Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Izara Aishah tak mahu dipandang rendah


ADA persepsi kurang baik tatkala mata memandang wajah pemilik nama Izara Aishah ini dari jauh.

Kali pertama bertemu dengannya, gadis berusia 19 tahun ini tampak agak dingin sekali. Entah apa yang tidak kena sehingga membuatkan emosi empunya diri kelihatan seolah-olah terganggu.

Seperti tidak molek untuk orang baru sepertinya bersikap tidak ‘mesra alam’, apatah lagi pada perkenalan pertama.

Pun begitu, usai membetulkan kedudukannya di kerusi, Izara hadir dengan menuturkan kata maaf di bibir.

“Maaflah kak, Izara kurang sihat hari ini. Suara pun tak berapa nak keluar ni,” ujarnya.

Oh, itu situasi sebenarnya. Mujurlah ada sekelumit penjelasan dari Izara dan ia sekali gus memadam tanggapan awal sejenak tadi.

Dari satu sisi, ia memperlihatkan kecekalan jiwa anak kelahiran Bakar Batu, Johor Bharu, Johor ini.

Meski kesihatan diri kurang baik, gadis kacukan Melayu-Pakistan ini tetap komited meneruskan komitmennya dengan Pancaindera. Harapnya berkekalan semangat hebat macam itu ya Izara.

Menarik perhatiannya berbicara mengenai kerjaya yang bermula di usia muda, akui pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama berjudul Keranamu Laila ini, dia sudah lama mengidam untuk bergelar seorang aktres.

Malah, kata Izara, hasrat itu sudah tertanam sejak dari kecil lagi.

“Saya memang nak jadi pelakon. Ini adalah impian saya dari dulu lagi dan bila peluang sudah ada depan mata, tentulah bukan mudah untuk saya lepaskan.

“Sekarang pun fokus saya adalah dalam bidang lakonan. Tawaran untuk buat peragaan dan sebagainya memang ada, tapi buat masa ini biarlah saya tumpu pada lakonan dulu.

“Berilah peluang untuk saya cipta nama dalam bidang ini. Saya juga percaya, untuk jadi seorang aktres yang bagus, pengalaman adalah guru terbaik. Jadi itu yang saya kena cari,” katanya.

Naib juara Dewi Remaja 2009/2010 ini dalam celahan bualan sempat memberitahu bahawa dia tidak menyesal memilih lakonan sebagai karier hidupnya meski tahu mungkin ada yang memandang rendah padanya.

Bagi pelakon telefilem Hantu Gigi ini, asalkan ia halal dan dilaksanakan dengan kesungguhan hati, perkara begitu tidak wajar dijadikan satu isu.

Namun adalah menjadi satu kepantangan buat Izara jika ada pihak yang cuba-cuba memandang rendah padanya tanpa menilai bakat terlebih dahulu.

“Saya tak suka orang pandang rendah pada saya. Tapi dari sudut positif, ia mencabar saya untuk melakukan sesuatu perkara itu dengan lebih baik.

“Sebenarnya ia pernah terjadi dalam hidup saya. Sebelum bergelar pelakon dan ketika di bangku sekolah, ramai yang suka pandang rendah pada saya.

“Saya pernah dikata bodoh dan macam-macam walhal saya tak cari pasal dengan orang. Memang saya marah tapi kalau kita tunjuk pada mereka, nampak macam kita tak profesional.

“Saya jenis suka pendam dalam hati. Biasanya kalau kena begitu, saya akan diam dan senyum saja. Agaknya sebab itu orang mudah pijak kepala saya.

“Tapi diam saya berisi. Saya ambil kata-kata mereka dan anggap ia cabaran dan buktikan yang saya boleh.

“Dulu orang kata saya tak boleh berlakon, sekarang orang yang mengata saya dulu boleh lihat saya di kaca televisyen dan jadi seorang pelakon,” jelasnya.

Orang tak kenal

Punya seraut wajah lembut, senyuman yang manja, ditambah pula dengan rambut panjang ikal mayang, Izara pasti dicemburui kebanyakan gadis di luar sana.

Meski memiliki bonus sebegitu, Izara bagaimanapun tidak mampu menepis tanggapan nakal sesetengah pihak yang menyifatkan ‘pakejnya’ itu masih belum boleh dijadikan sebagai tiket untuk dirinya dikenali ramai.

Mungkin juga kerana dia belum tergolong dalam kategori pelakon hebat ketika ini. Ya..boleh jadi juga.

Namun, bagi penuntut tahun pertama jurusan seni persembahan di sebuah kolej di ibu kota ini, dia tidak kisah jika dirinya masih belum dikenali.

Amat memahami situasi itu, kata Izara, dia menganggap ia sebagai satu pengalaman apalagi kecantikan bukanlah kayu ukuran buat seseorang artis itu untuk berjaya.

“Cantik bukanlah segalanya. Orang tak kenal sebab saya masih baru. Lainlah kalau saya dah lama berlakon.

“Lagipun tak akan saya nak paksa orang untuk suka saya. Benda ni kena ambil masa lah.

“Kalau boleh saya nak orang kenal saya kerana bakat dan bukan sebab rupa paras.

“Kalau sekarang orang tak kenal tak mengapa, yang penting saya buat saja kerja saya. Benda-benda lain akan datang kemudian,” katanya yang turut menyimpan hasrat untuk memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik satu hari nanti.

Hormat tugas media

Beralih pula pada cerita gosip, anak sulung daripada tiga beradik ini cukup skeptikal dengan perkataan itu.

“Ish..tak mahulah,” kata Izara yang enggan dirinya dikaitkan dengan sebarang gosip.

Mungkin ada benarnya. Iyalah, siapa yang gemar jika dirinya sering dilanda gosip dan kontroversi bukan?

Tambahan pula, ada masanya bukan mudah untuk membersihkan nama jika sekali sudah terkena.

Sama ada gosip itu dicipta kerana kelalaian sendiri atau sekadar usikan teman-teman media, bagi Izara selagi boleh, dia tidak mahu namanya dikenali kerana gosip.

“Saya sedar gosip akan datang menerpa dalam hidup saya pada bila-bila masa saja. Kalau bukan sekarang mungkin esok lusa. Ia bukan sesuatu yang mustahil.

“Tapi ia terpulang kepada saya bagaimana untuk mengelak dan menanganinya, kalau boleh saya memang tak nak terkena, ” katanya.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, kata gadis berbintang Libra ini bagaimanapun mengaku tidak akan menyalahkan pihak media sekiranya keadaan itu berlaku.

“Wartawan hanya buat kerja mereka, itu saya cukup faham dan hormat. Mereka cuma mahu mendapatkan kepastian mengenai satu-satu perkara itu.

“Kalau saya dilanda gosip satu hari nanti pun, saya tak akan lari. Seboleh-bolehnya saya akan beri jawapan jujur kalau ditanya.

“Sebab saya faham, artis dan media saling memerlukan. Saya tak akan hipokrit dan akan jadi diri sendiri,” ulasnya.

Menyentuh mengenai soal hati, Pancaindera juga sempat menggali, kalau-kalau si cantik ini sudah ada yang berpunya.

Iyalah, orang secantik dia mana mungkin tidak ada lelaki yang ‘tersangkut’.

Namun, selepas mengaju pertanyaan mengenainya, ternyata persepsi awal tadi tersasar jauh.

“Teman lelaki? Saya tak ada teman lelaki. Memang ada yang mahu berkawan, tapi sayangnya saya tak ada perasaan dan tak berminat.

“Buat masa sekarang, saya layan mereka sebagai kawan sahaja sebab tak ada rasa mahu bercinta pun. Tengoklah satu hari nanti,” katanya.

Pun begitu, kata Izara, dia tidak menolak andai jodohnya datang lebih awal dari apa yang dirancang.

Malah, ketika ditanya soal perkahwinan, Izara secara terbuka memberitahu bahawa dia meletakkan sasaran itu jika usianya sudah mencecah 27 tahun.

“Saya rasa usia 27 adalah tempoh matang untuk saya mendirikan rumah tangga.

“Namun begitu jika saya sudah berkahwin kelak, kemungkinan besar saya akan berhenti berlakon untuk menghormati suami.

“Itu pun kalau dia tidak membenarkan saya berlakon. Jika keadaan adalah sebaliknya, saya akan teruskan karier ini. Lagipun, inilah satu-satunya karier yang benar-benar saya minati.” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails