Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hidup Azlan (The Typewriter) Berubah Selepas Dapat Anak


KUALA LUMPUR: Penyanyi Azlan & The Typewriter mengakui pengalaman bergelar bapa sejak empat bulan lalu mengubah dirinya menjadi insan yang lebih baik.

Azlan atau nama sebenarnya Nor Azlan Rosle, 30, berkata kelahiran anak perempuan sulungnya, Laura Lutfea bagaikan satu keajaiban dalam dirinya.

"Anak ini satu keajaiban bagi saya. Percaya atau tidak, semuanya berlaku secara tanpa disangka.

"Kelahirannya banyak mengubah hidup saya secara peribadi termasuk pemikiran dan sikap sejak empat bulan lalu," katanya.

Azlan ditemui pada pelancaran klip video Idola yang merupakan lagu runut bunyi filem terbaru, Hoore! Hoore!.

Azlan berkata perkara terbaik sejak kelahiran Laura Lutfea apabila dirinya menjadi semakin matang.

"Setiap kali menatap wajahnya ketika tidur fikiran saya akan menerawang memikirkan banyak perkara mengenai masa depannya.

"Apa yang paling penting, saya perlu mengukuhkan kewangan keluarga agar masa depannya lancar dan terjamin," kata Azlan.

Azlan dan Normala Hassan, 29, diijabkabulkan pada 2 Januari 2011 di Surau Al-Munir, Batu 14, Hulu Langat.

Beralih pada perkembangan kerjaya, Azlan memberitahu lirik lagu Idola ciptaan Audi Mok itu ditulis olehnya mengambil inspirasi Allahyarham Datuk Sudirman.

"Lirik lagu itu mengambil masa empat bulan untuk dihasilkan. Penulisannya lebih komersial, tidak boleh terlalu mendalam dan puitis.

"Saya perlu membuat kajian dengan menonton filem lakonannya Kami dan mendengar lagu-lagu Allahyarham bagi mendapatkan ilham," katanya.

Imej Caca Marba, Najwa Latif Pinta Kakak Tidak Dipersalahkan


PETALING JAYA: Penyanyi remaja Najwa Latif menegaskan imej dan fesyennya yang dikatakan caca-marba dan tidak bersesuaian dengan faktor usia bukan ditentukan oleh kakaknya, Syafikah Latif.

Sebaliknya, penyanyi berusia 17 tahun ini memberitahu setiap penampilannya pada acara-acara hiburan dan persembahan pentas ditentukan menerusi perbincangan banyak pihak.

"Pemilihan imej saya tidak hanya ditentukan oleh kakak, malah ia melibatkan pihak pengurusan dan saya sendiri. Tidak adil menuduh kakak saya menjadi punca kepada masalah imej dan fesyen saya.

"Sebenarnya, kami akan berbincang terlebih dahulu sebelum saya menghadiri apa-apa acara hiburan. Orang ramai sudah salah faham tentang perkara ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Terbaru, penyanyi lagu Kosong itu sekali lagi dikecam segelintir pihak ekoran busana rekaan Wan Huzairil yang diperagakannya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-25 (ABPBH2011) pada 8 April lalu tidak sepadan dengan usia remajanya.

Difahamkan juga, kakak Najwa menjadi punca kecelaruan pada fesyen dan penampilannya selama ini.

Najwa mengakui masih banyak kelemahan pada penampilannya itu dan berusaha untuk memperbaiki diri pada masa akan datang.

"Saya masih baru dan tercari-cari fesyen yang bersesuaian dan sepadan. Namun, saya tidak berkecil hati walaupun segelintir pihak masih mempertikaikan imej saya.

"Insya-Allah apabila saya aktif semula selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya akan tampil dengan kelainan," kongsinya.

Dalam pada itu, Najwa berkata dia kini mula berehat panjang bagi menumpukan persiapan untuk menghadapi SPM pada hujung tahun ini.

“Saya berehat daripada komitmen nyanyian buat masa ini. Terlalu banyak subjek yang perlu saya tumpukan terutamanya subjek-subjek Tingkatan Empat yang sudah saya lupa.

“Atas nasihat ibu, saya ambil keputusan ini untuk masa depan. Kalau diikutkan, saya patut berehat sejak Mac lagi dan kemunculan di ABPBH baru-baru ini adalah persembahan pentas yang terakhir sehingga saya selesai SPM,” katanya.

Amy (Search) Dapat Terima Johan Asaari Sebagai Menantu


KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy akan menerima Johan Arrif As'ari sekiranya pelakon itu ditakdirkan menjadi menantunya.

Amy berkata, dia tidak menghalang dengan sesiapapun anaknya iaitu Nabila Huda mahu berkawan asalkan individu tersebut dapat membahagiakan dirinya.

"Saya bukannya seorang ayah yang konservatif dan saya tidak akan menghalang anak saya untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

"Begitu juga dengan Johan, sekiranya Nabila ingin menjadikannya sebagai bakal suami pada masa akan datang, saya terima. Yang penting Nabila bahagia dengan kehidupannya itu," katan.

Amy diminta mengulas hubungan Nabila dan Johan yang dikatakan semakin intim sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, tambah Amy, berdasarkan apa yang dilihat, keakraban Nabila dan Johan sekadar teman rapat sahaja dan tiada yang lebih istimewa daripada itu.

Malah menurut Amy, ketika mereka bercuti bersama-sama dengan Johan di Jepun pada Mac lalu, kedua-dua pasangan tersebut tidak menunjukkan seperti pasangan bercinta.

"Saya tahu bagaimana cara Nabila melayani seorang kekasih. Tetapi berdasarkan apa yang saya lihat mereka tidak lebih daripada kawan biasa.

"Pendapat saya tentang Johan, dia seorang yang baik dan senang diajak berborak," ujarnya.

Beberapa bulan lalu, hubungan Johan dan Nabila dikatakan semakin intim selepas berlakon bersama dalam drama bersiri Pelangi Kasih.

Namun sehingga kini kedua-dua mereka menafikan khabar angin tersebut dan menyatakan perhubungan mereka tidak lebih sekadar teman rapat.

Khairul Fahmi Elak Jadi Artis Walaupun Dapat Tawaran Berlakon


KUALA LUMPUR: Penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) berjanji pada dirinya sendiri untuk tidak mahu menyertai bidang hiburan sama ada sebagai pelakon mahupun pengacara walaupun pelbagai tawaran diterimanya.

Apek,23, berkata, dia tidak berminat untuk mendalami bidang tersebut namun tidak kisah seandainya diberi tawaran untuk menjadi model iklan.

"Saya bukannya artis dan tidak mahu jadi artis tetapi cukuplah sebagai seorang selebriti yang dikenali dalam bidang sukan.

"Lagipun ia bukanlah satu bidang yang saya minati melainkan jika saya diminta menjadi model iklan dan terlibat dengan aktiviti peragaan yang mana kerjanya hanya mengambil masa yang tidak terlalu lama," katanya sambil memberitahu pernah ditawarkan berlakon filem.

Tambah anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini dia tidak mahu gara-gara sibuk dengan kerja-kerja seni, fokusnya terhadap kerjaya sukan pula akan tersasar.

Dalam pada itu, ditanya adakah keengganannya menyertai bidang seni hiburan itu disebabkan dia risau muncul pula pelbagai kontroversi lain seperti yang dilaluinya sebelum ini, Khairul Fahmi mengakui tentang hal itu.

"Saya tak mahu hal peribadi menjadi perhatian yang lebih berbanding kerjaya. Oleh itu biarlah fokus saya terhadap sukan sahaja.

"Dan selebihnya, cara untuk mengelakkan kontroversi ialah saya lebih suka duduk di rumah jika ada masa terluang," ujarnya yang sedang menjalani latihan bagi menghadapi perlawanan Liga Super.

Kontroversi Apek mula tercetus selepas beliau yang juga penjaga gol terbaik Asia itu putus tunang dengan seorang penulis blog, Aimie Harmelia, apabila dikatakan cintanya sudah beralih kepada seorang wanita yang dikenali sebagai Dahlia Teck.

Tidak lama kemudian, muncul pula satu lagi khabar angin mengatakan Apek mempunyai cinta baru dengan seorang pemilik butik bernama Nur Eilunie Natasha Nazri (Leuniey). Namun wanita itu tampil menafikan ada hubungannya dengan Apek.

Terbaru, Apek dan Leuniey muncul menjadi model bagi iklan produk SimplySiti iaitu Eau De Parfum (EDP) yang baru sahaja dilancarkan.

Lagu 'Kosong' Najwa Latif Tidak Sindir Sesiapa


PETALING JAYA: Bintang remaja sensasi Najwa Latif menjelaskan lagu terbarunya berjudul Kosong bukan dihasilkan sebagai sindiran kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, pemilik nama sebenar Imratul Najwa Abdul Latif, 17, ini memberitahu lagu tersebut adalah bertujuan untuk memberikan semangat dan motivasi kepada sesiapa sahaja agar tidak berputus asa apabila diri diperkecilkan.

“Lirik lagu itu dihasilkan bersama kakak saya, Ika. Dia menghasilkan lirik itu ketika melihat saya sedang bersedih dan tertekan dengan pelbagai cabaran dalam bidang nyanyian ini.

“Saya sering berkongsi dengan kakak apa juga masalah atau kesedihan yang saya hadapi. Mungkin daripada situ, dia mendapat ilham untuk menulis lirik lagu itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Ditanya adakah lagu itu merupakan luahan perasaan dan pandangan mereka kerana sering dipandang rendah dan dikritik pelbagai pihak sebelum ini, Najwa berkata ia hanyalah lagu yang menjadi motivasi bagi menghadapi perjalanan karier yang masih panjang.

“Lagu itu bukan untuk menyindir mana-mana pihak. Mungkin daripada liriknya, orang akan menyangka ia adalah luahan perasaan saya untuk menyindir segelintir pihak yang memperlekeh atau mengkritik selama ini.

“Hakikatnya, bukan begitu kerana ia adalah sebuah lagu motivasi dan pemangkin semangat kepada sesiapa sahaja yang berasa diperlekehkan agar tidak mudah mengalah,” katanya.

Dalam pada itu, gadis yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini berkata dia kini mula berehat panjang daripada komitmen nyanyian demi menumpukan perhatian pada pelajaran.

“Saya berehat daripada komitmen nyanyian buat masa ini bagi menumpukan perhatian pada pelajaran. Terlalu banyak subjek yang perlu saya tumpukan terutamanya subjek-subjek Tingkatan Empat yang sudah terlupa.

“Atas nasihat ibu, saya ambil keputusan ini untuk masa depan. Kalau diikutkan, saya patut berehat sejak Mac lagi dan kemunculan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini adalah persembahan pentas yang terakhir pada tahun ini sehingga saya selesai SPM,” katanya.

Natasha Hudson Sah Milik Carleed Khaza


KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pelakon Natasha Liana Hudson, 29, sah bergelar isteri kepada penyanyi dan komposer muzik, Carleed Khaza atau nama sebenarnya Khalid Kamal, 33 , di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, pukul 11.55 pagi Ahad.

Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah, Shahirman Ahmad, berwalikan hakim dengan mas kahwin sebanyak RM80 dan tiada wang hantaran diterima.

Natasha yang baru sahaja pulang daripada mengerjakan umrah meluahkan rasa bersyukur kerana kembali bergelar isteri buat kali ketiga selepas dua tahun bercinta dengan Carleed.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana majlis pernikahan kami yang serba ringkas ini berjalan dengan lancar.

"Semoga perkahwinan saya kali ini berkekalan sehingga akhir hayat," katanya yang enggan mengadakan sebarang majlis resepsi.

Majlis pernikahan itu turut disaksikan oleh kedua-dua ibubapa Carleed, Kamal Al-Bakri dan Aisha Abdul Manaf serta ibu Natasha, Ratna Hussin.

Selain itu, seramai 700 tetamu yang hadir termasuklah keluarga, saudara mara serta teman-teman rapat kedua-dua belah pihak .

Sementara itu, beritahu Carleed pula, dia bersyukur kerana mempunyai isteri yang cantik serta memiliki ciri-ciri wanita idamannya.

"Apa yang penting, Natasha menghormati kedua-dua ibu bapa saya disamping sering membantu saya menjaga nenek saya yang uzur. Dia seorang yang sangat istimewa di mata saya.

"Saya juga amat rapat dengan anak perempuannya, Nessa Helena, dan kami berdoa untuk memiliki anak lagi," ujarnya.

Tambah Carleed, mereka sedang merancang untuk berbulan madu di Istanbul, Turki dalam masa terdekat ini.

Natasha yang menggayakan persalinan rona coklat keemasan rekaan Shahida Shariff menerima lima dulang hantaran seperti Sirih Junjung, senaskah Al-Quran, sepersalinan pakaian, set wangian dan sebentuk cincin.

Manakala pihak lelaki pula menerima tujuh dulang hantaran iaitu sirih junjung, sepersalinan pakaian, sejadah, kek, set wangian, senaskah Al-Quran dan sebentuk cincin.

Rossa tiru Katy Perry


JAKARTA pernah kecoh dengan isu kumpulan Trio Macan yang dikatakan memplagiat lagu Iwak Peyek yang sebelum itu pernah dinyanyikan oleh Arek Band. Bagaimanapun, plagiat di sana tidak hanya dikenal pasti berlaku dalam penciptaan lagu.

Masih dalam dunia muzik, portal hiburan KapanLagi.com menyiarkan sebuah artikel tentang isu plagiat fesyen pula. Terkini, baju berwarna merah jambu yang dipakai oleh Rossa dalam satu konsert yang berlangsung, Rabu lalu di Gandaria City, Jakarta dikatakan telah ditiru daripada fesyen baju yang pernah disarungkan oleh penyanyi antarabangsa, Katy Perry dalam acara pertunjukan fesyen Victoria Secret, pada November 2010.

Fesyen baju kedua-dua penyanyi hampir sama kecuali pada warna. Selain itu, baju yang dipakai oleh Katy tanpa menggunakan penutup dada, sedangkan Rossa tampak mengenakan sedikit lace hitam yang bahagian atas payu daranya.

Rita sedia menjanda semula


HADIAH hari lahir Rita Rudaini yang ke-36 pada tahun ini barangkali menjadi hadiah paling perit yang pernah diterima sepanjang hayatnya. Tiada jambangan bunga atau kad kecil bertulis 'aku cinta padamu,' jauh sekali kucupan kasih tanda sayang oleh sang suami, semua itu kini tinggal kenangan.

Sehari sebelum sambutan hari lahir yang diraikan di sebuah hotel lima bintang di ibu negara, Rita menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25, yang menyatakan permohonan cerai mereka sudah dihantar ke mahkamah syariah.

Sepahit mana sekalipun dugaan yang datang, semuanya harus ditelan. Rita juga begitu, walaupun kelat, tetap bibirnya cuba senyum setenang yang boleh. Momen nekad menyeberang ke Songkhla, Thailand untuk bernikah tanpa restu ibu bapa daripada pihak lelaki pada 25 Februari 2008 pasti menyelinap di fikiran.

Semuanya kerana cinta dan kerana cinta juga, mereka kini bertukar menjadi dua insan yang saling menyalahkan antara satu sama lain. Cinta itu indah, manis dan berani tapi ketika ini, cinta itu sudah menjadi racun yang sedang menghukum dia anak kecil Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Rafiqa Arjuna, 1, yang belum faham erti perceraian.

Pergelutan rumah tangga Rita dan Aidil Zafuan bermula pada Oktober tahun lalu apabila pemain bola sepak tersebut membuat tuntutan hak penjagaan kekal terhadap Rayyan dan permohonan kembali taat terhadap Rita Rudaini di Seremban.

Tanggal 10 Januari lepas, Rita dikejutkan dengan SMS daripada Aidil Zafuan yang keluar meninggalkan rumah semasa dia berada di kampungnya di Arau, Perlis.

Bersama media yang berkerumun mahu tahu status perkahwinannya pada Rabu lalu, Rita mengakui, dia sudah menerima dokumen permohonan perceraian yang difailkan Aidil. Ketika ini, pasangan tersebut menunggu tarikh perbicaraan.

Tidak cukup dengan sidang media semasa majlis hari lahirnya, Rita dihubungi untuk membuat beberapa penjelasan.

Kenapa masalah kalian boleh sampai ke tahap ini?

RITA RUDAINI: Saya tidak tahulah, masalah rumah tangga kami ialah masalah keluarga Aidil sendiri. Saya tahu dia masih muda, tapi tua atau muda, yang penting minda. Sejak mula kahwin sampai sekarang, saya yang sara diri sendiri. Bukannya saya tak boleh dibawa berbincang tapi kalau dia berkeras dengan saya, saya juga boleh berkeras dengan dia.

Bagaimana hubungan Rita dengan suami sebenarnya?

Saya sudah tawar hati dengan dia. Saya perlukan seseorang yang tegas untuk melindungi saya dan anak tetapi itu tidak berlaku. Walaupun berdepan dengan pelbagai masalah sekalipun saya mahu lelaki (suami) matang dan tegas untuk selesaikannya dan jangan lari daripada masalah. Buat masa ini saya memang sangat berkecil hati dengan tindakan dia. Saya tidak sanggup tengok orang buat macam ini kepada anak-anak saya.

Bagaimanakah keadaan rumah tangga Rita sepanjang empat tahun bersamanya?

Bahagia itu ada, cuma boleh dikira dengan jari. Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya. Saya bertahan sebab saya mahukan yang terbaik untuk hidup kami semua. Tetapi saya reda kalau ini ialah takdirnya. Saya tidak menyesal. Sudah beberapa kali kami hampir bercerai, tetapi kami baik kembali kerana mahukan yang terbaik.

Jika perceraian terus berlaku, hak penjagaan anak pula macam mana?

Saya akan mempertahankan anak-anak saya habis-habisan. Walau susah sekalipun anak-anak akan tetap bersama saya dan Allah sahaja yang boleh pisahkan kami. Selepas ini saya akan utamakan anak-anak dan besarkan mereka dengan sempurna. Dia pernah tinggalkan saya dan anak-anak tanpa satu sen pun dan sekarang dia nak rebut hak anak. Kalau dia berani, rebutlah!

Bagaimana hubungan anak- anak dengan bapa mereka?

Anak yang paling kecil masih tak tahu apa-apa. Tetapi anak sulung memang rapat dengan saya. Jadi dia tak tanya langsung tentang ayah dia selepas empat bulan tak berjumpa. Sepanjang empat bulan dia keluar dari rumah, dia bukannya tinggal di rumah keluarga sahaja, dia ada rumah di Kuala Lumpur. Dua minggu sekali dia akan datang tengok anak-anak dan SMS saya tanyakan anak sedang buat apa. Ada masa saya balas, ada masanya saya tak balas. Saya bukannya tinggal di India sampai dia boleh tak datang jumpa saya.

Jika bapa mereka mahu berjumpa macam mana?

Dua minggu lepas dia datang nak jumpa Rayyan, 10 minit dia pujuk Rayyan supaya datang kepadanya tapi Rayyan sembunyi belakang saya tak nak jumpa dia.

Sudah bersedia menjanda sekali lagi?

Sejak hari pertama berkahwin saya sudah bersedia. Apatah lagi rumah tangga sering tidak aman sejak berkahwin walaupun saya sering berusaha menjernihkan keadaan.

Selama ini anda yang banyak memberikan kenyataan, kenapa? Ada Aidil beri nafkah?

Demi Allah saya tak tipu dan saya berani bersumpah. Masa dia tinggalkan rumah, satu sen atau sekotak susu pun dia tidak beri kepada anak-anak. Lepas tiga bulan tinggalkan rumah, barulah dia bagi RM1,500, cukup ke duit sebanyak itu untuk perbelanjaan dua orang anak.

Dia mungkin boleh menipu masyarakat tetapi dia tidak boleh menipu diri sendiri dan paling penting tidak boleh menipu Allah. Jika RM1,500 itu yang didakwa sebagai tidak mengabaikan nafkah, bagaimana dengan nafkah untuk tiga bulan sebelum itu?

Nikah bukan alasan bertudung - Natasha


"SAYA bertudung bukan kerana mahu berkahwin lagi," itu luah Natasha Hudson, 30, saat hatinya diketuk mengenai hijrahnya yang kini memilih untuk berhijab.

Pelakon popular itu baru pulang daripada mengerjakan umrah pada 21 Mac lalu. Berada di Tanah Suci selama hampir dua minggu, sekembalinya ke tanah air pada 4 April baru-baru ini, pelakon drama bersiri Pulau itu membawa lebih daripada satu berita.

Mula-mula dengan pengumuman tarikh perkahwinannya dengan komposer muzik, Carleed Khaza, 33, pelakon yang mesra dibahasakan Tasha itu kemudian menutup akaun Twitter miliknya.

Hari ini, (15 April) Natasha kembali bergelar isteri kepada seorang suami setelah lebih dua tahun hidup menjanda. Dia dan Carleed atau nama penuhnya, Khalid Kamal bernikah di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi.

Melihat imejnya yang kini tampil bertudung, Tasha diminta berkongsi perasaan. Dia menyifatkan setiap manusia ada cerita berbeza, namun selagi Tuhan itu ada, setiap insan pasti akan mendapat hidayah-Nya.

Kepada sesiapa juga, perjalanan ke Mekah adalah titik kembara spiritual yang sukar diterjemah secara konkrit.

Begitu juga dengan Natasha. Dia nekad untuk ke daerah yang diberi panggilan 'rumah Allah' itu dengan hati yang gementar. Bergagah dengan niat dan doa yang dipanjatkan untuk menjadi manusia yang lebih baik dalam kehidupan, karier dan keluarga, dia kembali dengan hati yang lebih tenang.

Sensasi Bintang: Boleh kongsikan sedikit mengenai penghijrahan drastik ini (bertudung).

NASTASHA: Persoalan begini sering buat saya sebak. Saya tak tahu bagaimana nak jelaskan tapi ia berlaku tanpa dirancangkan. Saya tiada niat apabila balik umrah saya mahu bertudung, ia terjadi secara sendiri. Saya selalu dengar macam-macam pengalaman orang ke Mekah dan Tuhan bukakan hati saya untuk ke sana. Saya pergi dengan hati yang gementar, banyak berdoa untuk diberikan kehidupan yang lebih baik, dalam karier dan keluarga.

Di sana pun saya tak terfikir sama ada balik nanti mahu bertudung atau tidak, tapi bila balik ke rumah dan tiba masa untuk bertemu keluarga dan rakan-rakan, saya rasa macam nak letak sesuatu atas kepala. Saya tak cakap pun bahawa saya nak bertudung.

Bila saya pakai tudung, ibu saya orang paling gembira, semua bagi sokongan dan Carleed sangat gembira lihat saya bertudung. Syukurlah, sampai hari ini hati saya kuat untuk terus bertudung.

Bertudung setelah selama ini orang tengok anda yang hidup sebagai selebriti popular yang agak banyak kisah sensasi, penghijrahan ini agak mengejutkan bukan?

Rasanya semua orang macam benih. Ia satu perjalanan spiritual yang bersifat epidemik. Wanita yang tak bertudung bukannya jahat. Bila sudah bertudung pula saya tidak akan sesekali buat penghakiman terhadap orang lain. Semua orang berhak untuk dapat hidayah. Saya pula kembali bergelar isteri tapi saya bertudung bukan kerana perkahwinan ini.

Bagaimana kalau ada yang pandang sebelah mata atau mengata, konon-kononnya awak nak tunjuk insaf dengan bertudung?

Hanya orang yang berfikiran cetek sahaja yang cakap begitu. Tapi sekarang, saya elakkan diri daripada ambil tahu hal-hal begitu. Dahulu kalau ada yang mengeji saya, saya akan sedih, menangis dan tertekan tapi sekarang, saya boleh ketawa dan tergelak sendiri. Biarlah apa orang nak kata, saya tak hidup atas duit mereka, sekarang saya cuma berikan terbaik untuk keluarga dan suami saya sahaja.

Pengajaran paling besar daripada Tanah Suci?

Islam itu mudah, cuma kita sahaja yang menjadikan ia susah.

Anda seorang yang berfesyen, jadi bila berpenampilan baru begini, pasti banyak macam idea fesyen bertudung bagaimana yang hendak digayakan, komen sikit.

Saya seorang sederhana sahaja, sebelum ini pun, saya bukannya seksi sangat. Dalam bab tudung juga, sebenarnya dah lama saya ada koleksi tudung untuk pakai ke majlis tertentu. Cuma lakonan sahaja, saya tak pernah dapat watak bertudung. Jadi tak sukar untuk saya menggayakan fesyen bertudung, bertudung pun boleh berfesyen asalkan menutup aurat. Sekarang pun sudah ada beberapa orang kawan yang menawarkan diri untuk bantu saya untuk pilih fesyen yang sesuai dengan imej baru.

Apa jadi dengan pakaian-pakaian lama?

Ada yang masih disimpan sebab macam singlet pun, ada yang boleh disuai-padankan dengan cardigan atau jaket berlengan panjang. Sebenarnya, masa sebelum pergi umrah, saya sudah berikan baju-baju lama kepada sepupu-sepupu saya. Tak sangka itu petanda awal.

Kilafairy tolak label gedik


NAMA Kilafairy tumbuh bersama sensasi. Satu demi satu terpalit dengan cerita yang menjengkelkan, pemilik nama penuh Syakila Nisha Jangir Khan, membidik pertanyaan ramai. Siapa Kilafairy, apa kerjanya dan kenapa dia begitu mendadak mendapat publisiti?

Semua itu dilayan anak sang penyanyi, Rohana Jalil itu penuh tenang. Dia baru berusia 19 tahun ketika bertubi-tubi ditembak peluru kontroversi. Ketika itu, dia masih terlalu rapuh dan hijau dengan permainan dunia hiburan. Mujurlah, ibunya seorang bintang, mungkin dari situ, dia mendapat pedoman untuk tidak pernah berasa patah semangat.

Hasilnya, Kilafairy sudah tidak lagi dihambat cerita hangat. Tiada lagi yang galak mengapi-apikan cerita suntikan botox pada wajah, bibir serta tubuhnya sehingga dia kelihatan seksi seperti hari ini.

"Ya, dahulu macam-macam orang tuduh saya. Lepas cerita botox dan pembedahan plastik, ada pula kata saya berimej matang, seksi tak padan usia, wajah nampak tua dan macam-macam.

"Saya sudah dianugerahkan bentuk rupa yang begini, apa boleh saya buat. Saya cuma mampu untuk mengelak daripada bersolek terlalu tebal. Sebab itulah saya akan guna khidmat jurusolek peribadi, Jepun setiap kali ada fotografi atau apa sahaja acara. Dia sudah enam tahun dengan saya dan mama, jadi dia faham macam-mana hendak beri sentuhan kepada saya untuk tidak kelihatan keterlaluan," katanya yang mengakui kepanasannya kini tidak sehebat setahun lalu.

Menyepi sedikit tidak mengapa, kerana baginya, suhu seperti hari ini memberikan banyak ruang untuk dia mengemaskini diri. Sekadar dibahasakan Kila, dia sedang berdikit mahu mengubah skeptikal ramai yang selama ini banyak melihat dirinya dari sudut kurang menyenangkan.

"Sekarang saya mahu bertegas dalam soal tawaran. Kalau boleh saya mahu tolak tawaran watak gedik, watak penggoda atau watak wanita yang kurang baik. Sudahlah selama ini, ramai yang bencikan lakonan saya yang selalu bawa watak gedik, saya tidak mahu skeptikal itu melekat dan mengekori saya sampai ke luar bidang kerja.

"Mama saya ada nasihatkan, supaya jangan terlalu memilih, ambil sahajalah tapi saya fikir, kalau bukan sekarang, bila lagi saya mahu ubah pandangan orang terhadap saya," katanya yang mencuri perhatian dengan watak gadis mengada-ngada dalam filem Karak dan drama bersiri, Hotel Mania.

Perasan cantik

Dalam hendak membuang watak mengada-ngada, manja dan geletis, akan datang dia bakal muncul dengan filem terbaharunya, Hoore! Hoore! arahan Saw Teong Hin yang bakal ditayangkan 24 Mei nanti. Ironinya, dalam filem berkenaan, Kila masih tampil dengan imej yang hampir sama dengan pandangan sesetengah orang terhadap dirinya.

"Dalam Hoore! Hoore!, saya bawa watak Rita, konon-kononnya gadis paling cantik dan paling popular di sekolah yang menaruh hati dengan Johari (Akim AF), tapi Akim pula menaruh hati dengan gadis lain sangat sederhana. Rita tak jahat, cuma kuat cemburu.

"Saya berlakon cerita itu pun sebab Teong Hin, dia sutradara yang pernah arahkan filem Puteri Gunung Ledang dulu. Lagipun ramai juga nama besar seperti Fauziah Nawi, Adibah Noor dan Harun Salim Bachik terlibat dalam filem berkenaan. Sebenarnya, itu lakonan saya yang terakhir setakat ini," katanya yang mahu kembali fokus kepada karier selepas berjaya menjadi graduan Diploma Lanjutan dalam bidang Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles Ampang, dua minggu lalu.

Tambah Kila: "Saya baru sahaja selesai majlis konvokesyen. Jadi sekarang, saya tak perlu fikirkan soal jadual kuliah tapi itu tak bermakna saya goyang kaki. Saya kena uruskan bisnes saya juga, selain sibuk dengan perancangan promosi untuk single sulung tidak lama lagi."

Single sulung

Kila kini meletakkan dirinya sebagai pelakon dan penyanyi sepenuh masa.

"Orang sudah tahu saya pelakon, tapi bukanlah pelakon yang boleh digelar pelakon sebenar selagi tidak ada filem atau drama yang benar-benar angkat bakat saya. Saya mahu juga mahu berguru atau ambil kelas lakonan satu masa nanti. Dalam masa yang sama, saya juga mahu dikenali sebagai penyanyi. Alhamdulillah, single pertama saya kini sedang tunggu masa untuk dilancarkan. Judulnya masih belum diputuskan, setakat ini judulnya Pasti. Lagu itu berentak R&B," ujarnya yang percayakan sentuhan Amelia AF sebagai komposer serta penulis lirik single berkenaan.

Sanggup berhabis duit sendiri untuk menghantar single berkenaan untuk menjalani proses mixing di Australia, Kila mahu membuktikan bakat nyanyiannya bukan sekadar suka-suka.

"Kalau tidak berlakon, sekarang pun saya selalu dapat tawaran menyanyi untuk acara korporat. Rezeki saya dalam nyanyian pun ada. Jadi saya ada dua pilihan," katanya yang mampu menyanyikan lagu-lagu Bollywood sejak di sekolah rendah lagi.

Pernah digosipkan dengan Yusry KRU yang kini bergelar suami kepada Lisa Surihani, selepas itu Kila tidak dikaitkan dengan mana-mana lelaki. Entah dari mana angin bertiup, Kila tiba-tiba dikatakan ada hubungan istimewa dengan seorang pemuda dari seberang, Hardy Hartono.

Jejaka seberang

Ketawa saat menafikan gosip yang sengaja diperbesar-besarkan itu, kata Kila, hubungannya dengan Hardy tidak lebih sebagai kawan.

"Saya kenal Hardy ketika dia datang ke Kuala Lumpur berlakon drama Kitab Cinta arahan Erma Fatima. Kami sekadar berkenalan dan hubungan itu hanyalah seperti kawan biasa sahaja. Sudah tentulah bila Hardy sudah kembali ke Jakarta kami ada berhubungan menerusi Twitter, tapi sekadar bertanya khabar sahaja," katanya berderai tawa.

Belum masa untuk memikirkan soal berkasih, kata Kila, perjalanannya sebagai seorang pelakon begitu juga dengan nyanyian masih terlalu baru. Masih terlalu banyak selok-belok yang harus dipelajari.

"Saya tidak boleh takbur bercakap tentang mana-mana lelaki sebab jodoh itu kerja Tuhan," katanya menutup perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails