Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Damping Malam masuk panggung


Filem ke-15 arahan Ahmad Idham dianggap antara sentuhan paling seram

KITA sering disogok dengan cerita mengenai pengamal ilmu hitam yang kebiasaannya melakukan amalan syirik, menyekutukan Allah, bersahabat dengan syaitan semata-mata untuk memenuhi nafsu sendiri atau membalas dendam.

Semua amalan keji itu seperti saka, susuk, santau dan sebagainya adalah kepercayaan sebahagian masyarakat Melayu sejak zaman dulu lagi. Dalam kebanyakan kepercayaan itu, barangkali tidak ramai yang mengetahui satu lagi amalan yang dianggap lebih berat sekiranya didekati iaitu mengambil ‘pendamping’ untuk diri sendiri atau keluarga.
‘Pendamping’ adalah orang suruhan dari kalangan makhluk halus yang terdiri daripada syaitan dan iblis bagi menjaga keharmonian keluarga ketika ketua keluarga keluar mencari rezeki.

Ada yang beranggapan mengambil pendamping dengan tujuan yang baik namun kepercayaan itu dianggap salah selepas kedatangan Islam ke Tanah Melayu.
Ia semakin tidak diterima selepas mendapati individu terbabit lebih mempercayai kuasa iblis yang kononnya mampu membantu mereka ketika dalam kesusahan berbanding Maha Penciptanya sendiri iaitu Allah.

Secara tidak langsung ia menyekutukan Allah yang lebih maha berkuasa dan membuat perjanjian dengan syaitan.
Segala-gala akan lebih jelas dan mampu memberi pengajaran untuk lebih menginsafi jika kita menonton filem terbaru yang menutup tirai tahun ini berjudul Damping Malam.

Filem arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyelongkar amalan syirik dan kepercayaan kuno masyarakat dulu yang melakukan perjanjian dengan syaitan demi kepentingan diri dan akhirnya memakan diri.

Idham tidak menafikan pernah juga bertemu dengan mereka yang berhadapan dengan situasi sama seperti apa yang dipaparkan dalam Damping Malam.

Menurutnya, sebahagian daripada babak yang digambarkan menerusi filem itu dihasilkan berdasarkan kisah benar yang pernah diceritakan sebelum ini.

“Damping Malam adalah amalan syirik yang dilakukan seseorang dengan membela makhluk halus untuk melindungi diri, ia juga boleh dianggap sebagai mengambil saka untuk keselamatan diri, keluarga, menjaga tanah kebun, kediaman dan juga daripada semua unsur-unsur tidak baik.

“Ia sebahagian daripada saka namun sebelum saka diamalkan, individu berkaitan harus mengamalkan Damping Malam terlebih dulu. Walaupun kononnya ia diamalkan dengan niat baik, ia tetap syirik dan salah. Dalam cerita Damping Malam, ia cuba memaparkan kesan yang akan dialami apabila mereka mengamalkannya," katanya ketika ditemui pada pratonton filem itu baru-baru ini.

Filem ke-15 arahannya itu dikatakan jauh lebih berkesan berbanding filem seram arahannya sebelum ini seperti Congkak, Jangan Pandang Belakang, Jangan Pandang Belakang Congkak dan Niyang Rapik.

Secara keseluruhan, ia dapat menghidupkan suasana seram apabila Idham cuba mengkhayalkan penonton dengan elemen drama di awal cerita, dan dari situ sikit demi sedikit punca kejadian dipaparkan.

Kebijaksanaan pengarah dengan mendedahkan kisah sebenar di awal cerita sedikit pun tidak disangka oleh penonton dan akhirnya barulah kita menyedari bahawa semuanya sudah dijelaskan sejak awal cerita lagi.

“Kalau kita lihat dalam filem ini, saya banyak bermain dengan visual bayang-bayang. Memang begitulah keadaannya makhluk halus yang mengamalkan Damping Malam di mana ia akan mengikut tuannya ke mana saja mereka pergi atau ahli keluarga mereka.

“Mengarahkan Damping Malam juga memberikan cabaran besar kepada saya kerana harus menampilkan kelainan. Orang sekarang sudah muak dengan hantu yang berupa hodoh. Lagipun, hantu seperti itu sudah saya paparkan dalam filem sebelum ini," katanya yang menghadapi cabaran besar untuk mengarahkan filem ke-15 arahannya.
Idham bukan saja berada di kerusi pengarah, namun selepas 10 tahun tidak berlakon, dia memberanikan diri untuk turut tampil sebagai teraju utama yang menghidupkan watak Wadi dalam filem ini.

Katanya juga, filem itu dianggap saat manis buat Idham kerana inilah kali pertama dia berganding semula dengan Amy Mastura selepas kali terakhir berlakon dalam Kuala Lumpur Universiti kira-kira 10 tahun lalu.

“Begitupun watak saya hanyalah sokongan kepada watak utama. Sekiranya watak Amy Mastura sebagai Ku Khalira saya yang lakonkan, saya tidak akan berlakon kerana ia terlalu berat.

“Dari sudut lain, saya turut bertuah kerana semua yang terbabit dalam pembikinan filem ini adalah kru sama yang pernah bekerja dengan saya untuk menghasilkan enam filem seram sebelum ini.

Mereka tahu apa yang saya mahukan dan tahu bagaimana hendak membantu saya menghasilkan babak menarik. Mereka banyak memudahkan saya dan kerana itu saya berani berlakon sambil mengarah Damping Malam," katanya.

Info

Filem: Damping Malam
Terbitan: MIG Productions Sdn Bhd
Penerbit: David Teo
Arahan: Ahmad Idham Ahmad Nadzri
Genre: Seram
Pelakon: Ahmad Idham, Amy Mastura, Erynne Erynna, Azizah Mahzan dan Eizlan Yusof
Tarikh Tayangan: 30 Disember 2010

Sinopsis

MENGISAHKAN Wadi dan isterinya Ku Khalira lakonan Amy Mastura yang sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga. Mereka dikurniakan anak perempuan berusia 13 tahun bernama Nuraiza (Erynne Erynna). Kehidupan mereka serba moden dan terlalu memikirkan soal duniawi sehingga landas agama terpinggir. Walaupun Nuraiza anak tunggal namun kehidupannya sentiasa ceria. Dia juga budak yang bijak serta matang pemikirannya. Nuraiza diasuh oleh ibu saudaranya Umi Siah iaitu kakak kepada Ku Khalira. Umi Siah seorang yang tegas tetapi tenang. Dia menjaga Nuraiza seperti anaknya sendiri kerana mengetahui keistimewaan Nuraiza.

Ku Khalira sentiasa menjadi bualan wanita yang mengenalinya kerana begitu pandai menjaga rumah tangga yang dibina. Mereka suami isteri sentiasa berfikiran rasional dalam apa jua hal dan tidak mempercayai hal mistik, namun tidak membimbing keluarga ke jalan agama.

Kisah bermula semasa minggu suai kenal Nuraiza yang berjaya masuk ke asrama penuh. Ia menjadi kebanggaan buat Wadi tetapi ada sedikit kebimbangan buat Ku Khalira yang katanya tidak pernah berpisah dengan anaknya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails