Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Faradhiya Cinta tak menjadi

HAMPIR satu dekad melayari hidup sebagai anak seni bukan satu jangka masa yang pendek buat wanita berkulit cerah ini. Bermacam-macam liku sudah dilalui oleh Faradhiya. Namun kini dia lebih realistik. Berbanding ketika darah muda menguasai diri, dewasa ini dia semakin matang seiring dengan peningkatan usia. Tidak ada apa lagi yang diharapkan oleh gadis kacukan ini selain mahu terus menerus menikmati kebahagiaan - nikmat yang harus dikecapi oleh setiap insan. Mengakui dirinya bertuah dek kerana perjalanan seninya lancar selama ini, Farahdhiya yakin itu berkat usaha gigih berterusan yang dilakukan sejak rasmi bergelar anak seni. Bagi wanita yang menginjak usia 29 tahun ini bidang seni dan dirinya cukup bersatu apatah lagi cita-citanya untuk bergelar penyanyi sejak di bangku sekolah sudah tercapai. Dia masih ingat lagi ketika mula-mula merakamkan lagu hampir sepuluh tahun yang lalu. Meskipun wajahnya masih lagi asing ketika itu, kekuatan lagu Bertakhta Di Hati membawanya bertahan sampai hari ini. Tuah lagu tersebut begitu besar sehingga mempopularkan namanya ke persada muzik tanah air. Paling tidak lagu itulah yang banyak membukakan pintu rezeki buat pemilik nama sebenar Farahdhiya Mohamed Amin sehingga berjaya menerobos tempat sebagai salah seorang penyanyi berbakat besar. Namun sejak akhir-akhir ini namanya sedikit tenggelam. Sudah kurang publisiti yang diberikan kepadanya sehingga menimbulkan seribu tanda tanya. “Saya tidak akan keluar cari publisiti jika tak ada benda nak cerita. Kalau ada produk baru atau ada perkara yang baik tak ada masalah," jelasnya memulakan bicara. Sedia berkahwin KURANG setahun sebelum usianya genap 30 tahun, dia tahu sudah pasti soal jodoh tidak akan terlepas daripada terus diajukan kepadanya. Mungkin bagi sesetengah orang yang berstatus bujang, dalam usia begitu mereka tertekan dek kerana belum bertemu jodoh. Berbeza dengan dirinya. Itu bukan masalah besar yang harus diambil pusing untuk terus menyesakkan kepalanya. “Dahulu saya pernah menyasarkan untuk berkahwin sebelum usia 30. Sampai sekarang pun rasanya kurang setahun sahaja masa yang ada untuk saya memenuhkan ‘janji’ tersebut. “Tapi saya tak terlalu kecoh nak berkahwin macam orang lain sebab saya anggap masih belum bertemu dengan lelaki yang sesuai untuk menjadi suami saya. “Kalau nak ikutkan memang ramai lelaki yang datang menghimpit. Mungkin ada beberapa perkara yang tak kena dan membuatkan pintu hati saya tak terbuka untuk mereka. “Saya memang cerewet dalam bab-bab macam ini. Saya tak mahu menggadaikan masa depan dengan memilih lelaki yang entah apa-apa hanya kerana nak berkahwin macam orang lain. “Ini bukan perkara main-main yang boleh kita cuba-cuba. Semua orang pun kalau boleh nak berkahwin sekali sahaja seumur hidup," jelasnya. Mengimbau kembali beberapa cerita cinta yang tidak menjadi sebelum ini, Faradhiya tidak pernah meletakkan harapan setinggi gunung setiap kali rapat dengan mana-mana lelaki. Baginya dalam fasa perkenalan macam-macam perkara boleh berlaku sama ada cinta tidak menjadi atau sebagainya. Tegasnya, dia tidak ada masalah untuk mencari teman lelaki tetapi untuk mencari calon suami, baginya bukan perkara mudah. Lebih-lebih lagi keluarganya pun tidak mendesak berhubung isu yang satu itu malah cukup memahami dan tak kisah andai kata jodoh lewat tiba. “Mungkin keluarga lebih suka saya tak kahwin lagi sebab hanya saya anak perempuan di dalam keluarga. Kalau sudah berkahwin nanti mungkin sedikit menjarakkan hubungan kami sebab saya dah berkeluarga," katanya sambil tertawa. Kecil hati Sejak muncul di persada seni, nama Farahdhiya lebih terkenal sebagai penyanyi berbanding bidang lakonan. Namun sejak membintangi beberapa buah drama namanya semakin memuncak sebagai pelakon. Sering kali diberikan dengan pelbagai variasi watak dia tidak pernah mengeluh namun baginya bidang nyanyian tetap diminati. “Saya tahu impak lagu pertama itu melekat sampai hari ini. Pergi ke mana-mana pun orang masih ingat lagu Bertakhta Di Hati. Sebab itu saya enggan meninggalkan bidang nyanyian walaupun rezeki banyak dalam bidang lakonan. “Bukan tak ada niat nak buat lagu baru tapi saya kekurangan masa. Saya pun dah rakam tiga lagu untuk dimuatkan di dalam album akan datang. Tapi sampai sekarang belum berkesempatan nak menghabiskan rakaman baki lagu lain," jelasnya satu persatu. Menggunakan khidmat komposer Julfekar sebagai penerbit album akan datang, wanita ini berharap agar produknya akan mendapat sambutan seperti sebelum-sebelum ini. Namun di dalam hati kecilnya dia menyimpan rasa perit apabila lagu Kau Telah Pergi kurang mendapat sambutan peminat. Tidak tahu di mana silapnya, perkara tersebut benar-benar membungkam hati kecilnya. “Saya ada lagu bagus tetapi tak jalan. Tak tahu nak cakap macam mana sebab itu memang produk yang bagus tanpa mendapat ruang sewajarnya. “Lagu tak sedap kalau diputarkan hari-hari pun akan sedap. Sama juga hal dengan lagu-lagu yang bagus tapi tak diputarkan di radio. Bila tak mendapat ruang yang sewajarnya sudah pasti lagu itu akan ‘mati’. “Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Walaupun sedikit terasa dengan perkara tersebut tapi saya telan dan belajar sesuatu mengenai bidang nyanyian. “Mungkin bila dah menghasilkan album penuh selepas ini saya kena bekerja dengan lebih keras untuk memastikan kelancaran album akan datang," jelasnya. Apa yang menarik tentang wanita ini, dia sebenarnya tidak pernah kisah dengan bakat-bakat baru yang muncul di persada seni tanah air. Tidak ada istilah tergugat dalam kamus hidupnya walaupun ramai beranggapan orang baru menenggelamkan muka lama. Menjelaskan perkara berkenaan, dia yang pernah membintangi drama Spa Q yakin yang rezeki ditentukan oleh Allah dan tidak sesama manusia. “Kalau kita berdisiplin, kerja keras dan ikhlas tak mustahil kita akan diterima sampai bila-bila. Saya tak tergugat dek kehadiran orang baru yang semakin ramai. “Masing-masing ada bahagian rezeki mereka dan saya tak kisah langsung mengenai perkara itu. Kalau orang suka dengan cara kita bekerja tidak mustahil itu akan membuka seluas-luasnya pintu rezeki. “Biarlah orang nak cakap apa pun asalkan saya tahu apa yang saya mahukan di dalam hidup," tegasnya.

Sheeda menangis di mahkamah!

SUDAH lama tidak mendengar cerita penyanyi Angkat Kaki, Sheeda. Ke mana agaknya Sheeda menghilangkan diri? Adakah dia masih aktif menyanyi atau sudah angkat kaki dari dunia seni? Pada hari Jumaat lalu,kami mendapat maklumat yang penyanyi dangdut itu berada di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur. Ada saksi yang berada di situ memberitahu, mereka melihat Sheeda menangis. Kenapa dia menangis? Bercerai lagikah penyanyi kelahiran Kelantan ini, atau bagaimana? Akhirnya Hits mendapat jawapan. Menurut Sheeda atau nama sebenarnya Sayyida Beevi M.Shahrul Hameed, ada sebab kenapa dia menangis teresak-esak di mahkamah. Hits: Sheeda menangis di mahkamah? Kenapa ya? Sheeda: Alhamdulillah. Saya menangis sebab terharu. Saya bersyukur sangat-sangat kerana Allah telah memperkenankan doa saya selama ini agar anak itu kembali kepada saya. Sebab terlampau gembiralah, saya menangis sebaik sahaja keluar daripada mahkamah. Anak mana satu ni? Sheeda: Anak saya hasil perkahwinan dengan suami kedua. Nama dia Nur Fazlinda Ahmad Fazli Mohammad, sudah 13 tahun usia dia sekarang. Siapa yang menjaga dia selama ini? Kenapa baru sekarang Shida nak bawa ke mahkamah? Sheeda: Memanglah selama ini saya yang jaga dia sejak lahir hingga usianya sekarang. Malah masa kami bercerai 13 tahun lalu pun, dia (bekas suami) tidak pernah nak ambil tahu, tiba-tiba dia hendak ambil duduk dengan dia. Apa ingat anak itu anak patungkah? Selama ini saya yang menjaga anak hingga besar sekarang. Dia ada bagi belanja bila sesekali berjumpa atau waktu hendak buka sekolah. Lain-lain perbelanjaan saya yang tanggung. Sampai bawa ke mahkamah, tak boleh selesai dengan berbincang? Bukankah itu lebih elok? Selama ini pun saya tidak pernah berkira dan menghalang bekas suami untuk berjumpa anak kerana saya bukanlah kejam. Apa yang membuatkan saya marah adalah tindakannya mengambil anak selama dua bulan untuk tinggal dengannya di Cheras. Pada saat itu, situasi mula jadi bercelaru. Kenapa pula? Sewaktu anak tinggal dengannya, saya dilarang bertemu atau berbual dengan anak. Kalau nak berjumpa pun, dia kena ada di hadapan, sampai begitu. Situasi itu membuatkan saya tidak selesa. Bila timbul kes begini, saya terpaksa ambil tindakan, guna peguam dan bawa ke mahkamah. Oh! puncanya begitu. Jadi sekarang bagaimana kesudahannya? Sheeda: Insya-Allah, saya hanya mahukan hak saya sahaja. Jika dia adil dan saksama dalam penjagaan anak selama ini, saya memang tidak kisah, boleh bergilir-gilir. Saya juga tidak mahu memisahkan kasih sayang antara ayah dan anak tapi biarlah saksama. Sepanjang anak tinggal dengannya, saya teramat rindu pada anak sebab dilarang berjumpa langsung. Apabila mahkamah memutuskan saya mendapat hak penjagaan sementara itu, saya agak lega. Bila anak akan kembali duduk dengan Sheeda? Sheeda: Saya sedang menunggu peguam, Fakrul Azman Abu Bakar buat surat dan apabila selesai, barulah saya ambil dia. Sepanjang dia tiada, saya bagaikan tidak bernyawa kerana selama ini kami tidak pernah berenggang. Sejak dia lahir, kami tak pernah berpisah lama. Walau apa pun, saya tetap nak dia kembali bersama saya kerana sebagai ibu, dia adalah nyawa saya. Apa reaksi suami (suami terkini, Syukri Hashim) apabila Sheeda berhadapan kes begini? Sheeda: Suami kata, dia tidak dapat membantu sekadar memberi sokongan dan semangat kepada saya kerana itu kes saya dengan bekas suami. Lagipun dia sekadar bapa tiri, jadi tidak ada hak untuk bersuara. Apa pun dia berharap semua bakal berakhir dengan baik kerana dia tahu keadaan saya akan jadi teruk apabila rindu sangat pada anak.

Intan bukan 'anak emas'

RASANYA ramai yang tahu artis-artis di bawah naungan syarikat produksi milik David Teo iaitu MIG Production tidak digalakkan untuk menjalinkan hubungan cinta. Terutamanya dengan individu yang turut berada di bawah naungan produksi tersebut. Tetapi lain ceritanya buat pelakon Intan Ladyana dan kekasihnya, Kamal Adli apabila percintaan mereka tidak mendapat tentangan daripada pihak pengurusan. Menyedari hakikat ini, Intan berkata hubungannya dengan Kamal boleh dikatakan seperti mendapat keizinan kerana mereka sudah bersama sebagai kekasih, sebelum Kamal Adli menyertai syarikat produksi terbabit. "Kami sudah menjalin hubungan sebelum Kamal menyertai syarikat itu lagi dan apabila dia mendapat tawaran tersebut, perkara ini ada dibincangkan. "Setelah dibawa berbincang, kami seperti mendapat keizinan untuk meneruskan hubungan tanpa sebarang tentangan oleh syarikat tersebut," katanya yang ditemui sewaktu majlis sidang akhbar Seindah Ramadan TV3 2013, baru-baru ini. Tambah Intan lagi, dia tidak menganggap mendapat pengecualian tersebut kerana dia merupakan 'anak emas' syarikat produksi itu tetapi sebaliknya ia menunjukkan sikap tolak ansur antara dirinya dan syarikat pengurusan. Kebelakangan ini juga kita sering mendengar keluhan beberapa artis di bawah naungan syarikat terbabit yang memilih untuk keluar daripada pengurusan tersebut, tetapi perkara sedemikian tidak berlaku kepada Intan. "Saya sedar ramai juga rakan-rakan artis yang memilih untuk keluar, tetapi setelah bersama untuk tiga tahun lebih, saya akui tidak mempunyai sebarang masalah sedemikian. "Tidak dinafikan sesekali timbul juga perselisihan, tetapi ia merupakan perkara kecil yang dapat diselesaikan apabila dibawa berbincang," katanya. Tambah Intan lagi, hubungan cintanya bersama dengan Kamal adalah suatu yang serius. Mereka juga mempunyai hala tuju untuk menamatkannya dengan perkahwinan. Tetapi bukan dalam waktu terdekat ini. Antara artis-artis yang pernah meninggalkan pengurusan MIG Production sebelum ini termasuklah Maya Karin, Azad Jazmin dan Aeril Zafrel.

Bienda jual kek

MULA dikenali sebagai penyanyi, kemudian mengorak langkah menjadi pelakon dan seterusnya bergelar pengacara, Nor Razlinda Razli atau Bienda kini meluaskan skop pendapatan dengan berniaga kecil-kecilan. Dia ini menjalinkan usahasama dengan tukang masak terkenal, Chef Yang Jamil membuka sebuah perniagaan yang berpaksikan produk kek cawan. Kolaborasi itu tampak bernas, apatah lagi Yang Jamil mempunyai pengalaman 40 dalam bidang masakan dan pernah membuka restoran bertaraf antarabangsa di Belanda dan Afrika. Sementara Bienda memiliki populariti dan pengaruh tersendiri selaku hos program bual bicara Nasi Lemak Kopi O yang disiarkan di TV9. Justeru, setelah saling mempersetujui, muncullah perusahaan kek cawan yang dijenamakan 'e-kekcawan' yang berkonsepkan perniagaan kiosk yang menumpukan hab tumpuan awam terutamanya pusat membeli-belah. Menurut Bienda, kerjasama yang dijalinkan itu diharap boleh diperkembangkan memandangkan kek cawan bukan sahaja enak, malah cukup ringkas dan sesuai untuk golongan yang sering mengejar masa. "Kek cawan sedang menjadi kegilaan pada masa kini kerana reka bentuknya yang menarik dan cantik, sekali gus mampu membuka selera setiap orang yang memandangnya. "Lagipun, ini satu hidangan yang ringkas, murah dan mudah dibawa ke sana sini. "Selain kek cawan, kiosk kami turut menjual kek lain dalam pelbagai saiz, bentuk dan perisa serta beberapa jenis makanan pastri lain. Harga yang ditawarkan bagi setiap produk adalah berpatutan dan tidak melebihi harga pasaran semasa," katanya. Di samping itu, menerusi perniagaan yang sama, Bienda dan Yang Jamil turut memberi ruang dan peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi pengendali perniagaan mereka dalam usaha melebarkan cawangan 'e-kekcawan' ke serata Malaysia. Kata Yang Jamil, hanya bermodalkan antara RM100,000 hingga RM200,000 setiap pelabur dijangka mampu mengutip pulangan sehingga RM20,000 sebulan bergantung kepada lokasi. "Menjelang 2016, kami akan membuka 100 outlet termasuk di Sabah dan Sarawak secara berperingkat supaya setiap wakil yang dilantik mendapat sentuhan peribadi daripada saya sendiri. "Berita baik buat peniaga peniaga kecil, kami sedang berusaha dan berkerja dengan koperasi koperasi dan juga bank untuk mendapatkan pinjaman. "Pinjaman tersebut dapat membantu anak bumi kami untuk berjaya dalam perniagaan ini," tambahnya.Mereka berharap ia mampu menarik golongan siswazah, surirumah tangga, malah bakal pesara untuk menyertai perniagaan yang menjanjikan pulangan yang lumayan ini.

Tunggu masa sesuai - Ashraf Muslim

SELEPAS memilih untuk mengurangkan aktiviti lakonan dan mendalami bidang perubatan Islam, nama Ashraf Muslim nampaknya menjadi semakin panas dan terus panas. Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah ini dicari dan dikejar merata, semata-mata untuk mendapatkan berita, benarkah dia mahu mengamalkan poligami, hanya selepas dua tahun bernikah dengan Noor Dayana Lokman? Banyak perubahan baik yang dilakukan jejaka berusia 32 tahun ini berjaya melonjakkan namanya (berbanding zaman berlakon), tetapi selagi seseorang itu bergelar selebriti, pastinya tidak mampu untuk lari daripada gosip-gosip liar atau tohmahan negatif. Berkuat kuasa pada tarikh 2 Jun lalu, Ashraf dikhabarkan telah meletakkan jawatannya selaku COO di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah, tidak beberapa lama selepas dikaitkan dengan gosip berhubung isu poligami. Setelah beberapa minggu mengelak daripada dihubungi pihak media, Ashraf tampil memberikan sedikit sebanyak kisah daripada pihaknya kepada media dalam sidang akhbar Seindah Ramadan TV3 2013 yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Sedar akan cerita-cerita buruk yang berkisar tentang dirinya, Ashraf memilih untuk mendiamkan diri daripada memberikan sebarang kenyataan buat masa ini. "Sebagai seorang lelaki dan suami, saya mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan sebarang masalah yang tiba, dan buat masa ini saya memilih untuk mendiamkan diri. "Saya mengambil langkah ini kerana beberapa sebab, antaranya adalah untuk menjaga hati individu-individu yang terlibat selain tidak mahu menimbulkan sebarang salah faham. "Insya-Allah apabila sudah tiba masa yang sesuai saya akan mengadakan satu sidang akhbar khusus untuk menerangkan perkara dan situasi yang sebenar," katanya. Ashraf yang telah bergelar suami kepada Dayana pada 30 Ogos 2011 memberitahu tiada gunanya dia memberikan sebarang kenyataan balas berhubung gosip tersebut kerana itu adalah fitnah dibuat orang terhadap dirinya. "Soal berhubung poligami ini adalah suatu perkara yang serius dan mungkin menimbulkan perselisihan. Ada yang berpendapat positif manakala selebihnya pula berpendapat negatif. "Tetapi saya sedar bukan hak saya untuk menghalang sesiapa sahaja daripada membuat sebarang kenyataan, cuma saya ingin bertanya apakah salah saya sehingga diperlakukan sedemikian?," kata Ashraf. Bertanya lanjut mengenai soal poligami, kata Ashraf, lebih elok jika dia tidak terlalu terbuka soal itu. Tentang tindakan seorang wanita yang dikenali sebagai Sakinah memberi kenyataan kepada sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan bahawa isteri kepada Ashraf iaitu Dayana sudi untuk bermadu dengannya, Ashraf mengakui perkara tersebut juga merunsingkan dirinya. "Tidak lama selepas berita itu tersebar, saya sendiri menghubungi wanita tersebut bertanyakan hal sebenar. Namun menurutnya dia tidak pernah berbuat demikian. Maknanya, itu bukan kenyataan daripada dia. "Secara jujur saya juga kecewa dengan perkara yang berlaku. Mungkin pihak-pihak yang memulakan gosip ini mempunyai kepentingan tersendiri tetapi saya tidak mahu bercerita tentang perkara tersebut lagi," katanya lanjut. Sayang isteri Perkahwinan yang dibina Ashraf bersama isterinya, Dayana baru sahaja mahu menginjak ke usia dua tahun tetapi apabila timbulnya gosip sedemikian (poligami) pastinya ia akan menimbulkan suasana kurang manis di antara pasangan terbabit. Antara sebab Ashraf membuat keputusan untuk berdiam diri juga adalah untuk menjaga hubungan di antara dirinya dan isteri dan juga seluruh ahli keluarga. "Gosip-gosip seperti ini bukan perkara baru bagi saya, dan saya yakin mampu mengawalnya. Akan tetapi bagi isteri dan keluarganya, ini adalah suatu perkara yang baru buat mereka. "Pastinya gosip sedemikian akan memberikan mereka juga tekanan, apatah lagi buat isteri saya. Tetapi mujurlah dia dan keluarganya mengetahui perkara sebenar berhubung diri saya. "Apa yang mahu saya katakan, saya amat menyayangi isteri saya," katanya dengan jelas dan tenang sewaktu ditemubual. Dalam setiap perkahwinan, pasti akan ada dugaan dan cabaran yang dihadapi, apatah lagi sekiranya perkahwinan yang dibina itu masih lagi berusia muda dan Ashraf sendiri menyedarinya. "Saya menganggap kejadian ini merupakan suatu dugaan dan cabaran kecil dalam hidup saya dan Insya-Allah, semuanya akan selesai tidak lama lagi," jelasnya.

Umie Aida Mahu Anak-Anak Faham Hidup Susah

Pelakon Umie Aida tidak mahu dua orang anak angkatnya sentiasa berada dalam kehidupan selesa sebaliknya perlu bersedia untuk melihat bagaimana kehidupan seseorang yang hidup susah. Umie atau nama sebenarnya Umi Kalsum Rahmad Ali, 40, berkata, kerana itu dia mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak-anaknya iaitu Mohd Daniel Firdaus, 20, dan Mohd Dzulhelmy, 19, agar mengenali cara kehidupan golongan yang tidak bernasib baik. "Sebagai pelakon saya sering membawa pelbagai watak terutamanya sebagai orang susah dan pengalaman itu banyak mengajar saya erti bersyukur. "Dan bagi mendidik anak-anak mengenal erti kesyukuran, saya sering berkongsi cerita mengenai apa yang saya lihat dan rasai. "Malah ada kalanya jika mempunyai masa terluang, saya akan membawa mereka ke rumah-rumah kebajikan bagi merasai sendiri suasana kehidupan bersederhana. Saya tak mahu mereka hanya tahu hidup senang sahaja," katanya. Bagaimanapun, tambah Umie, dia bersyukur dan gembira kerana anak-anaknya itu cukup faham erti hidup dalam kesederhanaan dan tidak membangga diri dengan kemewahan yang dimiliki. Sementara itu, pengalaman menjalani kehidupan sebagai individu yang kurang bernasib baik juga turut dirasai Umie menerusi lakonannya dalam drama berjudul Ummi yang kini sudah pun bermula siarannya di TV3, setiap Ahad, pukul 9 malam. Umie berkata, drama arahan Faisal Ishak itu benar-benar sukar untuk dia lakonkan terutama dalam usaha menjiwai watak seorang wanita yang ditinggalkan suami dan terpaksa menjaga tiga kanak-kanak yang tiada pertalian darah dengannya. "Sebenarnya sudah menjadi kebiasaan saya melakonkan watak-watak seorang wanita yang susah dan selalu menangis. Cuma cabarannya di sini adalah saya perlu memberi fokus pada emosi lakonan itu. "Dalam drama itu, saya perlu mengutip sampah dan berpanas di bawah cahaya matahari. Apabila melakukan kerja-kerja itu, terdetik di hati saya, bagaimana kuatnya seseorang wanita yang melakukan kerja sebegini. Saya kagum dengan mereka. Alhamdulillah, saya dapat melakonkannya dengan baik," ujarnya. Drama Ummi turut membariskan pelakon Khyreena Kemal (Chonel), Danish Adam (Amir) dan Ahmad Fadzli Masri (Danish).

Hanez Suraya Gagal Lupakan Awi Rafael

Pelakon Hanez Suraya mengakui masih gagal untuk melupakan bekas kekasihnya, penyanyi Awi Rafael biarpun hampir sebulan hubungan cinta mereka berakhir. Hanez, 28, berkata, dia kini dalam proses memulihkan kembali semangatnya selain berusaha untuk menyesuaikan hidup bersendirian. "Susah untuk melupakan dia kerana saya benar-benar sayangkan dia, namun saya perlu terima keputusan ini. "Sebelum buat keputusan untuk putus hubungan, kami sudah berpisah lama dan dalam tempoh sebulan itu kami cuba untuk perbaiki hubungan tersebut tetapi gagal," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Drama Autumn Di Hatiku, di sini, Isnin. Dia turut menafikan sebarang campur tangan pihak ketiga dalam perpisahan tersebut.
"Kalau ada pihak ketiga pasti ada berlaku perbalahan tapi ini tidak. Perpisahan kami disebabkan hubungan kami ‘panas’ dan sering kami juga bertengkar. "Apa sahaja perkara, kami sudah tidak sehaluan dan akhirnya kami ambil keputusan untuk berpisah," ujarnya. Bagaimanapun, jelas Hanez, buat masa ini, dia belum mampu untuk menerima mana-mana cinta lain sebagai pengganti. "Saya tidak mahu lukakan hati sesiapa kerana jika saya berkawan dengan lelaki, ia pasti hanya untuk melepaskan rasa sedih ini. Biarlah buat masa ini saya sendiri dan fokus kepada kerjaya saya sepenuhnya," ujar Hanez. Hanez bakal muncul dengan drama bersiri pertama terbitan laman Tonton iaitu Autumn Di Hatiku yang mula bersiaran Rabu ini, pada pukul 12 tengah hari.

Ezlynn Tidak Tertekan Ditanya Soal Anak

Penyanyi dan pelakon Ezlynn tidak tertekan apabila sering diasak dengan pertanyaan mengenai anak selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga dengan pengurusnya, Adam Fahmi. Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 31, sebaliknya berkata, mereka masih berusaha untuk mendapatkan cahaya mata namun rezeki masih belum menyebelahi mereka. "Saya dan suami tidak pernah merancang tetapi masih belum rezeki kami untuk mendapatkan cahaya mata. Bagaimanapun kami tidak tertekan dengan situasi ini kerana yakin akan tiba masa untuk kami nanti," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini. Ezlynn dan Adam, 35, sah bergelar suami isteri pada 20 November 2011 dalam satu upacara yang berlangsung di Sime Darby Convention Centre, di sini. Dalam perkembangan sama, Ezlynn berkata, keluarga kedua-dua belah pihak juga tidak pernah membangkitkan soal berkenaan kepada mereka namun mengharap rumah tangga yang dibina itu akan diserikan dengan kehadiran cahaya mata. Bagaimanapun kata Ezlynn, dia tahu keluarga sebelah suaminya mengharapkan kehadiran cucu kerana Adam adalah anak pertama dalam keluarganya. "Sebelah keluarga suami masih belum ada yang berkahwin dan sudah tentu harapan itu agak tinggi diletakkan kepada kami namun keluarga mertua juga memahami dan tidak pernah membangkitkan soal tersebut," jelasnya. Sementara itu, Ezlynn berkata, dia semakin memahami Adam yang juga pengurusnya dan semakin bijak membezakan soal kerjaya dan peribadi. "Sebenarnya tidak banyak perbezaan tetapi kami semakin saling memahami di antara satu sama lain dan kami bahagia bersama," katanya. Dalam perkembangan lain, Ezlynn berkata, dia bakal merakamkan sebuah lagu ciptaan penyanyi Dina Nazir bersempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri sebelum memasuki studio untuk album penuh terbaharunya. Jelas Ezlynn, dia tidak mahu terburu-buru untuk menyiapkan album tersebut kerana ingin menkaji terlebih dahulu citarasa pendengar supaya ia dapat diterima dengan meluas. "Saya mahu buat sesuatu yang boleh meninggalkan kesan kepada pendengar dan peminat sebab itu tidak mahu terburu-buru merakamkan album itu nanti," katanya.

Shahrizal Jazsle Akui Semakin Tertekan Dengan Isu Khalwat

Pelakon Shahrizal Jaszle mengakui semakin tertekan dengan kontroversi yang melandanya ekoran ditangkap khalwat bersama seorang wanita selain diasak dengan pelbagai pertanyaan berhubung kejadian itu oleh pelbagai pihak. Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle, 25, berkata, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan untuk bermuhasabah tentang kejadian khalwat itu. "Terus terang saya tidak tahu lagi ingin cakap apa mengenai kes tersebut supaya masyarakat dapat memahami situasi saya. "Saya berasa letih dengan kontroversi tersebut dan ingin berehat seketika supaya dapat menenangkan fikiran," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini. Tambah Shahrizal, dia juga mengambil keputusan itu selepas tidak pernah mengambil cuti daripada berlakon sejak beberapa tahun lalu. Pada 16 Mei lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu kenyataan medianya mengesahkan telah menahan Shahrizal atas tuduhan khalwat di Apartment Taman Sri Subang, di sini, pada pukul 3.30 pagi. Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan. Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Kes tersebut akan disebut di Mahkamah Syariah pada 12 November depan. Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia enggan lagi mengulas kes berkenaan mahupun hubungan dengan tunangnya dengan Redzwani Puteri kerana sedar jawapannya tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak. Jelasnya, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri daripada terus bercakap tentang kes tersebut dan menunggu perbicaraan di mahkamah penghujung tahun ini. "Macam-macam saya kena hentam dan pelbagai pertanyaan yang diajukan sehingga saya tidak tahu lagi hendak menggunakan ayat apa bagi mempertahankan diri. "Jalan paling baik adalah berdiam diri selepas ini dan tunggu perbicaraan di mahkamah kelak," ujarnya. Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian.

Komposer Julfekar Rebah Ketika Hendak Bersukan

Komposer Julfekar Ahmad Shah mengalami kecederaan pada bahagian tulang belakang ketika sedang bersiap-siap untuk bermain badminton di sebuah kompleks sukan Cheras, dekat sini pada Ahad. Julfekar, 49, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pada pukul 9.30 pagi ketika dia sedang menunduk untuk mengikat tali kasut di rumahnya sebelum terdengar bunyi sesuatu pada bahagian pinggangnya yang membuatkan dia rebah. "Ketika itu saya bersama dua artis saya iaitu Min Yasmin dan Hafeez Hai. Mereka mengajak saya bersukan bermain badminton bersama. "Memandangkan saya tidak pernah bersukan, jadi saya cukup bersemangat dengan membeli satu set peralatan dan pakaian sukan. "Tetapi tak sangka pula, ketika saya memusing badan untuk mengikat tali kasut, tulang belakang saya berbunyi dan ketika itu saya terus tak boleh nak bergerak," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin. Tambah Julfekar, akibat kejadian itu, dua artis berkenaan telah menghubungi ambulans dan dia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, dekat sini bagi mendapatkan rawatan.
Tambah Julfekar, pemeriksaan awal mendapati terdapat gelinciran pada tulang pinggulnya tetapi pihak hospital akan dapat mengesahkan perkara itu selepas membuat rawatan susulan pada 12 Julai depan. "Doktor meminta saya untuk berehat sebelum menjalani pemeriksaan MRI (imbasan resonen magnetik). "Tetapi saya tidak boleh duduk diam kerana banyak kerja yang perlu dilaksanakan. Seperti hari ini (Isnin), saya mempunyai rakaman lagu raya bersama dengan artis-artis syarikat saya, MilleniumArt dan Dream Music Sdn Bhd.," ujarnya yang dibenarkan keluar pusat perubatan itu kira-kira pukul 5 petang hari yang sama. Dalam pada itu, Julfekar berkata, kecederaannya itu telah memberikan sedikit peringatan untuknya mengenai keperluan menjaga kesihatan diri. "Sebelum ini saya tidak pernah berasa akan melalui kesakitan yang sangat perit seperti ini. Tetapi apabila perkara ini berlaku baru saya sedar, penjagaan kesihatan amat diperlukan. "Tambahan pula, doktor kata berat badan saya melebihi daripada yang sepatutnya. Mungkin selepas ini saya akan lebih kerap menjalani rutin senaman," ujarnya sambil memberitahu kejadian tersebut telah membuatkan dia hampir-hampir pitam.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails