Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dihimpit lelaki hidung belang - Fathia


NAMA pun artis, kalau cantik dan popular, cepatlah yang datang menghimpit. Menjadi jelitawan, bukan sesuatu yang luar biasa kalau dikejar oleh golongan lelaki berduit.

Dan situasi itu sememangnya tidak dinafikan oleh pelakon jelita yang semakin popular, Nurfathia.

“Memang betul, memang ada golongan berada yang datang menghimpit.

“Mereka datang dengan tawaran untuk memberi rumah serta kereta mewah. Bagaimanapun ia tidak mengaburi mata saya dan semua itu ditolak dengan cara baik.

“Saya turut ingat pesanan kedua orang tua saya supaya jangan sesekali mencemarkan industri ini dengan cara sebegini,” jelas pelakon yang terkenal dalam drama bersiri Stanza Cinta, yang kini kian dikenali ramai.

Umum mengetahui nama pelakon yang seorang ini sedang meningkat naik. Ketika ini tawaran berlakon tidak henti-henti diterimanya, tidak mustahil jika ada jejaka dari golongan yang kaya yang sedang menghampiri serta ingin mendampinginya.

Pun menurut Fathia, dia punya alasan untuk menolak. Prinsip diri menjadi keutamaan dan dia sedar hidup atas kekayaan orang lain tidak akan kekal lama.

“Saya tidak mahu bermain kotor dalam industri ini, saya juga tidak akan menggadaikan maruah saya semata-mata untuk hidup senang.

“Saya hadir dalam kancah lakonan ini juga kerana ikhlas untuk mencari rezeki dan tiada perkara yang kurang elok di sebaliknya,” katanya.

Pelakon ini seakan-akan malu apabila ditanya mengenai teman hidup, katanya umur masih muda dan banyak perkara yang perlu dicapai ketika ini.

“Masih mencari,” ujarnya ringkas, namun Fathia mula membuka mulut apabila ditanya ciri-ciri lelaki idamannya nanti.

“Saya harap teman hidup saya nanti bukan dari golongan artis dan golongan kaya, saya mahukan seorang lelaki yang cukup sifat agamanya.

“Saya inginkan seseorang yang dapat membimbing dari segi agama dan turut menjadi contoh yang terbaik kepada keluarga saya nanti. Ketika ini memang susah untuk mencari seorang lelaki seperti itu tambah-tambah lagi seorang yang betul-betul ikhlas mencintai kita,” jelasnya.

Ditanya mengapa menolak untuk mencari lelaki yang kaya sebagai teman hidupnya, jelas Fathia kekayaan juga adalah sifat sementara.

“Bagi saya kekayaan merupakan satu kemewahan dan kebahagiaan yang sementara, benda itu tiada nilai sebenarnya, bukan mahu menolak tentang rezeki tapi kalau boleh memang saya tidak sukakan lelaki yang memberi umpan dengan kekayaan untuk mendampingi saya,” ujarnya.

Panas baran

Sebelum ini, berita mengenai tindakannya membaling telefon bimbit ke arah salah seorang pengarah terkenal tanah air, Along Kamaluddin memang begitu hangat diperkatakan.

Ramai yang membawa cerita kononnya gadis manis ini panas baran dan sukar menerima teguran. Benarkah dakwaan tersebut?

Sambil menafikan dirinya panas baran Fathia mengakui tidak berniat untuk mengamuk di lokasi drama Stanza Cinta sehingga bertindak membaling telefon bimbitnya ke arah pengarah tersebut.

Menurut Fathia, insiden tersebut berlaku bukanlah disebabkan oleh sikap panas baran atau besar kepalanya, tetapi ia dipengaruhi oleh tindakan spontan gara-gara tertekan untuk menjayakan watak Amni dalam drama itu.

“Saya langsung tiada niat untuk mengamuk sehingga membaling telefon kepada sesiapa pun, apatah lagi kepada Along yang saya hormati sebagai pengarah. Saya bukan kaki mengamuk bagai yang disangka orang.

“Insiden itu berlaku secara spontan kerana telefon saya terlepas dari tangan dan tercampak ke arah orang lain dan bukannya ke arah Along seperti yang didakwa.

“Sebenarnya, saya terlalu tertekan untuk menjayakan watak Amni dalam drama itu. Kebetulan pula, sebelum itu saya baru saja mendapat panggilan peribadi yang membuatkan saya marah dan hilang pertimbangan,” jelasnya.

Mahu jadi peguam

Bercita-cita sebagai peguam, Fathia memberitahu kerjaya itu menjadi pilihan sejak kecil lagi.

Meskipun hari ini namanya semakin memuncak sebagai pelakon, bidang perundangan kekal di hati.

“Saya tak nafi, bidang lakonan sememangnya bidang yang amat menarik sekiranya kita berada di puncak kejayaan.

“Namun kegemilangannya hanya bersifat sementara, tak boleh kekal lama.

“Pelajaran adalah satu perkara yang perlu dan ia juga akan kekal sehingga mati. Kika diberi pilihan memang saya akan memilih pada kerjaya sebagai peguam untuk masa dean,” jelas Fathia.

Jelasnya, pembahagian masa amat perlu baginya untuk merealisasikan kedua-dua bidang kerjayanya ini.

“Benda ini tidak mustahil, saya rasa saya mampu untuk menghadapinya, saya memang sayangkan kerjaya sebagai pelakon namun dalam masa yang sama saya juga ingin mengejar cita-cita saya yang saya impikan selama ini.

“Sebelum cita-cita saya ingin menjadi peguam tercapai, saya akan teruskan tumpuan terhadap dunia lakonan,” ujarnya lagi.

Tambah Fathia lagi, sebelum ini ibu bapanya tidak bersetuju dia untuk berlakon kerana bimbang akan terkandas dalam pelajaran.

Sama dengan Fathia, ibu bapanya juga turut beranggapan bahawa pelajaran adalah perkara pertama yang perlu diberikan keutamaan tambahan lagi usianya yang masih muda.

Fathia yang nama sebenarnya Nurfatia Abdul Latiff yang baru sahaja menginjak usia 24 tahun pada September lalu merupakan salah seorang pelajar Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Ketika ini Fathia berada dalam tahun akhir pengajiannya dan dijangka akan tamat belajar pada tahun hadapan.

“Walaupun saya dah berada pada tahun akhir, tapi saya perlu meneruskan lagi beberapa tahun untuk mendapatkan “lesen” mengejar cita-cita saya sebagai seorang peguam.

“Bagi saya pelajaran adalah satu perkara yang amat penting, tanpa pelajaran hidup kita kosong tanpa ada apa-apa,” katanya.

Tambahnya lagi, pada awalnya bidang lakonan ini adalah kerja separuh masa yang dilakukannya ketika cuti semester bagi mengisi masa lapang dan mendapatkan sedikit wang untuk kegunaan ketika sambung balik pengajian. “Namun saya dapat yakinkan mereka dengan membahagikan masa dengan sebaik-baik mungkin.

“Saya sendiri juga tahu batas-batas pergaulan dan lakonan dan juga selalu ingat supaya berpijak di bumi yang nyata, ibu bapa saya juga tahu yang saya memang minat untuk berlakon, jadi masalah itu tidak timbul untuk saya tidak meneruskan lakonan saya,” kata gadis cantik manis ini lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails