Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Angkasawan Negara Sah Bergelar Suami


PUTRAJAYA: Dengan sekali lafaz, Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor sah bergelar suami kepada Dr Halina Mohd Yunos dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, Ahad.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Yunos Mohd Ali dengan bersaksikan Ketua Pendaftar Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali.

Ia dilakukan kira-kira pada pukul 11.45 pagi di hadapan, keluarga dan sahabat-handai kedua-dua mempelai.

Pasangan yang bertunang pada 1 Januari lalu itu menzahirkan rasa syukur kerana majlis berkenaan berjalan dengan lancar.

"Alhamdulilah semuanya berjalan seperti yang dirancangkan. Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat dan masyarakat yang datang meraikan majlis ini.

"Perancangan saya selepas ini adalah untuk meneruskan tugas yang diamanahkan di samping tanggungjawab sebagai seorang suami," kata Sheikh Muszaphar.

Manakala Dr Halina turut mengakui perasaan gemuruh dan gembira bercampur baur ketika melalui upacara akad nikah.

"Syukur semua sudah selesai, perasaan saya ketika ini bercampur baur sama ada gembira sedih dan terharu kerana melangkah setapak lagi ke fasa hidup berumah tangga," ujarnya.

Ketika ditanya tentang harapan menimang cahaya mata, pasangan ini memberitahu menyerahkan segalanya kepada Allah. Mereka juga dijangka akan menunaikan umrah sambil berbulan madu.

Pada majlis tersebut Dr Halina tampil anggun sementara suaminya tampak kacak apabila mengenakan persalinan berwarna putih rekaan Putra dari butik Cosry.

Sheikh Muszaphar menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas 11 berona putih gading dan perak. Hiasan hantaran turut diserikan dengan warna biru muda.

Bagaimanapun jumlah wang hantaran tidak dimaklumkan atas kehendak kedua-dua belah pihak.

Majlis persandingan akan diadakan malam ini di Putrajaya International Convention Centre (PICC) bertemakan "pahlawan Melayu di istana kayangan".

Lebih 1,000 jemputan akan hadir yang terdiri daripada kerabat diraja, orang kenamaan, ahli keluarga, rakan rapat termasuk 100 angkasawan dari 35 negara serta 20 media antarabangsa.

Aqasha Enggan Isteri Berhenti Kerja


KUALA LUMPUR: Tidak seperti pasangan lain, penyanyi Aqasha, 28, meletakkan syarat agar isterinya, Noor Baizura Mohd Sabri, 27, tidak berhenti kerja.

Bukan kerana mahu mengongkong isteri, sebaliknya penyanyi lagu Cahaya Hati ini ingin isterinya berdikari apabila dia keluar bekerja.

Bagi Aqasha, wanita sepatutnya perlu turut serta menyumbang kepada pendapatan keluarga. Tambahan pula, wanita zaman moden kini lebih terdedah kepada dunia kerjaya.

“Saya nak pasangan saya pandai berdikari serta boleh menjaga diri dan keluarga apabila saya keluar bekerja. Kalau saya mendapat isteri yang lemah-longlai, bagaimana saya nak tinggalkan rumah. Sekurang-kurangnya dia boleh melatih minda dan bersikap responsif,” katanya selepas diijabkabulkan di Lake Fields, di sini, Ahad.

Perkenalan yang tercetus sejak dua tahun lalu tidak disangka mampu membawa dua pasangan ini ke jinjang pelamin. Selepas bertunang pada 23 Mei lalu, akhirnya Aqasha dan Baizura memilih tarikh 10.10.10 untuk disatukan.

Kedua-dua belah pihak pada mulanya tidak merancang untuk memilih tarikh yang penuh dengan simbolik nombor itu.

“Idea untuk memilih tarikh 10.10.10 ini datang secara kebetulan. Dalam keadaan ahli keluarga dan sanak-saudara bertanya tentang bila tarikh perkahwinan kami, terus kami menetapkan 10.10.10. Kebetulan ia jatuh pada hari Ahad. Lagipun, tarikh dan nombor tu cantik dan amat bermakna,” ujar Aqasha sambil tersenyum di samping isterinya.

Semasa majlis yang berlangsung penuh meriah itu, ramai sanak saudara kedua-dua pihak yang hadir. Tidak kurang juga saudara-mara Aqasha yang sanggup datang dari negeri Pantai Timur dan Utara.

Bukan sahaja tarikh yang dipilih tersebut penuh bermakna kepada kedua-dua mempelai ini, malah warna pakaian yang disarungkan ke tubuh mereka iaitu kuning juga mencetuskan makna tersendiri kepada Aqasha kerana dia yang memilih warna kegemarannya itu.

“Kami diibaratkan seperti raja sehari pada hari ini. Jadi, apa salahnya saya memilih warna kuning yang sinonim dengan warna di raja. Kami nak ambil berkat daripada warna ini,” tutur Aqasha, anak sulung daripada tiga beradik ini.

Kedua-duanya bagai pinang di belah dua dan seperti dilahirkan untuk hidup bersama. Jika ditanya kepada Aqasha mahupun Baizura, mereka merasakan seperti saling melengkapi antara satu sama lain.

Di mata Aqasha, Baizura merupakan pilihan yang terbaik untuk menjadi isterinya kerana wanita itu memahami kerjayanya. Selain itu, Baizura yang berkhidmat di jabatan Network Presentation Unit di Astro itu menepati ciri-ciri wanita idaman seperti yang diingini oleh mana-mana lelaki.

Seperti pasangan lain yang baru berumah tangga, kedua-duanya tidak menolak jika dikurniakan anak dalam masa terdekat ini. Jika ada rezeki, mereka menerima dengan hati terbuka.

Tentang perancangan bulan madu, kemungkinan mereka akan memilih pulau di Malaysia sebagai destinasi percutian selepas melangsungkan majlis resepsi sebelah pihak lelaki pada 25 Disember ini di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks dan Kebudayaan Shah Alam.

Dalam majlis persandingan yang dijangka dilakukan secara besar-besaran itu, Aqasha sekali lagi memilih warna tema kuning dan putih dengan gabungan konsep perkahwinan Melayu tradisional dan moden Inggeris. Pakaian mereka akan ditaja oleh Butik Fidz.

Tinggalkan sementara tentang percutian bulan madu mereka kerana ada yang lebih penting menanti Aqasha pada 21 November ini iaitu pelancaran album EP berjudul Qashanova.

"Saya menganggap album yang memuatkan enam buah lagu ini sebagai album peribadi pertama saya kerana semuanya saya lakukan sendiri termasuk dari segi penulisan lirik, gubahan lagu dan susunan muzik.

"Saya juga bertindak selaku penerbit album di samping penerbit bersama, Alex Tan dari Star Mount Records.

"Saya memilih tajuk album Qashanova kerana lagu-lagu saya bertemakan cinta dan supernova bermaksud bintang yang menjadi sangat terang," jelasnya.

Aaron Aziz Dijangkiti Virus "Kencing Tikus"


PETALING JAYA: Pelakon Aaron Aziz dimasukkan ke Pusat Perubatan Tropicana, Damansara dekat sini selama tiga hari bermula Khamis lalu selepas dipercayai terkena virus kencing tikus (Leptospirosis).

Menurut Aaron, dia telah mengalami demam panas yang teruk selepas pulang daripada penggambaran filem, Endless Day, di hutan Changi, Singapura baru-baru ini.

"Sejak 30 September lalu, saya sibuk dengan penggambaran filem daripada produksi Akanga Films Asia yang memerlukan saya menjadi seorang lelaki yang memiliki semangat harimau.

"Kebanyakan babak memerlukan saya berguling serta merangkak di hutan sampai muka pun kotor-kotor. Saya perlu melalui cabaran itu selama seminggu pada setiap malam.

"Jadi bila pulang ke Kuala Lumpur, saya mengalami demam panas sehingga suhu badan saya mencecah 40 darjah Celsius. Isteri saya terus mengajak saya ke hospital dan terkejut bila mendapat tau saya dikatakan dijangkiti penyakit kencing tikus," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Tambah Aaron, ketika doktor memberitahu tentang penyakitnya itu, dia mula risau sekiranya keadaan kesihatan dia menjadi semakin serius.

"Alhamdulillah, akhirnya selepas mendapatkan rawatan, saya dibenarkan keluar wad pada Sabtu lalu selepas diberi beberapa suntikan antibiotik. Doktor kata, jika saya melengah-lengahkan untuk mendapatkan rawatan, berkemungkinan besar penyakit saya boleh jadi lebih teruk.

"Bayangkan ketika penggambaran di Singapura, saya terloncat sana sini di dalam hutan walaupun hujan. Mungkin penyakit saya alami itu berpunca dari sana. Doktor menasihatkan saya untuk rehat selama beberapa hari dan saya diminta untuk mengurangkan apa-apa aktiviti di hutan kerana takut jika penyakit itu datang semula.

"Apa-apa pun, mujurlah pihak produksi tersebut memberi insurans kepada setiap pelakonnya jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," ujarnya yang gembira kerana sempat menyambut ulang tahun hari lahir anak sulungnya, Danish yang ke enam pada Ahad lalu.

Sementara itu, Aaron juga berterima kasih kepada pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam yang melawatnya di hospital baru-baru

Nikah segera elak fitnah-Aishah


PERNIKAHAN kali ketiga penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu, Aishah, kali ini bersama duda anak enam Faizal Sazali Zulkifli, 44, pada 30 April lalu banyak menimbulkan tanda tanya berikutan pernikahan tersebut dilakukan di sempadan Thailand dan bebas daripada pengetahuan umum.

Malah, selepas bergelar isteri dan bertemu media dalam beberapa majlis hiburan, Aishah masih enggan membuka mulut. Namun, selepas beberapa waktu, pihak media dapat juga menghidu berita pernikahannya dan Kosmo! menjadi akhbar pertama yang membuat laporan mengenainya secara eksklusif pada 24 Jun tahun ini.

Menurut Aishah yang ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya baru-baru ini, dia langsung tiada niat untuk menyembunyikan status mahupun suaminya. Juga tiada sebarang rahsia yang disembunyikan sebalik perkahwinannya yang dilakukan di sempadan Thailand.

“Saya tidak sembunyikan perkahwinan kerana kedua-dua keluarga tahu akan pernikahan kami. Cuma pada usia begini dan ini bukan perkahwinan pertama kami berdua, saya rasa tidak perlu untuk saya menghebohkannya. Kami berdua telah fikir panjang sebelum pernikahan dan apa yang penting kami telah bernikah.

“Bezanya tiada publisiti sahaja, selepas bernikah saya tidak sembunyikan status dan suami kerana saya akan memperkenalkan Faizal sebagai suami kerana tidak mahu menimbulkan fitnah,” ujarnya.

Tambah Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 45, meskipun pernikahannya kelihatan dilakukan secara tergesa-gesa kerana perkenalan selama seminggu di dunia maya menerusi laman sesawang www.muslimah.com itu telah membawa dirinya ke jenjang pelamin, itu bukan bermakna dia menyembunyikan sesuatu.

“Selain waktu yang sesuai, kami bernikah segera di sempadan kerana untuk mengelak fitnah dan suami saya ketika itu masih belum dapat surat cerai. Kalau saya ingin buat di sini dan buat sebuah majlis perkahwinan walaupun secara kecil-kecilan ia tetap mengambil masa yang panjang untuk persediaan,” tuturnya.

Luah Aishah lagi, dia bukanlah punca suaminya bercerai kerana ketika dia mula berkenalan dengan Faizal, suaminya itu telah pun dalam proses memohon penceraian di mahkamah syariah.

“Saya tidak pernah bermadu dan saya bukan puncanya bercerai kerana ketika baru berkenalan dengannya, dia telah pun dalam proses pernceraian di mahkamah,” balasnya.

Kehidupan yang dicari-cari

Aishah mengakui kehidupannya banyak berubah sejak bergelar isteri kepada Faizal. Kehidupannya lebih tenang dan teratur. Malah, hubungan mereka juga direstui oleh dua orang anak Aishah daripada perkahwinan keduanya, Armand Azhari, 16 dan Azhad Ahlami, 10.

“Anak-anak saya merestui, malah mereka yang menggalakkan saya berkahwin lagi. Kata mereka, jika mereka sudah besar nanti siapa yang akan menemani saya. Anak saya juga memanggil Faizal dengan panggilan ayah walaupun mula-mula mereka memanggilnya uncle,” katanya.

Tanpa berselindung Aishah memberitahu kehidupannya kini merupakan kehidupan yang dicari-cari selama ini.

“Saya selalu tengok pasangan yang berusia balik daripada sembahyang subuh di masjid bersama-sama. Sekarang saya dapat suami yang mampu membimbing ke arah kebaikan dan dapat membimbing anak-anak saya.

“Suami saya cakap, kenapa nak tunggu sudah pencen baru nak berubah. Jadi sekarang kehidupan kami lebih baik dan bermakna daripada dahulu. Anak-anak pun ada contoh yang baik dan lebih kerap ke masjid berbanding dahulu,” ucapnya.

Album Anak

Aishah yang selama ini popular dengan genre pop kini telah muncul dengan sebuah album kerohanian yang berjudul Anak. Album yang diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Aishah Creative Enterprise dan diedarkan oleh Nasyeed.Com dan Sony Music itu telah lama diidamkan Aishah.

Idea dan perancangan sejak tahun lepas membuahkan hasil apabila dia bertemu dengan penerbit yang benar-benar tahu apa yang dia inginkan iaitu Dakmie yang pernah menerbitkan album untuk Rabbani sebelum itu.

“Tidak sangka agak sukar dan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan keseluruhan album. Jika sebuah lagu pop saya boleh selesaikan rakaman selama 40 minit berbeza dengan album ini. Surah al-Fatihah sahaja mengambil masa lebih kurang satu jam dan terpaksa dirakam semula bagi mendapatkan sebutan yang benar-benar jelas.

“Saya dipantau oleh mereka yang arif dalam bidang ini sepanjang tempoh rakaman dan secara keseluruhan ia mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan,” tuturnya yang terlibat sebagai penulis lirik album tersebut.

Album itu yang sudah berada di pasaran itu menghimpunkan 20 buah doa dan zikir berlagu antaranya Doa Nabi Zakariya, Selawat Syifa, Doa Melihat Bayi dan Qasidah Doa Syukur Beroleh Zuriat. Selepas ini, akan diadakan siri album kerohanian daripada Aishah, walaupun begitu tegas Aishah dia masih akan aktif menyanyi lagu-lagu pop seperti biasa.

Bekas Pengacara TV3 Bercerai Talak Satu


KUALA LUMPUR: Bekas pengacara Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, Nadia Shahrul Anuar sah bercerai talak satu dengan suaminya, Sulaiman @ Mohd Helmi Mohd Ilyasdi Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Rabu.

Perceraian secara baik itu dilafazkan di hadapan Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain selepas peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memberitahu anak guamnya, Sulaiman bersetuju untulk melafazkan cerai.

Menurut Mohd Zaidi, persetujuan dicapai selepas Sulaiman, 29, selaku plaintif dan Nadia, 26, yang dinamakan sebagai defendan berpuas hati dengan perjanjian penyelesaian yang ditandatangani pada 25 Ogos lalu.

Antara perkara yang dipersetujui ialah hak penjagaan kekal anak tunggal pasangan itu, Mohamed Aaron Erwin, tiga tahun, diserahkan kepada Sulaiman.

Nadia pula dibenarkan untuk mengambil anaknya pada hujung minggu dan pada waktu-waktu kecemasan dan dibenarkan untuk membawa kanak-kanak itu ke tempat yang selamat dalam jagaannya.

Bagaimanapun, demi keselamatan anak itu, dia haruslah diiringi dengan pengawal keselamatan yang disediakan.

Perjanjian itu juga melibatkan persetujuan Nadia untuk mengugurkan tuntutan edah, nafkah tertunggak, mutaah dan harta sepencarian manakala Sulaiman yang merupakan pengarah jualan VW Cars Sdn Bhd akan menarik semula permohonan nusyuz yang difailnya.

Nadia hadir bersendirian di mahkamah dan diwakili peguam syarie Wan Akram Zainal Abidin manakala Sulaiman hadir bersama ayahnya dan dikawal oleh enam pengawal peribadi.

Pada 28 Disember 2008, Nadia memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik di mahkamah rendah syariah atas dakwaan tiada persefahaman, campur tangan pihak ketiga dan berlaku penganiayaan tubuh badan.

Bagaimanapun, Sulaiman menafikan dakwaan mengasari tubuh badan bekas isterinya menerusi kenyataan akhbar yang dibuatnya dan mendakwa dirinya kesal dengan tindakan Nadia yang meninggalkan keluarga selepas menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

Ahmad Idham Dapat Anak Lelaki


PETALING JAYA: Pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzzri mendapat anak lelaki apabila isterinya yang mahu dikenali sebagai Amy, selamat melahirkan bayi berkenaan di Hospital Gleanigles Intan, Ampang, Selangor pada pukul 11 pagi, Rabu.

Beritahu Ahmad Idham, anaknya yang lahir dengan berat 3.5 kilogram itu diberi nama Ahmad Khalif. Dia bersyukur apabila proses kelahiran berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah, isteri dan anak saya selamat. Isteri saya juga tidak ada sebarang masalah komplikasi ketika melahirkan Khalif.

"Apa-apa pun saya bersyukur kepada Allah kerana memberi rezeki kepada kami," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Tambah Ahmad Idham, dia tidak kisah jika dikurniakan anak lagi pada masa akan datang.

"Anak itu sebenarnya adalah amanah daripada Allah dan kita harus menerima seadanya. Jadi, saya tak pernah hadkan berapa jumlah anak yang perlu kami ada. Kalau ada rezeki lagi, ada la.

"Apa pun, saya tak panik seperti dulu, ketika kelahiran anak pertama saya," ujarnya yang gembira mendapat anak keempatnya itu.

Faizal Tahir Luka & Bengkak Kaki Akibat Kemalangan


PETALING JAYA: Penyanyi popular, Faizal Tahir luka dan bengkak pada kakinya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di lebuhraya Penchala Link menghala ke Damansara dekat sini pada pukul 3 pagi, Isnin.

Menurut pihak pengurusan Monkeybone, Helmi Hamdan, kereta Honda Civic Type-R yang dipandu sendiri oleh Faizal berpusing beberapa kali sehingga menyebabkan dia hilang kawalan lalu melanggar tembok.

"Setakat ini, Faizal berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat di rumah, tiada kecederaan serius. Cuma dia mengalami demam teruk disebabkan terkena hujan pada hari kejadian.

"Kakinya yang baru lepas pembedahan pula luka dan bengkak disebabkan terkena papan pemuka (dash board).

"Menurut Faizal menerusi SMS yang dihantar kepada saya, ketika kejadian, dia merasakan seperti ada minyak pada permukaan jalan raya menyebabkan keretanya terbabas," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Helmi pula tidak dimaklumkan secara terperinci mengenai kejadian itu. itu.

Selain Faizal, turut berada dalam kereta berkenaan ialah adiknya tetapi dia tidak mengalami kecederaan.

Tambah Helmi, buat masa ini, segala aktiviti seni yang berlangsung pada bulan Oktober ini terpaksa dibatalkan dan Faizal akan kembali bergantung kepada tahap kesihatannya.

Faizal pula gagal dihubungi untuk menceritakan insiden berkenaan.

Ashraf Muslim Jelaskan Gosip Bercinta Dengan Linda Hashim


KUALA LUMPUR: Pelakon Ashraf Muslim menafikan khabar angin yang mengatakan dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan dramatis Linda Hashim.

Kata Ashraf, dia dan Linda hanya sekadar teman rapat iaitu ketika sama-sama menjayakan sebuah drama berjudul Gerakan Marin dan hanya bertemu ketika di lokasi penggambaran sahaja.

"Saya dan dia hanya sebagai rakan artis, tidak lebih dari itu. Kami berlakon bersama dalam drama Gerakan Marin beberapa bulan lalu.

"Memang ketika penggambaran kami rapat seperti pelakon-pelakon yang lain juga, namun selepas habis penggambaran kami tidak pernah berjumpa," jelasnya yang telah menunaikan umrah hujung Ramadan lalu.

Dalam pada itu, Ashraf mengakui dia masih belum mempunyai teman istimewa selepas berpisah dengan pelakon Sherry Ibrahim tahun lalu.

"Bukan saya memilih tapi saya belum jumpa yang benar-benar membuatkan hati saya terbuka semula untuk bercinta. Selain itu saya juga kini lebih fokus kepada kehidupan sebagai seorang muslim.

"Siapa yang tidak mahu bercinta tapi biarlah ia datang sendiri, semasa di Tanah Suci, Mekah, ada juga saya meminta agar dipermudahkan perjalanan dan dipertemukan dengan seorang perempuan yang solehah untuk dijadikan isteri," katanya.

Bercerita tentang pengalaman ketika mengerjakan umrah, Ashraf memberitahu banyak pengalaman menarik sepanjang berada di sana.

"Banyak peristiwa yang memberi kesedaran kepada saya sepanjang di Tanah Suci. Kita dapat lihat semua orang di sana benar-benar ingin menunaikan ibadat.

"Ada juga peristiwa yang memberi keinsafan kepada saya sebagai hambanya, saya dapat lihat kebesaran Allah di depan mata dan rasa terlalu kerdil," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Perbuatan Khianat Buat Almy Nadia Mahu Bersara Jadi Pelakon


PELAKON Almy Nadia Aminuddin Shah atau Almy Nadia mengakui hipokrasi yang bermaharajalela dalam dunia seni tanah air membuatkannya kecewa sehingga pernah terfikir untuk kembali menjalani kehidupan normal sebagai masyarakat biasa.

Menurut Almy, walaupun dia sayangkan bidang lakonan dan percaya masih banyak perkara yang mampu dikecapinya dalam bidang ini tetapi beberapa hal yang berlaku membuatkan gadis berusia 24 tahun ini jemu dengan status kehidupan glamor.

"Ada waktunya saya betul-betul terfikir untuk berundur diri dan berhenti berlakon saja selepas apa yang berlaku dalam hidup saya sejak bergelar pelakon.

"Beberapa perkara besar yang terlalu peribadi untuk dihuraikan berlaku kepada saya membuatkan saya jemu dan tak berdaya untuk terus menghadapinya," katanya.

Almy lantas diminta untuk mengulas perkara-perkara yang dimaksudkannya itu dengan lebih terperinci tetapi sekadar menjawab beberapa perkara tersebut adalah hal yang berkaitan dengan periuk nasi dan karier lakonannya.

"Sepanjang bergelar pelakon selama hampir lima tahun ini, saya tidak pernah kacau atau ganggu orang lain tetapi saya pelik tetap ada individu dan pihak lain yang sentiasa tak berpuas hati atau dalam istilah kasarnya ingin melihat saya 'jatuh'.

"Bukan saja ada pihak yang sengaja menabur fitnah dan menokok-tambah sesuatu cerita untuk mencalar reputasi saya. Malah ada juga yang lebih berani hingga sanggup melakukan perbuatan 'khianat'.

"Saya mencuba nasib di dalam bidang ini untuk mencari rezeki dengan bakat dan peluang yang ada dan langsung tiada niat lain. Jika hal begini berterusan, lebih baik saya kembali semula kepada kehidupan lama saya saja. Mungkin tidak senikmat seperti apa yang saya kecapi hari ini tetapi sekurang-kurangnya hidup saya lebih tenang," katanya.

Ditanya adakah dia benar-benar nekad dengan keputusannya itu, Almy berkata, sekiranya tawaran lakonan yang diterima terus tidak meyakinkan dan 'kekusutan' yang bersarang kian membelenggu, mungkin dia tidak akan ragu-ragu mengambil keputusan itu kelak.

Isteri Gugur, Hasrat Ady Putra Dapat Bayi Kembar Tiga Musnah


PETALING JAYA: Hasrat pelakon Ady Putra untuk bergelar bapa tidak kesampaian apabila isterinya Aida Yusof yang mengandung kembar tiga mengalami keguguran buat kali keempat, tiga hari lalu.

Keguguran itu berlaku ketika kandungan Aida baru masuk tiga bulan.

Menurut Ady yang ditemui di Menara Star, Khamis, berita itu amat menyedihkannya kerana sebelum ini sudah tiga kali dia dan isteri diuji dengan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, berita tersebut tidak membuatkan pelakon filem Hanyut itu kecewa dan luluh hati kerana dia semakin tabah dan kuat selepas beberapa kali hasratnya untuk bergelar bapa tidak menjadi kenyataan.

"Ini semua sudah tertulis dan ketentuan tuhan. Sebagai hambanya, saya reda dan menerima berita itu dengan hati terbuka. Saya memang bersedih tetapi tidak sampai ke tahap kecewa atau luluh.

"Memandangkan sudah tiga kali isteri saya mengalami keguguran sebelum ini, jadi untuk kali ini saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Kalau ada rezeki, memang saya terima sepenuh hati tapi kalau memang belum rezeki, saya terimanya dengan hati yang terbuka," katanya yang telah berkahwin dengan Aida selama empat tahun.

Mengulas tentang keguguran yang dialami isterinya itu, Ady berkata, perkara itu berlaku disebabkan oleh faktor kandungan yang tidak kuat.

"Mujur juga ia gugur secara keseluruhan, di mana gumpalan daging yang baru berusia tiga bulan itu jatuh sepenuhnya.

"Jika tidak, mungkin isteri saya akan lebih sakit lagi sebab terpaksa melalui pelbagai proses rawatan susulan. Ketika kejadian itu, saya memang kebetulan berada di rumah. Jadi, keadaan lebih terkawal dan dapat hantar isteri ke hospital secepat mungkin. Dia kini berehat di rumah," katanya.

Ady dan isterinya menjalani kaedah persenyawaan luar rahim ataupun In vitro Fertilization (IVF) selepas mereka gagal mendapat anak sejak sekian lama.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails