Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Duet Anuar, Dayang

DAYANG Nurfaizah dan Anuar Zain boleh dianggap antara pasangan duet yang serasi dalam bidang seni suara tanah air sejak lebih sedekad lalu. Keserasian mereka itu dapat dilihat menerusi paduan suara, kombinasi gaya persembahan dan konsep muzik pop dan R&B yang diketengah sejak dulu. Malah Anuar dan Dayang juga pernah berkongsi pentas persembahan dan berduet lagu-lagu yang serasi dengan mereka di Planet Hollywood, Kuala Lumpur pada 2002. Bagaimanapun, itu cerita 10 tahun lalu di mana selepas sedekad dua penyanyi itu tampil semula berduet pada suatu persembahan berjudul One Night Charity Concert baru-baru ini. Pada konsert yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur itu Dayang berkata, atas faktor itu menyebabkan dia dan Anuar berbincang lama sebelum menjayakan konsert tersebut. "Tetapi masalahnya masa kami agak terhad. Kami kena membahagikan persembahan kepada dua segmen. Kami berbincang lagu apa yang sesuai untuk berduet pada konsert itu. "Saya tanya Anuar dia suka lagu saya yang mana satu dan begitu jugalah sebaliknya. Kami mahukan persembahan yang santai. Sebelum ini, kami tidak mendapat peluang ini kerana kami sibuk. "Selepas 10 tahun barulah kami dapat berduet dalam satu persembahan bersama-sama. Kami memang sudah lama mahukan persembahan seperti ini," katanya selepas konsert itu. Persembahan anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas yang mengenakan tiket berharga RM500, RM350, RM250 dan RM150 itu bagi mengutip derma untuk badan-badan amal. Semua hasil jualan tiket itu akan disalurkan kepada Dana Asy-Syakirin, Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas dan Rumah Kasih Harmoni yang terletak di sekitar Lembah Klang. Menurut Anuar yang pertama kali mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas, dia muncul pada konsert itu bukan setakat teruja untuk berduet dengan Dayang. Sebaliknya, adik penyanyi Ziana Zain itu terbabit dalam persembahan amal tersebut kerana mahu mahu membantu badan-badan amal serta golongan yang kurang bernasib baik. "Bagi saya perkongsian atau mudarabah itu penting di mana dalam konteks ini saya mahu berkongsi dengan golongan tersebut. Saya tidak boleh sepanjang masa mahu untung sahaja. "Melalui konsert inilah saya boleh memberi bantuan kepada masyarakat terhadap apa yang telah saya perolehi selama ini. Sebab itu, konsert ini bukannya bertujuan mahu buat duit," ujarnya. Album duet Ekoran keserasian antara Dayang dan Anuar itu, ada pihak yang menyuarakan pendapat agar mereka merakamkan album duet pada masa akan datang bagi memenuhi permintaan tersebut. Anuar akur dengan saranan itu tetapi pada masa sama dia menyatakan terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusinya sebelum permintaan itu dapat direalisasi pada masa depan. "Kami pernah bercakap tentang mahu merakamkan album duet itu. Tetapi masalahnya agak susah mahu mencari lagu duet yang sesuai dengan kami kerana tonasi suara kami berbeza. "Malah untuk mencari lirik lagu yang sesuai juga susah apatah lagi yang mempunyai elemen yang positif. Saya pula tidak suka dengan lirik yang terlalu berbunga-bunga, takut tiada impak nanti. "Saya pula sukakan kelainan di mana kalau boleh lagu-lagu yang kami duetkan nanti berbeza daripada apa yang pernah saya nyanyikan. Kalau tidak nanti saya takut peminat bosan," jelasnya. Pada konsert itu, Dayang dan Anuar menyanyikan 14 buah lagu termasuklah secara duet antaranya berjudul Bila Resah, Mana Mungkin, Biar Akhirnya Di Sini dan Sedetik Lebih. Turut dinyanyikan oleh dua penyanyi itu ialah lagu-lagu seperti Perlukan Cinta, Perpisahan, Aku Rindu Aku Jemu, Kau Bunga Cintaku, Perlukan Cinta dan Cinta Harus Memiliki. Sementara itu, Penolong Pengarah One Night Charity Concert, Sarawahida Salleh berkata, pemilihan Anuar dan Dayang bertepatan bukan sahaja kerana keserasian dua penyanyi terbabit. Malah jelasnya Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas juga mempunyai komitinya sendiri dalam menentukan kesesuaian penyanyi yang ditampilkan dalam konsert seperti itu. "Apatah lagi, dua penyanyi ini memang popular dan kami di komiti kelab ini bersetuju memilih mereka untuk menjayakan konsert tersebut. Ternyata perancangan kami memang membuahkan hasil. "Buktinya, sejak tiket konsert ini dijual dua bulan lalu ia telah pun habis sebulan sebelum ia berlangsung. Hampir 800 tempat duduk di dewan ini juga penuh pada persembahan itu," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails