Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jangan cepat menghukum saya – Hanez Suraya


PERISTIWA hitam itu masih segar dalam ingatan biarpun sudah tiga tahun berlalu. Semuanya gara-gara kehadirannya di sebuah majlis meraikan hari jadi teman bertukar menjadi malapetaka.

Ditambah pula dengan kehadiran beberapa keping gambar liarnya, menjadi punca pandangan negatif buat dirinya menular.

Biarpun tatkala itu, pemilik nama Hanez Suraya Abdul Aziz,25, sedang dijulang tinggi lantaran persembahan hebat lakonannya dalam drama Ezora yang bersiaran di slot Akasia TV3 sekitar tahun 2009, namun kontroversi tetap menjengah jua.

Situasi memalukan wanita yang mesra disapa Hanez itu juga sekali gus mengundang dirinya dihujani tekanan demi tekanan dan mencetuskan rasa penyesalan lantaran penyebaran gambar sosial dirinya.

“Semua gambar itu adalah saya. Saya tak akan menafikan kerana penafian pasti membuatkan saya berterusan dikejar oleh persoalan yang sama sepanjang masa.

“Tapi apa yang membuatkan saya kecewa adalah tindakan si penyebar gambar yang seolah-olah mahu melihat saya terlungkup dalam industri seni,” sesal Hanez berhubung perkara yang menjatuhkan namanya itu.

Wanita yang masih dalam atmosfera fobia itu bagaimanapun cuba bangkit dari kesilapan walaupun dia tetap dihujani dengan cubaan mencungkil sisi ‘kotor’ dirinya selepas itu.

“Pada mulanya, saya jadi kelam kabut apabila timbul kontroversi gambar saya (berpeluk) dengan seorang lelaki tersebar. Saya cuba kawal perasaan tapi lain pula yang terjadi seminggu selepas itu. Kisah sensasi yang lain pula dicungkil dengan penyebaran gambar tak senonoh di majlis hari jadi kawan saya.

“Kesannya, saya tertekan, tak boleh tidur malam sebab tak boleh terima orang mengata macam-macam tentang saya. Kalau tidur pun, mesti mimpi buruk dan mengigau sebab terlalu malu dengan situasi itu,” sambung pelakon drama Ahmad Albob ini lagi.

Lebih kesal di hati Hanez apabila ada pihak yang menghantar gambar seksinya kepada sebuah majalah hiburan dengan niat untuk memburuk-burukkan dia di mata masyarakat.

“Semua gambar seksi saya itu gambar lama semasa jadi model dahulu. Memang agak keterlaluan, tapi itu adalah kerja seni saya dahulu, masa baru nak kenal dunia.

“Saya akui memang saya seksi dan itu adalah imej yang saya pilih. Tapi selepas bergelar artis, saya tahu ada garisan yang perlu dipatuhi.

“Tapi janganlah sampai melabel saya yang bukan-bukan hanya kerana beberapa keping gambar berkenaan dan cerita lama saya terus diungkit,” katanya minta dimengerti.

Dikhianati kawan sendiri?

Ditanya angkara siapa yang merangkapkan diri Hanez ke kancah permasalahan besar tersebut, anak kelahiran Kuala Lumpur ini, lekas menggelengkan kepala.

“Saya tak tahu siapa yang sebarkan gambar itu sebab banyak kali saya siasat kepada kawan-kawan terdekat siapakah dalang penyebar.

“Akaun Facebook saya dan kawan rapat tak ada pula gambar macam itu. Andaian saya, mungkin ada di antara kawan-kawan saya kehilangan telefon bimbit atau komputer riba yang mengandungi gambar itu dan kemudiannya jatuh pada individu tertentu,” katanya lagi.

Adakah Hanez mengesyaki di antara rakan-rakannya itu melakukan penyebaran gambar tersebut, dia tetap menggelengkan kepala.

“Saya percayakan kawan-kawan saya dan mereka takkan pedajal saya. Berulang kali saya pesan kepada mereka agar tidak meletakkan gambar personal di laman sosial. Sebab saya tak mahu peristiwa lama kembali terjadi dan merencatkan perjalanan seni saya,” tegasnya.

Adakah peristiwa itu menyebabkan pelakon yang sudah bertapak dalam industri sejak lapan tahun ini bertindak memilih kawan?

“Ya, saya terpaksa buat, bukan sebab saya kekwat (berlagak) bila dah jadi artis, tapi untuk kebaikan sendiri. Saya tak ada musuh tapi tak tahulah kalau ada yang tak berkenan dengan saya.

“Saya berkawan dengan semua orang yang sudi berkawan dengan saya asalkan jangan sampai menjatuhkan sesama kita.

“Apa pun, peristiwa tiga tahun itu buat saya lebih berhati-hati untuk segala tindak tanduk. Maafkan saya andai ada yang tak senang dengan gambar itu dan saya nekad untuk ambil langkah berhati-hati pada masa depan,” jujur anak sulung tiga beradik ini.

Ulas tentang gadis sosial

Menebak persoalan bagaimana sebenarnya pelakon drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang di saluran Astro Ria dan Bunga April (TV3) ini mengusir urat tegang di wajahnya.

“Saya adalah seorang periang, suka berkawan dan ceria sentiasa. Mungkin pada permulaan silaturahim itu orang nampak saya sombong, tapi sebenarnya tidak. Saya tak suka bawa masalah kepada orang.

“Ada juga cerita saya kekwat dalam satu fotografi dengan satu majalah hiburan satu ketika dulu, tapi itu cuma salah faham saja. Saya jenis yang profesional dalam kerja dan biarlah orang nak cakap apa.

“Bila orang cakap saya jenis sosial, saya cuma tersenyum saja. Kenal saya dulu jenis yang bagaimana barulah berkata-kata dan saya pinta kepada masyarakat untuk tidak memandang saya sebelah mata,” rayu Hanez.

Adakah Hanez bersedia untuk menerima kritikan lantaran kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, wanita ini mengangguk.

“Setiap manusia ada sejarah masa silam masing-masing. Sebagai manusia biasa, saya terima apa juga pandangan orang ramai terhadap saya, asalkan bersifat adil,” ringkasnya di hujung perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails