Mungkin kejadian yang Murai Batu nak cerita ini agak biasa, terutama bagi mereka yang tidak berkenderaan atau dikalangan orang awam. Malah Murai Batu sendiri masih mengamalkan penggunaan kenderaan awam untuk ke destinasi tertentu.
Tapi bila kejadian ini terjadi kepada penyanyi dan pelakon hitam manis bernama Nurul Wahab, Murai Batu jadi hairan.
Tak ada hujan, tak ada ribut, kenapa agaknya dia menggunakan pengangkutan bas ekspres awam baru-baru ini, sedangkan dia sendiri sudahpun memiliki kereta?
Ini bukanlah gimik atau langkah promosi Nurul untuk melariskan album mahupun filem lakonannya, tapi khabarnya pelakon Tolong Awek Aku Pontianak itu tiada pilihan lain selain menaiki bas awam untuk ke Perak, baru-baru ini.
Perak? Apa yang Nurul buat di Perak? Di mana perginya kereta yang selalu dipandunya sebelum ini? Mengapa dia perlu menaiki bas dan terpaksa membeli sendiri tiket di kaunter bas ekspres di Pudu Raya?
Murai Batu difahamkan, Nurul bukanlah sengaja untuk menaiki bas ekspres. Malah khabarnya juga, dia langsung tidak kisah menaiki apa juga bentuk perkhidmatan awam, cuma tuntutan kerjayanya memerlukan dia memandu keretanya sendiri.
Oleh kerana dia tidak ada kereta pada ketika itu, maka dia memilih untuk menaiki bas ekspres untuk mengambil keretanya di Perak yang sudah siap dibaik pulih, baru-baru ini. Semuanya gara-gara keretanya yang tiba-tiba rosak di Cameron Highlands dan dia terpaksa menghantarnya ke bengkel berhampiran.
Oh! Begitu rupanya. Maaflah Nurul, jika Murai Batu terlalu banyak bertanya. Bukannya apa, sekarang ini susah untuk kita lihat artis popular menaiki kenderaan awam terutama bas.
Jika adapun mungkin semata-mata untuk tujuan promosi, sesi penggambaran ataupun menghadiri konsert jelajah. Memang susahlah nak nampak mereka. Maklum sajalah, bila sudah popular, memandu kenderaan sendiri adalah cara paling selamat mengelak daripada diserbu peminat.
Murai Batu bukannya mahu menafikan kenyataan itu, tapi memang benar memandu kenderaan sendiri atau tidak menggunakan pengangkutan awam adalah cara paling terbaik terutama kerjaya sebagai seorang penyanyi.
Cayalah Nurul. Walaupun cantik dan popular, dia langsung tidak kisah menaiki bas ekspres awam. Sungguh merendah diri.Lebih mengujakan Murai Batu lagi apabila Nurul sendiri terkejut dengan perubahan Pudu Raya yang sekarang ini sudah dibaik pulih.
Nurul nampaknya takjub dengan rekaan dalaman Pudu Raya yang semakin indah dengan dilengkapi kemudahan moden khusus untuk pelanggan. Katanya, melihat Pudu Raya seperti berada di lapangan terbang.Artikel dari Murai.com
