Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Shuib (Sepah) Mengaku Bertunang Dengan Siti Sarah


SEPANG: Ahli kumpulan Sepah iaitu Shahmira Muhammad, 26 atau Shuib akhirnya mengakui sudah mengikat tali pertunangan dengan penyanyi Siti Sarah Raisudin pada 16 November lalu.

Bekas juara program Raja Lawak musim ketiga itu membuat pengakuan tersebut bagi menjawab desas-desus berita perkahwinannya yang dikatakan bakal berlangsung pada Januari depan.

Menurut Shuib yang ditemui pada acara Amazing Race ala Bujang Sepah di Golden Palm Tree Resort, Sepang, Jumaat, perkara tersebut terpaksa dirahsiakan daripada pengetahuan media demi menghormati permintaan kekasihnya itu.

"Saya akui kami sudah bertunang pada 16 November lalu di Kuala Selangor dan perkara itu terpaksa dirahsiakan demi menghormati permintaan Sarah.

"Kegagalan pertunangannya yang lalu membuatkan Sarah lebih selesa jika perkara itu tidak dihebohkan selagi belum tiba masanya," katanya yang sudah mengenali Sarah sejak setahun dua bulan yang lalu.

Tambah Shuib, perancangan awal mereka untuk melangsungkan perkahwinan pada 16 Januari depan juga terpaksa ditangguhkan ekoran jadual kerjanya yang terlalu padat kini.

"Kalau ikut perancangan awal, kami akan berkahwin pada 16 Januari depan tapi jadual kerja saya yang terikat dengan penggambaran hingga 15 Januari depan menjadikan perancangan itu terpaksa ditangguhkan.

"Kami masih belum dapat tentukan tarikh perkahwinan buat masa ini tapi mungkin selepas saya tamat penggambaran," katanya yang mengakui persiapan sedang rancak disiapkan oleh keluarga masing-masing.

Dayang Nurfaizah Hilang Pengurus


PETALING JAYA: Penyanyi Dayang Nurfaizah memberitahu berita sedih bahawa dia bakal kehilangan pengurusnya, Shaliza Kader Sultan yang tidak menguruskannya lagi berkuatkuasa awal tahun hadapan.

Menurut Dayang, Shaliza yang telah mengurusnya hampir 10 tahun berbuat demikian bukan kerana mereka mempunyai masalah tetapi dia perlu mengikut suaminya ke Amerika Syarikat.

"Ini tidak bermakna hubungan saya dan Kak Liza putus begitu sahaja. Kak Liza akan membantu untuk saya mempelajari selok-belok pengurusan artis terlebih dahulu," katanya.

Dayang berkata demikian pada sidang akhbar pra dengar album Dayang, Sayang & Cahaya di Menara Mustapha Kamal, PJ Trade Center, Khamis.

Album terbaru itu memuatkan 12 buah lagu yang majoritinya berunsurkan percintaan

Antaranya, Mulanya Di Sini, Sayang, Rahsia cinta, Sabarlah, Kau Bintangku, Stay, Sempurna Selamanya, Hingga Ke Akhirnya, Saat Itu, Life With You, Perlukan Cinta dan Ku Temu Cahaya yang menjadi lagu tema Yayasan Aid Malaysia.

Album itu diterbitkan oleh syarikat Dayang sendiri iaitu DN&AD Entertainment Sdn Bhd.

Sementara itu, Dayang memberitahu, dia tidak tergesa-gesa mencari pengganti Shaliza kerana memerlukan masa untuk mencari mereka yang berpotensi menjadi pengursnya.

Ini kerana, katanya, perlu wujud keserasian antara dia dan orang yang dilantik menjadi pengurus.

"Saya lihat terdapat hikmah di sebalik kejadian ini kerana saya perlu belajar berdikari selepas ini," katanya.

Tambah Dayang, dia kini mempunyai pembantu yang menguruskan emel, serta teknologi maklumat yang dapat membantunya berurusan dengan Shaliza kelak.

Nadia Aqilah Lupakan Bidang Lakonan


PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Nadia Aqilah,25, tekad menolak tawaran berlakon buat semetara waktu demi menumpukan perhatian kepada bidang nyanyian.

Dia yang baru sahaja melancarkan album solo pertamanya berjudul Nadia Aqilah mahu dirinya dikenali sebagai penyanyi.

“Ramai yang kenal saya sebagai pelakon. Jiwa saya terlalu kuat dalam bidang ini, cuma terlalu banyak halangan yang datang menyebabkan saya melupakan seketika nyanyian dan terpaksa berlakon.

“Tapi selepas mendapat tawaran dari label Lakefront Records Sdn Bhd, saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada,” ujarnya yang memulakan kariernya sebagai penyanyi pada tahun 2007 bersama kumpulan trio anak gadis yang digelar Luscious.

Menurut Nadia, setelah tiga tahun meninggalkan nyanyian dan aktif menerima tawaran berlakon, dia pasti keputusan yang dibuat ini adalah yang terbaik buat dirinya.

“Kedua dua bidang ini memerlukan komitmen yang tinggi. Tapi ini tidak bermakna saya meninggalkan terus bidang lakonan,” katanya.

Album yang memuatkan 10 buah lagu masing-masing tujuh buah lagu berbahasa Inggeris dan tiga buah lagu berbahasa Malaysia akan dipasarkan pada hujung bulan ini.

Dengan mempertaruhkan single sulungnya, D.I.V.A. yang dicipta oleh Daniel Veerapendan dan Nadia sendiri serta lirik oleh Bahri Uma, dia optimis untuk mengorak langkah sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Kami merancang untuk memasarkan album ini ke luar negara, sebab itu tujuh daripada lagu adalah berbahasa Inggeris.

“Buat masa ini single pertama D.I.V.A akan dipromo dahulu. Malah mereka yang telah mendengar lagu ini memberikan maklum balas yang positif,” katanya.

Nadia pernah membintangi dua buah teater muzikal, Puteri Gunung Ledang dan Muzikal P. Ramlee dan beberapa buah drama tempatan seperti Amil Amelda, Sindarela, Merah Putih dan Tari Tirana.

Raja Farah Mahu Bersanding Dalam Laut


KUALA LUMPUR: Aktres Raja Farah Raja Aziz, 22, dan suaminya, Megat Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria, 25, memilih dasar laut untuk mengabadikan majlis persandingan mereka.

Majlis berkenaan akan diadakan di Pulau Perhentian, Terengganu pada Mac atau April 2011.

Kedua-dua merancang untuk membuat pelamin pada kedalaman tiga meter di dalam laut berkenaan.

Sebelum ini pasangan pelakon Rozie Rashid dan bekas penyanyi kumpulan Medicine, Ijam, pernah mengadakan majlis serupa di pulau berkenaan.

Menariknya, dalam persandingan itu, Raja Farah dan Megat Bashirun akan turut diiringi tujuh hingga lapan buah bot laju sebelum mereka menyelam ke dalam air.

“Kami akan menaiki sebuah bot yang dihias cantik sebelum bersanding di dalam laut. Selain membina pelamin dalam air, kami turut menyediakan pemain kompang untuk memeriahkan majlis.

“Resepsi ini hanya dihadiri kira-kira 20 hingga 30 orang penyelam,” kata Farah yang terlebih dahulu akan berbulan madu di Pulau Sipadan, Sabah pada Januari atau Februari depan.

Sebelum itu, dia dijangka akan melangsungkan majlis resepsi secara besar-besaran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini pada Februari 2011.

Bercerita lanjut tentang majlis tersebut, Farah dan Megat memilih tema perkahwinan ala-ala diraja dan tradisional dengan warna kuning keemasan.

Lebih istimewa, pasangan ini akan diarak di atas tandu oleh enam hingga lapan orang.

Sekali lagi mereka memilih pihak Reka Teemor sebagai perunding perkahwinan dan Photo Signature (gambar).

Kemungkinan Farah akan memilih pereka fesyen Qudyn untuk menghasilkan dua persalinan bagi upacara persandingan dan memotong kek.

“Memang impian kami untuk membuat resepsi seperti ini. Kami juga sengaja tidak menerima banyak penaja kerana mahu mengeluarkan duit sendiri. Dari situ, hasilnya lebih baik dan berpuas hati,” ujarnya yang merancang untuk menjemput 1,500 hingga 2,000 tetamu.

Pasangan ini bernikah pada 12 November lalu.

Vanidah Imran & Awal Ashaari Pengacara Anugerah Skrin 2010


SUBANG JAYA: Pelakon Vanidah Imran dan Awal Ashaari dipilih sebagai pengacara bagi anugerah berprestij Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 24 Disember ini.

Menurut Pengurusan Penjenamaan TV3, Nurul Aini Abu Bakar pemilihan dua muka baru itu adalah bagi memberi kelainan kepada penganjuran kali ini.

“Kami memberi peluang kepada Awal dan Vanidah kerana mereka mempunyai kelebihan tersendiri. Kebiasaannya majlis anugerah sentiasa menggunakan pengacara yang boleh membuat lawak atau berjenaka tetapi kali ini kita mahu ia lebih serius.

“Kami bersetuju untuk mengambil mereka setelah membuat uji bakat terlebih dahulu dan melihat keserasian yang ada pada kedua-dua mereka,” ujarnya pada sidang media Anugerah Skrin 2010, di sini, Khamis.

Manakala Vanidah memberitahu tanggung jawab yang diberikan kepadanya sangat besar dalam mengendalikan anugerah yang berprestij ini.

“Saya tahu ini bukan sesuatu yang kecil dan pengacara boleh menjadi penyebab sesebuah majlis itu berjaya atau gagal.

“Secara jujur memang saya gementar, namun pasti ada sebab mereka mengambil saya untuk bergandingan dengan Awal bagi mengacarakan malam tersebut,” katanya.

Sementara itu, Awal Ashaari menganggap peluang yang diberikan oleh pihak TV3 untuk mengacarakan anugerah ini tidak akan di sia-siakan.

“Saya tidak terfikir akan dipilih untuk menjadi pengacara bagi anugerah berprestij ini. Namun saya akan buat sebaik mungkin. Lagi pula saya akan digandingkan dengan pelakon yang sudah banyak pengalaman.

“Kami akan bekerjasama untuk mengendalikan ASK2010 ini dengan baik. Ketika ujibakat saya dapat rasakan saya dan Vanidah ada keserasian, jadi Insya Allah tidak ada masalah,” katanya.

Secara keseluruhan, ASK 2010 bakal mempertandingkan 24 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman.

Sepuluh kategori drama bakal dipertandingkan termasuk Anugerah Videografi Terbaik yang baru diperkenalkan pada tahun lepas.

Manakala jumlah filem yang dipertandingkan kekal tujuh kategori dan enam kategori penerbitan dalaman.

Anugerah Skrin 2010 ini akan mempertandingkan 17 buah drama, 12 drama rantaian dan lima drama komedi. Manakala kategori filem pula 25 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan kali ini.

Jelas Nurul Aini, calon-calon yang dipertandingkan terdiri daripada terbitan yang ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2009 hingga 30 Jun 2010.

“Selain mengikut tarikh 1 Julai 2009 hingga 30 Jun 2010, drama terpilih juga berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian AGB Nielsen Media Research mengikut genre masing-masing,” katanya.

Selain itu dari segi penjurian, juri yang dilantik tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam drama atau filem tersebut.

“kami sentiasa menitik beratkan tentang penjurian dan tidak mahu terjadi sebarang kontroversi terhadap keputusan yang dibuat.

“Oleh itu kami memilih mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam sesuatu bidang itu namun tidak mempunyai kena mengena atau kaitan dengan drama atau filem yang diadili,” ujar Nurul Aini.

Linda Onn Sambut 'Birthday' Tiga Malam Berturut-Turut Kerana Siapa?


PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn, (gambar) mengadakan sambutan ulang tahun majlis hari lahirnya yang ke 33, selama tiga malam berturut-turut semata-mata memberi peluang kepada abangnya, meraikan majlis berkenaan.

Kata Linda, mengikut perancangan dia mahu mengadakan majlis berkenaan sehari sahaja iaitu sempena hari lahirnya yang jatuh pada 26 November lalu.

Bagaimanapun majlis itu menjadi seperti besar apabila ada perancangan lain pada saat-saat akhir termasuklah abang keduanya iaitu Sazali dan isteri datang dari Johor Baru yang mahu sama meraikan majlis berkenaan.

“Pada malam pertamanya (25 November), saya sambut bersama-sama kawan-kawan dari Suria FM manakala malam keduanya (26 November) disambut dengan keluarga, rakan-rakan termasuk kawan-kawan artis geng motor kuasa besar.

“Kemudian, pada malam ketiga (27 November), para peminat saya pula membuat kejutan Ketiga-tiga majlis tersebut berlangsung di Ampang,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Tambahnya: “Setiap majlis yang diraikan itu penuh kelainan sebab semasa meraikan bersama-sama kawan Suria FM, kami menjadi lebih santai walaupun membincangkan tentang kerja.

“Berbanding dengan sambutan bersama geng motor, lain pula perbualannya kerana kami lebih bercakap tentang motor.”

Menjawab tentang kenyataannya dalam blog yang ditulis “…tahun terakhir Linda sambut birthday solo...”, dalam nada gurau Linda berkata ayat itu dipinjam daripada kawannya dan menolak dia akan berkahwin pada tahun hadapan.

Salah seorang rakan Linda memberitahu apa salahnya dia menyambut hari jadi dengan penuh meriah dan bersungguh-sungguh seolah-olah menganggap majlis tersebut yang terakhir baginya memegang status solo.

“Kalau saya kahwin pada tahun depan, mungkin majlis itu lebih berlainan kerana saya menyambut dengan suami. Sama ada saya betul-betul akan menamatkan zaman solo pada tahun depan atau tidak, biarlah saya simpan untuk diri-sendiri.

“Terus-terang, saya memang belum mempunyai sesiapa (kekasih) dan lebih banyak sibuk dengan perniagaan,” katanya penuh ceria.

Linda akui tahun 2011 lebih banyak dengan perancangan perniagaan dan jika lamaran perkahwinan tiba pada tahun depan, itu menjadi suatu bonus buat dirinya.

Dalam pada itu, duta produk minuman kolagen NH Colla Plus ini juga berkongsi berita gembira apabila bakal diumumkan sebagai jurucakap produk kosmetik Shiseido pada Jumaat ini.

Zed Zaidi Buka Francais 'Papa Rich'


PETALING JAYA: Aktor Zed Zaidi mengukuhkan kedudukannya dalam bidang perniagaannya pada usia 30 tahun apabila membuka sebuah francais restoran Papa Rich di Heritage Row, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur pada awal November lalu.

Pelakon filem Cuti Cuti Cinta dan drama Awan Dania 3 ini berkata francais tersebut diusahakan di bawah salah sebuah syarikatnya, Bintang Dahlia Sdn Bhd yang menguruskan hartanah.

Selain itu, dia juga mempunyai syarikat pengurusan acara iaitu Dzed Resources Sdn Bhd dan DMB Trading yang membekalkan barangan saintifik untuk pusat pengajian tinggi tempatan.

“Alhamdulillah, perniagaan saya semakin berkembang dan terbaru saya membuka restoran Papa Rich yang boleh memuatkan 250 orang.

“Selain beroperasi pada hari biasa, kami juga menyediakan khidmat kepada sesiapa yang mahu meraikan majlis istimewa di restoran itu,” katanya.

Menceritakan tentang perancangan perniagaannya, Zed berhasrat untuk membuka hotel bajet tidak lama lagi.

Jika mengimbau semula kata-kata Zed sebelum ini dengan apa yang dilakukan sekarang, dia begitu optimis dan tidak sekadar memasang angan-angan kosong.

Zed pernah memberitahu untuk mempelbagaikan bisnes sebelum mencapai umur 40 tahun kerana dia tidak mahu menjadi artis yang tidak dipedulikan apabila sudah lanjut usia.

Malah dia turut melihat artis yang terlibat dalam bidang perniagaan turut mudah bekerjasama dengan golongan korporat atau mana-mana ahli perniagaan kerana mereka terlebih dahulu dikenali.

Beralih kepada karier seninya, Zed baru selesai menerbitkan drama Along Gedebe di bawah terbitan A. Aida Production.

Jelasnya kini dia semakin seronok bergelar pembantu penerbit dan turut melibatkan diri dalam penerbitan drama Dollah Hapak.

Selain itu, dia bakal muncul menerusi drama 13 episod Fatimah Juling dan filem Senjakala akan ditayangkan di pawagam pada tahun hadapan.

Wajah Zed turut boleh ditonton menerusi drama 26 episod Awan Dania 3 yang disiarkan di Astro Ria (saluran 104) pada setiap Isnin, pukul 9 malam.

Sarimah Tetap Jadi Pengacara Selepas Buka Syarikat


KUALA LUMPUR: Selepas aktif dalam bidang pengacaraan, Sarimah Ibrahim kini melangkah setapak lagi dalam kerjayanya dengan menubuhkan syarikat produksi sendiri iaitu Sarimah Sdn Bhd.

Menurutnya, ini merupakan masa paling sesuai untuk dia menerbitkan sendiri program-program televisyen selepas lebih 10 tahun terlibat dalam industri ini.

“Saya rasa sudah sampai masanya untuk terlibat secara langsung menerbitkan program televisyen sendiri. Sekarang fokus utama saya ialah kepada syarikat yang sedang dalam proses menerbitkan sebuah dokumentari.

“Matlamat saya bukan untuk program hiburan semata-mata, malah lebih kepada rancangan berbentuk sejarah dan dokumentari tentang Malaysia dan Insya-Allah tentang agama Islam,” ujarnya yang menubuhkan syarikat tersebut pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, pengacara Akademi Fantasia musim ketujuh ini memberitahu dia tidak akan meninggalkan dunia pengacaraan biarpun sibuk menguruskan syarikatnya itu.

“Saya masih menerima tawaran untuk jadi pengacara, malah kontrak dengan Astro juga sudah disambung selama tiga tahun lagi.

“Saya sangat sayangkan bidang ini, kalau boleh saya ingin jadi pengacara sehingga akhir hayat saya,” ujarnya yang bakal mengendalikan sebuah rancangan reality tyerbaru terbitan Astro berjudul 1.2.3 Tukar.

Tambah Sarimah, program 1.2.3 Tukar ini lebih istimewa kerana dia terlibat secara mendalam terutamanya dari segi proses pembikinannya.

“Walaupun sebelum ini saya juga terlibat dalam Tangkap Muat tetapi hanya sebagai pengacara. Bagi rancangan ini saya terlibat dari banyak aspek.

“Mereka beri peluang kepada saya untuk beri idea terhadap program ini. Saya juga sempat pergi ke Jepun bagi membuat kajian terhadap trend program-program televisyen di sana dan fesyen pakaian mereka,” katanya.

Program hiburan ini bakal ditayangkan pada setiap Rabu, 10.00 malam bermula 15 Disember ini menerusi saluran 104.

Program 13 episod ini merupakan sebuah program gaya hidup yang mengubah penampilan individu dalam mencapai impian yang mereka idamkan.

“Program ini membuka peluang kepada para peserta dalam mencapai impian mereka dalam soal kerjaya, percintaan dan masa depan.

“Apa yang lebih menarik ia turut disertai oleh artis dan selebriti Malaysia mahu impian mereka dilaksana,” ujar Sarimah.

Shila Jadi Jurucakap Safi Balqis


KUALA LUMPUR: Penyanyi Shila Amzah menjadikan produk Safi Balqis Perfect 10 sebagai satu langkah untuk dia melakukan transisi melangkah ke alam dewasa.

Jelasnya, selama 10 tahun berada dalam industri seni dengan membawakanperwatakkan keremajaan, dia mahu melangkah ke satu tahap baru terutamanya dari segi perubahan imej.

"Saya sudah lama mencari masa yang sesuai untuk tukar imej menjadi lebih dewasa.

"Justeru tawaran menjadi duta produk Safi Balqis yang datang ini bertepatan dengan masanya. Jika tiada tawaran iklan saya berhajat untuk mengubah imej kewanitaan bermula tahun depan," katanya ketika ditemui di Majlis Perlancaran Duta Terbaru Safi Balqis, di sini, Rabu.

Tambah Shila, selain itu ia bertepatan dengan konsep album solo keduanya yang bakal keluar pada tahun depan.

"Perubahan ini juga adalah kerana konsep album kedua saya yang bakal keluar tahun depan dan album Tiga Suara bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor," katanya.

Penyanyi berusia 20 tahun ini juga memberitahu tidak mahu dikenali sebagai Shila OIAM tetapi Shila Amzah.

"Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya bawa nama bapa saya dan tidak dikenali lagi sebagai Shila OIAM.

"Lagi pula dah dua tahun rasanya menggunakan nama itu. Dulu saya tidakberapa dikenali dan terpaksa menggunakan nama tersebut untuk lebih dikenali," ujarnya yang lahir dari sebuah program realiti nyanyian One In A Million.

Jelas Shila, bagi menyambut tahun baru 2011 yang akan datang ini dia mahu kerjayanya lebih berkembang dan tidak hanya dikenali sebagai artis iklan semata-mata.

"Tahun baru nanti banyak perancangan yang telah diatur, selain menjadi duta produk, saya juga tidak sabar menantikan album kedua dan album Tiga Suara.

"Malah saya juga dalam perancangan untuk melanjutkan pelajaran saya di salah sebuah kolej di sini," ujarnya.

Farah Diana Tak Rasa Tersisih Selepas Bertudung


SHAH ALAM: Membuat keputusan untuk memakai tudung pada Julai lalu tidak membuahkan perasaan negatif kepada penyanyi Farah Diana Anuar, 25.

Malah dia semakin selesa dengan penghijrahan tersebut. Tidak pernah terlintas perasaan akan disisihkan atau timbul persoalan diskriminasi.

“Saya rasa ‘ok’ dan tidak perlu bimbang setelah memakai tudung dalam industri seni ini. Setakat ini, saya rasa alhamdulillah, semuanya berjalan dengan mudah dan baik,” kata Farah kepada mStar Online.

Farah akui, kebanyakan fesyen yang diperagakan kini perlu bersesuaian dengan imej muslimah. Jadi, dia menjadikan buku dan Internet untuk mencari imej yang sesuai.

“Saya tahu, apabila bertudung saya perlu menjaga imej dengan baik. Jadi, saya perlu memikirkan batasan dalam berpakaian. Saya rasa tiada masalah kerana sebelum ini saya tidak pernah memakai pakaian seksi dan terdedah.

“Alhamdulillah, ada juga pihak penaja seperti butik muslimah Hajaba yang ingin menaja pakaian saya,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua ini terfikirkan banyak idea untuk stail bertudung selepas ini.

“Saya sedang merancang untuk bekerjasama dengan mana-mana pereka fesyen untuk menghasilkan tudung saya.

“Setakat ini, saya belum berjumpa dengan pereka fesyen yang secocok untuk bekerjasama. Mungkin saya akan mencuba Qudyn,” kata pengacara program Rasa Halal Orient di Astro Oasis ini.

Penyanyi lagu Tangisan Dalam Kerinduan dan Antara Dua ini telah mengembara ke Kemboja, Hong Kong dan Taiwan untuk menjayakan penggambaran program tersebut.

Kini, program ini bakal memasuki musim kelima dan kemungkinan akan menonjolkan budaya masyarakat Islam di Vietnam pula.

Menyentuh tentang perkembangan lain, Farah turut akan mengacara sebuah program televisyen di TV Al-Hijrah dan mengendalikan program Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Sekali-sekala pada hujung minggu, dia akan sibuk dengan persembahan nyanyian dan merangka single terbaru.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails