Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Persefahaman pengikat kasih - Ana Dahlia


USIA perkenalan yang singkat bukanlah satu halangan untuk mana-mana pasangan mengakhirinya dengan ikatan suci sebuah perkahwinan.

Malah, ada antara mereka yang tidak memerlukan tempoh bertahun lamanya bagi mengenali pasangan masing-masing dalam mengungkap kata janji sehidup semati.

Begitu juga yang terjadi kepada pasangan sama cantik sama padan, Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan apabila menyunting Ana Dahlia sebagai suri hidupnya pada tanggal 11 Disember lalu.

Episod percintaan selama lapan bulan bagi pasangan merpati sejoli ini akhirnya terpatri apabila mereka disatukan dalam lafaz akad di kediaman Ana di Kampung Bendang Siam, Changkat Jering, Taiping, Perak.

Dinikahkan oleh Naib Kadi, Nawi Osman dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Jaafar Mat Ali, 56, Ana yang merupakan heroin filem Mantra akhirnya sah menjadi milik juri program televisyen MasterChef Malaysia itu dengan sekali lafaz.

Pada majlis pernikahan itu, Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar menerima wang hantaran RM20,000; mas kahwin RM1,001; sebentuk cincin dan 13 dulang hantaran selain membalas 15 dulang kepada pihak lelaki.

Chef Riz yang ditemui sebaik selesai majlis meraikan pengantin di Dewan Kamalbina, Taiping, Perak, minggu lalu berkata, tempoh perkenalan yang singkat antara mereka tidak pernah menjadi kekangan buat mereka dalam membuat keputusan berumahtangga.

Malah katanya, jarak perhubungan sama ada panjang atau pendek tidak perlu dijadikan faktor utama yang boleh ditimbang-tara untuk membuat keputusan menamatkan zaman bujang.

Mempunyai keserasian

Sebaliknya dia menjelaskan, persefahaman dan sikap saling hormat-menghormati menjadi tunjang utama dalam keutuhan sesebuah perhubungan.

"Bagi saya, kami ibarat saling melengkapi. Perbezaan yang kami miliki sebenarnya merapatkan perhubungan dan saya cukup gembira kerana akhirnya disatukan dengan Ana dalam majlis yang cukup meriah ini.

"Soal tempoh perkenalan yang pendek bukanlah jaminan kebahagiaan kerana tidak semestinya kenal bertahun akan berkekalan, malah walau kenal sehari, jika sudah jodoh tetap kekal juga," katanya.

Ana yang anggun mengenakan persalinan rona ungu hanya meleretkan senyuman tatkala mendengar kata-kata suaminya sambil turut menyatakan kesyukuran kerana majlis yang diadakan secara sederhana itu meriah dengan kehadiran keluarga dan sahabat handai.

"Ana terima dia seadanya walaupun daripada aspek personaliti dia agak nakal kontra dengan sikap Ana yang tegas, tetapi perbezaan ini yang merapatkan kami.

"Ana juga suka dengan caranya mengendalikan sesuatu perkara apabila berhadapan dengan sikap Ana sendiri yang gemar berterus-terang.

"Perkara ini membuatkan kami mempunyai keserasian dan Ana sangat menghormatinya apabila dia dapat menerima keluarga Ana seadanya dan melayan mereka dengan baik," ujar Ana sambil melirik manja ke arah suaminya yang berada di sisinya ketika itu.

Diusik pertanyaan, tarikan yang dimiliki Ana hingga membuatkan Chef Riz enggan berpaling, beliau berkata, suri hatinya itu merupakan seorang wanita yang jujur dan tahu apa yang dilakukannya.

Malah, tarikan paling kuat yang membuatkan beliau menyayangi wanita itu, apabila Ana merupakan seorang tukang masak yang hebat.

Katanya, kali pertama merasai air tangan Ana, dia tidak menyangka Ana mampu memasak makanan yang enak dalam tempoh yang singkat.

"Pada mulanya saya ingatkan dia main-main tapi apabila sampai ke rumahnya saya dapati makanan telah siap terhidang. Masakan seperti rendang ayam, kangkung goreng belacan, ayam berempah dan sambal tumis petai benar-benar membuka selera.

"Ramai rakan mengusik, apabila suami seorang yang pandai memasak, isteri pasti akan sebaliknya. Namun saya berpegang, walaupun saya hebat memasak di luar tetapi apabila berada di rumah saya tetap mahu isteri yang memasak dan Ana memiliki ciri-ciri itu," jelasnya sambil ketawa kecil.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails