Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jimmy kejar bahagia jadi bapa


MASIH tidak nampak jalan penyelesaian apabila menyentuh mengenai kemelut rumah tangga lelaki kelahiran Ipoh, Perak ini.

Meski sudah membuat pegakuan secara terbuka berhubung keputusannya untuk tidak menfailkan perceraian, Jimmy Shanley bagaimanapun gagal menipu mata umum yang seakan dapat membaca betapa dirinya tidak bahagia. Lebih-lebih lagi, apabila sehingga ini, isterinya Nursuhaila Eliani, 25, didakwa masih kekal ego, menolak untuk berbaik semula dengannya. Pun begitu, kelahiran seorang bayi perempuan bernama Zahrah Shanley pada tanggal 24 Jun lalu bagai memberi satu sinar baru dalam hidup Jimmy apalagi ketika dia diduga dengan krisis rumah tangganya itu. Bermaksud zahir yang cantik, bayi comel itu ternyata punya seraut wajah saling tak tumpah sepertinya. Sempat Jimmy berseloroh “Dapat peluk anak sendiri memang seronok, jangan dibawa ‘lari’ lagi sudahlah ya,”candanya.

Percaya kehadiran Zahrah mampu membuka ruang jernih untuk dia dan Suhaila kembali bersatu membina kebahagiaan rumah tangga, kata Jimmy buat sementara waktu dia harus bersabar dengan kerenah isterinya itu.

“Fokus saya sekarang hanya pada Zahrah. Soal nak berbaik semula dengan isteri saya letak tepi dulu sebab nak elak daripada bergaduh.

“Lebih baik saya tumpu pada Zahrah sebab saya tak mahu si kecil ini terabai.Saya sudah rasa bagaimana hidup tanpa ibu bapa, jadi saya tak mahu nasib yang sama menimpa Zahrah.

“Kalau ditakdirkan saya tak bahagia sebagai seorang suami, tak mengapalah. Saya redha asalkan saya boleh mencipta bahagia dengan menjadi seorang bapa yang baik kepada anak saya,” katanya.

Menurut Jimmy,dia juga melihat reaksi Suhaila yang membenarkannya tinggal bersama di rumah ibu mertua sejak Isnin lalu untuk menjaga anak sebagai satu petada positif dalam hubungan mereka waktu ini.

“Kami masih tak berbual, tidak bertegur sapa. Perantara komunikasi antara kami adalah ibu mertua saya.

“Nak buat macam mana kan? Tak akan saya nak paksa dia. Biarlah..mungkin ambil masa sedikit.

“Biar masih begini saya tetap bersyukur sebab sekurang-kurangnya kami duduk serumah. Tak macam dulu. Apa yang penting, kami sama-sama dapat menguruskan Zahrah,” katanya.

Menyifatkan si kecil itu sebagai hadiah yang cukup bermakna dalam hidupnya, Jimmy juga menyimpan harapan bahawa Zahrah mampu menjadi titian yang boleh menyatukan kembali cinta antara dia dan Suhaila.

Enggan terlepas nikmat

Saat berbicara tentang Zahrah, Jimmy bersyukur kerana pada usia mencecah 31 tahun, dia berpeluang untuk bergelar seorang bapa.

Walau baru berusia beberapa hari, namun kata Jimmy dia boleh merasakan bahawa anak ini mampu menjadi seorang anak yang baik satu hari nanti.

Hatinya juga cukup tersentuh setiap kali memandang wajah Zahrah, apatah lagi, bayi kecil itu tidak punya banyak kerenah seolah-

olah mengerti dengan apa yang berlaku.

Kata pengacara Gala TV ini, dia tidak mahu terlepas setiap detik untuk melihat anaknya itu membesar di depan matanya sendiri.

“Nak tahu tak? Saya paling tak sabar nak dengar perkataan pertama yang dia boleh sebut. Tak sabar nak bawa dia berjalan-jalan, memimpin tangan dia ke sekolah. Pendek kata semuanyalah!

“Saya nak nikmati setiap detik dia membesar. Memandangkan saya sekarang duduk di rumah mertua, bolehlah saya menjaga Zahrah setiap masa.

“Saya seronok bila berpeluang tidur dengan Zahrah, dapat merasai bagaimana tidur terganggu kerana risaukan dia.

“Termasuklah menguruskan dia, memandikan dia. Itu semua nikmat yang Allah S.W.T bagi dan saya akan menghargai setiap momen-momen itu,” ujarnya.

Jadi atlet

Sebagai seorang bapa, Jimmy punya sejuta harapan dan impian dalam usaha mencorakkan masa depan anaknya.

Kata Jimmy, sejak awal sudah merancang untuk mendidik anaknya dengan cara sederhana meski dia sedar, di pihak isteri, mereka datangnya dari keluarga bertaraf hartawan.

Menurut Jimmy, sebagai ketua keluarga, dia berhak berbuat begitu dan pihak keluarga isterinya juga perlu menghormati keputusannya itu dengan hati yang terbuka.

“Lebih baik bersederhana. Saya tak nak terlalu memanjakannya dengan kemewahan kerana bimbang akhirnya ia akan merosakkan Zahrah.

“Saya lebih suka cara begini. Kalau dia bersekolah nanti pun saya tak mahu hantar ke sekolah swasta.

“Sekolah biasa pun sudah memadai, biarlah dia membesar ikut cara saya.

“Apa pun, saya berterima kasih kepada isteri saya kerana telah melahirkan anak ini dalam keadaan sempurna dan cukup sifatnya, ” katanya.

Malah, dia juga mahu anaknya itu menjadi seorang atlet berbanding tergolong dalam kelompok artis.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails