Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jangan salahkan saya - 'Puan WP'

CERITA Black 'dikapur' perunding perkahwinan sehingga kerugian mencecah RM30,000 mengundang simpati banyak pihak terhadap penyanyi lagu Aku Rindu Sayang Kamu itu sebelum ini. Pada April lalu Black telah menyerahkan duit pendahuluan untuk persiapan majlis perkahwinan bagi bayaran deposit lokasi di Zebra Square Kuala Lumpur, urusan katering dan keperluan lain. Biarpun wang deposit untuk lokasi perkahwinannya sudah dibayar namun Black tetap masih berasa tidak sedap hati. Sikap tidak amanah perunding perkahwinannya itu dipersoalkan. Dek tidak tahan sabar akhirnya Black memutuskan untuk memecat perunding perkahwinan itu pada 3 Julai lalu sebelum menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pengurusan 8 Unit. Pun begitu itu adalah cerita versi Black yang pernah tersiar di media sebelum ini. Pancaindera kemudiannya berjaya bertemu dengan perunding perkahwinan dikenali sebagai 'Puan WP' untuk mengetahui kebenaran dakwaan tersebut. "Saya terkilan apabila Black membuat kenyataan bahawa saya telah melesapkan wang yang telah diserahkan atas urusan perkahwinannya sebelum ini. Dakwaan itu sama sekali tidak berasas. "Ini bukan kali pertama kami menguruskan perkahwinan membabitkan selebriti. Dasar bisnes kami memang telus dan secara profesional. "Sebenarnya bukan dia yang teraniaya dalam hal ini. Tapi pihak saya. Banyak projek lain yang saya dapat terpaksa ditolak sebab nak fokus majlis perkahwinan dia. "Tapi soalnya di sini macam mana urusan perkahwinannya nak berjalan lancar kalau bayaran tak cantik? Jadi jangan salahkan saya sebaliknya selidiki punca permasalahan betul-betul. "Tak timbul soal saya masih berhutang dengan Black. RM15,000 untuk lokasi, katering (RM7,000), RM3,000 (kos hotel sewaktu percubaan solekan, gaji, pra perkahwinan) dan bakinya RM5,000 adalah bayaran perkhidmatan saya. "Dan perlu diingat bahawa siapa yang memecat siapa dalam konteks ini," tegas Puan WP yang mengakui tiada kontrak yang ditandatangani sepanjang berurusan dengan Black pada pertemuan di Puchong, petang Rabu lalu. Enggan mengungkit lagi cerita berkenaan, 'Puan WP' turut mendoakan kebahagiaan perkahwinan Black dengan Naquia Yasirah Mohd. Khairi, 28, yang berlangsung pada 13 September ini. Saya bukan bodoh - Black"SELEPAS ini kalau mahu cari 'makan' gunalah cara halal. Saya bukan bodoh," tegas Black, 26, berhubung kes penipuan membabitkan wang berjumlah RM30,000 yang dikatakan dilesapkan oleh perunding perkahwinannya sebelum ini. Malah penyanyi lagu Aku Rindu Sayang Kamu ini kesal kerana pihak berkenaan masih belum mengembalikan wangnya selepas rundingan kali terakhir dibuat pada 3 Julai lalu. Menyerahkan kes tersebut kepada pihak peguam, apa yang menjadi fokus utama Black adalah mengumpul wang secukupnya bagi menyempurnakan majlis perkahwinannya pada 13 September ini. "Saya rasa tak wajar untuk mendahului apa yang sedang diperhalusi pihak peguam. Pada waktu sekarang ini kita sedang mencari jalan penyelesaian yang sesuai. "Biarlah mereka yang membuat kerja. Saya tak mahu cakap panjang-panjang. Nanti mengganggu pula proses perbincangan sedia ada. "Saya juga menganggap ini adalah dugaan sebelum berkahwin. Dugaan yang kecil ini akan mendapat kemanisan yang besar pada masa akan datang," katanya yang kini mahu dikenali sebagai Black Hanifah. Ditanya tentang kos keseluruhan majlis perkahwinan Black, pemilik nama sebenar Hanifah Md. Hanafiah ini enggan mendedahkannya secara umum. Majlis pernikahan Black bakal berlangsung kira-kira pukul 11.30 pagi di Zebra Square dan diikuti majlis persandingan pada pukul 8 malam keesokan harinya. Difahamkan pihak TV3 bakal menyiarkan secara langsung majlis perkahwinan Black. Bagaimanapun perkara tersebut masih belum diputuskan lagi dan akan diumumkan stesen penyiaran itu tidak lama lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails