Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

“Derita Enot bukan bala”


MACAM-MACAM hal yang menimpa peserta-peserta program Maharaja Lawak Mega (MLM) ketika ini.

Sebelum ini, ramai yang terkejut dengan kemalangan yang menimpa Bob (Kuman) yang didakwa terjatuh semasa bersiap-siap untuk mengadakan persembahan untuk minggu keempat program MLM.

Seakan silih berganti, tiba-tiba muncul pula satu lagi kemalangan dalam program yang sama pada minggu kelima dan kali ini ia melibatkan pelawak wanita, Alliza Abdullah atau Enot.

Rasanya tak molek kalau ada yang cuba mengandaikan kejadian ibarat satu badi.

Iyalah, semua yang terjadi mungkin satu kebetulan. Bersangka baiklah kita, betul tak?

Kisahnya, Enot pada malam persembahan telah tergelincir dan terjatuh selepas dia yang sepatutnya beraksi mendukung Didie Alias di atas pentas, gagal mengimbangkan tubuh.

Disebabkan itu, Pancaindera difahamkan, Enot telah mengalami keretakan di lututnya.

Dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras Sabtu lalu, Enot kini menjalani rawatan sepenuhnya termasuk fisioterapi.

Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang, bukan soal sakit sahaja yang perlu ditanggung oleh Enot.

Dia juga turut diduga dengan mulut-mulut jahat yang sengaja mencetuskan amarah wanita berusia 33 tahun ini dengan dakwaan dia sengaja meraih simpati orang ramai.

Lebih menyedihkan, dia turut dikecam kerana dianggap sengaja menyakiti diri untuk meraih undi simpati penonton MLM.

Begitu sekalikah Enot sanggup lakukan semata-mata untuk undian program itu?

Kepada pancaindera, Enot meluahkan rasa sedih namun menganggap ia sebagai satu dugaan yang terpaksa diharunginya.

“Tak masuk akal untuk saya sengaja jatuh pada persembahan malam itu. Ia satu kemalangan. Bukan dibuat-buat.

“Hairan juga saya kenapa ada yang kata saya nak raih simpati dengan cara macam tu. Kalau saya buat macam tu, tentu saya akan dikecam sebab menggunakan cara jijik untuk menang bukan? jadi fikirlah sendiri, ” katanya.

Tak peduli

Tahu mungkin ada yang tidak suka pada dirinya, kata Enot, dia bagaimanapun tidak punya kuasa untuk menutup apa sahaja kata nista yang dilemparkan kepadanya.

Biarpun hatinya terbit rasa sakit, namun dia reda dengan hinaan orang padanya.

Bagi Enot, lebih baik dia berdiam diri dan tidak mengendahkan cakap-cakap orang itu kerana baginya, mereka tidak tahu apa yang dirasakan olehnya.

“Orang boleh bercakap, tapi mereka tak tahu apa yang saya rasa. Terus-terang, saya memang tak peduli dengan apa yang orang mahu cakap tentang saya.

“Kalau mereka rasa saya sakit ni semata-mata nak raih undi, jadi tak payahlah undi.

“Saya tak makan hati dengan apa yang mereka cakap. Yang saya tahu, saya nak cari rezeki halal,” katanya.

Terima ujian

Dalam pada itu, Enot dalam nada kecewa mengaku menerima ketentuan takdir kerana diuji sebegitu rupa.

Lebih terasa, katanya, ujian itu diturunkan kepadanya dalam keadaan dia mengalami kesusahan termasuk dalam ketiadaan tawaran lakonan dan sebagainya.

Hanya bergantung kepada penglibatannya bersama kumpulan 3G dalam program MLM, kata Enot, dia juga gusar memikirkan apa yang perlu dilakukan dalam keadaannya begini.

Namun, optimis dengan adanya rezeki Tuhan walau apa pun yang berlaku, kata Enot dia akan tetap berusaha mencari jalan bagaimana untuk mencari nafkah bersama suaminya Zainul Abidin Mat Noor, 38.

“Saya akui, kehidupan kami agak susah kerana kesempitan wang. Sebab itulah saya berniaga kek dan sebagainya. Bahkan setiap hari saya fikir, macam mana nak cari duit lebih sebab tawaran lakonan tak ada langsung sekarang.

“Sekarang saya hanya harapkan rezeki daripada penyertaan MLM ini. Tapi, satu hal juga sebab bayaran pun dapat lambat.

“Hari-hari kita nak pakai duit. Dengan nak besarkan anak lagi. Pendek kata semuanyalah,” katanya.

Merasakan dirinya ibarat sudah tidak laku, kata Enot, dia tidak boleh menipu dirinya bahawa dia sangat kecewa kerana tidak lagi diberi peluang untuk kembali dalam bidang lakonan.

“Sebetulnya, saya sangat rindu untuk kembali berlakon. Tapi nak buat macam mana, tak ada orang panggil saya.

“Nak kata dah makin ramai pelakon berbadan besar macam saya, tak juga. Entah kenapa saya pun tak tahu.

“Nak kata saya ada masalah disiplin, saya rasa tidak. Setiap kali buat kerja, saya selalu berikan tumpuan penuh walau untuk dua atau tiga adegan saja, ” ujarnya.

Menurut Enot, dia juga menanti kehadiran tahun 2012 dengan menyimpan harapan tinggi agar rezekinya dipermudahkan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails