Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Amy Search. Show all posts
Showing posts with label Amy Search. Show all posts

Guru Tahfiz Perlu Diberi Gaji Tinggi - Amy (Search)

Vokalis kumpulan Search iaitu Amy berpendapat seseorang guru tahfiz di negara ini perlu mendapat bayaran gaji yang tinggi, setaraf dengan ilmu dan didikan yang diberikan kepada pelajar mereka. Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 57, berkata, memikul tanggungjawab sebagai guru tahfiz bukannya mudah apatah lagi ia memerlukan ilmu dan pengalaman yang secukupnya sama seperti pendidik dalam bidang akademik lain. "Saya faham, mengajar tahfiz adalah salah satu ibadah di dunia, tetapi mereka juga punya tanggungan hidup daripada segi makan dan pakaian, selain menyara keluarga. "Berdasarkan pemahaman saya, masih ramai lagi guru tahfiz di luar sana mempunyai pendapatan yang sangat rendah sedang ilmu yang disumbangkan sangat besar nilainya. "Saya harap ada pihak yang prihatin dengan perkara ini agar guru tahfiz diberi pendapatan yang sepatutnya," katanya kepada mStar Online. Amy berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai masalah pendapatan golongan pendidik tahfiz yang menerima gaji yang rendah. Dalam pada itu, Amy berkata, dia juga memastikan guru-guru yang mendidik pelajar-pelajar di sekolah tahfiz yang ditubuhkannya iaitu Al-Bayan School of Quran & Hadith turut mendapat gaji yang tinggi dan setimpal dengan pengalaman. Dia juaga ingin menaikkan taraf golongan guru tahfiz yang sering dianggap hanya mahu mengajar secara sukarelawan semata-mata. "Mereka mendidik anak-anak kita menjadi seorang Islam yang berguna, jadi tidak ada salahnya kita menjaga kebajikannya. Setakat ini saya akan memastikan gaji yang mereka terima tinggi dan berbaloi. Baru semangat mereka nak mengajar. "Tambahan pula saya lihat mereka juga berjaya mendidik tentang peradaban. Pelajar-pelajar yang sangat nakal di Al-Bayan kini sudah menjadi orang yang sangat berdisiplin. Alhamdulillah," ujarnya. Al-Bayan School of Quran & Hadith yang dibuka sejak awal tahun lalu merupakan sebuah sekolah tahfiz untuk pelajar yang berumur 7 tahun hingga 15 tahun. Selain menghafal Al-Quran dan Hadis, mereka turut diajar Bahasa Arab selain pelajaran asas seperti Bahasa Inggeris dan Matematik. Sementara itu, Amy berkata, sehingga kini, seramai 18 pelajar mendaftar di sekolah berkenaan yang terletak di Sungai Buloh dan dia merancang untuk menambah cawangan sekolah tahfiz tersebut di Sabah pada September depan.

Penyatuan emosi Amy dan Nabila

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Pepatah itu sahaja cukup untuk menyimpulkan nilai kasih sayang antara anak dan ayah. Mewah atau miskin, nilai itu masih serupa, tidak berbeza. Hadir ke Studio Neo Gendang yang terletak di Damansara Perdana, dari anak tangga paling bawah lagi sudah kedengaran gema yang enak masuk ke telinga. Bunyi penuh tenaga itu menyatu harmoni bersama melodi dan vokal gemersik yang melantun dari bibir vokalis Search, Amy. Rocker itu kelihatan teruja. Dia bukan sahaja dikelilingi pemuzik harapan yang akan bersama-sama membawa magis ke Konsert Amy Search Live in Singapore nanti, bahkan di sisinya berdiri seorang anak untuk memberikan emosi tambahan buat dirinya. Latihan untuk konsert yang dijadualkan berlangsung pada 20 September ini (esok) di The Star Performing Arts Centre, Singapura itu berjalan lancar. Kesibukan jadual aktiviti lakonan juga tidak menjadi alasan untuk Nabila terlepas daripada latihan. Sementelah, itulah konsert pertama Amy yang disertai Nabila, pastinya persediaan bukan hanya tertumpu pada aspek teknikal. Persediaan dalaman Nabila sendiri harus kuat memandangkan dia sendiri bukanlah seorang penyanyi. Barangkali itulah yang mahu diangkat sebagai kejutan oleh Amy untuk peminatnya di Singapura. "Saya cuma ingin Nabila merasai keadaan sebenar menjadi seorang penyanyi yang berdiri di hadapan ribuan penonton. "Walaupun bidang nyanyian bukanlah bidang yang menjadi keutamaannya, saya ingin dia merasai keterujaan itu. Saya berharap dia mampu untuk membina watak dan karakternya yang tersendiri apabila berada di atas pentas kelak. "Konsert sebegini juga bagus untuk memberi pendedahan kepada Nabila supaya terus serius berkecimpung dalam bidang muzik," katanya yang merahsiakan dua lagu duet yang akan dinyanyikan bersama anaknya itu. Ditanya mengenai pembawakan Nabila dalam bidang seni sejak kecil lagi, Amy berkata, anaknya itu tidak pernah mempunyai minat yang khusus dalam sesuatu genre muzik. Namun, dalam cabang seni yang lain, dia sangat berbangga dengan pencapaian Nabila. "Mungkin muzik bukan topik utama apabila hendak dibincangkan mengenai Nabila tetapi jika dilihat dari segi pencapaiannya dalam bidang lakonan ia sangat membanggakan. "Saya sendiri sudah beberapa kali melihat lakonannya melalui naskhah seperti Biopik Saloma. Secara peribadi saya menyifatkan kerjanya sangat memberangsangkan. Dia berjaya menjiwai watak biduanita Saloma dengan jayanya, namun masih terdapat beberapa kelemahan, terutamanya dari segi mimik mulut (lip sync). "Jadi, saya banyak berkongsi pengalaman saya, terutamanya dari segi teknikal untuk mendapatkan lip sync yang baik. Kalau dia dapat kedua-duanya, penghayatan emosi dan mimik mulut, watak Saloma lakonannya akan lebih sempurna," akui Amy. Momen anak dan ayah - Nabila Bagi Nabila, sejak kecil dia tidak terfikir untuk menyatu emosi atas satu pentas bersama bapanya. Seingat Nabila, sejak kenal makna konsert, impiannya hanya untuk berdiri di hadapan pentas. Dia mahu menjadi orang pertama yang bertentang mata dengan Amy, bapa yang juga idolanya sepanjang usia. "Saya anggap konsert di Singapura nanti sebagai momen ayah dan anak yang mungkin akan datang sekali seumur hidup. Ini merupakan penghormatan terbesar yang datang kepada saya. "Sejak kecil, saya tidak pernah terfikir untuk berdiri dan menyanyi atas pentas yang sama dengan papa. Saya cuma mahu berada di hadapannya setiap kali papa ada konsert. Setiap kali saya melihat papa di atas pentas dan beliau sedar kehadiran saya, seronoknya bukan kepalang," kata Nabila sambil mengakui menghafal kesemua lagu nyanyian bapanya itu. Diasak teruja dan debar yang tidak terhitung, Nabila yang mesra dibahasakan Abil itu mengakui, muzik bukanlah kecenderungannya. Biarpun pernah ada sebuah single berjudul X-Ray, pendek kata, muzik bukanlah makanannya. "Saya dengar semua jenis muzik tetapi muzik dan lagu kegemaran mestilah lagu-lagu papa. Rasanya, sekarang barulah saya mula ada minat untuk mendalami naluri muzik yang ada dalam diri saya. "Saya tidak mahu bayangkan sesuatu yang berlebihan. Perasaan berdebar memanglah terasa, tapi pada malam itu nanti, saya cuma mahu berseronok menikmati momen kami berdua. Kami akan bercakap dan menyanyi, saya harap penonton akan tepuk tangan, barulah rasa lebih bersemangat," jelas Abil sambil melirik ke arah bapanya. Bercerita lanjut mengenai konsert di Singapura itu, Amy berkata, segala persiapan untuk naik ke pentas berprestij tersebut sudah memasuki fasa akhir. Jumlah dan judul lagu yang akan dinyanyikan pada malam tersebut juga sudah ditetapkan. "Saya akan menyanyikan sebanyak 16 buah lagu sepanjang dua jam konsert tersebut. Kebanyakan lagu yang dipilih ialah daripada album solo saya iaitu iaitu Magic, Camouflage, Aku, Suatu Masa dan IKON - A Rockstar Chronicle," katanya yang akan membawa rombongan kru seramai 10 orang bagi menjayakan konsert tersebut. Saling membahagiakan Larut dalam perkongsian muzik dan agenda konsert, sesi penyatuan yang tidak mudah direncanakan itu membangkit suatu keinginan buat penulis. Sengaja mengalihkan sudut penceritaan, turun naik suhu termometer hubungan dua beranak itu cuba diusulkan. Sebagai bapa, tanggungjawab Amy umpama tidak akan putus biarpun anak yang dahulunya didukung kini sudah boleh berlari memilih jalan sendiri. "Sebagaimana Nabila berjaya sukses dalam karier, seperti itu juga saya mahu dia beroleh kebahagiaan dalam kehidupannya. Saya akan terus menyokong Nabila," berbunyi santai, namun mendalam maksud yang cuba Amy sampaikan. Tunduk dan seperti mahu menyelinap keluar daripada diskusi, Nabila mengeluh panjang. "Kalau boleh, saya tidak mahu lagi kisah lama antara kami dibangkitkan. Saya harap, media juga boleh bagi kerjasama. Perkara yang lepas, biarlah lepas," ucap Nabila. Dia faham benar maksud persoalan yang disuakan ke mukanya. Cuma situasi ketika itu sedikit berbeza, hatinya basah oleh kemanisan momen yang bakal didepani. "Saya cuma tidak mahu mengeruhkan keadaan. Kenyataan saya sebelum ini banyak dieksploitasi oleh banyak pihak lain sehingga ia menjadi besar. Saya mahu orang mengenali karier seni saya bukannya daripada isu tersebut," ujar Nabila. Melanjutkan perbualan, Nabila berkata, dia hanya mampu tertawa apabila melihat tajuk akhbar dan blog berikutan kenyataan yang diberikan bapanya berhubung kisah persiapan perkahwinannya yang kecoh diperkatakan. "Saya ketawa, baca dan ketawa lagi, namun pada masa yang sama saya sangat kasihankan papa (Amy). Dia tidak habis-habis menjadi buruan setiap kali ada isu berkaitan saya. Saya akui memang dia rasa terbeban dengan hal tersebut. "Mungkin disebabkan saya jarang melakukan penampilan di khalayak menyebabkan papa menjadi buruan pihak media untuk bertanyakan hal berkaitan saya, sampai papa tidak larat untuk menjawab persoalan yang diajukan kepadanya. "Saya sangat berharap agar selepas ini jika ada apa-apa persoalan berkaitan saya, pihak media yang ingin penjelasan, boleh terus mengajukan soalan tersebut kepada saya. Tunggulah sehingga saya benar-benar bersedia," kata Nabila berhati- hati. Tersenyum, geli hati atau barangkali terfikirkan tugas sebagai 'tempat rujuk media' yang digelarkan kepadanya, Amy semesti cukup tahu, walau sejauh mana Nabila melangkah, hatinya akan balik kepada keluarga. "Kebahagiaan Nabila akan terus menjadi kebahagiaan saya. Sejak daripada kecil, saya tidak pernah menghalangnya untuk melakukan perkara yang dia suka. Malah, saya juga tidak pernah mengatur apa yang perlu dilakukan oleh Nabila. Melihat kebahagiaannya akan membuatkan saya tenang," ujar Amy. "Sekarang saya mahu membahagiakan orang tua saya," tutup Nabila, si ibu beranak satu yang semakin matang menelaah buku kehidupan.

"Tiada Persiapan Kahwin Nabila" - Amy (Search)

Penyanyi rock Amy (Search) menafikan dia sedang membuat persiapan perkahwinan untuk anaknya, iaitu pelakon Nabila Huda seperti yang diperkatakan baru-baru ini. Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 56, juga terkejut dengan berita tersebut kerana sehingga kini dia dan Nabila langsung tidak berbincang mengenai perkara berkenaan. "Eh... saya pun tidak tahu yang dia nak berkahwin kerana tiada perbincangan mengenai perkara itu antara saya dan Nabila. "Apatah lagi persiapan kahwin seperti yang diperkatakan," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran stesen radio baharu iM4U FM di Black Box, Publika disini pada Selasa. Baru-baru ini, Nabila dikatakan bakal berkahwin dengan kekasihnya dalam masa terdekat dan mereka dikatakan sedang membuat persiapan perkahwinan. Sebelum ini hubungan Amy dan Nabila pernah menjadi renggang gara-gara penyanyi itu menegur anaknya di laman Instagram dengan nada kasar selepas Nabila memuat naik gambar percutian dengan kekasihnya di luar negara. Bagaimanapun pada sambutan Hari Raya pertama lalu, Amy telah berkongsi gambar dia sekeluarga di Instagram dengan meletakkan status syukur kerana hubungannya dan Nabila sudah jernih. Sementara itu, tambah Amy, dia tidak mempunyai masalah untuk merestui Nabila dan pasangannya jika mereka benar-benar sedia mahu berkahwin. Dalam perkembangan lain, Amy bakal berduet dengan anaknya itu menerusi persembahan konsert solonya di Singapura pada 20 September ini. "Insya-Allah Nabila akan menjadi artis jemputan pada konsert solo saya. Kami akan berduet sebanyak dua buah lagu. "Tetapi sehingga kini dia masih lagi kurang berkeyakinan untuk melakukan persembahan itu. Risau katanya. "Mungkin kami juga akan berkongsi pengalaman hidup kami sebagai ayah dan anak sebelum memulakan persembahan. Tak pasti lagi," ujarnya. Dalam perkembangan yang sama, Amy juga dalam proses menyiapkan album solo terbaharunya yang memuatkan sebanyak 10 buah lagu setelah 13 tahun tidak merakamkan album.

Amy (Search) Gembira Perubahan Hidup Nabila

Penyanyi Amy (Search) menjelaskan hubungan dia dengan anaknya, pelakon Nabila Huda menjadi lebih akrab terutamanya selepas tegurannya mengenai kontroversi gambar percutian Nabila bersama teman lelakinya. Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 56, berkata, Nabila sudah banyak berubah dan lebih kerap menghubunginya bagi memaklumkan apa yang sedang dilakukannya. Alhamdulillah semuanya memang semakin baik terutamanya hubungan kami anak-beranak selepas insiden lalu, perubahan pada diri dia sendiri semakin matang. "Walaupun jarang berjumpa tapi dia (Nabila Huda) hari-hari berhubung dengan saya melalui mesej WhatsApp untuk bertanya khabar dan bercerita," ujarnya kepada mStar Online. Amy berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hubungan mereka yang renggang gara-gara penyanyi itu menegur anaknya di laman Instagram dengan nada kasar selepas Nabila memuat naik gambar percutian dengan kekasihnya di luar negara.
Bagaimanapun, pada sambutan Hari Raya pertama lalu, Amy telah berkongsi gambar dia sekeluarga di Instagram dengan meletakkan status syukur kerana akhirnya dia dan Nabila sudah berbaik semula. Tambah Amy, dia sangat bahagia dan gembira dengan perubahan Nabila yang dilihatnya semakin matang dan hubungan mereka yang semakin baik. Dalam pada itu, ditanya tentang hubungan cinta Nabila dengan seorang lelaki yang menjadi punca perbalahan mereka itu, Amy berkata dia tidak pernah menghalang sesiapa juga pilihan hati anaknya itu. "Saya tidak halang dia berkawan dengan sesiapa pun cuma saya mahu dia memilih seorang lelaki yang baik dan boleh menjaganya. Sebagai bapa saya sentiasa doakan yang terbaik buat dia," katanya. Sementara itu, Amy berkata apa juga kejadian dan kontroversi yang berlaku terhadap anaknya itu ia adalah satu kisah perjalanan hidupnya untuk menjadi lebih baik. Dia tidak pernah meletakkan kesalahan tersebut kepada pelakon itu kerana setiap manusia mempunyai perjalanan hidup yang mengajar mereka menjadi seorang manusia. "Saya pun pernah melalui kehidupan remaja dan bukan seorang yang sempurna, jadi saya anggap apa yang dia lalui sekarang ialah perjalanan hidup dia yang akhirnya mengajar dia menjadi seorang manusia yang lebih baik," katanya. Dalam pada itu, menyentuh soal kerjaya, Amy berkata, dia akan mengadakan persembahan solo di Singapura pada 20 September ini manakala bersama kumpulannya Search pula dijadualkan pada Disember depan. Dalam perkembangan yang sama, Amy juga dalam proses menyiapkan album solo terbaharunya yang memuatkan sebanyak 10 buah lagu setelah 13 tahun tidak merakamkan album. Menurutnya, album tersebut merupakan sebuah projek istimewa yang menampilkan dia dalam sisi yang lebih segar dengan membawakan kesemua lagu genre terkini. "Album solo ini merupakan kemunculan saya selepas 13 tahun tidak buat album, kali ini pula saya akan bawa lagu-lagu baru seiring dengan zaman ini. "Walaupun saya tahu ada peminat Search yang masih mahu saya menyanyi lagu lama, namun saya rasa sudah masanya saya mencari kelompok peminat baru dengan lagu-lagu yang mengikut trend semasa," ujarnya.

'KEKASIH' MOHON MAAF - AMY SEARCH RESTUI CINTA NABILA HUDA

Air dicincang takkan putus! Mungkin itulah pepatah yang paling sesuai buat dua beranak iaitu Amy Search dan Nabila Huda yang sebelum ini bertikam lidah gara-gara isu teman lelaki dan agama. Ini kerana, Amy akhirnya merestui hubungan Nabila dengan kekasih barunya itu meskipun pernah rasa terluka akibat gambar kurang senonoh yang terpapar di Instagram Nabila tidak lama dahulu. Sifat bertanggungjawab lelaki tersebut yang tampil memohon maaf secara 'gentleman' pada Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, telah membuat hubungan mereka jadi jernih seperti sediakala. "Sebenarnya saya tidak pernah menyekat mana-mana lelaki yang ingin berkawan dengan Nabila kerana itu pilihannya. "Walaupun pernah marah dengan kekasih Nabila, tetapi jauh di sudut hati, saya tidak berdendam. "Cuma saya bersyukur kerana dia seorang yang bertanggungjawab, berani berdepan dengan saya dan kerana dia juga hubungan saya dan Nabila, Alhamdulillah, kembali jernih," ujar Amy dipetik sebagai berkata. "Apa yang telah berlaku sebelum ini menjadi satu pengajaran buat saya mahupun Nabila. Alhamdulillah, moga kebahagiaan ini kekal akhir hayat," tambah penyanyi itu.

Amy (Search) Restu Hubungan Cinta Nabila Huda

Penyanyi rock negara Amy (Search) sudah merestui hubungan cinta anaknya, Nabila Huda dengan kekasih walaupun pernah meluahkan rasa kurang berkenan terhadap lelaki itu. Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menyifatkan lelaki tersebut (yang enggan didedahkan identiti) seorang yang bertanggungjawab kerana sanggup berdepan dengannya memohon maaf atas kesilapan dahulu, selain turut menjernihkan hubungannya dengan Nabila. "Sebenarnya saya tidak pernah menyekat mana-mana lelaki yang ingin berkawan dengan Nabila kerana itu pilihannya. "Walaupun pernah marah dengan kekasih Nabila, tetapi jauh di sudut hati, saya tidak berdendam. "Cuma saya bersyukur kerana dia seorang yang bertanggungjawab, berani berdepan dengan saya dan kerana dia juga hubungan saya dan Nabila, Alhamdulillah, kembali jernih," katanya kepada mStar Online.
Terdahulu, hubungan Amy dan Nabila dikatakan renggang gara-gara penyanyi itu menegur anaknya di laman Instagram dengan nada yang kasar berhubung gambar aktres itu bermesra dengan kekasihnya ketika bercuti di luar negara. Dalam pada itu, Nabila juga dikatakan sudah lama tidak bertemu bapanya itu dan tidak beraya bersama mahupun di sebelah ibu, sebaliknya pelakon berbakat besar itu mengambil kesempatan bercuti dan beraya di negara jiran, Singapura. Bagaimanapun, pada sambutan Hari Raya pertama Isnin lalu, Amy telah berkongsi gambar dia sekeluarga di Instagram dengan meletakkan status syukur kerana akhirnya dia dan Nabila sudah berbaik semula. Sementara itu, kata Amy, walaupun pelbagai dugaan yang dilalui dalam keluarganya, dia yakin setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. "Apa yang telah berlaku sebelum ini menjadi satu pengajaran buat saya mahupun Nabila. Alhamdulillah, moga kebahagiaan ini kekal akhir hayat," tuturnya.

Amy (Search) Berhasrat Sambung Belajar Di Universiti

Vokalis kumpulan Search iaitu Amy bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan walaupun usianya kini telah pun mencecah 55 tahun. Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, berkata, keadaan kewangan yang tidak mengizinkan selepas tamat persekolahan telah membuatkan hasratnya untuk ke menara gading terbantut pada ketika itu. "Selepas tamat sekolah semua orang berlumba-lumba untuk memasuki universiti tetapi saya tidak berkesempatan kerana keadaan kewangan yang tidak mengizinkan. "Namun sehingga hari ini saya masih berhasrat untuk menyambung pelajaran di menara gading kerana itu adalah impian saya," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Amy berkata, dia tidak menolak untuk menyambung pelajaran sekiranya ada tawaran daripada mana-mana universiti pada masa hadapan. Jelasnya lagi, dia sangat meminati bidang arkitek selain seni lukis dan berharap dapat mendalami bidang berkenaan suatu hari nanti. "Ilmu itu boleh dituntut tidak kira usia dan masa kerana ia adalah perkara yang cukup berguna dan sekiranya ada yang ingin menawarkan saya tempat di universiti pasti saya akan terima," ujarnya yang sering mengisi masa lapang dengan aktiviti melukis di rumah. Sementara itu, bercakap mengenai Konsert Destini yang dianjurkan Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) bagi mengutip dana untuk membantu penuntut universiti kurang berkemampuan, Amy berkata, dia berbesar hati apabila dilamar oleh pihak penganjur. Jelas Amy, menerusi konsert amal itu dia dapat menyumbangkan sesuatu kepada generasi muda supaya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. "Saya tidak mahu anak-anak muda berpotensi menjadi seperti saya dan berharap sumbangan yang saya berikan dari segi nyanyian dapat membantu mereka merealisasikan impian untuk ke universiti," jelasnya. Konsert itu bakal diadakan pada 20 dan 21 Disember depan di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, dekat sini. Ia bakal menampilkan barisan artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Rossa, Pansha (Ungu), Adira, Hafiz, Jaclyn Victor, Awie dan Dayang Nurfaizah. Tiket menyaksikan konsert ini dijual dengan harga RM30, RM80, RM200, RM300, RM500 dan RM1,000. Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi 019-6704734, 013-3959839, 03-79622186.

AMY SEARCH 'TAK' MUFLIS

Penyanyi Amy Search dengan tegas menafikan laporan sebuah blog hiburan bahawa dirinya telah diisytiharkan muflis. Ia juga sekaligus 'menidakkan' tuduhan bahawa beliau gagal menyelesaikan sejumlah hutang yang dipinjamnya bagi menjayakan konsert jelajah kumpulan Search sekitar 2009. Ketika ditanya oleh media semalam, Amy hanya menyatakan 'Tak', tanpa mahu memberi komen lanjut mengenai semua dakwaan terhadapnya itu.
Kesimpulannya, mungkin cerita mengenai muflis tersebut hanya rekaan semata atau ia sekadar mahu mencalarkan nama baik Amy. Iyalah, Amy belum terbukti muflis selagi tiada bukti nyata. Salinan surat yang ketengahkan juga bukan bukti sah kerana dibimbangi satu penipuan. Maklumlah... zaman siber! Oleh yang demikian, pada anda yang masih pening... tepuk dada tanya selera!

Tak Kenal Nas-T, Gembira Nabila Bercinta - Amy Search

Ibu bapa mana yang tidak mahu anaknya mengecap bahagia. Begitu juga lagenda Rock tanah air, Amy (Search) yang menyambut baik mengenai perihal anak perempuannya Nabila Huda yang kini sedang hangat bercinta dengan pelakon dan DJ, Nas-T. Menurut Amy, dia juga sebetulnya tidak mengenali pemuda yang telah berjaya menambat hati anaknya itu. Namun beliau tidak menghalang senadainya itu yang terbaik buat Nabila. Malah mengharapkan pasangan itu sentiasa boleh menerima kekurangan diri masing-masing. "Saya tak tahu apa-apa tentang kisah hubungan cinta dia (Nabila) sehinggalah saya membaca surat khabar. Sebagai bapa, tentunya saya mahukan dia berbahagia dan mendapat pasangan yang baik. Apapun hubungan mereka masih baru lagi... "Saya tak kenal Nas-T, tak tahu yang dia artis. Saya belum jumpa lagi dengan dia. Tapi Kalau Nas-T adalah orang yang betul-betul sesuai dengan Nabila, saya rasa hubungan itu haruslah kekal. Nabila dan Nas-T juga kena saling memahami, sebagai manusia biasa mereka perlu mengenali hati budi dan saling menerima buruk baik diri masing-masing", katanya kepada Malaysia Digest.com ketika diminta mengulas mengenai hubungan Nabila dan Nas-T. Vokalis kumpulan Search itu ditemui pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Bintang Popular (ABPBH'12) bertempat di hotel Holiday Villa, Subang, semalam. Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan Nabila sebagai Pelakon Drama Wanita Popular, Amy berkata walaupun beliau tiada di Malaysia ketika berita kemenangan tersebut namun berita itu cukup membanggkan dan menyentuh perasaan beliau juga seluruh keluarganya. Tambah figura berusia 55 tahun ini, beliau tidak pernah menyangka yang Nabila lebih menyerlah dalam dunia lakonan berbanding nyanyian. Bagaimanapun Amy percaya, pengiktirafan yang diterima aktres itu adalah atas kegigihan dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam setiap hasil kerjanya selama ini. "Saya dan keluarga masa tu berada di Turki. Kami ketika tu berada di dalam bas untuk ke satu destinasi. Saya dapat tahu dia menang, melalui Twitter. Saya bangga dengan dia. Kami sekeluarga masa tu memang sangat gembira dan emosional lah. "Sebenarnya masa mula-mula dulu saya macam tak percaya yang dia nak berlakon. Saya pernah tanya pada dia, betul ker dia nak terjun bidang lakonan? Sebab saya ingatkan dia lebih pada menyanyi. Tapi dia memang seorang yang sangat berkerja keras. Dia tahu apa yang dia nak. Saya harap dia akan tunjukkan pencapaian yang lebih baik lagi selepas ini", katanya. - mD

Amy (Search) Hanya Tahu Kisah Cinta Nabila Di Akhbar

Vokalis kumpulan Search iaitu Amy memberitahu hanya mengetahuihubungan cinta anaknya, Nabila Huda dengan pelakon Nas-T menerusi laporan akhbar. Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 55, bagaimanapun berkata, beliau tidak kisah dengan pilihan anaknya itu dan berharap mereka berdua dapat mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu. "Dia belum memberitahu saya apa-apa mengenainya cuma saya ada terbaca di akhbar. Nabila sudah besar dan mampu buat keputusan sendiri jadi pada saya tiada masalah dengan siapa dia ingin bercinta," jelasnya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2012) di Hotel Holiday Villa di sini, Selasa. Pada majlis berkenaan, kumpulan Search menerima hadiah tajaan Habib Jewels dan Jamu Mak Dara selepas menerima Anugerah Sepanjang Hayat pada malam ABPBH 2012 yang diadakan pada 7 April lalu. Dalam pada itu, Amy berkata, beliau sebelum ini tidak mengenali Nas-T sebagai seorang selebriti dan hanya mengetahuinya selepas berita percintaan anaknya itu disiarkan di akhbar. Malah kata Amy, Nabila belum menyampaikan hasrat untuk membawa Nas-T menemuinya. "Masih awal. Biarlah mereka kenal hati budi masing-masing terlebih dahulu," katanya. Sementara itu, Amy berkata, dia sangat gembira apabila Nabila dipilih sebagai Pelakon Drama Wanita Popular pada ABPBH 2012 lalu. Katanya, ia menjadi lebih manis apabila kumpulan Search turut diberikan penghargaan pada malam itu. "Saya berada di Turki pada malam itu dan apabila diberitahu mengenai kemenangan anak Nabila, saya cukup gembira. "Saya harap dia dapat buktikan lagi kebolehannya sebagai pelakon dan sentiasa buat yang terbaik dalam kerjayanya," kata Amy.

Hanez Suraya, Amy berperang lagi

PELAKON drama bersiri Dendam Pencinta dan Dalam Hati Ada Taman, Hanez Suraya, nampaknya tidak habis-habis dengan kontroversi. Kali ini, dia terlibat dalam 'perang' siri kedua dengan rocker tersohor, Amy Search. Perang siri pertama membabitkan mereka pada majlis Anugerah Blokbuster 2011 baru-baru ini, apabila dia dikatakan berlagak sombong dengan tidak menegur Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman walaupun mereka duduk bersebelahan. Isteri Amy, Nourish turut menemaninya pada ketika itu. Perang siri kedua Amy dan Hanez pula turut membabitkan Nourish. Kejadian yang berlaku tiga hari lepas itu sebaliknya menimbulkan kontroversi lain antara mereka. Ia tercetus apabila Nourish atau nama sebenarnya Norhasniza Hassan telah secara tidak sengaja bertemu dengan adik Hanez yang merupakan seorang juruwang di sebuah bank tempat dia berurusan untuk mengeluarkan wang. Nourish yang mengenali adik Hanez ketika dia turut menemani Hanez pada Anugerah Blokbuster 2011 tempoh hari itu dikatakan ingin menyampaikan permohonan maaf bagi pihak suaminya. Ia ekoran kejadian teguran Amy secara terbuka di Twitter yang telah mengkritik Hanez ekoran isu pada majlis anugerah tersebut. Bagaimanapun, adik Hanez dikatakan telah menolak untuk menyampaikan permohonan maaf kepada kakaknya itu dan Nourish didakwa sehubungan itu telah membuat kecoh di bank berkenaan.
Isu itu berlarutan hingga ke laman sosial bergambar Instagram pula. Amy dan Hanez menerusi intagram tersebut khabarnya berbalas-balas kata, yang mana kata-kata berbaur amarah itu kini sudahpun dihapuskan. Bagi mendapatkan penjelasan sebenar perkara yang berlaku itu, Kosmo! telah menghubungi Hanez dan Nourish. Berikut, sedutan temu bual bersama mereka. Kosmo!: Apakah yang sebenarnya berlaku, adakah benar Nourish membuat kecoh di sebuah bank tempat adik anda bekerja? HANEZ: Saya enggan komen apa-apa sebab benda dah jadi. Benarkah dakwaan Hanez sebenarnya jenis suka cari gaduh? Saya bukan jenis macam itu. Saya tiada masalah dengan sesiapa pun sebelum ini, selama ini pun, saya senyap apa orang cakap kat saya. Jadi, apakah yang menyebabkan Amy dan isterinya dikatakan mengamuk dengan anda? Saya tidak tahu apa masalah yang berlaku sebenarnya. Kalau sesiapa ada nak bagi tahu saya apa-apa, baik jumpa saya sendiri dan jangan guna pihak ketiga bagi elak salah faham pula. Adakah Hanez akan bersemuka dengan Nourish atau Amy setelah apa yang berlaku? Saya rasa tidak perlu kerana saya tidak bermasalah dengan sesiapa pun, tetapi kalau ada pihak ingin bersemuka dengan saya, itu tidak menjadi masalah. Apabila berlaku perkara macam ini, Hanez yang dipersalahkan dan nampak anda yang bermasalah, apa komen anda? Biarlah apa orang nak kata janji saya tahu, saya tidak kacau orang.

Amy (Search) Tutup Restoran Selepas 4 Tahun

PETALING JAYA: Selepas empat tahun beroperasi, penyanyi Amy (Search) akhirnya terpaksa menutup Restoran Cheng Ho miliknya di Wangsa Maju dekat sini pada Selasa. Menurut laporan Kosmo pada Rabu, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 53, berkata, restoran yang terkenal dengan masakan ala Cina itu terpaksa ditutup kerana pihak yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskan perniagaan itu berdepan pelbagai masalah. “Apa pun, saya tetap sedih kerana perniagaan ini sudah lama dijalankan tetapi akhirnya terpaksa ditutup,” katanya. Restoran tersebut menyediakan masakan ala Cina kegemaran pelanggan antaranya ketam masak telur masin, udang bersalut mentega dan ikan siakap nyonya. Menurut Amy, dia memulakan perniagaan tersebut empat tahun lalu dengan modal RM250,000. Bagaimanapun, pada Jun tahun lalu dia menyerahkan segala urusan perniagaan itu kepada seorang rakan tetapi ia berdepan masalah. Amy berkata, dia bernasib baik kerana telah mempatenkan nama Restoran Cheng Ho sebelum ini. Justeru, katanya, tiada pihak yang dibenarkan menggunakan nama tersebut. Amy kini mencari pelabur baharu bagi mengusahakan kembali restoran itu atas jenama sama di lokasi lain yang sedang dikenalpasti. Katanya, pihak yang berminat untuk menjalinkan kerjasama boleh menghantar e-mel di amysearch@gmail.com. Pada 24 September 2008, seorang pelanggan Nik Zahir Nik Mohd Idris memfailkan saman terhadap penyanyi itu bagi pihak anaknya Nik Zakwan, 6, yang melecur pada bahagian belakang badan selepas terkena kuah tomyam akibat kecuaian pekerja restoran tersebut. Penyanyi itu diperintahkan Mahkamah Sesyen Sivil di sini pad

Amy Search Kesal Anak Pakai Seksi

KUALA LUMPUR: Penyanyi rock Amy (Search) kesal dengan penampilan anaknya, Nabila Huda yang terlalu mendedahkan pada majlis Anugerah Blokbuster 2011 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu. Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata, dia tidak suka Nabila berpakaian gaun hitam yang mendedahkan sebahagian dada dan perutnya. "Seperti bapa-bapa lain, saya tidak akan bersetuju dan suka jika anaknya berpenampilan begitu. "Sebab itu, semasa Nabila menjadi penyampai anugerah bersama Zahiril Adzim, bahagian perut Nabila yang terdedah sudah ditutup dengan sehelai kainm" katanya kepada akhbar Kosmo.
Tambah Amy, sebagai seorang artis yang sudah lama dalam industri, Nabila seharusnya pandai membawa diri. "Dia sudah cukup dewasa dan boleh berfikir sendiri. Jangan bagi sedikit pun ruang kepada orang untuk mengata dan menjatuhkan kita," tegasnya. Sementara itu, Nabila meminta maaf kepada semua pihak kerana berpakaian seksi pada malam berkenaan. "Saya minta maaf kepada semua pihak sekirangnya fesyen tersebut menimbulkan perasaan kurang senang dan saya bertanggungjawab," katanya. Beritahu Nabila lagi, kerana mahu menjaga perasaan dan sensitiviti masyarakat, dia menutup bahagian dada dan perut yang terdedah dengan sehelai kain sewaku muncul sebagai penyampai anugerah.

Tolak jika ada Amy

KELAKAR tapi benar, ini kisah yang disampaikan oleh sumber berita Diva Ashafina Layola Lewis yang sering tampil dengan cerita sensasi panas berapi. Kalau naga sakti boleh baca gosip, naga pun makan hati sebab gosip Diva itu lebih panas daripada api mulutnya. Kisahnya, ada seorang penyanyi yang tidaklah setahun jagung dalam industri tetapi sudah dikenali ramai dengan genre dan suaranya yang ala-alah bolehlah tahan. Cerita Ashafina membuatkan Diva ketawa berdekah-dekah. Tidak tahu kenapa tetapi khabarnya penyanyi itu menolak satu persembahan nyanyian yang eksklusif dan mewah jika dia beradu atas satu pentas dengan penyanyi ternama, Amy Search. "Tidak pasti dia tidak mahu satu pentas kerana takut dengan kehebatan Amy Search atau pun dia rasa diri dia itu taraf antarabangsa. Tetapi dengarnya itu syarat yang diberikan kepada pihak penganjur jika mahu dirinya menyanyi. Tapi kalau aku jadi penganjur, sah-sah aku pilih yang lebih sedap menyanyi. Tepuk dada tanya seleralah, siapa yang lebih legenda. Dengan penyanyi legenda tak nak, dengan yang suam-suam kuku apatah lagi gamaknya," ketawa sumber Diva manja. Macam-macam perangai juga penyanyi generasi baharu ini. Kalau sikap begini, agak-agaknya berapa lamalah boleh bertahan? Ataupun jadi penyanyi sebab hobi sahaja, ada duit boleh album.

Hajat Amy Search kesampaian

KATA Amy Search, dia sudah lama memendam hasrat untuk mengadakan majlis berbuka puasa, tahlil dan doa selamat bersama pelajar tahfiz dan anak-anak yatim di kampung kelahirannya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru. Niat suci yang tersemat di sanubari itu akhirnya termakbul juga apabila Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman berjaya mengumpulkan 70 pelajar tahfiz dari Madrasah Al-Quran Sinaran Baru Kempas dan 30 orang anak yatim Kampung Bakar Batu Sabtu lalu. “Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi apabila impian saya terlaksana. Sebelum ini saya selalu menganjurkan majlis yang sama di ibu kota, tapi pada tahun ini, saya ingin lakukan di kampung saya,” katanya. Turut mengiringi Amy pada hari berkenaan ialah isterinya Nourish; ibunya, Fatimah Idris, 85, kakak sulungnya Azizah, 55, sanak saudara dan penduduk setempat. Usai solat Asar secara berjemaah, Amy bersama hadirat yang lain mengalunkan bacaan al-Quran. Pada majlis yang berlangsung penuh sederhana tetapi terkesan dilimpahi rahmat, Amy turut mengambil peluang menyumbang duit raya dan memberi sumbangan berupa keperluan harian pelajar tahfiz Madrasah Al-Quran Sinaran Baru.
“Sumbangan ini sebenarnya bukan datang daripada saya seorang, tetapi dikongsi bersama dengan rakan-rakan saya yang lain,” ujarnya dengan wajah penuh kelegaan. Vokalis Search yang kini berusia 54 tahun itu turut memberitahu, setiap kali Ramadan, benaknya tidak lari daripada memikirkan tentang arwah bapanya yang sudah bertahun pergi menemui Ilahi. Akuinya, kelunakan dan kesyahduan paduan suara anak yatim dan pelajar-pelajar tahfiz membacakan tahlil membuatkan Amy tersentuh seketika. Pada majlis yang sama, pelantun lagu Fantasia Bulan Madu itu yang tidak bergiat aktif dalam dunia seni ketika bulan puasa turut dikejutkan dengan sambutan hari jadinya yang ke-54. Kata isterinya, sepatutnya sambutan diadakan pada minggu lalu iaitu pada tarikh ulang tahunnya, 28 Julai lalu, namun mereka tidak berkesempatan berbuat demikian. Justeru, dia mengambil kesempatan dan berharap berkat majlis keagamaan yang dianjurkan akan menjadi satu momen sambutan ulang tahun yang terbaik buat Amy. Bagaimanapun, menurut Amy, dia tidak kisah kerana sambutan hari lahirnya disambut pada bulan Ramadan yang mulia ini dengan cara yang lebih diberkati oleh Allah SWT. Teruja Rasa keriangan dan keterujaan Amy sebenarnya turut dikongsi bersama seluruh pelajar tahfiz dan anak-anak yatim yang menjadi tetamu khas penyanyi legenda tanah air itu.
Salah seorang tahfiz, Mohd. Ali Khalid, 14, berkata, dia tidak sangka dapat berjumpa dengan selebriti tersohor itu. “Kami satu madrasah sangat gembira berjumpa dengan abang Amy dan kami bersyukur kepada Allah kerana telah membuka pintu seorang hambanya memberi sumbangan kepada madrasah kami di Kempas, Johor Bahru,” katanya yang meminati lagu Isabella. Malah dalam reaksi ringkas tenaga pengajar madrasah itu, Ustaz Mohd. Ali Mohd. Amin, dia memuji inisiatif penyanyi itu yang tidak lupa melunaskan tanggungjawabnya sebagai umat Islam. “Ia satu langkah yang baik dan berharap ia mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa,” ujarnya. Sementara itu seorang kanak-kanak dari Kampung Bakar Batu, Amira Mardi, 14, begitu ceria mendapat sumbangan duit raya dan dapat bergambar dengan Amy. Justeru, kata Amy, jika tiada aral melintang, dia berhasrat untuk memahat majlis seumpama itu dalam kalendar tahunannya. Ditanya bagaimana sambutan raya artis rock terkenal ini? Kata Amy, segalanya serba-serbi sederhana. “Saya akan menyambut hari raya dan berada awal di Kampung Bakar Batu sebelum bergerak beraya di rumah keluarga isteri kesayangan saya di utara Semenanjung,” katanya.

Amy (Search) Sanggup Dikecam Kerana Sertai Umno

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan rock legenda Search iaitu Amy tidak peduli dengan kritikan mana-mana pihak termasuklah parti pembangkang berhubung keputusannya menyertai Umno pada Selasa. Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 54, berkata, sebagai idola masyarakat dia menganggap tindakan menyertai parti itu adalah keputusan terbaik dan tepat pada waktunya di saat kecelaruan dan perselisihan faham di kalangan rakyat semakin merebak. “Pelbagai perkara dan kecelaruan di kalangan masyarakat yang berlaku hari ini memberikan kesedaran untuk saya melakukan sesuatu. Saya tergerak untuk menyertai Umno atas kesedaran sendiri dan bukan kerana kepentingan tertentu. “Tiada siapa boleh menentukan parti mana yang mahu saya sokong. Jadi, saya tidak peduli dengan kritikan mana-mana pihak dengan keputusan ini,” katanya kepada mStar Online. Amy berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan borang keahlian parti itu kepada Setiausaha Kerja Umno Malaysia, Datuk Ab Rauf Yusoh di ibu pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa. Artis lain yang turut menyertai parti tersebut dan menyerahkan borang keahlian adalah vokalis kumpulan May iaitu Mustaffa Din (Mus) dan Ibnor Riza Ibrahim. Tambah Amy, dia sudah lama mempertimbangkan untuk menyertai Umno kerana Allahyarham bapanya sering mengingatkan mengenai perjuangan parti itu dalam memartabatkan bangsa dan memajukan tanah air sejak 66 tahun yang lalu. “Sudah lama saya fikirkan untuk menyertai Umno. Malah, di kampung saya sendiri di Johor Bahru saya dikelilingi ramai kenalan dalam parti ini. Saya sentiasa ingat pada pesanan arwah bapa mengenai kemerdekaan negara dan perpaduan bangsa. “Jelas sekali, hanya parti ini yang dapat menyatukan dan mengekalkan bangsa Melayu serta memajukan negara. Saya berharap teman-teman dan peminat di luar sana akan menyokong Umno demi perpaduan bangsa kita,” kongsinya.
Mus pula berkata hatinya tergerak untuk menyertai parti itu kerana kredibiliti Umno yang sudah terbukti dalam mentadbir dan memajukan negara berbanding janji-janji kosong pembangkang. “Sebelum ini, saya tidak pernah terlibat dengan mana-mana parti politik lain. Kalau ada pun, saya hanya terlibat dalam program dan acara anjuran Barisan Nasional dan Umno sebagai penghibur. “Saya berasa yakin dengan kepimpinan parti ini. Bagi saya Malaysia semakin maju kerana usaha Umno. Tiada jaminan bersama parti-parti lain kerana tiada bukti pun pembangkang dapat melakukan perubahan dan membawa kemajuan kepada kita,” katanya. Dalam pada itu, Ab Rauf menyangkal dakwaan kononnya penyertaan golongan artis secara beramai-ramai ke dalam Umno adalah agenda parti untuk mengambil kesempatan bagi mempengaruhi masyarakat. “Bukan dasar kita untuk mengambil kesempatan ke atas golongan artis. Kita tidak menggunakan artis tetapi penyertaan mereka adalah atas kesedaran masing-masing. “Penggiat seni tanah air yang menyertai Umno ini saya lihat akan menjadi duta kepada Umno dalam menarik minat masyarakat di luar sana untuk masuk ke dalam keluarga Umno,” katanya. Sehingga Selasa, penyertaan ketiga-tiga penyanyi itu menjadikan jumlah artis yang mendaftarkan sebagai ahli Umno Cawangan Dataran Merdeka dalam Bahagian Bukit Bintang sebanyak 43 orang. Antara artis yang terlebih dahulu menyertai termasuklah Tan Sri Jins Shamsudin, Jamal Abdillah, Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Radhi (OAG).

Amy (Search) Dapat Terima Johan Asaari Sebagai Menantu


KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy akan menerima Johan Arrif As'ari sekiranya pelakon itu ditakdirkan menjadi menantunya.

Amy berkata, dia tidak menghalang dengan sesiapapun anaknya iaitu Nabila Huda mahu berkawan asalkan individu tersebut dapat membahagiakan dirinya.

"Saya bukannya seorang ayah yang konservatif dan saya tidak akan menghalang anak saya untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

"Begitu juga dengan Johan, sekiranya Nabila ingin menjadikannya sebagai bakal suami pada masa akan datang, saya terima. Yang penting Nabila bahagia dengan kehidupannya itu," katan.

Amy diminta mengulas hubungan Nabila dan Johan yang dikatakan semakin intim sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, tambah Amy, berdasarkan apa yang dilihat, keakraban Nabila dan Johan sekadar teman rapat sahaja dan tiada yang lebih istimewa daripada itu.

Malah menurut Amy, ketika mereka bercuti bersama-sama dengan Johan di Jepun pada Mac lalu, kedua-dua pasangan tersebut tidak menunjukkan seperti pasangan bercinta.

"Saya tahu bagaimana cara Nabila melayani seorang kekasih. Tetapi berdasarkan apa yang saya lihat mereka tidak lebih daripada kawan biasa.

"Pendapat saya tentang Johan, dia seorang yang baik dan senang diajak berborak," ujarnya.

Beberapa bulan lalu, hubungan Johan dan Nabila dikatakan semakin intim selepas berlakon bersama dalam drama bersiri Pelangi Kasih.

Namun sehingga kini kedua-dua mereka menafikan khabar angin tersebut dan menyatakan perhubungan mereka tidak lebih sekadar teman rapat.

Amy jemput Johan bercuti dengan keluarga


TAK terkejut Diva bila dengar cerita yang pelakon kegemaran ramai, Johan atau dikenali dengan Botak pergi bercuti. Selepas muncul dengan drama Juvana, Johan terus-terusan bekerja daripada satu naskhah ke naskhah yang lain.

Cuma sedikit terkejut bila dengar Johan bercuti ke Tokyo, Jepun dengan buah hatinya, Nabila Huda. Tetapi jangan salah faham dulu, keluarga Nabila dan anaknya Keisha turut serta dalam percutian ke negara matahari terbit tersebut.

Bagi Diva tak salah kalau pergi bercuti bersama keluarga setelah penat bekerja. Ayah Nabila, Amy Search juga rasanya perlukan percutian selepas banyak membikin konsert di sana sini.

Mungkin juga, Johan ambil peluang untuk berkenalan dengan lebih dekat dengan keluarga Nabila. Juga mengambil masa untuk mengenali Nabila yang dikenalinya setelah sama-sama terlibat dalam satu produksi. Diva tunggu cerita dari Jepun, manalah tahu bawa berita gembira setelah pulang nanti.

Amy Search Akui Kontroversi Melanda Nabila Huda Tidak Mencalarkan Imejnya


“Saya tidak merasakan imej saya tercalar atau terjejas kerana apa yang dilakukan oleh Nabila adalah urusan peribadinya dan peminat sudah boleh menilai sendiri,” ujar lagenda Rock tanah air, Amy Search ketika ditanya mengenai kontroversi yang melanda anak sulungnya, Nabila Huda.

Jurnal kehidupan Nabila tahun ini seakan terlakar sedikit momen ‘gelap’, dilanda krisis rumah tangga kemudian dihimpit dek kontroversi foto dirinya bercium dengan seoranag lelaki yang tersebar di internet dan terbaru, Nabila ‘berkongsi’ perasan amarah dan amuknya kepada seseorang di dada Twitter miliknya, dan pasti saja ia menarik perhatian ramai.

Tidak pasti untuk siapa amarah tersebut ditujukan, tetapi ayat-ayat yang terkandung jelas menunjukkan ia merujuk kepada bekas suaminya Zaidy Zailani. Apa yang menjadi isu buat Nabila adalah, apabila suaminya terus-terus mempertikaikan soal penjagaan anak mereka, Kheisya Laila.

Amy ketika ditemui di sidang media ‘Konsert Fenomena Search 30 Tahun Jelajah Borneo’ kelmarin menyatakan bahawa dirinya telah menasihati Nabila agar tidak menjadikan Twitter sebagai medium untuk melampiaskan amarahnya.

“Apapun yang terjadi di antara mereka berdua, saya sebenarnya tidak mahu campur tangan. Tetapi sebagai seorang ayah, saya menasihatkan Nabila supaya tidak menggunakan Twitter untuk melepaskan kemarahan. Lebih baik dibawa berbincang secara baik,” ujar Amy.

Tambah Amy lagi, perbuatan Nabila itu tidak hanya memalukan dirinya sendiri bahkan turut melibatkan keluarga kedua-dua belah pihak.

“Saya berharap Nabila dan bekas suami boleh cari jalan terbaik,” jelas Amy mengakhiri perbualan.

Isu Gambar Cium: Amy Search Nasihat Nabila Jaga Tingkah Laku


KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy berharap anaknya, Nabila Huda, 27, menjaga tingkah laku demi menjaga kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Kata Amy, Nabila seharusnya lebih fokus dan jangan rosakkan apa yang telah dikecapinya hari ini dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan namanya dalam industri.

"Saya tidak tahu tentang gambar-gambar itu, tapi sebagai bapa saya berharap dia menjaga tingkah lakunya kerana dia seorang perempuan.

"Dia yang memilih untuk menjadi selebriti dan seharusnya dia menjaga kerjaya dan fokus dengan apa yang dia ada sekarang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single berjudul Simetri, di sini, Selasa.

Amy diminta mengulas tentang laporan sebuah program hiburan yang menyiarkan beberapa keping gambar artis yang dipercayai milik Nabila Huda.

Gambar-gambar liar tersebut diambil ketika Nabila sedang berpesta di Pulau Tioman bersama seorang lelaki yang dikatakan teman lelakinya.

Bagaimanapun, Amy enggan mengulas lanjut perkara tersebut namun berharap Nabila sedar dan bertanggungjawab terhadap kesilapannya.

"Saya harap dia tidak melarikan diri daripada kesilapan yang telah dilakukan dan bertanggungjawab dengan apa yang telah berlaku," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails