Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Elyana Berlakon Semula Selepas Dipaksa Suami

Penyanyi dan pelakon Elyana memberitahu suaminya, Khairul Anuar Husin, 40, sentiasa memaksa agar dia kembali aktif dalam bidang seni selepas hampir empat tahun menyepikan diri. Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, 28, berkata, suaminya bimbang dia mungkin bosan menjadi suri rumah sepenuh masa. "Selepas berkahwin dan hamil keputusan untuk memperlahankan kerjaya datang dari diri sendiri kerana ingin melihat anak membesar depan mata sendiri. "Kini anak kami sudah pun berusia empat tahun dan dia banyak memberi galakkan supaya saya kembali aktif kerana mahu saya bersemangat dan meneruskan minat dalam bidang seni," katanya kepada mStar Online. Elyana ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri lakonannya berjudul Keluarga Karaoke di Red Box Pavillion di sini, Selasa. Selain Elyana, drama 60 episod itu turut dibintangi oleh Raja Ema, Sherry Ibrahim, Elfaeza Ul-Haq, Zarina Zainuddin, Beego dan Dazrin Kamarudin. Ia bakal disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Rabu pada pukul 10 malam bermula 9 Februari depan di saluran Mustika HD (134).
Dalam pada itu, Elyana berkata, dia berani untuk bergiat aktif sebagai penyanyi dan pelakon kerana anaknya, Cinta Sumaiyah, 4, sudah pun memulakan pembelajaran di peringkat pra-sekolah. Malah kata Elyana, Khairul Anuar turut memberikan keyakinan akan menjaga anak sekiranya dia sibuk memandangkan suaminya itu bekerja sendiri. "Dia pun dah besar dan pandai bercakap jadi saya tidak risau sangat kalau hendak keluar bekerja tambahan pula suami ringan tulang menjaganya," ujar Elyana. Sementara itu, Elyana berkata, dia kini sedang dalam proses merakamkan album terbaharunya yang tergendala hampir empat tahun lalu. Jelas Elyana, album berkenaan bakal memuatkan 10 buah lagu dan akan diterbitkan oleh Aidit Alfian. "Sepatutnya album itu dah siap empat tahun lalu tetapi kerana saya berkahwin, dapat anak dan sibuk menguruskan rumah tangga jadi saya tangguh terlebih dahulu. "Tetapi saya selesa apabila dapat kembali berkolaborasi dengan Aidit kerana dia memahami kehendak saya sebagai penyanyi, katanya. Dalam perkembangan lain, Elyana berkata, dia teruja dapat kembali berlakon dan berharap drama Keluarga Karaoke mampu memberi impak kepada kariernya. Jelas Elyana, dia tidak berasa kekok kembali memasuki set penggambaran selepas sekian lama malah seronok dapat bertemu rakan-rakan artis lain. "Sebelum album diharap drama bersiri ini dapat mengubat rasa rindu peminat dan ia sebuah karya yang cukup santai tetapi menyeronokkan," jelasnya.

Rozana Terbuka Hati Mahu Berdamai Dengan Awie

Setelah lebih setengah tahun kemelut rumah tangga penyanyi Awie dan Rozana Misbun tercetus, isteri penyanyi itu akhirnya terbuka hati dan bersedia untuk berbincang dalam menyelesaikan masalah mereka. Rozana, 36, berkata, demi kebahagiaan tiga orang anak yang sedang membesar, adalah wajar mereka suami-isteir mencari penyelesaian supaya masalah rumah tangga dapat diselesaikan dengan baik. “Kalau betul saya gagal memberikan kebahagiaan yang Awie cari selama ni, lepaskanlah saya dengan cara baik. Tapi demi kebajikan anak-anak, saya bersedia untuk berbaik dengannya dan duduk berbincang. Kita jadi kawan. “Kalau benar Awie dah hilang rasa hormat pada saya sebagai manusia dan isteri, hormatilah saya sebagai ibu yang bersengkang nyawa untuk melahirkan anak-anaknya. Itu saja yang saya minta,” ujar Rozana kepada mStar Online dalam satu kiriman e-mel pada Khamis. Rozana berkata demikian ketika diminta komen selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Selasa lalu memutuskan hak penjagaan sementara tiga anak mereka diserahkan kepada Rozana. Berikutan itu Awie atau Ahamd Azhar Othman, 46, yang sebelum ini memperoleh hak berkenaan terpaksa menyerahkan anak-anak mereka kepada isterinya itu. Awie selaku responden diberikan hak melawat di kediaman anak-anak tersebut selama dua jam sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan kepada Rozana. Anak-anak berkeanan ialah Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13. Awie juga menghadapi kes mendatangkan kecederaan terhadap Rozana yang dibicarakan di Mahkamah Majisteret, Ampang Selangor.
Dalam pada itu kata Rozana, mungkin ada pihak menganggap dia kejam kerana perintah itu secara tidak langsung mengehadkan pertemuan Awie dan anak-anak tetapi sekurang-kuramna Awie akan dapat merasai bagaimanakah deritanya seseorang ibu apabila tidak berjumpa anak-anaknya. Ini kerana sewaktu Awie memperoleh perintah tersebut secara ex-parte sebelum ini, Rozana terpaksa menghormati injunksi berkenaan selama tujuh bulan apabila tidak dapat bertemu anak-anaknya. “Kalau Saya boleh menerima dengan reda dan patuh kepada perintah injunksi selama 7 bulan itu, saya harap Awie juga boleh menerimanya dengan lapang dada. Sekurang-kurangnya Awie dapat merasai bagaimana deritanya saya dalam tempoh terpisah dengan anak-anak,” ujarnya. Dalam pada itu mStar Online cuba mendapatkan penjelasan Rozana mengenai beberapa perkara penting yang pernah dibangkitkan Awie sebelum ini selain perancangan terhadap anak-anaknya selepas memperoleh hak penjagaan sementara itu. Baca penjelasan Rozana: Boleh Rozana komen mengenai kemelut dan rintangan terhadap kisah rumah tangga Rozana dengan Awie? Setelah pelbagai dugaan dan rintangan yang saya hadapi sejak tujuh bulan kebelakangan ini, Alhamdulillah sedikit demi sedikit saya bina kekuatan diri. Saya tak mahu berdendam sebab saya tahu kalau saya menyimpan perasaan yang macam tu, saya sendiri yang makan hati dan merana sendiri nanti. Jadi saya belajar untuk move on dan berkat sokongan keluarga, Insya-Allah saya akan teruskan hidup dengan semangat baru. Siapalah saya untuk bagi nasihat pada Awie? Tapi dalam klausa (4) perintah makhamah, ada ditulis secara terang dan nyata bahawa Awie ditegah sama sekali dari mengaibkan saya melalui media elektronik, Internet dan cetak. Kalau dia berdegil juga, maknanya dia menghina makhamah dan biarlah mahkamah saja yang tentukan hukumannya. Pelbagai tuduhan Awie lemparkam melalui peguamnya di mahkamah seblum ini termasuk tuduhan Rozana mengamalkan perkara ditegah agama Islam. Apakah yang dapat Rozana simpulkan? Siapa yang tak malu apabila suami sendiri tuduh saya macam-macam sedangkan saya ni isteri dia? Memang jatuh air muka saya dan ada masa-masanya saya malu sangat untuk berdepan dengan masyarakat. Saya tahu ramai yang tertanya-tanya kenapa saya selalu pakai kaca mata hitam apabila hadir ke makhamah. Tapi itulah saja caranya untuk saya 'sembunyikan' diri saya yang malu untuk berdepan dengan wartawan dan juga mata yang memandang. Kalau boleh bila saya keluar rumah, saya tak mahu orang ramai kenal saya sebab saya sedar, banyak berita yang negatif berbanding positif tentang saya yang diperkatakan orang. Tapi saya kena tabah. Takkan nak berkurung saja dalam rumah? Apa penjelasan Rozana apabila Awie pernah mendakwa Rozana curang dengan lelaki lain? Macam manalah saya nak curang? Saya ni, sepanjang sembilan tahun berkahwin, hidup mati saya hanya untuk Awie dan keluarga. Sejak Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha mula bersekolah, celik mata aje, sayalah yang mandikan, sediakan sarapan dan siapkan pakaian mereka semua sebelum menghantar mereka sendiri ke sekolah. Tengah hari pulak saya sibuk di dapur untuk siapkan makan tengah hari untuk keluarga sebelum sebelah petangnya pula, jemput anak-anak di sekolah. Sebelah malamnya pula, saya pastikan mereka mengaji dan 'monitor' buat kerja sekolah. Pukul 9 malam, semua dah kena tidur sebab saya tak mahu mereka liat bangun pagi esoknya untuk ke sekolah. Saya tak tahu ruang manakah untuk saya berpeleseran dengan lelaki lain? Lagipun, dengan imej Awie sebagai “ayahanda”, ada ke lelaki yang berani nak kacau isterinya ini? Mestilah ada ‘mata-matanya' akan segera memberitahu “ayahanda” Awie kalau betul mereka nampak saya berpoya-poya di luar. Tuduhan Rozana mengabaikan anak? Macam mana saya ni boleh dituduh tak jaga anak? Sedangkan dalam seminggu, ada masa-masanya, beberapa hari saja Awie di rumah terutama sekali kalau dia terlibat dengan penggambaran filem atau konsert di luar KL (Kuala Lumpur). Tapi saya faham kesibukannya itu dan tak pernah mengeluh. Apa perancagan Rozana selepas mendapat hak penjagaan sementara anak ini? Saya nekad untuk bawa anak-anak tinggal dengan Saya. Anak-anak yang sedang membesar perlukan disiplin. Masa saya jumpa anak sulung saya, Merrah di sekolah hari tu, dia nampak macam tak cukup tidur. Saya rasa dia orang bebas berjaga sampai tengah malam main video game. Dengan saya dulu, mereka tak boleh suka-suka hati buat macam tu. Saya memang pantau aktiviti anak-anak.

Ibu Tidak Paksa Lisa Surihani Amal Petua Tradisional Mengandung

Ibu kepada pelakon Lisa Surihani iaitu Siti Amira Ahmad tidak akan memaksa anaknya untuk mengikuti sebarang petua atau amalan tradisional sejak mengetahui wanita berkenaan hamil. Siti Amira bagaimanapun berkata, dia sentiasa menasihati Lisa, 29, agar bersederhana dalam apa juga tindakannya terutama pada peringkat awal kandungan. "Saya memang seorang 'old school' tetapi amat terbuka dalam perkara berkaitan seperti ini dan tidaklah terlalu taksub dengan pelbagai amalan dan petua sehingga memberi tekanan kepada Lisa. "Lisa seorang wanita yang aktif dalam aktiviti sehariannya dan saya sentiasa menasihatinya agar lebih berhati-hati dalam pergerakan selain bersederhana dalam pemakanan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis. Suami Lisa, Yusry Abdul Halim, 41, mengesahkan isterinya sedang berbadan dua ketika ditanya oleh wartawan pada sidang media pelancaran filem terbaharunya Cicakman 3 pada malam Rabu lalu. Bagaimanapun pasangan berkenaan mengelak untuk berkongsi dengan lebih terperinci mengenai perkembangan baik itu kerana menghormati amalan orang tua-tua agar tidak menghebohkan perkara itu pada awal usia kandungan.
Lisa dan Yusry akan menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga pada 23 Februari depan. Dalam pada itu, Siti Amira berkata, dia mengetahui mengenai berita gembira itu kira-kira tiga minggu lalu dan ia dimaklumkan sendiri oleh Lisa dan Yusry. "Alhamdulillah akhirnya doa mereka dimakbulkan Allah dan biarpun masyarakat sebelum ini sering bertanya mengenai perkara itu tetapi ini semua ada perancangan daripada-Nya. "Sudah tentu saya gembira apabila Lisa memaklumkan dia kini sedang hamil selain teruja untuk menyambut kehadiran cucu kedua dalam keluarga kami," katanya. Tambahnya lagi, dia bersetuju dengan tindakan pasangan suami isteri itu untuk tidak terlalu mendedahkan pelbagai maklumat mengenai kandungan tersebut kerana ia masih diperingkat awal. "Apa yang saya ingin minta adalah doakan kesihatannya agar dapat melahirkan bayinya dengan selamat nanti," katanya.

Tempoh Edah Hampir Tamat, Zain (Ruffedge) Usaha Rujuk Bekas Isteri

Pelakon dan penyanyi Zain Ruffedge memberitahu dia kini masih lagi dalam usaha untuk memperbaiki hubungannya dengan bekasi isteri yang berpisah sejak November lalu. Zain atau nama sebenarnya, Mohd Kamaruzaman Zain Abdul Hamid, 36, berkata, mereka masih lagi tinggal bersama dalam tempoh edah yang berbaki dua minggu sahaja lagi. "Isya-Allah saya minta doakan kami untuk kembali rujuk dan buat masa ini kami masih lagi tinggal bersama. Sebelum tempoh edah habis lagi dua minggu saya tak berani untuk cakap apa-apa. "Mungkin orang lain bercerai terus membawa haluan masing-masing, tetapi bagi saya tempoh edah adalah masa terbaik untuk kita perbaiki hubungan," katanya kepada mStar Online.
Zain ditemui selepas tayangan media filem terbaharu terbitan syarikatnya berjudul Bangunan yang diadakan di GSC Nu Sentral, di sini, malam Khamis. Zain dan Khazmira Anuar bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 13 November tahun lalu. Tempoh edah bagi pasangan bercerai ialah kira-kira tiga bulan. Dalam pada itu jelas Zain, hubungan rumah tangga mereka bermasalah sejak awal tahun 2014 dan sudah menjalani beberapa kali sesi kaunseling. Bagaimanapun, hubungan tersebut tidak dapat diselamatkan hingga meraka membuat keputusan secara baik untuk berpisah pada 13 November lalu. "Kami bercerai mengikut prosedur yang betul dan ia mengambil masa agak panjang iaitu pada April kami beberapa kali cuba meminta nasihat dan kaunseling. "Selepas itu pada 13 November barulah kami mengambil keputusan untuk berpisah secara baik," ujarnya. Zain mengakui emosinya agak terganggu terutama selepas lima hari berpisah kerana bapanya pula meninggal dunia. Dalam pada itu, berkaitan penjagaan anaknya Arriana Rania, 6, masih lagi belum dibincangkan secara terperinci. "Sekarang dia pun tidak tahu kami sudah berpisah dan kami belum berbincang tentang penjagaan anak sebab masih lagi tinggal bersama. "Kalau tiada jodoh habis tempoh dua minggu ini saya terpaksa keluar daripada rumah itu dan biar bekas isteri dan anak tinggal di situ," ujarnya. Sementara itu, Zain berkata, dia turut meminta nasihat daripada rakan baiknya Sein Ruffedge yang pernah mengalami pengalaman bercerai dan rujuk semula pada tahun 2011. Katanya, Sein banyak memberi kata-kata semangat dan nasihat sepanjang berhadapan dengan keadaan tersebut. "Ketika saya tertekan Sein banyak memberi nasihat dari segi mental untuk berhadapan situasi itu kerana dia ada pengalaman seperti saya lalu ini," ujarnya.

Ozlyn Wati Berjaya Kurus Kerana Air Akar Kayu

Pelakon Ozlyn Wati yang juga isteri kepada Johan (Raja Lawak) memberitahu dia berjaya mengurangkan berat badannya ke bentuk asal iaitu 55 kilogram hanya dalam masa dua bulan selepas mengamalkan minum air akar kayu semasa berpantang. Ozlyn atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail, 34, berkata, setiap hari dia akan mengambil segelas air herba itu pada waktu pagi dan masih mengamalkannya biarpun telah melepasi tempoh berpantang selama 44 hari. Mula-mula memang rasa loya dan tidak tahan dengan baunya tetapi lama-lama sudah terbiasa dan Alhamdulillah berat badan turun dengan ketara. "Alang-alang sudah terbiasa minum air akar kayu saya terus amalkan sehingga sekarang," katanya kepada mStar Online. Ozlyn melahirkan anak keempatnya iaitu Nur Latifah Chantiq Hanania pada 25 November lalu.
Dalam pada itu, Ozlyn berkata, selain berjaya mengurangkan berat badan, kebaikan mengamalkan pengambilan air akar kayu turut menghilangkan selulit yang terdapat pada badannya selepas bersalin. Malah ia membantu proses penghadaman selain membuatkan dia lebih bertenaga dalam melakukan aktiviti seharian. "Selepas bersalin, tanda bersalin dan selulit pada bahagian perut sangat teruk tetapi sekarang ia sudah tiada dan kembali kepada keadaan asal," ujarnya. Sementara itu, Ozlyn berkata, dia masih belum bersedia untuk kembali aktif dalam bidang seni memandangkan tanggungjawab sebagai ibu kepada empat cahaya mata semakin berat. Bagaimanapun dia akan menerima undangan lakonan sekiranya ia tidak melibatkan waktu penggambaran yang terlalu panjang. "Rindu tu memang rindu tetapi keluarga dan anak-anak harus diutamakan. Insya-Allah kalau anak-anak sudah besar sikit nanti boleh aktif kembali," katanya.

Padam Gambar Sharnaaz Bukan Sebab Cemburu - Anis Al Idrus

Pelakon Anis Al Idrus menjelaskan tindakan pelakon Sharnaaz Ahmad mengucapkan tahniah kepada bekas kekasihnya iaitu penyanyi Shila Amzah di Anugerah Juara Lagu 29 pada 28 Januari lalu bukan punca hubungan mereka berantakan. Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus, 27, berkata, dia sudah terlalu dewasa untuk bersikap cemburu seperti itu, malah Sharnaaz sendiri sudah menjelaskan kepadanya tujuan ucapan tahniah hanya atas dasar profesional sebagai rakan artis semata-mata. "Saya padam gambar-gambar tersebut bukan kerana cemburu Sharnaaz dengan bekas kekasih dia, bagi saya perkara itu sudah lama berlalu dan ia adalah masa lalu dia. "Lagi pula Sharnaaz sendiri ada beri penjelasan pada saya kenapa dia berbuat demikian dan ia hanya atas dasar profesionalisme sahaja. "Cuma ada perkara lain yang saya rasa tidak perlu berkongsi dengan peminat dan ianya terlalu peribadi antara saya dan Sharnaaz," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin. Anis berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hubungannya dengan pelakon Sharnaaz Ahmad yang dikhabarkan sudah putus. Hubungan tersebut dikatakan mula berantakan apabila Sharnaaz mengucapkan tahniah kepada Shila Amzah di Twitter selepas Anugerah Juara Lagu 29 lalu. Anis kononnya cemburu dengan perkara itu dan bertindak memadamkan kesemua gambar-gambar mesra mereka. Manakala Sharnaaz pula memuat naik gambar-gambar berkaitan dengan luahan kekecewaan di laman sosial Instagram miliknya. Mengulas perkara itu, Anis berkata, dia lebih selesa jika pelakon itu yang membuka mulut dan menjelaskan keadaan hubungan mereka kepada umum. Katanya, sejak berkawan rapat dengan Sharnaaz, dia jarang mengeluarkan sebarang kenyataan tentang status hubungan percintaan tersebut. "Saya tidak mahu komen tentang hubungan kami dan lebih baik biar Sharnaaz sahaja yang jelaskan kerana dia lelaki," ujarnya. Sementara itu, Anis berkata, dia kini sibuk mengacara rancangan Safiyyah terbitan RTM yang bakal ditayangkan pada April depan. Selain itu, katanya, dia sedang sibuk dengan proses pembukaan butik Anis Al-Idrus Wardrope yang bakal beroperasi di Alam Avenue 2, Shah Alam.

Mizz Nina Tolak Tawaran Beri Ceramah Agama

Penyanyi Mizz Nina memberitahu dia menerima banyak tawaran untuk memberi ceramah berkaitan agama Islam sejak menutup aurat sepenuhnya setahun yang lalu. Bagaimanapun, Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 35, berkata, dia terpaksa menolak tawaran tersebut kerana merasakan dirinya belum layak dan bersedia ke arah itu. "Sejak berpenampilan menutup aurat setahun lalu, saya banyak terima undangan mengadakan ceramah di majlis-majlis agama. "Saya terpaksa tolak kerana saya tidak layak untuk bercakap soal agama dan masih lagi belajar mendalami agama Islam, melainkan ia hanya sekadar berkongsi pengalaman berhijrah, " ujarnya kepada mStar Online.
Mizz Nina berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran kempen Cantik Di Mata yang diadakan di Restoran Rebung, di sini, Rabu. Penyanyi itu dan suaminya penyanyi Noh Salleh dilantik sebagai ikon bagi kempen yang bertujuan memberi kesedaran tentang menutup aurat. Sementara itu, Mizz Nina berkata, dia kini menyambung pengajian di Yayasan Ta'lim dengan kerjasama Institut Arees, Texas, Amerika Syarikat dalam proses mendalami Islam. "Sekarang saya banyak habiskan masa belajar di tempat yang sama dengan Natasha Hudson iaitu di Institut Arees. "Selain itu juga, jika ada kelas agama berkaitan mengaji Al-Quran dan tajwid saya akan sertai," ujarnya. Dalam pada itu, mengulas tentang kempen menutup aurat itu, Mizz Nina berkata, dia menganggap aktiviti tersebut sebagai salah satu cara untuk dia berdakwah.
Katanya, tanggungjawabnya sebagai ikon bukan bertujuan memaksa setiap orang menutup aurat sebaliknya memberi inspirasi kepada orang ramai melalui penampilannya. "Saya ditawarkan sejak sebulan lalu dan saya terima kerana ia sesuatu yang belum pernah saya lakukan sebelum ini. "Tugas saya ialah untuk beri inspirasi kepada masyarakat tentang kehidupan disebalik berpenampilan tersebut," ujarnya. Kempen yang bermula 14 Februari itu dianjurkan oleh Badan Bukan Kerajaan Islamic Aid Malaysia ( AID) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Media Jakim, Datuk Mustafa Kamal A. Razak dan Presiden Islamic Aid Malaysia (AID), Datuk Ismail Noor.

Ezad Lazim Mengaku Salah Miliki Dadah

Bekas vokalis kumpulan Exist iaitu Ezad Lazim mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram pada 19 November tahun lalu. Pengakuan Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim dibuat dihadapan Majistret Nurul Izzah Hassan Basri di Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Khamis. Pertuduhan pula dibacakan oleh pendakwa raya, Arunjothy dan Ezad tidak diwakili peguam. Bagaimanapun Nurul Izzah menetapkan 10 Februari ini bagi menjatuhkan hukuman bagi kesalahan tersebut. Siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15 (1) (a) akta yang sama. Ezad yang berasal dari Alor Setar, Kedah ditangkap berhampiran Kompleks Selayang Mall kira-kira pukul 1.30 petang pada 19 November tahun lalu dengan dia menggenggam satu paket syabu pada tangan kirinya. Hasil pemeriksaan air kencing penyanyi itu juga mendapati dia positif dadah jenis syabu. Penyanyi itu sebelum ini pernah menyertai Exist pada 1995, dan telah merakam sebanyak enam buah album bersama kumpulan tersebut sebelum meneruskan kerjaya solo. Ezad juga pernah membintangi beberapa buah filem terbitan Metrowelth International Group (MIG) termasuk Mami Jarum bersama aktres Zahida Rafik.

DAPAT BAYI LELAKI - JANGKITAN PUNCA ISTERI BLACK BERSALIN AWAL

Rezeki tahun baru! Begitulah halnya dengan penyanyi Black dan isterinya, Cira yang menimang cahaya mata pertama jam 7.48 petang kelmarin. Apa yang mengembirakan, mereka dikurniakan bayi lelaki yang sihat seberat 2.09KG. "Air ketuban isteri saya pecah awal kerana terkena jangkitan. Dia sakit dalam dua hari juga. Selepas dua hari, petang semalam barulah rahimnya terbuka. "Ketika lahir anak saya tidak menangis dan memberikan respon walaupun ditepuk. Hampir 10 minit jugalah doktor yang bertugas berusaha. Ketika itu, saya rasa sangat resah dan 10 minit kemudian barulah terdengar tangisannya. Saya tergamam hingga tidak mampu berkata apa-apa.
"Alhamdulillah isteri saya sihat. Begitu juga dengan anak saya. Bagaimanapun, kini anak saya masih ditempatkan di wad NICU yang dikhaskan untuk kanak-kanak baru lahir. Wad tersebut bukanlah untuk kanak-kanak yang kritikal. "Anak saya perlu ditempatkan di situ kerana dia lahir tidak cukup bulan dan perlu mendapatkan sedikit lagi antibiotik tambahan untuk mengelakkan dia terkena apa-apa jangkitan. "Tetapi kini alhamdulillah kerana dia sudah boleh minum susu dan jika tidak ada apa-apa dalam sehari dua lagi anak dan isteri saya sudah dibenarkan keluar," ujar Black dipetik sebagai berkata.

NORMAN BAWA MEMEY BERCUTI AWAL SEBELUM BERSALIN

Semua orang tahu bahawa Memey Suhaiza, 26, kini sedang hamil lima bulan anak keduanya bersama Norman Hakim. Nah sebagai menenangkan fikiran dan bercuti awal sebelum melahirkan serta berpantang, Norman telah membawa isteri kesayangannya itu bercuti menaiki cruise dari Pulau Pinang, Phuket hingga ke Krabi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails