Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya tidak semurah itu - Watie


BERITA baik yang dikhabarkan oleh pelakon Norwatie Sadali atau mesra dipanggil Watie ini sememangnya sudah dijangka.

Bekas anggota kumpulan Elite ini dilihat matang dan benar-benar serius dengan pilihan hatinya, untuk sama-sama melangkah sekali lagi ke alam perkahwinan.

“Memang betul, saya dan Joey sedang kumpul duit sekarang ini. Nak buat kenduri kahwin lepas raya nanti,” kata Watie.

Wanita ini kemudian menyambung, “Kalau boleh kami mahu meraikan hari bahagia sambil bersedekah makan pada tetamu. Nak ajak juga semua kenalan datang memeriahkan majlis kami,” bicaranya.

Panahan mata yang menyertai pertemuan di lokasi penggambaran drama berjudul Antara Maghrib & Isyak terbitan Suhan Movies di Saujana Utama, Sungai Buloh Selangor, Selasa lalu membenarkan kata-katanya.

“Sebenarnya, kami sudah fikir masak-masak tentang perkara ini. Sebagai orang dewasa yang telah menempuhi pelbagai pengalaman hidup dan fasa gelap masing-masing.

“Tak salah kalau kami meneruskan hasrat murni untuk bernikah secara baik. Apatah lagi bila sudah tak punya komitmen dengan orang lain.

“ Atas sebab tersebut, tidak ada alasan lain untuk melengah-lengahkan perkara yang baik ini,” dedah wanita ini satu persatu.

Itu termasuk menunggu kes perceraian Joey bersama Noraini Nasir yang masih dalam prosiding perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat Kajang, Selangor itu selesai.

“Kami ada rancangan tersendiri untuk perkahwinan ketiga ini. Antaranya berhajat nak bersanding. Itu adalah impian kami sebab sebelum ini tak diberi peluang untuk duduk di pelaminan. Nak juga merasa debaran raja sehari.

“Secara peribadi saya memang dah tak sabar menunggu hari penting itu. Sebab saya dah cukup bersedia memikul tanggungjawab baru,” dedah wanita yang sudah tujuh tahun hidup bersendirian tanpa ditemani insan bergelar suami ini.

Malah apa yang lebih menggembirakan hatinya apabila anak tunggal Watie, Ahmad Afif Daniel, 7, turut merestui hajatnya itu.

Afif begitu ceria selepas mengetahui tentang hubungan mereka dan tak sabar-sabar untuk mendapat ayah baru.

Bukan punca penceraian

Sebenarnya, Watie mengakui bahawa dugaan hidupnya tak pernah berhenti. Sering dihimpit dengan pelbagai cerita kurang manis termasuk cerita kurang enak mengatakan Watie adalah perosak rumah tangga antara Joey dengan Noraini.

“Sebenarnya saya dah tak sanggup lagi nak dengar banyak versi cerita tak betul tentang hubungan kami. Sekali lagi saya menegaskan bahawa saya bukan punca perceraian Joey.

“Saya mengenali Joey dalam keadaan dia tak ada lagi hubungan dengan mana-mana perempuan. Saya sendiri tak sangka boleh jatuh cinta dengan dia selepas berlakon dalam drama Blues Pasar Tani,” hujah Watie menyentuh persoalan berkenaan.

Isu duduk serumah

Dalam perkembangan yang berkaitan, Watie turut menafikan bahawa dia pernah duduk serumah dengan Joey. Gosip keterlaluan itu disambut dengan penafian.

“Maaf, saya bukan semurah itu. Cerita tentang perkara ini memang keterlaluan tapi saya masih boleh bersabar. Sebab saya tahu siapa yang menyebarkan gosip ini.

“Yang penting saya dan Joey tahu batas pergaulan kami. Itulah risiko yang perlu diambil bagi pemegang status duda dan janda.

“Sebab itu, saya tetap tak mahu ulas perkara ini. Bimbang juga kenyataan yang saya keluarkan ini boleh menyebabkan ada pihak yang terasa hati,” katanya jujur.

Sakit & anak perempuan

Membuka lembaran kesakitan yang dialami Watie sebelum ini menyebabkan pelakon drama Mimpi Sabrina ini mengucap panjang. Rasa syukur kerana penyakit yang dialaminya tidak begitu serius.

Semuanya berlaku usai penggambaran drama berjudul Jangan Hantar Ku Ke Neraka bersama Allahyarham Faizal Yusof penghujung tahun lalu. Apabila Watie terlalu tertekan melakonkan babak antagonis.

Kesan dari itu, seluruh badan kirinya terasa kebas-kebas. Mengganggu keseluruhan aktiviti rutinnya sehingga perlu membuat rawatan akupuntur.

Seiring dengan itu, Watie dikaitkan dengan seorang gadis remaja berusia 14 tahun dari Johor yang mendakwa dirinya adalah ‘anak luar nikah’ penyanyi tersebut.

“Saya tak mahu komen pasal perkara itu. Biarlah saya menyelesaikan sendiri. Lebih baik saya pendam kebenaran dari memburukkan keadaan.

“Lagi pun, saya sedang dalam proses berubat penyakit kebas ini. Doktor cakap penyakit saya tak serius tapi saya tak boleh dalam keadaan tekanan,” ujarnya minta dimengerti.

Pada masa yang sama, Watie menganggap semua dugaan yang menimpa secara bertubi-tubi itu ada hikmahnya. Baginya, Tuhan tidak akan memberi kebahagiaan kepada hambanya secara total. Ia bergantung kepada persediaan dan cara penyelesaian di pihak individu tertentu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails