Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Demi Moore Obses Dengan Wajah Sendiri


AKTRES Demi Moore mengakui bahawa dia sering menginginkan perubahan pada wajahnya.

Isteri kepada aktor Ashton Kutcher itu berkata dia sanggup duduk di depan cermin berjam-jam semata-mata untuk melihat perubahan pada wajahnya.

"Saya akan meneliti setiap inci pada wajah saya. Biasalah, umur saya bukannya muda dan saya terpaksa menerima tentang hal itu.

"Sebab itu saya sangat mementingkan kesihatan diri bukan sahaja pada luaran , tetapi juga dalaman. Kita sebagai seorang wanita yang cepat matang perlu hidup dengan gembira dan tepis segala masalah dan tekanan yang dilalui kerana ia boleh mengganggu perubahan wajah kita.

"Buat masa ini, saya ada mencuba beberapa campuran tumbuhan khas buat kulit wanita dan berharap dapat berkongsi petua kecantikan kepada umum," katanya kepada majalah MaleFirst.

Demi yang berusia 48 tahun itu juga bercadang untuk menghasilkan sebuah buku biografinya yang lebih bercerita mengenai dirinya yang terlalu menjaga kecantikan diri.

Nicole Scherzinger Nak Kahwin Cepat


PENYANYI Nicole Scherzinger yang bercinta dengan pelumba kereta Formula 1, Lewis Hamilton, sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Poison itu, perhubungannya dengan Lewis selama tiga tahun itu membuatkan dia benar-benar yakin untuk bergelar isteri dan ingin memperoleh sebuah keluarga yang bahagia.

"Saya ingin berkahwin sebelum mendapat anak dan itulah yang kami harapkan. Setakat ini saya dan Leweis bersepakat untuk mendapatkan sepasang anak. Oleh itu kami perlu kahwin cepat," katanya kepada majalah Closer.

Nicole yang ditemui sebagai tetamu undangan dalam rancangan The X factor itu berkata, umurnya yang sudah menjangkau 32 tahun juga membuatkan dia tidak mahu tunggu lama untuk bergelar isteri kepada Lewis yang baru berusia 25 tahun.

Sementara itu, Nicole yang menjadi juri tetamu khas program The X factor itu berkata, buat masa ini dia ingin memberi fokus terhadap kerjaya nyanyiannya dan enggan menerima tawaran di luar bidang nyanyian.

"Jika Simon Cowell pujuk sekalipun, saya perlu memikirkan tawaran tersebut kerana tahun ini saya perlu bekerja keras untuk persiapan keluaran album baru.," katanya.

Azlan (The Typewritter) Kini Bergelar Suami


PETALING JAYA: Dengan sekali lafaz, vokalis kumpulan Azlan And the Typewritter, Norazlan Rosle atau Lan, 28, sah bergelar suami kepada Normala Hassan, 28, pukul 10 pagi, Sabtu, di Surau Al-Munir, Batu 14, Hulu Langat.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin RM300 dan wang hantaran RM11,700, sebagai simbolik tarikh lahir Normala iaitu pada 7 November 1982.

Pasangan yang mengenakan pakaian bewarna krim sedondon itu turut menerima dulang hantaran sebanyak lapan berbalas dengan lapan.

Menurut Lan, dia lega dengan kelancaran majlis yang dibuat setelah menunda perkahwinan yang sepatutnya diadakan pada November tahun lalu.

"Apabila tarikh pertama yang dirancang tidak menjadi, kami telah menetapkan tarikh baru iaitu hari ini. Itupun saya agak tergesa-gesa kerana sibuk dengan kerjaya nyanyian.

"Jadi, bila dah kahwin, senang sikit dan hati pun dah lega. Selepas ini saya akan kembali sibuk dengan persembahan nyanyian. Mungkin kami akan mula fikirkan tentang mendapatkan anak pada tahun depan.

"Setakat ini, kami merancang untuk mendapat seramai tiga orang anak," katanya yang masih tidak tahu lokasi percutian bulan madu mereka.

Majlis resepsi yang berkonsepkan perkahwinan dalam taman diadakan secara sederhana di Taman Pudu Ulu, Cheras.

Lan dan Normala telah bertunang pada Julai 2009 dan sepatutnya mereka dijadualkan bernikah pada November 2010. Disebabkan penundaan itu, Lan dikhabarkan dia kononnya sudah putus tunang.

Neelofa Sedia Tepis Kontroversi


KUALA LUMPUR: Juara pertandingan Dewi Remaja 2010, Noor Neelofa Mohd Noor, 22, yang baru saja dua bulan menyertai indutsri hiburan tempatan sudah bersedia untuk bersaing secara sihat dengan selebriti-selebriti tempatan untuk menjadi seorang pelakon dan pengacara profesional.

Menurut anak kelahiran Kelantan itu, walaupun takut untuk melalui cabaran dan dugaan, lebih-lebih lagi berkaitan gosip, dia cuba 'meredah' diri demi mencapai impiannya bergelar seorang pelakon dan pengacara profesional.

"Walaupun baru tiga bulan saya melangkah masuk ke bidang seni, saya sudah dapat merasai bahang dari segi privasi terumatanya. Habis segala gambar-gambar saya disebarkan di internet.

"Apa-apa pun, itu juga sebagai permulaan untuk saya menerima dimana hal-hal peribadi pasti akan diketahui umum dan saya bersedia semua itu.

"Selain itu, saya juga nampak perbezaan diri sendiri sebelum dan selepas bergelar selebriti keyakinan diri saya lebih tinggi dan cara berinteraksi saya dengan orang juga berbeza. Ia sedikit sebanyak mematangkan saya juga," katanya yang ditemui di parti Media Hiburan di sini, Khamis.

Tambah Neelofa, dia juga gembira kerana sudah memulakan tugas sebagai seorang pelakon dan pengacara dimana dia akan digandingkan bersama Gambit melakonkan watak utama menerusi filem arahan Aziz M Osman yang berjudul Azura.

Dalam pada itu, neelofa juga bersedia untuk menepis segala kontroversi yang bakal diterimanya.

"Insya-Allah, saya akan cuba menjadi yang terbaik buat masyarakat umum agar tidak terjebak dengan kontroversi. Selain itu, azam baru saya untuk tahun ini, saya akan mengurangkan cara pemakaian yang seksi.

"Ini kerana, saya perlu membawa gelaran Dewi kepada umum, dan secara tidak langsungnya, orang akan perhatikan tata tertib kita baik dari segi pertuturan, pemakaian dan personaliti diri," katanya yang turut mengacara bagi program Paparazi dibawah terbitan KRU TV.

Di mana tudung Lydiawati?


Pelakon ini mengenakan skaf jaring penuhi tawaran berlakon

KELIBAT Lydiawati yang tampil dengan skaf jaring rona putih dan bergaya ranggi dengan seluar jeans ketika menghadiri majlis sidang media pelancaran drama Ustaz Amirul, mengundang perhatian.

Penampilan pelakon berusia 47 tahun itu kelihatan berbeza benar dengan gayanya sebelum ini yang bertudung litup. Serta merta pelbagai soalan menerjah di benar fikiran, malah tidak sabar rasanya untuk dilontarkan kepada pelakon yang pernah digandingkan dengan Rosyam Nor dalam filem Suami, Isteri dan .... itu. Ke manakah pergi tudungnya? Adakah Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon mengubah penampilan akibat kegagalan rumah tangga dengan lelaki bergelar datuk kira-kira setahun lalu.

Dengan penuh hati-hati, ayat disusun agar pelakon ini tidak tersinggung. Kebimbangan segera pudar apabila ibu kepada dua cahaya mata itu menjawab pertanyaan yang dilontarkan dengan senyuman.

Dia berpakaian sedemikian kerana membawa karakter ibu kepada pelakon Shaheizy Sam untuk filem terbaru arahan Ahmad Idham berjudul 8 Jam yang kini sedang rancak menjalani penggambaran di Chow Kit.

Malah ketika di temu bual ini, dia bersama seorang lagi pelakon wanita yang juga sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan iaitu Kuna terus bergegas ke lokasi penggambaran.
Katanya, apa saja yang ingin diperkatakan orang terhadap dirinya, itu hak masing-masing. Yang penting, Tuhan mengetahui niatnya.

“Saya tidak peduli apa pun yang orang ingin perkataan mengenai penampilan saya. Bagi saya, hati budi manusia tidak seharusnya diukur dari penampilan seseorang kerana pokok pangkal adalah hati kita. Terpulanglah apa orang nak cakap, yang penting saya tahu apa yang saya buat dan tuhan juga tahu saya lakukan semua ini kerana mencari rezeki yang halal.

“Sebagai manusia kita tidak boleh cepat menilai kerana tentu ada sebab kenapa seseorang itu buat sesuatu. Ketika filem ini ditawarkan kepada saya, Ahmad Idham bertanya terlebih dulu sama ada saya sanggup ubah penampilan atau tidak. Bagi saya ia tidak mendatangkan masalah kerana saya buat disebabkan kerja.

“Saya bergaya begini bukan disebabkan kegagalan rumah tangga kerana gaya ini hanyalah untuk sementara waktu. Selepas ini saya akan kembali dengan imej dulu, mengikut trend semasa,” kata Lydiawati yang turut memegang watak seorang ibu dalam drama bersiri Ustaz Amirul yang akan menemui penonton pada 7 Januari depan.

Seiring usianya, aktres yang hampir empat tahun menyepi dari sebarang aktiviti seni ini berkata, dia harus akur dengan watak-watak yang diberikan memandangkan usianya kini tidak lagi muda.

Katanya, dia menerima apa saja tawaran asalkan mendatang rezeki supaya dapat membesarkan dua cahaya mata yang sedang membesar iaitu Nor Munira, 25 , dan Puteri Batrisya, 8 tahun.

Sebelum ini dia terpaksa membataskan aktiviti seninya kerana anak-anak masih kecil. Oleh kerana anak sulungnya kini boleh diharapkan, Lydiawati berasa lebih lega untuk keluar mencari rezeki.

“Saya tidak pernah berhenti berlakon tetapi hanya berehat seketika kerana ketika itu anak-anak masih kecil. Selain membesarkan anak-anak, saya juga berehat kerana menuntut ilmu. Sebagai manusia, saya juga ada kekurangan. Sepanjang empat tahun berehat saya gunakan kesempatan itu mengikuti kelas pengajian al-Quran bersama dengan anak-anak sekali.

“Disebabkan anak-anak sudah boleh berdikari, saya kembali aktif sejak hujung tahun lalu. Setakat ini alhamdulillah, rezeki belum pernah putus. bagaimanapun, pada usia begini saya mengakui tidak boleh terlalu memilih. Lagipun pada usia sekarang, hanya watak ibu saja yang sesuai untuk saya,” katanya yang mengakui gembira dengan kehidupan dilalui sekarang.

Kesihatan jadi penghalang - Tania Nadira Hudson


Keinginan mencipta nama dalam bidang lakonan kurang lancar

TANIA Nadira Hudson, adik kepada pelakon, Natasha mungkin masih belum cukup popular sebagaimana kakaknya. Namun si manis berusia 25 tahun itu tetap memiliki cita-cita untuk menjadi seperti Natasha.

Bagaimanapun dalam mengejar impiannya itu, langkah gadis pendiam ini tidak selancar disangka apabila dia mengalami pendarahan otak pada Mac lalu. Serangan yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan Tania terlantar hampir sebulan di hospital seterusnya membantutkan hasratnya untuk aktif dalam bidang lakonan. Akibat daripada itu, dia terpaksa melupakan agenda untuk mengukir nama dalam bidang seni kerana perlu memberi keutamaan kepada kesihatannya. Apatah lagi, penyakit yang dihidapinya itu memerlukan masa hampir tiga tahun untuk pulih sepenuhnya.

Walaupun tidak perlu bergantung kepada ubat, Tania masih perlu berhati-hati menjalani kehidupannya untuk memastikan penyakit itu tidak kembali menyerang. Oleh itu, dia akan sentiasa memastikan mendapat tidur yang mencukupi sekurang-kurangnya lima jam, mengamalkan pengambilan vitamin, menjaga pemakanan, bersenam dan mengelakkan daripada berasa tertekan.

Tania juga tidak boleh menerima tawaran berlakon sewenang-wenangnya kerana bimbang akan menyusahkan pihak produksi jika keadaan kesihatannya terganggu. Ini kerana kata gadis ini, jika berasa tidak sihat, dia terpaksa membatalkan jadual lakonannya.

Namun kata Tania, dia tidak berhasrat untuk menyusahkan pihak produksi atau cuba mengambil kesempatan di atas kekurangannya itu kecuali apabila keadaan terdesak.
“Memanglah susah apabila berpenyakit kerana saya perlu berlakon demi sesuap nasi. Sebenarnya selain pendarahan dalam otak, saya juga menghidap asma tetapi saya anggap apa yang berlaku sebagai satu ujian.

“Bagaimanapun, saya tidak suka menggunakan penyakit untuk meraih simpati. Selagi saya termampu untuk bekerja, saya akan buat tetapi jika keadaan kesihatan tidak mengizinkan, saya akan mendapatkan pelepasan dari pihak produksi.

“Saya tahu keadaan itu akan menyusahkan pihak produksi apabila saya tidak dapat hadir ke sesi penggambaran pada saat akhir. Cuma setakat ini saya masih belum lagi menyusahkan mereka. Bagi memastikan penyakit tidak berulang, apa yang penting saya perlu mendapatkan tidur mencukupi,” kata Tania yang diberi kepercayaan membintangi drama bersiri Tiramisu yang mengisi slot Akasia bergandingan dengan Pierre Andre, Sharifah Amani dan Zain Ruffedge.

Membawakan watak Liyana dalam drama sebanyak 28 episod terbitan Filmscape Sdn Bhd, Tania berkata dia perlu menjadi seorang perempuan yang jahat dan suka terkinja-kinja.

Karakter itu kata Tania amat berbeza dengan peribadi sebenarnya. Namun untuk menjadi pelakon serba boleh, gadis yang juga graduan dalam bidang Pemasaran Fesyen dari sebuah kolej di Ampang, berkata, dia perlu mencuba pelbagai watak untuk membuktikan kredibilitinya.

Tania tidak menafikan kehadiran kakaknya yang terlebih dulu melangkah dalam industri ini memberi kelebihan kepadanya. Tetapi dia tidak suka menggunakan Natasha untuk kesenangan peribadi.

“Kakak hanya boleh membantu memperkenalkan saya kepada produser tetapi seterusnya tanggungjawab terletak pada diri sendiri dan budi bicara penerbit atau pengarah untuk mencorak nasib dalam bidang ini. Saya perlu bekerja kuat tetapi dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan ini, saya terpaksa mengambil selangkah ke belakang supaya tidak terlalu menekan diri.

“Walaupun meminati bidang ini tetapi saya tidak mahu terus menjadikan bidang lakonan sebagai fokus utama. Saya juga ada cita-cita yang mahu digapai. Saya mahu menceburi bidang perniagaan terutama berkaitan fesyen memandangkan saya belajar dalam bidang fesyen.

“Namun saya tidak tahu bila hasrat itu dapat direalisasikan. Mungkin beberapa tahun dari sekarang, jadi buat masa ini oleh kerana keadaan kesihatan yang semakin baik, saya mahu berikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang lakonan terlebih dulu,” katanya.


•Drama bersiri Tiramisu disiarkan menerusi slot Akasia di TV3, setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam bermula 27 Disember lalu.

Selesa berimej gadis Jepun - Fiffy Natasha


BIARLAH apa orang lain nak kata, Fiffy Natasha tetap selesa tampil berimej seakan-akan gadis Geisha dari Jepun dengan konsep muziknya J Pop. Dalam usianya baru mencecah 18 tahun, Fiffy mengaku terlalu meminati imej itu kerana ia nampak lebih segar dan ranggi.

Kini sudah dua tahun berimej geisha dalam penampilannya sebagai penyanyi dengan kerap tampil dengan pakaiannya dan aksesori ‘Harajuku’.

“Ini bermula selepas merakamkan single berjudul Kawaii yang bermaksud comel pada tahun lalu. Lebih lagi konsep J Pop yang saya bawakan ini belum ada penyanyi yang membawanya. Dalam mencari identiti sebaiknya, kita harus berbeza dengan artis sedia ada,” katanya yang pernah digelar sebagai Puteri J Pop oleh peminat dan rakan-rakannya. Menurut Fiffy, penampilannya dengan pakaian Harajuku kini mula menjadi ikutan remaja seusia dengannya sehingga mendapat permintaan.

“Atas permintaan itulah saya tergerak hati untuk memulakan perniagaan pakaian harajuku secara kecil-kecilan menerusi internet.

“Biasanya dalam seminggu saya muat turunkan lebih 30 pakaian dalam facebook dan habis dalam masa 30 minit saja. Pakaian harajuku yang saja jual tidak mahal dalam lingkungan RM50 dan mampu dibeli oleh remaja saja. Tapi, lebih mengejutkan ada yang sanggup berhabis sehingga RM1,000 untuk mendapatkan baju, kasut, aksesori dan beg tangan terbaru,” katanya yang boleh melayari laman sesawang facebook fiffysyasyacollection.

Biarpun sudah lebih 10 tahun menceburi bidang seni, baik nyanyian mahupun lakon, namun ramai yang masih belum mengenalnya. Begitupun gadis yang pernah membintangi filem Cinta Kolestrol pada usia sembilan tahun dan I Know What U Did Last Raya tidak pernah berputus asa menempatkan namanya dalam industri seni ini.
“Fiffy baru saja selesai menduduki peperiksaan SPM dan syukurlah semuanya berjalan dengan lancar. Kini tibalah masanya Fiffy ingin menumpukan dalam bidang seni yang sangat saya cintai ini. Memang saya akui saya masih belum dikenali sangat kerana aktiviti seni saya hanya waktu cuti sekolah saja dan selebihnya banyak mengulangkaji pelajaran di rumah.

“Saya hanya dikenali oleh rakan-rakan peminat seusia saya saja dan rakan menerusi facebook. Sebaik saja peperiksaan SPM, ini masanya sibuk menyusun jadual aktiviti seni saya terutamanya ingin menyiapkan album penuh yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

“Selain itu saya kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Klik,” katanya yang kini sudah menyiapkan lima lagu antaranya Cinta Playboy, Kimochi, Shidori, Space dan Kawaii.

Sementara itu, dalam usia yang muda ini juga Fiffy sudah menjadi juru cakap kepada beberapa produk termasuklah yang terbaru bersama The Guitar Store. Produk gitar jenama Cort turut melantik kumpulan Scorpions dan Kiss sebagai duta antarabangsa.

Fiffy berkata, dia bertuah kerana The Guitar Store memilihnya antara model, selain Izzat (Hujan) dan komposer, Nick CDRW. Malah, syarikat yang memiliki studio itu turut menghadiahkan gitar jenama Cort yang berharga ribuan ringgit.


•Fiffy Natasya Abdul Suhaimi

•Umur: 17 tahun

•Asal: Kelantan

•Emel/Myspace: cutegurlfiffynatasya_taurus@yahoo.com.my

•Pembabitan seni: Sejak usia tujuh tahun menyertai kumpulan nasyid Wardah menghasilkan tiga album iaitu Mari Belajar Jawi, Mari Belajar Doa dan Mari Belajar Sembahyang.
Pernah berduet dengan Nassier Wahab dan Elly Mazlein menerusi lagu raya, Sketsa Di Pagi Raya.

•Drama: Sephia (TV3), Misteri Syakila (TV3)

•Filem: Cinta Kolestrol, I Know What U Did Last Raya.

•Peperiksaan: Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), 4A 1B.
Penilaian Menengah Rendah (PMR) 7A 1B.

Damping Malam masuk panggung


Filem ke-15 arahan Ahmad Idham dianggap antara sentuhan paling seram

KITA sering disogok dengan cerita mengenai pengamal ilmu hitam yang kebiasaannya melakukan amalan syirik, menyekutukan Allah, bersahabat dengan syaitan semata-mata untuk memenuhi nafsu sendiri atau membalas dendam.

Semua amalan keji itu seperti saka, susuk, santau dan sebagainya adalah kepercayaan sebahagian masyarakat Melayu sejak zaman dulu lagi. Dalam kebanyakan kepercayaan itu, barangkali tidak ramai yang mengetahui satu lagi amalan yang dianggap lebih berat sekiranya didekati iaitu mengambil ‘pendamping’ untuk diri sendiri atau keluarga.
‘Pendamping’ adalah orang suruhan dari kalangan makhluk halus yang terdiri daripada syaitan dan iblis bagi menjaga keharmonian keluarga ketika ketua keluarga keluar mencari rezeki.

Ada yang beranggapan mengambil pendamping dengan tujuan yang baik namun kepercayaan itu dianggap salah selepas kedatangan Islam ke Tanah Melayu.
Ia semakin tidak diterima selepas mendapati individu terbabit lebih mempercayai kuasa iblis yang kononnya mampu membantu mereka ketika dalam kesusahan berbanding Maha Penciptanya sendiri iaitu Allah.

Secara tidak langsung ia menyekutukan Allah yang lebih maha berkuasa dan membuat perjanjian dengan syaitan.
Segala-gala akan lebih jelas dan mampu memberi pengajaran untuk lebih menginsafi jika kita menonton filem terbaru yang menutup tirai tahun ini berjudul Damping Malam.

Filem arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyelongkar amalan syirik dan kepercayaan kuno masyarakat dulu yang melakukan perjanjian dengan syaitan demi kepentingan diri dan akhirnya memakan diri.

Idham tidak menafikan pernah juga bertemu dengan mereka yang berhadapan dengan situasi sama seperti apa yang dipaparkan dalam Damping Malam.

Menurutnya, sebahagian daripada babak yang digambarkan menerusi filem itu dihasilkan berdasarkan kisah benar yang pernah diceritakan sebelum ini.

“Damping Malam adalah amalan syirik yang dilakukan seseorang dengan membela makhluk halus untuk melindungi diri, ia juga boleh dianggap sebagai mengambil saka untuk keselamatan diri, keluarga, menjaga tanah kebun, kediaman dan juga daripada semua unsur-unsur tidak baik.

“Ia sebahagian daripada saka namun sebelum saka diamalkan, individu berkaitan harus mengamalkan Damping Malam terlebih dulu. Walaupun kononnya ia diamalkan dengan niat baik, ia tetap syirik dan salah. Dalam cerita Damping Malam, ia cuba memaparkan kesan yang akan dialami apabila mereka mengamalkannya," katanya ketika ditemui pada pratonton filem itu baru-baru ini.

Filem ke-15 arahannya itu dikatakan jauh lebih berkesan berbanding filem seram arahannya sebelum ini seperti Congkak, Jangan Pandang Belakang, Jangan Pandang Belakang Congkak dan Niyang Rapik.

Secara keseluruhan, ia dapat menghidupkan suasana seram apabila Idham cuba mengkhayalkan penonton dengan elemen drama di awal cerita, dan dari situ sikit demi sedikit punca kejadian dipaparkan.

Kebijaksanaan pengarah dengan mendedahkan kisah sebenar di awal cerita sedikit pun tidak disangka oleh penonton dan akhirnya barulah kita menyedari bahawa semuanya sudah dijelaskan sejak awal cerita lagi.

“Kalau kita lihat dalam filem ini, saya banyak bermain dengan visual bayang-bayang. Memang begitulah keadaannya makhluk halus yang mengamalkan Damping Malam di mana ia akan mengikut tuannya ke mana saja mereka pergi atau ahli keluarga mereka.

“Mengarahkan Damping Malam juga memberikan cabaran besar kepada saya kerana harus menampilkan kelainan. Orang sekarang sudah muak dengan hantu yang berupa hodoh. Lagipun, hantu seperti itu sudah saya paparkan dalam filem sebelum ini," katanya yang menghadapi cabaran besar untuk mengarahkan filem ke-15 arahannya.
Idham bukan saja berada di kerusi pengarah, namun selepas 10 tahun tidak berlakon, dia memberanikan diri untuk turut tampil sebagai teraju utama yang menghidupkan watak Wadi dalam filem ini.

Katanya juga, filem itu dianggap saat manis buat Idham kerana inilah kali pertama dia berganding semula dengan Amy Mastura selepas kali terakhir berlakon dalam Kuala Lumpur Universiti kira-kira 10 tahun lalu.

“Begitupun watak saya hanyalah sokongan kepada watak utama. Sekiranya watak Amy Mastura sebagai Ku Khalira saya yang lakonkan, saya tidak akan berlakon kerana ia terlalu berat.

“Dari sudut lain, saya turut bertuah kerana semua yang terbabit dalam pembikinan filem ini adalah kru sama yang pernah bekerja dengan saya untuk menghasilkan enam filem seram sebelum ini.

Mereka tahu apa yang saya mahukan dan tahu bagaimana hendak membantu saya menghasilkan babak menarik. Mereka banyak memudahkan saya dan kerana itu saya berani berlakon sambil mengarah Damping Malam," katanya.

Info

Filem: Damping Malam
Terbitan: MIG Productions Sdn Bhd
Penerbit: David Teo
Arahan: Ahmad Idham Ahmad Nadzri
Genre: Seram
Pelakon: Ahmad Idham, Amy Mastura, Erynne Erynna, Azizah Mahzan dan Eizlan Yusof
Tarikh Tayangan: 30 Disember 2010

Sinopsis

MENGISAHKAN Wadi dan isterinya Ku Khalira lakonan Amy Mastura yang sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga. Mereka dikurniakan anak perempuan berusia 13 tahun bernama Nuraiza (Erynne Erynna). Kehidupan mereka serba moden dan terlalu memikirkan soal duniawi sehingga landas agama terpinggir. Walaupun Nuraiza anak tunggal namun kehidupannya sentiasa ceria. Dia juga budak yang bijak serta matang pemikirannya. Nuraiza diasuh oleh ibu saudaranya Umi Siah iaitu kakak kepada Ku Khalira. Umi Siah seorang yang tegas tetapi tenang. Dia menjaga Nuraiza seperti anaknya sendiri kerana mengetahui keistimewaan Nuraiza.

Ku Khalira sentiasa menjadi bualan wanita yang mengenalinya kerana begitu pandai menjaga rumah tangga yang dibina. Mereka suami isteri sentiasa berfikiran rasional dalam apa jua hal dan tidak mempercayai hal mistik, namun tidak membimbing keluarga ke jalan agama.

Kisah bermula semasa minggu suai kenal Nuraiza yang berjaya masuk ke asrama penuh. Ia menjadi kebanggaan buat Wadi tetapi ada sedikit kebimbangan buat Ku Khalira yang katanya tidak pernah berpisah dengan anaknya.

Fenomena Bieber


Di puncak populariti ketika berusia 16 tahun

BINTANG sensasi remaja kelahiran London, Ontario, Kanada ini diakui antara fenomena pop luar biasa yang dicetuskan oleh laman YouTube. Justin Drew Bieber memulakan langkahnya untuk mendaki puncak populariti pada usia 12 tahun dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian.

Keampuhan populariti Justin Bieber kukuh pada usia 16 tahun apabila namanya meraih perhatian luar biasa di laman media sosial. Justin dilihat sebagai simbol kejayaan, contoh terbaik remaja yang berjaya menggapai cita-citanya pada usia belasan tahun.

Semua itu tidak mungkin akan dinikmatinya jika tidak kerana usaha ibunya, Pattie Mallette. Pattie memuat naik video persembahan Justin ketika menyertai satu pertandingan nyanyian di Stratford yang mengangkatnya sebagai naib johan.

“Saya menyertai pertandingan nyanyian Stratford Idol. Kebanyakan yang turut serta mengambil kelas nyanyian dan vokal, sedangkan saya tidak pernah serius menyanyi.

“Saya gemar menyanyi di sekitar rumah. Ketika itu saya baru berusia 12 tahun tetapi memenangi tempat kedua,” katanya.
Kesungguhan memuat naik video pelbagai siri persembahan Justin menyanyikan lagu R&B popular tanpa disangka memacu populariti kepada remaja yang dilahirkan pada 1 Mac 1994 itu.

“Saya memuat naik video nyanyian daripada pertandingan di YouTube kerana mahu kawan-kawan dan keluarga dapat menontonnya.

“Tetapi ia menjadi sebaliknya apabila orang lain menyukai persembahan saya dan mula mengikutinya. Bermula dari situ, saya memperoleh kontrak rakaman,” katanya.

Pada American Music Awards ke-38 yang berlangsung di Nokia Theatre, Los Angeles pada 21 November lalu, Justin mendominasi kemenangan dengan mengenepikan penyanyi senior untuk meraih pengiktirafan tertinggi, Artis Tahun Ini.

Dia menghampakan nama terkenal seperti Usher, Eminem, Lady Gaga, Katy Perry dan Kei$ha untuk menerima gelaran itu selain mencatat sejarah sebagai pemenang terbanyak pada malam berkenaan.

Selain trofi Artis Tahun Ini, Justin turut diumumkan sebagai pemenang kategori Artis Cemerlang, Artis Pop/Rock Lelaki Pilihan dan Album Pop/Rock Pilihan menerusi album, My World.

Justin menewaskan Eminem dan Usher bagi kategori Artis Pop/Rock Pilihan, serta mengenepikan Katy Perry dan sekali lagi Eminem untuk kategori Album Pop/Rock Pilihan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Baby dan One Less Lonely Girl itu mencatat sejarah sebagai penyanyi paling muda memenangi anugerah utama American Music Awards yang dianjurkan sejak 1973.

Justin memulakan kerja produksi susulannya Julai lalu bersama penyanyi dan penulis lagu British, Taio Cruz yang menyumbangkan lagu untuk album yang bakal dipasarkan awal tahun depan.

Legenda hip hop, Dr Dre pula menerbitkan dua lagu yang dirakamkan pada Julai lalu.

Remaja bijak itu tidak hanya menyandarkan kekuatan bakatnya kepada nyanyian saja. September lalu, dia muncul dalam siri jenayah terbitan CBS, CSI: Crime Scene Investigation melakonkan watak remaja bermasalah.

Filem 3D yang menceritakan perjalanan hidupnya juga diterbitkan. Produksi arahan John Chu itu dijangka menemui peminat di pawagam pada Februari depan.
Satu impiannya, Justin berharap kejayaannya menjadi contoh kepada peminat muda.

“Saya berharap segala yang dilalui ini akan mempengaruhi orang lain secara positif. Mesej saya setiap kita mampu melakukan apa saja jika meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap usaha itu.

“Saya tidak membesar dalam kemewahan, malah hidup saya penuh kekurangan. Tetapi kesulitan lalu membentuk saya menjadi kuat, bahkan membina karakter saya hari ini,” katanya.

Benar kejayaan tidak sentiasa membentangkan keselesaan kepada seseorang. Justin juga tidak terlepas daripada berdepan sasaran mereka yang kurang senang dengannya.

Namanya dikaitkan dengan petikan video porno yahg diceroboh di YouTube, malah gambarnya pernah diubahsuai menjadi imej lucah selain dikatakan meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan.

Namun, semua dugaan itu memberi kekuatan kepadanya untuk mencipta lebih kejayaan dan menawan hati jutaan remaja wanita yang tertarik dengan imej baik dan percakapannya yang penuh santun.

INFO:


•Bakat Justin dikesan pada 2008 oleh Scooter Braun yang secara tidak sengaja menonton video nyanyiannya menerusi YouTube. Scooter kemudian menjadi pengurus Justin dan mengatur pertemuan dengan Usher di Atlanta, Georgia seterusnya menandatangani kontrak dengan Raymond Braun Media Group (RBMG), syarikat milik bersama Scooter dan Usher.


•Dia kemudian menandatangani kontrak bersama Island Records sebelum muncul dengan single pertamanya, One Time pada 2009. Album studio penuhnya, My World 2.0 dilancarkan di pasaran pada 23 Mac lalu serta menguasai carta single dan album terlaris dengan jualan mencecah tahap platinum iaitu sejuta unit.


•Justin juga melakar sejarah sebagai artis pertama yang memiliki tujuh lagu daripada album sulung berada dalam carta Billboard Hot 100.


•Selepas lahir bersama My World, Justin mencipta fenomena YouTube dengan menjadi raja media online apabila 100 juta peminat menonton video persembahannya.


•Di laman sembang mikro, Twitter namanya dilawati lebih 84,846 kali sehari manakala di Last.fm mencatat lagu nyanyiannya dimainkan lebih 1,854,917 dalam tempoh 24 jam.


•Tahun lalu, Justin kekal pada kedudukan pertama dalam carta Top 10 Most Tweeted Brands di Ad Age manakala Celebuzz menamakannya sebagai antara Top Ten YouTube Superstars dekad ini.


•Selepas melancarkan My World 2.0, produksi itu mencatat jualan platinum di Amerika Syarikat dalam tempoh tidak sampai dua bulan dipasarkan.


•Justin juga menerima 11,000 peminat baru setiap hari di laman Twitter miliknya, selain lagu nyanyiannya, Baby mencatat sebagai lagu hit antarabangsa sekali gus memperkasakan lagi nama Justin Bieber.

Ada apa dengan Syamsul-Liyana?


DALAM diam ada cinta? Begitulah gerak tubuh dua pelakon utama filem Khurafat, Syamsul Yusof atau Syamsul, 26, dan Liyana Jasmay, atau Liyana, 22, sewaktu hadir pada sesi fotografi khas bagi mempromosikan filem seram itu.

Tidak mahu hubungan mereka dihidu media, kedua-dua pelakon muda ini cuba menyembunyikan perasaan cinta yang sedang berbunga di hati masing-masing.

Apabila ditanya, masing-masing lebih selesa menyatakan mereka berkawan rapat dan terlalu awal untuk mengakui sedang hangat dilamun cinta.

Begitupun cubaan mereka menyembunyikan hubungan cinta gagal apabila jelas kelihatan mesra sewaktu beraksi di hadapan lensa kamera.

“Tidak! Bukan bercinta! Kami cuma kawan rapat. Saya tak nafi saya sangat selesa berkawan dengan Syamsul,” ujar Liyana sewaktu didesak mengenai hubungannya dengan pengarah muda itu.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Castello itu tidak menafikan selesa berkawan dengan Syamsul kerana dia bersikap matang dan amat komited dengan apa yang dilakukan.

“Saya tak pernah kenal Syamsul sebelum ini dan hanya memandang dari jauh apabila sesekali kami pergi menghadiri majlis anugerah.

“Apabila ditawarkan membintangi Khurafat, saya terus terima kerana ingin menimba pengalaman dan bekerja bersama Syamsul. Lagipun ini adalah filem pertama saya bersama Skop Productions,” katanya.

Sepanjang sesi fotografi mereka langsung tidak kekok dan ada ketika kelihatan Syamsul menggenggam tangan erat tangan Liyana.

Bercerita lanjut mengenai filem Khurafat, kata Liyana kerana tidak pernah mengenali Syamsul, dia meminta pemenang anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM-23) itu menghabiskan masa lebih banyak bersama bagi mencari keserasian.

“Sewaktu menjayakan Khurafat, hubungan kami biasa saja. Bagaimanapun selepas Khurafat barulah kami lebih rapat. Nak kata cinta rasanya terlalu awal. Hanya baru-baru ini saja kami jadi rapat. Saya tak berani hendak mengatakan kami bercinta. Biarlah orang tahu kami sedang berkawan rapat,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjaya seninya sepanjang 2010 yang baru berlalu, jelas Liyana, dia bersyukur kerana segala berjalan seperti dirancang. Paling menarik, impiannya untuk bergelar penyanyi dapat direalisasikan dengan munculnya album dengan lagu Aku Tak Percaya Cinta.

Dia juga gembira apabila cita-citanya hendak berlakon teater juga terlaksana dengan pembabitannya dalam Natrah 2 dan Siti Di Alam Fantasi sebagai menutup tirai 2010.

“Saya bersyukur dengan apa yang saya peroleh sepanjang 2010. Alhamdulillah, apa yang dirancang nampaknya terlaksana dan untuk 2011 kerjaya saya dimulakan dengan filem Khurafat yang bakal ditayangkan pada 13 Januari 2011. Pada 2011, saya bercadang untuk tidak terlalu aktif dalam dunia lakonan dan mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya nyanyian pula.

“Selain itu, saya akan kembali menyudahkan pengajian yang tertangguh selama setahun

di Sunway College dalam bidang seni persembahan. Bermula Januari ini, saya akan memasuki semester akhir, jadi penting untuk saya memberikan tumpuan penuh. Di samping itu dapatlah saya mencari lagu yang bagus dan menghasilkan single terbaru terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu, Syamsul apabila diminta menjelaskan me�ngenai gosip cintanya dengan Liyana turut menolak mereka sedang hangat berkasih, tetapi tidak menafikan senang berkawan dengan pelakon kelahiran Kuantan itu.

“Saya suka Liyana kerana dia banyak mengambil berat me�ngenai saya. Contohnya pada hari ini, setiap pakaian saya untuk sesi fotografi, dia menjadi penasihatnya. Lagipun tidak dinafikan Liyana ada kelebihan itu dan tahu apa yang cantik untuk saya gayakan. Liyana memang suka fesyen,” katanya.

Waktu sama, Syamsul akui Liyana sangat menyenangkan dan mampu membuat dia ketawa, malah sepanjang penggambaran Liyana mampu menghilangkan tekanan yang dialami.

“Bayangkan menduduki bangku pengarah dan pelakon dalam Khurafat bukan mudah. Saya sangat tertekan dari sudut emosi dan fizikal. Bagaimanapun apabila ada Liyana, tekanan hilang kerana dia suka mengusik dan membuatkan kami semua ketawa,” katanya.

Selain itu, jelas Syamsul, dia senang dengan Liyana kerana pengalaman dimiliki dan mereka sering bertukar-tukar pandangan dan idea mengenai filem ditonton atau yang mahu dihasilkan.

Menyentuh mengenai pencapaiannya sepanjang 2010, Syamsul menyatakan dia bersyukur apabila banyak perkara baik berlaku dalam kerjayanya walaupun waktu sama turut terpalit dengan pelbagai kontroversi, antaranya kemenangannya di FFM-23 dipertikaikan beberapa penggiat termasuk kawan baiknya, Farid Kamil dan Ahmad Idham. Begitu juga dakwaan mengatakan Syamsul cemburu apabila Farid dan bekas kekasihnya Diana Danielle berpacaran.

“Apa juga yang berlaku di sebalik kemenangan di FFM-23, saya tetap memandangnya dari sudut positif. Ia menjadi pembakar semangat untuk menghasilkan lebih banyak filem yang bagus, sekali gus digemari penonton tempatan,” katanya yang turut menang Lakonan Layar Terbaik bagi Evolusi KL Drift 2 pada Anugerah Skrin 2010 yang baru lalu.

Bercerita mengenai impian�nya pada 2011 ini, jelas Syamsul, pastinya dia mahu melihat percubaan mengemudi karya seram, Khurafat diterima baik.

“Saya mahu menghasilkan filem pelbagai genre dan Khurafat adalah percubaan pertama. Pada 2011, saya ada beberapa perancangan lagi termasuklah menghasilkan sekuel Bohsia. Di samping itu saya merancang menghasilkan satu filem cinta menampilkan gandingan pelakon Malaysia-Indonesia. Setakat ini ada beberapa nama yang terlintas di fikiran saya. Ini perancangan besar saya pada tahun 2011 bagi membawa karya Skop Productions ke pasaran Indonesia,” katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Mohd Syamsul Datuk Yusof Haslam
PANGGILAN: Syamsul
TARIKH LAHIR: 21 Mei 1984
USIA: 26 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
STATUS: Bujang
KERJAYA: Pelakon, pengarah
ANUGERAH: Pengarah Filem Terbaik, Penyunting Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-23
FILEM (sebagai pelakon): Khurafat, Evolusi KL Drift 2, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift, Gila-Gila Pengantin Popular
FILEM (arahan): KL Gangster, Aku Bukan Tomboy, Khurafat, Evolusi KL Drift 2, Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift

PROFIL

NAMA PENUH: Liyana Jasmay
PANGGILAN: Liyana atau Nana
TARIKH LAHIR: 28 Mac 1988
USIA: 22 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuantan, Pahang
STATUS: Bujang
KERJAYA: Pelakon, model, penyanyi
ANUGERAH: Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22
FILEM: Castello, Syaitan, Papadom, Histeria, Kami The Movie, Malaikat Maut, Gadoh, Pisau Cukur, Duhai Si Pari-Pari, Niyang Rapik, Histeria, Misteri Jalan Lama, Khurafat & Senjakala
DRAMA: Kami, Cinta Si Rempit, Laila Sari, Puaka Niyang Rapik
ALBUM: Aku Tak Percaya Cinta
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails