SIKAP segelintir masyarakat yang membuta tuli menjatuhkan hukum tanpa terlebih dulu bertanya duduk perkara sebenar melukakan hati penyanyi berkulit hitam manis, Nurul Wahab. Memang seksi itu sinonim dengan dirinya tetapi kata Nurul, itu bukan bererti dia bebas melakukan apa saja tanpa memikirkan impak baik dan buruk sesuatu perbuatan. Sebagai umat Islam, Nurul kesal dengan paparan iklan pusat kecantikan, Glow & Glamour, baru-baru ini, yang menyinggung sensitiviti umat Islam.
Namun, Nurul yang menjadi jurucakap kepada pusat kecantikan itu akui jangan terus mengecam dirinya. Nurul mengakui kesilapannya, malah turut memohon maaf atas kekhilafan tidak disengajakan itu. Bagaimanapun, maruah yang tercemar lantaran teguran lantang di dada sebuah akhbar mendesak Nurul berjuang mendapatkan keadilan. B*POP mendapatkan penjelasan daripada Nurul.
B*POP: Nurul sedia ambil tanggungjawab atas kesilapan yang berlaku?
NURUL: Saya faham dan terima kesilapan itu sebagai kekurangan diri. Namun, jangan terus menghukum tanpa memberi ruang untuk saya menjelaskan perkara sebenar. Mengapa tulisan itu membuta tuli menjatuhkan hukum saya bersalah? Apa yang ditulis itu lebih terdorong mengikut emosi penulis tanpa bertanya dulu fakta yang tepat. Itu yang membuat saya kecewa dan marah. Jangan cepat menghina orang, seolah saya tidak ada akal untuk membezakan apa yang baik dan buruk. Apakah kerana penampilan seksi saya, maka saya dihukum membelakangkan agama hanya kerana terdesak mencari duit? Itu sesuatu yang tidak adil.
Mengapa tidak ambil tindakan segera untuk menjelaskan perkara sebenar?
Salah saya kerana tidak bertanya gambar mana akan digunakan untuk promosi sempena Aidilfitri. Kerjasama kami bukan baru, malah sebelum ini tidak pernah menimbulkan masalah besar. Mereka juga memahami sensitiviti masyarakat di Malaysia yang berbilang bangsa. Cuma kali ini, reka bentuk iklan itu dibuat pereka baru yang mungkin tidak peka kemuliaan Ramadan dan Aidilfitri. Mereka tersalah pandang tetapi selepas ditegur, mereka pantas bertindak memohon maaf di laman sosial, Facebook atas kesilapan tidak disengajakan itu. Memandangkan Glow & Glamour sudah memohon maaf kepada umum, jadi saya anggap perkara itu selesai.
Namun orang tetap salahkan Nurul? Mustahillah Nurul tidak menasihati mereka foto mana yang sesuai untuk digunakan.
Kalau nak tahu, gambar digunakan untuk promosi diambil pada hujung 2009. Gambar sama juga pernah dipakai untuk promosi sebelum ini tetapi tidak menimbulkan kontroversi. Sesi fotografi itu memakan masa sehingga 12 jam di mana saya menggayakan pelbagai rekaan baju termasuk tiga kebaya untuk promosi raya. Memandangkan kerjasama sebelum ini tidak timbulkan masalah, jadi saya memberi kepercayaan kepada mereka untuk memilih imej dan foto bersesuaian. Masyarakat boleh menerima foto itu tetapi apabila diletakkan imej masjid di belakang, ia agak keterlaluan. Jika ditanya kepada saya, kesilapan itu tidak patut berlaku. Itu bukan bermakna mereka berniat menghina Islam. Cuma mereka tersalah pandang dan itu yang membuatkan ramai kurang selesa dan marah. Saya sendiri belajar daripada kesilapan itu.
Ada orang cakap Nurul terdesak berimej seksi untuk menagih perhatian peminat sebab populariti merudum?
Itu yang saya pelik. Saya sudah 16 tahun dalam industri, sudah puas merasai apa itu glamor dan sensasi. Jika saya terdesak untuk jual imej seksi, lebih baik jadi pelacur daripada ke sana sini menyanyi. Saya bekerja keras menjual bakat, malah hidup selesa dengan rezeki sebagai anak seni jadi pada kedudukan mana yang membuatkan saya kelihatan terdesak? Saya sedih dengan mentaliti orang sebegitu. Mereka meletakkan diri mereka seperti malaikat yang cuma tunduk menurut perintah Allah. Apakah mereka yang mengecam saya itu bersih daripada dosa? Disebabkan pandangan seperti ini membuatkan ramai artis bersikap hipokrit. Artis terpaksa tunduk kepada kemahuan sesetengah pihak, sedangkan sikap sebenar jauh daripada apa yang dipaparkan. Mahukah mereka saya jadi begitu?
Memang suka berimej seksi?
Saya akui ketika foto itu diambil saya memang suka bergaya seksi. Tetapi apabila usia meningkat dan pelbagai reaksi kurang menyenangkan diterima daripada peminat, saya mula berubah. Sejak awal tahun ini, saya mula berhati-hati dengan penampilan. Saya tidak mahu imej seksi saya disalahertikan dan menimbulkan marah kepada peminat. Peliknya ketika saya seksi dulu, tiada pula yang berani menegur keras seperti itu. Langsung tidak menjadi isu.
