Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Zulfazli dan Rizalman mulut “laser” bukan jahat


RANCANGAN realiti, Tangkap Muat siaran Astro Ria yang menemui penonton setiap Selasa (9 malam) sebuah program baru yang boleh dianggap menarik. Dalam program itu penonton bertuah akan ditukar imej dan penampilan untuk tampil lebih menarik berbanding diri mereka yang sebenar.

Malangnya sejak rancangan itu ke udara timbul pelbagai cerita kurang enak apabila dua pengacaranya dikatakan suka cakap lepas.

Malah mereka suka menggunakan bahasa yang kurang enak untuk menyakat peserta. Dua pengacara tersebut iaitu jurusolek Zulfazli Suhadi dan pereka fesyen Rizalman Ibrahim. Mereka dituduh gemar mempersendakan peserta yang sememangnya tidak mahir soal menjaga penampilan diri.

Bagi mereka, apa yang diperkatakan itu mungkin sekadar jenaka spontan tetapi ia dilihat seperti merendah-rendahkan orang lain. Siapa yang tidak mengenali Zulfazli, jurusolek berpengalaman selama 18 tahun dan Rizalman yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun ini?

Mereka yang terlibat didalam dunia hiburan sememangnya sudah sedia maklum dengan mulut laser dua personaliti ini. Tapi apakah orang ramai di luar sana boleh menerimanya?

Tak mahu hipokrit

Apa komen anda bila ada yang mengatakan anda berdua adalah hos yang diambil secara tangkap muat?

ZULFAZLI: Sorry ya! Ingat kami berdua ni digandingkan sebagai hos dengan cara tangkap muat saja? Ingat tak ada uji bakat? Ini bermakna pihak penerbit nak hos yang bermulut “laser” atau cakap lepas macam kita orang ni!

Dah baca semua komen panas dalam blog?

Biasalah, mana ada semua orang yang puas hati. Saya dah biasa dalam bidang ini. Itu semua biasa. Tak apa la, setidak-tidaknya rating rancangan ini naik dan mendapat perhatian. Kalau tak diperkatakan tak popular lak rancangan Tangkap Muat, betul tak?

Kenapa laser sangat? Tak tahu nak tapis sikitkah?

“Laser” ke kita orang ni? Bagi orang yang kenal dan tak biasa mungkin anggap macam tu. Tapi kawan-kawan dalam industri seni rasanya dah biasa dengan cara kita orang ini. Buat apa nak hipokrit, kalau di luar set kami pun, kami macam ni juga. Kalau nak suruh “laser”, boleh kami buat lebih daripada itu. Dah penerbit pun tak komen apa, jadi kami tak kisahlah. Yang jadi penerbit siapa? Orang yang komen tu ke?

Cuba tanya Rizalman, waktu kita buat bengkel kecantikan setakat ini tak ada pula orang nak komen? Rasanya cara kita bercakap sama je. Saya tengok ada peserta bengkel yang ketawa ada laa. Tak ada pula peserta yang angkat kaki tinggalkan bengkel tu ataupun kami dibaling gelas ataupun batu. Malah sambutan bengkel selepas itu lebih ramai. Alah! Jangan hirau sangat, orang yang mengata kat kita tu nanti akan tengok juga program kami.

Mula-mula dia orang mengata la. Biasalah... orang kita.

Kadang-kadang komen dia orang pun sama saja “laser” macam mulut saya ni.

Rancangan baru empat episod tapi dah dapat banyak komen negatif. Tak rasa bersalah ke?

Komen negatif biasalah, tapi yang komen memuji selalunya tak disampaikan kepada kita pula. Entah-entah lebih ramai yang memuji berbanding kejian. Kalau dilihat daripada komen negatif yang saya terima, ayat-ayat mereka tu lagi “laser”. Kami dikritik sebab kami keluar di televisyen, jadi orang bebas mengutuk kami. Tapi yang “laser” di luar sana, dok mengata, mengumpat tak ada siapa yang peduli sebab mereka tak masuk televisyen. (ketawa)

Ada orang kata Zulfazli ni bukanlah bagus sangat pun nak mengubah imej solekan orang.

Kau ni suka sangat pakai ayat orang kata. Entah-entah kau sendiri yang kata tak? (ketawa) Bagus sangat tu tidaklah, tapi bolehlah. Yang terbaik daripada Allah sahaja. Orang yang kata saya tak bagus tu pun, tak bagus juga dia. Tapi saya ada pengalaman yang lama. Kalau tak bagus, takkan saya masih bertahan sehingga kini dalam dunia solekan walaupun sekarang semakin ramai jurusolek baru. Setakat ini tak ada kejadian saya solek orang, wajah dia berubah macam wajah hantu. Betul tak?

Betulkah orang produksi pun meluat juga dengan kau orang berdua semasa di set penggambaran?

Setakat ni kami tak perasaan pun, semua okey je! Mereka semua dah macam kawan. Kita orang bergurau selalu di set. Tak ada pula yang tarik muka kat kita orang. Kalau nak ikutkan mereka senang bekerja dengan kami sebab kami sampai di lokasi tak pernah lambat. Kalau buat rakaman tak banyak kali ulang.

“Laser” ada isi

Dalam ramai-ramai pereka fesyen kenapa Rizalman dipilih dalam Tangkap Muat?

RIZALMAN: Untuk makluman orang di luar sana, waktu uji bakat ramai orang datang. Ada yang lebih berpengalaman dalam bidang ini tapi kami berdua yang terpilih. Apa maknanya tu? Siapa yang kata tu? Yang mengatakan pun bagus sangat ke? Kalau dia rasa bagus, cubalah ganti tempat saya. Saya bukan nak ubah orang yang dipilih tu seratus peratus. Tapi nak makeover secara berpatutan. Memang kami dulu pun mula daripada bawah. Pengalaman kami diiktiraf, jadi biarlah pengalaman kami diterima oleh orang yang pandai menilai saja.

Kalau realitinya Rizalman nampak cool tapi tak sangka mulut “laser” juga ya.

Kalau orang yang komen tu kata saya mulut “laser”, dia sebenarnya lagi “laser”. Kalau dia tak “laser”, kenapa dia mengata kami dalam blog. Ini rancangan ini realiti. Jadi inilah realitinya kami berdua. Cakap saya dalam Tangkap Muat berisi, berikan tips, dan pendidikan ubah imej dengan cara berbual santai. Tak perlu nak formal sangat, macam rancangan yang sedia ada. Inilah kelainan yang ada pada Tangkap Muat.

Cara anda bercakap lembut, tapi dalam diam suka cakap lepas kepada peserta.

Rancangan realiti yang sensasi ini tidak ada skrip. Semua idea spontan daripada kami berdua. Ingat senang? Kami sebenarnya bukan “laser”, tapi itu hanyalah senda yang spontan. Yang hairannya, para peserta Tangkap Muat pun tak mengata kami, malah mereka jadi rakan rapat dan sering menghubungi kami. Kalau dia orang sendiri yang tak puas hati, tak akan begitu jadinya? Apa yang penting kami tak sentuh hal-hal sensitif berkaitan agama dan bangsa sudah memadai. Zul pun sama juga. Tapi taklah sentiasa macam tu. Ada tempat-tempatnya la. Kalau dengan klien saya kenalah formal. Kalau sembang-sembang dengan kawan macam tu lah. Siapa yang tak kenal dengan mulut “laser” Zulfazli dalam industri ni? Mana artis, mana wartawan yang tak tahu dengan mulut dia. Selain Zul kita ada ramai kawan yang cakap lepas. Yang lebih “laser” pun ada. Tak hairan pun. Kalau orang tak suka dengan mulut kami ni, dah ramai yang angkat kaki tak nak berkawan dengan kita orang.

Rasa-rasanya ramai ke penonton yang kenal anda di luar sana?

Saya sedar yang saya ni baru lagi. Itu sebabnya rancangan ini masih menggunakan hos popular macam Sarimah Ibrahim yang turut membantu menghidupkan Tangkap Muat. Tapi bak kata Zulfazli, kalau tak popular takkan saya jadi hos rancangan tu? Macam Zulfazli pun popular juga, dua produk kecantikan nak ambil dia jadi juru cakap. Tak popular lagi?

Patutkah dilabelkan hos mulut jahat?

Walaupun saya “laser”, tapi kena ingat. “Laser” pun ada isi. Tapi kami tak maki orang. “Laser” dengan maki berbeza. Lainlah saya maki hamun peserta, itu kami terima kalau dikritik. Setakat “laser” usik mengusik ni… hal yang remehlah. Sebelum kami, dah ada personaliti yang dilabel sebagai mulut “laser”, jadi apalah sangat saya nikan?

Kau orang ni tak ikut skrip ke waktu kerja?

Skrip memang tak disediakan, cuma yang ada hanya garis panduan saja. Bila kami bertemu dengan peserta, barulah kami bincang apa yang hendak diperkatakan.

Fazura keluarkan produk kecantikan


BARU-BARU ini kawan baik Joyah yang wajahnya persis Madonna mengkhabarkan kepada Joyah satu berita tentang Fazura yang sekarang tengah hangat dengan filemnya Pisau Cukur.

Khabarnya Fazura yang cantik dan bergaya ini akan mengeluarkan produk kecantikan. Joyah tak pasti produk kecantikan sendiri ke atau menjadi duta kepada jenama antarabangsa.

Kalau nak tahu produk apa, kawan Joyah itu kata, kenalah tunggu 6 November ini kerana pada tarikh itu akan menamatkan segala teka-teki.

Wah! Buat kejutan nampaknya Fazura. Yang pasti, Fazura akan ada rangkaian produk kecantikan diri. Wah! Patutlah wajah Fazura semakin berseri-seri dan semakin mulus sekarang.

Khabarnya sejak akhir-akhir ini pun Fazura bukan main sibuk dengan urusan produknya sampaikan nak atur sesi fotografi pun payah bukan main.

Kawan Joyah itu memberitahu memang sekarang Fazura sering berulang-alik ke Singapura. Mungkinkah kerana menyelesaikan urusan perniagaan ini?

Nasha Aziz nak kahwin?


DAH lama Joyah tak dengar khabar berita Nasha Aziz yang sekarang ini Joyah lihat semakin cantik dan anggun. Masa temannya Umie Aida bertunang tempoh hari dia turut hadir memeriahkan majlis tapi Joyah tak sempat bertemu dengannya sebab dia balik awal.

Teringin juga nak bersembang-sembang dengan Nasha. Iyalah, dah lama tak jumpa dan Nasha sendiri pun nampaknya sejak kebelakangan ini seolah-olah ‘mengelak’ dengan media.

Joyah tak pastilah mengapa. Nak kata tak berlakon lagi, ada pula drama-drama lakonannya di televisyen.

Mungkin kot dia mengelak sebab malas nak layan soalan tentang hubungan cintanya dengan Nur Iman Tang.

Tak kisahlah... Yang penting Joyah dengar Nasha nak kahwin. Betul ke Nasha? Dengarnya dalam tahun ini juga tapi Joyah tak pastilah pula bila.

Kalau tahun ini rasanya tak lama lagilah dia akan mendirikan rumah tangga. Sebab sekarang pun dah nak masuk hujung tahun.

Nasha pula kalau jumpa awal-awal pesan tak mahu cakap soal peribadi. Apalagi si Iman yang Joyah dengar amat pemalu orangnya.

Tapi yang penting, kata seorang teman Joyah, Iman yang dulunya kurus dah semakin berisi sekarang.

Senang hatilah katakan. Dapat kekasih cantik dan manja. Dan lebih penting, tak lama lagi nak kahwin.

Tahniahlah Joyah ucapkan kepada pasangan ini kalau benar mereka dah nak kahwin. Cuma Joyah harap, Nasha dan Iman tak lupa melayangkan kad jemputan kepada Joyah sudahlah ya!

Isu buka baju lagi! - Akon


NAMPAKNYA kes artis buka baju tak habis-habis. Setiap kali penyanyi atau band luar negara ke Malaysia, mesti ada yang buat perangai. Kali ini penyanyi Akon pula buat hal! Dia ‘buka baju’ ketika membuat persembahan Akon Freedom Beach 2009 yang berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon minggu lepas.

Iyalah, dah buat di tempat terbuka di ‘tepi pantai’, mestilah panas. Tapi dalam dok panas, dia hangatkan keadaan dengan ‘terjun’ ke lautan peminat tanpa berbaju.

Sebenarnya kalau ikutkan Wanda, apa sangatlah kes-kes buka baju ini. Tak hairan pun sebab memang bentuk badan mereka cantik berotot.

Malah kalau di negara mereka, memang begitulah sikap mereka di pentas. Mungkin lebih teruk. Cuma bak kata pepatah Melayu, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum.

Seharusnya artis luar kenalah pandai bawa diri. Jangan ikut sedap hati. Itu baru namanya pandai menghormati. Lebih-lebih lagi bila datang ke rumah orang lain. Nak tak nak kenalah ikut.

Wanda pasti artis yang dijemput untuk mengadakan persembahan di dalam negara ini sudah diberikan garis panduan jika mahu menghibur.

Bukan sahaja soal buka baju, mengenakan pakaian yang terlalu seksi juga rasanya tidak dibenarkan. Jadi ikut sahajalah. Apa yang susah sangat pun Wanda tak tahu.

Di lokasi yang sama beberapa tahun lepas, Pussy Cat Dolls juga pernah menghangatkan suasana ‘tepi pantai’ itu dengan tarian dan baju yang seksi sambil ditonton oleh peminat mereka yang muda remaja.

Kalau perkara begini berterusan, Wanda rasa pihak penguatkuasa perlu lebih tegas melaksanakan garis panduan dan syarat kemasukan artis luar.

Kalau artis sudah tidak dapat dikawal kenalah promoter bertanggungjawab. Mungkin penguatkuasa boleh kenakan amaran kepada penganjur / promoter atau jika dua tiga kali perkara yang berlaku maka kenakan denda kepada mereka.

Mungkin idea ini kelihatan seperti tidak logik atau relevan tapi ia mungkin itu boleh ‘mengajar’ promoter yang mahu bawa masuk artis antarabangsa agar lebih berhati-hati dan tegas dengan pendirian untuk mengikuti syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Sebab kes buka baju begini memang antara perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada sebuah pementasan di dalam negara ini.

Jadi artis dan promoter mahu tak mahu kenalah tahu menghormati sensitiviti masyarakat tempatan. Jangan main ikut sedap kata mereka sahaja.

Kalau artis tempatan buat perangai sama (buka baju) pandai pula kita marah-marah. Sampaikan kena gam artis itu walaupun berbakat besar.

Tak boleh keluar siaran langsung di kaca televisyen dan kena pula buat kerja-kerja kemasyarakatan untuk beberapa bulan.

Semuanya atas alasan untuk memberi pengajaran. Macam mana pula kalau artis luar yang berbuat perkara yang sama?

Apakah kita mahu dia juga melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di negara dan lagu mereka tidak boleh keluar di radio mahupun di kaca televisyen?

Apa kata selepas ini kalau artis antarabangsa yang buka baju kita kenakan undang-undang yang sama? Baru orang kata adil dan saksama.

Diana Danielle mimpi dipeluk Natrah


MASA berborak dengan Niezam baru-baru ni, pelakon Diana Danielle yang cantik manis bercerita yang dia sebenarnya berat hati menarik diri berlakon teater Natrah. Teater arahan Erma Fatima itu akan dipentaskan di Istana Budaya pada 30 November ini.

Gara-gara terbawa-bawa masalah akibat penarikan diri itu, kata Diana pada suatu malam dia bermimpi didatangi seorang wanita bernama Natrah.

Dalam mimpi itu Natrah telah memeluknya. Mimpi itu berlaku dua hari selepas dia membuat keputusan tarik diri.

“Saya kenal Natrah selepas tengok poster yang ada gambar dia. Pada satu malam tu masa saya tidur, saya mimpi wanita yang berwajah seperti Natrah datang memeluk saya. Saya yakin Natrah datang kepada saya,” kata Diana.

Tambah Diana, dia menganggap mimpi itu mungkin kerana Natrah kecewa kerana dia menarik diri teater berkenaan. Tapi Diana tak boleh nak cakap apa sebab keputusan mengenainya sudah dibuat. Diana tanya Niezam selain tanggapan tersebut, apa makna lain mengenai mimpi itu?

Entahlah Diana, abang Niezam ni tak pandai nak tilik pasal mimpi. Mungkin tidur tak basuh kaki kut?

Engku Emran tinggalkan Suria FM?


Eh... betul ke berita yang Niezam dengar ni? Ataupun satu spekulasi yang dibuat atau disebarkan untuk mengejar rating? Tapi itulah... Nampaknya stesen radio Suria FM sudah mengeluarkan cahaya suria yang semakin panas.

Sebelum ni ada beberapa staf stesen radio itu dah meletak jawatan seperti KC Ismail, Zaryn, Zana (AF) dan terbaru pula deejay Akhtar. Bulan lepas pengarah Rancangannya iaitu Subi telah ditukar ke bahagian lain.

Terbaru Niezam dapat tahu Ketua Pegawai Operasinya (COO) iaitu Engku Emran Engku Zainal Abidin yang popular tu pun akan ikut langkah serupa untuk meninggalkan stesen radio itu.

Sejauhmana benar cerita ini tak dapat dipastikan sebab bila Niezam korek dari sumber Suria FM sendiri, mereka semua bagi jawapan tak dengar apa-apa. Ataupun mereka sengaja nak simpan rahsia ni sehingga pengumuman rasmi dibuat.

Menurut sumber pula pengunduran Emran disebabkan rating terbaru yang dikeluarkan menunjukkan pendengar Suria FM merosot berbanding tahun lepas.

Disebabkan tak nak pening kepala, Emran buat keputusan untuk “chow chin chow” sajalah. Dalam masa yang sama khabarnya Emran mendapat tawaran lebih tinggi dengan syarikat penyiaran lain. Wah... bagus!

Tapi kalau soal rating dijadikan ukuran untuk meletak jawatan tu kira tak adillah. Bukan apa, rating yang dikeluarkan pun kadang-kadang bukan boleh percaya sangat sebab sistem tinjauan yang dibuat mungkin boleh dipersoalkan.

Tapi khabarnya juga ada beberapa nama yang sudah dikenal pasti untuk dipancing masuk ke stesen radio itu.

“Ada individu yang hebat berkemungkinan akan dipanggil untuk menyertai Suria FM. Mungkinkah orang dari stesen radio milik Astro? Siapa tahukan?,” kata sumber itu.

Harap-harap kalau benar Engku Emran nak tinggalkan stesen radio itu, fikirlah semasak-masaknya sebab Emran bukannya orang baru dalam bidang penyiaran radio ni. Tapi kalau dah ada offer sepuluh kali ganda, apa salahnya nak cabut...!

Awal & Fahrin kena senarai hitam


APA pula jadi dengan dua bintang filem hebat Awal Ashaari dan Fahrin Ahmad ni? Dia orang buat salah apa sampai disenarai hitamkan dan tak boleh keluar negara? Jangan terkejut pula. Dia orang tak bunuh orang pun cuma khabarnya ada hutang yang tak dibayar.

Dalam minggu lepas ada orang tanya Niezam macam mana nak cari Awal dan Fahrin sebab nak bagi tahu berita sedih kepada mereka?

Orang itu minta Niezam sampaikan, buat masa ni mereka tak boleh pergi luar negara takut nanti ditahan oleh pihak Imigresen.

Jadi, orang berkenaan minta Awal dan Fahrin jelaskan dulu hutang tertangguh dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Kata orang itu lagi, Awal dan Fahrin ada buat pinjaman dengan tabung berkenaan ketika mereka belajar di UiTM Shah Alam tak lama dulu. Fahrin garaduan ijazah dalam bidang undang-undang manakala Awal pula diploma komunikasi di universiti berkenaan.

Tapi Awal sempat menyambung pelajaran di Universiti Limkokwing dan memiliki ijazah dalam bidang filem & Televisyen.

“Kalau Niezam jumpa dia orang tolong beritahu berita ni ya. Saya ni peminat dia orang. Tak mahu nanti timbul masalah pula bila dia orang nak keluar negara,” kata orang itu.

Menurut sumber PTPTN pula, nama Fahrin dan Awal baru saja disenaraihitamkan apabila agensi itu gagal mendapatkan respons selepas notis tuntutan dihantar.

Kepada Fahrin dan Awal, jangan nanti jadi macam Faizal Tahir pula. Gara-gara hutang PTPTN, dia hampir-hampir tak boleh ke Jakarta untuk Anugerah Planet Muzik tak lama dulu.

“Awie, ‘ana’ minta maaf”


DUGAAN lagi! Selepas reda isu perkahwinannya dengan penyanyi Waheeda pada Ogos lalu, penyanyi nasyid Akhil Hayy, 40, berhadapan dengan ujian kedua. Kali ini vokalis kumpulan Wings iaitu Awie, 42, menempelak Akhil gara-gara penceramah selebriti tersebut memberi kenyataan yang kurang disenanginya.

Dalam sebuah akhbar, Akhil memberi pandangan mengenai ajaran sesat yang kononnya disertai segelintir artis.

Akhil menasihati golongan berkenaan agar tidak terlibat dengan ajaran berkenaan selain mereka harus menjadi ikon yang perlu dicontohi. Kenyataan itu pula dilihat Awie seolah-oleh menggambarkan golongan artis tidak mengambil berat kehidupan dunia dan akhirat.

Malah Awie turut mengaitkan kisah rumah tangga Akhil yang tidak patut dijadikan contoh sebaliknya penceramah itu wajar “cermin diri” sebelum memberi sebarang kenyataan.

Petang Khamis lalu saya cuba mendapatkan Akhil yang sibuk membuat persiapan majlis resepsi persandingan dia dengan Waheeda yang diadakan di Dewan Guthrie, Bukit Jelutong, Shah Alam, semalam.

Pada mulanya Akhil yang juga pengacara program dakwah saluran Astro Oasis itu enggan menjawab persoalan berkenaan. Kata Akhil dia tak mahu mengeruhkan suasana dan bimbang kenyataannya itu akan disalah ertikan. Cuba meyakinkan dia mengenai tujuan artikel ini, kata Akhil dia tidak bermaksud untuk mengguris hati sesiapa.

“Sebagai manusia biasa, ana (saya) memohon maaf kepada individu yang tersinggung. Kepada Awie juga ana minta maaf,” kata Akhil yang saya biasa memanggilnya dengan gelaran ustaz.

Saya juga cuba mendapatkan Awie tetapi panggilan telefon tidak dijawab sementara SMS yang dikirimkan juga tidak berbalas. Mungkin sibuk dengan Cuci The Musical yang dipentaskan di Istana Budaya sehingga 8 November ini.

Ikuti penjelasan Akhil kepada saya, NIEZAM ABDULLAH adakah dia dan Awie bermusuh?

Bagaimana dengan persiapan persandingan yang akan diadakan?

Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar. Ana dan Wawa (Waheeda) buat secara sederhana saja. Faham-faham sajalah keadaan ekonomi pun tak mengizinkan. Tapi kami tetap mengundang artis-artis untuk buat persembahan. Majlis ini lebih kepada mengeratkan silaturahim sesama keluarga.

Sebelum saya tanya soalan lain, bagaimana kehidupan ustaz selepas kahwin? Boleh hadapi ujian dikutuk oleh orang ramai?

Bagi ana yang lepas itu biarkanlah lepas. Soal jodoh ni, kita buat apa yang terbaik. Apa orang nak kata lepas ni ana tak boleh komen apa-apa. Cuma yang ana boleh cakap, orang mukmin itu tak akan tenang selagi tak meniti titian siratulmustakim. Apa yang penting selepas kahwin, Wawa pula nak tumpukan sepenuh perhatian dalam rumah tangga dan anak-anak. Dia pun dah buat keputusan tinggalkan dunia seni.

Apa masalah ustaz dengan Awie? Panas nampaknya!

Ana tak ada masalah apa dengan dia. Cuma satu hari tu ada wartawan telefon ana dan minta pandangan mengenai ajaran sesat melibatkan artis. Ana bagi komen secara umum. Tak tuju pun kepada sesiapa. Tiba-tiba ana dapati Awie bagi amaran kepada ana supaya minta diam.

Ustaz terkejut?

Terkejut juga. Kawan-kawan ana pun ramai yang tanya kenapa Awie melenting sebab kenyataan ana tak sebut pun nama sesiapa. Ana tak pernah ada musuh dengan artis. Ana hormat kerja artis sebab ana pun duduk dalam bidang yang sama. Selama ni orang pun pernah kritik ana dan ana okey saja. Itulah... wartawan yang berkenaan pun satu. Lepas dia tanya ana, dia pergi pula tanya Awie. Mungkin wartawan itu memberikan gambaran yang tak betul. Sebab itulah Awie melenting.

Ustaz kata nak berdakwah. Cara ustaz itu mungkin orang tak boleh terima.

Hakikatnya sebagai pendakwah, kita kena sampaikan sesuatu benda yang kita anggap tak betul. Dan tujuan ana baik kerana dari segi hukum memang kita perlu buat macam tu iaitu menegur apa yang kita rasakan perlu. Kalau kita diam, maksiat akan jalan terus. Jadi tak salah ana bagi nasihat benda yang benar. Ana tahu tak semua orang boleh dengar teguran kita. Cuma ana bercakap atas dasar dakwah. Kalau ada orang terasa dan Awie pun terasa, ana minta maaf banyak-banyak.

Sebelum ni ustaz pernah ada masalah atau tidak dengan Awie ataupun Wings?

Ana tak ada masalah langsung dengan Awie. Sebelum ni pun lagu-lagu Wings ana pernah bawa (menyanyi). Kalau nak fikirkan buat apa ana sengaja nak timbulkan masalah dengan Wings? Ana dulu pun rock juga. Buat apa nak timbul masalah dengan rakan-rakan rock terutama Awie?

Ustaz merasakan pihak media yang bertanyakan hal berkenaan sengaja membuat provokasi kepada Awie, macam tu?

Awie marah ana sebab dia terasa. Sebenarnya ana jawab apa yang diminta (media). Mungkin olahan itu disalahertikan. Yalah... kadang-kadang kita bercakap lembut tapi orang lain faham lain pula. Itulah media. Ana dah pesan jangan babitkan ana dengan sesiapa. Tapi esoknya ana dan Awie keluar muka depan. Itu yang jadi masalah. Kalau ana jadi Awie pun ana melenting. Ana nasihatkan media pun kenalah berhati-hati juga.

Industri kita ni kecil saja ustaz. Pusing-pusing kita akan jumpa balik.

Memang pun. Ana tahu. Sebab itu awal-awal lagi ana minta maaf walaupun ana bukan bersalah. Kecoh-kecoh macam ni ana tak nak. Apa yang ana cakap benda berkaitan agama. Bukan yang karut-marut. Ana tahu di keliling ana ialah artis. Ana cakap pun bukan membuta tuli. Ana cakap atas dasar ana sayang pada sahabat. Ana tak berniat nak aibkan mana-mana pihak.

Nanti orang kata ustaz nak tarbiah artis pula.

Ana tak letakkan diri ana macam tu. Kalau nak tarbiah artis itu urusan pihak kementerian dengan Jabatan Agama Islam. Dia orang boleh buat kelas untuk para artis. Benda ni tak buat. Sebab tu kalau ada majlis ilmu, hanya ada segelintir saja artis. Kalau kita bercakap lebih, orang kata kita ulama besar pula. Ana pun tak mahu jadi jaguh. Ana tak perlukan semua tu. Ruang dakwah ana ada dalam masyarakat. Masjid ada, surau ada untuk ana.

Apa pandangan ustaz apabila usaha murni ustaz itu dipertikaikan dan hal mengenai rumah tangga ustaz sebelum ini cuba dikaitkan pula?

Soal perceraian ana tu soal peribadi. Alim ulama pun ada yang bercerai juga. Jadi ustaz pun hal peribadi juga. Ada orang kata ana ni baru setahun jagung, dah nak berdakwah. Ana berdakwah dah 15 tahun. Malah kalau nak ikutkan, ana dengan Awie juga pernah satu aliran tak lama dulu.

Apa yang ustaz harapkan mengenai hubungan ustaz dengan Awie tu?

Kami “satu kapal” (sesama rock). Ana baik dengan dia orang. Kami tahu kami di mana. Kita orang tak pernah bermusuh. Dalam rock, kami dalam satu genre muzik. Harap-harap antara kami tak ada yang terasa. Apa yang boleh ana katakan, manusia boleh mencari seribu musuh sehari tapi dia sukar mencari seorang teman sejati dalam seribu tahun. Sebagai Muslim dan sahabat, ana memohon maaf sekali lagi daripada Awie.

Raja Farah Hati yang patah


SUDAH agak lama wanita ini tidak berpeluang untuk menjadi penghias cover Pancaindera. Kali terakhir pada 2007 ketika dia berusia 19 tahun. Dan pada minggu lalu saya memberi peluang kepada Raja Farah Raja Aziz ini untuk muncul sebagai penghias cover Pancaindera selepas dua tahun tidak diberi peluang itu.

Ya... itu pun apabila dalam satu majlis berbuka puasa yang lalu saya bertemu Farah. Saya bertanyakan perkembangan terbaru.

Secara jujur, Farah membisikkan kepada saya yang dia baru lepas kecewa.

Hatinya sedang hancur berkecai ketika itu. Dia sedang bersedih. Saya faham bagaimana hati orang yang dilanda musibah cinta. Perit dan sukar untuk ditanggung.

Bak kata seorang teman, putus cinta lebih sakit daripada putus tangan. Teman saya itu sanggup putus tangan daripada cinta.

Itu teman saya. Tapi kalau saya kedua-duanya saya tak sanggup. Sakit putus tangan walaupun sekejap tetapi kudung sampai mati.

Dan istilah cinta diri saya walaupun peritnya macam nak mati, saya tak sanggup mati kerana cinta.

Selepas mendengar berita kesedihan Farah, saya mengatur pertemuan dengannya tetapi dia sibuk 24 jam.

Akhirnya pada minggu lepas barulah hasrat itu menjadi kenyataan.

*Kunci kebebasan

Kali pertama saya bertemu Farah dua tahun lalu, wanita ini tidak banyak berbicara. Macam takut-takut nampaknya.

Helo adik, abang tak telan orang ya. Jangan nak takut. Mungkin waktu itu dia masih muda remaja. Ke mana pergi kecuali ke bilik air, wajib ditemani ibunya.

Dan pada minggu lalu, Farah masih bersama ibunya tetapi kali ini dia lebih ceria.

Kenapa? Ya... pada 5 Julai lalu genaplah usianya yang ke 21 tahun.

Kata orang, kalau sudah masuk umur 21 tahun, selain sudah boleh pergi mengundi tetapi boleh dianggap permulaan menjadi seorang dewasa.

“Farah dah dewasa. Ibu dah bagi kunci,” katanya.

Bukan kunci kereta, bas atau lori tetapi kunci sebuah kebebasan.

Seperti sebelum- sebelum ini, Farah tetap ditemani ibu tersayang, Fariza Abu Sama, 52.

Saya berkata kalau sudah masuk 21 tahun dan sudah bebas, kenapa perlu si ibu menemani Farah?

Jawab Farah, ibunya dalam proses nak lepaskan Farah perlahan-lahan.

Bukan bimbang apa-apa pun cuma dia takut anak gadisnya itu diganggu orang.

“Selalunya kalau ada ibu, dia yang jaga Farah dari A sampai Z. Bila dah masuk 21 tahun ni, ibu nak Farah berdikari. Cuma Farah pula yang rasa sunyi kalau ibu tak jadi peneman Farah,” katanya.

Sampuk ibunya, kadang-kadang dia bimbang Farah memandu lewat malam ketika pulang dari lokasi penggambaran. Takut dia mengantuk dan berlaku kejadian yang tak diingini di tengah jalan.

Dan peristiwa diekori sekumpulan lelaki dengan sebuah kereta tak lama dulu masih lagi menghantui fikiran dua beranak ini.

Kata Farah semasa habis penggambaran pada waktu malam, tiba-tiba di lebuh raya ada sebuah kereta menghampiri mereka.

Sambil memberi isyarat seperti hendak mengurat, lelaki di dalam kenderaan berkenaan cuba mengganggu tumpuannya memandu.

Mereka terputus hubungan apabila Farah membelok ke susur keluar lain untuk pulang ke rumah.

Peristiwa itu menakutkan Farah menyebabkan dia memerlukan seseorang sebagai peneman walaupun ibunya sudah “melepaskannya.”

“Ya... kadang-kadang Farah takut juga balik seorang diri. Tapi tak apalah... kalau ibu jadi peneman Farah lagi baik. Walaupun dah masuk 21 tahun, tak semua benda yang ibu benarkan. Ada yang dia nak temankan juga,” ujarnya.

*Hampir nak bertunang

Sebelum ini Farah tak terbuka untuk berbicara soal teman lelaki. Tetapi kali ini dia lebih suka berterus terang.

Satu perkembangan yang baik. Yalah... jangan nak hipokrit. Takut nanti orang menyampah.

Bercerita kisah itu, ujar Farah dia hampir-hampir nak bertunang dengan seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan.

Tapi sayang sekali selepas satu tahun bercinta, pada bulan Februari lalu Farah menerima berita yang kurang baik apabila si lelaki memohon untuk memutuskan hubungan.

Alasannya, lelaki itu tidak boleh menerima jadual kerjaya Farah yang tidak tentu masa. Dalam erti kata lain pelakon mungkin tidak sesuai menjadi isterinya.

Tidak menafikan terkejut dengan berita itu, Farah mengakui hatinya benar-benar sedih.

Manakan tidak, hanya alasan itu dan bukannya kerana orang ketiga, cinta yang dibina terpaksa diruntuhkan.

“Puas juga Farah menanggung sengsara kerana putus cinta. Memang sakit walaupun tak nampak tapi syukurlah, Farah dapat menghadapinya,” kata Farah.

Berusaha menyibukkan diri, Farah turut mengambil lesen menyelam untuk memastikan cintanya terhadap lelaki itu dapat dilupakan terus.

Tidak boleh berbohong kadang-kadang apabila kesunyian, dia tetap mengingati saat-saat manis mereka bersama.

Tetapi apa boleh buat, tidak ada jodoh. Mahu tak mahu terpaksa juga lupakan saat indah itu walaupun sukar untuk dipadamkan.

“Mula-mula Farah rasa macam dah serik nak bercinta. Yalah... tak sanggup hadapi penderitaan itu. Tetapi bila difikir-fikirkan buat apa kita nak jadi macam itu? Tak ada faedahnya.

“Nasib baik ada kawan yang dapat membantunya mengurangkan rasa sakit itu,” jelasnya.

Apabila ditanya bagaimana selepas ini jika ada lelaki yang cuba menggoda.

Lantas jawab Farah, biarlah dulu. Dia tidak mahu terburu-buru mencari pengganti.

Tetapi jika ditakdirkan ringan jodohnya, itu perkara lain.

Bukannya apa, Farah takut dia bertemu dengan lelaki yang hendak mengambil kesempatan dan sekadar bercinta untuk suka-suka.

“Tak ramai orang bercinta dengan kita kerana dia sayangkan kita. Ada yang nak ambil kesempatan saja. Itu yang Farah cuba elak,” jelasnya.

Yang lebih penting kalau ada mana-mana lelaki yang jatuh cinta dengan Farah, mereka hendaklah lulus ujian keluarga.

Kata Farah, ibunya akan menilai setiap lelaki yang hendak berkawan dengannya.

Mentang-mentanglah Farah wanita tunggal dalam empat beradik itu, tentulah dia lebih disayangi daripada adik-beradiknya yang lain.

“Lelaki pilihan Farah senang saja. Kalau ibu dan keluarga suka, tak kisahlah. Yang penting mereka kena hormat orang tua Farah terlebih dahulu. Kalau nak ajak keluar pun kena minta kebenaran keluarga,” katanya.

Hangat dengan drama bersiri 26 episod, Kau Dan Aku siaran Astro Ria sejak 24 Oktober lalu, Farah bertuah kerana sejak enam tahun menjadi pelakon, dia sudah mampu membahagiakan keluarganya.

Buktinya dia sudah memiliki sebuah rumah teres enam bilik di Shah Alam. Hadiah istimewa itu adalah untuk keluarga yang selama ini banyak berkorban untuk Farah.

Mungkin kerana itu dia terpaksa melupakan hasrat menyambung pelajaran buat sementara waktu kerana perlu bekerja keras untuk mengumpul wang membiayai pinjaman rumah dan kereta.

“Saya mungkin bertuah berbanding remaja lain kerana dalam usia 21 tahun saya dah ada rumah sendiri. Itu semua wang hasil lakonan saya.

“Bila sebut soal pelajaran, memang ada hasrat untuk sambung tetapi buat masa ini biarlah saya cari wang dulu untuk selesaikan perkara-perkara yang penting,” katanya.

Jelas Farah, sesuatu yang amat penting dalam hidupnya ialah apa yang dilakukan selama ini ialah untuk membahagiakan keluarganya.

Akhil: Saya bersyukur Waheeda 'ibu segera' anak-anak saya


RIAK ceria kedua mempelai, penceramah bebas dan penyanyi Akhil Hayy dengan penyanyi dan pelakon Waheeda menggambarkan mereka sedang berbahagia melayari bahtera perkahwinan ini.

Pasangan yang dinikahkan pada 16 Ogos lalu ini nampak begitu mesra dan manja antara satu sama lain ketika majlis resepsi perkahwinan mereka yang berlangsung di Dewan Guthrie, Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini.

Walaupun perkahwinan mereka sebelum ini berlangsung penuh ‘kontroversi’, namun majlis itu tetap meriah dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu yang terdiri daripada kaum keluarga, sanak saudara dan rakan taulan.

Dengan konsep pelamin ‘stail Moroccan’ yang diilhamkan oleh kawan baik Waheeda iaitu Aim dari Magical Touch, pengantin perempuan bergaya dengan jubah hitam bersama tudung dan ‘veil’ kuning serta solekan nipis dengan sentuhannya sendiri manakala penganti lelaki segak dengan jubah seluar hitam.

Secara gurau bertanya di mana kopiah Akhil, dengan selamba dia menjawab ‘pakaian bukan melambangkan keimanan seseorang’.

Namun begitu baginya, ‘inilah sebenarnya perkahwinan sebab dulu saya dan bekas isteri hanya bernikah sahaja dan tiada majlis resepsi seperti ini’.

“Ikutkan kami hanya nak buat majlis nikah dan makan-makan tetapi atas permintaan kedua-dua belah keluarga, kami akhirnya bersetuju untuk melakukan majlis resepsiini.

“Kami bukannya bersanding tetapi lebih kepada mengeratkan silaturahim dan pelamin sekadar untuk bergambar,” tuturnya mengenai majlis yang turut dihadiri oleh penyanyi dan pelakon Mawi bersama isterinya, Ekin.

Secara spontan, Akhil mengusap lembut pipi Waheeda ketika temubual dilakukan dan isterinya itu hanya membalas dengan senyuman manja.

Tambah Akhil, “saya bersyukur sebab dia menjadi ‘ibu segera’ untuk anak-anak saya. Saya ambil dia sebagai amanah...

“Kami faham apa yang kami lalui sebelum ini dan bertuah juga kerana mempunyai keluarga yang turut memahami kami.

“Selepas berkahwin sekarang, saya tetap ‘maintain’ macam dulu dan mendambakan keluarga bahagia seperti orang lain..kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan.”

Waheeda pula menyimpulkan dirinya lebih ‘terkawal’ setelah berkahwin dengan Akhil.

“Kalau dulu, iman dan nafsu saya berbolak-balik tetapi sekarang banyak yang saya pelajari dari suami seperti tanggungjawab kepada Allah, suami dan keluarga,” beritahunya dalam nada gembira.

Akhil tidak berniat memisahkan anak-anak

Ketika majlis itu berlangsung, hanya dua anak Akhil dengan bekas isterinya, Maizawati Zainal yang berada bersamanya.

Jelas Akhil, memang Siti Nur Maisarah, 12 dan Mohd Syarif Idayatullah, 11, tinggal bersamanya dan Waheeda di Damansara.

Ditanya tidakkah tindakannya itu boleh membuatkan dua anaknya itu terpisah dengan dua beradik lain, Mohd Syatiri Idayatullah, 2, dan Mohd Syakir Idayatullah, 8, yang kini tinggal bersama Maiza.

Akhil sebelum itu memohon maaf terlebih dahulu kerana takut ada pihak lain yang terasa. Yang penting dia menjaga anak-anak yang berada di depan matanya dan biar Allah menentukan segalanya yang akan berlaku kemudian hari.

“Tiada bapa yang tidak ingat anak-anak.. perpisahan hanya berlaku antara ibu dan bapa, bukannya dengan anak-anak,” ujarnya ringkas.

Waheeda pula menambah, “Kami izinkan dua beradik itu untuk berhubung dengan adik-beradik yang lain kerana silaturahim itu penting.”

Penyanyi popular lagu ‘Wassini’ ini juga bersyukur kerana kedua anak Akhil menerima dirinya seadanya dan memanggilnya ‘mama’.

“Alhamdulillah, saya terharu dengan penerimaan mereka. Setelah menjadi ibu kepada dua anak ini, saya semakin sibuk mengendalikan makan minum dan aktiviti harian mereka sehingga langsung tidak terfikir untuk kembali ke bidang seni.

“Walaupun mereka bukan anak kandung saya, saya tetap memberikan kasih sayang yang sama rata.

“Letih macamana pun, saya terpaksa berkorban demi kebahagiaan anak-anak ini,” beritahunya disusuli dengan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu menjayakan majlis ini termasuk Nasyid. Com.

Majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan dilangsungkan di Gopeng, Perak pada 7 November ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails