Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Erra Fazira Sahkan Kekasihnya Pemuda Bujang

Pelakon Erra Fazira tetap dengan pendirian untuk tidak mendedahkan identiti kekasihnya kepada umum memandangkan perhubungan yang dijalinkan itu masih lagi baharu. Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 40, berkata, individu itu merupakan seorang yang mempunyai ciri-ciri lelaki idaman iaitu lebih berilmu pengetahuan berbanding dirinya. "Saya akan dedahkan siapa pasangan saya apabila perhubungan itu ke fasa seterusnya. Yang penting dia bujang dan saya tidak mencari orang yang berharta. "Cukuplah jika dia boleh membimbing saya dan berpengetahuan serba serbi lebih daripada saya," katanya kepada mStar Online. Erra ditemui pada majlis pelancaran teater Takhta 3 Ratu di Bora Ombak di sini pada Rabu. Pelakon Awie, Soo Wincci, Izreen Azminda, Beto Kushairy dan Datuk Rahim Razali turut hadir pada majlis tersebut. Terdahulu Erra pernah berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abdin pada 25 Oktober 2007 dan bercerai pada 18 Februari. Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang anak bernama Engku Aleesya yang kini berusia lima tahun.
Sebelum itu pernah Erra bertemu jodoh dengan penyanyi Yusry Abdul Halim dan bernikah pada 15 Jun 2003. Mereka bercerai tiga tahun kemudian tanpa dikurniakan cahaya mata. Sementara itu, mengenai Takhta 3 Ratu, ia merupakan projek teater yang menggabungkan tiga produksi iaitu Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd, Erra Fazira Entertainment dan Awie Entertainment. Kata Erra, ia merupakan sebuah pementasan yang berat dan berkos tinggi di mana ia memerlukan beberapa penggabungan beberapa syarikat agar teater tersebut mendapat hasil yang berkualiti. "Selepas diberi slot untuk menerbitkan sebuah pementasan teater di Istana Budaya, pengarahnya, Erma Fatima terus merancang untuk menghasilkan judul ini. "Ia juga sebuah pelaburan yang berisiko tinggi kerana pementasan berkonsepkan sejarah Melayu sukar untuk menarik perhatian masyarakat. Apatah lagi ia akan berlangsung pada Disember ini di mana ketika itu ibu bapa sibuk berjimat duit untuk persiapan sekolah anak. "Tetapi saya percaya dengan gabungan pelakon yang mantap serta skrip yang bagus akan menarik perhatian orang ramai untuk hadir menyaksikan teater ini," ujarnya. Takhta 3 Ratu mengisahkan tentang puteri Majapahit iaitu Galuh Chenderai (Izreen) yang berkahwin dengan Sultan Mansur (Azri Iskandar) terluka hati apabila suaminya itu mengambil keputusan mengahwini Puteri Hang Li Po (Soo Wincci) bagi mengukuhkan pertalian persahabatan antara Melaka dan China. Dalam persengketaan antara Galuh Chenderai dan Li Po, kedua-dua mereka terduduk apabila Sultan Mansur mahu menikahi Lela Wangsa (Erra), iaitu puteri kepada Maharaja Dewa Sura, pemerintah Inderapura yang cuba hendak menyerang Melaka. Takhta 3 Ratu bakal dipentaskan bermula 13 hingga 22 Disember 2014 di Istana Budaya. Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di kaunter IB atau melayari laman www.airasiaredpix.com.

Izreen Azminda Buang Gambar Di Instagram Elak Hati Terluka

Pelakon Izreen Azminda memberitahu tindakan dia membuang gambar-gambarnya yang dimuat naik di Instagram kerana enggan mengenang kembali memori lama yang boleh menyebabkan hatinya berasa sedih. Izreen atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam, 29, berkata, pada mulanya dia ingin membuang gambar-gambar tertentu sahaja, tetapi bimbang tindakan itu mengundang persepsi tertentu orang ramai menyebabkan dia membuat keputusan membuang kesemua gambar dalam Instagram miliknya itu. "Saya memang seorang yang aktif memuat naik apa saja gambar di Instagram sejak tahun lalu lagi. "Tetapi apabila melihat beberapa gambar lama yang sudah menjadi kenangan, perasaan saya jadi sayu. Kalau nak ikutkan hati, hanya beberapa gambar saja yang nak dikeluarkan, tapi saya buang semua. Yalah... takut jadi isu pula," katanya kepada mStar Online. Tambah Izreen, dengan cara itu juga, sekurang-kurangnya dia dapat 'membuka buku baru' untuk meneruskan kehidupannya tanpa memikirkan kenangan lalu. Setakat Khamis, akaun Instagram miliknya mempunyai tujuh keping gambar yang dimuat naik bermula 10 November lalu. Sementara itu, Izreen turut meluahkan perasaan sedih kerana berjauhan dengan anaknya, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia 16 bulan. Anaknya itu dijaga oleh keluarganya di Jitra, Kedah.
Tindakan itu kata Izreen adalah satu pengorbanan besar bagi memastikan anaknya menjalani kehidupan yang normal selain mendapat perhatian dan kasih sayang yang cukup. "Saya risau, apabila Umar tinggal bersama saya, dia tidak dapat cukup perhatian kerana kesibukan saya bekerja. "Sekurang-kurangnya di kampung, keluarga saya dapat memberi kasih sayang secukupnya selain dia dapat bergembira seperti kanak-kanak lain. Cuma risau juga, mana tahu dia dah tak kisah sangat dengan saya. Tetapi saya akan pastikan bertemu dengan Umar sekurang-kurangnya sebulan empat kali," tuturnya. Izreen pernah berkahwin dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza pada 31 Ogos 2012 dan bercerai pada 9 Jun 2014. Dalam perkembangan lain, Izreen bakal terlibat dengan pementasan teater Takhta 3 Ratu bersama Erra Fazira, Awie, Soo Wincci dan Datuk Rahim Razali yang bakal dipentaskan bermula 13 hingga 22 Disember depan di Istana Budaya. Takhta 3 Ratu mengisahkan tentang puteri Majapahit iaitu Galuh Chenderai (Izreen) yang berkahwin dengan Sultan Mansur (Azri Iskandar) terluka hati apabila suaminya itu mengambil keputusan mengahwini Puteri Hang Li Po (Soo Wincci) bagi mengukuhkan pertalian persahabatan antara Melaka dan China. Dalam persengketaan antara Galuh Chenderai dan Li Po, kedua-dua mereka terduduk apabila Sultan Mansur mahu menikahi Lela Wangsa (Erra), iaitu puteri kepada Maharaja Dewa Sura, pemerintah Inderapura yang cuba hendak menyerang Melaka. Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di kaunter IB atau melayari laman www.airasiaredpix.com

Zahiril Adzim Beri Penjelasan Terpaksa Solat Di Parkir PWTC

Pelakon Zahiril Adzim menjelaskan tindakannya menunaikan solat di parkir Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum ke majlis Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) pada 7 November lalu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Zahiril, 29, berkata, dia terpaksa menunaikan solat Maghrib di kawasan letak kereta tersebut berikutan sudah kesuntukan masa selepas berkejar-kejar dari lokasi penggambaran untuk menghadiri majlis berkenaan. "Saya terpaksa menunaikan solat Maghrib di parkir kerana waktu solat sudah suntuk dan saya sudah mengagaknya. Jadi selepas selesai penggambaran saya pulang ke rumah untuk ambil isteri saya dan ketika itu saya sudah siap-siap ambil air sembahyang.
"Selepas sampai sahaja di PWTC saya cari tempat tersorok untuk bersembahyang kerana kalau saya bergegas ke surau sudah tentu penuh, lagi pun saya takut air sembahyang terbatal jika ada yang ingin bergambar ketika dalam perjalanan ke surau," ujarnya kepada mStar Online. Zahiril berkata demikian ketika diminta mengulas apabila gambarnya sedang bersembahyang di kawasan parkir sebelum bermula majlis ASK 2014 tersebar dan dibualkan di laman sosial. Gambar dirakamkan oleh peminat yang melihat situasi itu menyebabkan Zahiril dituduh mahu menunjuk-nunjuk kerana tidak menunaikan solat di surau yang disediakan di PWTC. Jelas Zahiril, dia sendiri terkejut apabila diberitahu tentang gambar itu tersebar dan diperkatakan di laman sosial. "Saya rasa ia tidak elok untuk disebarkan kerana akan menimbulkan fitnah seperti ini, saya pun tidak perasan siapa yang mengambil gambar tersebut. Kalau benar saya mahu menunjuk-nunjuk baik saya sembahyang di red carpet sahaja. "Saya sudah cari tempat paling sunyi yang tidak ada orang ramai, namun saya tahu ada pengawal keselamatan berhampiran kerana takut kalau ada apa-apa berlaku ketika sedang solat," katanya.

Ditegur Suami Penyebab Perceraian Raja Azmi

roduser filem Raja Azmi Raja Sulaiman mendedahkan teguran suaminya, Mohd Eddie Ghazali antara penyebab dia memohon untuk bercerai selepas 13 bulan berumahtangga. Raja Azmi, 55 berkata, walaupun mengakui kesilapannya kerana keluar rumah tanpa izin, namun cara teguran suaminya itu membuatkan hatinya benar-benar terluka dan sukar untuk diubati semula. "Apabila dimarahi, hati saya terluka kerana saya terasa dengan tegurannya itu. Rasa sedih sangat-sangat. Dia (Eddie) telah pun memohon maaf dan memujuk, tetapi luka saya itu tidak terubat. "Bagi saya, jika tidak boleh bertolak ansur mengenai perkara seperti ini, saya akan berterusan menjadi isteri yang derhaka. Lebih baik kami berpisah. "Dia ada berusaha untuk mengekalkan rumah tangga ini, cuma mungkin saya yang langsung tidak berusaha," katanya kepada mStar Online. Raja Azmi ditemui selepas di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada petang Selasa selepas Mohd Eddie, 46, melakukan lafaz cerai di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin kira-kira pukul 3.05 petang. Mohd Eddie menceraikan Raja Azmi dengan talak satu dan wanita itu diperintahkan untuk melalui tiga bulan tempoh edah atau tiga kali suci.
Dalam pada itu, Raja Azmi turut mengakui, sejak berkahwin pada 13 Oktober 2013, dia mendapati pelbagai percanggahan pendapat antaranya dengan Eddie terutamanya mengenai kehidupan. "Kami kerap bergaduh hanya kerana percanggahan pendapat masing-masing. Dan perkara ini membuatkan perhubungan kami semakin sukar untuk diteruskan. "Tetapi apabila tidak sebumbung, kami boleh pula berkomunikasi macam biasa. Apa yang saya nampak, mungkin kami lebih sesuai berhubung sebagai sahabat," ujarnya. Sementara itu, Eddie pula berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya apabila terpaksa melalui dugaan bercerai dan perkara itu membuatkan dirinya sedikit sebak. Bagaimanapun, kata Eddie, masalah perkahwinannya dengan Raja Azmi dijadikan sebagai pengajaran agar lebih berdiplomasi dalam menegur seorang isteri. "Kesilapan saya adalah daripada segi teguran yang kasar sehingga mengundang sebelah pihak terasa hati. Tetapi nak buat macam mana, ia sudah pun berlaku dan hidup mesti diteruskan seperti biasa," tuturnya. Eddie yang popular dalam kumpulan CRK dengan lagu Cinta Dan Air Mata (tahun 1990-an) bernikah dengan Raja Azmi pada 13 Oktober 2013 dengan sekali lafaz. Majlis akad nikah dilakukan di Laman Beringin, Istana Budaya dekat sini. Raja Azmi sebelum ini pernah berkahwin dengan jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 30, Puteri Suaida, 26, dan Megat Deli, 21. Eddie pula memiliki dua orang anak bersama arwah isterinya iaitu Daniel, 23, dan Effy, 21.

"Saya Bukan Pemalas" - Nabil Ahmad

Pelawak Nabil Ahmad meminta orang ramai tidak melihat konsep jenaka stand up comedy yang ditampilkannya iaitu melakukan lawak secara sendirian sebagai pemalas. Nabil, 30, berkata, masyarakat harus faham ia adalah konsep lawak stand up comedy yang masih lagi baharu bagi penonton yang gemar menyaksikan lawak di televisyen. "Mereka selalu kata saya pemalas dan ambil jalan mudah untuk berada di pentas sendirian tidak seperti kumpulan pelawak lain. "Sebenarnya mereka tidak tahu konsep stand up comedy yang mana ia lagi susah untuk dilakukan tanpa sebarang ‘prop’ ketika berada di atas pentas," katanya kepada mStar Online. Nabil berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penyertaannya dalam Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) yang bakal membuka pentasnya bermula Jumaat ini di Teater Selangor, Shah Alam. Dalam pada itu, Nabil berkata, pada asalnya dia agak ragu-ragu untuk kembali bertanding, namun kerana minat yang mendalam terhadap bidang lawak dia meneruskan perjuangan tersebut. Bagaimanapun, dia tidak pernah mengharapkan kemenangan kerana pertandingan tersebut hanya berdasarkan populariti. Jelas Nabil, apa yang dikesalkan setiap musim pertandingan tersebut, reaksi penonton yang datang seolah-olah tidak menghargai pelawak-pelawak yang bertanding. Katanya, perkara tersebut juga menyebabkan pelawak yang kurang mempunyai peminat berasa tidak bersemangat untuk memberi persembahan yang terbaik. "Saya juga kesal dengan penonton yang kebiasaannya daripada kumpulan peminat yang tidak memberi sokongan kepada pelawak lain. "Misalnya ketika AR Badul dan Imuda dahulu keluar untuk buat lawak tiada penonton yang memberi tepukan serta tiada respons lawak mereka sehingga mereka merasakan persembahan tersebut tidak bagus. "Saya minta biarlah penonton yang datang kali ini memberi sokongan pada semua pelawak yang keluar untuk buat persembahan mereka," ujarnya.

Raja Azmi Fail Cerai Selepas Setahun Kahwin

Desas-desus keretakan rumah tangga Raja Azmi Raja Sulaiman dengan suaminya, Mohd Eddie Ghazali sampai ke kemuncak apabila produser filem itu memfailkan permohonan cerai. Peguam Raja Azmi iaitu Nailah Ramli berkata, permohonan berkenaan dikemukakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada pagi Isnin. Sehubungan itu pihak mahkamah menetapkan pada Selasa (esok) untuk sebutan kes berkenaan. Terdahulu desas-desus keretakan rumah tangga Raja Azmi, 55, dengan gitaris kumpulan CRK iaitu Mohd Eddie, 46, sudah kedengaran sejak beberapa bulan lalu dan mereka dilaporkan mengambil keputusan untuk tidak tinggal sebumbung. Eddie yang popular dalam kumpulan berkenaan dengan lagu Cinta Dan Air Mata (tahun 1990-an) bernikah dengan Raja Azmi pada 13 Oktober 2013 dengan sekali lafaz. Majlis akad nikah dilakukan di Laman Beringin, Istana Budaya dekat sini. Raja Azmi sebelum ini pernah berkahwin dengan jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 30, Puteri Suaida, 26, dan Megat Deli, 21. Eddie pula memiliki dua orang anak bersama arwah isterinya iaitu Daniel, 23, dan Effy, 21.

Lukisan Di Kaki Bukanlah Tatu - Kaka Azraff

Penyanyi Kaka Azraff menjelaskan lakaran yang terdapat di kaki kanannya hanyalah sekadar lukisan yang dilakukan secara suka-suka dan ia tidak kekal lama. Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 25, berkata, lukisan itu dibuat oleh seorang rakannya yang pandai melukis dan menjalankan perniagaan lukisan inai. "Ia bukan tatu tetapi lukisan daripada dakwat pen yang dibuat oleh seorang kawan. Kami bila bertemu memang akan buat perkara-perkara pelik. "Kawan saya ada kedai inai dan dia seorang yang pandai melukis, jadi saya muat naik gambar itu sebab segaja menghargai hasil kerja seni dia. Saya belum gila lagi untuk buat tatu kekal di kaki," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Kaka diminta mengulas tentang gambar lukisan di kaki yang dimuat naik di laman Instagramnya pada Rabu. Gambar tersebut telah menerima kecaman daripada pengikut-pengikut Instagram yang menyangka ia sebagai lukisan tatu yang kekal. Manakala, ada beberapa pengikut yang menganggap lakaran tersebut tidak sesuai dimuat naik kerana menyerupai lambang sebuah agama. Dalam pada itu, Kaka turut menafikan lukisan kompas itu ada kaitan dengan agama yang dimaksudkan. "Lukisan itu ialah bentuk kompas dan tiada kaitan dengan mana-mana agama. Saya tidak ada niat pun untuk membuat lukisan yang menyentuh sensitiviti masyarakat atau mana-mana agama. "Mereka tiada apa ingin komen dan sengaja jadikan perkara itu sebagai sesuatu yang nampak seperti isu besar," katanya. Sementara itu, Kaka berkata, dia sudah menjelaskan perkara tersebut di ruang komen pada gambar yang dimuat naik itu bagi mengurangkan perbalahan sesama pengikutnya.

"Hubungan Dengan Izara Aishah Terlalu Peribadi" - Adib Khalid

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios iaitu Adib Khalid memberitahu kisah hubungannya dengan aktres Izara Aishah terlalu peribadi untuk dikongsi dengan orang ramai. Adib atau nama sebenarnya, Muhammad Adib Khalid, 24, bagaimanapun tidak menafikan kenyataan yang dibuat oleh aktres berkenaan iaitu mereka sedang dalam proses mengenali hati budi masing-masing. "Kenyataan yang Izara Aishah beri kepada media sebelum ini adalah benar dan kami memang saling mengenali. "Cukuplah dia sahaja yang beri kenyataan bagi pihak saya kerana ia terlalu peribadi untuk diceritakan," ujarnya kepada mStar Online. Adib yang juga anak anak kepada ahli perniagaan terkenal Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ditemui pada sidang media sempena konsert Sky Blu Live In Kuala Lumpur, di Signature @ The Roof, Sky Lounge, di sini, Khamis. Tune Studios terlibat membawa kumpulan muzik itu ke negara ini. Konsert berkenaan telah diadakan di The Play Club, di sini, malam Khamis.
Dalam pada itu Adib menetapkan tempoh masa antara tiga hingga empat tahun untuk memberi fokus kepada kerjayanya sebelum memikirkan soal berumah tangga. Katanya, buat masa ini dia terlalu sibuk untuk mengatur perancangan syarikat yang baru diterajuinya itu. "Insya-Allah saya beri tempoh tiga hingga empat tahun untuk beri perhatian sepenuhnya kepada syarikat sebelum memikirkan soal peribadi atau berumah tangga. "Buat masa sekarang ini belum masanya, kerana banyak perancangan dan strategi yang diatur untuk syarikat ini," ujarnya. Adib juga dalam proses mencari beberapa artis baharu dan lama untuk bernaung di bawah syarikat tersebut selain merancang membawa beberapa artis popular antarabangsa bagi mengadakan konsert pada tahun hadapan. "Sekarang kami belum ada artis, Insya-Allah akhir tahun ini kita akan tandatangan beberapa orang artis tempatan. "Bagi mereka yang berminat untuk berada di bawah Tune Studio juga boleh hantar profil dan demo kepada kami," ujarnya. Tune Studios sebelum ini diterajui oleh Jeremy Little, 31, yang memegang jawatan tersebut sejak 2012. Pemuda itu meninggal dunia di Mekah, Arab Saudi pada 8 April lalu ketika mengerjakan Umrah.

Rindu Rozana Terhadap Anak Sehingga Hadir Dalam Mimpi

Kerinduan isteri kepada Awie iaitu Rozana Misbun terhadap anak-anak yang kini di bawah jagaan aktor itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata sehingga dia terbawa-bawa dalam mimpi. Rozana, 36, berkata, sejak Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memberi hak jagaan sementara kepada Awie iaitu pada 22 Julai lalu, dia tidak pernah berjumpa atau berhubung dengan anak-anaknya. "Hampir lima bulan saya menderita kerana terlalu rindukan anak-anak. Saya cuba hubungi mereka, tetapi nombor seperti tidak digunakan lagi. Sehinggakan hampir setiap hari saya mimpi berjumpa dengan mereka," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu. Awie dan Rozana dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005 dan memiliki tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4. Bagaimanapun tambah Rozana, dia percaya satu hari nanti, mimpi tersebut benar-benar menjadi kenyataan kerana dia yakin berada di pihak yang benar. Dalam pada itu, bagi meredakan hatinya, Rozana mengambil pendekatan untuk membaca pelbagai buku selain menjaga dua anak buahnya agar kerinduan dan rasa sedih itu terubat. "Sehingga kini, saya hanya mampu berdoa kepada Allah dan berharap kebenaran akan ditunjukkan jua. Harap-harap dapat berjumpa dengan mereka segera. Tetapi sama ada mereka sayangkan saya lagi atau tidak, saya tidak mahu fikir. Saya serahkan perkara itu kepada Allah," ujarnya.
Mahkamah Tinggi Syariah pada Rabu mengarahkan Rozana mengemukakan akuan bersumpah sebagai bukti berhubung dakwaannya mengatakan perkahwinannya dengan Awie tidak didaftarkan di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP). Dakwaan perkahwinan itu tidak pernah didaftarkan muncul selepas Rozana meragui permohonan Awie yang turut melampirkan bersama surat nikah mereka ketika mengemukakan permohonan hak jagaaan anak (hadanah) secara ex-parte kepada mahkamah sebelum ini. Sementara itu, kakak kepada Rozana iaitu pelakon Haliza Misbun berkata, dia tidak sangka adiknya yang sebelum ini begitu manja dengan keluarga mempunyai kekuatan dalam mengharungi dugaan tersebut. "Dulu ingatkan, saya seorang wanita yang berdikari dan kuat untuk menempuh apa jua rintangan. Tetapi ternyata saya salah apabila melihatkan situasi yang ditempuh Rozana. "Jika saya berada ditempatnya, tidak tahulah sama ada saya mampu mengharunginya atau tidak. Bayangkan sejak anak-anaknya lahir, dia tidak pernah pun berenggang dengan mereka dan tiba-tiba perkara ini pula terjadi. Saya harap dia mengharunginya dengan tabah," tutur Haliza. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.

"Semuanya Tak Kena" - Almy Nadia Tegur Sikap Peminat

Pelakon Almy Nadia tidak senang dengan sikap sesetengah pihak yang gemar mempersoalkan saiz kandungannya yang kini berusia lima bulan. Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, juga berasa bengang apabila timbul perbandingan badannya semakin berisi dan tidak seiring dengan usia kandungan berkenaan. "Orang asyik tanya dan bercakap, kenapa perut saya besar? Kenapa saya gemuk? Anak kembar ke? Besarnya perut! Rasa nak marah saja, tetapi saya bersabar kerana kalau menjawab setiap persoalan itu, lebih banyak lagi soalan yang ditanya. "Yang penting saya dan anak dalam kandungan sihat dan tidak perlu makan macam-macam ubat," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu. Selasa lalu, Almy telah menulis status di Instagram dengan meluahkan rasa kesal terhadap segelintir pengikutnya yang sering pertikaikan saiz tubuh badannya yang semakin membesar. Almy turut menjelaskan dia kini sedang mengandung lima bulan yang menjadi penyebab badannya semakin berisi selain dia mempunyai rangka badan yang besar. Sementara itu, Almy juga tidak faham apabila terdapat individu tertentu mengkritik soal pemakaiannya yang dianggap tidak sesuai bagi ibu mengandung. "Semuanya tidak kena untuk mereka. Baju saya pakai pun orang nak buat penilaian dan kemudian saya dikritik kerana baju yang dipakai itu dianggap tidak sesuai. "Dah kata mengandung, mestilah semua baju yang dipakai akan nampak ketat. Pening membaca komen-komen mereka yang tidak masuk akal," ujarnya kecewa.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails