Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Lindsay Lohan Tinggal Di Rumah Ibu Akibat Muflis

NEW YORK: Aktres Lindsay Lohan (gambar) dilaporkan telah dipaksa untuk berpindah ke rumah ibunya Dina di Long Island di sini, susulan status kewangannya sehingga diisytiharkan muflis. Sumber memberitahu portal radaronline.com, Lohan tidak mempunyai banyak pilihan memandangkan dia sudah tidak mampu untuk membayar sewa apartmennya di Los Angeles. "Lindsay sudah dipaksa untuk berpindah ke rumah ibunya Dina kerana dia tidak ada banyak pilihan ketika ini. "Dia kini muflis dan tidak mampu untuk membayar sewa apartmen dua bilik di North Hollywood," katanya. Terdahulu, Lohan mengeluarkan kenyataan dia berpindah ke New York kononnya kerana sudah bosan dengan kehidupan di Los Angeles.

Salman Khan Hadapi Tuduhan Membunuh

MUMBAI: Aktor Bollywood, Salman Khan menghadapi tuduhan cubaan membunuh kerana terlibat dengan kemalangan maut dalam kejadian lebih sepuluh tahun lalu. Jika sabit kesalahan aktor itu berhadapan dengan kemungkinan dipenjarakan sehingga sepuluh tahun. Peguam kepada Salman iaitu Deepesh Mehta berkata, mahkamah telah menerima permohonan pihak pendakwa untuk mendakwa Salman kerana membunuh dan bukannya kes menyebabkan kematian kerana kecuaian yang hanya memperuntukan penjara maksimum selama dua tahun. Dalam kejadian pada September 2002, seorang lelaki terbunbuh sementara tiga lagi cedera apabila Salman didakwa merempuh keretanya ke dalam kumpulan orang gelandangan yang tidur sekitar kaki lima di Bombay. Perbicaraan kes tersebut akan diadakan pada 31 Mac ini selepas sekian lama tertunda di mahkamah India yang terkenal dengan kes-kes tertangguh. - AP

Ana Raffali Tidak Akan Sorok Berita 'Berbadan Dua'

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer Ana Raffali berjanji untuk mendedahkan sendiri berita kehamilannya kepada khalayak jika dia ditakdirkan berbadan dua kelak. Pemilik nama penuh Nur Hidayah Mohd Raffali, 28, ini berkata, teka-teki mengenai perkara itu sering diperkatakan sejak dia berkahwin hampir setahun lalu tetapi dia belum dikurniakan rezeki tersebut sehingga kini. “Memang saya teringin sangat untuk mengandung. Siapa yang tidak mahu tetapi belum ada rezeki lagi. “Kalau betul ada (hamil), saya sendiri akan berkongsi berita itu kepada khalayak sebab sudah banyak kali ia diperkatakan,” luahnya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat. Ana berkata demikian sebagai respons kepada desas-desus kononnya dia dilihat berkunjung ke sebuah klinik, dipercayai bertujuan melakukan pemeriksaan kandungannya baru-baru ini. Ana dan pengurusnya Ahmad Aznaim Abdullah, 31, bernikah pada 25 Februari 2012 di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati dekat sini.
Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku itu berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar walaupun dia dan suami terus berusaha dan berdoa agar dikurniakan anak secepat mungkin. Mengenai kehidupan rumah tangga yang hampir mencecah setahun, Ana berkata, pengalaman bergelar isteri menjadikan dia insan yang lebih baik daripada sebelum ini. “Banyak yang kami pelajari sepanjang setahun berkahwin. Kami semakin saling mencintai hari demi hari. “Saya semakin sayang pada suami dan ia menjadikan saya insan yang lebih matang dan baik daripada semalam (sebelum ini),” katanya. Beralih pada kerjaya, Ana berkata, dia kini muncul dengan lagu terbaharu berjudul Jauh Ke Syurga yang dipromosikan menerusi secara dalam talian sejak minggu lalu. “Kita baharu buat pra pelancaran lagu itu sejak minggu lalu menerusi muat naik di laman YouTube. “Insya-Allah, kalau diizinkan saya akan hantar radio dan minta bantuan rakan-rakan di sana untuk putarkan di stesen masing-masing,” katanya yang mendedikasikan lagu ciptaan sepenuhnya itu kepada suami dan perkahwinannya.

Masyarakat Perlu Hormat Gelaran Diberi - Datuk Aznil

PETALING JAYA: Seseorang yang menerima sebarang kurniaan daripada kerajaan mesti dihormati dan setiap individu wajar memanggil mereka berdasarkan kepada gelaran yang diterima. Datuk Aznil Nawawi, 51, berkata, sesetengah pihak mungkin memandang remeh terhadap sesuatu gelaran tetapi sebagai individu, kita haruslah menanam sikap untuk menghormati setiap darjah kebesaran yang dikurniakan. "Kita perlu hormat dengan gelaran yang diberikan dan tidak wajar memperlekehkannya. "Sesuatu darjah itu adalah pengiktirafan yang tinggi dan tidak wajar sekiranya ada yang tidak menghormati penganugerahan tersebut," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat. Aznil dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) bergelar Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena Hari Wilayah Persekutuan pada Jumaat.
Ditanya adakah panggilan nama Pak Nil yang digunakan selama ini akan bertukar mengikut anugerah yang baru diberikan, pengacara itu berkata dia tidak kisah dengan nama apa yang mahu dipanggil kepadanya. "Tak kisah, panggillah saya apa-apa pun, tetapi biarlah kita menghormati individu yang memberikan anugerah tersebut. "Bagi saya ini merupakan satu pengiktirafan yang besar daripada pihak kerajaan yang pernah diterima. Ia sebagai penyuntik semangat untuk saya bekerja lebih keras buat masyarakat menerusi bidang penyiaran yang saya ceburi," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Aznil menafikan khabar angin kononnya bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini. "Saya tak terfikir pun untuk mendirikan rumah tangga pada usia ini, tetapi tidak menolak jika ada jodoh. "Bagaimanapun, jika ada yang mahukan saya, mereka mesti terima dengan kesibukan kerjaya saya sebagai seorang pengacara. "Tambahan pula dengan gelaran yang dibawa memberikan tanggungjawab besar buat saya kepada masyarakat," ujarnya.

Populariti Bukan Isu Besar Buat Shae

PETALING JAYA: Penyanyi baharu Indonesia, Shae (ganbar) menganggap dakwaan kononnya dia kurang dikenali di negara asal berbanding di negara ini sebagai isu yang tidak perlu dibimbangkan. Shae atau nama penuhnya Sheryl Gething, 19, berkata, dia mendapat tempat dan masih menerima tawaran di republik itu walaupun tidak sampai setahun menceburi bidang nyanyian. "Saya percaya sesuatu perkara (kurang diterima) berlaku dengan sebab-sebab tertentu. Benar, nama saya agak kecil dan perlahan di negara saya tetapi saya ada kemajuan sebenarnya. "Peluang (nyanyian) tetap ada dan peminat mulai menerima saya. Tidak banyak beza sama ada popular di negara mana pun," katanya ketika ditemui mStar Online di sini, petang Khamis. Penyanyi yang sedang popular dengan lagu Sayang ini berkata, dia lebih memikirkan mengenai mengembangkan kerjaya berbanding isu remeh seperti populariti. "Saya ceburi bidang ini kerana cintakan terhadap seni. Apa jua berlaku, sama ada diterima ramai atau sebaliknya saya tetap gembira. "Yang penting kerja keras untuk mengukuhkan nama dan kerjaya. Saya tidak tengok skala (populariti) tetapi penerimaan peminat terhadap muzik saya," katanya. Penyanyi berdarah kacukan Australia (bapa) dan Riau (ibu) ini berkata, penerimaan yang baik di kalangan masyarakat di negara ini bertitik tolak daripada kerja keras syarikat rakamannya Warner Music Malaysia. "Saya berterima kasih kepada pasukan Warner di sini yang bekerja keras mempromosikan saya sehingga makin dikenali di sini. "Saya mahu terus belajar untuk hasilkan lagu sendiri kerana tidak berpeluang untuk buat lagu sendiri dalam album pertama ini," katanya yang baharu melancarkan album berjudul The First, baru-baru ini.

Hajat Scha Mahu Jadi Pengacara Muzik Muzik Tercapai

PETALING JAYA: Pelakon Scha Al Yahya menyifatkan peluang mengacarakan program carta lagu popular Muzik Muzik (MM) 28 sebagai mimpi yang menjadi kenyataan. Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 30, berkata, dia tidak menyangka hasrat untuk mengembangkan kerjaya sebagai pengacara pada 2013 termakbul selepas menerima tawaran itu. "Memang pada tahun lepas saya sudah berniat untuk mencari peluang menjadi pengacara televisyen (TV) pada 2013. "Apabila TV3 merisik untuk uji bakat pada Disember lepas, saya mahu mencuba. Impian saya termakbul apabila diberikan peluang mengacarakan MM28," katanya kepada mStar Online. Scha ditemui pada pelancaran program itu di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, petang Khamis.
Scha bakal bergandingan dengan penyampai radio Hot FM iaitu AG dalam MM28 yang disiarkan bermula Sabtu ini pada pukul 5 hingga 6 petang di TV3. Isteri kepada pengacara Awal Ashaari ini berkata, perkara terpenting mengenai gandingan julung kali bersama AG adalah membina keserasian antara mereka. "Saya berharap AG dapat bertolak ansur dan saling membantu. Saya juga perlu pandai selarikan diri untuk dapatkan keserasian. "Komitmen program ini lama iaitu sehingga setahun, jadi saya harap dapat meningkatkan mutu mengacara dan mempelbagaikan karakter agar sebati dengan MM28," kongsinya yang mendapatkan pandangan Awal sebelum menerima tawaran terbabit. AG pula berkata, dia percaya aspek keserasian antara mereka akan diperoleh sepanjang rakaman mingguan program itu.
"Saya harap Scha akan membantu kerana ini gandingan pertama kami. Namun, saya percaya keserasian kami akan meningkat dari masa ke semasa pada rakaman mingguan yang bermula hari ini (Khamis)," katanya. Dalam pada itu, penerbit program berkenaan Azman Ghaffar berkata, pemilihan Scha dan AG tidak membimbangkan produksi kerana pengalaman mereka. "Kami tidak risau dengan keserasian kerana ia akan diperoleh nanti. Mereka berbakat dan banyak pengalaman mengacara sebelum ini,” katanya. Masih mengekalkan carta 20 lagu terbaik dan pencalonan baharu pada setiap minggu, MM28 tampil dengan konsep infotainment dalam berkongsi perkembangan semasa industri muzik di dalam dan luar negara. Bermula musim ini, tiga segmen baharu iaitu Buzz Buzz, HOTdan Gosip Fifiturut diperkenalkan.

Jimmy Shanley Kini Deejay U FM

PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley mencuba satu lagi kerjaya baharu apabila bergelar deejay di sebuah stesen radio yang dikenali sebagai U FM. Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 33, berkata, dia memulakan tugasnya di stesen radio berkenaan sejak Isnin lalu menerusi segmen pagi bermula pukul 6 hingga 10 pagi. “Saya masih lagi dalam percubaan di stesen radio berkenaan dan setakat ini sambutannya agak menggalakkan walaupun stesen ini masih lagi belum dikenali kerana ia baru sahaja beroperasi iaitu kira-kira dua minggu lalu,” katanya kepada mStar Online di sini pada Khamis. Kata Jimmy, buat masa ini stesen radio tersebut hanya beroperasi di Lembah Kelang dan ia boleh diikuti menerusi frekuensi 101.3 FM. Jimmy bertugas bermula dari hari Isnin sehingga Jumaat. Hasrat menjadi deejay itu jelasnya adalah secara kebetulan apabila pada mulanya dia mahu mendapat penajaan bagi sebuah projek kerana khidmatnya sebagai perunding untuk pasukan Kelab Bola Sepak Pulau Pinang. “Hajat pertama saya lain tetapi tak sangka pula akhirnya saya ditawarkan untuk berkhidmat sebagai deejay di stesen radio itu,” kata Jimmy. Menurut Jimmy, dia tiada masalah untuk mengendalikan stesen radio kerana sudah mempunyai pengalaman ketika bertugas dengan radio Era FM selama setahun bermula tahun 2007. Sementara itu dalam perkembangan lain Jimmy berkata, dia begitu merindui dunia pengacaraan dan berhasrat untuk aktif dalam bidang berkenaan selepas menamatkan pengajiannya peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di UiTM Shah Alam dekat sini pada Jun ini. Mengenai kehidupannya sebagai duda selepas bercerai dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy pada Oktober tahun lalu Jimmy berkata, dia menyerahkan kepada takdir untuk menemukannya dengan mana-mana wanita solehah. “Kebanyakan wanita yang saya kenal mereka sudah menjadi milik orang. Sekarang ni saya tak mahu cari. Kalau ada tu… adalah. Jujurnya saya tidak memilih asalkan wanita itu boleh sehidup semati dengan saya, cukuplah,” katanya. Hasil perkahwinan dengan Nursuhaila Eliani, Jimmy mendapat seorang anak perempuan iaitu Zahrah Shanley yang kini berusia dua tahun.

Linda Onn Sudah Usaha Cari Calon Suami

AMPANG: Penyampai radio, Linda Onn menyifatkan khabar angin kononnya dia akan berkahwin dalam masa terdekat sebagai satu doa semua pihak yang ingin melihat dia dapat menamatkan zaman bujangnya secepat mungkin. Linda atau nama sebenarnya, Rozlinda Onn, 35, berkata, sebagai seorang wanita dia telah berusaha untuk mencari pasangan hidup namun segala-galanya ditentukan Allah. "Saya ada berusaha untuk mencari pasangan namun terlalu peribadi untuk saya kongsi tetapi semuanya berbalik kepada jodoh. Mungkin suatu hari nanti jika diizinkan saya akan berkahwin. "Apabila orang mengatakan saya akan berkahwin saya menganggap itu sebagai satu doa daripada mereka dan mungkin ia akan dimakbulkan. "Ibu bapa saya juga tidak pernah memaksa atau meletakkan tempoh khusus untuk saya berkahwin dan bersyukur mereka sentiasa menyokong," jelasnya. Linda ditemui selepas majlis memperkenalkan menu terbaharu di restorannya iaitu My Mom's Chicken Rice (MMCR) di sini pada Khamis. Menu Nasi Ayam Salai Lemak Cili Padi itu dihasilkan dengan kerjasama juara Masterchef Selebriti, Datuk Dr Fazley Yaakob. Dalam pada itu, Linda berkata, tumpuannya hari ini lebih kepada memperkembangkan perniagaan restoran yang dibukanya sejak tahun 2004. Katanya setakat ini dia telah mempunyai empat buah restoran MMCR serta sebuah spa kecantikan dan urut yang telah diusahakan sejak setahun lalu. "Setakat ini saya ingin betul-betul mengukuhkan perniagaan yang sedia ada terutama dari segi perkhidmatan dan kepuasan pelanggan selain sentiasa mahu mencari idea-idea baru untuk memastikan produk yang disediakan sentiasa segar. "Sebenarnya bukan mudah melakukan perkara itu tetapi atas semangat dan dorongan keluarga dan peminat, ia mula sebati dalam diri saya untuk terus memajukan diri," katanya.

Fazley Beri Peluang Peminat Nikmati Nasi Ayam Salai

AMPANG: Peminat yang mengimpikan untuk merasai resipi daripada air tangan Juara Masterchef Selebriti Malaysia, Datuk Dr Fazley Yaakob boleh memenuhi impian berkenaan selepas beliau menghasilkan menu terbaharu iaitu Nasi Ayam Salai Lemak Cili Api. Fazley, 34, berkata, menu itu digabungkan dengan masakan Negeri Sembilan yang dihidangkan dalam bentuk ayam salai bersama masak lemak cili api, sambal merah dan sambal terung hijau, sup serta beberapa ketulan nasi yang di gumpal seperti bebola. “Ia adalah masakan berbeza yang saya ilhamkan sendiri dalam usaha saya untuk mengangkat makanan Negeri Sembilan ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada mStar Online selepas majlis memperkenalkan menu itu di restoran My Mom's Chicken Rice (MMCR) milik pengacara Linda Onn cawangan Ampang di sini pada Khamis. MMCR satu-satunya restoran yang menyediakan menu berkenaan hasil kerjasama Fazley dan Linda untuk tempoh tiga bulan. Ia dijual dengan harga RM8.70 sepinggan. Kata Fazley, apa yang menariknya ayam untuk resipi tersebut dipanggang terlebih dahulu manakala kuah masak lemak yang dimasak berasingan akan dituang di atasnya ketika hendak dihidangkan.
Usaha menyediakan resipi itu kata Fazley dilakukan sebagai memenuhi impian peminatnya yang sering meluahkan hasrat untuk menikmati makanan daripada air tangannya sendiri selepas beliau menjadi juara dalam pertandingan Masterchef Selebriti. Ujarnya, buat masa ini beliau melakukan kolaborasi dengan menyediakan resipi berkenan di restoran milik Linda Onn cawangan Ampang dan akan meneruskan ke restoran-restoran terpilih tidak lama lagi dengan resipi berbeza. “Selepas tiga bulan, jika Linda berminat dengan resipi itu, mungkin kami akan bincangkanlah soal kontrak dan juga perkara-perkara lain. Buat masa ini saya anggap ia sebagai percubaan untuk membolehkan peminat saya merasi resipi daripada saya,” katanya yang tidak berhasrat membuka restoran kerana kesibukan masa. Selain itu Fazley akan menghasilkan sebuah buku masakan iaitu Dari Rembau ke Padang pertengahan Jun depan yang turut menyediakan aplikasi video bagi pengguna telefon pintar. Katanya, pemilik telefon berkenaan boleh mengimbas menu-menu terpilih untuk melihat bagaimana beliau menyediakan resipi berkenaan dalam bentuk video suara. Dalam perkembangan sama, Linda berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang dan peluang untuk membawa resipi baru ke dalam menu restorannya. Menyifatkan idea Fazley bertepatan dengan visinya, Linda berkata, dia tidak akan teris bekerjasama dengan Fazley pada masa hadapan jika projek pertama ini berjaya.

Sharnaaz Tetap Nikah Shila Walaupun Dihalang Keluarga

PETALING JAYA: Aktor Sharnaaz Ahmad akan tetap berpegang kepada pendiriannya untuk menjadikan Shila Amzah sebagai isteri walaupun berkemungkinan cinta mereka mendapat halangan keluarga. Pemilik nama penuh Sharnaaz Basir Ahmad, 28, itu berkata, dia akan terus menunggu respons positif daripada kedua ibu bapa Shila iaitu ND Lala dan Fauziah Sarman dengan penuh sabar dan hormat bagi melaksanakan niat suci itu. “Saya masih berpegang teguh pada pendirian dan keputusan untuk melamar Shila walaupun tidak dinafikan ia seperti tidak mendapat restu orang tuanya,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Jumaat. Konflik terbaharu dalam hubungan cinta pasangan artis itu timbul apabila hasrat Sharnaaz untuk memperisterikan Shila, 23, ditolak oleh ND Lala. Lebih memburukkan keadaan apabila usaha Sharnaaz untuk mengendurkan ketegangan menemui jalan buntu apabila ND Lala dikatakan mengelak untuk berkomunikasi dengan aktor itu. Aktor filem Juvana itu berkata, dia tidak akan berganjak daripada hasrat untuk memperisterikan Shila sekalipun ditentang oleh semua pihak.
“Kalau semua orang tak suka (untuk berkahwin), saya tidak peduli sebab yang hendak kahwin adalah saya dan Shila, bukannya saya hendak kahwin dengan orang lain. “Berat dan payah macam mana pun, saya tetap bersabar dan tunggu sehingga keadaan beransur baik, insya-Allah,” katanya. Ditanya adakah dia mendapatkan pandangan orang tuanya berhubung konflik itu, Sharnaaz berkata, ibu bapanya turut berkecil hati dan kecewa dengan situasi tersebut kerana dia dan Shila sudah saling mengenali dan berkawan dengan serius. “Kalau diikutkan orang tua saya memang sangat kecewa dengan sikap ibu bapa Shila tetapi kami tetap perlukan restu dan ‘lampu hijau’ mereka kerana ini membabitkan soal kahwin dan bukan perkara kecil. “Shila ada berpesan sebelum dia terbang ke China agar saya tunggu sehingga dia pulang semula ke Malaysia untuk perkembangan lanjut,” katanya yang kini sibuk di lokasi filem Gila Baby arahan Kabir Bhatia. Shila dan keluarganya tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan perkembangan masalah tersebut kerana mereka berada di China bagi urusan album penyanyi wanita itu. Pada 20 September tahun lalu Shila berjaya mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai juara Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China. Shila juga turut memenangi Lagu Terbaik menerusi lagu Patah Seribu dalam Anugerah Industri Muzik ke 19 (AIM19) yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam dekat sini pada 19 November 2012.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails