Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Memey Semakin Berdebar Tunggu 24 September


PETALING JAYA: Pasangan selebriti Memey Suhaiza Suhaimi dan Norman Hakim yang bakal mendirikan rumah tangga pada 24 September depan sedang sibuk membuat persiapan terakhir menjelang tarikh bersejarah itu.

Tambahnya, dia sedang menghabiskan penggambaran drama berjudul Adi Karya Azizah sebelum bercuti panjang bagi membuat persiapan majlis perkahwinan mereka.

"Alhamdulillah setakat ini semua berjalan lancar dan hanya tinggal beberapa persiapan terakhir yang belum siap. Insya-Allah akhir bulan ini kad undangan perkahwinan kami akan diedarkan kepada semua.

"Saya sedang menghabiskan penggambaran drama Adi Karya Azizah selepas itu akan ke Bandung untuk membeli beberapa barang perkahwinan di sana," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Ketika ditanya tentang perasaannya menghitung tarikh keramat itu, kata Memey, dia berasa berdebar, takut dan bimbang terutama apabila menguruskan segala persiapan perkahwinan itu sendirian.

"Ini pengalaman pertama saya menguruskan majlis untuk diri sendiri, jadi macam-macam benda yang saya risaukan terutamanya untuk majlis di Kota Tinggi nanti.

"Saya pula sibuk dengan kerja dan sukar untuk balik ke kampung. Jadi emak yang terpaksa turun sini (Kuala Lumpur) untuk berbincang tentang majlis tersebut," katanya.

Dalam pada itu, majlis persandingannya yang bertemakan perkahwinan dalam taman moden itu mendapat khidmat Ezuwan Ismail sebagai pereka busana bagi majlis nikah, Hatta Dolmat untuk majlis persandingan dan Rizman Ruzaini bagi acara potong kek.

"Alhamdulillah terlalu ramai yang ingin menaja perkahwinan kami. Ia termasuk daripada segi pakaian, pelamin dan macam-macam lagi sehingga saya rasa serba salah pula untuk tidak menerimanya.

"Saya minta maaf ada yang terpaksa ditolak kerana saya tidak mahu majlis ini dibuat secara besar besaran, cukuplah secara sederhana dan meriah," katanya yang juga membuka majlis tersebut kepada peminatnya di sana.

Majlis persandingan akan berlangsung di rumah pengantin perempuan pada 25 September manakala majlis sambut menantu di rumah pengantin lelaki pada keesokan harinya di Wangsa Maju, dekat sini.

Nora Danish Mahu Anak Belajar Tahfiz


KUALA LUMPUR: Pelakon Nora Danish, 29, mahu anaknya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 2, memasuki sekolah tahfiz pada seawal usia empat tahun.

Menurut Nora, sejak mengandungkan Rayqal lagi, dia mahu anaknya itu mendapatkan pendidikan agama secukupnya sebelum melangkah ke alam dewasa.

"Di zaman ini macam-macam masalah sosial yang kita boleh lihat dan bayangkan apa akan berlaku pada masa akan datang?

"Sebab itu saya mahu Rayqal diberikan pendidikan agama secukup-cukupnya supaya bila dah besar nanti dia tahu apa yang baik dan buruk dalam melalui sesebuah kehidupan. Saya mahu dia masuk syurga," katanya.

Tambah Nora, jika mengikutkan kata hati, terlalu banyak perkara yang ingin diaturkan buat anak tunggalnya itu.

"Kalau nak ikutkan saya nak rancang macam-macam untuknya, tetapi saya pun kena fikir, dia pasti mempunyai minat yang tersendiri.

"Apa-apa pun, saya tidak boleh menghalang keinginannya. Tidak kisahlah sama ada dia mahu bekerja dengan jabatan kerajaan, swasta, membuka perniagaan atau menjadi seorang pelakon. Yang penting, saya mahu dia menjadi seorang lelaki yang cukup ilmu agama dan bertanggungjawab," tegas Nora.

Bagaimanapun, kata pelakon itu, bekas suaminya, Rizal Ashram juga mempunyai impian yang tersendiri buat Rayqal di mana dia mahu Rayqal mengikut jejak langkahnya menceburi bidang sukan polo dan lumba kereta.

Malah Rizal sudah pun membeli barangan sukan Polo untuk anaknya itu.

Namun kata Nora, setakat ini dia dapat melihat anaknya itu lebih ke arah meminati sukan bola sepak serta lumba kereta.

"Entahlah, saya pun tak tahu apa dia nak jadi besar nanti, tetapi berdasarkan kelakuannya, dia suka bermain bola.

"Malah apabila saya memandu, dia suruh saya bawa kereta lebih laju lagi," seloroh pelakon drama “Khurafat” ini.

'Persatuan Artis Hanya Buang Masa' - Ziana Zain


KUALA LUMPUR: Penyanyi Ziana Zain menganggap penyertaan selebriti dalam mana-mana persatuan artis adalah satu pembaziran masa.

Menurut Ziana, semua persatuan yang antaranya seperti Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Karyawan dan Papita harus dibubarkan kerana kebanyakannya adalah untuk kepentingan peribadi mereka yang memegang jawatan di dalamnya.

"Maaf kalau ada yang terasa tetapi pada pendapat saya persatuan-persatuan yang tersedia ada sekarang ini haruslah dibubarkan.

"Cuba fikir secara logiknya, jika kita sebagai artis mahu bersatu dalam segala hal, perlukah kita mempunyai pelbagai persatuan? Malah dengan persatuan yang ada, masing-masing asyik bercanggah pendapat dan ada yang menubuhkan persatuan semata-mata untuk kepentingan diri, sampaikan ada yang berebut jawatan," tegasnya.

Tambah Ziana kerana hal tersebut, dia tidak pernah menyertai mana-mana persatuan artis sepanjang 20 tahun penglibatannya sebagai seorang penyanyi.

Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Dingin itu menyarankan kepada para selebriti untuk merujuk kepada satu agensi sahaja iaitu Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad (Kopstar) jika berhadapan dengan masalah.

"Saya sarankan para artis untuk sertai Kopstar kerana ia boleh banyak membantu kita daripada pelbagai segi termasuklah hak-hak royalti artis.

"Memang ramai yang tidak tahu tentang koperasi tersebut kerana ia kurang diberi publisiti yang meluas tetapi, Insya-Allah, segala kesulitan yang berlaku boleh diatasi," katanya.

Beritahu Ziana lagi, dia tidak kisah jika bersuara lantang tentang hal-hal tersebut kerana tidak mahu masalah industri hiburan yang ada dirumitkan lagi dengan adanya banyak persatuan artis.

Lufya Akui Pernah 'Dilamar' Anang


KUALA LUMPUR: Penyanyi Lutfyah Sheikh Omar, 26, (Lufya) mendedahkan pernah dilamar penyanyi dan komposer Indonesia, Anang Hermansyah sebagai teman duet untuk albumnya dua tahun lalu sebelum bekas suami penyanyi Krisdayanti itu bekerjasama dengan Syahrini dan Ashanty.

Namun, dia terpaksa menolak tawaran keemasan tersebut disebabkan perselisihan jadual kerjanya yang ketika itu terikat dengan projek lakonan.

"Tawaran berduet itu hadir dua tahun lalu ketika Anang mencari pasangan untuk album duetnya. Ia berlaku sebelum Anang berduet dengan Syahrini lagi.

"Kami kenal ketika saya berkunjung ke rumah sanak-saudara saya di Bali dan dia meminta saya hantarkan demo kepadanya.

"Mungkin bukan rezeki kami untuk bekerjasama apabila saya terpaksa menolak tawaran itu kerana sudah terikat dengan komitmen drama," katanya yang ditemui pada pelancaran “single” pertamanya iaitu Diam di Hard Rock Cafe, di sini, Selasa.

Bertitik-tolak daripada tawaran itu, bekas peserta program Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ini mengakui kian bersemangat untuk meneruskan perjuangan dalam nyanyian walaupun berdepan pelbagai dugaan.

"Perjuangan saya dalam nyanyian selepas AF6 penuh dengan rintangan. Kritikan dan kecaman pelbagai pihak memberi kekuatan untuk saya meneruskan minat ini.

"Kini saya selesa bergerak dan berkarya atas usaha sendiri. Walaupun ia memakan masa dan mencabar, saya mendapat restu dan sokongan keluarga," katanya.

Mengulas tentang melodi lagu Diam yang mula diilhamkan lebih lapan tahun lalu itu, Lufya berkata, dia mengambil masa lebih dua tahun untuk menulis liriknya kerana tidak berkeyakinan untuk tampil sebagai penyanyi sebelum ini.

"Selepas AF6, peluang lebih menjurus pada lakonan berbanding nyanyian. Walaupun ketika itu saya sudah memiliki lagu-lagu sendiri tapi saya simpan hasrat itu kerana tiada pihak yang meyakini kebolehan saya.

"Pengalaman berlakon selama dua tahun memberi ilham untuk menghasilkan lebih banyak lagu.

"Dengan kos penerbitan hasil simpanan sendiri dan tajaan beberapa pihak, kini saya mahu fokus dan serius dalam nyanyian dan lakonan," katanya yang turut tampil dengan klip video lagu itu.

Tambah Lufya, seandainya lagu berentak pop rancak itu mendapat respons positif, dia bercadang untuk mengeluarkan lapan hingga 10 lagi lagu ciptaannya secara berperingkat selepas ini.

"Apabila lagu Diam dihantar ke stesen radio hujung tahun lalu, ia tidak mendapat sambutan ekoran tiada publisiti.

"Saya harap dengan pelancaran “single” ini akan menarik perhatian stesen radio untuk memutarkan semula lagu ini," katanya.

Nikah Di Thailand, Nurul (AF2) Tidak Belakangkan Keluarga


KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul (AF2) atau nama sebenar Nurullah Zawawi,29, yang baru sahaja melangsungkan pernikahannya dengan seorang pensyarah, Mohd Munzil Muhamad tidak pernah membelakangi keluarga sehingga mengambil keputusan bernikah di Narathiwat, Thailand.

Jelas Nurul, dia dan suami sebelum ini sudah berusaha untuk berjumpa keluarga kandungnya beberapa kali namun gagal atas sebab-sebab tertentu.

"Kami sudah mencuba berbagai cara termasuk meminta bantuan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) untuk menghubungi keluarga kandung saya namun tidak mendapat kerjasama.

"Kami sekeluarga telah ke Kuching dan pergi ke rumah penghulu kampung tersebut tetapi usaha itu tidak mendatangkan hasil," ujarnya pada sidang media yang diadakan di sini, Rabu.

Nurul dan suaminya memberi penjelasan mengenai isu yang dikeluarkan oleh sebuah program hiburan popular yang mendakwa mereka telah membelakangkan keluarga kandung dan bernikah tanpa diwalikan bapa Nurul.

Bagaimanapun, Nurul berjanji akan menyelesaikan masalah keluarganya dan bertemu mereka selepas ini.

"Kini saya lebih berani untuk berhadapan dengan mereka kerana sudah mempunyai suami dan mahu menjernihkan keadaan.

"Secara jujur memang selama ini saya tidak pernah berjumpa dengan mereka dan hanya mengenali wajah kedua ibu bapa kandung ketika disiarkan di rancangan tersebut.

"Ini masalah keluarga dan bapa angkat yang banyak mengetahui cerita sebenar pula sudah meninggal dunia," ujarnya kesal.

Sementara itu, Nurul juga menafikan telah menukar nama sebenarnya Nurullah Zawawi kepada Nurullah Abdul Hamid dalam setiap urusan rasminya.

"Saya tidak pernah tukar nama sebenar saya dan menggunakan nama bapa kandung dalam segala urusan.

"Saya hanya gunakan nama tersebut untuk tujuan komersial sahaja selepas ini saya mahu dikenali dengan nama Nurullah Abdul Hamid @ Zawawi," ujarnya yang kesal dakwaan segelintir pihak yang mempertikaikan namanya.

Sementara itu, Munzil menjelaskan pernikahannya berlangsung pada 23 April lalu dan bukan 23 Mei seperti dilaporkan media.

"Ada media yang tersilap lapor bahawa kami bernikah pada 23 Mei tetapi sebenarnya 23 April. Disebabkan perkara itu, kami menerima pandangan negatif daripada masyarakat yang menganggap kami bersekedudukan.

"Saya harap penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan dan situasi kami sebagai suami isteri yang sah," katanya.

Ketika ditanya mengapa perlu melakukan pernikahannya tersebut di negara jiran sedangkan masih boleh mendapatkan wali hakim dan bernikah di negara ini, jika perkara itu di laksana, ia bakal mengambil masa yang panjang.

"Ya, memang boleh untuk mendapatkan wali hakim dan melangsungkan pernikahan di Malaysia tetapi prosedur tersebut terlalu lama.

"Jika kami ingin menunggu prosedur itu, ia akan menyebabkan majlis persandingan yang sudah ditetapkan terpaksa ditangguhkan," katanya.

Wakil Rakyat PKR Mohon Maaf Daripada Wardina


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad memohon maaf daripada pengacara Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 32, ekoran kehadiran pengacara itu menyampaikan ceramah motivasi keibubapaan anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Desa Mentari di sini pada 26 Jun lalu mencetuskan kontroversi.

Nik Nazmi berkata, beliau mengundang Wardina menghadiri program yang dikenali Karnival Mesra Rakyat itu atas kapasiti Wardina sebagai ikon muslimah muda tanpa ada maksud untuk menimbulkan sebarang polemik.

“Saya ingin meminta maaf kepada Wardina memandangkan kehadirannya di Karnival Mesra Rakyat ini telah menimbulkan pelbagai fitnah dan tohmahan.

"Saya ingin menegaskan saya tiada niat mengundang spekulasi pihak-pihak tertentu yang tidak menghormati aktiviti kerajaan bukan BN (Barisan Nasional) ketika menjemput beliau hadir ke karnival ini.

“Wardina merupakan sahabat baik saya dan saya menganggapnya sebagai ikon muslimah muda yang mampu menarik masyarakat pelbagai kaum,” katanya dalam satu kenyataan media menerusi blognya, niknazmi.com, Rabu.

Pada 29 Jun lalu Wardina membuat sidang media bagi menjelaskan tuduhan kononnya dikatakan terlibat dengan pertubuhan politik pembangkang termasuklah menyokong perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Wardina dikatakan tidak mengetahui agenda majlis berkenaan sehinggalah ketika dia tiba di lokasi tersebut apabila ia melibatkan majlis kemasyarakatan yang turut dihadiri oleh pemimpin PKR lain termasuklah Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali.

Nik Nazmi berkata, acara mesra rakyat tersebut dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Zon 24, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Persatuan-Persatuan Penduduk Desa Mentari.

Selain Wardina katanya, ia turut dihadiri oleh selebriti sukan tanah air antaranya ikon bola sepak negara, Safee Sali dan beberapa pemain bola sepak Selangor yang memenangi Piala Suzuki AFF iaitu Amri Yahyah, Razman Roslan, Asraruddin Putera Omar, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal dan penulis terkenal, Uthaya Sankar SB.

Dalam kenyataan media itu juga Nik Nazmi turut meminta semua penulis bloq agar menghentikan tindakan menyerang Wardina selain menghormati keputusan mana-mana artis yang hadir dalam apa juga program kemasyarakatan tanpa memikirkan siapakah penganjurnya.

“Saya mengeluarkan kenyataan ini kerana mahu mempertahankan Wardina demi kepentingan masyarakat tanpa niat lain,” katanya.

Sementara itu Wardina yang sebelum ini tidak mendedahkan siapakah individu yang menjemputnya untuk ke majlis itu mengakui sememangnya mendapat jemputan peribadi daripada Nik Nazmi.

Katanya, dia akan terus memberi ceramah jika dijemput oleh sesiapa sahaja tidak kiralah di kalangan pemimpin pembangkang ataupun sebaliknya asalkan ceramah itu tiada kaitan dengan politik.

“Saya akan terus bagi ceramah yang ada kaitan dengan masyarakat tetapi saya akan tolak jika ia adalah ceramah politik. Selain itu saya akan lebih berhati-hati lagi selepas ini,” ujarnya.

Wardina berkata, dia mempunyai peminat di kalangan mereka yang mempunyai fahaman politik berbeza dan wajar memberi kerjasama kepada kedua-dua kelompok berkenaan.

Selain itu Wardina yang mengambil cuti dua bulan sebagai pengacara Malaysia Hari Ini kerana mahu menenangkan fikiran akan kembali menyambung semula tugasnya pada bulan Ramadan ini.

Lisa Surihani Bukan Menyibuk Pada Majlis Orang


KUALA LUMPUR: Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular 2010, Lisa Surihani menjelaskan kehadirannya pada majlis-majlis tertentu yang tiada berkaitan dengan dirinya bukan untuk menyibuk tetapi memberi sokongan sesama rakan artis.

Jelas Lisa, dia tidak pernah terfikir untuk meraih perhatian media ataupun sesiapa sahaja ketika berada pada sesebuah majlis.

"Setiap majlis kebiasaannya saya datang kerana dijemput dan ada juga majlis terbuka yang saya datang semata-mata untuk beri sokongan kepada kawan-kawan.

"Jika ada tuduhan mengatakan saya hendak menyibuk seperti yang diperkatakan, saya seorang yang sentiasa berfikiran positif dan bagi saya itu bukan perkara yang salah," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem SAM, di sini, Isnin.

Lisa menjelaskan ketika ditanya tentang komen pada ruangan gosip sebuah akhbar mingguan yang mempersoalkan tindakan seorang artis yang dilihat muncul pada beberapa majlis hiburan yang tiada kaitan dengannya.

Walaupun gosip tersebut tidak menyebut namanya, tetapi beberapa pihak mendakwa ia ada kaitan dengan Lisa.

Dia yang dikaitkan bercinta dengan pengarah Yusry Abdul Halim itu juga dikatakan terlalu banyak menonjolkan diri tanpa menjaga nilai eksklusif dirinya sebagai pelakon popular.

Tambah Lisa, tidak mahu niat baiknya untuk bersama-sama menyokong industri seni tanah air disalah ertikan oleh segelintir pihak.

Dalam pada itu, dari segi lakonan filem, Lisa berkata dia hanya membintangi tiga buah filem sepanjang tahun ini berbanding enam buah filem ditayangkan pada tahun lepas.

"Tahun ini filem saya kurang separuh iaitu hanya tiga buah filem sahaja berbanding tahun lepas enam buah filem.

"Mungkin kerana banyak komitmen lain yang perlu saya bahagikan seperti untuk program Mari Menari dan beberapa iklan komersial.

"Namun bagi saya ia adalah untuk kebaikan juga kerana saya boleh mengekalkan nilai eksklusif," ujarnya yang turut membintangi filem SAM di bawah arahan Syafiq Yusof terbitan Skop Production Sdn Bhd.

Bercerita tentang filem terbarunya itu, dia mengaku teruja dan menantikan peluang untuk berlakon di bawah produksi berkenaan.

"Saya pernah terfikir dan berangan untuk berlakon di bawah arahan Datuk Yusof, dan ketika mereka tawarkan watak ini saya sangat terharu menerimanya.

"Biarpun arahan Syafiq yang juga merupakan pengarah baru, tapi saya yakin dia mampu untuk menghasilkan filem yang terbaik," katanya.

'Arwah Wasiatkan 'Sesuatu' Sebelum Meninggal Dunia' - Fizo


PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar memberitahu, arwah bapanya, Wan Omar Wan Ishak,71, yang meninggal dunia, Selasa mengamanahkan “sesuatu” agar dia menyimpan barang tersebut sehingga ke akhir hayat.

Fizo yang dihubungi mStar Online, Selasa berkata, ketika dia pulang ke kampungnya di Selising, Pasir Puteh, Kelantan kira-kira dua minggu lalu, ayahnya telah memberikan wasiat berkenaan yang seolah-olah menggambarkan dia akan pergi buat selama-lamanya.

“Saya terkejut apabila dia berkata macam itu kepada saya. Dia minta saya menyimpan barang itu elok-elok. Pada waktu itu dia sihat tetapi saya sudah rasa lain macam,” kata Fizo yang enggan menjelaskan apakah amanah berkenaan.

Ayahnya yang berniaga kecil-kecilan di kampung meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari, Selasa, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan akibat ketumbuhan pada usus.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Melor, Kota Baharu selepas solat Isyak hari yang sama.

Menurut Fizo, ketika mendapat berita itu dia berada di Kuala Lumpur dan sememangnya sedang bersiap untuk pulang ke kampung kerana mahu mengotakan janji membawa ayahnya mendapatkan rawatan pakar.

Tapi hasrat tersebut tidak terlaksana kerana bapanya meninggal dunia pada hari yang dijanjikan itu.

“Saya sepatutnya balik ke kampung hari ini (Selasa) untuk membawa dia berjumpa doktor. Tapi saya terkejut apabila kakak saya di kampung memberitahu ayah sudah tiada,” ujarnya.

Sehubungan itu menurut Fizo dia terpaksa mengambil cuti selama seminggu untuk menguruskan beberapa perkara.

Nadia Mustafar Bersih Nama Selepas Kes Saman Fitnah Lisdawati


KUALA LUMPUR: Sekian lama mendiamkan diri, pelakon Nadia Mustafar, 35, tampil memberikan penjelasan untuk membersihkan namanya atas segala tuduhan berhubung kes saman fitnah dengan pelakon Lisdawati sebelum ini.

Dia akui lega apabila kes tersebut telah selesai pada 27 Jun lalu setelah Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Yong Zarida Sazali meminta Lisdawati menarik semula saman itu ekoran beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes itu.

"Sebelum ini saya rasa lebih baik berdiam diri tetapi setelah kes ini selesai, peguam Siti Noor Julaini Mohd Shahar nasihatkan saya untuk membersihkan nama jika saya rasa berada di pihak yang benar.

"Saya akui sebelum ini saya kurang ilmu undang-undang tetapi selepas melalui kes ini, banyak perkara yang saya pelajari dan lega kerana semuanya telah berakhir," katanya dalam satu sidang media di Redbox, Pavilion, di sini, Isnin.

Jelas Nadia yang turut menafikan muflis seperti yang didakwa, biarpun telah memenangi kes tersebut tidak bermakna dia mahu mendabik dada sebaliknya berharap tiada lagi kes melibatkan mahkamah.

Malah pelakon filem Senario Asam Garam dan Jangan Tegur ini juga sanggup menerima maaf daripada Lisdawati sekiranya wanita itu menghulurkan salam perdamaian.

“Saya tiada masalah jika dia mahu berdamai semula dan tentang hutang dia dengan saya boleh dibawa berbincang kerana saya tidak terlalu menagih hutang itu.

“Tetapi jika dia ingin memfail semula kes ini ke Mahkamah Tinggi, saya hanya mampu membela diri,” ujar ibu kepada tiga orang anak ini.

Kehadirannya di situ turut ditemani oleh anak-anaknya iaitu Mia Qaisara, 3, Qaliff Izham, 2, Qaiem Quzey Izham, 5 bulan, dan suaminya Hazil Izham Ismail, 37.

Sepanjang berhadapan dengan kes tersebut, Nadia akui tidak tertekan dan hanya menjalankan kerjanya seperti biasa.

“Saya masih menerima tawaran berlakon dan menjalankan perniagaan kedai makan di Central Market pada awal tahun ini.

“Baru-baru ini, saya baru sahaja menyelesaikan penggambaran drama Suria Di Cordoba yang turut dilakonkan oleh Lisdawati tetapi kami tidak bertemu dalam babak yang sama,” katanya.

Tambahnya: “Bagaimanapun, kami berjumpa dalam satu majlis selepas selesai penggambaran drama tersebut pada dua minggu lalu dan bersalam-salaman sebagai tanda hormat antara satu sama lain.”

Dalam akhbar sebelum ini melaporkan Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 33, mendakwa, Nadia dengan niat jahat telah memberikan wawancara yang mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.

Wawancara tersebut didakwa berlaku sekitar Januari 2005 dan Nisdawati mendakwa, majalah berkenaan telah menyiarkan wawancara itu dalam keluaran mereka bertarikh 8 hingga 14 Januari 2005.

Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, dalam erti biasa artikel itu antaranya bermakna dan difahamkan bermaksud bahawa dia telah meminjam wang, berhutang dan gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia yang dinamakan sebagai defendan.

Bagaimanapun, Nadia dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 18 Mei lalu menyatakan bahawa artikel tersebut tidak mempunyai unsur ftnah, sebaliknya meminta agar orang yang berhutang untuk menjelaskan hutangnya.

Nadia juga menyatakan bahawa dia tidak pernah sekali-kali menyebut nama Lisdawati dan menyifatkan tuntutan tersebut sebagai tidak munasabah, mengaibkan, remeh dan menyalahgunakan kuasa mahkamah.

Sehubungan itu, Nadia memohon agar mahkamah menolak saman tersebut dengan kos.

Dua bulan berpantang nasi - Kamal Adli


LUMRAH dunia! Yang kurus mahu berisi, yang sudah berisi mahu pula dikurangkan isinya. Namun, lain pula al-kisahnya bagi pemilik nama Ahmad Kamal Ahmad Adli, figura yang sudah berjaya mendirikan tapak utuh dalam dunia seni lakon.

Kamal, 25, kini dikatakan sedang dalam proses berpantang demi mendapatkan sosok tubuh idamannya seberat 75 kilogram.

Bukan kerana alasan klise perlu memiliki badan yang ideal untuk bergelar selebriti popular, sebaliknya Kamal yang berketinggian 180 sentimeter itu memaksa diri mengurangkan jisim badannya yang terkini seberat 80 kilogram demi menggalas watak utama dalam filem Gerimis Mengundang yang bakal memulakan sesi penggambarannya tidak lama lagi.

Ketika ditemui ketika sesi pelancaran filem Gerimis Mengundang di Hotel Legend, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia berkata, usaha untuk menurunkan berat badannya bermula sejak dua bulan lalu.

“Saya tidak makan nasi selama lebih dua bulan untuk mendapatkan berat lama saya iaitu 75 kilogram.

“Alhamdulillah kini berat badan saya sudah turun sebanyak dua kilogram dan saya masih lagi berusaha untuk menurunkan sebanyak tiga kilogram lagi,” jelas anak kelahiran Pahang itu.

Tambahnya, diet luar biasanya itu sudah diamalkannya sebelum mendapat tawaran berlakon dalam filem Gerimis Mengundang lagi iaitu selepas tamatnya pembikinan drama bersiri Gemilang yang ditayangkan di TV3 sebelum ini.

“Saya menolak untuk berlakon dalam filem ini pada awalnya kerana mempunyai komitmen dengan filem 3 Temujanji bersama Pierre Andre dan Liyana Samsudin. Nasib baik babak saya dalam filem itu tidak banyak maka dapatlah saya memberikan lebih fokus kepada filem ini,” tuturnya.

Menggalas watak utama sebagai Zamani dalam filem yang diarahkan oleh Ahmad Idham itu cukup memberi tamparan hebat buat Kamal.

“Watak ini bukan calang-calang, ia (watak Zamani) adalah yang paling berat yang perlu saya lakonkan, malah demi watak ini saya mahukan bentuk badan yang ideal dan tidak terlalu gempal.

“Takut memang ada tapi ini umpama satu penghargaan besar buat saya apabila nama saya tersenarai untuk menggalas peranan ini,” katanya yang gagal membawakan watak Zamani ketika sesi uji bakat kali pertama.

Filem yang bakal menjalani penggambaran di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Jakarta, Indonesia itu dijangka bakal disiarkan di pawagam seluruh Malaysia dan Indonesia pada bulan Februari tahun depan.

Panas baran

Bercerita mengenai karakternya dalam filem Gerimis Mengundang yang diangkat daripada lagu dendangan kumpulan Slam sekitar tahun 1990-an itu, Kamal perlu membawa watak seorang juruterbang helikopter yang panas baran.

“Cabaran untuk membawakan filem kisah cinta dua buah negara antara Malaysia dan Indonesia ini bukan sekadar penjiwaan wataknya yang memerlukan saya menjadi seorang yang cepat marah dan egoistik.

“Tapi juga perbezaan dari segi pertuturan bahasa antara saya dan heroin filem ini yang bercakap dalam dua lenggok bahasa berbeza,” ujarnya tatkala ditebak berkenaan cabaran menjadi pendukung utama karya nostalgia itu.

Dalam filem itu, kisah cinta antara Zamani dan Mikha (heroin utama) yang digalas oleh pelakon remaja dari Indonesia, Olivia Jensen, bermula menerusi satu pertemuan antara mereka di Sabah.

Ubah cara pakai

Menurut Olivia yang tidak mempunyai masalah untuk mengikat hubungan lebih mendalam dengan Kamal menerusi filem itu, cara berpakaian menjadi taruhannya.

“Saya perlu menukar cara berpakaian termasuk potongan rambut untuk kelihatan lebih matang dan bukan seperti usia sebenar saya,” ujar pelakon itu yang pertama kali membikin filem dengan produksi luar negara.

Bagi figura yang melakar namanya menerusi lima buah filem lakonannya di Indonesia itu, kerjasama dua buah negara untuk penghasilan filem Gerimis Mengundang adalah satu langkah proaktif mencari lebih banyak prospek pada masa depan.

“Ini kali pertama saya mendukung watak yang besar sebagai heroin sebuah filem, seharusnya saya perlu berlakon dengan lebih serius dan profesional sesuai dengan watak Mikha yang diberikan kepada saya,” getus pelakon berusia 18 tahun itu yang bernaung di bawah syarikat WannaB Pictures.

Olivia yang baru selesai penggambaran filem Bukan Cinta Biasa 2 bersama penyanyi bersuara lunak merdu, Afgan, turut menjalankan kajian tersendiri berkenaan latar belakang Kamal dan produksi filem Malaysia.

“Sejujurnya saya kurang mengetahui aktor Kamal Adli, sehingga saya membuat kajian sendiri melalui Internet, akhirnya kami dipertemukan di Jakarta baru-baru ini dan saya rasa tidak akan ada masalah untuk kami bersama dalam filem ini,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails