Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Qalisha bertapa lima tahun


PENAMPILAN Noor Qalisha Ahmad Rashidi pantas menarik perhatian. Orangnya kecil molek manakala wajah manisnya terserlah keunikan hasil campuran Arab, Pakistan, Afghanistan dan Melayu. Namun, kecantikan yang dimiliki oleh gadis berusia 20 tahun itu bukanlah kayu pengukur untuk dia terus kekal bertahan dalam dunia seni. Arus mencabar sedang dikayuhnya bersama bakat sebagai sauh utama. Tampil dengan kelunakan suara, wanita yang mahu popular dengan jenama Qalisha itu optimis untuk diterima oleh peminat seni tanah air sebagai seorang penyanyi.

Kira-kira lima tahun dahulu, dia pernah diberi peluang untuk menjadi penyanyi oleh komposer terkenal, Ajai. Namun, memikirkan usia yang masih mentah, dia nekad untuk mengetepikan dahulu tawaran berkenaan. Atas alasan belum cukup bersedia, dia bertegas melepaskan tawaran keemasan itu biarpun nyanyian bertakhta di hati. Kata Qalisha, semuanya bermula gara-gara kesungguhan neneknya menyatakan kebolehan Qalisha kepada Ajai pada satu majlis yang berlangsung di Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira lima tahun lalu.

"Saya terkejut apabila nenek tiba-tiba menghampiri Ajai dan memberitahunya bahawa saya boleh menyanyi. "Kemudian Ajai meminta saya menyanyi di hadapannya. Dia menyatakan suara saya berpotensi untuk dikomersialkan," katanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini. Pada masa itu usianya baru mencecah 15 tahun. Qalisha berasakan dirinya masih mentah untuk terjun dalam dunia popular, apatah lagi perlu meneruskan persekolahannya.

Bermula dari saat itu, jauh di sudut hati anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, itu menanam azam untuk berjaya masuk ke dunia nyanyian suatu hari nanti. Seakan-akan bertapa selama lima tahun untuk mengumpul segala kekuatan sebelum membuat keputusan sama ada mahu menjadi anak seni atau sekadar menyimpan bakat yang dimiliki, masa yang dilalui dihabiskan di bangku sekolah. Dalam tempoh itu juga, dia mula menjinak-jinakkan diri dalam dunia peragaan.

"Pada awalnya saya memang tidak yakin untuk terjun dalam dunia nyanyian. Syukur kerana semua ahli keluarga menyokong dan memberi galakan supaya saya memilih kerjaya ini. "Saya tiada pengalaman dalam bidang hiburan. Hanya semangat dan kekuatan yang membuatkan saya memilih bidang ini," katanya lagi. Tekadnya, dia tidak mahu toleh ke belakang, akhirnya gadis yang berketinggian 156 sentimeter itu membuat keputusan untuk bertemu semula dengan Ajai pada pertengahan tahun lalu bagi menyatakan kesediaannya menjadi anak seni. Rentetan pertemuan selepas lima tahun itu, Qalisha tampil dengan single pertamanya berjudul Satu Januari yang mula menjadi halwa telinga pendengar sejak Mei lalu.

Single yang kini sedang diputarkan di stesen-stesen radio tempatan dicipta sepenuhnya oleh Ajai. "Selepas single ini, saya akan muncul dengan album mini berentak pop balada," kata Qalisha.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails