Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Afiq Muiz Tertekan Dituduh Lupa Diri

Pelakon Afiq Muiz tertekan dengan tuduhan mengatakan dia lupa diri selain sering menimbulkan masalah kepada pihak produksi di lokasi penggambaran. Afiq, 20, berkata, perkara yang ditimbulkan itu tidak pernah berlaku dan dia memberi jaminan sikapnya tidak pernah berubah sebaliknya sama seperti mula-mula menyertai bidang lakonan. "Saya tidak pernah kena tohmahan sebegini sebelum ini dan ia cukup membuatkan saya tertekan dan sedih kerana jujurnya saya tidak pernah bersikap sedemikian dengan sesiapa juga. "Saya juga tidak pasti siapakah dalang yang cuba menjatuhkan saya dengan cerita mengarut seperti itu? Biarlah Tuhan sahaja yang membalas perbuatan mereka," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin. Sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu melaporkan Afiq dikatakan mula menimbulkan masalah sejak cerita dia bercinta dengan pelakon Eina Azman hebat diperkatakan. Afiq didakwa mengikut sahaja telunjuk Eina sehinggakan menimbulkan masalah kepada pihak lain. Bagaimanapun kata Afiq, dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut tetapi ingin memberi fokus terhadap kerjaya yang diceburinya. Dalam pada itu, mengulas tentang Eina, Afiq kecewa apabila nama pelakon itu turut dikaitkan dalam hal berkenaan. "Tak habis-habis nak kaitkan saya dengan Eina. Dia tiada kena mengena dalam hal ini. Dia juga tertekan apabila namanya dikaitkan tambahan pula dia sendiri mempunyai juga masalah," katanya. Sementara itu, mengulas mengenai keputusannya menarik diri daripada syarikat pengurusannya, Afiq berkata, dia mengambil keputusan itu kerana yakin dapat menguruskan karier lakonannya sendiri. "Tidak timbul soal saya lupa diri atau sudah popular dan mula sombong cuma ia untuk kebaikan karier saya dan saya yakin dapat menguruskan sendiri kerjaya tanpa bantuan orang lain. "Saya juga dapat belajar tentang selok-belok pengurusan dan tidak mahu terlalu bergantung kepada orang lain," jelasnya.

Memey Suhaiza Dalam Proses Memakai Tudung

Pelakon Memey Suhaiza masih belum bersedia untuk memakai tudung walaupun tampil membuat kemunculan dengan imej berkenaan di khalayak pada Ahad lalu. Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 25, berkata, buat masa ini dia dalam proses percubaan untuk memakai tudung dan mahu perubahan itu datang secara semula jadi tanpa paksaan sesiapa. "Saya baru mula memakai tudung pada Ahad lalu tetapi belum sepenuhnya dan biarlah ia terjadi secara perlahan-lahan. "Saya harap peminat mendoakan perkara yang baik untuk saya," jelasnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin. Memey mengulas mengenai gambarnya yang bertudung litup ketika hadir pada hari sukan anak tirinya, Mohamed Danish Hakim, 9 yang dimuat naik ke laman Instagram miliknya. Turut hadir ke majlis berkenaan suaminya, Norman Hakim dan bekas isteri, Abby Abadi. Selain Mohamad Danish Hakim Memey turut mempunyai dua orang lagi anak tiri iaitu Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim yang berusia tiga tahun. Dalam pada itu, Memey berkata, perasaan untuk mengenakan tudung tiba-tiba muncul pada hari tersebut walaupun pada mulanya dia hanya mengenakan topi bagi menutup rambutnya. Malah kata Memey, Norman dan Abby juga turut menyokong dan memberi kata-kata semangat dengan hajatnya itu namun mereka tidak memaksanya untuk terus memakai tudung. "Saya sudah bersiap-siap untuk keluar dan memakai topi tapi tiba-tiba tergerak hati untuk memakai tudung pada hari berkenaan. "Suami suka namun dia memberi ruang kepada saya untuk buat keputusan sendiri kerana perkara ini bukan boleh dipaksa-paksa sebaliknya biarlah ia datang daripada kesedaran diri sendiri. "Insya-Allah doakan yang terbaik buat diri saya supaya terus memakai tudung selepas ini," katanya. Tambah Memey, dia sedar akan ada pihak menilai dan mempertikaikan tindakannya tidak memakai tudung secara kekal namun menganggap ia sebagai salah satu proses penghijrahannya ke arah kebaikan. Dalam perkembangan lain, Memey yang telah kembali aktif berlakon berkata, dia berasa sangat berat hati apabila terpaksa meninggalkan anaknya, Mohamed Darwisz Hakim yang baru berusia dua bulan di bawah jagaan adiknya ketika keluar bekerja. Memey memberitahu, dia kini mula faham naluri dan perasaan seorang ibu apabila terpaksa berpisah dengan anak walaupun hanya untuk seketika. "Saya menangis masa hari pertama berpisah dengan anak tetapi terpaksa juga kerana tuntutan kerja. Selalunya saya akan pastikan bila semua kerja selesai, saya akan terus balik ke rumah untuk bertemu anak," jelasnya. Memey sedang menjalani penggambaran drama bersiri Roda-Roda KL dan sebuah telefilem, Mencari Cinta.

Herman Tino Sedih Isteri Tentang Tanding Bebas

Penyanyi Herman Tino sedih apabila keputusannya untuk bertanding di Parlimen Tanjung Karang atas tiket Bebas tidak mendapat restu serta ditentang oleh isterinya, Ketua Unit Penerbitan Radio, RTM, Noraini Ibnu. Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 59, berkata, isterinya yang juga juruhebah di Klasik Nasional kecewa kerana dia mahu mencabar penyandang kerusi Parlimen berkenaan iaitu calon Barisan Nasional (BN) yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar. "Saya sedih kerana isteri tidak menyokong keputusan saya untuk bertanding pada pilihan raya ini kerana dia tidak bersetuju saya menentang Noh Omar di Parlimen berkenaan," katanya ketika menghubungi mStar Online di sini pada Isnin. Selain Noh Omar dan Herman Tino, kerusi berkenaan turut ditandingi oleh calon PAS iaitu Mohamad Rashdi Deraman. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Noh menewaskan Mohamed Hanipa Maidin (PAS) dengan majoriti 3,820 undi. Herman Tino yang popular dengan lagu Yale Yale dan Pelita Dalam Kabus itu memperoleh wang sebagai deposit untuk bertanding selepas dua rakannya menggadaikan kereta mereka bernilai RM10,000. Sehubungan itu dia berharap akan mendapat sokongan daripada isteri yang menjadi tulang belakangnya selama ini untuk membantunya berkempen. "Keputusan ini telah menjejaskan hubungan kami namun saya sangat berharap dia akan menyokong keputusan saya bertanding di Tanjong Karang," katanya. Herman Tino yang mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haron di sini akan menggunakan lambang bunga raya pada PRU-13 ini. Sementara itu, Noraini ketika dihubungi mStar Online bagaimanapun enggan mengulas mengenai keputusan suaminya yang bertanding atas tiket Bebas itu. “Saya tidak dapat mengulas. Terpulanglah kepada dia (Herman Tino),” katanya ringkas. Herman Tino bakal menampilkan tiga manifesto kepada masyarakat Tanjong Karang iaitu jambatan kasih sayang, perdamaian politik dan jaga harta benda sebagai bahan kempennya. Parlimen itu mempunyai 42,410 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu seramai 31,096 orang, Cina (7,043), India (4,158) dan kaum lain (113).

Natasha Hudson Selamat Lahirkan Anak Perempuan

Pelakon Natasha Hudson, 31, selamat melahirkan anak perempuan pada pukul 5.45 petang Isnin di Pusat Perubatan dan Bersalin UMRA, Shah Alam. Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson menerusi laman sosial Instagram miliknya berkata, dia bersyukur proses kelahiran berjalan dengan lancar dan dia berserta anaknya itu berada dalam keadaan sihat. "Alhamdulillah, saya telah dimasukkan ke wad bersalin pada pukul 4 petang hari ini (Isnin) dan melahirkan pada pukul 5.45 petang. "Saya bersalin secara normal tanpa sebarang suntikan 'epidural' mahupun 'induction'. Kini kami berada dalam keadaan sihat dan sedang berehat," katanya. Tambah Natasha dia juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga serta peminat-peminatnya yang sentiasa mendoakan agar proses kelahirannya berjalan dengan baik. Sementara itu, Natasha sebelum ini berkata, dia dan suaminya, Carleed Khaza telah pun memilih beberapa nama untuk bayi itu namun hanya akan menamakan anak mereka selepas tujuh hari kelahirannya. Natasha dan Carleed atau nama sebenarnya Khalid Kamal, 33, berkahwin pada April tahun lalu di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Hasil perkahwinan terdahulu, Natasha mempunyai seorang anak perempuan, Nessa Helena yang kini berusia lima tahun. Natasha bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapatkan perkembangan lanjut mengenai kelahiran anaknya itu.

Dayangku Intan Tidak Gentar 'Lawan' Azalina Othman

Penyanyi Dayangku Intan tidak gentar untuk menentang penyandang Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada 5 Mei ini kerana yakin terhadap pengaruh yang dimilikinya sebagai seorang artis. Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid, 47, berkata, jika Azalina berasa kuat atas kapasitinya sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan, dia pula akan meraih sokongan kerana dikenali sebagai penghibur. “Bukan saya mahu cakap besar tetapi saya tidak bimbang menentang Azalina. Kalau nak ikut, nama saya juga besar tetapi saya lebih kepada dunia hiburan manakala Azalina sebagai ahli politik. Itu bezanya kami,” jelasnya yang berada di Pengerang ketika di hubungi mStar Online di sini pada Ahad. Pada PRU-13 ini, Parlimen Pengerang menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Azalina dari Barisan Nasional (BN) akan ditentang oleh Dayangku Intan yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Mohd Azaman Johari (Bebas). Azalina menang tanpa bertanding di kerusi berkenaan pada PRU 2008. Dayang berkata, dia berhasrat memperjuangkan nasib penduduk di kawasan berkenaan yang dianggapnya tidak mendapat pembelaan sewajarnya selain ingin mengubah kehidupan artis supaya menjadi lebih baik sekiranya memenangi kerusi berkenaan. Katanya, artis-artis masih hidup dalam kemiskininan, tiada insuran selain mahu menuntut agar pembayaran royalti kepada pelakon dapat disegerakan. Ditanya tidakkah dia berasa sukar daripada seorang artis dan kemudiannya terjun dalam bidang politik Dayang berkata, pada mulanya dia agak stres tetapi selepas mempunyai pengalaman sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Bahru sejak setahun lalu, masalah itu dapat diatasi. “Mula-mula tu agak susah tetapi selepas saya faham apa yang rakyat mahukan daripada pemimpin politik mereka, barulah saya dapat menyesuaikan diri dalam dunia politik. Apa yang penting rakyat percaya terhadap matlamat saya untuk memperjuangkan mereka,” katanya. Dayang yang popular dengan lagu “Berpaut Di Dahan Cinta” memberitahu, keputusannya menyertai parti pembangkang juga didorong rasa kecewa terhadap dunia seni apabila kehidupan mereka tidak dipedulikan. Katanya, hidup sebagai seorang artis sentiasa terbiar dan bantuan hanya datang apabila diperlukan. “Jika saya sebagai artis berasa kecewa dengan situasi kehidupan saya itu, saya percaya rakyat juga kecewa dengan apa yang mereka lalui hari ini,” jelasnya. Dalam pada itu Dayang berkata, dia akan tetap aktif untuk menyanyi walaupun bergelar ahli politik selain semua aktivitinya mendapat sokongan padu daripada suami, Rosman Yahil, 50, serta empat orang anak yang berusia diantara 15 hingga 30 tahun.

Bung Mokhtar Yakin Zizie Ezette Dapat Bantu Kempen

Datuk Bung Mokhtar Radin yakin kehadiran isterinya, pelakon Zizie Ezette dapat membantunya dalam kempen mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan. Hadir dengan berpakaian biru warna Barisan Nasional (BN) dan berjaket, Zizie menjadi tumpuan masyarakat semasa suaminya menyerahkan borang pencalonannya melibatkan perlawanan empat penjuru di antara PKR, STAR dan calon bebas pada Sabtu lalu. "Dia mampu menghadapi kempen yang sengit," katanya. Kinabatangan adalah Parlimen paling besar di Sabah. Bung berkata, Zizie tiada masalah membantunya berkempen dan telah menjelajah ke beberapa buah kampung setakat ini. "Kempen saya baru sahaja bermula dan dia akan menemani saya," ujarnya. Dalam pada itu, walaupun sering dianggap tokoh politik kontroversi di Parlimen, Bung kekal sebagai wakil rakyat popular dikalangan masyarakat Sungei kerana sanggup meredah jalan berlumpur dan menggunakan bot usang sebagai cara berkempen dan mendekati penduduk di sana. Bung juga yakin dapat mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal keempat selepas menang pada pilihan raya tahun 1999 dengan majoriti 6,326 undi.

Raja Azmi Enggan Dipalit Kontroversi Penghasilan Filem 'Anak Ikan'

Penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman berharap beliau tidak akan menjadi sasaran dengan isu kontroversi apabila karya terbaharunya, Anak Ikan ditayangkan kelak. Raja Azmi berkata, beliau berharap masyarakat dan penonton akan menilai karya tersebut dan bukan memberi fokus kepadanya sebagai seorang penerbit. "Dari dahulu lagi senarionya begitu. Setiap kali saya tampil dengan filem yang terpalit dengan kontroversi adalah saya dan bukannya filem tersebut. "Jadi harap-harap selepas ini tumpuan dapat diberikan kepada karya saya kerana jalan ceritanya yang mempunyai kelainan berbanding tajuk sedia ada," jelasnya kepada mStar Online. Bagaimanapun kata Raja Azmi, dia tidak menafikan kontroversi dapat membantunya mempromosikan sesebuah filem itu. Dalam pada itu, Raja Azmi memberitahu pihaknya juga telah memilih barisan pelakon untuk filem berkenaan dan akan mengumumkan nama mereka dalam masa terdekat. Katanya, filem Anak Ikan akan menampilkan tiga orang pelakon utama dan memberitahu berpuas hati dengan pemilihan tersebut. "Selepas lama mencari akhirnya jumpa tiga orang pelakon yang sesuai untuk membawakan watak 'anak ikan' dalam filem berkenaan," jelasnya. Sementara itu, Raja Azmi berkata, penggambaran filem berkenaan akan dibuat pada bulan Mei depan dan buat masa ini ia masih pada peringkat pra-produksi. "Alhamdulillah akhirnya sudah boleh menjalani penggambaran selepas masalah bajet dan kos telah selesai," ujarnya. Anak Ikan yang mengangkat genre seram fiksyen mengisahkan mengenai sumpahan sebuah kolam yang mempunyai anak ikan dan bertukar menjadi manusia. Sebelum ini Raja Azmi menimbulkan kontroversi terhadap penerbitan filem ... Dalam Botol yang menampilkan kisah hubungan sejenis.

Jadual si ibu ligat - Sazzy Falak

DUA orang ibu ini persis anak remaja. Daripada sudut berfesyen, bentuk badan dan celoteh, mereka kelihatan seperti remaja lepasan universiti. Segar dan tampak muda. Aishah Sinclair dan Sazzy Falak, dua figura yang kini pengusaha fesyen tampil di acara peragaan fesyen tiga sahabat baik mereka, Daphne Iking, Atilia dan Yasmin Hani pada hari Khamis lalu. Memperagakan baju jenama Bajookoo yang dikenakan dengan aksesori Kyla Ruiz, dua pengacara yang juga pengasas syarikat Sinclair-Falak ini tampil manis dalam persalinan santai. Walaupun turut menggerakkan syarikat dalam bidang fesyen, namun sikap setiakawan membuatkan mereka saling memberikan sokongan padu. Sazzy muncul dengan rangkaian Street Fashion by Sazzy Falak yang mengetengahkan fesyen jalanan dan kombinasi gaya muda-mudi masa kini. Aishah pula bergerak dengan Bhumi Batik yang lebih ke arah tradisional. Dua sahabat baik ini berkongsi cerita tentang fesyen, pembahagian masa dan perubahan mereka dalam berfesyen. Bagaimana dengan bisnes fesyen kalian? SAZZY FALAK (SF): Syukur kerana saya akan ke Plitzs New York Fashion Week pada 7 dan 8 September ini. Pihak di sana sudah meluluskan rekaan saya yang menampilkan batik. Saya membawa fesyen yang berteraskan batik namun sesuai dengan gaya street fashion. AISHAH SINCLAIR (AS): Okey, namun saya akan berubah arah kelak. Buat masa sekarang saya akan menghabiskan stok Bhumi Batik dan akan keluar dengan stok baharu pada hari raya kelak. Saya akan muncul dengan sebuah perniagaan baharu berteraskan kebajikan. Ia berkaitan dengan industri pemakanan dan tujuan saya ialah untuk sesuatu yang melibatkan makanan dan masalah kelaparan. Apakah kepentingan untuk kalian memasuki industri fesyen? SF: Sudah lama saya mahu terlibat dalam dunia fesyen. Sewaktu mengandung, saya selalu membuat dan meneliti pembelian secara online. Saya sedar ramai yang sukakan online termasuk diri saya. Setelah melakukan beberapa penyelidikan, saya memulakan bisnes saya pada Januari lalu. AS: Saya rasa sebagai artis, fesyen ialah sesuatu yang semula jadi dengan mereka. Selebriti sering menjadi ilham dan pembawa sesuatu rekaan baju. Mereka bereksplorasi dengan stail dan trend. Jadi apabila seseorang selebriti memasuki dunia fesyen, ia sesuatu yang berkaitan. Selain membawakan rekaan orang lain, ada juga baiknya memakai baju jenama sendiri. Bagaimana melihat perkembangan fesyen tempatan? SF: Saya melihat pereka tempatan mendapat banyak platform. Industri fesyen tempatan bukan hanya melibatkan kreativiti tetapi juga berkaitan dengan kuasa pasaran. Itu yang saya pelajari sewaktu di Amerika Syarikat untuk mengikuti forum tentang media sosial di sana. Saya juga berkesempatan bertemu dengan beberapa nama besar dalam perusahaan dan mendapat banyak tip positif daripada mereka. AS: Sesi karpet merah sudah cukup untuk menunjukkan bahawa industri fesyen kita sedang berkembang. Setiap pereka fesyen memilih stail yang tersendiri dan tahu kemahuan masing-masing. Saya juga melihat mereka sudah faham dengan konsep less is more yang menunjukkan sisi elegan pakaian dan pemakainya. Ia sesuatu yang sangat memberangsangkan. Mereka juga berani mengambil risiko dan mencuba sesuatu yang berbeza. Fesyen ialah sesuatu yang berkaitan dengan keberanian. Sibuk dengan pelbagai tugasan, bagaimana kalian membahagikan masa sebagai anak seni, ibu, usahawan dan aktiviti harian? SF: Saya sangat berterima kasih kepada kalendar Google yang memudahkan saya menyusun jadual. Setelah bergelar ibu, saya bangun lebih awal. Saya akan membalas e-mel pada pukul 5 pagi kalau perlu. Sebagai anak seni, saya masih 100 peratus dalam bidang ini dan yang penting sebenarnya ialah pengurusan masa. Saya belajar tentang keutamaan dalam jadual hidup dan tidak perlu ada alasan untuk melakukan sesuatu. AS: Kebelakangan ini, jadual saya tidaklah begitu padat. selalunya saya akan sibuk di waktu pagi dan lapang pada waktu petang. Saya sangat hormat dan kagum dengan wanita bekerjaya kerana mereka mampu pulang dan menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Selalunya saya akan memastikan bahawa saya akan ada masa berkualiti dengan anak saya, Soraya Ann. Ada perubahan dan kekangan dalam berfesyen setelah bergelar ibu? SF: Kalau ada halangan, saya akan ke gim untuk memastikan bahawa diri saya cergas. Setelah bergelar ibu saya lebih kerap ke gim dan suami saya juga merupakan rakan regu saya dalam bersukan. Tiada alasan untuk tidak melakukan semuanya. Bagi saya, dalam berfesyen kita perlu sentiasa cergas. Sebagai individu yang sering tampil di kaca televisyen, saya perlu cergas dan saya gunakan itu sebagai kelebihan. Saya juga berpakaian seperti saya masih di usia 20-an. Kalau sebut tentang perubahan, tiada yang ketara. Saya tidak takut untuk mencuba dalam berfesyen. Saya jenis suka cabaran dan tidak takut dengan kesalahan. Sekurang-kurangnya saya mencuba. AS: Dalam sudut fesyen, saya sedikit konservatif. Saya akan pastikan baju saya tidak terdedah sewaktu mengangkat anak. Dua perkara yang saya perasan perubahan ialah kasut dan beg. Beg saya mestilah bersilang dan kasut mesti rata. Saya pastikan diri rajin berfesyen dan tidak hilang identiti walau pun sudah bergelar ibu. Anak-anak mengikut selera fesyen kalian? SF: Anak-anak saya suka mengikut saya memakai rantai. Mereka akan tiru apa yang saya suka pakai terutamanya Iman. Mereka sudah pandai memilih baju sendiri. Saya jarang pakaikan mereka baju yang sama walaupun mereka kembar. AS: Saya suka pakai rantai panjang dan dres labuh. Soraya gemar meniru gaya itu. Berbanding waktu solo, bagaimana dengan masa untuk bersiap sekarang? SF: Dahulu memang ambil masa untuk bersiap sebelum keluar. Sekarang saya akan rancang baju yang hendak dipakai pada malam sebelumnya. Saya juga bersyukur kerana mempunyai pasukan sendiri. Pembantu peribadi, Jaja yang akan memadankan pemakaian saya. Alhamdulillah, Jaja banyak membantu membuatkan saya bagai diawet seperti berumur 20-an. AS: Dahulu tidak lah lama sangat, selalunya dalam setengah jam. Kini kalau keluar bukan atas dasar kerja, saya akan pastikan saya memakai solekan yang asas. Orang selalu menyatakan bahawa kecantikan itu datang dari dalam, apa interpretasi kalian terhadap kata-kata tersebut? SF: Pepatah tersebut memang tepat. Kadangkala kita boleh berasakan seseorang itu baik dan cantik kerana dia mempunyai aura tersebut. Paling penting ialah kejujuran. Ada yang kita lihat dia kurang menarik daripada segi luaran namun kita tertarik dengan individu tersebut kerana dia mempunyai hati dan aura yang baik. Saya percaya, perkara yang baik akan datang kepada orang yang baik. AS: Benar. Kita pasti pernah terjumpa orang yang cantik tetapi kerana sikapnya, kita rasa dia sudah tidak secantik berbanding wajahnya. Ini semua kerana sikap. Bagi saya, kita perlu mempunyai hati yang baik. Ia akan memaparkan diri kita yang sebenarnya secara dalaman dan luaran.

Gosip cinta bukan gimik pelaris

WANITA demi wanita hadir dalam hidup Hans Issac. Terbaharu, lelaki berumur 42 tahun itu didakwa semakin intim dengan selebriti jelita, Neelofa. Namun Hans enggan sensasi 'cinta lokasi' bersama heroinnya Neelofa menjadi fokus dalam strategi pemasaran filem terbaharunya Lemak Kampung Santan. "Saya sedih jika kisah hubungan kami yang lebih-lebih diberi fokus. Tak guna saya buat filem ini dengan sungguh-sungguh jika orang hanya mahu ambil tahu pasal hubungan kami. "Setakat ini hanya gambar-gambar kami dari lokasi penggambaran yang selalu digunakan oleh pihak media. Selama ini juga saya tolak semua permintaan media untuk menggandingkan kami dalam mana-mana sesi fotografi tapi apabila filem ini sudah sampai masanya untuk dipromosikan, saya tetap kena buat sesi fotografi. "Macam apa yang kami lakukan hari ini (Isnin lalu). Saya buat pelancaran awal ini dengan harapan menjelang pratonton nanti, fokus dapat diberikan kepada filem, bukan hubungan kami," jelas Hans yang tahu bahawa ramai dalam kalangan media sedia maklum tentang status hubungannya bersama Neelofa. Kata Hans, dia mahu bersikap tertutup kali ini kerana tidak mahu hanya diingati dengan kisah cinta jika tidak lagi berada di persada seni pada masa hadapan. "Saya mahu dikenang berdasarkan kerja saya selama ini. Bagi saya yang penerbit menggunakan gosip cinta sebagai gimik untuk lariskan filem mereka ialah penerbit yang kurang berkeyakinan terhadap dengan filem sendiri. Zaman 1980-an memang ada banyak produksi filem menggunakan cara tersebut untuk melariskan filem. Di Hollywood juga tidak terkecuali. "Tapi sekarang sudah tahun 2013, tidak mungkin saya akan menggunakan cara yang sama untuk pancing penonton ke pawagam," ujar Hans heboh dikatakan bercinta dengan Neelofa sejak pelakon serta pengacara itu terbabit dalam pembikinan filemnya tahun lalu. Masih seperti Cuci yang meletakkan dirinya sebagai hero filem terbitan dan arahan sendiri, Hans juga berani menyifatkan tiada pelakon lelaki lain yang paling layak untuk watak Ridzuan, hero filem Lemak Kampung Santan itu melainkan dirinya sendiri. "Saya seorang yang sangat selektif dengan kerja saya. Semasa proses penulisan skrip lagi saya sudah berbincang tentang watak. Setiap pelakon harus ada karakter Ridzuan dan rasanya watak itu kena dengan saya kerana saya sendiri mahu terlibat dalam filem itu. Saya tawarkan watak Ridzuan itu kepada saya, lagi pun ia boleh menjimatkan kos," jelasnya sambil diakhiri dengan nada berseloroh. Bercakap mengenai pemilihan pelakon pula, Hans mengatakan, dia memilih pelakon yang bersesuai dengan watak, bukannya popular semata-mata. "Paling penting juga adalah keselesaan untuk bekerjasama. Sebelum watak heroin ditawarkan kepada Neelofa kami sudah ada pelakon lain tapi selepas satu perbincangan bersama, saya tak rasa pelakon wanita itu sesuai. Jadi saya dicadangkan oleh Aziz M. Osman agar memanggil Neelofa untuk diuji bakat," cerita Hans mengenai keterlibatan Neelofa ke dalam produksi dan hidupnya itu.

Rahsia awet muda Ziana Zain

UMUR penyanyi bersuara lantang ini genap 44 tahun pada 2 Mei ini. Pun begitu, tidak banyak tanda-tanda Ziana Zain sudah dimamah usia. Kejelitaan itu turut membuatkan rezeki penyanyi lagu Puncak Kasih dan Anggapanmu itu semakin bertambah. Tidak hanya dalam dunia nyanyian sahaja, terkini Ziana terpilih menjadi duta sebuah produk kecantikan. Isteri kepada Armin Zaharin Ahmad Zambri Armin dan ibu kepada empat orang cahaya mata itu berkongsi tip untuk kelihatan kekal kelihatan muda sepertinya. "Pastinya usaha menjaga kesihatan dan kecantikan harus diberi perhatian. Saya sendiri seorang yang cerewet tentang penjagaan wajah dan tubuh. Jadi, perkara pertama adalah kita perlu faham tentang tubuh sendiri sebelum mengambil apa-apa produk. "Saya banyak bereksperimen dengan diri sendiri untuk mencari produk terbaik. Banyak juga masa dihabiskan di farmasi semata-mata untuk mendapat maklumat tentang kandungan sesuatu produk. "Selain mengambil kira soal jenis kulit wajah sendiri, faktor harga juga perlu diambil kira kerana tidak semestinya kosmetik yang mahal itu akan memberi kesan yang baik untuk kita," katanya ketika ditemui ketika pelancaran produk kecantikan berkenaan di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails