Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Diana Amir nikah tahun ini juga
SEMENJAK mengambil keputusan untuk berhijab kira-kira dua tahun lalu, ternyata pelakon Diana Amir sudah agak jarang muncul di kaca televisyen atau layar perak.
Berkesempatan menemui Diana pada majlis berbuka puasa anjuran Metrowealth baru-baru ini, dia mengakui terpaksa menolak banyak tawaran berlakon lantaran watak yang kurang sesuai.
Kali terakhir berlakon dalam filem Salam Cinta pada tahun lalu, Diana menyatakan, sehingga kini dia masih lagi aktif berlakon dan kekal bernaung di bawah Metrowealth sehingga bulan Februari 2015.
Diana yang turut bergelar pengacara rancangan SIS terbitan TV9 itu berkata, kini dia masih lagi menunggu sekiranya ada tawaran yang memerlukannya membawa watak yang sesuai dengan penampilannya sekarang.
Kosmo!: Ketika ini Diana dilihat seperti sudah tidak aktif berlakon. Adakah Diana mahu melupakan terus bidang lakonan?
DIANA: Perkara tersebut memang benar-benar terjadi sejak saya mengubah penampilan kepada bertudung sekarang. Tawaran berlakon masih lagi ada, cuma watak yang diberikan tidak sesuai dengan penampilan saya.
Bagaimanapun, saya tidaklah terlalu memilih sangat apabila ditawarkan berlakon dan tidak semestinya saya memilih drama atau filem yang berbentuk keagamaan.
Asalkan jalan ceritanya yang memberi mesej positif kepada penonton pun saya terima.
Adakah Diana pernah mengadakan perbincangan tentang masa depan karier lakonan anda dengan Metrowealth?
Saya pernah berbincang dengan bos Metrowealth iaitu David Teo tentang karier saya. Kemudian dia memberitahu bahawa setakat ini masih belum ada filem atau drama yang sesuai untuk ditawarkan kepada saya.
Sebenarnya saya tidak kisah kalau tidak banyak mendapat tawaran kerana percaya rezeki itu di tangan Allah. Lagipun, kalau tidak berlakon saya masih ada lagi punca pendapatan lain untuk menampung kehidupan seharian saya.
Memandangkan anda tidak aktif berlakon, apakah aktiviti yang dilakukan sekarang?
Baru-baru ini saya baru sahaja menerbitkan sebuah buku motivasi berjudul Titisan Mahabbah terbitan Mustread Publication yang telah dilancarkan kira-kira dua minggu lalu dan sambutan yang diterima memang sangat memberangsangkan.
Selain itu, saya juga menjalankan perniagaan menjual tudung jenama Emel secara dalam talian serta diundang untuk memberi ceramah tentang etika dan ketrampilan wanita di beberapa syarikat korporat.
Anda sudah mengikat tali pertunangan dengan Mohd. Habib Bullah A. Rahman pada tahun lalu. Jadi, bilakah kalian akan melangsungkan perkahwinan?
Kalau mengikut kepada perbincangan semasa bertunang dahulu, memang kami ikat selama setahun dan sepatutnya perkahwinan akan dilangsungkan pada bulan September depan.
Bagaimanapun, perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan kerana persediaan perkahwinan masih belum dilakukan lagi.
Sebenarnya saya tidak mahu tangguh lama-lama dan kalau boleh saya tetap ingin berkahwin pada tahun ini.
Lagipun sekarang saya sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri tetapi sebagai seorang wanita saya cuma menunggu tarikh yang akan diberikan oleh tunang saya.
Apakah aktiviti yang anda lakukan sepanjang bulan puasa?
Sepanjang tempoh sebulan ini kelas agama bersama kumpulan Usrah Fitrah dihentikan buat sementara waktu untuk memberi tumpuan kepada amal ibadat.
Ketika ini, saya bersama ahli Usrah Fitrah yang lain seperti Heliza Helmi, Irma Hasmie dan Yatt Hamzah bekerjasama dengan Masjid As-Syakirin di KLCC menganjurkan program tarbiah, solat tarawih dan qiamullail.
Siti Nordiana Anggap Nubhan Seperti Adik
Penyanyi Siti Nordiana menjelaskan hubungan akrabnya dengan penyanyi Nubhan, 27, adalah seperti adik beradik dan tidak lebih daripada itu.
Siti Nordiana atau lebih mesra dipanggil Nana, 29, berkata, penyanyi lelaki itu merupakan rakan baiknya yang sering berkongsi masalah dan membantu ketika dalam kesusahan.
"Ya, Nubhan antara kawan lelaki yang rapat dengan saya tapi bukan dia sahaja, ramai lagi cuma mungkin orang hanya kenal dia sebab dia artis.
"Bagaimanapun saya anggap dia sebagai adik sahaja kerana dia memang seorang yang baik dan sering membantu jika saya dalam kesusahan," katanya kepada mStar Online.
Tambah Nana, anaknya Muhammad Rayyan Nakhaie yang kini berusia lapan tahun juga mesra dengan bekas pelajar Akademi Fantasia keenam itu.
"Keluarga kami baik mungkin kerana kami masing-masing dari negeri yang sama iaitu Negeri Sembilan, emak Nubhan selalu masak sedap-sedap dan panggil kami untuk makan," katanya.
Bagaimanapun, ditanya tentang rancangan untuk membina rumah tangga sekali lagi, Nana berkata, hatinya belum terbuka untuk itu.
"Memang ada terfikir untuk berkahwin semula dan ingin cari ayah kepada Rayyan tetapi itu semua adalah ketentuan Allah.
"Saya hanya menerima jika ada jodoh yang datang, namun buat masa ini biarlah saya fokus untuk cari rezeki dan besarkan anak," katanya.
Tambah Nana, ada lelaki yang cuba menghampirinya namun ke banyakkan mereka tidak serasi dan kurang memahami dirinya sebagai ibu tunggal.
"Ada juga lelaki yang cuba ingin berkawan dengan saya tetapi mereka tidak faham tanggungjawab saya sebagai ibu tunggal.
"Ada juga yang tidak serius dan sekadar suka-suka sahaja," katanya.
Nora Danish Henti Jual Bedak Sejuk
Pelakon Nora Danish terpaksa menghentikan sementara penjualan produk bedak sejuk ‘Tanaka’ kerana mahu mendapatkan kandungan yang lebih berkualiti daripada pengeluar bedak itu di Myanmar.
Nora, 30, berkata selain daripada itu dia kecewa apabila terdapat pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan namanya bagi menjual produk yang sama.
"Buat masa sekarang saya menghentikan penjualan bedak tersebut kerana pihak kami sedang mencari kandungan bedak yang betul-betul baik yang kita akan ambil terus dari Myanmar.
"Dulu saya ambil daripada sebuah kedai namun selepas saya promosi dan jual ramai pula yang serbu kedai tersebut dan jual bedak yang sama," katanya ketika ditemui mStar Online.
Nora yang mula menjual produk bedak sejuk yang diberi nama ‘Tate Dea by Nora Danish’ itu sejak awal tahun lalu menganggap ia sebagai bedak tradisional keturunan Myanmar.
"Saya berketurunan Myanmar dan memang bedak ini diperbuat daripada kayu ‘Tanaka’ yang menjadi bedak tradisional masyarakat Myanmar.
"Kalau boleh saya mahu memperkenalkannya di Malaysia kerana ia memang bagus untuk menjadikan kulit licin dan cantik," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nora dan tujuh selebriti lain telah dilantik sebagai duta Anugerah Syawal TV3 untuk mempromosikan program terbaik terbitan stesen tersebut sepanjang bulan Syawal ini.
Dia juga bakal membintangi telefilem berjudul Ijab dan Kabul bergandingan dengan pelakon Adi Putra yang akan bersiaran pada 18 Ogos, pukul 10 malam.
Saida Sudah Bertudung
Sempena keberkatan bulan Ramadan ini, penyanyi yang juga kakak kepada Dato' Siti Nurhaliza, Saida telah mula mengenakan hijab atau bertudung.
Perkara ini disahkan sendiri oleh kakak ipar Saida yang juga pengurus Siti Nurhaliza, Rozi menerusi akaun Instagramnya.
"Masuk opis hari ni, terpercik cahaya dari bilik sebelah..ingatkan ada lentera timur..rupanya lentera Kuala Lipis. Cahayanya terpantul membelah dinding..hehe. Penghijrahan 16 Ramadhan yg manis. @saidatarudin," tulisnya sambil memuat naik foto Saida yang ayu mengenakan tudung.
sumber : media hiburan
Aeril Zafril & Wawa Zainal Jalin Hubungan Cinta Senyap-Senyap?
Pelakon Aeril Zafril sebeum ini pernah dikaitkan bercinta dengan Ummi Nazeera namun masing-masing menafikan dakwaan tersebut. Terbaru Aeril Zafril dikaitkan pula dengan artis yang semakin meningkat naik, Wawa Zainal.
Gosip tersebut dengarnya bermula selepas masing-masing digandingkan di dalam filem terbitan MIG berjudul 7 Petala Cinta tahun lalu, namun tiada pengesahan dari mereka berdua dan masing-masing dengarnya pandai menyimpan rahsia sehingga tiada siapa dapat menghidu bahawa mereka kini benar-benar bercinta.
Apa yang menguatkan cerita tersebut adalah Wawa Zainal sanggup meninggalkan keretanya kepada Aeril ketika pulang ke kampung di Lahad Datu, Sabah dan Aeril Zafril pula bersedia membayar ganti rugi di atas kehilangan kereta yang dijaganya itu.
Menurut laporan Berita Harian, Wawa Zainal yang sudah berada di Sabah hampir sebulan kerana menjalani rawatan tradisional dan tidak menjawab panggilan telefon dan juga sms.
Anzalna Nasir Cuti Panjang Untuk Sambut Raya
Pelakon Anzalna Nasir memberitahu akan bercuti selama dua minggu daripada sebarang aktiviti seni bersempena dengan sambutan Aidilfitri pada Ogos nanti.
Anzalna, 24, berkata, dia mengambil cuti panjang itu kerana ingin menghabiskan masa bersama keluarganya kerana sebelum ini sibuk dengan kerjaya lakonannya.
"Tahun ini saya nak bercuti raya puas-puas kerana terlalu sibuk dengan kerja sebelum ini sehingga tiada masa bersama keluarga. Jadi kesempatan yang ada ini ingin saya gunakan berehat dan berkunjung ke rumah saudara mara yang sudah lama tidak berjumpa.
"Malah semenjak awal Ramadan lalu saya sudah memperlahankan aktiviti seni dan akan bercuti sehingga 23 Ogos depan," katanya kepada mStar Online.
Anzalna berkata, dia dan keluarganya akan menyambut perayaan itu di Muar, Johor terlebih dahulu sebelum berangkat ke Pulau Pinang.
"Tidak sabar untuk balik ke kampung ayah di Johor dan ibu di Pulau Pinang kerana kemeriahan yang berbeza-beza di dua tempat itu dan saya memang sukakan suasana desa," ujarnya.
Dalam pada itu, Anzalna berkata, kedatangan bulan Ramadan ini juga dia mengambil peluang untuk lebih banyak melakukan kerja-kerja amal dan mengakui insaf apabila melihat penderitaan orang lain.
Katanya, selain menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dia juga turut bekerjasama dengan pihak Hospital Kuala Lumpur untuk meluangkan masa dengan 47 orang penghidap penyakit kanser.
"Saya banyak menghabiskan masa dan cuba menceriakan mereka kerana itu sahaja sumbangan yang mampu saya berikan agar mereka berasa sedikit terhibur di sebalik penderitaan yang dialami.
"Menerusi pengalaman itu juga saya banyak mengambil iktibar dan peringatan supaya dapat menjalani kehidupan lebih baik," katanya.
Sementara itu, Anzalna berkata, dia akan kembali ke set penggambaran drama Lady Gagah selepas bercuti nanti selain beberapa projek lain dan duta produk.
Liyana Jasmay Dedah Sikap Cemburu Suami
Pelakon Liyana Jasmay menjelaskan suaminya, Fathuddin Mazlan masih mempunyai sifat cemburu yang menebal jika melihat dia berlakon dalam adegan-adegan cinta walaupun sudah hampir enam bulan mereka mendirikan rumah tangga.
Liyana, 25, berkata, Fathuddin, 29, juga mengambil pendekatan untuk tidak menonton adegan-adegan romantik lakonannya semata-mata mahu menepis perasaan itu.
“Sudah hampir enam bulan kami kahwin, suami saya masih tidak dapat menerima sepenuhnya perjalanan dunia seni saya malah dia sering kali meluahkan perasaan cemburunya jika melihat saya melakonkan adegan romantik.
“Tetapi saya faham, perasan itu wujud kerana dia mahu menjaga isterinya dan saya harus menjaga hatinya pula,” kata Liyana kepada mStar Online.
Pasangan itu selamat diijabkabulkan pada 2 Februari 2013 dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Hotel Seri Pasific, dekat sini.
Jelas Liyana lagi, suaminya juga memberi syarat agar dia tidak melakonkan adegan keterlaluan selain perlu membatasi babak-babak bersentuhan dengan pelakon lelaki lain.
“Setakat ini jika ada mana-mana tawaran yang memerlukan saya bersentuhan dengan mana-mana lelaki, saya akan maklumkan kepada suami terlebih dahulu dan dia meminta saya agar tidak keterlaluan melakonkan adegan berkenaan,” katanya.
Menurut Liyana, dia menggemari sikap cemburu itu kerana ia adalah petanda betapa si suami benar-benar mengambil berat dan sayangkan seseorang isteri.
Katanya, adalah satu masalah besar kalau seseorang suami tidak ada perasaan itu apatah lagi bagi seseorang pelakon yang perlu melakonkan watak-watak romantik, bersentuhan dan juga sesetengahnya di ranjang.
Bagaimanapun Liyana telah membuat keputusan untuk tidak menerima watak-watak romantik yang memerlukan dia berpelukan selepas berumah tangga.
Gosip Putus Cinta Tidak Benar, Roslan Shah Tetap Kahwin
Berita kononnya Roslan Shah sudah putus cinta adalah tidak benar sebaliknya pengacara itu bertegas akan tetap berkahwin pada hujung tahun ini seperti mana yang pernah dihebohkan.
Roslan, 41, bagaimanapun berkata, buat masa ini dia tetap dengan keputusannya untuk merahsiakan identiti wanita yang berasal dari Kelantan itu sehinggalah tiba waktunya.
"Sebelum ini memang saya ada uar-uarkan akan berkahwin dan akhirnya cerita itu sudah senyap. Sebenarnya saya masih bercinta dengan wanita berkenaan dan Insya-Allah akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini juga," katanya kepada mStar Online.
Roslan diminta mengulas desas-desus mengatakan percintaannya dengan seorang wanita dari Kelantan hanyalah sekadar hangat-hangat tahi ayam dan hubungan itu dikatakan sudah pun putus.
Dalam perkembangan sama, Roslan berkata, bakal isterinya itu mengetahui tentang sifat dirinya yang lembut dan dapat menerima kekurangan tersebut.
"Bakal isteri tahu saya lembut dan itu bukan masalah kerana apa yang penting nawaitu kita terhadap sesuatu perkara.
"Saya sukakannya kerana dia sangat sporting dan memahami diri saya di sebalik kata-kata negatif yang sering dilemparkan oleh masyarakat terhadap saya," jelasnya.
Sementara itu, Roslan berkata, dia menerima pelbagai reaksi daripada peminat dan rakan artis apabila mengetahui dia akan menamatkan zaman bujangnya.
Jelas Roslan, dia bersyukur apabila ramai yang gembira dan mendoakan perkara yang baik dengan keputusan itu namun turut mengakui terkilan apabila ada yang melemparkan kata-kata negatif.
"Ada yang mempertikaikan 'kemampuan' saya untuk berumah tangga hanya kerana sifat saya yang lembut dan pelbagai kata-kata negatif dilemparkan.
"Bukan kata-kata negatif yang saya harapkan daripada peminat dan masyarakat sebaliknya doa supaya rumah tangga itu nanti akan berkekalan sehingga akhir hayat," ujarnya.
Bagaimanapun kata Roslan, kata-kata tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya kerana dia sedar keputusannya untuk berkahwin adalah sesuatu yang baik dan murni.
Dalam perkembangan lain, Roslan berkata, dia kini sedang sibuk dengan rakaman program bual bicara kendaliannya berjudul Diva De Vida yang memfokuskan kepada topik kecantikan, kesihatan dan hiburan.
Jelas Roslan, dia sangat terharu diberikan peluang sebagai pengacara oleh penerbit eksekutif program berkenaan iaitu Datuk Dr Hasmiza Othman yang juga pengasas produk Vida Beauty.
"Ini adalah kali pertama saya menggalas tugas sebagai pengacara program televisyen dan sangat berbesar hati diberikan peluang oleh Astro dan Datuk Hasmiza untuk mengendalikan program berkenaan.
"Walaupun sudah biasa dengan pengacaraan di pentas namun saya tetap rasa gementar kerana ini adalah pengalaman pertama saya," jelasnya.
Diva De Vida akan mula bersiaran pada minggu ketiga Aidilfitri setiap hari Isnin pukul 9 malam di Astro Prima.
Erra Fazira Minta Peserta Ratu Cantik Akur Larangan
Penyanyi Erra Fazira menasihatkan gadis beragama Islam di negara ini supaya akur dengan perundangan negara yang melarang mereka daripada menyertai pertandingan ratu cantik.
Erra yang merupakan peserta beragama Islam terakhir menyertai pertandingan ratu cantik tersebut pada 1992 berkata, dia percaya undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan itu bertujuan melindungi maruah wanita Islam.
"Ketika menyertai pertandingan berkenaan, saya juga berdarah muda yang ingin mencuba sesuatu yang baharu tanpa berfikir kesannya jangka panjang.
"Tambah pula waktu itu, undang-undang tidak diperketat lagi, jadi saya pun sertainya atas kemahuan sendiri.
"Tetapi apabila pertandingan itu melarang gadis Islam untuk menyertainya, kita terpaksa akur. Siapalah kita untuk melawan undang-undang," katanya.
Tambah Erra, ketika ini terdapat banyak saluran lain yang membolehkan penyertaan gadis beragama Islam menyertai pertandingan seumpama itu dengan garis panduan yang dibenarkan.
Erra diminta mengulas mengenai pembatalan penyertaan empat peserta akhir pertandingan MMW2013 yang beragama Islam pada Selasa lalu.
Empat yang berkenaan ialah Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, Wafa Johanna De Korte, 19, Miera Sheikh, 19 dan Kathrina Ridzuan, 20.
Keempat-empat gadis berkenaan bagaimanapun mempertikai larangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan tersebut.
Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik yang diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam.
Sementara itu, Erra berpendapat, penganjur pertandingan ratu cantik antarabangsa dapat memberi kelonggaran terutamanya dari segi pemakaian membabitkan wanita Islam.
"Mungkin sudah tiba masanya masyarakat luar melihat wanita Islam dalam perspektif yang berbeza dengan melonggarkan syarat-syarat penyertaan terutamanya daripada segi pemakaian.
"Ini kerana, pertandingan ratu cantik bukan dilihat hanya pada wajah dan fizikal semata-mata, tetapi juga cara pemikiran seseorang dalam melontarkan pendapat.
"Jadi, jika gadis Islam menyertainya, apa salahnya pihak penganjur menghormati mereka dengan memberi kelonggaran pemakaian yang lebih sopan. Kerana kecantikan bukan sahaja daripada luaran semata-mata, tetapi juga pemikiran kita," tegasnya.
Noniswara Lebih Tenang Selepas Bercerai
Pelakon Noniswara berasa lega dan tenang apabila kes penceraiannya dengan Datuk Rosman Ridzwan akhirnya selesai apabila mereka sah bercerai menerusi lafaz taklik pada 18 Julai lalu.
Nonis atau nama sebenarnya Noniswara Baharudin, 44, berkata, dia kini mahu hidup berdikari dan memberikan tumpuan kepada tiga anaknya yang sedang membesar selain tumpuan kepada kerjaya lakonannya.
"Setahun saya naik turun mahkamah bagi menyelesaikan kes ini dan akhirnya saya mampu menarik nafas lega kerana semuanya telah selesai.
"Walaupun sedih mengenangkan pengakhiran rumah tangga kami tetapi saya berasa lebih tenang sekarang dan mahu memberikan fokus kepada kerjaya dan anak-anak," katanya kepada mStar Online.
Nonis membuat tuntutan cerai taklik pada 9 Mei lalu mengikut Seksyen 50 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Tindakan itu dibuat selepas suaminya meninggalkan rumah kelamin sejak 5 September 2012 selain tidak memberi nafkah adalah selari dengan lafaz taklik yang dibacakan defendan pada hari pernikahan mereka pada 31 Julai 2009.
Lafaz tersebut dilakukan di hadapan Hakim Syarie Umamuddin Yunus berserta Noniswara dan juga peguamnya, Datuk Amly Embong tanpa wakil dari pihak lelaki.
Dalam pada itu, Nonis berkata, buat masa ini dia tidak terfikir untuk mencari pengganti sebaliknya hanya mahu fokus kepada kerjaya dan anak-anak.
Jelas Nonis, dia mahu membina kehidupan baru tanpa mengharapkan sokongan daripada lelaki dan menganggap soal itu tidak penting.
"Bukan serik tetapi ia bukan fokus saya lagi kerana paling penting kerjaya dan anak-anak diutamakan," katanya.
Pelakon berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
