Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Ditangkap Pakai 'Boxer', Cinta Tunang Shahrizal Jaslze Tetap Teguh
Cinta Redzwani Puteri terhadap tunangnya Shahrizal Jaszle tidak pernah goyang walaupun pelakon itu ditemui hanya memakai ‘boxer’ bersama seorang wanita semasa serbuan penguat kuasa agama Islam di sebuah apartmen pada 16 Mei 2013.
Redzwani, 26, tetap mempercayai Shahrizal Jaszle atau sebelum ini dikenali sebagai Shahz Jaszle berada pada pihak yang benar apabila mendengar penjelasan pelakon itu selepas kejadian berkenaan berlaku.
"Tidak ada apa-apa yang perlu saya cakap. Saya percayakannya dan terserah kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada dia berada di pihak yang benar atau salah.
"Sehingga kini, kami masih lagi berpasangan. Lagipun kami masing-masing sibuk, tidak sempat untuk bercakap mengenai perkara ini," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.
Redzwani diminta mengulas dakwaan Pegawai Penguat Kuasa Agama, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Radzi Saliman yang melihat pelakon itu hanya memakai ‘boxer’ (seluar dalam) di dalam bilik ketika serbuan dilakukan sekumpulan pegawai Jais di sebuah apartmen di Taman Sri Subang dekat sini pada 16 Mei 2013.
Mohd Radzi merupakan saksi pertama dalam kes perbicaraan melibatkan Sharizal, 26, dengan seorang pegawai bank, Farah Nurizzati Salleh, 22, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini yang berlangsung pada Selasa lalu.
Pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 29 (a)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.
Mohd Radzi dalam keterangannya mendakwa Shahrizal turut mengaku wanita yang bersamanya dalam sebuah bilik ketika diserbu itu adalah teman wanitanya selepas disoal sama ada mereka mempunyai ikatan sah sebagai suami isteri.
Pada sebutan kes pada 13 November tahun lalu padangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati telah mengaku salah terhadap tuduhan tersebut dan mahkamah memerintahkannya membayar denda maksimum iaitu RM3,000 atau penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan Shahrizal membayar wang jaminan sebanyak RM1,500 selepas pelakon itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalwat yang dikenakan.
Sementara itu, Redzwani berkata, dia juga tidak akan terkejut dengan sebarang cerita yang bakal didedahkan dalam mahkamah sepanjang perbicaraan kes berkenaan berlangsung.
"Sebelum dia (Shahrizal) dibicarakan, dia sudah menjelaskan segala-galanya kepada saya. Dan seperti yang saya katakan tadi, saya terima apa saja keputusan.
"Lagipun perkara ini sudah pun lepas. Apa yang saya boleh cakap, tiada manusia yang dapat lari daripada kesilapan," ujarnya.
Terdahulu insiden tangkap khalwat itu juga menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu.
Hakim Syarie, Abd. Halim Abu Samah yang mendengar kes itu menetapkan 10 Jun depan bagi menyambung semula perbicaraan.
Elfira Borong Kain RM20,000 Di India
Pelakon Elfira Loy tidak lokek berbelanja sehingga mencecah kira-kira RM20,000 untuk membeli pelbagai fabrik mewah dan produk kecantikan ketika melancong ke Kochi, India baru-baru ini.
Menurut Elfira, 20, minatnya terhadap kecantikan menyebabkan dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan berjumlah ribuan ringgit bagi membeli sesuatu produk mengikut cita rasa dan penampilannya.
"Setiap kali pergi melancong, saya pasti akan membeli kain dan barang kecantikan diri. Itu perkara wajib yang akan saya bawa pulang.
"Jadi apabila berpeluang ke India, pastinya kain sari adalah sasaran saya. Malah saya turut membeli sepasang busana yang dikenali sebagai 'lehenga' berharga kira-kira RM4,000," katanya kepada mStar Online.
Tambah Elfira perbelanjaannya itu sangat berbaloi jika dia mahu mendapatkan fabrik dari kualiti yang sama dalam pasaran tempatan.
"Kalau di Malaysia harga sepasang 'lehenga' kira-kira RM7,000. Jadi saya jimat banyak apabila berbelanja di India. Malah kualiti dan hasil kerja tangannya juga sangat cantik dan kemas," katanya.
Terang Elfira, 'lehenga' merupakan gaun labuh yang dihiasi sulaman tangan merupakan pakaian tradisional wanita India khususnya ketika menyambut perayaan.
Elfira turut memberitahu, peluang berbelanja itu dilakukan kerana dia bertuah selepas mendapat tawaran mengikuti lawatan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia ke Kochi selama tiga hari bagi mempromosikan produk pelancongan di daerah itu.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah dua lagi adiknya yang juga pelakon, Ezlisa Loy dan Ezzrin Loy serta ibu mereka, Filzah Yusoff yang bertindak sebagai pengurus.
Mengulas mengenai kunjungannya ke Kochi dan Kerala, Elfira berkata dia teruja melihat sendiri aktiviti menangkap ikan secara tradisional menggunakan 'pukat Cina'.
"Ini pengalaman yang paling seronok ketika di Kochi. Bukan sahaja dapat melihat sendiri gaya hidup masyarakat setempat, malah saya dan adik-adik berpeluang mencuba menangkap ikan menggunakan pukat itu," katanya.
Selain itu pengalaman menaiki 'rumah bot' menyusuri kawasan tasik berlatarbelakangkan kawasan perkampungan penduduk tempatan merupakan pengalaman istimewa yang tidak pernah dirasai.
"Walaupun perjalanan untuk ke destinasi itu mengambil masa yang lama, namun pakej yang disediakan termasuk makan tengahari di dalam bot cukup untuk saya melupakan seketika jadual kerja yang padat selama ini," katanya.
Sementara itu jelas Elfira yang bakal tampil menerusi teater Di Bawah Lindungan Kaabah pada Mei ini, dia gembira apabila diberi peluang untuk bersama-sama AirAsia mengikuti lawatan tersebut terutamanya perjalanan itu disertai ibu dan adik-adiknya.
"Dalam kesibukan kerja, bukan mudah untuk kami sekeluarga meluangkan masa untuk bercuti bersama-sama.
"Jadi apabila AirAsia beri kesempatan sebegini, kami rasa cukup bertuah dan berterima kasih," katanya.
AirAsia menawarkan perjalanan sebanyak sepuluh kali seminggu ke Kochi, India dengan pelbagai promosi tambang rendah ditawarkan. Untuk maklumat lanjut sila layari www.airasia.com.
Anak Che Ta Pilih Audi R8 Harga RM660,000
Anak sulung kepada pelakon Rozita Che Wan iaitu Ammar Effendy menafikan bakal menerima kereta jenis BMW X6 sebagai hadiah kejayaannya mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaliknya sebuah kereta lain.
Ammar, 18, berkata kereta yang dipilih sebagai hadiah kecemerlangannya itu ialah Audi R8 yang harganya kira-kira RM660,000.
"Hahaha... Bukan BMW X6 lah, tetapi kereta lain. Ammar rasa nak tergelak jer bila gosip itu timbul kerana itu kereta untuk ‘orang tua’.
"Memang benar mommy nak belikan kereta untuk saya. Tetapi kereta sport la, baru macho," selorohnya kepada mStar Online ketika dihubungi menerusi mesej aplikasi WhatsApp pada pagi Khamis.
Ammar diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya Rozita sudah membelikannya kereta mewah BMW X6 bersempena kejayaannya yang cemerlang dalam SPM.
Tambah Ammar, dia inginkan sebuah kereta yang boleh digunakan dalam tempoh masa yang lama dan antara jenis kereta yang diminati ialah Audi R8, BMW M3 dan Mercedes A45.
"Pada Rabu (semalam) saya telah ke kedai kereta melihat mana-mana yang diminati dan setakat ini Audi R8 antara yang saya sukai.
"Tak tahu lah pula kereta apa mommy nak belikan. Berbaloi juga belajar siang malam. Kalau keputusan lebih cemerlang, entah-entah mommy nak belikan Lamborghini atau Ferrari," katanya bergurau.
Sebelum ini, Ammar pernah mendapat hadiahkan sebuah telefon bimbit selepas cemerlang dalam peperiksaan penilaian Menengah Rendah (PMR) dan set permainan PS2 selepas berjaya dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Farid Kamil Larang Anak Terlibat Bidang Seni
Pelakon Farid Kamil tidak membenarkan anak lelakinya, Muhammad terlibat dalam bidang seni biarpun ada pihak menawarkannya menjadi model iklan produk kanak-kanak.
Farid, 33, berkata, selain faktor Muhammad masih kecil, dia mahu anaknya itu membesar seperti mana kanak-kanak lain.
"Saya tidak akan galakkan Muhammad untuk terlibat dalam sebarang aktiviti seni kerana dia masih kecil.
"Biarlah dia menikmati zaman kanak-kanaknya dengan normal seperti kanak-kanak lain dan biarlah saya dan Diana (isteri) sahaja yang bekerja," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Farid berkata, sebagai bapa dia tidak mahu menentukan arah tuju masa depan anaknya sebaliknya memberi pilihan untuk Muhammad memilih jalan terbaik apabila dewasa kelak.
"Jika dia besar nanti kalau dia hendak terlibat dalam bidang seni atau pun tidak saya tetap akan sokong kerana itu adalah pilihannya.
"Tapi sementara menanti waktu itu tiba, saya mahu dia jalani kehidupan seperti biasa," jelasnya.
Sementara itu, Farid berkata, kehadiran Muhammad yang baru berusia sembilan bulan itu banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan sebagai seorang lelaki dan bapa.
Tambah Farid, dia juga kagum dengan sifat keibuan isterinya, Diana Danielle, 23, dalam membesarkan anak mereka.
"Sukar saya gambarkan perasaan saya apabila sudah bergelar bapa kerana ia cukup indah selain mengajar saya erti kehidupan dengan lebih baik.
"Begitu juga dengan Diana, sifat keibuannya menyerlah secara semula jadi dan begitu tenang dalam menguruskan anak kami," katanya.
Dalam perkembangan lain, Farid baharu sahaja muncul dengan filem Apokalips X arahan Mamat Khalid.
Farid berkata, biarpun filem itu mengambil masa empat tahun untuk disiapkan namun sebagai pelakon dia sangat berpuas hati dengan hasil karya itu.
"Bukan mudah untuk menghasilkan filem seperti Apokalips X dan saya sebagai pelakon dan pengarah begitu kagum melihat hasilnya dan ia bukan sesuatu yang biasa daripada Mamat Khalid," katanya.
Apokalips X turut menampilkan barisan pelakon seperti Pekin Ibrahim, Adam (AF2), Dazrin Kamaruddin, Jehan Miskin, Iqram Dinzly.
Fahrin Ahmad Pilih Wanita Sudah Dikenali
Pelakon Fahrin Ahmad berkata, dia tidak lagi berminat untuk menjalinkan apa-apa hubungan secara rapat dengan wanita yang tidak dikenali dalam mencari pasangan cinta.
Fahrin, 35, berkata, sebaliknya dia lebih senang mencari pasangan yang sudah dikenali kerana ia memudahkannya untuk mengenali hati budi seseorang itu dengan lebih mendalam.
"Rasanya saya sudah tidak mahu berkawan dengan wanita yang belum dikenali. Penatlah nak lalui tempoh perkenalan itu.
"Lebih senang jika wanita itu daripada kalangan kenalan saya. Hanya perlu nak mengenali hati budi dengan lebih mendalam saja," katanya kepada mStar Online.
Tambah Fahrin, bagaimanapun, dia enggan memikirkan mengenai hal kahwin kerana mahu memberi fokus dalam kerjaya seni.
Dalam pada itu, Fahrin turut menjelaskan dia tidak pernah berasa tertekan dengan soalan yang sering diajukan daripada pihak media dan orang ramai mengenai bilakah dia ingin menamatkan zaman bujangnya.
"Bukan setakat pihak media saja yang bertanya bila saya nak kahwin, tetapi peminat pun bertanya soalan yang sama.
"Tetapi saya tidak mempunyai masalah tentang itu kerana saya faham sebagai selebriti masyarakat bukan sahaja ingin tahu mengenai kerjaya tetapi juga hal peribadi kita," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Fahrin bakal digandingkan dengan Dr Ridhuan Tee Abdullah bagi mengacarakan program baru Astro Oasis iaitu Dunia Pencetus Ummah (Dunia PU).
Rakaman program Dunia PU
itu akan bermula pada 19 April ini dan bakal disiarkan menerusi saluran Astro Oasis dan Mustika HD pada setiap Khamis, pukul 9 malam, bermula 1 Mei depan.
Kata Fahrin, sejak akhir-akhir ini dia sering menerima tawaran mengacarakan program berbentuk keagamaan dan ia membuatkannya lebih gembira memandangkan dia ingin mengubah diri dalam menjadi seorang lelaki Muslim yang lebih baik.
"Alhamdulillah, akhir-akhir ini saya sering menerima tawaran mengacarakan program berbentuk keagamaan. Malah saya juga diberi tugasan mengendalikan beberapa program sukan di RTM.
"Dan sekarang ini kalau boleh di bidang lakonan juga saya ingin mengubah konsep mengurangkan adegan-adegan bersentuhan dengan pelakon wanita.
"Tetapi sebagai seorang pelakon jika watak bersentuhan itu perlu, saya akan lakukannya. Cuma seboleh-bolehnya saya cuba elakkan adegan seperti itu. Saya percaya kerja apa sekalipun jika niat kita ikhlas segalanya akan dipermudahkan," tuturnya.
"Jangan Hina Isteri Saya Kerana Tudung Fareeda" - Fizo Omar
Pelakon Fizo Omar kecewa dengan tohmahan dan hinaan yang dilemparkan segelintir individu terhadap isterinya, Mawar Abdul Karim, 25, gara-gara tidak berpuas hati dengan rekaan tudung Fareeda.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29, berkata, sebagai suami dan Ketua Bahagian Pemasaran, Fareeda Global Resources, dia berhak untuk bersuara bagi menjelaskan tuduhan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti isterinya serta perniagaan mereka.
"Aurat itu subjektif, selagi dia menutup kepala, tidak berpakaian seksi dan menjolok mata ia sudah cukup baik bagi saya, dalam Islam sebenar tangan pun tidak boleh terdedah.
"Isteri saya menjual tudung... bukan menjual skirt pendek, kenapa perlu hina dia sampai begitu sedangkan kerana perniagaan tudungnya itu, ramai wanita yang sudah berhijrah untuk bertudung," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Fizo berkata demikian ketika diminta mengulas tohmahan segelintir pihak yang menganggap pernghasilan tudung jenama Fareeda tidak mengikut cara-cara tudung yang dituntut dalam Islam.
Mawar merupakan pemilik jenama tudung itu yang diusahakannya bersama keluarga.
Tambah Fizo, agak menyedihkan pihak-pihak berkenaan turut mengecam Mawar di semua laman sosial setiap kali dia memuat naik gambar mereka bersama.
"Saya tidak boleh tahan marah bila gambar yang saya muat naik bersama Mawar dikomen dengan pelbagai ayat berunsur negatif.
"Sehingga ada mengatakan saya menanggung dosa kerana Mawar bertudung begitu, saya tidak faham kenapa ramai yang tidak berpuas hati dengannya," soal Fizo.
Jelas Fizo, jenis tudung yang dipakai oleh Mawar merupakan salah satu daripada lebih 20 jenis rekaan tudung yang dijual di butik Fareeda.
"Kalau mereka kata tudung itu terlalu singkat mereka boleh beli jenis yang lain, di Fareeda kita jual pelbagai jenis tudung mengikut saiz yang bersesuaian dengan mereka.
"Cuma permintaan tinggi terhadap tudung yang dipakai oleh isteri saya, jadi sebab itu ia lebih komersil berbanding tudung-tudung yang labuh," katanya.
Bagaimanapun, jelas Fizo, isterinya tidak pernah mengambil peduli dengan sebarang tohmahan di laman-laman sosial.
Katanya, Mawar lebih banyak menumpukan perhatian terhadap perniagaan berbanding mengambil tahu komen negatif yang tidak mendatangkan keuntungan.
"Dia tidak ada Facebook, Twitter dan Instagram. Yang ada sekarang semua saya. Yang jaga (akaun laman sosial) itu juga saya kerana dia tidak ada masa.
"Saya sangat kagum dengan usaha gigih isteri saya kerana dia berjaya menjadikan jenama Fareeda sehingga terkenal di Malaysia," katanya.
Dalam pada itu Fizo juga tidak menolak kebanyakan individu memberi komen negatif kerana berasa cemburu dengan kejayaan mereka dalam perniagaan yang semakin berkembang itu.
Daus (AF8) Berbalah Kerana Nama Anak
Penyanyi Daus (AF8) yang baharu sahaja menimang cahaya mata perempuan awal bulan lalu mengakui agak sukar untuk memilih nama untuk bayi sulungnya itu.
Daus atau nama sebenar Muhd Shahril Firdaus B. Eli, 26, berkata, dia dan isterinya Syaza Syamimi Jalaludin Khan, 27, pernah berbalah memilih nama anak sebelum membuat keputusan menetapkan nama Delysha Senzela untuk bayi mereka itu.
"Susah juga nak dapat nama untuk bayi ini, selepas sahaja mendapat tahu jantina bayi, kami masing-masing sibuk menyenaraikan nama pilihan sendiri.
"Saya suka nama-nama klasik dan nama bunga, namun isteri pula suka nama yang ada makna dalam bahasa Arab. Akhirnya saya mengalah dan bersetuju dengan pilihan nama oleh isteri saya iaitu Delysha Senzela. Dalam bahasa Arab, Delysha ialah gembira, manakala Senzela adalah sejenis bunga," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Inilah anak Daus yang diberi nama Delysha Senzela.
Bayi seberat 3.4 kilogram itu dilahirkan secara normal di Pusat Perubatan Bintulu di Sarawak pada pukul 12 tengah hari, 7 April lalu.
Dalam pada itu, Daus turut menceritakan perasaannya ketika berada di dalam bilik bersalin bagi menemani isterinya melahirkan zuriat mereka.
"Saya berada dalam bilik bersalin selama hampir 40 minit dan perasaan ketika itu sukar untuk digambarkan kerana itu kali pertama saya berasa cemas.
"Rasa bagai nak pengsan bila melihat banyak darah keluar, namun perasaan itu hilang bila bayi selamat keluar dengan sempurna," katanya.
Daus dan Syaza Syamimi mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2013. Kedua-dua pasangan ini berasal dari Sarawak.
Kata Daus lagi, dia bakal berehat sementara waktu bagi menjaga isterinya di Bintulu sehingga habis tempoh berpantang.
Tambahnya, dia bakal kembali semula untuk aktif dalam industri hiburan bermula bulan hadapan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Seribu Rasa Cinta.
"Lepas ada ahli keluarga baru ini saya lebih bersemangat untuk bekerja, maklumlah dulu kerja untuk hidup berdua kini tambah lagi seorang.
"Saya percaya rezeki anak itu ada dan apa yang penting kita perlu sentiasa berusaha," katanya.
Kilafairy Tolak Watak Gedik, Penggoda
Penyanyi dan pelakon baharu Kilafairy enggan lagi menerima watak-watak gedik ataupun wanita penggoda dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan kerjayanya sebagai seorang pelakon.
Kilafairy atau nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan, 22, berkata, dia melihat kemampuannya harus diuji untuk melakonkan watak-watak berat dan lebih serius.
"Saya enggan membawa watak-watak seperti penggoda, gedik dan seksi, kalau boleh biarlah watak yang berat dan mampu membuktikan bakat saya. Saya tidak mahu penonton melihat saya hanya sebagai perempuan seperti itu sahaja," katanya yang pernah berlakon dalam filem Karak.
Dia juga akan hanya menerima tawaran yang benar-benar mampu mengangkat namanya sama ada dalam bidang lakonan atau nyanyian pada masa akan datang.
"Saya senyap daripada industri bukan kerana tiada tawaran, sebaliknya sengaja mencari peluang lain yang benar-benar baik untuk kerjaya saya.
"Biarlah kemunculan saya agak sedikit iaitu hanya boleh dikira dengan jari, asalkan watak yang diberikan memberi impak kepada penonton dan mampu mengangkat nama saya kepada industri, ia adalah memadai. Takkan nak bawa watak gedik sampai bila-bila," katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kila bakal terlibat dengan pementasan teater Projek Kahwin yang bakal berlangsung pada 6 hingga 14 Jun depan di Istana Budaya dekat sini.
Dia juga bakal keluar dengan single kedua yang berentak Bollywood bersama penyanyi Aidil (AF).
Bapa Nasihat Emma Maembong Tidak Beraksi Keterlaluan
Pelakon Emma Maembong menolak untuk berlakon dan bergambar mesra dengan mana-mana lelaki bagi menghormati permintaan ayahnya iaitu pelukis terkenal negara, Ismail Embong.
Emma atau nama sebenar Fatimah Rohani Ismail, 22, berkata, bapanya meminta berbuat demikian selepas melihat adegan mesra antara dia dan pelakon Aiman Hakim dalam drama Projek Memikat Suami.
"Ya, kalau boleh saya memang tidak mahu berlakon atau bergambar berpelukan atau terlalu mesra dengan lelaki.
"Ia kerana permintaan bapa saya yang menasihatkan agar tidak tampil keterlaluan ketika berlakon atau bergambar yang boleh menjejaskan nama keluarga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Maixara, di Menara Kuala Lumpur, di sini, Isnin.
Emma berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus mengatakan dia mula menolak untuk bergambar mesra dengan lelaki.
Bagaimanapun, Emma menafikan perkara tersebut adalah bagi menjaga hati pelawak yang dikaitkan dengannya iaitu Zizan Razak.
"Saya berubah sedikit demi sedikit untuk menjadi lebih baik dan kenapa perlu bergambar begitu (keterlaluan) sedangkan boleh sahaja kalau bergambar seperti biasa.
"Saya lakukan ini kerana ayah saya bukan sebab Zizan. Zizan tidak pernah menghalang atau masuk campur urusan kerja saya," katanya.
Sementara itu, Emma berkata, dia sudah membawa Zizan bertemu dan berkenalan dengan keluarganya, malah pelawak tersebut juga merupakan lelaki pertama yang diperkenalkan sebagai kekasih kepada ayahnya.
Kata Emma, dia gembira Zizan pandai mengambil hati dan mudah mesra dengan semua ahli keluarganya.
"Alhamdulillah bapa saya senang dengan dia dan mereka boleh bercakap dalam dialek Terenganu berdua.
"Pada awalnya dia tidak mengenali Zizan dan dia agak pelik apabila orang ramai ingin ambil gambar, tetapi bila ada rakan-rakan yang beritahu barulah dia tahu tentang itu," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang sejauh mana hubungan percintaan tersebut, Emma berkata mereka masih pada fasa mengenali hati budi dan belum mempunyai sebarang perancangan untuk berkahwin.
Katanya, biarlah perkara tersebut berlaku apabila kedua-dua mereka benar-benar bersedia untuk melangkah ke arah itu.
"Tiada Komen" - Jawapan Pekin Mengenai Uqasha Senrose
Pelakon Pekin Ibrahim mengambil pendekatan untuk terus berdiam diri daripada mengulas mengenai status hubungannya dengan aktres Uqasha Sensore yang kecoh dengan kontroversi sebelum ini.
Pekin, 34, berkata, dia tidak mempunyai sebarang ulasan mengenai perkara tersebut dan berharap semua pihak faham dengan situasi yang dihadapinya.
"Sesiapa juga yang bertanya mengenai hubungan saya dengan Uqasha, jawapan saya hanya satu iaitu 'tiada komen'. Ia adalah perkara terakhir yang ingin saya perkatakan buat masa ini," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Pekin berkata, kehidupannya kini lebih tenang dan tumpuan hanya diberikan kepada kerjayanya sebagai pelakon.
Jelas Pekin, dia tidak mahu membebani fikirannya dengan perkara remeh sehingga menjejaskan periuk nasinya dalam bidang seni.
"Fokus saya buat masa ini pada kerjaya dan perkara-perkara lain biarlah saya sendiri yang tahu," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Pekin berkata, pada tahun ini dia lebih banyak memberikan tumpuan kepada lakonan filem berbanding drama dan bakal muncul dengan beberapa projek baharu.
"Alhamdulillah rezeki berlakon filem tahun ini cukup banyak dan itu bukan bererti saya tidak mahu lagi menerima tawaran berlakon drama.
"Saya masih terima beberapa tawaran drama tetapi lebih selektif kerana jadual yang agak padat," katanya.
Tambahnya, tahun ini dia akan tampil dengan beberapa buah filem seperti Rumah Pusaka Di Simpang Jalan, Vila Nabila dan Tujuh.
Sementara itu, bercakap mengenai filem terbaharunya, Apokalips X, Pekin berkata, wataknya dalam filem berkenaan adalah satu eksperimental yang belum pernah diterokainya.
Kata Pekin, selain dialog, dia lebih banyak memberikan tumpuan kepada ekspresi wajah dan memberikan emosi kepada watak yang dilakonkan.
"Ini adalah sebuah filem berbeza yang pernah diarahkan oleh Mamat Khalid dan ia memberi saya peluang untuk menerokai sisi lain diri saya sebagai pelakon," jelasnya.
Apokalips X yang mula ditayangkan sejak 3 April lalu menampilkan barisan pelakon seperti Farid Kamil, Dazrin Kamaruddin, Adam (AF2) dan Jehan Miskin.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
