Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Raja Farah Hati yang patah


SUDAH agak lama wanita ini tidak berpeluang untuk menjadi penghias cover Pancaindera. Kali terakhir pada 2007 ketika dia berusia 19 tahun. Dan pada minggu lalu saya memberi peluang kepada Raja Farah Raja Aziz ini untuk muncul sebagai penghias cover Pancaindera selepas dua tahun tidak diberi peluang itu.

Ya... itu pun apabila dalam satu majlis berbuka puasa yang lalu saya bertemu Farah. Saya bertanyakan perkembangan terbaru.

Secara jujur, Farah membisikkan kepada saya yang dia baru lepas kecewa.

Hatinya sedang hancur berkecai ketika itu. Dia sedang bersedih. Saya faham bagaimana hati orang yang dilanda musibah cinta. Perit dan sukar untuk ditanggung.

Bak kata seorang teman, putus cinta lebih sakit daripada putus tangan. Teman saya itu sanggup putus tangan daripada cinta.

Itu teman saya. Tapi kalau saya kedua-duanya saya tak sanggup. Sakit putus tangan walaupun sekejap tetapi kudung sampai mati.

Dan istilah cinta diri saya walaupun peritnya macam nak mati, saya tak sanggup mati kerana cinta.

Selepas mendengar berita kesedihan Farah, saya mengatur pertemuan dengannya tetapi dia sibuk 24 jam.

Akhirnya pada minggu lepas barulah hasrat itu menjadi kenyataan.

*Kunci kebebasan

Kali pertama saya bertemu Farah dua tahun lalu, wanita ini tidak banyak berbicara. Macam takut-takut nampaknya.

Helo adik, abang tak telan orang ya. Jangan nak takut. Mungkin waktu itu dia masih muda remaja. Ke mana pergi kecuali ke bilik air, wajib ditemani ibunya.

Dan pada minggu lalu, Farah masih bersama ibunya tetapi kali ini dia lebih ceria.

Kenapa? Ya... pada 5 Julai lalu genaplah usianya yang ke 21 tahun.

Kata orang, kalau sudah masuk umur 21 tahun, selain sudah boleh pergi mengundi tetapi boleh dianggap permulaan menjadi seorang dewasa.

“Farah dah dewasa. Ibu dah bagi kunci,” katanya.

Bukan kunci kereta, bas atau lori tetapi kunci sebuah kebebasan.

Seperti sebelum- sebelum ini, Farah tetap ditemani ibu tersayang, Fariza Abu Sama, 52.

Saya berkata kalau sudah masuk 21 tahun dan sudah bebas, kenapa perlu si ibu menemani Farah?

Jawab Farah, ibunya dalam proses nak lepaskan Farah perlahan-lahan.

Bukan bimbang apa-apa pun cuma dia takut anak gadisnya itu diganggu orang.

“Selalunya kalau ada ibu, dia yang jaga Farah dari A sampai Z. Bila dah masuk 21 tahun ni, ibu nak Farah berdikari. Cuma Farah pula yang rasa sunyi kalau ibu tak jadi peneman Farah,” katanya.

Sampuk ibunya, kadang-kadang dia bimbang Farah memandu lewat malam ketika pulang dari lokasi penggambaran. Takut dia mengantuk dan berlaku kejadian yang tak diingini di tengah jalan.

Dan peristiwa diekori sekumpulan lelaki dengan sebuah kereta tak lama dulu masih lagi menghantui fikiran dua beranak ini.

Kata Farah semasa habis penggambaran pada waktu malam, tiba-tiba di lebuh raya ada sebuah kereta menghampiri mereka.

Sambil memberi isyarat seperti hendak mengurat, lelaki di dalam kenderaan berkenaan cuba mengganggu tumpuannya memandu.

Mereka terputus hubungan apabila Farah membelok ke susur keluar lain untuk pulang ke rumah.

Peristiwa itu menakutkan Farah menyebabkan dia memerlukan seseorang sebagai peneman walaupun ibunya sudah “melepaskannya.”

“Ya... kadang-kadang Farah takut juga balik seorang diri. Tapi tak apalah... kalau ibu jadi peneman Farah lagi baik. Walaupun dah masuk 21 tahun, tak semua benda yang ibu benarkan. Ada yang dia nak temankan juga,” ujarnya.

*Hampir nak bertunang

Sebelum ini Farah tak terbuka untuk berbicara soal teman lelaki. Tetapi kali ini dia lebih suka berterus terang.

Satu perkembangan yang baik. Yalah... jangan nak hipokrit. Takut nanti orang menyampah.

Bercerita kisah itu, ujar Farah dia hampir-hampir nak bertunang dengan seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan.

Tapi sayang sekali selepas satu tahun bercinta, pada bulan Februari lalu Farah menerima berita yang kurang baik apabila si lelaki memohon untuk memutuskan hubungan.

Alasannya, lelaki itu tidak boleh menerima jadual kerjaya Farah yang tidak tentu masa. Dalam erti kata lain pelakon mungkin tidak sesuai menjadi isterinya.

Tidak menafikan terkejut dengan berita itu, Farah mengakui hatinya benar-benar sedih.

Manakan tidak, hanya alasan itu dan bukannya kerana orang ketiga, cinta yang dibina terpaksa diruntuhkan.

“Puas juga Farah menanggung sengsara kerana putus cinta. Memang sakit walaupun tak nampak tapi syukurlah, Farah dapat menghadapinya,” kata Farah.

Berusaha menyibukkan diri, Farah turut mengambil lesen menyelam untuk memastikan cintanya terhadap lelaki itu dapat dilupakan terus.

Tidak boleh berbohong kadang-kadang apabila kesunyian, dia tetap mengingati saat-saat manis mereka bersama.

Tetapi apa boleh buat, tidak ada jodoh. Mahu tak mahu terpaksa juga lupakan saat indah itu walaupun sukar untuk dipadamkan.

“Mula-mula Farah rasa macam dah serik nak bercinta. Yalah... tak sanggup hadapi penderitaan itu. Tetapi bila difikir-fikirkan buat apa kita nak jadi macam itu? Tak ada faedahnya.

“Nasib baik ada kawan yang dapat membantunya mengurangkan rasa sakit itu,” jelasnya.

Apabila ditanya bagaimana selepas ini jika ada lelaki yang cuba menggoda.

Lantas jawab Farah, biarlah dulu. Dia tidak mahu terburu-buru mencari pengganti.

Tetapi jika ditakdirkan ringan jodohnya, itu perkara lain.

Bukannya apa, Farah takut dia bertemu dengan lelaki yang hendak mengambil kesempatan dan sekadar bercinta untuk suka-suka.

“Tak ramai orang bercinta dengan kita kerana dia sayangkan kita. Ada yang nak ambil kesempatan saja. Itu yang Farah cuba elak,” jelasnya.

Yang lebih penting kalau ada mana-mana lelaki yang jatuh cinta dengan Farah, mereka hendaklah lulus ujian keluarga.

Kata Farah, ibunya akan menilai setiap lelaki yang hendak berkawan dengannya.

Mentang-mentanglah Farah wanita tunggal dalam empat beradik itu, tentulah dia lebih disayangi daripada adik-beradiknya yang lain.

“Lelaki pilihan Farah senang saja. Kalau ibu dan keluarga suka, tak kisahlah. Yang penting mereka kena hormat orang tua Farah terlebih dahulu. Kalau nak ajak keluar pun kena minta kebenaran keluarga,” katanya.

Hangat dengan drama bersiri 26 episod, Kau Dan Aku siaran Astro Ria sejak 24 Oktober lalu, Farah bertuah kerana sejak enam tahun menjadi pelakon, dia sudah mampu membahagiakan keluarganya.

Buktinya dia sudah memiliki sebuah rumah teres enam bilik di Shah Alam. Hadiah istimewa itu adalah untuk keluarga yang selama ini banyak berkorban untuk Farah.

Mungkin kerana itu dia terpaksa melupakan hasrat menyambung pelajaran buat sementara waktu kerana perlu bekerja keras untuk mengumpul wang membiayai pinjaman rumah dan kereta.

“Saya mungkin bertuah berbanding remaja lain kerana dalam usia 21 tahun saya dah ada rumah sendiri. Itu semua wang hasil lakonan saya.

“Bila sebut soal pelajaran, memang ada hasrat untuk sambung tetapi buat masa ini biarlah saya cari wang dulu untuk selesaikan perkara-perkara yang penting,” katanya.

Jelas Farah, sesuatu yang amat penting dalam hidupnya ialah apa yang dilakukan selama ini ialah untuk membahagiakan keluarganya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails