Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Erra Fazira Bertudung Tanpa Desakan, Tiada Kaitan Shahir (AF8)

PENYANYI Erra Fazira menegaskan keputusannya memakai tudung bukan atas desakan sesiapa dan tiada kaitan dengan permintaan penyanyi Shahir (AF8) seperti yang diperkatakan baru-baru ini. Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 41, berkata, penghijrahannya itu atas kehendak diri sendiri dan kerana Allah S.W.T memandangkan niat itu sudah lama disimpan. "Let's clear our mind about that. Perkara itu langsung tidak benar sama sekali. Penghijarahan ini berlaku bukan atas kehendak siapa-siapa. "Itu semua atas diri sendiri. Saya lebih suka dan terima kasih kepada Allah kerana ianya berlaku tanpa desakan siapa-siapa," katanya kepada mStar Online.
Erra ditemui pada majlis persembahan fesyen Safari Fauna Mimosa Raya 2015 rekaan Bianco Mimosa di Hotel Royale Chulan di sini pada malam Selasa. Akhbar mingguan menerusi ruangan pojok pada Ahad melaporkan penghijrahan Erra dilakukan kerana mendapat sokongan Shahir. Khabar angin itu muncul apabila Shahir telah membuka kelas fardhu ain di kampungnya, Perak dan Erra juga pernah menyatakan individu pilihan hatinya mempunyai ilmu pengetahuan yang mampu membimbingnya di dunia dan akhirat. Sementara itu, Erra berkata, dia bersyukur penghijrahannya itu mendapat respons yang baik di kalangan keluarga dan rakan-rakan terdekat. Malah anaknya, Engku Aleesya Engku Emran, 6, juga teruja melihat perubahannya itu. "Aleesya antara orang paling seronok melihat perubahan ini, Alhamdulillah. Lagipun sebelum ini dia pun ada lihat ibunya bertudung ketika menghadiri pelbagai aktiviti. "Bagaimanapun, peralihan ini juga bukan datang dalam sekelip mata. Banyak perubahan yang perlu dilakukan secara perlahan-lahan," ujarnya. Dalam pada itu, Erra yang ditanya apakah respons jika peminat mengikut langkahnya berhijab, kata penyanyi lagu Berteman Sepi itu, ia adalah satu petanda yang baik. "Saya tidak pasti tentang itu tetapi andai kata peminat-peminat berhijab kerana saya, Alhamdulillah. Ia satu impak yang bagus. "Tidak mengapa jika seseorang itu berhijab kerana mengikut idola mereka kerana saya percaya Allah akan lahirkan rasa cinta dengan hijab dan sekali gus individu itu akan tahu tanggungjawab dan batas-batas mereka," tuturnya.

Erma Fatima & Bade Dilaporkan Bakal Bercerai

Pengarah filem Erma Fatima dilaporkan bakal bercerai dengan suaminya, Badaruddin Azmi, 51, pada Khamis. mStar Online difahamkan proses cerai akan berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gomak Timur, Keramat dekat sini. Erma, 47, atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad yang ditemui pemberita di Istana Budaya pada malam Rabu bagaimanapun enggan mengulas perkara itu sebaliknya meminta agar pihak media tidak mempercayai gosip berkenaan. Bagaimanapun dia tidak menafikan akan berada di mahkamah pada Khamis.
“Kita jumpa esok (Khamis). Kalau ada esok… adalah…” katanya ringkas lalu bergegas ke keretanya semasa pihak media cuba mendapatkan pengesahan. Dalam perkembangan terbaharu, wartawan mStar Online, Mohd Al Qayum Azizi berkata, kes pasangan itu akan disebut pada Khamis pukul 2.30 petang di mahkamah berkenaan. Bade dan Erma bernikah pada 30 November 1990. Mereka memiliki lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 22, Ahmad Arir, 20, Ahmad Aifin, 18, Citra, 13 dan Nurain berusia sembilan tahun. Bagaimanapun pada awal 2014, Bade telah berkahwin dengan wanita bernama Aida berasal dari Pahang. Hasil perkahwinan itu mereka mendapat anak lelaki hujung tahun lalu yang bernama Jihad, berusia enam bulan. Terdahulu dalam satu temubual sebelum ini Erma dan Bade menafikan akan bercerai. Bade sebaliknya berkata dia masih sayangkan Erma. Erma pula berkata dia boleh menerima hakikat hidup bermadu.

Kamal Adli Tolak Sesi Fotografi Bersama Emma Maembong

Pelakon Kamal Adli menolak untuk digandingkan dengan aktres Emma Maembong dalam mana-mana sesi fotografi akhbar ataupun majalah selepas gara-gara gosip percintaan mereka berdua. Kamal, 29, berkata, pendiriannya itu dibuat bagi mengelakkan hubungan mereka terus disalahtafsirkan oleh semua pihak. "Ada yang minta untuk menggandingkan kami dalam sesi fotografi tetapi rasanya lebih baik kami tidak berbuat demikian. "Ini kerana nanti akan timbul pelbagai cerita kurang enak seperti mana berlaku sebelum ini," katanya kepada mStar Online. Kamal ditemui pada majlis pelancaran dua drama terbaharu iaitu Puteri Gunung Ledang dan Jodoh Sebelah Pintu yang diadakan di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu.
Dua drama berkenaan bakal disiarkan menerusi HyppTV menerusi saluran HyppSensasi (116). Kamal dan Emma memegang peranan utama dalam drama bersiri Jodoh Sebelah Pintu arahan Michael Ang yang akan disiarkan pada 29 Julai depan. Dalam pada itu, Kamal menegaskan hubungannya dengan Emma sekadar teman biasa dan masih terlalu awal untuk bercakap soal cinta. Bagaimanapun, Kamal tidak menafikan Emma adalah wanita paling rapat dengannya ketika ini dan dia selesa bersahabat dengannya. "Kami masing-masing ada pengalaman pahit dalam percintaan sebelum ini dan lebih baik kami bersahabat sahaja buat masa sekarang. "Tidak ada apa yang ingin kami sorokkan pun dan meletakkan soal jodoh kepada ketentuan Allah," jelasnya. Sementara itu, Emma yang turut ditemui pada majlis sama senada dengan Kamal namun memberitahu tidak tertekan apabila sering dikaitkan dengan pemuda tersebut. "Benar kami rapat tetapi sebagai sahabat dan saya senang dengan sikapnya yang sentiasa menjadi diri sendiri," jelasnya.

CATRIONA ROSS SELAMAT LAHIRKAN ANAK KETIGA

We both received this precious gift from up above earlier on today, Friday at 3.28p.m... Introducing our no 3, Edruce Riyadh Ross-Idin... @smshaha," demikianlah kata Catriona Ross yang telah selamat melahirkan bayi lelaki pada 17 April lalu. Untuk rekod, Catriona dan suaminya Shaharuddin mendirikan rumahtangga mereka pada 26 Jun 2009 dan sebelum ini telah dikurniakan dua orang anak bernama Sephia Rania Ross-Iddin, 5, dan Jammal Raess Ross-Iddin, 3.

Fahrin Ahmad Berasa Sunyi Berjauahan Dengan Isteri

PELAKON Fahrin Ahmad memberitahu dia berasa sunyi kerana sering sendirian akibat berjauhan dengan isteri walaupun sudah mendirikan rumah tangga pada 9 Mei lalu. Fahrin, 36, berkata, dia dan isterinya Elena Hani Eleas, 37, hanya dapat berjumpa dua minggu sekali memandangkan isterinya itu masih lagi bekerja sebagai ketua pramugari di sebuah syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai. Bagaimanapu dia menytifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang biasa. "Terasa juga bila dia (Elena) tiada di sisi, tetapi nak buat macam mana bukan? Konsep kami sekarang ini, kami akan berjumpa setiap dua minggu, sama ada dia datang ke sini (Malaysia) atau saya ke Dubai. "Saya rasa perkara ini ada juga hikmahnya di mana kami dapat serasikan diri antara satu sama lain sebelum dia berhenti kerja dan menetap di sini," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Tambah Fahrin, dia juga tidak sabar mahu isterinya berhenti bekerja di negara itu agar memudahkan mereka merancang untuk mendapatkan cahaya mata. Sementara itu, Fahrin turut berkata, sejak menjadi suami, cara pemikirannya terhadap sesuatu perkara lebih berbeza dan sentiasa memikirkan Elena dalam membuat sesuatu keputusan. "Kalau dulu, apa-apa keputusan saya akan buat sendiri. Tetapi sekarang, walaupun dia duduk jauh, saya tetap teringatkan dia. "Beli barang-barang runcit juga saya akan memikirkan Elena. Kita tahu sekarang ini, pergi mana-mana pun, kita sudah ada tanggungjawab antara satu sama lain," ujarnya. Dalam pada itu Fahrin berkata, dia tidak sabar untuk melalui pengalaman berpuasa bersama memandangkan selama ini dia sering sendirian terutamanya ketika berbuka puasa. "Sebelum ini, jika tidak terlibat dengan sebarang majlis, saya akan berbuka puasa sendirian. "Dan untuk tahun ini, perkara itu tidak akan berlaku. Elena sudah pun mengambil cuti untuk berpuasa pada minggu pertama bersama saya. Jujurnya saya teruja! Hahaha..." katanya.

Neelofa Pantau Tudung Jenamanya Dijiplak

Sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab menjiplak rekaan tudung jenama ‘Naelofar Hijab’ tidak pernah menggugat perniagaan pemiliknya iaitu pelakon Neelofa. Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 25, bagaimanapun berkata dia tetap mengambil perkara itu dengan serius kerana semakin ramai yang menjual tudung tiruan dengan menggunakan jenamanya.
"Saya tahu banyak tudung tiruan Naelofar di luar sana dan saya mempunyai 'team' tersendiri pantau berhubung perkara itu. "Alhamdulillah, kebanyakan pihak yang kami jumpa, mereka memberi kerjasama dengan tidak menjual tudung tiruan Naelofar. "Tetapi masih ramai lagi menjual, cuma saya tidak mempunyai masa untuk menguruskan perkara ini. Mujurlah ia tidak menggugat perniagaan saya," katanya kepada mStar Online pada Isnin. Neelofa ditemui pada majlis pelancaran koleksi tudung terbaharu Naelofar for ZALORA iaitu Majestic Love di Hotel Hilton di sini pada Isnin. Dalam pada itu, ditanya adakah dia boleh dipanggil sebagai jutawan muda seperti yang diperkatakan, Neelofa hanya tersenyum dan menganggap ia adalah satu doa daripada orang ramai. "Saya aminkan sahaja jika orang berkata begitu," tuturnya. Mengenai Naelofar for ZALORA, pelakon filem Azura itu berkata, selepas empat bulan perniagaannya, dia ditawarkan pihak pengendali gudang fesyen dalam talian itu untuk bekerjasama menghasilkan sebuah koleksi khas untuk butik tersebut.
"Saya mahu lebih dikenali di kalangan pelanggan dan kerana itu reputasi cemerlang ZALORA merupakan sebab utama kami mengadakan usahasama ini. "Koleksi Majestic Love disifatkan sebagai kemegahan dan keanggunan yang dilihat lebih bergaya dan elegan. Ia juga diberi sentuhan tambahan menggunakan fabrik kulit bagi motif bunga," ujarnya.

Sharnaaz Ahmad Enggan Lagi Lantang Bersuara

Pelakon Sharnaaz Ahmad mengambil pendekatan tidak mahu terlalu lantang dalam mengeluarkan kenyataan di akaun Instagram miliknya seperti yang sering dilakukan sebelum ini. Kata Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 30, dia menyedari setiap status yang dimuat naik di Instagram sering mendapat perhatian sehingga menjadi kontroversi dan perkara itu membuatkan dia lebih berhati-hati selepas ini. "Itulah, kebanyakan status saya mesti jadi isu. Mungkin saya perlu perlahankan kelantangan saya itu. "Cuma sebab saya buat macam itu pun bagi menjelaskan sesuatu isu atau mengelakkan kekeliruan terutamanya peminat. Dan apabila mereka baca, mereka akan faham," katanya kepada mStar Online. Sharnaaz yang ditemui di majlis pelancaran filem Darah Panas di TGV One Utama pada Isnin diminta mengulas mengenai kebanyakan kenyataannya yang dimuat naik di Instagram menimbulkan pelbagai kontroversi. Sementara itu, mengenai filem Darah Panas, Sharnaaz berasa risau mengenai respons peminat mengenai mutu lakonannya memandangkan penggambaran filem itu dibuat tiga tahun lalu. Namun pelakon itu sedia menerima kritikan jika lakonannya itu tidak memberangsangkan. "Saya tak kisah jika orang nak kritik lakonan saya. Kalau saya kritik orang boleh, takkan saya tak boleh dikritik pula bukan? "Tetapi, tidak dinafikan saya berdebar menantikan respons peminat mengenai mutu lakonan saya," ujarnya. Darah Panas mengisahkan Syahana, seorang gadis yang berpegang pada agama, namun bercita-cita menjadi seorang model muslimah kerana terpengaruh dengan video di laman sosial. Syahana berkenalan dengan Fandi melalui laman sosial dan meminta bantuan Fandi bagi mencapai cita-citanya dan menyatakan hasrat kepada keluarganya, namun ditentang ayah dan abangnya. Bagaimanapun dia tetap mahu meneruskan cita-citanya, lalu mengambil keputusan melarikan diri ke Kuala Lumpur. Setibanya di ibu kota, Fandi membawa Syahana ke dunia pelacuran. Filem arahan Arjin Uppal yang turut membariskan pelakon Fathia Latiff, Datuk Jalaluddin Hassan, Sofi Jikan dan Aznah Hamid bakal ditayangkan bermula Khamis ini.

Foto Mesra Bersama Kekasih, Aliff Aziz Mohon Maaf

Penyanyi Aliff Aziz memohon maaf kerana memuat naik foto-foto mesra bersama kekasih di akaun Instagram miliknya sehingga mengundang rasa kurang senang segelintir pihak. Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 23, berkata , dia tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk namun sekadar ingin berkongsi rasa bahagianya itu bersama peminat-peminat.
"Sebagai artis, saya tahu tidak boleh terlalu berlebih-lebih dalam melakukan sesuatu perkara kerana boleh mengundang cakap-cakap orang. "Dan kekerapan memuat naik foto mesra kami bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk, tetapi ini adalah cara saya menyampaikan rasa cinta pada dia (Bella) dan pada masa sama ingin berkongsi detik bahagia ini bersama peminat," katanya yang dihubungi mStar Online pada Selasa. Ahad lalu, akhbar mingguan menerusi ruangan pojok melaporkan Aliff bersikap terlalu terbuka apabila memuat naik foto-foto mesranya sehingga mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak. "Saya seorang yang terbuka dengan komen-komen nasihat serta kritikan yang diberi tetapi laporan yang ditulis terlalu keras dan bagi saya bukan cara itu nak beri nasihat. "Ia ditulis seolah-olah kami berkelakuan tidak senonoh, bukan itu caranya jika ingin memberi nasihat. Kasihanilah keluarga kami yang pastinya akan terkena tempias hanya kerana laporan itu. "Saya tahu reputasi saya bukannya bagus sangat tetapi tidak bermakna kisah kami boleh ditulis begitu. Lagipun saya sedang berusaha untuk menjadi seorang yang lebih baik," ujarnya.

"Hamil Anak Kedua, Isteri Suka Meragam" - Aeril Zafrel

Pelakon Aeril Zafrel memberitahu isterinya Wawa Zainal lebih kerap meragam ketika mengandungkan cahaya mata kedua mereka yang kini memasuki usia enam bulan. Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, 27, berkata, ketahanan diri isterinya itu juga agak lemah berbanding kandungan pertama apabila sering tidak sihat dan selalu bersikap dingin. "Kandungan kali ini berbeza sedikit kerana mood dia tidak konsisten, kadang-kadang sebab jerawat pun dia tiada mood nak keluar rumah. "Apa yang saya lihat kandungan pertama dia lebih kuat, mungkin sebab banyak urat putus sewaktu melahirkan anak pertama dan ketahanan badan dia tidak seperti dahulu," ujarnya kepada mStar Online. Bagaimanapun, Aeril berkata, isterinya itu tidak terlalu cerewet atau mengidam sesuatu makanan seperti kebiasaan wanita mengandung. Dia juga mendedahkan jantina anak dalam kandungan tersebut adalah perempuan seperti yang diharapkan isterinya. "Alhamdulillah, dia tidak mengidam yang bukan-bukan, kalau ada pun dia tidaklah memaksa untuk saya dapatkan makanan itu," ujarnya.
Sementara itu, Aeril berkata, sepanjang bulan Ramadan, dia akan berehat daripada sebarang penggambaran drama bagi membantu isterinya menguruskan perniagaan pakaian dibawah label WA. Katanya, Wawa kini lebih memberi perhatian menguruskan perniagaan pakaian tersebut secara kecil-kecilan berbanding bidang lakonan. "Saya suka dia sibuk dengan anak dan uruskan bisnes itu. Hal mencari rezeki dan berlakon biar saya sahaja yang buat, namun saya tidak menghalang kalau dia rasa rindu untuk berlakon," ujarnya. Aeril Zafrel dan Wawa Zainal pernah mencetuskan kontroversi pada Oktober 2013 apabila mendedahkan mereka sudah bernikah sebanyak dua kali iaitu pada 25 Februari 2012 dan kali kedua, 4 Februari 2013. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ahmad Fakharuddin Attar, pada 24 Ogos 2013. Dalam perkembangan lain, Aeril turut terlibat dalam drama Hidayah Mu Ramadan menghiasi bulan Ramadan di slot Samarinda, TV3. Drama itu sudah disiarkan bermula pada 4 Jun lalu. Selain Aeril, Hidayah Mu Ramadan turut dibintangi Zara Zya, Aeril Zafril, Reen Rahim, Nazrief Nazri dan Roy Azman.

Jojie Tidak Akan Tinggalkan Kerjaya Urus Ella

Kakak Ratu Rock Negara Ella, Jojie tidak akan meninggalkan kerjayanya sebagai pengurus kepada penyanyi itu biarpun sudah mendirikan rumah tangga. Jojie atau nama sebenarnya, Rozita Aminuddin, 50, berkata, suaminya Syahrizal Ismail,36, tidak menghalang untuk dia terus menjadi tulang belakang kerjaya nyanyian adiknya itu. "Saya akan terus menguruskan Ella dan Syah tidak menghalang apa yang membuatkan saya gembira. "Syah juga menggalakkan dan suka dengan kerjaya saya ini, dia mahu saya terus aktif dalam industri biarpun selepas berkahwin," ujarnya kepada mStar Online.
Jojie selamat diijab kabul dengan pasangannya Syahrizal Ismail dalam sebuah majlis yang diadakan di Masjid Ara Damansara, di sini, malam Jumaat. Pada majlis tersebut Jojie menerima mas kahwin sebanyak RM888, manakala wang hantaran sebanyak RM20,000. Dalam pada itu, Jojie mengakui mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang selepas dua adiknya iaitu Ella dan Korie berkahwin terlebih dahulu. "Saya tidak mahu melihat mereka bersendirian sebab itu saya ambil keputusan melepaskan mereka berkahwin dahulu. "Selepas saya beritahu ingin berkahwin, Ella rasa sangat risau dan takut kami akan berpisah, tetapi saya yakinkan dia bahawa saya akan sentiasa ada jika dia memerlukan saya disisinya," ujarnya. Dalam pada itu, Jojie turut memberitahu bahawa dia dan Ella merancang untuk menunaikan ibadah haji bersama-sama pasangan masing-masing pada tahun ini.
Bercakap tentang keistimewaan lelaki yang menjadi pilihan hatinya, Jojie berkata, Syahrizal merupakan seorang yang memahami dan matang. Katanya, dia yakin Syahrizal merupakan seorang lelaki yang mampu membimbingnya dalam soal agama. "Apa yang buat saya terpikat ialah dia sentiasa menjaga solatnya dan mengingatkan saya tentang waktu untuk bersolat. "Dia juga faham tentang hubungan saya dan adik beradik yang terlalu rapat," katanya. Sementara itu, Syahrizal berkata, Jojie merupakan wanita yang melengkapi kriteria perempuan patut dikahwini dalam Islam. Katanya, sepanjang setahun perkenalan mereka, Jojie seorang yang sangat berdikari dan mempunyai pendirian sendiri. "Dalam Islam wanita yang patut dikahwini ada empat iaitu, agamanya, rupa paras, keturunan dan harta. Sepanjang kami berkawan saya perhatikan dia ada semua kriteria itu," ujarnya. Pasangan ini turut merancang untuk berbulan madu di Switzerland selepas resepsi mereka yang dijangka diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails