
HAMPIR lima tahun penyanyi Nurul Huda Abdul Wahab, 35, terpaksa mengharungi suka duka seorang diri setelah kegagalan rumah tangga pertamanya pada Februari 2007.
Dalam tempoh bergelar janda, Nurul mengaku yang dirinya tidak pernah lepas daripada tohmahan, namun semua itu ditelan begitu sahaj a kerana hidup perlu diteruskan.
Namun sinar bahagia mula menyinari kehidupan penyanyi Cinta Azali itu sejak bertemu dengan lelaki kelahiran Perancis, Eric Daniel Depp, 47, pada 2010.
Sifat Eric yang berterus terang, mudah mesra dan menerimanya tanpa prejudis membuatkan Nurul terus menerima lamaran lelaki tersebut pada 14 Februari tahun lepas.
"Kehadirannya dalam hidup saya tidak diduga. Pengalaman sering dikecewa membuatkan saya tidak memandang serius sewaktu pertama kali kami diperkenalkan.
"Mungkin ini adalah takdir yang ditentukan oleh-Nya. Dia bukan seorang yang serius tetapi mudah mesra dan suka berterus terang. Eric bukan sekadar teman hidup malah dia adalah teman sejiwa saya," katanya.
Nurul yang merupakan anak ke lapan daripada 15 beradik berkata, pada hari ini perasaannya mudah tersentuh kerana segala yang dirancang berjalan dengan sempurna.
"Saya tidak dapat nak gambarkan perasaan bagaimana kerana apa yang kami impikan terlaksana. Saya bersyukur kerana dapat merai hari bahagia dengan saudara mara dan rakan terdekat," katanya dalam nada terharu.
Pada hari bersejarah itu, dengan sekali lafaz, Nurul yang menerima mas kahwin sebanyak RM80, sah bergelar isteri kepada Eric, sambil disaksikan kira-kira 200 tetamu.
Nurul turut menerima hantaran sebanyak RM19,850 ($5,000 euro) dan lima dulang hantaran berbalas tujuh.
Dia yang berwalikan abangnya, Mohamad Rizal Ab. Wahab dinikahkan oleh Jurunikah Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Azizan Othman pada pukul 12.20 tengah hari di di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Nurul yang memilih majlis santai berkonsep taman itu berkata, selain tajaan pakaian, ada lima penaja yang sudi menaja majlis perkahwinannya termasuk pengedar kain, Jakel dan pereka pelamin, Perunding Perkahwinan Zahar.
Terima Nurul seadanya
Membesar sebagai anak tunggal kepada pasangan Roland Depp dan Gemaine Depp, perkahwinan ini bakal menggubah seratus peratus kehidupan Eric.
Dia yang pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini berkata, kehadiran Nurul dalam kehidupannya merupakan satu rahmat yang tidak terduga.
"Nurul seorang yang berhati lembut dan mudah memahami. Walaupun berbeza latar belakang, namun kami dapat mengatasinya kerana kita tidak dapat mengubah masa lampau. Bagi saya, dia adalah teman sejiwa dan yang paling menggembirakan, saya juga sudah ada anak, Ayu.
"Bagi saya perkahwinan ini adalah gabungan dua jiwa yang bakal menentukan masa depan kerana sebagai manusia kita tidak dapat menduga apa yang bakal berlaku. Apa yang saya boleh cakap, setakat ini saya gembira dengan apa yang saya lalui," katanya.
Eric yang gemar bergurau itu berkata, dia tidak ada masalah untuk melayari kehidupan suami isteri di sini kerana sepanjang hidup dia sudah berkesempatan menetap di 11 buah negara.
"Pengalaman menetap di pelbagai negara mematangkan saya dan sekali gus memudahkan. Setakat ini kami tidak bercadang untuk menetap di luar negara lain, namun di masa hadapan saya tidak tahu," katanya terus terang.
Sementara itu, majlis resepsi di sebelah pihak lelaki akan diadakan di Bali, Indonesia pada 14 Jun ini.
Setakat ini Eric berkata, mereka belum menetapkan tarikh untuk berbulan madu kerana baginya selagi dapat bersama Nurul, itulah saat berbulan madu.
"Kami ada merancang beberapa tempat untuk berbulan madu seperti Bali atau Macau, tapi tarikh sebenar belum pasti," katanya.
Disayangi mertua
Kehadiran Roland dan Germaine Depp pada majlis pernikahan Eric dan Nurul membuktikan yang pasangan suami isteri itu amat merestui pilihan hati anak tunggal mereka.
Roland yang memberi ucapan dalam bahasa Perancis dan diterjemahkan oleh pengacara majlis berkata, Nurul bukan sekadar anggota baru dalam keluar mereka, malah sudah seperti anaknya sendiri.
"Saya tidak pernah termimpi berpeluang menghadiri majlis pernikahan sebegini. Ini adalah satu pengalaman baru bagi kami.
"Biarpun berbeza budaya dan negara, yang penting Eric dan Nurul hidup bahagia. Saya dan isteri amat menyenangi Nurul dan kami menyayanginya seperti anak kami sendiri," katanya.