Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Anak Larang Sofi Jikan Berlakon Jahat

Pelakon Sofi Jikan mengakui anak-anaknya tidak suka apabila melihat dia melakonkan watak-watak jahat dalam filem. Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 43, berkata, dia berpendapat anak-anaknya iaitu Sufilyana Syahmi, 9, Ilham Izzuddin, 7 dan Irfan Solihin, 2, mungkin mahu dia melakonkan watak baik agar dapat dijadikan contoh. "Mereka (anak-anak) selalu persoalkan kenapa saya asyik berlakon jadi jahat. Mereka tak suka. "Saya pun tak tahu kenapa? Tetapi mungkin kerana anak-anak mahu melihat ayah mereka memegang watak hero. Saya siap tanya kalau ada pertandingan anugerah yang melibatkan undian nak undi siapa? "Mereka kata nak undi Aaron Aziz atau Adi Putra dan bukannya saya," selorohnya. Bagaimanapun tambah Sofi dia tidak kisah tentang perkara itu kerana dia menganggap ia satu perkara yang normal bagi golongan muda yang sukakan watak-watak hero. Malah Sofi turut mengakui ada masanya dia berasa malu dengan watak jahat yang dibawakannya kerana mungkin suatu hari nanti dia akan menerima anugerah sebagai 'penjahat hebat' dalam pertandingan-pertandingan tertentu. "Siapa yang mahu jadi penjahat yang hebat secara realitinya bukan? Kadang kala dalam rasa syukur kerana menerima anugerah hasil daripada lakonan kita, ada juga rasa malu kerana dipanggil 'penjahat terhebat'. "Apa-apa pun saya gembira dengan apa yang dimiliki sekarang ini kerana melalui watak jahat itulah orang ramai mengenali saya," katanya. Dalam pada itu, Sofi berkata dia mahu memberikan kelainan dalam watak yang dilakonkannya dengan memilih karakter yang lebih baik selepas ini. "Kalau ambil watak baik sahaja, pasti peminat terkejut. Jadi saya mahu ambil watak jahat tetapi tidak terlalu ekstrem. "Dan kemudiannya saya akan memilih watak yang lebih baik daripada projek lakonan saya sebelum ini. "Kalau nak tahu sudah empat bulan saya tak berlakon kerana ingin memilih watak yang sesuai," ujarnya. Mengenai perkembangan terbaharunya, Sofi bakal memulakan penggambaran filem KL Cinta Mandi Toq terbitan White Merpati dan Hantu Nan Sempit (Excellent Pictures).

Shila Amzah Lalui Pengalaman Dipinggirkan Kerana Bertudung

Penyanyi Shila Amzah mengakui tidak mempunyai ramai kenalan ketika mula-mula menetap di Shanghai, China sehingga menyebabkan dia rasa terpinggir dan hidup sunyi. Shila, 23, berkata, perkara itu terjadi disebabkan ada di antara mereka yang takut untuk berkawan dengannya kerana penampilannya yang bertudung. "Masa mula-mula berada di Shanghai memang saya tidak ramai kawan kerana mereka takut untuk mendekati saya yang bertudung sehingga menyebabkan saya rasa terpinggir. "Oleh sebab itu juga saya terpaksa 'ringan mulut' dengan menegur orang-orang di sana supaya mereka tidak salah faham hanya kerana imej saya bertudung," jelasnya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Jumaat. Tambah Shila, dia juga banyak menceritakan mengenai agama Islam dan budaya orang Melayu kepada kenalan baharu sehinggalah mereka mula mesra dengannya. "Alhamdulillah saya sekarang semakin ramai kawan di Shanghai dan jika mempunyai masa terluang kami akan menghabiskan aktiviti bersama-sama di taman tema dan mereka sangat baik dengan saya," katanya. Pun begitu, Shila mengakui pernah berasa tertekan tinggal bersendirian di negara itu sehingga menyebabkan dia beberapa kali menangis selain bebanan kerja daripada pihak pengurusannya. Shila bagaimanapun berkata, dia bersyukur apabila mempunyai seorang pembantu peribadi yang menjadi tempat dia meluahkan perasaan setiap kali mempunyai masalah kerja atau rindukan keluarga di Malaysia. "Beberapa kali saya menangis kerana tekanan kerja yang terlalu kuat daripada pihak pengurusan di sana tetapi apabila mengalirkan air mata saya jadi lega. "Saya bertuah ada pembantu peribadi yang boleh saya kongsi masalah dan dia sentiasa menjadi pendengar setia," katanya. Bagaimanapun kata Shila, tekanan itu tidak membuatkan dia berputus asa membina kerjaya di sana sebaliknya pengalaman itu membuatkan dia lebih tabah dalam mengharungi cabaran. "Kejayaan itu tidak datang dengan mudah dan kita perlu berusaha keras. Saya tidak berputus asa cuma kadang kala berasa tertekan kerana berada jauh daripada keluarga," katanya. Dalam perkembangan lain pihak pengurusannya telah memberikan Shila beberapa tugasan tertentu untuk dilaksanakan sebelum dia muncul dengan album sulungnya nanti. Jelas Shila, selain perlu menurunkan berat badan, dia perlu belajar bahasa Mandarin dan lagu baharu untuk mengadakan persembahan yang telah diaturkan. "Malah saya perlu belajar lagu opera berjudul Time to Say Goodbye untuk persembahan dan ia satu cabaran buat saya kerana tidak pernah cuba menyanyikan lagu genre berkenaan,” katanya yang bakal melancarkan album berbahasa Melayu kelima dalam masa terdekat dan album Mandarin pada bulan Ramadan nanti.

Shahrizal Jaszle & Tunang Mahu Kahwin, Tunggu Marah Keluarga Reda

Ketika kecoh isu keluarga Redzwani Puteri, 25, iaitu tunang kepada pelakon Shahrizal Jaszle, 25, memutuskan pertunangan, pasangan tersebut tetap merancang untuk mendirikan rumah tangga. Shahrizal berkata, pertunangan yang diputuskan itu hanyalah keputusan keluarga dan ia bukan atas kehendaknya dan Puteri. "Yang bercintanya adalah kami, Keputusan memutuskan pertunangan itu datangnya daripada pihak keluarga dan bukannya daripada kami. "Apa yang saya dan Puteri hanya mampu buat adalah reda sahaja dan berdoa agar perhubungan kami dan keluarga kembali pulih," katanya. Shahrizal ditemui ketika menjalani penggambaran drama Iman Nabila arahan Shuhaimi Lua yang diadakan di Templer Park, di sini petang Jumaat. Kisah pasangan tersebut menjadi kontroversi apabila ibu yang juga pengurus kepada Shahrizal iaitu Zaleha, 68, menerusi mStar Online pada Khamis lalu mendakwa keputusan untuk memutuskan pertunangan pasangan tersebut hanya akan dibuat oleh keluarga kedua-dua pihak selepas keputusan mahkamah berhubung kes khalwat anaknya pada November depan. Bagaimanapun laporan akhbar pada Jumaat yang memetik sumber daripada abang Redzwani Puteri iaitu Redzwan Najib tetap mengatakan pihaknya sudah memutuskan pertunangan tersebut pada 10 Jun lalu dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian. Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian. Terdahulu dalam rancangan Melodi di TV3 Ahad lalu, seorang wanita yang mendakwa pasangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati Salleh, 21, mendakwa penangkapan khalwat mereka bukanlah satu perangkap manakala dia dan Shahrizal mempunyai hubungan istimewa. Kedua-dua mereka telah ditahan atas kesalahan khalwat pada 16 Mei lalu di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai. Berikut ini temu bual mStar Online dengan Shahrizal dan Redzwani Puteri yang diadakan secara berasingan untuk menjelaskan sendiri kemelut hubungan mereka serta isu putus tunang yang semakin menjadi kontroversi. ‘KAMI MASIH BERJUMPA’ – SHAHRIZAL JASZLE Masih lagi berjumpa dengan Puteri sejak putus tunang? Kami masih lagi berjumpa untuk menyelesaikan masalah kami. Dan memang keluarga telah memutuskan pertunangan ini tetapi kami masih lagi menjalani rutin biasa (berhubung). Sebelum ini cinta kalian mendapat restu keluarga daripada kedua-dua belah pihak tetapi ia sudah bertukar menjadi cinta terhalang. Kamu rasa? Bagi saya, yang bercinta adalah kami. Memanglah apabila dah jadi macam ini (isu kes khalwat), saya tak boleh nak buat apa-apa. Kami reda sahaja. Pernah berjumpa dengan keluarga Puteri memujuk mereka supaya anda diterima? Sudah. Tapi saya tak boleh nak paksa orang untuk mempercayai saya. Biarlah saya memberi fokus kepada perbicaraan kes khalwat yang akan berlangsung pada 12 November ini. Kemudian barulah kita lihat apa yang akan terjadi. Difahamkan kalian mahu berkahwin pada tahun depan, lebih awal daripada yang dirancang (2015). Apabila berlaku pula dugaan sebegini, kecewa tak? Memang kami rancang mahu kahwin lebih awal, tetapi kerana perkara seperti ini saya reda dan anggap ia adalah dugaan buat kami. Apa-apa pun saya mahu tunggu kes khalwat selesai. Apa yang kamu harapkan dalam perhubungan ini? Saya pun tak tahu nak cakap macam mana? Cuma saya mahu perhubungan kami akan jadi lebih baik. Shahrizal... anda sayangkan Puteri? Mestilah sayang. Saya cintakan dia sepenuh hati saya. Tetapi tak boleh nak buat apa-apa apabila keluarga yang memutuskan pertunangan ini. Saya dan Puteri tidak terima dengan keputusan itu. Yang bercintanya adalah kami. Mungkin mereka (keluarga Puteri) memutuskan pertunangan kalian kerana emosi? Yelah, sebagai ibu-bapa, mereka pasti mahukan yang terbaik buat anak-anak. Entahlah. Mungkin mereka tak percayakan saya. Khamis lalu, kalian ada berbalas mesej di Twitter. Adakah mesej tersebut sengaja dibuat kerana mahu menunjukkan yang kalian masih lagi berbaik? Tak juga. Kami berbalas mesej Twitter secara spontan sahaja. Macam sebelum ini juga. Kata-kata akhir daripada kamu? Saya harap tiada lagi mana-mana pihak selain keluarga masuk campur urusan kami. Berhentilah mengganggu perhubungan kami. SAYA TERPAKSA IKUT KEHENDAK IBU - REDZWANI PUTERI Redzwani Puteri yang dihubungi menerusi WhatsApp pula berkata, dia mengakui ibunya telah membuat keputusan untuk memulangkan semula cincin pertunangannya kepada keluarga Shahrizal. Walaupun bukan dengan kerelaan hatinya, sebagai anak, dia terpaksa akur permintaan ibu yang mahu memutuskan pertunangan tersebut. "Saya dan Shahrizal memang tiada masalah. Tetapi sebagai anak saya perlu menghormati keputusan kedua-dua ibu bapa saya. Kerana untuk meneruskan perhubungan ini, restu itu sangat penting," ujarnya. Komen Putri berhubung dengan isu kalian sudah putus tunang? Memang ikatan pertunangan kami dah putus tetapi atas kehendak keluarga dan bukan kerelaan kami. Saya dan Shah (Shahrizal) tidak ada masalah. Kami masih baik. Jika dahulu cinta kamu dan Shahrizal direstui, tetapi ia sudah berubah. Adakah ini dikira cinta terhalang? Susah nak cakap. Hati dan perasaan susah untuk dikawal. Tetapi saya perlu hormat keluarga saya. Jadi sekarang ini saya mampu berserah saja. Selepas keluarga memutuskan ikatan pertunangan, masih lagi berjumpa dengan Shahrizal? Ya, masih. kami berjumpa untuk menyelesaikan isu ini. Sayangkan Shahrizal lagi? Ya. Saya tak mahu tipu tentang hal itu. Bukan senang untuk tiba-tiba berhentikan perasaan cinta itu. Lebih-lebih lagi kami sebelum ini adalah kawan baik dan kemudian bertukar menjadi cinta. Ia bukan satu benda yang mudah untuk dilupakan. Tetapi pada masa sama saya perlu menghormati keluarga. Sedih apabila hal ini berlaku? Siapa yang tak sedih? Alhamdulillah saya boleh kawal perasaan apabila berdepan dengan orang. Cuma apabila ada yang bertanyakan tentang perhubungan kami, perasaan sebak itu akan timbul. Jadi apa perancangan Puteri selepas ini? Buat masa ini keadaan masih lagi tegang. Apa yang saya boleh buat cuma berdoa sahaja. Saya percaya, jika kami ada jodoh takkan ke mana. Risau perhubungan kalian tak menjadi? Saya serahkan kepada takdir. Adakah dugaan ini menguatkan lagi cinta kalian? Ia membuatkan kami berdua lebih memahami diri masing-masing dan menguatkan lagi diri kami. Kata-kata akhir daripada Puteri? Saya hanya mampu berdoa yang terbaik. Bagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf kepada semua pihak media yang tidak dapat berhubung dengan saya untuk mendapatkan kenyataan. Masa itu saya belum bersedia lagi. Tetapi saya sedar satu hari nanti saya tetap akan berdepan dengan semua.

Elyana nafi hidap kanser

KETIKA ini kisah mengenai artis berbakat besar iaitu pelakon dan penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau lebih popular dengan panggilan Elyana agak jarang kedengaran. Kelihatan seperti memencilkan diri daripada industri hiburan, tiba-tiba ada sumber yang menyatakan penyanyi itu kini sedang bertarung dengan penyakit kanser. Namun begitu, sumber berkenaan tidak menyatakan jenis kanser yang dihidapnya. Apa yang lebih mengejutkan, akibat penyakit yang dideritainya itu membuatkan Elyana pergi mengerjakan umrah baru-baru ini dan berdoa di depan Kaabah agar penyakitnya itu sembuh. Bagi mendapatkan cerita yang sebenar, Kosmo! menghubungi Elyana yang sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang kerana ingin pergi bercuti bersama ibu dan kakaknya ke Vietnam. Kosmo!: Rasanya sudah agak lama tidak mendengar perkembangan Elyana. Apakah aktiviti anda sekarang? ELYANA: Buat masa ini saya sedang sibuk dengan proses pembikinan album terbaharu yang dijangka dilancarkan pada tahun ini. Ia merupakan album yang kelima selepas Jaga Diriku yang dihasilkan pada tahun 2007. Minta maaf, saya ingin bertanya tentang kesahihan berita ini. Betulkah anda sedang menghidap penyakit kanser? Sakit kanser? Rasanya sekarang saya masih sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit kritikal. Kalau setakat demam itu memang ada, tetapi tidak pula mengalami penyakit kronik seperti kanser. Ada orang kata pemergian anda ke Mekah untuk mengerjakan umrah tempoh hari kerana mahu berdoa di depan Kaabah agar penyakit itu cepat sembuh. Boleh komen sedikit? Sebenarnya pemergian saya ke Mekah bersama suami merupakan undangan daripada pihak produksi rancangan Romantika yang akan disiarkan di Astro pada bulan Ramadan ini. Secara jujurnya saya agak terkejut dan ia undangan pada saat-saat akhir. Sebelum ini rancangan tersebut menyiarkan pasangan selebriti yang bercuti di tempat percutian yang menarik, tetapi apabila tiba giliran saya mereka buat keputusan untuk membawa kami ke Mekah dan saya rasa sangat bertuah. Biasanya kebanyakan artis wanita yang pulang dari Mekah, pasti mereka akan membuat perubahan terutamanya tampil bertudung. Bagaimana pula dengan imej anda selepas mengerjakan umrah? Secara jujurnya saya masih lagi tampil seperti biasa, namun sentiasa berdoa agar terbuka pintu hati untuk bertudung nanti. Buat masa ini saya mahu menjaga solat terlebih dahulu. Berkenaan dengan pembikinan album, apa yang membuatkan anda mahu kembali muncul dengan album baharu? Penerbitan album ini merupakan permintaan daripada peminat yang selalu bertanya tentang produk terbaharu saya. Lagipun kali terakhir saya menghasilkan album ialah kira-kira enam tahun lalu. Selain itu, saya rindu untuk masuk semula ke studio rakaman setelah lama tidak berbuat demikian. Perancangan ini sudah lama dibuat, namun masa selalu tidak mengizinkan. Boleh ceritakan tentang album berkenaan? Setakat ini sudah ada dua buah lagu yang saya rakam, termasuk single yang dirakamkan pada dua tahun lepas berjudul Sewaktu Dulu-Dulu. Secara keseluruhannya ada 10 buah lagu yang akan dimuatkan dalam album itu. Berkenaan dengan konsep pula, saya masih lagi mengekalkan muzik Pop Rock. Tetapi kali ini susunan muzik dan lirik untuk setiap lagu menjadi lebih matang dan bersesuaian dengan usia saya sekarang yang sudah menjangkau 26 tahun. Bagaimana pula dengan aktiviti lakonan? Saya mahu memperlahankan aktiviti lakonan kerana ingin memberikan lebih tumpuan kepada pembikinan album baharu saya ini. Selepas album tersebut disiapkan, barulah saya akan aktif semula.

'Saya memang gila-gila' - Sakinah

SHARIFAH SAKINAH, sekali pandang wajahnya cukup manis, ditambah dengan ketinggian yang dimilikinya. Gayanya di hadapan lensa kamera persis seorang model profesional. Namun, apabila dia berceloteh, gelak tawa pasti menyambut, terserlah jelas perangai gila-gilanya. Sakinah faham 'isi' pertemuan kami pada petang Isnin lalu. Ia tentu berkisar tentang klip video Keek yang dimuat naiknya sejak beberapa bulan lalu. Perkara pertama yang diberitahu wanita ini, dia mengaku dirinya tidak popular menyebabkan dia memuat naik video ke laman sosial itu dengan sangkaan tiada siapa yang akan peduli. Bagaimanapun, jangkaannya meleset. Klip video pertama yang ada menyebut tentang warna pakaian dalam yang dipakainya dikritik ramai. Video seterusnya yang dimuat naik juga mendapat reaksi yang sama. Ada yang menganggap Sakinah tidak peka kerana video itu dikatakan berunsur lucah tetapi ada juga yang menyukainya kerana menganggapnya sebagai lawak dan hiburan semata-mata. "Bagi saya, memuat naik video yang gila-gila ke dalam Keek merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Itulah diri saya. Tetapi reaksi yang luar biasa daripada orang ramai membuatkan saya terkejut.
"Saya ingatkan tiada siapa yang ambil peduli tentang saya sebab itulah saya berani buat video yang sebegitu. Bila video itu keluar, banyak pula komen negatif mengenai saya. "Saya akui memang terkejut dan rasa bersalah pada mulanya tetapi lama-kelamaan saya sudah tidak kisah apa orang ingin kata tentang diri saya," balasnya. Walaupun dikritik kurang bijak dan tidak sopan, Sakinah terus memuat naik video sebegitu dengan niat untuk menghiburkan orang yang menontonnya. "Dalam drama Mimpi Sampai Ke Bintang, saya bawa watak seorang wanita yang kurang cerdik, jadi saya tidak kisah kalau orang nak kata saya bodoh atau gila. Memang saya seorang yang gila-gila dan nakal, sebab itu saya suka kacau orang serta menghiburkan orang di sekeliling. "Selagi video itu menghiburkan dan tidak melampaui batas, saya akan terus melakukannya," jawabnya. Diakui, sejak kontroversi video Sakinah di laman Keek, tiba-tiba sahaja namanya menjadi popular. Malah setiap video yang dimuat naik olehnya pasti ditonton ramai orang. Namun, lain pula pendapat Sakinah yang mengatakan kehidupan dan kerjayanya sama sahaja seperti dahulu. "Popular ke saya? Saya rasa sama saja, tidak ada perubahan. Mungkin saya popular di laman sosial kerana berjaya menarik perhatian tetapi kerjaya saya masih seperti dulu.
"Tawaran berlakon masih ada dan saya juga sibuk dengan penggambaran drama. Semuanya masih seperti biasa. Saya bukannya mencari populariti atau perhatian dengan video tersebut. Itu bukan cara saya untuk popular," luahnya serius. Dua orang kakaknya yang juga selebriti, Sharifah Norhaslinda dan Sharifah Shahira selalu menasihatinya supaya mengawal tindak-tanduknya, tetapi mereka tidak pernah memarahinya hanya disebabkan memuat naik video yang dikritik ramai itu. "Dua orang kakak saya sangat faham dengan perangai saya. Kak Shira tidak marah, tetapi minta saya supaya mendiamkan diri buat seketika sehingga kontroversi itu reda. "Dia tidak pernah menghalang saya daripada memuat naik video yang seterusnya. Pesannya jangan kerap sangat memuat naik video yang terlalu gila-gila sebab nanti orang menyampah," tuturnya.

Pierre Andre Berdebar Untuk Jadi Suami Ahad Ini

Pelakon dan pengarah filem Pierre Andre teruja dan berdebar untuk menempuhi alam perkahwinan bersama seorang model yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini. Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre, 28, berkata, dia bersyukur kerana salah satu impiannya untuk bergelar suami akhirnya terlaksana. "Untuk bergelar seorang suami merupakan impian saya selama ini dan saya bagaikan tidak sabar untuk menantikan detik-detik tersebut. "Namun, perasaan berdebar tetap ada dan setiap malam saya akan menghafal lafaz akad nikah sebelum tidur," katanya ketika ditemui pada sidang media drama Dewi Lasak, di sini, Khamis. Pierre akan bergelar suami kepada Siti Nurhidayah Hashim dalam satu majlis akad nikah Ahad ini yang akan diadakan di Masjid Al-Ikhlas, Taman Melati, Selayang dekat sini kira-kira pukul 1 tengah hari. Tambahnya, majlis resepsi kedua-dua pihak akan dilakukan secara sederhana dan hanya akan dihadiri oleh keluarga terdekat. Bagaimanapun kata Piere pihaknya masih belum menetapkan tariknya lagi. "Majlis resepsi sebelah perempuan mungkin akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti manakala sebelah saya pula tidak dapat dipastikan. Yang pasti ia akan dibuat secara tertutup untuk keluarga sahaja," ujarnya.
Pierre yang mengenali Siti Nurhidayah sejak dua tahun lalu mengakui wanita tersebut mempunyai ciri-ciri isteri yang diidamkannya. "Ketika jumpa dia, saya tidak beberapa yakin untuk ada hubungan kerana dia seorang model sudah tentu kehidupan berbeza. "Tapi bila saya kenal keluarganya, saya tahu dia seorang wanita yang terdidik kerana keluarganya guru. "Dia juga seorang yang tidak cerewet dan sentiasa bersederhana," ujarnya. Ditanya sama ada dia akan menjemput bekas teman wanitanya iaitu pelakon Yana Samsudin, Pierre berkata, soal jemputan diserahkan kepada keluarga. "Insya-Allah kita akan jemput tapi saya serah kepada pihak keluarga tentang urusan jemputan. Lagipun saya kena juga ambil pandangan dan jaga hati bakal isteri saya," katanya. Bercakap tentang drama aksi pertama arahannya, Dewi Lasak, Pierre berkata, cabaran utama adalah membentuk pelakon-pelakon baharu bagi menghidupkan adegan pertarungan. "Inta Ladyana tidak ada masalah kerana dia sudah biasa watak aksi tapi pelakon lain semuanya masih baru. "Saya kena cari keserasian dan beri mereka benar-benar menghayati watak serta berlatih seni mempertahankan diri," katanya. Drama bersiri 13 episod ini bakal ditayangkan di TV3 bermula 26 Jun ini, pukul 9 malam. Ia memaparkan aksi-aksi pertarungan dengan diselitkan unsur-unsur kekeluargaan, cinta dan komedi. Selain Intan Ladyana, drama ini turut dibintangi Bella Dewi, Atikah Suhaime dan Azwan Kombos.

Yuna Akui Ada Hubungan Dengan Pemuda Inggeris

Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna mengakui sedang mengenali hati budi pemuda Inggeris, Julian Schratter selepas gambar mereka sering dimuat naik menerusi Instagram milik wanita itu. Yuna, 27, bagaimanapun enggan mengulas sejauh manakah hubungan mereka kerana mahu memberi perhatian kepada kerjaya nyanyiannya yang semakin rancak di Amerika Syarikat. "Saya minta maaf kerana tidak dapat berkongsi mengenai soal peribadi tetapi apa yang boleh saya katakan, saya dan Julian sedang mengenali hati budi masing-masing dan selebihnya adalah peribadi untuk dikongsi di sini. "Buat masa ini saya sangat sibuk untuk menyiapkan album kedua saya di Amerika yang dijangka berada di pasaran pada Oktober depan. Karier adalah keutamaan saya buat masa ini," katanya kepada pihak media menerusi sidang video Skype dari Los Angeles, yang diadakan di Istana Budaya di sini pada Khamis. Yuna diminta mengulas mengenai hubungannya dengan Julian selepas penyanyi lagu Terukir Di Bintang itu mengundang pemuda tersebut sebagai model dalam muzik video terbaharunya berjudul I Wanna Go. Dalam perkembangan sama, Yuna berkata, kegagalan mempertahankan hubungan cinta dengan pelakon dan pengacara, Qi Razali banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi kisah peribadi kepada umum dan berharap peminat dan media memahami situasi itu.
Sementara itu, mengulas mengenai konsert sulungnya di Istana Budaya bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan pada 6 hingga 8 September depan, Yuna menyifatkan peluang itu adalah sekali dalam seumur hidup. Jelas Yuna, dia sudah lama berhasrat untuk beraksi di pentas berprestij itu dan peluang mengadakan persembahan bersama pemuzik orkestra cukup istimewa. "Bukan semua artis boleh membuat persembahan di Istana Budaya apatah lagi bersama pemuzik orkestra dan peluang yang diberikan ini akan saya galas dengan sebaik-baiknya. "Walaupun sedikit berdebar dan berada jauh dari tanah air tetapi saya yakin dengan bantuan pemuzik dan perancangan yang betul saya pasti dapat melaksanakan tanggungjawab itu demi peminat," katanya. Bakal beraksi selama dua jam pada acara itu Yuna memberitahu dia belum memutuskan senarai lagu yang bakal dipersembahkan namun berjanji akan memilih lagu-lagu terbaik dan disukai peminat. "Apa yang penting nanti peminat akan terhibur dengan persembahan dan pemilihan lagu dan saya juga sedang merancang untuk menjemput beberapa artis undangan bagi memeriahkan konsert pada malam itu," jelasnya. Pihak Istana Budaya bagaimanapun masih belum menetapkan harga tiket konsert itu dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Shila Amzah Buka Mulut Isu Baju Sendat

Penyanyi Shila Amzah menganggap tindakannya memuat naik gambar pakaian senaman yang dilihat agak sendat di laman sosial Instagram hanya untuk berkongsi bersama peminat-peminatnya. Shila, 23, berkata dia tidak menyangka perkara tersebut telah mencetuskan kemarahan masyarakat yang menganggap gambar tersebut sebagai tidak sopan. "Saya tidak sedar dan tidak terfikir langsung perkara tersebut boleh jadi isu kerana tujuan sebenar saya berbuat demikian adalah untuk berkongsi kegembiraan dengan peminat yang saya memiliki pakaian yang sesuai untuk ke gim. "Setelah memuat naik gambar itu, saya terus tinggalkan telefon bimbit di rumah dan sejam selepas itu saya lihat ibu dan ayah hantar mesej meminta saya menghapuskan gambar tersebut dengan segera. Ketika itu baru saya tersedar ia sensitif," jelasnya kepada mStar Online. Dalam pada itu Shila yang kini bermastautin di Shanghai, China mengakui aktif berkomunikasi dengan peminat-peminatnya melalui laman sosial Instagram dan berkongsi aktivitinya setiap hari. "Saya tinggal di sana sendirian jadi saya banyak habiskan masa dengan peminat jika ada masa terluang. "Mungkin kerana itu saya tidak menyangka ia boleh dijadikan isu kerana saya faham cara berfikir kita berbeza, saya fikir lain orang lain pula nampak lain," jelasnya.
Bagaimanapun, kata Shila dia mengambil positif kejadian tersebut sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati ketika berkongsi kegiatan hariannya. Sementara itu, diminta mengulas berkaitan bekas kekasihnya Sharnaaz Ahmad yang dikatakan rapat dengan seorang pelakon baru berasal daripada Singapura, Elfaiza Ul Huq, Shila menganggap ia adalah perkara peribadi aktor tersebut. "Hubungan kami sudah berakhir dan itu adalah hak dia untuk berkawan dengan siapa sahaja. "Bagus untuk dia dan saya harap yang terbaik sahaja," katanya. Jelas Shila, dia tidak mengikuti perkembangan aktor tersebut berikutan banyak laman web dan laman sosial yang tidak dibenarkan oleh negara tersebut. "Banyak laman web yang diharamkan di China, jadi saya kurang ambil tahu. Kadang-kadang berita industri hiburan Malaysia pun saya tertinggal," katanya. Namun, Shila berkata jiwanya kini lebih tenteram dan bahagia dalam menjalani kehidupan dan persekitaran kerja yang baharu. Dalam perkembangan lain, Shila yang bercuti selama dua minggu sebelum pulang ke China akan melancarkan album terbaharunya dalam masa terdekat.

Putus Tunang Didesak Keluarga, Shahrizal Jaszle & Puteri Masih Intim

Hubungan cinta pelakon Shahrizal Jaszle, 25, dengan tunangnya Redzwani Puteri, 25, diputuskan atas desakan keluarga dan bukannya kerelaan hati pasangan tersebut. Sumber terdekat pasangan itu berkata, keputusan untuk memutuskan pertunangan pada 10 Jun lalu dibuat oleh keluarga pihak perempuan dan ia seboleh-bolehnya tidak diingini oleh pihak lelaki. “Keluarga perempuan yang mendesak untuk memutuskan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri selepas berita kes penangkapan khalwat Shahrizal dengan seorang wanita heboh diperkatakan. “Secara jujurnya, Shahrizal dan Redzwani Puteri masih lagi pasangan kekasih dan mereka tidak sanggup untuk berpisah,” kata sumber itu. Sebagai bukti katanya, Redzwani Puteri kerap kali dilihat menemani Shahrizal di lokasi penggambaran dan jika benar mereka tiada kaitan, tidak mungkin pertemuan itu boleh berlaku.
Jelas sumber itu lagi, Redzwani Puteri dan Shahrizal juga merasakan mereka masih lagi dalam ikatan pertunangan walaupun pada dasarnya pihak perempuan sudah memulangkan cincin pemberian pihak lelaki. “Semalam (Khamis) Redzwani Puteri menemani Shahrizal di lokasi penggambaran sebuah drama di Taman Rimba Templer, Rawang. Ia adalah bukti mereka masih lagi mempunyai hubungan sama seperti pasangan kekasih lain. “Ia diperkukuhkan lagi apabila kedua-dua mereka sering membalas mesej di Twitter sambil meluahkan rasa sayang masing-masing,” ujar sumber berkenaan. Kisah pasangan tersebut menjadi bertambah rumit apabila ibu yang juga pengurus kepada Shahrizal iaitu Zaleha, 68, menerusi mStar Online pada Khamis mendakwa keputusan untuk memutuskan pertunangan pasangan tersebut hanya akan dibuat oleh keluarga kedua-dua pihak selepas keputusan mahkamah berhubung kes khalwat mereka pada November depan. Bagaimanapun laporan akhbar pada Jumaat yang memetik sumber daripada abang Redzwani Puteri iaitu Redzwan Najib tetap mengatakan pihaknya sudah memutuskan pertunangan tersebut pada 10 Jun lalu dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian. Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian. Terdahulu dalam rancangan Melodi di TV3 Ahad lalu, seorang wanita yang mendakwa pasangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati Salleh, 21, mendakwa penangkapan itu bukanlah satu perangkap manakala dia dan Shahrizal mempunyai hubungan istimewa. Kedua-dua mereka telah ditahan atas kesalahan khalwat pada 16 Mei lalu di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai. Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan jika sabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

(Tahniah) Shera Aiyob Selamat Lahirkan Anak Lelaki

Tahniah diucapkan pasangan pelakon dua sejoli, Zahiril Adzim dan Shera Aiyob yang baru sahaja menerima kehadiran cahayamata lelaki mereka sebentar tadi. Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Zahiril menerusi akaun Twitternya.
Pelakon filem Bunohan itu juga melahirkan rasa gembira dan teruja selepas bergelar bapa. Zahiril dan Shera telah mendirikan rumah tangga pada 25 November 2011 dalam satu majlis yang diadakan di Taman tasek Indra, Perak.
++
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails