebih baik. Malah, anak kelahiran Singapura itu juga yakin, kerjaya nyanyian tidak akan menggugat kerja-kerja lakonannya. "Kalau David Teo membentuk saya sebagai seorang pelakon, Awi pula membentuk saya sebagai penyanyi. Dia juga guru vokal saya. "Apabila menyertai satu-satu bidang, saya akan memberi fokus sepenuhnya. "InsyaAllah, saya mampu bergerak sekali membawa gelaran pelakon dan penyanyi serentak," ujarnya. Filem komedi tersebut turut menampilkan lakonan Atikah bersama Nora Danish, Qi Razali, Kaza dan Syuk SYJ selaku teraju utama.

Shiha (Mentor) Terima Tawaran Lepas Lakonan Dikecam

Penyanyi Shiha (Mentor) menganggap kritikan terhadap lakonannya dalam drama terbaharu Abang Sado Kau Ado arahan Shuhaimi Lua sebagai pembakar semangat untuk dia terus aktif dalam bidang lakonan. Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 28, berkata, disebabkan perkara tersebut juga membuatkan pihak produksi drama dan stesen televisyen menyedari keupayaannya sebagai seorang pelakon. "Pada saya kecaman itu adalah pembakar semangat saya untuk terus berlakon, malah kritikan mereka secara tidak langsung membuatkan pihak-pihak produksi sedar dan melihat saya sebagai pelakon. "Walaupun ada yang kecam dan tidak suka lakonan saya dalam drama itu, tapi ada pengarah dan stesen televisyen yang menghubungi saya untuk bertanya tentang drama lain," ujarnya kepada mStar Online. Shiha berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kritikan segelintir pihak di laman sosial terhadap lakonannya dalam drama berjudul Abang Sado Kau Ado yang bersiaran pada 19 hingga 22 Julai lalu di TV3. Drama empat episod itu turut dibintangi oleh Adibah Yunus, Izara Aishah dan Sharnaaz Ahmad terbitan A. Aida Productions. Sementara itu, Shiha berkata, sejak menceburkan diri dalam industri seni, dia tidak pernah peduli tentang pandangan negatif segelintir pihak yang tidak suka cara nyanyian, pengacaraan atau pun lakonannya. Kata Shiha, dia menganggap perkara tersebut sebagai lumrah sebagai anak seni. "Saya dah bersedia kena kritik, sebelum ini masa mula-mula buat pengacaraan dalam Jalan-Jalan Cari Makan juga dikritik tetapi disebabkan itu juga ramai yang nak tengok. "Saya tidak kisah pun kalau orang tidak penting tidak suka lakonan atau pengacaraan saya, tapi lebih penting seperti produser atau orang dalam industri menyukainya," ujar Shiha.

Syazwan Zulkifly Kesal Dituduh Panas Baran Terhadap Faye Kusyairi

Pelakon Syazwan Zulkifly terkilan apabila dituduh bersikap panas baran sehingga menjadi punca hubungan cinta dengan pelakon baharu Faye Kusyairi putus di tengah jalan. Syazwan, 28, berkata, keputusan untuk mencari haluan masing-masing diambil selepas dia mendapati tiada lagi persefahaman antara mereka selain kedua-duanya sibuk dengan jadual kerja masing-masing. "Saya terkilan orang sering menyalahkan saya dan menganggap saya yang bersalah dan menjadi punca hubungan kami putus. Mereka tidak tahu apa yang berlaku dalam hubungan itu. "Lebih mengarut saya dituduhan sebagai lelaki panas baran dan psiko. Soalnya mereka pernah nampak ke Faye lebam kena pukul dengan saya lepas kami keluar bersama? Mereka asyik menuduh saya sahaja yang salah. "Cuba mereka tanya pada Faye pernahkan saya bertindak demikian," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Ahad. Syazwan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dakwaan bahawa hubungan cintanya dengan pelakon Faye Kusyairi putus disebabkan sikap kasar dan panas baran dirinya sehingga membuatkan wanita itu takut setiap kali bertemu.
Sementara itu, Syazwan menegaskan dia tidak pernah memukul atau bersikap kasar terhadap wanita itu sepanjang menjalinkan hubungan cinta. Dia juga meminta agar kisah percintaan dia bersama wanita itu tidak terus dijadikan topik untuk mana-mana ruangan pojok akhbar yang boleh menjejaskan namanya. "Saya bercinta dengan dia lima bulan sahaja dan ketika itu kami sama-sama berlakon dalam drama Istikharah Cinta dan ketika itu saya rasa tidak banyak pun cerita pasal kami berdua bercinta. "Tapi entah kenapa selepas berpisah ini pula banyak cerita tidak baik yang mengaitkan saya dengan dia," ujarnya. Dalam pada itu Syazwan berkata, dia kini sudah mempunyai kekasih baharu iaitu pengacara program hiburan hlive!iaitu Shenty Feliziana yang terjalin sejak tiga bulan lalu. "Saya sudah lama move on dan kini saya pun ada kekasih baru iaitu Shenty dan hubungan kami baru sahaja tiga bulan," katanya.

"Insiden Maki Wanita Kerana Maruah" - Zul (2 By 2)

Penyanyi dan komposer Zul (2 By 2) menjelaskan tindakan memarahi seorang wanita di sebuah restoran pada bulan Ramadan lalu disebabkan perkara tertentu yang melibatkan maruah keluarganya. Bagaimanapun, Zul atau nama sebenarnya, Zulkefli Majid, 42, berkata, kejadian tersebut berlaku tidak seperti yang digambarkan di ruangan pojok sebuah akhbar mingguan pada Ahad. "Apa yang berlaku ketika itu ialah saya dan isteri, Isma bercakap tegas meminta penjelasan kepada mereka yang terlibat menabur fitnah kepada kami, kami dianiaya dan mereka menuduh kami tanpa bukti sehingga menjejaskan maruah kami. "Saya malas nak besarkan lagi perkara itu, tetapi kejadian itu tidaklah sampai mengamuk seperti yang ditulis dalam akhbar tersebut. Kami masih sedar itu tempat awam dan kami juga masih lagi waras," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Ahad. Zul berkata demikian ketika diminta mengulas laporan di ruangan pojok akhbar mingguan tentang tindakan dia dan isterinya penyanyi Ismaliza Ismail memaki hamun seorang wanita di sebuah restoran pada Ramadan lalu. Tambah Zul, dia dan isterinya enggan mengulas kejadian yang berlaku antara dia dengan wanita tersebut dan menganggap ia sudah pun diselesaikan secara baik. "Saya malas nak ungkit dan besarkan fitnah yang dibuat terhadap kami walaupun ramai yang menyuruh kami saman malu terhadapnya. "Saya dan isteri sudah buat keputusan untuk tidak mengambil sebarang tindakan, cukuplah mereka mengaku kesilapan dan meminta maaf," ujarnya.

Sejak Lima Tahun Eja Sambut Raya Di Rumah Mertua

Pelakon Eja menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga mertuanya di Ipoh terlebih dahulu sebelum beraya di Kuala Lumpur yang mana perkara itu dilakukannya sejak lima tahun lalu. Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 43, berkata, ia berikutan keadaan kesihatan ibu mertuanya yang tidak berapa sihat. "Saya sudah lima tahun sambut raya di rumah mertua iaitu di Ipoh sebelum beraya bersama keluarga saya di KL. Biasanya kami beraya selama empat atau lima hari di sana. "Emak mertua saya tidak berapa sihat dan inilah masanya untuk berjumpa ahli keluarga yang lain. Selalunya kalau saya balik ke Ipoh, mereka tiada kerana masing-masing tinggal jauh," katanya kepada mStar Online. Eja berkata, sambutan Hari Rayanya sama seperti orang lain iaitu dengan menghabiskan masa sepanjang hari berbual dan menikmati juadah yang disediakan. Tambahnya, persiapan dibuat secara sederhana dan hanya melebihkan kepada persiapan anaknya Nur Eishal yang berusia lima tahun. "Saya beraya seperti orang lain juga, raya pertama hanya duduk rumah, menonton televisyen dan makan juadah Hari Raya, selepas itu barulah pergi menziarah ahli keluarga. "Tahun ini persiapan kami biasa sahaja, cuma baju raya, kasut dan keperluan raya lebih kepada anak sahaja," katanya. Dalam pada itu, Eja bakal keluar dengan telefilem berjudul Gerobok Raya yang akan disiarkan pada slot Cereka Ahad, 26 Julai ini.

Aida Khalida Tidak Fikir Calon Suami, Tumpukan Ibadat

Pelakon Aida Khalida tidak lagi terfikir soal perkahwinan selepas bercerai dengan penyanyi, Joe Radzwill pada 2010. Aida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad, 58, berkata, dia kini lebih banyak menumpukan perhatian terhadap kehidupannya selain mendekatkan diri kepada Allah. "Jujurnya saya tidak lagi fikir tentang mencari pengganti kerana saya sudah pernah berkahwin dua kali sebelum ini dan ia musnah di tengah jalan. "Pada usia sekarang rasanya lebih baik saya tumpukan kepada hidup sendiri selain meningkatkan amal ibadat kepada Allah," katanya kepada mStar Online. Tambah Aida, sejak bergelar janda, dia tidak pernah didekati mana-mana lelaki untuk berkawan dengannya namun tidak menolak sekiranya sudah ditentukan untuk bertemu jodoh selepas ini. "Sungguhpun saya tidak mahu berkahwin lagi tetapi soal jodoh, maut dan pertemuan bukan di tangan saya. Sekiranya dipertemukan dengan seseorang saya terima," ujarnya.
Dalam pada itu, berkongsi tentang kehidupan hariannya, Aida berkata, setiap minggu dia akan menghadiri beberapa kelas agama selain mengaji Al Quran dan tajwid. Malah kata Aida, dia juga ada menyertai kumpulan WhatsApp di mana kesemua kenalan berkongsi tentang aktiviti keagamaan yang diadakan di sekitar Lembah Klang. "Alhamdulillah kehidupan saya semakin tenang sekarang dan dipenuhi dengan kelas-kelas agama dan rakan-rakan juga banyak membantu untuk memperbaiki diri ke arah lebih baik," katanya. Sementara itu, Aida juga memberitahu dia masih berlakon seperti biasa namun meletakkan syarat untuk tidak bersentuhan dengan mana-mana pelakon lelaki biarpun watak dilakonkan di antara ibu dan anak. Aida berkata, dia juga bersyukur kerana kebanyakkan produksi memahami situasinya dan sedia mengubah babak-babak yang melibatkan sentuhan. "Kebiasaannya saya akan baca skrip terlebih dahulu sebelum setuju dan akan merujuk kepada produksi sekiranya ada babak bersentuhan dapat diubah. "Alhamdulillah setakat ini produksi tiada masalah dan sangat memahami," ujarnya.

Anzalna Tolak Tawaran Berlakon Selama Setahun

Pelakon Anzalna terpaksa menolak semua tawaran lakonan sejak setahun lalu kerana terikat dengan penggambaran drama bersiri Memori Cinta Suraya terbitan Global Station Sdn Bhd. Anzalna atau nama sebenarnya Anzalna Nasir, 27, berkata, biarpun terpaksa melepaskan beberapa peluang menarik tetapi dia tidak mahu bersikap tamak sehingga menimbulkan masalah kepada pihak lain yang pada akhirnya akan merugikan diri sendiri. "Alhamdulillah rezeki itu memang tidak putus-putus tetapi malangnya saya terpaksa menolak secara baik kerana perlu memberikan komitmen kepada Memori Cinta Suraya yang sudah pun menjalani penggambaran selama setahun. "Tetapi tidak mengapa itu mungkin bukan rezeki saya dan akan ada yang lain selepas ini," katanya kepada mStar Online. Memori Cinta Suraya menggandingkannya dengan aktor berasal dari Singapura iaitu Hisyam Hamid sebanyak 149 episod dan dijangka ditayangkan pada Ogos depan. Dalam pada itu Anzalna berkata, dia bersyukur kerana mendapat barisan pelakon dan kru produksi yang bekerja sebagai sebuah keluarga besar tanpa sebarang masalah.
Kata Anzalna, tempoh lama berada di set tidak terasa malah dia sentiasa ternanti-nanti untuk memasuki set dan berjumpa dengan keluarga besar Memori Cinta Suraya. "Alhamdulillah, segalanya dalam keadaan baik. Saya bimbang juga akan berlaku sebarang 'drama' kerana kami berada di set sudah setahun. "Harap-harap keadaan itu akan kekal begitu sehingga tamat penggambaran pada November depan," katanya. Sementara itu, Anzalna berkata, dia juga selesa bergandingan dengan Hisyam dan menyifatkan aktor berusia 30 tahun itu sebagai profesional dan menghormati orang lain. "Dengan Hisyam tiada apa perlu saya bimbangkan kerana dia sangat profesional dan kami juga saling menjaga hubungan agar tidak berlaku sebarang perbalahan. "Pendek kata, saya tidak bersedia untuk meninggalkan set apabila ia tamat nanti kerana kami semua benar-benar seperti keluarga," ujarnya.

Najwa Latif Belum Sedia Beri Lagu Ciptaan Untuk Penyanyi Lain

Penyanyi Najwa Latif masih belum bersedia memberikan lagu-lagu ciptaannya kepada mana-mana artis tempatan. Najwa, 20, berkata, perkara tersebut disebabkan dia bimbang lagu tersebut tidak sesuai dengan mereka kerana ia terlalu ringan. "Tidak dinafikan ada beberapa artis yang berhasrat untuk menyanyikan lagu ciptaan saya, tapi saya minta maaf kerana masih belum bersedia memberikannya kepada mereka. “Lagu-lagu saya terlalu ringan, saya bimbang ia tidak sesuai dengan mereka. Insya-Allah satu hari nanti memang impian saya untuk mendengar lagu ciptaan sendiri dinyanyikan orang lain," katanya kepada mStar Online. Najwa berkata, dia baharu sahaja keluar dengan lagu terbaharu yang dicipta oleh penyanyi Alyph Sleeq berjudul Satu Hari Nanti. Dalam pada itu bercerita tentang Hari Raya, Najwa berkata, setiap tahun dia pulang ke kampung halamannya di Batu Pahat, Johor. Tambahnya, apa yang lebih menggembirakan apabila dia masih lagi menerima duit raya daripada keluarga. "Setiap kali raya saya balik ke Batu Pahat, Johor untuk beraya bersama keluarga. Seronok bila kumpul ramai-ramai dan bercerita panjang. "Kebiasaannya pakaian dan perhiasan rumah sudah disiapkan oleh ibu dan saya hanya ikut sahaja tema yang disediakan. Selain itu, jangan terkejut saya masih dapat duit raya daripada keluarga kerana masih belajar," ujarnya. Sementara itu, Najwa berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, dia tidak dapat beraya lama di kampung berikutan jadual belajar dan aktiviti seni yang padat. "Bila raya, ramai juga peminat yang datang ke rumah. Tapi kebiasaannya saya tidak dapat berada lama di kampung, ada kalanya selepas pulang ke Kuala Lumpur pun masih ada lagi peminat yang datang berkunjung. Ibu akan layan mereka menggantikan tempat saya," katanya.

Kisah Peribadi Bukan Untuk Dikongsi - Kaka Azraff

Penyanyi Kaka Azraff tidak akan berbicara secara terbuka berhubung kisah peribadinya untuk tatapan umum kerana ia tidak mempunyai kaitan dengan kerjaya. Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 26, bagaimanapun berkata, itu tidak bermakna dia akan menyorokkan status dirinya dan akan bercakap benar sekiranya ada yang bertanya. "Seperti sekarang anda bertanya dan saya tidak menyorok untuk memberitahu saya tidak mempunyai teman lelaki. Tetapi untuk berbicara tentangnya secara terbuka mungkin tidak kerana ia tiada kena mengena dengan kerjaya saya sebagai penyanyi. "Saya juga mempunyai hak untuk tidak mendedahkan butiran mengenai kehidupan peribadi kepada umum seperti mana orang lain," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Kaka berkata, dia berharap selepas ini namanya tidak terpalit dengan sebarang kontroversi kerana ingin memberi fokus kepada kerjayanya. Dia juga bingung kerana namanya sering dikaitkan dengan isu ditimbulkan oleh artis lain seperti mana berlaku sebelum ini. "Hendak kata kontroversi yang ditimbulkan sendiri oleh saya rasanya tiada tetapi saya sering terpalit dengan isu artis lain. Tolonglah henti kaitkan saya lagi selepas ini," pintanya. Terdahulu, penyanyi lagi Bukan Hal Aku ini dikaitkan sebagai punca perpisahan aktres Tasha Shilla dengan Hans Wong. Tidak cukup dengan itu, Kaka dikatakan menjadi dalang terhadap penyebaran gambar separuh bogel dipercayai mirip Tasha baru-baru ini.

Ibu-Bapa Kekuatan Zizan Razak Harungi Kontroversi

Pelakon Zizan Razak memberitahu ibu bapanya adalah kekuatan untuk dia menghadapi tempoh gelap dalam kerjayanya selepas terpalit dengan pelbagai kontroversi sejak awal tahun ini. Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak, 31, berkata, kedua-dua orang tuanya sentiasa memberikan kata-kata semangat agar sentiasa bersabar dan tidak cepat melatah dengan tuduhan dilemparkan. "Jika tiada ibu bapa saya tidak tahu apa akan jadi kerana mereka adalah kekuatan saya dan bersyukur kerana mereka sentiasa nasihatkan saya supaya bersabar dan tidak berputus asa dalam mengharungi cabaran hebat ini," katanya kepada mStar Online. Kontroversi melibatkan Zizan mula tercetus selepas hubungan cintanya dengan aktres Emma Maembong terputus pada penghujung tahun lalu. Pelawak itu kemudiannya dituduh sebagai individu yang menghantar mesej lucah kepada beberapa wanita. Belum surut tuduhan itu, Zizan dikatakan telah melanggan pelacur ketika berada di Indonesia sebelum mengejutkan peminat selepas dia mengumumkan bakal berkahwin. Dalam pada itu, Zizan berkata, dia tidak pernah terkilan dengan segala isu dan kontroversi yang melandanya.
Sebaliknya dia reda dengan semua dugaan tersebut kerana ia adalah ketentuan dari Allah. "Sebagai manusia biasa dan orang Islam saya percaya setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmahnya dan Allah memberi cabaran ini kepada saya dengan tujuan yang baik. "Insya-Allah jika saya tidak berputus asa Tuhan itu akan beri jalan lebih baik kepada saya selepas ini," katanya. Sementara itu, mengulas apabila dia hanya mendapat satu pencalonan iaitu Pengacara Lawak TV Paling Popular, Anugerah Lawak Warna 2015, Zizan menganggap keputusan itu tidak perlu dipersoalkan. Kata Zizan, sepanjang tempoh setahun ini juga dia kurang muncul dalam program atau filem berkonsepkan komedi memandangkan acara itu dinilai berdasarkan genre tersebut. "Rezeki masing-masing dan jujurnya saya rasa satu pencalonan itu adil kerana saya memang kurang terlibat dalam program atau filem komedi. "Itu bukan soal populariti sudah jatuh atau pun tidak kerana rezeki dalam bidang ini ditentukan Allah," katanya. Anugerah Lawak Warna 2015 bakal berlangsung pada 21 Ogos depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails