Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Saya perlu berubah' - Nurul


Nurul janji kurangkan imej seksi

TERLALU banyak salah tanggapan terhadap penyanyi hitam manis ini, namun Nurul Wahab hanya mampu menelan, sesekali belajar menepis ketika hati terguris dengan pandangan serong diberikan. Apabila Nurul, 33, memilih untuk tampil seksi dirinya 'dibidik' cemuhan bertalu seolah-olah dia sengaja memperaga imej begitu untuk meraih perhatian khalayak. Hakikatnya, anak kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu bukan sengaja berbuat demikian. Ketika itu, Nurul sedang mencari-cari arah untuk menjenamakan semula dirinya sebagai penyanyi solo. Dalam percubaan itu, akui Nurul, pastinya dia terperangkap dalam kesilapan sedangkan tiada siapa yang mahu mengambil tahu pergolakan hebat yang sedang melanda dirinya.

“Saya terima segala kritikan dan komen dengan hati terbuka. Jika diturutkan hati, jujurnya saya terguris apabila dicemuh pelbagai tuduhan, sedangkan saya bekerja keras untuk memperkenalkan bakat. Saya mahu masyarakat memandang serius bakat Nurul Wahab. Cukuplah mereka bercakap yang tidak manis mengenai diri saya.

“Saya ambil masa tiga tahun untuk mencari apa yang serasi dengan diri saya. Semua itu ternyata tidak mudah dan selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, saya akan kurangkan imej seksi ini perlahan-lahan,” katanya.

Perubahan itu, kata pemilik nama lengkap, Noorul Huda Abdul Wahab yang ketika ditemui masih setia dengan bergaya seksi penting untuk masa depan karier nyanyiannya. Nurul akur, tidak semua masyarakat dapat menerima penyanyi yang gemar muncul gaya seksi keterlaluan. Dari satu sudut, Nurul mungkin mampu menarik nafas lega kerana secara tidak langsung namanya kembali jadi sebutan gara-gara imej beraninya itu.

“Saya perlu berubah supaya peminat dapat membezakan Nurul yang mula menyanyi 16 tahun lalu dengan Nurul yang masak dengan perjalanan industri hiburan hari ini. Tetapi selepas beberapa lama, saya sedar peminat tidak lagi memberi perhatian kepada kesungguhan saya. Lebih diperkatakan cuma cerita peribadi, namun hal berkaitan karier seperti diketepikan.
“Saya perlu bertindak matang kerana saya bukan seorang remaja lagi. Saya sudah temui apa yang dicari selama ini dan peminat dapat melihat itu dalam album terbaru, Nurul yang kini di pasaran,” katanya.

Serentak itu, Nurul turut mengambil pendirian untuk menyimpan semua hal berkaitan peribadi menjadi miliknya sendiri. Kata Nurul, sudah lama ini dia bersikap jujur dan berkongsi segala-galanya sebagai tatapan umum. Tetapi apabila impiannya tidak menjadi kenyataan, Nurul dipersalahkan.

Paling mengguris apabila Nurul dituduh suka bertukar teman lelaki sedangkan cuma sekali itu dia memperkenalkan jejaka yang bertakhta di hatinya kepada khalayak.

“Saya sudah serik. Cukup sekali itu dan selepas ini, saya tidak akan lagi membuka mulut mengenai teman lelaki. Saya tidak mahu dipersalahkan lagi. Saya sudah tetapkan dalam diri hanya untuk bersuara apabila lelaki itu rasmi menjadi milik saya. Selagi belum ada ikatan rasmi, tidak perlu sesiapa pun memaksa saya kerana saya tidak akan membuka mulut,” katanya.

Kerjaya nyanyian yang memasuki tempoh lebih satu setengah dekad sudah cukup untuk membuat duta kepada kanta lekap, ColourVue ini mengenali selera peminat semasa. Biarpun percubaan pertama untuk kembali muncul solo menerusi album, Tika Cinta hampir dua tahun lalu gagal meraih perhatian peminat, Nurul belum mahu mengalah.

Menggunakan modal sendiri menerusi syarikatnya, NHW Productions, Nurul memperkenalkan mini album mengangkat namanya sebagai judul menjadi taruhan. Lima lagu dimuatkan, satu daripadanya adalah rakaman semula Kerna Terluka kerana lagu itu menyimpan sejarah tersendiri kepada Nurul.

“Untuk menjenamakan semula nama Nurul sebagai penyanyi, saya harus berani melakukan pembaharuan. Jika diteliti, pengisian album ini lebih santai dengan susunan muzik ringkas dan asas.

“Saya perlu keluar daripada imej nyanyian yang peminat kenali selama ini kerana tidak mahu terikat dengan satu cara nyanyian.

Alhamdulillah kerana projek ini didukung bersama komposer yang memahami segala kemahuan saya. Keyakinan yang mereka tiup memberi saya semangat untuk bekerja keras,” katanya yang mempertaruhkan lagu Andai Ku Kenali Ku.

Kata Nurul, kerja kerasnya selama ini bukan untuk orang lain tetapi demi permata hatinya, Ayu Nazirah yang kini berusia 13 tahun.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails