Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Penyatuan emosi Amy dan Nabila

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Pepatah itu sahaja cukup untuk menyimpulkan nilai kasih sayang antara anak dan ayah. Mewah atau miskin, nilai itu masih serupa, tidak berbeza. Hadir ke Studio Neo Gendang yang terletak di Damansara Perdana, dari anak tangga paling bawah lagi sudah kedengaran gema yang enak masuk ke telinga. Bunyi penuh tenaga itu menyatu harmoni bersama melodi dan vokal gemersik yang melantun dari bibir vokalis Search, Amy. Rocker itu kelihatan teruja. Dia bukan sahaja dikelilingi pemuzik harapan yang akan bersama-sama membawa magis ke Konsert Amy Search Live in Singapore nanti, bahkan di sisinya berdiri seorang anak untuk memberikan emosi tambahan buat dirinya. Latihan untuk konsert yang dijadualkan berlangsung pada 20 September ini (esok) di The Star Performing Arts Centre, Singapura itu berjalan lancar. Kesibukan jadual aktiviti lakonan juga tidak menjadi alasan untuk Nabila terlepas daripada latihan. Sementelah, itulah konsert pertama Amy yang disertai Nabila, pastinya persediaan bukan hanya tertumpu pada aspek teknikal. Persediaan dalaman Nabila sendiri harus kuat memandangkan dia sendiri bukanlah seorang penyanyi. Barangkali itulah yang mahu diangkat sebagai kejutan oleh Amy untuk peminatnya di Singapura. "Saya cuma ingin Nabila merasai keadaan sebenar menjadi seorang penyanyi yang berdiri di hadapan ribuan penonton. "Walaupun bidang nyanyian bukanlah bidang yang menjadi keutamaannya, saya ingin dia merasai keterujaan itu. Saya berharap dia mampu untuk membina watak dan karakternya yang tersendiri apabila berada di atas pentas kelak. "Konsert sebegini juga bagus untuk memberi pendedahan kepada Nabila supaya terus serius berkecimpung dalam bidang muzik," katanya yang merahsiakan dua lagu duet yang akan dinyanyikan bersama anaknya itu. Ditanya mengenai pembawakan Nabila dalam bidang seni sejak kecil lagi, Amy berkata, anaknya itu tidak pernah mempunyai minat yang khusus dalam sesuatu genre muzik. Namun, dalam cabang seni yang lain, dia sangat berbangga dengan pencapaian Nabila. "Mungkin muzik bukan topik utama apabila hendak dibincangkan mengenai Nabila tetapi jika dilihat dari segi pencapaiannya dalam bidang lakonan ia sangat membanggakan. "Saya sendiri sudah beberapa kali melihat lakonannya melalui naskhah seperti Biopik Saloma. Secara peribadi saya menyifatkan kerjanya sangat memberangsangkan. Dia berjaya menjiwai watak biduanita Saloma dengan jayanya, namun masih terdapat beberapa kelemahan, terutamanya dari segi mimik mulut (lip sync). "Jadi, saya banyak berkongsi pengalaman saya, terutamanya dari segi teknikal untuk mendapatkan lip sync yang baik. Kalau dia dapat kedua-duanya, penghayatan emosi dan mimik mulut, watak Saloma lakonannya akan lebih sempurna," akui Amy. Momen anak dan ayah - Nabila Bagi Nabila, sejak kecil dia tidak terfikir untuk menyatu emosi atas satu pentas bersama bapanya. Seingat Nabila, sejak kenal makna konsert, impiannya hanya untuk berdiri di hadapan pentas. Dia mahu menjadi orang pertama yang bertentang mata dengan Amy, bapa yang juga idolanya sepanjang usia. "Saya anggap konsert di Singapura nanti sebagai momen ayah dan anak yang mungkin akan datang sekali seumur hidup. Ini merupakan penghormatan terbesar yang datang kepada saya. "Sejak kecil, saya tidak pernah terfikir untuk berdiri dan menyanyi atas pentas yang sama dengan papa. Saya cuma mahu berada di hadapannya setiap kali papa ada konsert. Setiap kali saya melihat papa di atas pentas dan beliau sedar kehadiran saya, seronoknya bukan kepalang," kata Nabila sambil mengakui menghafal kesemua lagu nyanyian bapanya itu. Diasak teruja dan debar yang tidak terhitung, Nabila yang mesra dibahasakan Abil itu mengakui, muzik bukanlah kecenderungannya. Biarpun pernah ada sebuah single berjudul X-Ray, pendek kata, muzik bukanlah makanannya. "Saya dengar semua jenis muzik tetapi muzik dan lagu kegemaran mestilah lagu-lagu papa. Rasanya, sekarang barulah saya mula ada minat untuk mendalami naluri muzik yang ada dalam diri saya. "Saya tidak mahu bayangkan sesuatu yang berlebihan. Perasaan berdebar memanglah terasa, tapi pada malam itu nanti, saya cuma mahu berseronok menikmati momen kami berdua. Kami akan bercakap dan menyanyi, saya harap penonton akan tepuk tangan, barulah rasa lebih bersemangat," jelas Abil sambil melirik ke arah bapanya. Bercerita lanjut mengenai konsert di Singapura itu, Amy berkata, segala persiapan untuk naik ke pentas berprestij tersebut sudah memasuki fasa akhir. Jumlah dan judul lagu yang akan dinyanyikan pada malam tersebut juga sudah ditetapkan. "Saya akan menyanyikan sebanyak 16 buah lagu sepanjang dua jam konsert tersebut. Kebanyakan lagu yang dipilih ialah daripada album solo saya iaitu iaitu Magic, Camouflage, Aku, Suatu Masa dan IKON - A Rockstar Chronicle," katanya yang akan membawa rombongan kru seramai 10 orang bagi menjayakan konsert tersebut. Saling membahagiakan Larut dalam perkongsian muzik dan agenda konsert, sesi penyatuan yang tidak mudah direncanakan itu membangkit suatu keinginan buat penulis. Sengaja mengalihkan sudut penceritaan, turun naik suhu termometer hubungan dua beranak itu cuba diusulkan. Sebagai bapa, tanggungjawab Amy umpama tidak akan putus biarpun anak yang dahulunya didukung kini sudah boleh berlari memilih jalan sendiri. "Sebagaimana Nabila berjaya sukses dalam karier, seperti itu juga saya mahu dia beroleh kebahagiaan dalam kehidupannya. Saya akan terus menyokong Nabila," berbunyi santai, namun mendalam maksud yang cuba Amy sampaikan. Tunduk dan seperti mahu menyelinap keluar daripada diskusi, Nabila mengeluh panjang. "Kalau boleh, saya tidak mahu lagi kisah lama antara kami dibangkitkan. Saya harap, media juga boleh bagi kerjasama. Perkara yang lepas, biarlah lepas," ucap Nabila. Dia faham benar maksud persoalan yang disuakan ke mukanya. Cuma situasi ketika itu sedikit berbeza, hatinya basah oleh kemanisan momen yang bakal didepani. "Saya cuma tidak mahu mengeruhkan keadaan. Kenyataan saya sebelum ini banyak dieksploitasi oleh banyak pihak lain sehingga ia menjadi besar. Saya mahu orang mengenali karier seni saya bukannya daripada isu tersebut," ujar Nabila. Melanjutkan perbualan, Nabila berkata, dia hanya mampu tertawa apabila melihat tajuk akhbar dan blog berikutan kenyataan yang diberikan bapanya berhubung kisah persiapan perkahwinannya yang kecoh diperkatakan. "Saya ketawa, baca dan ketawa lagi, namun pada masa yang sama saya sangat kasihankan papa (Amy). Dia tidak habis-habis menjadi buruan setiap kali ada isu berkaitan saya. Saya akui memang dia rasa terbeban dengan hal tersebut. "Mungkin disebabkan saya jarang melakukan penampilan di khalayak menyebabkan papa menjadi buruan pihak media untuk bertanyakan hal berkaitan saya, sampai papa tidak larat untuk menjawab persoalan yang diajukan kepadanya. "Saya sangat berharap agar selepas ini jika ada apa-apa persoalan berkaitan saya, pihak media yang ingin penjelasan, boleh terus mengajukan soalan tersebut kepada saya. Tunggulah sehingga saya benar-benar bersedia," kata Nabila berhati- hati. Tersenyum, geli hati atau barangkali terfikirkan tugas sebagai 'tempat rujuk media' yang digelarkan kepadanya, Amy semesti cukup tahu, walau sejauh mana Nabila melangkah, hatinya akan balik kepada keluarga. "Kebahagiaan Nabila akan terus menjadi kebahagiaan saya. Sejak daripada kecil, saya tidak pernah menghalangnya untuk melakukan perkara yang dia suka. Malah, saya juga tidak pernah mengatur apa yang perlu dilakukan oleh Nabila. Melihat kebahagiaannya akan membuatkan saya tenang," ujar Amy. "Sekarang saya mahu membahagiakan orang tua saya," tutup Nabila, si ibu beranak satu yang semakin matang menelaah buku kehidupan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails