Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Keperibadian Nurul Syuhada memikat Amir


SIAPA sangka hanya dengan pertemuan singkat semasa menghadiri majlis pertunangan rakan menjadi detik permulaan hubungan pengacara Majalah Tiga, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin dan suaminya Raja Amir Shah Raja Azwa.

Salam perkenalan yang dihulurkan tahun 2009 itu akhirnya mencambahkan benih-benih cinta dalam hati mereka sehingga membawa ke gerbang perkahwinan.

Lalu bertempat di The Binjai On The Park, KLCC, Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu, Nurul Syuhada sah menjadi milik Raja Amir hanya dengan sekali lafaz.

Mengimbau kembali detik perkenalan itu, Nurul Syuhada mengakui, ruang masa yang dilalui sepanjang tempoh berkawan digunakan sebaiknya untuk lebih mengenali antara satu sama lain.

"Kami berkenalan dua tahun lalu semasa menghadiri majlis pertunangan rakan di Subang. Bermula dari situ kami selalu berhubung sehinggalah menjadi semakin rapat.

"Sepanjang dua tahun itu juga, kami mengambil masa untuk mengenali diri masing-masing sebelum membuat keputusan untuk bersama membina mahligai cinta," ujar Nurul Syuhada yang ditemui selepas majlis resepsi yang diadakan di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah pengacara berusia 27 tahun itu lagi, sikap dan penampilan yang ditonjolkan Raja Amir telah berjaya mencairkan hati wanitanya.

Baginya, jejaka berusia 29 tahun itu pandai mengambil hati dan membuatkan dirinya sering diulit rasa selesa untuk terus berdampingan bersamanya.

"Cara Amir membuatkan saya rasa selesa kerana dia seorang yang sederhana dalam banyak perkara, baik dan prihatin.

"Dan yang paling penting, dia seorang yang amat memahami diri saya dan tugasan saya yang tidak menentu waktu," jelas Nurul Syuhada yang kelihatan anggun dengan busana pengantin rekaan Datuk Radzuan Radziwill.

Berkongsi detik indah ketika dilamar oleh Raja Amir, dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir Nurul Syuhada, matanya melirik memandang ke arah suaminya untuk mengingati semula, detik-detik manis itu.

Jelas Nurul Syuhada, tiada apa yang istimewa dilakukan oleh Raja Amir ketika menyatakan hasrat untuk memperisterikan dirinya.

"Macam mana ya dia lamar? Sebenarnya tiada yang istimewa pun cuma apa yang Amir lakukan, dia datang berjumpa ayah untuk berterus terang tentang niat di hatinya.

"Dalam pertemuan itulah dia memberitahu ayah bahawa dia berhasrat untuk menjadikan saya sebagai suri hidupnya.

"Permintaan Amir itu tidak mengejutkan saya kerana saya sedar, dalam usia kami berkawan, dia menunjukkan sikap keikhlasannya, bukan sekadar bercinta sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Raja Amir ketika ditanya, apakah yang membuatkan hatinya terpaut kepada Nurul Syuhada? Dengan pantas dia menjawab, kejelitaan wanita itu telah menawan hatinya.

"Raut wajah Nurul Syuhada yang lembut dan ayu menarik perhatian saya untuk terus mendekatinya.

"Tetapi saya bukannya memandang kepada kecantikan luaran semata-mata sebaliknya peribadi Nurul turut menambat hati saya.

"Dia yang saya kenali adalah seorang wanita yang merendah diri, baik hati dan memahami saya.

"Apa yang penting, Nurul adalah jodoh yang telah ditentukan oleh-Nya untuk saya," tegas Raja Amir yang segak bertanjak, berbaju Melayu moden putih gading, warna sedondon dengan isterinya.

Dalam majlis yang mendapat sentuhan pereka pelamin Khalid Ahmad, majlis berkonsepkan moden-tradisional itu dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan selebriti pasangan Raja Sehari itu.

Antaranya, pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan, Maria Tunku Sabri, pengacara Wanita Hari Ini (WHI), Azizah Ariffin serta rakan-rakan personaliti TV3 yang lain iaitu Teh Syuhaida, Azliyanti Ibberahim, Azawate Zenol Abidin, Saiful Nizam Ismail dan Puteri Erin.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails